BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Friday, July 11, 2014

NISA / AMEERAH PAS MALAYSIA


Larang bertudung polisi ketinggalan, penindasan wanita

KESEJAHTERAAN dan keharmonian beragama di Malaysia sekali lagi digugat dengan polisi diskriminasi agama, kali ini melibatkan hotel antarabangsa. 
Pekerja yang bekerja di bahagian hadapan kaunter hotel tidak dibenarkan memakai tudung atas alasan ianya polisi hotel antarabangsa. Ameerah Malaysia mengkritik larangan ini dan menganggap ianya sebagai satu polisi ketinggalan zaman serta menindas hak wanita yang mahu mengamalkan agamanya. 
Amalan bertudung bukan lagi satu praktis yang janggal. Pemakaian hijab sudah diamalkan di seluruh dunia sama ada negara-negara majoriti muslim atau sebaliknya. Ia dipakai di pertandingan sukan antarabangsa,  dipakai oleh pemimpin-pemimpin utama negara serata dunia , bahkan oleh artis-artis popular di Malaysia sendiri mahupun luar negara. 
Pemakaian tudung  jelas tidak langsung membataskan gerak kerja mahupun menjadi halangan dalam apa jua aktiviti pekerjaan sebagaimana dibuktikan oleh wanita-wanita Malaysia yang berkerja di seantero negara. Oleh itu menjadikan pemakaian tudung sebagai satu larangan dalam polisi pekerjaan adalah tidak relevan dan munasabah. 
Bertudung sebagai salah satu cara berpakaian menutup aurat merupakan satu tuntutan dalam agama Islam. Ianya melibatkan pegangan agama  sebagaimana pemakaian turban dalam agama sikh serta bindi dan sidhur dalam agama hindu. Wanita berhak memilih untuk berpakaian mengikut etika agama, justeru 'memaksa wanita menanggalkan hijab' sebagai syarat untuk terus dapat bekerja adalah penindasan terhadap wanita. 
Kebebasan mengamalkan agama dijamin Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Apa-apa sahaja peraturan mahupun polisi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan seharusnya terbatal. 
Malah, walaupun atas nama polisi antarabangsa, ia haruslah tertakluk pada penghormatan budaya dan norma setempat. 
Larangan bertudung di tempat kerja atas apa jua alasan tidak boleh diterima dan dilihat sebagai polisi terkebelakang di saat masyarakat dunia semakin ke hadapan dalam menghormati hak kebebasan beragama. Persatuan Hotel tidak seharusnya membela polisi terkebelakang dalam negara demokrasi ini.
Kerajaan digesa membuat pemantauan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas ke atas hotel-hotel yang masih lagi mengenakan polisi diskriminasi agama seperti ini. Kegagalan bertindak tegas di pihak Kerajaan hanya mencetuskan kebimbangan berterusan di kalangan rakyat bahawa hak kebebasan beragama mereka tidak terbela. 
HUSNA HASHIM
Pengarah Ameerah Malaysia - HARAKAHDAILY 13/11/2017
Sumber HD - 13-11-2017 

Ameerah Berdiri Teguh Realisasikan Harapan PAS

Oleh : Ainun Solehah

KUALA NERUS – Ameerah berdiri teguh di dalam merealisasikan harapan parti Islam SeMalaysia (PAS) kepada organisasi anak muda.

Setiausaha Ameerah kawasan Kuala Nerus, Puan Naufal Binti Kamaruddin bersyukur kerana telah dipilih oleh Allah untuk berada dalam perjuangan dan terus beristiqomah didalam menegakkan kalimah Allah.

Katanya, menjadi pendakwah bukanlah mudah dan memerlukan hati yang ‘kental’ dalam mengajak manusia menuju ke jalan Allah.

“sikap ini sukar untuk dipupuk, namun tidak bermakna kita tidak mampu untuk menguruskannya. Ramai yang kita kenali suami isteri berlainan politik”.

“Menjadi pendakwah sejati bukanlah semudah ABC, membawa manusia kenal Allah dengan hati, disaat hati kita hitam, mampukah kita membawa hati-hati manusia menuju Allah?,”soal Naufal.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mujahidah 4.0 Kuala Nerus yang diadakan di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa Batu Enam, Sabtu 22 Oktober.

