BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Saturday, July 19, 2014

TRAGEDI MAS MH17 - SIDANG PARLIMEN KHAS

Dua lagi jenazah mangsa MH17 tiba hari ini

HARAKAHDAILY | .
SEPANG: Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), sekali lagi diselubungi suasana pilu pagi ini, sebaik pesawat yang membawa dua jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 tiba di pekarangan kompleks itu.

Pesawat yang membawa jenazah Tambi Jiee dan kanak-kanak Benjamin Lee Jian Han berumur setahun, tiba pukul 8.28 pagi dan istiadat penghormatan sama seperti sebelum ini diberikan kepada kedua-dua jenazah.

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sejurus keranda jenazah Tambi diusung keluar dari pesawat pukul 8.37 pagi dan disusuli keranda yang menyimpan abu Benjamin Lee tiga minit kemudian, suasana hiba menyelubungi khemah yang menempatkan waris kedua-dua mangsa.

Waris mangsa turut kelihatan mengalirkan air mata sambil berpelukan antara satu sama lain.

Sebaik selesai keranda kedua-dua mangsa dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah, semua yang hadir pada istiadat itu berdoa dan bertafakur selama seminit pada pukul 8.44 pagi sebagai tanda penghormatan.

Kenderaan jenazah kemudian beredar meninggalkan pekarangan Kompleks Bunga Raya pada 8.46 pagi.

Jenazah Tambi kemudian diterbangkan ke Kuching, Sarawak dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia Hercules C130 untuk disemadikan bersama isteri dan anaknya yang turut terkorban dalam kejadian malang itu.

Isteri Tambi, Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulungnya, Muhammad Afif, 19, dikebumikan pada 22 Ogos lepas.

Tambi kakitangan Shell yang bertugas di Khazakhstan sejak tiga tahun lalu, berada dalam pesawat MH17 itu bersama isteri dan empat orang anaknya.

Mereka dalam perjalanan pulang ke Malaysia sebelum Tambi kembali bertugas di Ibu Pejabat Shell di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Sumber HD - 9-9-2014

MH17: Proses kenal pasti baki mayat masuk fasa mencabar

MOHD FAIZAL HASSAN | .
THE HAGUE: Proses mengenal pasti identiti baki mayat warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 kini memasuki fasa sukar dan mencabar.

Anggota Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17 Datuk Dr Zahari Noh berkata kes itu semakin rumit kerana pakar forensik kini hanya boleh bergantung kepada DNA sahaja yang prosesnya mengambil masa panjang.

"Kini di fasa DNA, proses semakin lebih terperinci. Jika wujud padanan cap jari atau DNA, kes boleh diteruskan untuk pengesahan identiti.

"Ia ambil masa lama, boleh juga sekejap. Ada kes terpaksa dikaji semula. Ada yang (ambil masa) satu hari sahaja sudah selesai proses identifikasinya.

"Pakar kini tidak boleh lagi bergantung kepada padanan seperti cap jari tangan atau gigi seperti pengecaman dan identifikasi jenazah lain sebelum ini," katanya di sini.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pakar forensik itu adalah satu-satunya wakil Malaysia dalam Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17 yang ditempatkan di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum dekat sini.

Dr Zahari menjelaskan dalam menentukan identiti jenazah, ia perlu melalui proses seperti pengumpulan anggota badan, bedah siasat dan rekonsiliasi (yang melibatkan gabungan pengumpulan anggota badan dan bedah siasat menggunakan teknik padanan cap jari, DNA serta patologi).

Katanya selesai sahaja proses tersebut, mana-mana kes yang telah dikenal pasti identiti jenazah itu akan dibentangkan ke lembaga.

Jelasnya, antara tugasnya adalah meneliti setiap kes yang dibentangkan dalam mesyuarat yang diadakan tiga kali seminggu; Isnin, Rabu dan Jumaat untuk tujuan pengenalpastian dan pengesahan identiti.

"Ada tujuh orang di dalam lembaga itu dari pelbagai bidang seperti pendakwa raya dan dari negara lain termasuk Belanda dan United Kingdom.

"Tugas kami adalah bersidang, semak setiap kes, buat presentasi. Bila semua sudah setuju, baru sahkan identiti mana-mana jenazah.

"Apabila ada jenazah Malaysia telah dikenal pasti dan disahkan, saya akan memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di sini yang kemudian akan memaklumkan kepada keluarga dan lain-lain lagi," katanya.

Dr Zahari menarik perhatian, sebaik sahaja jenazah dikenal pasti, pelbagai proses dokumentasi pula diperlukan untuk membawa keluar jenazah ke Rumah Mayat Monuta.

Mengikut Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja dikenal pasti jenazah adalah milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, jenazah kemudian perlu melalui lima proses penting.

Ini antaranya melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.

Selesainya proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90km dari Hilversum untuk menjalani urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing.

Ditanya mengenai rungutan sesetengah pihak mengenai kenapa semua jenazah tidak dibawa keluar secara serentak, beliau berkata setiap proses identifikasi memerlukan masa dan perlu mengharungi pelbagai fasa.

"Umum perlu faham, ada 298 kes dan setiap kali bersidang, cuma 20 kes sahaja dibentangkan. Dari situ, tidak semua yang dikenal pasti adalah warganegara Malaysia.

"Prosedur disini seperti identifikasi dan autopsi adalah berbeza. Kecepatan proses pengenalpastian mana-mana jenazah bergantung kepada selesainya fasa rekonsiliasi," katanya.

Tegas Dr Zahari, mana-mana kes jenazah sama ada lengkap atau sebaliknya yang telah selesai melalui proses rekonsiliasi akan dibawa ke lembaga mengikut giliran dan secara rawak.

"Tidak semestinya setiap kali kami bermesyuarat, akan ada kes yang dibentangkan melibatkan jenazah Malaysia.

"Kita tidak tahu mayat dari negara mana yang datang atau kes apa dibentangkan. Malah ada beberapa kes yang ditahan untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah terdapat 180 dari 298 mayat telah dikenal pasti ketika ini.

Dr Zahari yang telah berkhidmat hampir 27 tahun dalam bidang kesihatan termasuk forensik ini berkata adalah menjadi keinginan dan harapan untuk mengenal pasti dan menemui kesemua mayat warga negara Malaysia dalam kadar segera.

"Walau berdepan kerumitan, saya sering berdoa agar setiap kali mesyuarat, akan ada jenazah dari Malaysia dan dikeluarkan secepat mungkin, barulah lapang dada saya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan sebanyak 31 jenazah rakyat Malaysia telah dikenal pasti.

Pada Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas dan pada Ahad kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi itu tiba di tanah air.

Satu lagi jenazah tiba pada Sabtu lepas.

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.

