BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Thursday, July 10, 2014

IHYA RAMADHAN DAN TAZKIRAH


Persediaan menyambut bulan Ramadhan

RAMADHAN yang penuh barakah dan bulan yang dikenali sebagai madrasah untuk mengubah umat Islam menjadi umat yang lebih baik dan lebih berjaya lagi. Objektif kedatangan bulan ramadhan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun melaksanakan ibadah kepada Allah. Dalam Bulan Ramadhan disediakan berbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya. Di antara ibadah yang disediakan ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, qiyamullail, Malam Lailatul Qadar dan sebagainya. 
Rebutlah ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita semua untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam Bulan Ramadhan ini. Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadhan akan datang. 
Pada masa zaman Rasulullah dan para sahabat mereka sangat menanti dan merindui kedatangan Ramadhan. Rasulullah menyambut Bulan Ramadhan dengan mendoakan “Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Apabila tiba sahaja Ramadhan mereka tidak melepaskan peluang ini. 
Mereka lakukan segala ibadah dengan penuh kegembiraan dan keseronokkan. Apabila akhir Ramadhan mereka menanggis kerana mereka takut mereka tidak dapat menyambut Ramadhan pada tahun akan datang. 
Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya pada akhir Bulan Syaaban. Alasan yang jelas mengapa ini dilakukan oleh Baginda ialah bahawa Baginda mahu menjelaskan ke dalam fikiran kita tentang kepentingan Ramadhan yang mendatang supaya kita sedar dan tidak akan membiarkan walaupun seketika berlalu tanpa memperoleh manfaat daripadanya. Selepas menyatakan keutamaan-keutamaan bulan ini, perhatian kita terfokus ke arah beberapa perkara yang penting. Pertama Lailatul Qadar iaitu satu malam yang sangat berharga. 
Antara persiapan yang perlu ada kepada kita semua untuk menyambut Ramadhan supaya Ramadhan tidak terlepas begitu sahaja ialah seperti berikut: 
1.Persiapan Rohani penting kepada kita semua, untuk melaksanakan segala ibadah yang ada dalam bulan Ramadhan ini perlu mempunyai keikhlasan hati dan tidak mengeluh kesah kerana tidak dapat menikmati makanan pada siang hari dan tidak merunggut kelaparan ketika berpuasa.
2.Ilmu tentang ibadah yang terdapat dalam bulan Ramadhan kena dipelajari oleh kita semua, kefahaman tentang ibadah Bulan Ramadhan ini akan menyebabkan kita mudah melaksanakannya tanpa menghadapi masalah. 
3.Fizikal penting dalam melaksanakan ibadah puasa, sebab orang sakit dalam bulan puasa tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan ia terlepas dari segala hikmah yang terdapat dalam bulan puasa. Badan sihat juga mudah untuk melaksanakan ibadah Solat Tarawih, mudah untuk membaca al-Quran dan sebagainya. 
4.Ekonomi juga penting dalam bulan puasa. Orang yang berkemampuan perbanyakkanlah sedekah kepada orang yang tidak berkemampuan. Kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Memiliki ekonomi juga dapat membuatkan seseorang itu mudah ke masjid untuk melaksanakan ibadah Bulan Ramadhan.Pastikan segala apa yang kita lakukan walaupun pekerjaan harian kita sekalipun menjadi ibadah dan kita dikurniakan ganjaran yang sangat besar dan baik dari Allah kerana tidak melepaskan peluang ibadah dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini. – HARAKAHDAILY 12/4/2017 
Penulis ialah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia
Sumber HD - 12-4-2017

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 

Catatan Ramadhan 4: Kenapa Disambut Nuzul al-Quran 17 Ramadhan Sedangkan al-Quran Turun Pada Malam al-Qadar

Oleh : Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Semalam adalah 17 Ramadhan, umat Islam di Malaysia memperingati peristiwa Nuzul al-Quran atau Penurunan al-Quran ke atas baginda saw.

2. Ada yang tertanya-tanya; kenapa peristiwa itu disambut pada 17 Ramadhan sedangkan al-Quran menceritakan dalam surah al-Qadar bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar sedang malam al-Qadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadhan?