Beliau turut mengajak para hadirin untuk menelusuri sejarah perjuangan serikandi terdahulu, seperti perjuangan Asiah isteri Firaun, walaupun diseksa dan disakiti namun tetap teguh didalam agama yang mulia.


Justeru itu, beliau yakin Ameerah memperkukuhkan organisasi, dengan mengikat pelbagai lapisan umur anak muda didalam satu kumpulan.

Namum begitu, katanya, golongan muda haruslah menjadikan ‘orang-orang lama’ sebagai panduan kerana mereka lebih berpengalaman.

“Orang baru semangatnya berkobar-kobar, manakala orang lama mereka banyak pengalaman, kita saling memerlukan,

“orang lama menumpang semangat baru, orang baru belajar pengalaman orang lama. Begitulah kita saling melengkapi,”jelasnya.

Oleh beliau berharap para muslimat dapat infaqkan puteri mereka agar dapat berjuang bersama Ameerah.

“ni kerana tenaga Ameerah amat-amat diperlukan, berikutan kebanjiran pengundi muda, untuk mengembeleng tenaga untuk sama-sama mengajak anak muda kepada Islam,”kata beliau yang mengakhiri.

Sumber BO - 23-10-2016

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

HARAP 3.3 ; Aspirasi AMEERAH Bawa Malaysia Sejahtera Dengan Islam

Oleh : Haida al-Ansariyah

MARANG – Kebencian, kejelikan dan salah faham terhadap politik amat sinonim buat sebahagian besar golongan wanita masakini.

Walhal politik Islam itu jika diuruskan dengan baik ianya cukup suci dan menjadi satu tanggungjawab yang perlu digalas seluruh umat Islam.

Rentetan dengan itu, seluruh anggota muslimat muda PAS atau lebih dikenali sebagai AMEERAH diseru untuk bangkit dengan membawa risalah Islam.



“Wanita muda yang non-politic, mereka fikir politik ini kotor. Ini fungsi dan kewajipan buat AMEERAH dengan membawa politik Islam khususnya”. ujar Siti Nadhirah binti Khalid, Pengawai Perhubungan Awam AMEERAH Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam satu program Wacana Hala Tuju Muslimat Muda bersempena Himpunan Harapan Semua (HARAP) 3.3, dekat sini, hari ini.

Beliau juga menyeru agar muslimat muda Terengganu khususnya bertindak mengamalkan 4A dalam gerakerja Islam sehingga sampai kepada wanita muda di luar sana.

“pertamanya akronim AKIFI, iaitu Alim, Haraki dan Sufi yakni kena menambahbaikkan ilmu pengetahuan, mesti bergerakerja dengan perjuangan jemaah Islam PAS dan mesti berjiwa sufi.
“keduanya kalian kena ambil tahu dan ambil cakna keadaan sekeliling kita dalam membuat perubahan pada generasi wanita muda ini.

“Ketiganya, Analisa apa sahaja maklumat yang sampai. Akhirnya, AMEERAH kena menjadi Agen penerangan Islam, promoter Islam. Menjadi kaki like,”



“Share itu bukan taraf AMEERAH tetapi kita kena bercerita nikmatnya hidup sebagai penganut Islam”.jelasnya

Ditanya mengenai respon terkini wanita muda terhadap AMEERAH katanya, “Peningkatan peratusan AMEERAH Malaysia amnya meningkat lebih daripada 50%, malahan ranting likers Facebook pun meningkat seiring dengan peningkatan program-program yang dianjurkan oleh AMEERAH Malaysia,

Katanya, poster-poster yang diviralkan oleh AMEERAH Malaysia mendapat share dan mendapat sokongan daripada Ameerah Negeri khususnya sehingga ke Ameerah Kawasan dan ke AMEERAH Cawangan. Tahniah diucapkan.

“Berkenaan pendekatan AMEERAH dalam mendekati bukan Islam, jika kita tengok PAS Pusat sendiri banyak meraikan perayaan-perayaan daripada setiap kaum ,misalnya Tahun Baru China dan juga perayaan-perayaan yang sesuai diraikan tidak melanggar syariat,

“akan kita berikan sokongan padu kepada mereka dan juga kita mesti menjalinkan hubungan yang baik bersama dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS.”tegasnya.