Pesawat itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. - Bernama

Sumber HD - 28-8-2014

Even if attacked, airline could be liable in crash

Aviationpros - AP | .

Families of passengers who were on the Malaysia Airlines plane shot down over Ukraine are starting to sort through the long process of gaining compensation for their loss.

Officials in the Netherlands, where the majority of Flight 17 victims lived, say that Malaysia Airlines has been making $50,000 payments to the families without admitting any wrongdoing in the crash.

Such payments may create goodwill, lawyers say, but they are not likely to discourage some families from seeking more than the amount promised under an international treaty — about $174,000.

Since the early days of commercial aviation, international agreements have governed compensation for crash victims. It is a no-fault system — the airline pays a standard compensation even if is blameless.

Under a treaty called the Montreal Convention, families can sue for more if the airline or another party was negligent.

Read the full story here

Sumber HD - 26-8-2014




MH17: Enam lagi jenazah rakyat M'sia akan dibawa keluar

BERNAMA | .

THE HAGUE: Sekurang-kurangnya enam lagi jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dijangka dibawa keluar dari Pusat Perubatan Tentera di Hilversum dekat sini, dalam tempoh 48 jam bermula Isnin, untuk pengurusan jenazah dan penghantaran pulang.

Menurut sumber, enam jenazah itu telah dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia selepas menjalani Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti identifikasi dan autopsi baru-baru ini.

"Kebiasaannya, rumah mayat yang telah dilantik akan dipanggil pihak berkuasa Pusat Perubatan Tentera bagi membawa keluar mana-mana jenazah untuk urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing," katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, Isnin.

Beliau berkata pihaknya berharap kesemua enam jenazah itu dapat diuruskan dan dibawa balik ke tanah air dalam minggu ini.

SOP menetapkan sebaik sahaja jenazah dikenal pasti sebagai milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, jenazah berkenaan kemudian perlu melalui lima proses penting.

Ia melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.

Selepas selesai proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90km dari Hilversum untuk menjalani urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di rumah mayat itu mendapati ada anggota keluarga satu daripada jenazah itu yang hadir untuk berbincang mengenai upacara pengurusan jenazah.

Keluarga itu yang hadir dengan wakil MAS pada kira-kira 11 pagi kelihatan tenang dan bertanyakan beberapa soalan mengenai proses perjalanan upacara dengan pegawai rumah mayat itu sebelum beredar sejam kemudian.

Kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang ke tanah air dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas pada Jumaat lepas disusuli kumpulan kedua dengan tiga jenazah semalam.

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas.

- BERNAMA

Sumber HD - 26-8-2014





Anak Mohd Ghafar pitam ketika Allahyarham dikebumi

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Suasana pilu bercampur hiba apabila anak bongsu penyelia penerbangan kabin Malaysia Airlines (MAS) Mohd Ghafar Abu Bakar, pitam semasa jenazah ayahnya dikebumikan pada Ahad.

Afi Hazim, 14, yang juga orang kurang upaya (OKU) terpaksa dipapah keluar oleh anggota keluarganya ke ambulans yang disediakan bagi menstabilkan keadaannya.

Jenazah Allahyarham Mohd Ghafar, 54, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu, Taman Kosas di sini. Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normi Abdullah, 54, dan tiga anak - Sa'imah Baizura, 29, Ammar Syarif dan Afi Hazim.

Sementara itu, rakan dan juga jiran Allahyarham, Mohamed Subri Mat Zin, 50, berkata rakannya itu sering menyatakan hasrat untuk berhenti dan mencari pekerjaan lain.

"Arwah selalu menyatakan bahawa dia nak berhenti kerja dan mahu mencari pekerjaan lain sebab mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan mendalami ilmu agama," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi rakan Allahyarham, Ferri Anugerah Makmur, 52, berkata Allahyarham semasa hayatnya cukup mementingkan agama dalam segala hal dan disifatkan seorang yang layak dijadikan contoh kepada masyarakat.

"Arwah Ghafar merupakan lambang kedamaian dunia kerana sepanjang hayatnya, beliau merupakan seorang ayah, suami, sahabat, anak dan rakyat Malaysia yang baik budinya dan luhur hatinya.

"Beliau cukup taat dengan agama Islam dan dirinya sentiasa berada dalam keadaan wuduk (air sembahyang)," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Allahyarham Mohd Ghafar selesai.

Rakan sekerja Allahyarham, Syed Hamzah Syed Hussein, 50, pula melahirkan rasa terkilan kerana pernah menolak pelwaan Allahyarham untuk menunaikan solat terawih bersama-sama.

"Pada 16 Julai lalu, semasa kami di Kuala Lumpur sebelum masing-masing berlepas ke London dan Amsterdam, Allahyarham ada mengajak saya untuk menunaikan solat terawih bersama.

"Namun saya menolak kerana takut (terlepas penerbangan) dan saya rasa sungguh sedih kerana tidak menunaikan hasratnya itu," katanya.

Kata Syed Hamzah, Allahyarham sempat mengirimkan WhatsApp ucapan 'Selamat Hari Raya' dengan gambar songkok.

Antara yang hadir pada upacara pengebumian Allahyarham ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Lebih 1,000 orang termasuk anggota keluarga dan kakitangan MAS hadir memberikan penghormatan terakhir dan menyiram air ke pusara Allahyarham.

Pengebumian selesai pada 12.10 tengah hari dan talkin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam, Mohd Hata Ahmad.

Penerbangan komersial MH19 yang membawa kumpulan kedua terdiri tiga jenazah mangsa nahas MH17 termasuk Mohd Ghafar dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.45 pagi ini.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine. - Bernama

Sumber HD - 24-8-2014


Rajin solat jemaah ketika bertugas di luar negara

BERNAMA | .



SEPANG: Penyelia penerbangan kabin Malaysia Airlines (MAS) Allahyaram Mohd Ghafar Abu Bakar antara anak kapal yang mula melakukan aktiviti solat jemaah bersama-sama anak kapal di luar negara, kata rakan karibnya, Nadzri Hassan.

Nadzri, 57, yang juga penyelia penerbangan berkata kebiasaannya bila mereka terbang bersama, beliau akan jadi imam manakala Mohd Ghafar menjadi jemaah.

"Bila terbang bersama kebiasaannya kami masing-masing dapat bilik dan selalu kami berkongsi bilik dan bilik yang tidak diduduki akan dijadikan tempat untuk solat berjemaah," katanya ketika ditemui di luar Kompleks Bunga Raya di Sepang, Ahad.

Beliau yang mengenali rapat Mohd Ghafar sejak 1981 semasa mula berkhidmat dengan MAS menyifatkan rakannya itu sebagai seorang yang kelakar, taat kepada agama dan tidak kedekut ilmu.