3. Jawapannya ialah peristiwa Nuzul al-Quran itu sebenarnya merujuk kepada penurunan al-Quran untuk pertama kali ke atas baginda saw iaitu peristiwa baginda saw didatangi Jibril di gua Hira’ lalu diwahyukan 5 ayat pertama daripada surah al-‘Alaq.

4. Para Ulamak berbeza pandangan tentang tarikh peristiwa itu berlaku antara 17, 21 dan 24 Ramadhan.

5. Menurut Imam Ibnu Kathir dalam _Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah_ nukilan daripada al-Waqidi daripada Abi Ja’far al-Baqir bahawa *”permulaan wahyu berlaku pada hari isnin 17 Ramadhan. Ada pendapat menyatakan ia berlaku pada 24 Ramadhan.”*

6. Syeikh al-Mubaarakfuri antara ulamak kontemporari membuat kajian semula dan berpandangan ia jatuh pada 21 Ramadhan.

7. Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhuma dalam hadis riwayat Imam Ahmad ia berlaku pada usia Baginda saw 40 tahun.

8. Setelah itu, ayat-ayat al-Quran turun sedikit demi sedikit sehingga lengkap kesemuanya dalam tempoh 23 tahun baginda menjadi Nabi.

9. Ayat paling akhir turun 9 malam sebelum kewafatan baginda saw sebagaimana riwayat Nasaei dan Ibnu Abi Haatim ialah ayat 281 surah al-Baqarah

وَاتَّقُوا يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ

10. Adapun peristiwa Nuzul al-Quran yang dirujuk oleh surah al-Qadar ayat pertama :

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

yang bermaksud “sesungguhnya Kami turunkan ia pada malam al-Qadar”, ia merujuk kepada peristiwa al-Quran turun sepenuhnya sekaligus dari *Lauh Mahfuz ke Baitil Izzah di langit dunia* pada malam al-Qadar pada bulan Ramadhan sebelum baginda saw mendapat wahyu yang pertama daripada Jibril.

11. Perkara ini diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Ibnu Abbas radiyallahu anhuma sebagaimana hadis riwayat Nasaei, Abu ‘Ubaid, al-Hakim dan Ibnu Abi Syaibah dengan isnad yang Sahih. Imam Sayuti menyebut bahawa Imam Ibnu Kathir telah meriwayatkan ijmak sepakat ulamak dalam perkara itu.

Sumber BO - 23-6-2016







Catatan Ramadhan 3; Istighfar Menambah Rezeki dan Barakah Hidup


Allah berfirman menceritakan ungkapan Nabi Nuh alaihissalam;

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا

_”Lalu aku katakan; mohonlah keampunan daripada Rabb kamu kerana sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia utuskan langit menurunkan hujan ke atas kamu dengan mencurah-curah, Dia hulurkan kepada kamu harta-benda dan anak pinak, Dia jadikan untuk kamu kebun-kebun dan Dia jadikan untuk kamu sungai-sungai”_
(Surah Nuh 71: 10-12)

Menurut Syeikh Ibnu ‘Aasyur, ayat ini merupakan dalil bahawa Allah Taala memberi ganjaran kepada hamba-Nya yang soleh dan taat dengan kehidupan yang baik di dunia.

Syeikh Tantawi dalam al-Wasit meriwayatkan cerita Hasan Basri yang ditanya oleh 3 orang penyelesaian 3 masalah berlainan iaitu kemiskinan, kemarau panjang dan keturunan yang sedikit. Beliau menasihatkan kepada mereka bertiga untuk beristighfar. Apabila ditanya kenapa penyelesaian yang sama bagi 3 masalah beliau lantas membacakan ayat di atas.

Maksiat menjadi antara sebab bala dan ujian musibah maka *Istighfar* memohon keampunan menjadi sebab untuk dilepaskan daripada bala bencana dan dikurniakan pula limpahan rezki yang barakah.

Moga kita tergolong di kalangan mereka yang sentiasa beristighfar.