Akhirnya beliau menyatakan harapan semoga aspirasi cita-cita PAS untuk daulatkan Islam menjadi realiti.

Sumber BO - 26-2-2016

El-Madini Juara Ameerah, DUN Tepoh Juarai Nasyid Muslimat Kuala Nerus


IMG-20151115-WA0028
Oleh : Che Ana

Kumpulan Ameerah El – Madini dari DUN Seberang Takir yang diketuai oleh adik Hani Faqihah Binti Halmi berjaya menjuarai Nasyid kategori Ameerah, dalam Pertandingan Nasyid Muslimat Kuala Nerus.

IMG-20151115-WA0025

Dengan kelebihan 91 % mengalahkan dua lagi kumpulan Ameerah iaitu kumpulan Mujahiddah dari DUN Teluk Pasu dan kumpulan Raudhatul Jannah dari Ameerah DUN Tepoh.

Lagu wajib pilihan mereka adalah Pelita Hidup dan lagu pilihan ‘Allah Allah Kiya Karo’ yang dipopularkan oleh Maher Zain.

“Dengan latihan selama dua minggu tanpa jemu dan penuh semangat akhirnya kami berjaya tanpa diduga memandangkan pertandingan yang sengit,

IMG-20151115-WA0024

“berbakat belaka Ameerah dari DUN lain,” Ujar adik Hani ketika ditemui selepas dinobatkan sebagai juara pada Sabtu 14 November.

[El-Madani tundung biru gambar kanan, manakala DUN Tepoh tudung warna cerah, gambar paling bawah kiri]

Sementara itu, persembahan terbaik dari kumpulan muslimat adalah dijuarai oleh kumpulan dari DUN Tepoh dan kumpulan El – Madini dari Ameerah DUN Seberang Takir memenangi kategori persembahan terbaik kategori Ameerah.


Solo terbaik juga dari Ameerah dan kategori muslimat DUN Seberang Takir Puan Asiah Jusoh mewakili kumpulan An- Nur Takkiri.



Para juri terdiri dari Puan Faridah Yahya selaku ketua juri, Ustazah Norfaizan Nordin dan Puan Sharifah Noraniza Sheikh Kadir.

Menurut Ketua Lajnah Kesenian dan Dakwah Muslimat Kawasan Kuala Nerus , Ustazah Juyariyah Ibrahim, objektif program ini adalah untuk mengeratkan hubungan di antara ahli , penyokong dan masyarakat setempat melalui pertandingan nasyid.

“Juga mendedahkan kepada masyarakat luar batas batas hiburan dalam Islam dan mencungkil bakat terpendam dalam kalangan muslimat , ameerah dan masyarakat setempat,”kata beliau



Ketua Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus Utazah Jamilah Jusoh telah sudi merasmikan pertandingan dan seterusnya memberi hadiah kepada para pemenang.

Bendagari Muslimat PAS Pusat Dr. Che Faridah Binti Che Ismail telah sudi memeriahkan lagi majlis dengan hadir bersama isteri ADUN Tepoh Puan Syarmila Sulaiman dan isteri ADUN Teluk Pasu Tuan RoslinaTuan Sulaiman dan juga Ketua Muslimat DUN Tepoh Ustazah Zainun Ali.

“Para pemenang akan mewakili Kawasan Kuala Nerus pada peringkat pertandingan negeri Terengganu pada tahun hadapan, Insyaa Allah,”kata Puan Norlida Seman, selaku pengerusi majlis mengumumkan, sebelum mengakhiri program tersebut.

Sumber BO - 16-11-2015



Ziarah Briged Muslimat Malaysia ke rumah Balu Allahyarham Azhar Jusoh mangsa kemalangan LPT2

KUALA TERENGGANU : Jabatan Briged Muslimat Malaysia berkesempatan menziarahi Allahyarham Azhar yang merupakan mangsa kemalangan LPT 2 di kediaman ahli keluarga beliau di Kpg Kubang Panjang, Kuala Terengganu.