Sementara itu seorang lagi anak kapal, Fatima Bibi Mira Maiddin, 38, menyifatkan Mohd Ghafar sebagai seorang ketua yang baik kepada semua tidak kira pangkat.

"Beliau melayan semua orang sama rata. Mohd Ghafar juga seorang ketua yang suka berjenaka," kata Farima Bibi yang telah mengenali Mohd Ghafar selama 10 tahun.

Jenazah Mohd Ghafar merupakan antara tiga jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 yang tiba di Malaysia, Ahad, dan jenazah diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh hormat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Pada Jumaat, jenazah 20 rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air dalam 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera - julung kali diberikan kepada orang awam dalam sejarah negara ini - dan diurus amat teliti dalam istiadat penuh hormat.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Pramugari Ernee Hasnita Malik sebak sebaik sahaja kenderaan jenazah membawa jenazah Mohd Ghafar melintas di hadapannya.

Secara automatik, beliau mengimbas semula kenangan bersama-sama Mohd Ghafar, yang disifatkan sebagai sangat peramah dan tidak kedekut untuk 'menurunkan ilmu' sejak dirinya menyertai syarikat penerbangan MAS pada 1999.

"Beliau tidak pernah lupa memberi tunjuk ajar dan sentiasa mengingatkan kami untuk bersolat semasa sedang bertugas," kata Ernee Hasnita semasa ditemui selepas istiadat penghormatan jenazah.

Ernee Hasnita, 41, menambah kali terakhir mereka bertugas bersama-sama adalah Ogos tahun lalu, iaitu untuk operasi menyelamat membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir ekoran pergolakan di negara itu.

Bagi pramugari Rosmizar Asmim, 45, beliau tidak melepaskan peluang memberi penghormatan terakhir kepada Mohd Ghafar, meskipun baru pulang daripada bertugas dalam pesawat ke London pada Sabtu.

Beliau menyifatkan Mohd Ghafar lebih sebagai abang kepada semua kru MAS, meskipun memegang jawatan lebih tinggi daripada mereka.

Arwah sangat prihatin dengan kebajikan anak buah, dan sering bertanya kepada kru seliaannya jika mereka telah makan sebelum memulakan tugas, tambahnya.

"Dia adalah yang terbaik. Tidak ada sesiapa yang boleh menggantikan arwah...." kata Rosmizar yang tidak dapat menghabiskan ayat kerana terlalu sedih. - Bernama

Sumber HD - 24-8-2014


MH17: Mohd Ghafar dikebumi di Ampang, Ng di Cheras

BERNAMA | .

SEPANG: Tiga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 tiba di Malaysia hari ini dengan dua daripadanya diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh penghormatan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.

Malaysia juga bertafakur selama seminit mulai 8.41 pagi sebagai tanda penghormatan terhadap mangsa tragedi itu.

Muram dan sayu menyelubungi istiadat penghormatan tentera seperti yang diterima 20 korban mangsa nahas MH17 pada Jumaat, sebaik sahaja pesawat yang membawa jenazah penyelia penerbangan kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Ng Shi Ing menghampiri Kompleks Bunga Raya KLIA.

Pesawat komersial MH19 membawa kumpulan kedua jenazah mangsa nahas itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada tengah hari (6 petang waktu Malaysia) pada Sabtu dan mendarat di terminal utama KLIA pada 6.45 pagi.

Ia kemudian mula bergerak ke kawasan kompleks pada 8.25 pagi sebelum berhenti sepenuhnya untuk istiadat itu pada 8.30 pagi.

Hadirin termasuk kenamaan, pegawai kerajaan dan waris cuba melawan sebak serta tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih terutama ketika keranda jenazah dan kendi berisi abu mayat mula diturunkan dari pesawat itu dan diusung serta dibawa ke dalam dua kenderaan jenazah.

Jenazah pertama yang dibawa turun ialah Mohd Ghafar diikuti abu Ng. Identiti jenazah ketiga yang tidak mengikuti istiadat penghormatan, tidak didedahkan atas permintaan keluarga.

Mohd Ghafar dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang manakala Ng akan dihantar ke Xiao En Bereavement Care Sdn Bhd di Cheras, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja kedua-dua pintu kenderaan jenazah ditutup, pengerusi majlis membuat pengumuman kepada hadirin untuk bertafakur.

Suasana semakin sebak apabila kenderaan jenazah mulai bergerak untuk meninggalkan kawasan Kompleks Bunga Raya KLIA.

Berada di Kompleks Bunga Raya sempena istiadat penghormatan mangsa pesawat MH17 itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Dr Wee Ka Siong. - Bernama

Selain waris dan keluarga, turut dilihat hadir ialah sekumpulan anak kapal MAS.
Sebanyak 190 anggota daripada 12 Briged Infantri Malaysia terlibat dalam istiadat penghormatan hari ini.

Semalam, Liow berkata kumpulan ketiga jenazah dijangka tiba pada 30 Ogos. Setakat ini, pihak Belanda telah mengenal pasti 30 warga Malaysia.

Sumber HD - 24-8-2014    


Perlis tolak tafakur, dakwa bertentangan fatwa kebangsaan

http://greenboc.blogspot.com | .

Perlis Tolak Tafakur, Dakwa Ia Bertentangan Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan

Di saat seluruh negara bertafakur sewaktu 20 mayat mangsa nahas MH17 tiba di KLIA semalam, negeri Perlis tidak turut serta di dalam upacara bertafakur tersebut.

Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mengeluarkan sekeping memo bertarikh 22 Ogos 2014, yang tersebar di laman sosial facebook dan twitter, menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan program tafakur anjuran Kerajaan Pusat berkenaan kerana perbuatan itu didakwa melanggar Faktwa Kebangsaan Tahun 1987 dan Fatwa Negeri Perlis tahun 1974.

Sementara itu Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 – 7 Oktober, 1987 telah mengeluarkan fatwa berhubung isu ini yang menyatakan ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik, telah membuat kenyataan yang berlainan dan telah melakukan "U-Turn" di dalam portalnya menyatakan amalan tafakkur yang dilakukan untuk MH17 tidak menyalahi syariat. Petikan:

Faham bertafakur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna “kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)

Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang mati tidaklah bertentangan dengan syarak kerana ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan 'moment of silence' lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.

Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.
Video 1
Video 2
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Sumber HD - 23-8-2014 

Kan elok pakai macam ni walaupun belum sempurna


Kan Nampak Elok Pakai Macam Ini Walaupun Belum Lagi Sempurna Menurut Islam


Alangkah baiknya kalau keadaan ini berterusan, jangan hanya kerana peristiwa MH17 ini sahaja. Pakai tudung kan nampak elok walaupun pakaian masih belum mengikut seperti apa yang telah ditetapkan oleh syarak.