Sekian.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Isnin 20hb Jun 2016 / 15 Ramadhan 1437 H
Masjid Nabawi, Madinah Munawwarah jam 12.30 tghri
www.drtakiri.blogspot.com

Sumber BO - 21-6-2016

Kelebihan istighfar di waktu sahur

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .



http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/41632-kelebihan-istighfar-di-waktu-sahur

Allah berfirman menjelaskan sifat orang-orang bertaqwa: menjadi milik orang-orang bertaqwa di sisi Rab mereka syurga-syurga...) iaitu mereka yang berdoa; "wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah beriman maka ampunilah untuk kami dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka", mereka yang sabar, mereka yang mengesahkan kebenaran, mereka yang patuh, mereka yang membelanjakan harta (di jalan Allah) dan mereka yang beristighfar di waktu sahur". (Surah Aali 'Imran 3: 16-17)

Kata Imam Ibnu Kathir (hidup antara 701-774H), ayat ini menunjukkan kelebihan beristighfar memohon keampunan daripada Allah pada waktu sahur.

Waktu sahur merujuk kepada waktu 1/6 terakhir malam atau lebih kurang 2 jam terakhir sebelum subuh.

Dalam surah al-Zaariyaat, Allah menyifatkan orang-orang bertaqwa sebagai orang yang menghidupkan malam dengan bertahajjud dan apabila tiba waktu sahur mereka mula beristighfar kerana melihatkan kedudukan amalan mereka.

"Adalah mereka hanya sedikit daripada malam mereka tidur dan di waktu sahur mereka sentiasa beristighfar." (Surah al-Zaariyaat 51: 17-18)

Menurut Anas bin Malik radiyallahu anhu, ayat tersebut mengajar kita beristighfar 70 kali pada waktu sahur.

Moga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang menghidupkan waktu sahur dengan beristighfar.

Sumber HD - 20-6-2016











Puasa dengan penuh penghayatan

NASRUDIN HASSAN | .


Ibadah puasa jangan sekadar lapar dan dahaga. Tapi hayatilah pengertian ibadah puasa ini sehalusnya. Para pejuang mesti capai standard ini. Sangat tidak wajar bagi seorang pejuang Islam, tapi puasanya seperti orang yang baru masuk Islam.

Amati sabda Rasulullah SAW: Daripada Abi Hurairah rha. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْماَناً و احْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penghayatan, nescaya diampunkan oleh Allah swt  akan dosanya yang terdahulu. (Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

Seorang pejuang Islam memerlukan keampunan daripada Allah SWT. Pejuang tidak boleh turun ke medan dakwah dan jihad amal Islami dengan menggalas berat beban bagasi dosa yang tidak terampun oleh Allah swt.

Dosa yang banyak akan membuatkan pandangan seorang pejuang itu menjadi tumpul. Bicaranya hambar. Jiwanya kacau dan tindakannya tidak berkesan. Gerak kerjanya tiada keberkatan. Doanya tidak mustajab dan wajahnya hilang cahaya.

Pejuang Islam mesti bebaskan diri dari belenggu dosa yang bakal menjadi penebat turunnya nusrah atau pertolongan daripada Allah SWT terhadap perjuangan ini.

Salah satu cara membebaskan diri dari karat dosa ini ialah kita berpuasa di bulan Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan penghayatan. - HARAKAHDAILY 13/6/2016

Sumber HD - 13-6-2016

Memburu ganjaran: 2 ibadah tiada tandingan











NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .


Tazkirah Ramadhan (6)

Jika anda bertekad untuk berlumba memburu kelebihan dan ganjaran besar di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, maka ketahuilah bahawa sanya ada dua ibadah yang tiada tandingan baginya oleh segala ibadah yang lain. Ia adalah ibadah solat 5 waktu dan ibadah puasa.

Itulah dua kefardhuan dan persembahan yang paling disukai oleh Allah daripada setiap hamba-Nya.

Setiap hari sepanjang tahun, kewajiban kita adalah menunaikan solat 5 waktu. Tatkala bulan Ramadhan menjelma, Allah mahukan kebaikan berganda buat para hamba-Nya yang soleh dengan memfardhukan ibadah puasa yang penuh hikmat sepanjang hari beriringan dengan solat 5 waktu.