Program ziarah ini diketuai oleh pengarah Briged Muslimat bersama antara 7 ahli jawatankuasa Briged Muslimat Malaysia.

Kehadiran Briged disambut dengan riak wajah yang sungguh tenang oleh isteri Allahyarham bersama antara 4 orang anak perempuannya.


Briged Muslimat Malaysia mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kepada isteri Allahyarham yang lebih disenangi dengan panggilan Kak La.


Menurut pengarah Briged Muslimat Malaysia, ziarah sebigini dilakukan bagi menzahirkan rasa keperihatinan BM terhadap masyarakat sekeliling.



Sumber PP - 11-10-2015


Ameerah Bukit Payong Rai Alumni Dalam Tautan Syawal

Oleh : Haida al-Ansyariah

MARANG – Ameerah DUN Bukit Payung mengambil pendekatan yang menarik dengan meraikan peserta-peserta yang pernah menyertai program-program anjuran mereka dalam satu majlis yang dinamakan Tautan Syawal Ameerah DUN Buiur Payung.

Seramai 100 kehadiran ke majlis tautan yang diadakan di Kompleks Pendidikan Madrasah Darul Iman (KPMDI), Titisn Baru, Kedai Buluh baru-baru ini.

“Sempena bulan Syawal yang masih berbaki sehari dua, kami mengambil kesempatan untuk meraikan adik-adik yang pernah menyertai semua program kami sebelum ini dalam. Disamping menjadikan program ini sebagai tautan ukhuwah dengan lebih erat lagi dengan meraka.

Selain itu juga, tujuan majlis ini diadakan bagi mengeratkan silaturrahim antara entiti di dalam DUN Bukit Payung antaranya pimpinan Muslimat DUN, Pemuda DUN dan juga MTD (Majlis Tindakan DUN),” kata Ketua Ameerah DUN Bukit Payung, Nurhidayu Ali.



“Selain menyediakan jamuan raya, pihak kami turut mengisi majlis Tautan Syawal ini dengan santapan rohani untuk para tetamu. Pengisian yang bertajuk ‘Ramadan,

“patah tumbuh hilang berganti’ ini disampaikan oleh Ustaz Abdul Latif Hanafi yang merupakan Ketua Lajnah Tarbiyyah Pemuda DUN Bukit Payung” tambahnya lagi.

Turut hadir, pimpinan dari seluruh DUN Bukit Payung iaitu Ketua Muslimat DUN Bukit Payung Puan Munirah Ibrahim, Ketua Pemuda DUN Bukit Payung Ustaz Bunyamin Razimi dan lain-lain pimpinan bagi DUN tersebut.

Menurut Nurhidayu lagi, majlis itu juga menyediakan pelbagai hidangan yang istimewa bagi menjadikan majlis itu berbeza dengan majlis jamuan raya yang lain. Nasi Jagung, Soto, Mihun Singapore antara juadah pilihan yang dihidangkan untuk para tetamu menjamu selera. Beliau juga menambah, akan menjadikan program sebegini sebagai program tahunan Ameerah DUN Bukit Payung.

Sumber BO - 17-8-2015

Keceriaan Aidilfitri di ‘Ameerah Raya’

MARANG – Program sambutan Aidilfitri “Ameerah Raya” yang diadakan pada Khamis, 23 Julai di Dewan Tok Guru, Rusila telah melakar suatu kenangan dan sejarah yang tersendiri. Dengan tema “Hari Raya”, pelbagai lapisan masyarakat yang hadir, samada tua dan muda. Muslimin dan muslimat yang hadir kelihatan begitu teruja dengan program santai ini.



Ameerah Terengganu merakamkan sejuta penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Ameerah Raya 2015.

Menurut Pengarah program Ameerah Raya ketika ditemui, Cik Nadwa Insyirah Hussain, kerjasama yang diberikan pelbagai pihak begitu baik.

“Ameerah Raya bertujuan untuk merapatkan ukhuwah sesama kita muslimin dan muslimat muda khususnya. Alhamdulillah, ramai pengunjung yang datang terdiri dari kalangan orang-orang muda. Moga ianya menjadi pembakar semangat kita semua untuk meneruskan perjuangan dan istiqomah hingga kemenangan,” ujar Nadwa.