Apapun kita sama-samalah doakan agar permulaan kepada perkara yang membawa kebaikan kepada MAS ini kekal.

Sumber HD - 23-8-2014


MH17: Jenazah Hamfazlin selamat disemadi

MUHAMMAD FAIZAL | .


KUALA LUMPUR: Jenazah anak kapal pesawat MAS MH17, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin selamat dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Batu Muda jam 2.45 petang tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu tiba di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, selepas dibawa dari Kompleks Bunga Raya Kuala Lumpur International Airport (KLIA) jam 1.15 petang.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan sejurus selesai solat Jumaat yang dihadiri hampir seribu jemaah.

Allahyarham merupakan antara dua puluh jenazah tragedi MH17 yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam pukul 9.40 malam tadi dan tiba di KLIA pada jam 9.45 pagi tadi.

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa 20 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17, mendarat di KLIA merupakan kumpulan pertama jenazah dalam 17 keranda dan tiga dalam kendi berisi abu mayat.

Upacara pengebumian disempurnakan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dianggarkan hampir 500 hadir di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mangsa MH17 itu.

Pesawat berkenaan, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai lalu.

Antara jenazah yang dibawa pulang adalah Mastura Mustafa, Ahmad Hakimi Hanapi, Nur Shazana Mohamed Salleh, Dora Shahila Kassim, Foo Ming Lee, Karamjit Singh Karnail Singh, Ng Qing Zheng, Mabel Anthony Samy dan Paul Rajasingam Sivagnanam.

Selain dari turut dibawa pulang adalah Elisabeth Ng Lye Ti, Lee Hui Pin, Angeline Premila Rajandaran, Ariza Gazalee, Muhammad Afif Tambi, Azrina Yakob, Hasni Hardi Parlan, Mohd Ali Md Salim, Rahimmah Noor dan Chong Yee Pheng.

Acara solat & Pengkebumian - 
http://www.youtube.com/watch?v=n803Tss3-Ms

- HARAKAHDAILY 22/8/2014

Sumber HD - 22-8-2014


MH17: 'Jumpa kamu di syurga'

SALMIYAH HARUN | .

SEPANG: Waris mangsa Pembantu Juruterbang Pesawat MAS MH17 Ahmad Hakimi Hanapi yang berasal dari Kelantan melahirkan rasa syukur, akhirnya jenazah Allahyarham dapat di bawa balik ke Putrajaya.

Salah seorang bapa saudaranya Amran Daud, 50, yang turut menyambut ketibaan jenazah Hakimi menerima kejadian yang menimpa ahli keluarganya dengan pasrah atas ketentuan ilahi.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan yang menguruskan jenazah Mohd Hakimi sehingga Allahyarham tiba ke pangkuan keluarga.

"Perasaan sedih dikalangan kami sukar untuk disembunyikan tetapi kami redha dengan apa yang berlaku,"katanya.

Amran merupakan salah seorang ahli keluarga yang ke Amsterdam bagi menuntut jenazah Hakimi sebelum ini.

Menurut beliau, jenazah Allahyarham Hakimi antara yang dalam keadaan sempurna.

"Saya sempat ke Amsterdam, jenazah Allahyarham masih lengkap dan baik. Saya sempat melihatnya," katanya.

Hampir 30 ahli keluarganya turut serta untuk sama-sama memberi penghormatan negara serta mengiringi jenazah Hakimi untuk dibawa ke Putrajaya.

Pihak keluarganya juga akan mengadakan majlis tahlil di kediaman mentua Allahyarham di Taman Tun Doktor Ismail dan di rumah Allahyarham di Putrajaya.

Kebanyakan mereka memakai t-shirt hitam yang tertera "Co-pilot Ahmad Hakimi Hanapi. MH17, 17.7.2014 "see you in jannah".

- HARAKAHDAILY 22/8/2014

Sumber HD - 22-8-2014

MH17: Seluruh negara bertafakur seminit

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Detik masa seakan terhenti hari ini pada pukul 10.54 pagi apabila seluruh negara bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan kepada 20 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 selepas jenazah mereka tiba di tanah air dengan sebuah pesawat khas dari Belanda.

Jalur Gemilang dikibar separuh tiang ketika negara 30 juta penduduk ini bersatu dalam hiba bagi mengenang 20 warganya yang diragut maut apabila pesawat berkenaan bersama 298 orang terhempas bertaburan di timur Ukraine pada 17 Julai, suatu peristiwa menyayat hati yng mengejutkan seluruh dunia.

Ramai rakyat Malaysia berpakaian gelap hari ini, yang diisytiharkan Hari Perkabungan Negara, serta bertafakur selama seminit bagi mengenang mereka yang telah pergi untuk selama-lamanya.

Perhatian tertumpu pada istiadat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang diberi kepada mangsa, apabila pengumuman dibuat agar seluruh negara mula bertafakur selama seminit, disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen.

Pengumuman itu dibuat setelah kesemua 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat mangsa yang dibawa pulang dengan pesawat MAS MH6129 dari Amsterdam, diletakkan di dalam 20 kenderan jenazah.

-- BERNAMA

Sumber HD - 22-8-2014














MH17: Selamat pulang, tenanglah di bumi Malaysia

MOHD FAIZAL HASSAN | .
AMSTERDAM: Kepulangan yang telah lama dinantikan. Sebaik sahaja dua pegawai Kedutaan Malaysia dan wakil Malaysia Airlines (MAS) membuat proses pemeriksaan akhir, 20 jenazah mangsa nahas MH17 akhirnya diterbangkan pulang ke tanah air pada 3.40 petang Khamis (9.40 malam waktu Malaysia).

Mereka sepatutnya pulang pada 17 Julai lepas dan tiba pada 18 Julai ke Malaysia, namun tiada siapa menyangka pesawat MH17 itu akan ditembak jatuh.

Penerbangan membawa 298 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, petugas media Malaysia dan tempatan tiba di sebuah bangunan untuk dibawa menaiki sebuah bas ke terminal kargo yang menempatkan pesawat khas membawa balik 20 jenazah.

Petugas media tiba kira-kira pukul 2 petang dan dibawa menghampiri pesawat khas MAS Boeing 747 itu sebelum pintu pesawat dibuka.

Kelihatan beberapa keranda telah disusun dan difahamkan kesemua 20 jenazah dalam 17 keranda dan tiga bekas abu itu telah mula diangkut satu per satu sejak awal pagi Khamis.

Proses pemeriksaan akhir jenazah bermula sejurus selepas 2 petang dilakukan Naib Presiden Operasi MAS Datuk Baharom Mohd Yatim, Setiausaha Kedua Pejabat Kedutaan Malaysia di Belanda, Halmah Hassan dan Kaunselor Kedutaan Malaysia di Finland, Devrin Jeck untuk tujuan formaliti proses.