Justeru ketahuilah bahawa peluh yang gugur dek merentas kepanasan mentari atau kesejukan yang mencengkam diri di kedinginan subuh menuju solat berjamaah di masjid adalah lebih besar timbangannya di sisi Allah daripada air mata yang gugur pada malam hari saat menunaikan solat qiam al-lail.

Begitu juga seharian puasa Ramadhan di musim sejuk yang tidak meletihkan dan melaparkan adalah lebih besar pahalanya berbanding berpuasa sunat dalam tempoh yang panjang dan kedahagaan yang melampau.

Beriktibarlah bahawa bulan Ramadhanlah sebaik-baik masa untuk mengislahkan kembali solat kita agar bertambah khusyuk dan nafsu kita agar menjadi suci lalu membenci kejahatan dan kefasiqan.

Kemudian, kewajiban menunaikan zakat fitrah pada bulan Ramadhan (sebaik-sebaiknya pada malam atau pagi sebelum solat hari raya) adalah mengiringi kebesaran ganjaran ibadah solat 5 waktu dan puasa. Maka tunaikanlah zakat fitrah dengan penuh keikhlasan kepada-Nya.

Oleh kerana antara hikmat terbesar berpuasa pada bulan Ramadhan adalah agar diinsafi kehidupan orang-orang miskin, maka memberi makan dan menginfaqkan harta kepada mereka adalah menjadi sebaik-baik ibadah sunat di bulan Ramadhan.

Maka tiadalah sebarang kebaikan kepada orang yang bakhil pada bulan Ramadhan. Bagaimana boleh si bakhil menuntut Allah bersifat pemurah dengan kurniaan pahala berganda-ganda kepadanya? - HARAKAHDAILY 9/6/2016

Sumber HD - 9-6-2016










Puasa: Jalan menuju taqwa secara intensif

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .


Tazkirah Ramadhan (5)

قال الإمام ابن القيم:

والصائم هو الذي صامت جوارحه عن الآثام ، ولسانه عن الكذب والفحش وقول الزور ، وبطنه عن الطعام والشراب ، وفرجه عن الرفث.

الوابل الصيب [٤٣]

Berkata al Imam Ibn al Qayyim: Orang yang berpuasa ialah orang yang mendiamkan anggota tubuhnya daripada segala dosa, lidahnya daripada bercakap bohong, kotor serta palsu, perutnya daripada makanan dan minuman serta kemaluannya daripada keberahian.

Keterangan:

Ketahuilah bahawa ibadah puasa itu adalah jalan atau alat menuju taqwa secara intensif tetapi mudah (ولا يريد بكم العسر).
Jikalah menahan lidah dan anggota tubuh daripada melakukan kesalahan dan dosa itu dijadikan salah satu 'rukun' puasa sebagaimana menahan perut daripada makan dan minum, sudah pasti tiada siapa pun yang mampu berpuasa kecuali sedikit sekali.

Justeru demi kemudahan buat hamba-Nya, menjaga lidah dan anggota tubuh daripada melakukan dosa adalah menjadi syarat (bukan rukun) kesempurnaan puasa. Ia agar perlumbaan mengejar ketinggian darjat taqwa itu berterusan dan tidak terhenti pada menahan diri daripada makan dan minum sahaja (darjat paling rendah).

Beriktibarlah bahawa lebih mudah mengawal keburukan luar (makan dan minum) masuk ke dalam diri lalu merosakkannya daripada menahan keburukan dalam diri (bohong, syahwat, kotor) keluar lalu merosakkan orang lain. Justeru janganlah diri anda menjadi sarang segala kerosakan.

Bersihkan diri dan bertaqwalah. Ia sebaik-baik bekalan di dalam diri dan perjalanan menuju Allah.

Sumber HD - 8-6-2016










Tazkirah Ramadhan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Maha suci Allah, zat yang esa yang memiliki segala kesempurnaan dan mustahil dicalar walau secalit kekurangan. Dia-lah yang selayaknya disembah.