Program itu juga mendapat sokongan daripada pimpinan PAS dan muslimat. Antara pimpinan yang hadir memeriahkan program tersebut adalah daripada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), YB PAS, Dewan Ulamak Pas Negeri Terengganu (DUPNT), Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), PAS Kawasan Marang dan NGO GANTI.



Program tersebut dimulakan dengan tazkirah raya khas daripada penceramah bebas dari Syria yang petah berbahasa Melayu, Ustaz Mohib Khouli, dan disusuli dengan ucapan raya para pimpinan yang hadir pada hari itu. Lebih menarik, para pengunjung juga dapat mengabadikan kenangan program dengan bergambar di sudut khas yang telah disediakan. Program santai dan penuh ilmiah, selain sajian makanan istimewa yang dibawa khas dari setiap kawasan di Terengganu ini membawa kelainannya yang tersendiri.

Bagi meraikan kanak-kanak pula, duit raya turut diberikan oleh Ameerah. Keterujaan mereka bertambah kerana aiskrim turut disediakan, khusus untuk para pengunjung.

” Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bonda kami DMPNT yang tidak putus-putus menyokong kami. Tidak dilupakan juga kepada saf Jawatankuasa negeri dan Ameerah kawasan-kawasan yang menjayakan majlis ini. Kalian memang awesome.” ujar Nadwa lagi.

Akhir sekali beliau mendoakan agar moga segala gerak kerja penat lelah yang telah dicurahkan demi mendaulatkan Islam ini mendapat nilaian di sisi Allah SWT.

Sumber BO - 24-7-2015

Ameerah Santuni Muslimat Rohingya


Oleh : NHA

LHOKSUKON, Aceh -;Setiap penderitaan yang dihadapi oleh saudara Rohingya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Adakalanya linangan airmata bercucuran mengalir di kala mereka menceritakan pengalaman buruk penderitaan itu umpama dapat difahami walau itu hanyalah sebahagian daripada episod duka yang dilalui.

Ameerah Terengganu mengambil peluang untuk mendekati muslimat Rohingya yang tidak kurang hebat diuji dan menganggung derita ujian Ilahi.



“Kami mengambil peluang yang seketika ini untuk mendekati mereka dan memberi sokongan moral. Memang benar, segala keperluan hidup mereka di sini mencukupi, namun semangat adalah motivasi penting buat mereka untuk terus kuat meneruskan hidup di bumi Aceh ini”, ujar Puan Zuraida Md Noor, Ketua Ameerah Terengganu ketika di Pusat Penempatan Rohingya di Lhoksukon, Aceh Utara.

Masalah komunikasi agak kritikal kerana hanya beberapa orang pelarian sahaja di setiap pusat penempatan yang mampu bertutur bahasa Melayu. Walaupun masyarakat Rohingya menerima seadanya segala keperluan yang disediakan oleh pemerintah Aceh dan para sukarelawan, namun adakalanya sukar untuk mendalami isi hati mereka.

“Ameerah beruntung kerana dibantu oleh seorang wakil Rohingya iaitu Jamal Hussein yang petah bertutur bahasa Melayu. Beliau banyak membantu kami menyampaikan hasrat Ameerah dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong masyarakat Rohingya atas dasar aqidah dan kemanusiaan “, ujar Zuraida lagi.

Jamal Hussein, 29 tahun mampu bertutur Bahasa Melayu kerana mempunyai pengalaman bekerja beberapa tahun di Malaysia iaitu di Pulau Pinang dan Selangor.

“Ada muslimat Rohingya yang kehilangan suami kerana diculik atau dibunuh. Ada juga ibu yang kehilangan anak yang dibakar hidup-hidup. Malah ada juga suami yang menjadi imam masjid dipotong tangan sebelum dibunuh di dalam masjid”



“Tidak mampu kami luahkan dengan kata-kata perasaan kami setelah mendengar luahan hati muslimat tersebut. Mereka amat memerlukan bantuan kita semua”, kata Zuraida lagi.

Pertemuan khas Ameerah bersama muslimat dan wanita muda Rohingya tersebut mengambil masa kira-kira 20 minit. Di akhir pertemuan, Zuraida menyampaikan beberapa tips kepada mereka untuk diamalkan.

