BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Saturday, August 30, 2014

SAMBUTAN KEMERDEKAAN MALAYSIA




Doa untuk Malaysia merdeka 2057

HARAKAHDAILY | .



http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita-utama/42412-doa-untuk-malaysia-merdeka-2057

Laungan Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj merupakan imej yang sinonim dengan pengisytiharan kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Namun sejarah seolah melupakan detik penting pada upacara tersebut iaitu ketika Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, Mufti Negeri Sembilan, memimpin bacaan doa bagi memohon keselamatan dan keberkatan untuk sebuah negara yang seumpama baru ‘dilahirkan’ semula.

Menghayati setiap bait doa yang terkandung di dalam empat perenggan tersebut akan mendekatkan kita kepada hati nurani generasi terdahulu yang mendambakan erti kemerdekaan sebenar, iaitu:

1. Pemimpin Yang Adil, Memelihara Agama

“Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.”

2. Bangsa Melayu Yang Maju

“Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.”

3. Kesejahteraan Hidup, Keharmonian Kaum

“Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.”

4. Menewaskan Musuh dan Perosak Negara

“Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.”

Persoalannya, adakah kita telah berjaya merealisasikan hasrat murni generasi terdahulu pada 1957. Jika tidak, apakah yang boleh dilakukan oleh generasi muda negara bagi meletakkan empat tonggak penting ini sebagai asas pembentukan Malaysia yang lebih sejahtera pada 2057.

Kuncinya pada tonggak yang pertama, pemimpin yang menjaga agama.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
6 September 2016 - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Sumber HD - 6-9-2016

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pemimpin PAS Bersama Rakyat Ketika Perisytiharan Merdeka

KEMAMAN – PAS melalui Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi menyangkal tuduhan liar musuhnya yang kononnya ia sebagai anti kemerdekaan dan sebagainya.
Beliau menyifatkan tuduhan itu tidak berasas dan merupakan suatu fitnah bersifat bohong.

Katanya ketika perisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, pimpinan utama PAS hadir bersama ribuan rakyat, di Stadium Merdeka.

Menurutnya, Dr Burhanuddin al-Hilmi dan rakan-rakan pemimpin yang lain adalah bukti PAS mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan negara ini.

“Tanggal 31 Ogos 1957 yang lalu, pengistiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka itu sebenarnya turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin PAS. antaranya, Dr Burhanuddin al-Hilmi dan rakan-rakan yang lain dari kalangan pimpinan-pimpinan PAS.

“Kita (PAS) iktiraf kemerdekaan negara dan kita mengiktiraf kedaulatan negara kita. Ada fitnah kononnya, PAS ini anti kemerdekaan, anti pembangunan, anti kemajuan dan sebagainya.


“Ini (tuduhan) adalah bohong dan satu tohmahan yang sangat liar,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Ambang Merdeka dan RUU 355 di perkarangan Surau Syed Rahman, Batu 4, Binjai anjuran PAS Kawasan Kemaman, Selasa 30 Ogos.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut menjelaskan pendirian PAS waktu itu melalui petikan rasmi ucapan dasar Dr Burhanuddin al-Hilmi selaku Yang Dipertua PAS Pusat tahun 1957.

Katanya, seminggu sebelum tarikh kemerdekaan itu pimpinan utama PAS telah menyatakan pendirian parti melalui ucapan dasar presiden.

“Seminggu sebelum tarikh kemerdekaan negara, iaitu pada tanggal 23 Ogos 1957. Dr Burhanuddin al-Hilmi telah menjelaskan pendirian PAS melalui ucapan dasar presiden iaitu ucapan dasar Yang Dipertua PAS Pusat ketika itu dan sekarang kita panggil Presiden PAS. Kenyataan rasmi mewakili PAS dan disebut oleh Dr Burhanuddin al-Hilmi.