Media Malaysia dan tempatan tidak dibenarkan mendekati pintu masuk pesawat khas itu dan hanya dapat melihat dari jarak 50 meter sahaja.

Kelihatan keranda yang dibalut dengan Jalur Gemilang itu disusun satu per satu, tidak bertindih dalam tiga barisan dengan sedikit jarak antara antara satu sama lain.

Cuaca sejuk mencecah 16 darjah Celcius dengan angin kuat tidak menghalang petugas media merakamkan detik bersejarah itu walaupun cuma dibenarkan berada di kawasan itu kira-kira 10 minit sahaja.

Terdapat kira-kira 20 petugas keselamatan yang dibantu pegawai lapangan terbang yang sangat mesra ketika proses rakaman pemeriksaan akhir pesawat itu dilakukan.

Sebaik sahaja selesai pemeriksaan, kelihatan wakil MAS dan pegawai kedutaan diserahkan beberapa kertas untuk tujuan formaliti proses sebelum mereka beredar dan keluar dari pesawat itu.

Tidak lama selepas itu, kumpulan anak kapal pesawat itu dilihat tiba dengan sebuah van sebelum menaiki pesawat itu.

Petugas media kemudian diarah meninggalkan kawasan itu memandangkan proses persediaan teknikal pelepasan pesawat akan bermula.

Pesawat itu dikendalikan Kapten Misman Leham bersama dua pembantu juruterbang iaitu Kapten Bakri Othman dan Kapten Zaim Khalid selain pegawai penerbangan Yap Yoon Kong.

Kira-kira pukul 3.40 petang Khamis (9.40 malam di Malaysia), pesawat akhirnya berlepas meninggalkan lapangan terbang yang dipenuhi ratusan pesawat antarabangsa itu ke Malaysia.

Seorang wakil MAS yang enggan dikenali memberitahu pesawat khas itu tidak akan menggunakan laluan seperti pesawat MH17 sebelum ini dan dijangka akan menggunakan laluan lain namun enggan mendedahkannya demi tujuan keselamatan.

Perjalanan terus tanpa henti itu akan mengambil masa kira-kira 12 jam menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - B

Sumber HD - 22-8-2014

Senarai nama 20 jenazah yang dibawa balik esok

BERNAMA | .

SEPANG: Kerajaan hari ini mengeluarkan senarai nama 20 jenazah mangsa tragedi MH17 warga Malaysia yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL untuk istiadat penghormatan esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kumpulan pertama jenazah yang akan dibawa pulang dari Amsterdam itu melibatkan 11 orang beragama Islam dan sembilan orang bukan Islam.

Jumlah itu melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal, katanya.

Anak kapal ialah Mastura Mustafa (P), Ahmad Hakimi Hanapi (L), Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (P), Nur Shazana Mohamed Salleh (P), Dora Shahila Kassim (P), Lee Hui Pin (P), Angeline Premila Rajandaran (P), Chong Yee Pheng (P) dan Azrina Yakob (P).

Penumpang pula ialah Foo Ming Lee (L), Karamjit Singh Karnail Singh (L), Ng Qing Zheng (L), Mabel Anthony Samy (P), Paul Rajasingam Sivagnanam (L), Elisabeth Ng Lyeti (P), Ariza Ghazalee (P), Muhammad Afif Tambi (L), Noor Rahimmah Mohd Nor (P), Mohd Ali Md Salim (L) dan Hasni Hardi Parlan (L).

"Daripada 20 jenazah itu, 17 akan diterima dalam keranda manakala tiga lagi mangsa dibawa dalam bekas abu iaitu Elizabeth Ng, Lee Hui Pin dan Angeline Premilla," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini, Khamis.

Sidang media bersama itu disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Hishammuddin berkata 13 jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah manakala tujuh lagi akan diterbangkan ke negeri masing-masing menggunakan pesawat C-130 dan helikopter EC725 milik Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata lima jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (dua jenazah) dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh (tiga jenazah) manakala dua lagi jenazah diterbangkan menggunakan helikopter EC725 ke Pagoh dan Segamat, Johor.

Hishammuddin berkata lapan lagi jenazah warga Malaysia sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat secara berperingkat.

"Kami sedang berusaha untuk membawa pulang kumpulan kedua jenazah pada Ahad ini," katanya.

Sementara itu, Liow berkata dua lagi mangsa warga Malaysia dalam tragedi pesawat MH17 telah dikenal pasti semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 30.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Hishammuddin berkata 13 jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah manakala tujuh lagi akan diterbangkan ke negeri masing-masing menggunakan pesawat C130 dan helikopter EC725 milik Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata lima jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat C130 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (dua jenazah) dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh (tiga jenazah) manakala dua lagi jenazah diterbangkan menggunakan helikopter EC 725 ke Pagoh dan Segamat, Johor.

Hishammuddin berkata lapan lagi jenazah warga Malaysia sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat secara berperingkat.

"Kami sedang berusaha untuk membawa pulang kumpulan kedua jenazah pada Ahad ini," katanya.

Sementara itu, Liow berkata dua lagi mangsa warga Malaysia dalam tragedi pesawat MH17 telah dikenal pasti semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 30.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu. - Bernama

Sumber HD - 21-8-2014


MH17: PAS sertai istiadat penghormatan jenazah

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS turut akan menyertai istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, yang akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 22 ogos ini.

Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, seluruh Ahli Parlimen PAS telah diarahkan untuk menyertai istiadat itu nanti.

"Saya telah mengarahkan seluruh ahli parlimen PAS khusnya yang berada di Lembah Klang untuk hadir dan bersama-sama memberikan penghormatan.

"Saya juga telah memaklumkan kepada PAS Pusat agar menghantar wakil rasmi parti ke majlis itu nanti," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Kumpulan pertama jenazah mangsa MH17 akan tiba pada Jumaat kira-kira 10 pagi dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat ke istiadat berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri serta keluarga mangsa.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Jumaat ini (22 Ogos) sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan kumpulan pertama jenazah mangsa nahas MH17 itu.

Dalam pada itu, Mahfuz juga mengarahkan seluruh PAS kawasan mengadakan bacaan surah Yasin dan tahlil pada Khamis malam Jumaat sempena mengambil keberkatan penghulu segala hari itu.

"Kita minta seluruh ahli kita juga agar membuat solat ghaib selepas solat Jumaat ini.