Beliau mengingatkan bahawa muslimat mesti mempunyai jiwa dan semangat yang kuat. Kekuatan jiwa akan diperolehi jika hubungan dengan Allah dijaga sebaiknya. Selain itu, beliau mengingatkan mereka mestilah menjaga kebersihan dan membantu memudahkan kerja dan beban masyarakat Aceh yang membantu mereka dengan ikhlas.

“InsyaAllah, usaha kami tidak berhenti setakat ini sahaja. Kami akan mencari lebih banyak sumbangan dan bantuan lain untuk disalurkan di sini. Kami juga mahu membantu ekonomi rakyat Aceh dengan membeli terus segala keperluan dan bantuan di sini sahaja. Kami gembira kerana dapat membantu saudara Islam kami disini secara tidak langsung “, ujar beliau menutup pertemuan itu.

Sumber zbo - 10-6-2015











Panduan Hadapi GST Untuk Kaum Wanita Dari Ameerah


Oleh : NHA

KUALA TERENGGANU – Sudah dua hari cukai baru GST dilaksanakan oleh kerajaan dengan pelbagai rungutan dan bukti- bukti pembelian dikongsi oleh para pengguna, memenuhi laman-laman sosial dan internet.

Jelas, ramai yang terasa terbeban akibat kenaikan harga barangan, malah ada juga pengguna yang tertipu kerana dikenakan GST pada barangan yang sepatutnya bebas daripada GST.

Oleh itu, bagaimana agaknya masa depan yang harus dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan bebanan ekonomi yang kian mencengkam?

Memandangkan tidak ada sebarang petanda GST akan ditangguhkan, Ameerah Terengganu berharap agar golongan wanita menjadi lebih celik dan cerdik tentang bab kepenggunaan dan lebih berhemah untuk berbelanja.



Ketuanya, Puan Zuraida Mohd Nor memanjangkan saranan Ameerah Pusat agar pengguna khususnya kaum wanita agar mengetahui dan memahami perkara yang berkait dengan kepenggunaan.

kita harus cuba untuk memahami buku panduan pengguna (shopper guide) yang telah disediakan oleh KPDNKK dan memastikan hak-hak pengguna yang telah dinyatakan di dalam buku tersebut diambil berat.

“(kaum) wanita juga disarankan untuk mengambil tahu jenis barang yang disenaraikan sebagai barang kadar sifar, kadar rata dan kadar dikecualikan agar kita tidak ditipu oleh peniaga.

“Sekiranya anda ditipu atau anda dikenakan harga berlebihan, kita jangan hanya membebel di mukabuku atau lama sosial, tetapi, anda harus segera mengemukakan aduan kepada pihak berwajib,”ujarnya melalui satu kenyataan.

Beliau juga menggesa, pengguna harus mengubah sikap dengan membuat pilihan, sekiranya boleh, mengunjungi premis dan membeli barangan serta mendapatkan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST.

“kita juga tidak seharusnya membayar cukai sekiranya mana-mana kedai yang anda kunjungi bukanlah kedai yang berdaftar dengan Jabatan Kastam.

“merancang pembelian dengan merujuk buku panduan pengguna agar kita dapat membeli barangan berkadar sifar (GST),

“ubahlah cara berbelanja (dan) berbelanja hanya bila perlu (serta) sediakan senarai barangan yang diperlukan dan bawa wang secukupnya sahaja (ketika membeli belah), ”jelasnya

Beliau menyeru para suri rumah dan pengurus rumah tangga agar meningkatkan usaha untuk memasak makanan sendiri di rumah.

Selain mengelakkan ‘caj’ GST dengan membeli makanan, memasak makanan sendiri, kata beliau dapat memastikan tahap kebersihan makanan seisi keluarga.

“Rajinkan diri kita untuk memasak……….kita kena tahu………. memasak sendiri adalah lebih baik di samping dapat memastikan tahap kebersihan makanan yang kita sediakan.