Bermula keagungan Allah adalah pada wujud-Nya. Wujud-Nya adalah tanpa tiada, tidak pernah tiada, sedangkan yang selain-Nya, wujud mereka bermula dengan tiada.

Sesuatu yang tiada mustahil dapat mengadakan dan melahirkan sesuatu kepada ada. Bagaimana boleh digambarkan seorang anak lahir tanpa ibu atau kereta tercipta tanpa perekanya? 'Ada'-lah yang menciptakan 'tiada' kepada ada, sedangkan mustahil 'tiada' menciptakan tiada kepada ada.

Daripada ayam wujudlah telur dan daripada telur wujudlah ayam. Justeru siapakah yang memulakan wujud telur dan ayam?

Tiada di alam ini kecuali berasal daripada tiada. Adanya kini adalah kerana adanya sesuatu yang lebih awal daripadanya, lalu menciptakannya. Itulah zat pertama yang wajib ada. Itulah Allah, zat yang wajib wujud dan pemilik segala kewujudan.

Justeru Allah itu ada yang tidak pernah tiada. Dia-lah yang pertama. Dia-lah yang satu dan terawal yang mewujudkan ada, yang memulakan sesuatu daripada tiada, yang menciptakan segala yang ada dan yang juga meniadakan yang ada.

Tak terkata, betapa kekufuran terhadap Allah adalah seburuk-buruk perbuatan dan paling terkutuk. Manakala beriman wujudnya Allah adalah makna dan ibu segala kebenaran dan kebahagiaan hidup.

Mari bersyukur bahawa setiap muslim telah memulakan langkah dalam hidup ini dengan benar dan asli.

Puji-pujian bagi Allah yang telah memberi hidayat kepada kita dengan Islam.

Sumber HD - 7-6-2016

Ikimfm sekali lagi terbit drama khas Ramadan













HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikimfm) bersama Islamic Relief Malaysia tahun ini sekali lagi bakal menerbitkan drama khas Ramadan.

"Tahun ini merupakan tahun keempat Ikimfm menerbitkan drama khas yang telah mendapat sambutan luar biasa di kalangan pendengar radio Ikimfm sepanjang penerbitannya setiap tahun," ujar Pengarah Pusat Media Ikim, Dr Nik Roskiman Abdul Samad, baru-baru ini.

Katanya, drama yang ditulis Maizura Mohd Ederis itu akan disiarkan sebanyak 20 episod bermula 6 Jun hingga 1 Julai setiap Isnin hingga Jumaat jam 4.15 petang yang diterbitkan oleh Nik Hasnah Ismail.

Tambahnya, drama khas itu sarat dengan mesej pengajaran bagi membina sudut pandang positif dan nilai Islam dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Drama bertajuk Seteguh Kasih Ramadan yang mengangkat tema kekeluargaan dan hubungan sejagat sesama manusia itu dijayakan oleh Fizz Fairuz, Yatt Hamzah dan Irma Hasmi di samping penyampai Ikimfm sebagai pelakon pembantu.

Drama itu mengisahkan Azman (Fizz Fairuz) melalui kegagalan dalam kerjaya dan perkahwinan kerana isterinya, Darina (Yatt Hamzah) tidak dapat menerima kehidupan mereka yang sering diuji dengan masalah kewangan.

Lalu Azman pulang ke kampungnya di Kuala Selangor untuk membina hidup baru kerana yakin akan membawa kejayaan kepada dia dan dua anaknya.

Dalam 'kekalahan' yang dihadapi itu hanya kepada Allah tempat dia mengadu dan menggantung harap.

Kehadiran Sakinah (Irma Hasmi) seperti memberi sinar baharu untuknya meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anaknya yang dahagakan kasih sayang seorang ibu. - HARAKAHDAILY 23/5/2016

Sumber HD - 23-5-2016



TAZKIRAH KETUA PEMUDA PAS TERENGGANU DI MYBAZAR

Sedang berlangsung, Tazkirah Zohor oleh Ust Kamaruzaman Abdullah, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu.