"Kita juga arahkan seluruh premis PAS termasuk pejabat PAS Kawasan, markas serta pusat khidmat untuk memasang bendera separuh tiang pada hari Jumaat," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal itu dipercayai ditembak jatuh, di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

- HARAKAHDAILY 20/8/2014

Sumber HD - 20-8-2014

MH17: Mayat mungkin tidak sempat sampai sebelum Aidilfitri

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berkata mayat warganegara Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, mungkin tidak dapat dibawa pulang sebelum sambutan Aidilfitri.

Perdana Menteri berkata ini disebabkan isu teknikal yang terlibat dalam proses pengesahan DNA.

"Saya rasa sedih kerana saya terpaksa memaklumkan perkara ini kepada keluarga berkenaan (tentang perkembangan ini)," katanya kepada pemberita selepas menandatangani buku takziah bagi memperingati 298 orang terbunuh dalam nahas pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai, di kediaman Duta Belanda di Malaysia, Harry Molenaar, di sini.

Najib berkata proses pengesahan identiti mangsa perlu dilakukan mengikut prosedur ketat, dengan mengambil kira bukti diperlukan bagi kemungkinan pendakwaan.

"Kita tidak dapat mengelak daripada proses rumit dan ketat ini. Ini bagi memenuhi keperluan dari segi teknikal dan undang-undang," katanya.

Perdana Menteri berkata keseluruhan proses itu dijangka "mengambil masa beberapa minggu atau malah beberapa bulan."

Seramai 43 warganegara Malaysia adalah antara 298 penumpang dan anak kapal MH17 berada dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila pesawat itu dipercayai ditembak jatuh di wilayah Donetsk.

Najib turut melahirkan rasa kesal kerana pasukan penyiasat antarabangsa masih tidak diberikan akses penuh ke kawasan kejadian.

"Saya marah kerana kami mahukan akses penuh (tetapi ini tidak berlaku).

Malangnya ia adalah kawasan zon perang, dan anda tahu bahawa di kawasan zon perang terdapat banyak sekatan yang pihak-pihak terlibat perlu hormati," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bincangkan perkara itu dengan Alexander Borodai, komander puak pemisah pro-Rusia di kawasan tempat pesawat itu terhempas, Najib berkata: "Tidak buat masa ini."

"Tetapi saya akan bercakap, mungkin dengan Presiden Ukraine Petro Poroshenko dan akan menyampaikannya kepada Borodai," kata Perdana Menteri sambil menyatakan beliau sedar akan sensitiviti yang terlibat.

Sementara itu, dalam buku takziah itu, Najib menulis beberapa baris ayat bagi menzahirkan rasa sedih dan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia kepada semua keluarga di Belanda yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi MH17.

"Kita turut merasai kesedihan dialami keluarga mangsa," katanya.

-- BERNAMA

Sumber HD - 24-7-2014


MH17: PAS gesa buat sambutan negara terhadap jenazah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan kepada pihak kerajaan Malaysia untuk membuat sambutan negara terhadap jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dengan insiden pesawat malang MH17 yang akan tiba ke negara ini.

Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sambutan rasmi negara itu bagi menzahirkan rasa penghormatan negara terhadap mangsa yang terlibat.

"Kita perlu menyambut mereka sebagai wira negara kita, kerana pemergian mereka satu kehilangan besar bagi negara dan kita semua.

"Mereka telah dibunuh secara kejam yang sama sekali tidak boleh diterima oleh kita semua.

"Sambutan ini juga sebagai tanda kita mengutuk serangan tidak bertamadun ke atas pesawat awam tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam kumpulan pertama mayat nahas MH17 tiba di Belanda dengan sambutan istiadat dan deretan orang ramai.

Tentera Belanda yang beruniform lengkap menerima 40 keranda kayu berisi mayat mangsa yang ditempatkan satu persatu di lapangan terbang Eindhoven di selatan negara itu dalam majlis penuh istiadat sebagai penghormatan terakhir dengan orang ramai berbaris di kiri dan kanan jalan.

Malaysia semalam turut mengadakan sidang parlimen khas dan membawa usul mengutuk serangan ke atas pesawat tersebut.

Malaysia juga menuntut keadilan ke atas insiden itu dengan pihak bertanggung jawab diheret ke muka pengadilan.

Kerajaan juga dalam usaha membawa pulang jenazah rakyat Malaysia untuk dikebumi di sini sebelum Aidilfitri. - HARAKAHDAILY 24/7/2014

Sumber HD - 24-7-2014


MH17: Sempurnakan jenazah mangsa sebelum raya

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini menggesa kerajaan memastikan tidak ada kuasa besar dunia melindungi mana-mana penjenayah serta menyulitkan siasatan yang dibuat pihak penyiasat terhadap insiden nahas membabitkan pesawat MH17.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melahirkan kebimbangan ketika membahas usul yang dibawa Perdana Menteri berhubung insiden tersebut apabila melihat situasi itu berlaku dalam penglibatan konflik antara dua kuasa besar dunia Rusia dan Ukraine.

"Kita belum dapat kepastian seperti mana yang disebutkan, walau ada kenyataan dari perisikan Amerika mengatakan ia melibatkan pihak pemisah dengan dokongan senjata dari Rusia.

"Namun dalam masa yang sama terdapat keterangan dari Rusia yang mengalih dan mengatakan tuduhan terhadap pihak Ukraine, kita sendiri belum dapat pastikan kebenarannya.

"Saya ingin menggesa agar kerajaan dalam situasi yang rumit ini untuk tidak memperlihatkan kebimbangan kita dengan tegas dan keras menggesa pihak yang tidak bertanggungjawab secara langsung ataupun tidak," jelas beliau.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga akan membuat pemantauan supaya Perdana Menteri dan kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mendesak pihak antarabangsa mengambil tindakan wajar mendedahkan pihak yang terlibat kerana jenayah ini bukan hanya menimpa negara ini tetapi turut terkesan di peringkat antarabangsa.

"Tindakan Perdana Menteri berunding dengan pihak pemisah tentunya mengundang kontroversi.

"Tetapi dalam hal ini saya memilih untuk memahami malah menyokong tindakan ini kerana saya rasa sikap mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab haruslah memilih untuk menjaga kepentingan rakyat yang terkorban.

"Saya tidak fikir ada jalan keluar yang mudah selain dari merujuk kepada pihak pemisah yang berkuasa di kawasan berkenaan.

"Tetapi satu hal yang sangat merunsingkan kita ialah apakah langkah yang perlu kita ambil untuk memastikan pihak bertanggungjawab itu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Apakah langkah yang perlu kita ambil untuk memastikan kalangan yang bertanggungjawab itu dibawa ke ICJ," sambung beliau.

Beliau turut berterima kasih kepada usaha Kerajaan Malaysia dan Belanda dalam menguruskan mayat-mayat rakyat negara ini yang terkorban bagi memastikan ia boleh dibawa pulang untuk diuruskan mengikut cara agama masing-masing.