“Sekiranya anda hidup berjiran, mulakan menanam sayur-sayuran di kawasan rumah anda dan bertukar-tukar hidangan atau makanan mentah. Semarakkan kembali semangat kejiranan yang makin pudar di era kini,”cadang beliau.

Sumber BO - 3-4-2015

Ops Bubar: Ameerah nyata solidariti untuk 13 OKT

| .



KUALA LUMPUR: Ameerah Dewan Muslimat PAS Malaysia menyatakan solidariti buat 13 peserta himpunan membantah rampasan kuasa di Perak pada 2009 yang dihukum penjara 10 bulan hari ini.

Pengerusinya, Fareedah Samad berkata, Ameerah menganggap hukuman ini sebagai satu lagi pencabulan terhadap hak asasi rakyat yang berjuang menuntut keadilan.

"Ameerah Malaysia menyatakan solidariti bersama-sama mangsa kezaliman ini dan mendoakan agar kesemua 13 mangsa terutamanya pihak keluarga akan terus kuat dan terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Fareedah juga berkata, situasi ini akan memburukkan lagi demokrasi di Malaysia selepas akhir-akhir ini ramai pemimpin politik dan aktivis masyarakat ditahan hanya kerana mengamalkan hak kebebasan bersuara.

"Akhir-akhir ini kita menyaksikan satu persatu pemimpin politik dan aktivis rakyat ditangkap hanya kerana mereka mempraktikkan hak kebebasan bersuara yg dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini sangat mengecawakan kami anak muda," katanya.

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 kepada 13 peserta himpunan di jalan masuk ke Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar, lima tahun lalu kerana membantah angkat sumpah Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak selepas berlakunya rampasan kuasa di negeri itu. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Sumber HD - 18-3-2015


K-POP : ANTARA AKSI GADIS DAN TUGAS MENTERI - AMEERAH WP







AKSI GADIS BERTUDUNG DIPELUK ARTIS K-POP

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/33218-k-pop-antara-aksi-gadis-dan-tugas-menteri


Sumber HD - 13-1-2015

Cukuplah 'kenaikan harga minyak tidak membebankan'

ZURAIDA MOHD NOOR | .
1. Kenaikan harga petrol dan penurunan subsidi merupakan bukti kedangkalan pihak pemerintah dalam menangani masalah kegawatan ekonomi dan sumber kewangan kerajaan. Seringkali apabila kerajaan mengalami masalah kewangan, subsidi rakyat yang menjadi mangsa pemotongan.

2. Kerajaan mengatakan bahawa mereka ingin membantu meringankan beban rakyat dengan memberikan BR1M yang mana hanya dapat dimanfaatkan oleh 7.9 juta rakyat. Penerima BR1M hanya meliputi 40% daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Bagaimana dengan kesan langsung yang dirasakan oleh 60% lagi rakyat malaysia yang tidak layak menerima BR1M? Apakah kerajaan pasti mereka tidak merasakan kesusahan akibat kenaikan tersebut.

3. Menurut kenyataan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tiada sebab tertentu di atas kenaikan tersebut. Ameerah Negeri Terengganu merasakan kerajaan harus menjelaskan sebab yang munasabah berkaitan kenaikan harga dan pemotongan subsidi tersebut. Ini adalah kerana menurut infomine.com harga petrol pada 1 Oktober 2014 adalah USD 97.14/tong sedangkan pada tahun 1 Oktober 2013 harga petrol adalah USD 108/ tong. Ia merupakan penurunan harga yang agak banyak.

4. Berdasarkan alasan menaikkan harga minyak kerana harga pasaran minyak dunia naik, maka kerajaan sepatutnya menurunkan harga petrol bukan sebaliknya. Ameerah Negeri Terengganu mengharapkan ketelusan kerajaan dalam menangani isu ini.

5. Kami juga mengharapkan kematangan dan kebijaksanaan PM menguruskan aset negara dengan mengemukakan rancangan pengurangan belanja pengurusan dan bukan hanya mengajar rakyat yang sedia tersepit berjimat-cermat.

6. Golongan muda semestinya antara yang paling merasai kesan kenaikan harga minyak. Golongan muda meliputi pelajar, pemegang pinjaman pelajaran, golongan baru mula bekerja dan berkeluarga antara yang paling pasti terbeban memikirkan masa depan.