Sumber HD - 7-7-2015

tazkirah ramadhan di mybazaar harakah

InsyaAllah... Tazkirah Ramadhan di Galeri MyHarakah Bazaar setiap Isnin hingga Khamis, 12.30 Tghri sepanjang bulan Ramadhan. Semua dijemput hadir.




Sumber FBHD - 22-6-2015

Tadabbur Ringkas Quran 22; Bacaan Tiga Minit

Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah

Juzuk ke-11 masih lagi dalam surah at-Taubah. Golongan munafik bersegera mengadap rasulullah sebaik sahaja rasulullah pulang dari Perang Tabuk. Mereka memberikan pelbagai alasan berserta sumpah dengan nama Allah. Tetapi sebenarnya rasulullah telah mengetahui cerita disebaliknya.

Maka rasulullah diperintahkan oleh Allah untuk menolak semua alasan mereka dan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan diterima lagi untuk menyertai pasukan tentera Islam. Dan tempat mereka ialah neraka jahannam. Dalam golongan munafik itu, termasuklah juga kaum A’arab iaitu badawi yang lebih jahil dari golongan lain. Kriteria mereka juga sama. Tetapi ada juga orang-orang A’arab ini beriman kepada Allah.

Allah mengisytiharkan keredhaanNya ke atas dua golongan iaitu Kaum Muhajirin dan Ansaar kerana keredhaan mereka kepada Allah dan jasa-jasa mereka kepada membantu rasulullah menegakkan agama Allah. Bagi golongan yang berdosa, Allah menyuruh rasulullah mengambil zakat dari mereka agar dengan zakat dan sedekah itu, akan menjadi asbab keampunan Allah ke atas mereka. Kerana hanya Allah lah yang menerima taubat. Dikisahkan juga ada beberapa orang sahabat yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka oleh Allah. Mereka dipulaukan kerana tidak turut serta berperang sedang mereka dalam keadaan sihat.

Masjid Dhirar, adalah satu masjid yang didirikan oleh orang-orang munafik bagi tujuan memecah belahkan kesatuan umat Islam serta juga menajdi pusat intipan bagi pihak musuh. Pun begitu, mereka tetap menyatakan bahawa masjid mereka itu hanyalah untuk mencari kebaikan sedang Allah mengetahui isi hati mereka. Maka Allah mengangkat Masjid Qubaa’ sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa kepada Allah yang telah dibina pada hari-hari awal rasulullah sampai di Madinah serta juga Allah memuji jemaahnya dan Allah melarang rasulullah bersolat selama-lamanya di Masjid Dhirar. Maka Masjid Dhirar itu diruntuhkan dan golongan munafik sekali lagi kecewa kerana rancangan mereka tidak menjadi kenyataan.

Orang-orang beriman berjual beli dengan Allah samada menggunakan harta mereka ataupun nyawa mereka sebagai barangan jualan. Allah membeli jualan mereka kerana keikhlasan mereka berjuang di jalan Allah. Ini telah dinyatakan dalam kitab-kitab terdahulu iaitu Injil dan Taurat dan jual beli inilah yang memberikan kuntungan yang sangat besar kepada orang-orang yang diterima jualan mereka oleh Allah. Ciri mereka ialah sentiasa bertaubat, beribadat, memuji kepada Allah, menuntut ilmu, bersolat, mengamalkan amar ma’ruf nahi mungkar.

Dalam surah ini juga ada terdapat larangan meminta keampunan kepada orang-orang musyrik, walaupun mereka dari kalangan kaum kerabat kita. Sehinggakan nabi Ibrahim sendiri berlepas diri atas kemusyrikan bapanya setelah lama berharap agar ayahnya diampunkan. Allah berikan pedoman kepada semua manusia agar manusia memilih baik buruk sesuatu perkara. Akan tetapi manusialah yang memilih keburukan kerana menolak keterangan Allah.