"Saya harap benar pihak Belanda dan kerajaan dapat langkah ini dan rakyat Malaysia khususnya umat Islam dapat menyempurnakan jenazah keluarga mereka sebelum Hari Raya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh penderitaan yang dialami penduduk Gaza dan mengutuk tindakan ganas rejim Israel serta meminta dihentikan segera. - HARAKAHDAILY 23/7/2014

Sumber HD - 23-7-2014


YB DSAI - http://www.youtube.com/watch?v=jZp-_4bnpAs

PAS cadang MAS nilai sendiri keselamatan laluan

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: PAS menyarankan Syarikat penerbangan Malaysia, MAS perlu membuat penilaian sendiri berhubung laluan penerbangannya dan jangan hanya bergantung kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) semata-mata.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, pesawat MH17 masih melalui laluan Ukraine kerana ICAO memberi jaminan laluan itu selamat walhal negara tersebut sedang bergolak.

"Kita hanya bergantung kepada ICAO, tetapi disitu ada kawasan yang sedang berkonflik dan keadaan yang tidak tenang.

"Sama ada MAS atau Air Asia seharusnya ada penilaian sendiri. Kita juga tidak boleh bersandarkan kepada negara lain untuk laluan tersebut. Negara lain sudah alih laluan tersebut kerana tidak selamat," katanya.

Bahkan beliau juga mempersoalkan apakah kedutaan negara Malaysia di negara itu diletakkan bersama wakil pertahanan agar diberi gambaran serius keadaan konflik yang sedang berlaku.

"Saya bimbang laluan MAS Kuala Lumpur ke London yang melalui ruang udara Syria juga sedang bergolak.

"Saya tidak tahu laluan itu selamat atau tidak sebab ICAO kata ia selamat. Kita kena buat penilaian sendiri. Kalau berlaku di Syria?" katanya melontar persoalan.

Beliau turut menyarankan kerajaan agar melihat perkara ini kerana ia sangat penting untuk memastikan tregedi MH17 tidak berulang demi keselamatan pesawat awam negara.

Berucap ketika membahaskan usul Tragedi Malang MH17, Mahfuz berkata insiden kedua-dua pesawat MAS MH370 dan MH17 adalah sebagai proses untuk Malaysia bermuhasabah serta mencari kelemahan dan kesilapan sepatutnya.

"Tragedi MH370 jelas ianya adalah kelemahan kita dari segi bacaan radar yang tidak berkesan. Begitu juga dengan MH17 penerbangan dilaluan betul tetapi selepas berlaku peristiwa 17 julai, kita boleh ubah laluan selepas Ukraine tutup ruang udaranya," katanya.

Mahfuz menyifatkan kejadian yang menimpa MH370 dan kemudian MH17 sebagai tregedi bersiri dan tidak mahu ianya berulang lagi. - HARAKAHDAILY 23/7/2014

YB DMO - http://www.youtube.com/watch?v=h8BXemxPPaU

Sumber HD - 23-7-2014

PAS gesa kerajaan sedia pasukan peguam terbaik

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mencadangkan agar kerajaan menyediakan pasukan peguam terbaik dalam mengumpul maklumat dan membawanya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi ketika membaca usul bagi sidang Parlimen Khas meminta agar Peguam Negara mengumpulkan segala bukti dan maklumat bagi tindakan lanjut.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar ketika membahaskan usul tersebut memberitahu kerajaan perlu memastikan persiapan dikendalikan oleh barisan peguam yang terbaik dari pihak kerajaan dan juga pembangkang.

"Terlalu banyak kes yang tidak menyebelahi negara ini apabila ia dikendalikan Peguam Negara, lihat bagaimana kehilangan Pulau Batu Putih sebelum ini.

"Kita tidak mahu ia berulang lagi, kerajaan perlu pastikan kita mempunyai barisan peguam terbaik untuk mewakili negara ini," jelas beliau.

Beliau yang turut membawa amanah Presiden PAS kerana tidak dapat hadir atas faktor kesihatan turut menyokong usul yang dibawa Perdana Menteri.

"Mewakili PAS mengucapkan takziah kepada 298 orang mangsa akibat kekejaman anti kemanusiaan yang telah berlaku kepada penumpang dan anak kapal MH17.

"Ini merupakan satu tragedi mengejutkan yang berlaku kepada masyarakat dunia," sambung beliau.

Kamarudin turut memberitahu bahawa Pakatan Rakyat sentiasa bersama-sama kerajaan dalam insiden ini bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

"Sokongan kita ini ikhlas kepada apa yang diambil oleh kerajaan, apa-apa teguran dengan semangat politik ia adalah bagi memastikan tidak berulang pada masa akan datang.

"Insiden ini ada kena mengena dengan politik antarabangsa, ia turut melibatkan hal-hal berkaitan dengan maruah negara kita.

"Walaupun negara kita kecil tetapi kita mesti menyuarakan keberanian kita di peringkat antarabangsa agar keadilan terhadap insiden ini dapat kita perolehi," kata beliau lagi.

Beliau yang turut meminta agar masyarakat dunia mengutuk keras kekejaman yang berlaku terhadap insiden tersebut sebagai satu jenayah antarabangsa.

"Kalaulah pesawat itu milik Amerika dan ditembak oleh perjuang Islam, maka seluruh dunia akan mengutuk kata Islam itu pengganas.

"Dalam hal ini kita tidak mahu masyarakat dunia berdiam diri, mereka perlu tampil mengutuk keras apa yang berlaku, tidak kira siapa lakukan dalam hal ini kita kena bersatu dalam mencari penyelesaian," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar kerajaan memanggil duta-duta negara yang terlibat untuk tampil memberi penjelasan. - HARAKAHDAILY 23/7/2014

YB DKJ - http://www.youtube.com/watch?v=9d-3fb_Ku7c

YB HSZMY -
http://www.youtube.com/watch?v=KuUhfezZQmQ

Sumber HD - 23-7-2014


Dewan Rakyat rakam takziah kepada keluarga MH17

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen daripada kedua-dua belah pihak pada Rabu menunjukkan kesatuan berhubung tragedi Penerbangan MH17 apabila mereka berdiri dan bertafakur selama seminit untuk mengenang mangsa sebelum bermulanya persidangan khas Parlimen di sini.

Bagi anggota Parlimen yang beragama Islam pula, mereka mengiringinya dengan bacaan al-Fatihah.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mewakili anggota dewan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines itu yang dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine Khamis lalu.

Pandikar Amin berkata negara menerima perkhabaran yang amat menyedihkan dan berharap keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu tabah serta cekal menerima takdir yang ditentukan.