7. Setiap kali kenaikan harga petrol, kerajaan mengeluarkan kenyataan sama saban tahun “Kenaikan harga minyak tidak membebankan”. Janji manis untuk melaksanakan pantauan agar tidak berlaku kenaikan harga barang juga hanya tinggal janji. Kenyataan yang sudah tidak releven dan tidak ingin kami dengar lagi. Cukuplah. Kami menanti kenyataan dan tindakan dari pimpinan yang lebih rasional dan bijak.

Penulis ialah Pengerusi Ameerah Terengganu.

Sumber HD - 3-10-2014

Balik mengundi, buktikan rakyat tolak GST

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia menyeru agar semua pengundi muda Dun Pengkalan Kubor terutama pengundi luar Kelantan untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat yang baru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Khamis ini.
Pengerusinya, Fareedah Samad berkata, Ameerah melihat kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRK N01 pada kali ini amat penting untuk menghantar signal yang jelas kepada Kerajaan Pusat Umno BN bahawa rakyat luar bandar menolak secara total ketidakcekapan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Pusat dalam mengurus sumber kewangan negara sehingga terpaksa melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa mulai April tahun hadapan.

Katanya, kerajaan secara jelas menyatakan bahawa melalui pelaksanaan GST pendapatan negara akan bertambah.

Hal ini, ujar beliau menunjukkan bahawa kerajaan begitu lemah dalam mengurus kewangan di mana setiap tahun hampir RM10 billion wang tiris yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya berbelanja secara berhemah dan mendapatkan semula wang tiris negara bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negara bukan dengan cara menekan rakyat melalui cukai yang tinggi seperti GST ini.

"Akhirnya, yang sangat terkesan adalah rakyat miskin dan golongan sederhana kerana mereka terpaksa menanggung beban apabila hampir semua barangan dan perkhidmatan dikenakan GST pada tahun hadapan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih parah lagi apabila kerajaan sehingga hari ini masih belum memberi jaminan bahawa kos barang api utama seperti petrol, diesel dan elektrik tidak akan dikenakan GST.

"Kita sedia maklum jika ketiga-tiga bahan api ini dikenakan GST, pastilah harga barang-barang semua akan meningkat," tambahnya.

Justeru, kata beliau Ameerah Malaysia sekali lagi menyeru kepada semua pengundi Dun Pengkalan Kubor terutamanya anak muda dan pengundi di luar untuk pulang dan mengundi PAS, Pakatan Rakyat pada hari mengundi 25 September ini.

"Undi anda teramat penting dalam usaha kita untuk memberi amaran kepada Kerajaan Umno BN bahawa mereka sudah lama ditolak oleh golongan rakyat luar bandar yang terpaksa menanggung beban peningkatan kos sara hidup yang tinggi akibat ketidakcekapan pentadbiran Kerajaan Pusat," katanya. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

Sumber HD - 22-9-2014



'Nisa Small Kindness' santuni wanita memerlukan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sesuai dengan semangat bulan Ramadan yang mulia, Nisa Gombak tidak ketinggalan menganjurkan aktiviti amal mereka yang dinamakan 'Nisa Small Kindness' bagi membantu golongan wanita yang memerlukan.

Melalui program ini, golongan wanita khususnya ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan juga mereka yang sakit di sekitar daerah Gombak, akan dibantu dengan sedikit sumbangan berbentuk kewangan dan barangan keperluan.

Sumbangan-sumbangan ini adalah hasil pemberian daripada syarikat-syarikat, wakil-wakil rakyat serta individu-individu yang prihatin.

Sehingga kini, 21 penerima telah dikenal pasti untuk diberikan bantuan.

Untuk fasa pertama, sumbangan akan disampaikan dalam siri jelajah mereka yang akan bermula esok sehingga Ahad.

Dalam pada itu, kepada mereka-mereka yang berminat untuk menyumbang untuk program ini, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 564-799-120911 atas nama Nisa' Gombak.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Pengarah Program Zurina Mohamad Yusoff di talian 019-3002649. - HARAKAHDAILY 11/7/2014

Sumber HD - 11-7-2014

No comments:

Post a Comment