Kaum Muhajirin dan Ansaar pernah suatu ketika bergoncang keimanan mereka bila diuji Allah dan hampir terpesong hati mereka dari menuruti rasulullah, tetapi mereka bertaubat dan Allah menerima taubat mereka. Begitu juga kisah tiga orang sahabat yang tidak turut serta dalam perang Tabuk, mereka dipulaukan sehinggakan Kaab Bin Malik, isterinya juga diperintahkan meninggalkan dia keseorangan yang menyebabkan mereka merasakan dunia ini amat sempit bagi mereka. Dan setelah lama bertaubat, maka Allah menerima taubat mereka. Allah menegaskan bahawa rasulullah sepatutnya ditemani oleh orang-orang Madinah jika pergi berperang kerana segala pengorbanan mereka dalam melawan pihak kuffar, akan dicatat sebagai amalan soleh oleh Allah dan akan dibalas dengan hal yang lebih baik.

Tetapi dalam berperang itu, tidaklah seharusnya semua orang keluar berperang. Orang-orang yang sedang menuntut ilmu, atau guru-guru agama hendaklah meneruskan pembelajaran mereka supaya ada golongan yang akan mewarisi ilmu dan mengembangkannya nanti. Orang kafir musyrik yang memerangi kita, wajib diperangi bagi mereka merasakan kesakitan.

Penyakit memperolok-olok al Quran adalah penyakit orang munafik. Mereka jika ada menerima ayat-ayat baru yang diwahyukan, akan bertanya sesama mereka, siapakah yang bertambah iman mereka dengan ayat ini? Sedangkan Allah menambahkan iman kepada orang-orang mukmin. Yang berpenyakit kufur, akan menambahkan lagi kekufuran mereka dengan isi al-Quran. Golongan ini, walaupun dikenakan bala bencana berkali-kali, tetap begitu juga keadaan mereka. Bagi golongan munafik, mereka didedahkan oleh Allah tentang perangai mereka sehingga mereka dapat dikesan dan akan melarikan diri kerana malu apabila al-Quran menyebut perihal perangai mereka.

Tercengang-cengang mereka kerana berfikir ada dari kalangan mereka yang membocorkan rahsia mereka. Sedangkan kalau mereka tahu, rasulullah itu sebenarnya diturunkan dalam keadaan sangat-sangat mengasihi umatnya dan sentiasa inginkan kebaikan kepada umatnya. Tetapi jika kita ingkar dengan rasulullah, ketahuilah Allah ada bersama baginda dan cukuplah Allah itu yang memelihara dia, dan yang rugi adalah kita yang menolak seruan rasulullah. Wallahua’alam tamat surah at-Taubah.

Sumber BO - 21-6-2015

















Dua benda yang wajib ada di rumah


USTAZ AHMAD NAZRI MOHD NAWI - PENDAKWAH BEBAS

https://www.youtube.com/watch?v=nuoCHm05H1Y#t=21


Sumber TVH - 17-6-2015

GREETING THE MONTH OF RAMADHAN - HARUN YAHAYA

Greeting the Month of Ramadan: The Holy Qur’an, which falsehood cannot approach from either in front or behind, which leads people from the darkness to the light, to the path
|


Sumber HD - 18-6-2015


RAMADHAN BULAN IBADAT JANGAN MEMBAZIR - SM IDRIS

Ramadan bulan ibadat, jangan membazir: RAMADAN menjelma lagi dan seperti biasa umat Islam di seluruh dunia terus menunaikan ibadat berpuasa serta menghidupkan malam harinya dengan melakukan ibadat tarawih di masjid
|


Sumber HD - 18-6-2015

Tautan Rahmat rayu sumbang untuk Dana Ihya Ramadan

WAN NORDIN WAN YAACOB | .


KUALA LUMPUR: Tautan Rahmat sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang banyak memfokuskan kerja kebajikan dan dakwah merayu orang ramai menyumbang kepada Dana Ihya Ramadan.

Bendaharinya, Ustaz Mohammad Ibrahim berkata,  dana itu bertujuan menjalankan aktiviti dakwah dan kebajikan sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal.

Kata beliau sumbangan ini nanti akan diagih-agihkan kepada pihak yang memerlukan seperti golongan susah dan untuk program dakwah seperti Streets Dakwah untuk Ramadan ini.