"Pada Khamis 17 Julai, negara dikejutkan dengan tragedi malang MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

"Saya dan semua anggota Dewan Rakyat bersedih dengan insiden tersebut. Seluruh Dewan Rakyat mendoakan dan berharap agar semua usaha mencari dan membawa pulang mangsa akan dipermudahkan," katanya.

Pandikar kemudian meminta anggota Parlimen berdiri dan menghadiahkan al-Fatihah atau bertafakur selama seminit bagi bukan Islam.

Pesawat jenis Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dilapor terhempas Khamis lalu di Donetsk, wilayah yang dikuasai pemberontak Ukraine tidak jauh dari sempadan Rusia.

-- BERNAMA

Speaker DR - 
https://www.youtube.com/watch?v=Ie9D3OiRK8w

Sumber HD - 23-7-2014


9 MP Pakatan, 12 BN akan bahas usul MH17

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Sembilan ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat dan 12 Barisan Nasional akan mengambil bahagian membahaskan usul yang dibawa Perdana Menteri berhubung tragedi pesawat MH17 pada persidangan Parlimen Khas hari ini.

Menteri di Jabatan Pedana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang ditemubual RTM memberitahu setiap pembahas akan mewakili parti masing-masing.

"Penggulungan dijangkakan akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri pada jam 4 petang dan selepas penggulungan itu maka sesi sidang parlimen khas akan berakhir.

"Sebelum penggulungan itu jika kita masih ada masa, kita akan memberikan kepada wakil pembangkang untuk berucap," katanya.

Wakil PAS yang akan mengambil bahagian ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

Pesawat MH17 yang membawa penumpang seramai 283 orang bersama 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak dan terhempas di Donestk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lalu. - HARAKAHDAILY 23/7/2014

Sumber HD - 23-7-2014


Sidang khas MH17: Tiga wakil PAS sedia berbahas

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS menyediakan tiga orang pembahas pada sidang Parlimen Khas yang akan berlangsung esok bagi membincangkan insiden membabitkan nahas pesawat MAS MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di sempadan Ukraine Rusia pada 17 Julai lalu.

Ketua Whip Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, kelaziman parlimen hanya memberi peluang tidak kurang dua orang wakil bagi setiap parti untuk berbahas, namun PAS tetap menyediakan tiga nama bagi tujuan tersebut.

"Kita tidak dimaklumkan berapa orang wakil yang dibenarkan untuk berbahas untuk setiap parti dan berapa lama masa diperuntukkan sepanjang sidang bermula 10 pagi hingga 5.30 petang itu.

"Namun kita menyediakan tiga nama iaitu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar mewakili Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff yang mewakili Muslimat dan termasuk saya sendiri yang mewakili Presiden PAS yang tidak dapat hadir," jelasnya.

Menurut Mahfuz, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir kerana faktor kesihatan beliau yang masih belum mengizinkan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, isu perbahasan dijangka lebih terfokus kepada insiden membabitkan MH17 termasuk dasar luar dan juga percaturan politik peringkat antarabangsa.

"Kita akan tekankan hubungan antara Malaysia-Rusia dan Ukraine, dan apa yang kita perlu lakukan.

"Selain itu kita juga akan selitkan isu yang berlaku di Gaza sekarang kerana itu turut membabitkan isu kemanusiaan sejagat," sambung beliau.

Sementara itu, sidang Parlimen Khas bagi membincangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap pesawat MH17 itu akan disiarkan secara langsung di TV1 esok mulai jam 10 pagi.

Perkara itu dijelaskan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu kenyataan.

Pesawat MH17 yang membawa penumpang seramai 283 orang bersama 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu telah terhempas di Donestk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia dipercayai ditembak. - HARAKAHDAILY 22/7/2014

Sumber HD - 22-7-2014


Tragedi MH17: Parlimen juga perlu bincang isu Gaza

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa usul berhubung konflik di Gaza dapat dibahaskan sekali dalam persidangan Parlimen tergempar berkenaan tragedi MH17.

Beliau berkata, Gaza juga adalah satu lagi tragedi kemanusiaan yang memerlukan perhatian pihak antarabangsa.

Katanya, Malaysia perlu memperlihatkan ketegasan dalam isu keadilan, keamanan dan hak kemanusiaan terutama negara adalah calon kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) sudah lama mahu membawa usul itu, namun tidak dilayan kerajaan.

"Konflik di Gaza sehingga kini meragut ratusan nyawa termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Selangor Kini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat MH17, pada 17 Julai lalu.

Pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dilaporkan ditembak jatuh di Timur Ukraine.

Sumber HD - 19-7-2014

Sidang Parlimen Khas, PAS arah semua hadir

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan semua ahli parlimen mereka wajib hadir pada sidang Parlimen Khas mengenai nahas pesawat MAS MH17 yang akan diadakan pada 23 Julai nanti.


Berkata pada Harakahdaily, Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menyambut baik cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincang dan mencari jalan penyelesaian atas insiden yang berlaku.

Beliau turut berharap ia akan menjadikan satu permulaan dan amalan yang baik ada sidang sedemikian diadakan pada masa akan datang untuk membincangkan topik-topik yang berlaku di peringkat negara mahupun antarabangsa.

"Saya menyambut baik cadangan kerajaan yang akan menanggil sidang parlimen khas bagi membincangkan insiden MH17 yang djadualkan pada 23 Julai nanti.

"Ini yang dituntut oleh PAS khususnya Pakatan Rakyat supaya sidang khas diadakan bagi kita membincangkan serta memberi pendapat dalam pelbagai isu terutama membabitkan kepentingan awam," jelasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu meminta agar sidang khas ini tidak menjadi sidang kali pertama dan terakhir kerana perbincangan yang dilakukan di parlimen akan dapat mencari penyelesaian terbaik.

"Sebelum ini sudah banyak kali kita cadangan tetapi kerajaan tidak bersedia, saya harap ini bukan kali pertama dan terakhir.

"Ia perlu dijadikan amalan dan budaya dalam negara ini, seperti isu di Gaza sepatutnya sidang khas diadakan kerana ia membabitkan hal kemanusiaan sejagat serta tanda keperihatinan kita," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut mengarahkan agar semua pejabat dan kompleks PAS di seluruh negara mengibar bendera separuh tiang sebagai tanda simpati kepada nahas tersebut.

Sebelum itu, beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah bersama Timbalan Pesuruhjaya Datuk Dr Ismail Salleh, Setiausaha Perhubungan PAS Kedah Musadak Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Kedah Sanusi Md Noor telah menurunkan bendera separuh tiang di Kompleks PAS Negeri Kedah di Batu 9 Jalan Kota Sarang Semut sebentar tadi. - HARAKAHDAILY 19/7/2014

Sumber HD - 19-7-2014

No comments:

Post a Comment