"Selain itu sumbangan ini akan juga diagihkan kepada kerja-kerja dakwah di Sabah dan Sarawak memandangkan NGO Dakwah dan Kebajikan Tautan Rahmat ini telah bergerak sejak setahun lalu selepas ia dirasmikan Ulama tersohor, Datuk Ustaz Haron Din al-Hafiz pada tahun lalu, kata beliau kepada Harakah.

Semua sumbangan boleh dibank in ke Akaun MBB:- 562188310780 Atas nama Tautan Rahmat atau menghubungi Ustaz Mohammad Ibrahim atau nama gelaranya Ustad Mad China ditalian 013 4319717 dan Ustaz Hadi ditalian 019 2974904.

Segala sumbangan kata beliau akan terus disalurkan terus kepada pihak memerlukan dan untuk kerja kerja dakwah sepanjang Ramadan ini dan berterusan selepasnya.

NGO ini juga akan mengadakan misi bantuan kepada masyarakat Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman kerajaan Junta Tentera Myanmar. Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun yang sama. – HARAKAHDAILY 12/6/2015

Sumber HD - 12-6-2015


TAZKIRAH RAMADHAN:











YAB DATO ' USTAZ AHMAD YAKOB -http://www.youtube.com/watch?v=xNr9MH_865M























Kenali tiga musuh utama umat Islam

HARAKAHDAILY | .

DALAM hidup ini, khususnya umat Islam, mereka menghadapi tiga kelompok utama yang sentiasa mahu mengeluarkan mereka daripada landasan perjuangan Islam.


Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dalam tazkirahnya di Harakah.

“Musuh pertama umat manusia dan Islam ialah Iblis dan syaitan. Musuh ini ada sejak zaman nabi Adam lagi. Pada ketika itu belum ada kaum Yahudi mahupun Nasrani. Iblis dan syaitan kekal hingga ke hari ini dan terus berusaha memesongkan manusia dan umat Islam daripada jalan kebenaran.

“Musuh kedua umat Islam ialah golongan Yahudi dan Nasrani. Khususnya Yahudi, bukanlah saya bermaksud kesemuanya tetapi sebahagian besarnya. Perlu diingat bahawa ramai kalangan nabi dan rasul diutuskan kepada kaum Yahudi seperti nabi Ishak, Yaakub, Yusuf, Musa dan Isa,” tegas Ustaz Azman.

Sementara golongan ketiga ialah golongan munafik. Kelompok ini merupakan duri dalam daging kepada perjuangan Islam sejak zaman nabi Muhammad lagi. Antara tokoh munafik yang paling tekenal ialah Abdullah bin Ubai.

Menurut Ustaz Azman lagi, golongan munafik ini kadangkala penambilannya lebih alim daripada kebanyakan umat Islam biasa, kelihatan lebih lunak dan baik di hadapan umat Islam sama ada dari segi berpakaiannya, ucapannya, mahu pun tingkah lakunya. Tetapi pada masa yang sama merekalah yang menghalang Islam daripada terlaksana sepenuhnya.

Beliau mengambil contoh bagaimana Abdullah bin Ubai berjaya memujuk penduduk Madinah supaya tidak terlibat dalam Perang Badar. Hasil pujukan secara halus, sebahagian penduduk Madinah menarik diri daripada menyertai nabi.

Oleh hal yang demikian beliau menyeru agar umat Islam sentiasa berhati-hati dengan tipu muslihat ketiga-tiga golongan tersebut. HARAKAHDAILY 14/7/2014

Sumber HD - 14-7-2014

Dato'  TITM : http://www.youtube.com/watch?v=ak6Ia5pM68A


Ustaz Wan Mohd Mirzan Wan Abdul Latif - https://www.youtube.com/watch?v=sJ37WHcHmdI

Sumber HD - 10-7-2014

YB Ustaz Idris Ahmad -
http://www.youtube.com/watch?v=JKw6gOIpZJE

Ustaz Abdullah Hanif Hassan -
1.  http://www.youtube.com/watch?v=IJEL4nidgXY

2. http://www.youtube.com/watch?v=zld1-psX85U

No comments:

Post a Comment