“Hakikat kemerdekaan yang sebenar bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ialah kemerdekaan yang boleh membebaskan manusia daripada memperhambakan diri sesama manusia kepada menghambakan diri kepada Allah SWT. Kemerdekaan yang melalaikan manusia daripada Allah SWT adalah seumpamanya sebuah sarang labah-labah iaitu suatu kemerdekaan yang lemah, yang tidak kuat asas dan tapak pendiriannya dan boleh bila-bila masa sahaja boleh dirosakkan dan dirobohkan oleh angin yang tidak begitu kuat tiupan sekali pun.

“Ini adalah satu kenyataan yang bukan sahaja mengiktiraf kemerdekaan tetapi memberi satu takrif mendefinisikan makna nilai kemerdekaan yang sebenar,” jelasnya.

Sumber BO - 1-9-2016

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------




DAP dan MCA cuba mencalar kemerdekaan

ALANG IBN SHUKRIMUN | .



http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/42351-dap-dan-mca-cuba-mencalar-kemerdekaan

RISALAH ANAK MERDEKA BHG 4


SETELAH diterangkan bahawa perjuangan meminda Akta 355 adalah penerus kepada perjuangan kemerdekaan negara yang ditinggalkan para pejuang terdahulu, maka kena juga perlu akui bahawa perjuangan ini ada penghalangnya. Jika tidak maka bukan perjuanganlah namanya.

Episod perjuangan ini sudah berada di pertengahan babak. Ceritera ini mesti disempurnakan. Babak lepas memaparkan PAS telah berjaya meyakinkan pihak kerajaan untuk membenarkan usul pindaan ini dibawa ke Parlimen. Hari ini, pemahaman tentang usul tersebut telah meresap masuk ke jabatan-jabatan kerajaan serta orang awam.

Kini bukan sahaja PAS yang memperjuangkannya, bahkan individu dari parti lain, NGO, kementerian dan jabatan kerajaan serta orang awam. Malah ia terlebih dahulu mendapat lampu hijau bahkan gesaan daripada pihak istana menerusi titah YDP Agong dalam upacara pembukaan parlimen sesi yang lalu.

Namun begitu, ada yang kurang senang dengan usul ini. Sejak pertama kali ia dibaca di Parlimen, sudah ada pihak yang gelabah. Ada ahli parlimen non-Muslim yang tidak bersetuju ia dibentang terlalu cepat walhal berita usaha PAS ini sudah berlaku bertahun lamanya hingga menyebabkan mereka keluar PR. Lebih menyedihkan, ada ahli parlimen Muslim yang mempertikaikan keizinan kerajaan terhadap usul ini, tidak langsung menampakkan kegembiraan dengan usaha memartabatkan syariah Islam ini.

Di luar parlimen pula, berbagai ucapan dan tulisan disebarkan menghasut rakyat akan bahaya RUU ini kepada mereka terutama non-Muslim. Bahkan orang Muslim daripada DAP menjadi jurucakap kuffar untuk menakutkan orang ramai. Terbaru pula adalah usaha pimpinan MCA memungut tandatangan bagi menghantar memorandum bantahan terhadap usul ini.

Ironinya, mereka adalah daripada pimpinan parti yang terdedah kepada maklumat lengkap dan terkini. Dengan kemampuan mereka untuk mengakses pemahaman tentang isu ini, mustahil mereka tidak faham bahawa akta ini tidak ada kaitan langsung dengan non-Muslim. Bahkan DAP merupakan bekas rakan pakatan yang sudah berpuluh kali diajak berdialog tentang perkara ini bersama NGO bukan Islam lain. Pimpinan parti ini juga hadir ketika YDP Agong bertitah.

Selepas berbagai sesi penerangan disampaikan, apa lagi yang boleh dikatakan terhadap penentangan yang mereka lakukan ini selain daripada kebencian dan permusuhan terhadap syariat Islam. Setelah tidak mampu berhadapan dengan hujah melalui dialog bersama PAS, mereka gunakan cara propaganda pula.

Sekiranya seluruh ahli parlimen non-Muslim tidak bersetuju sekalipun ia tidak menjejaskan undi kerana Muslim masih majoriti. Tetapi yang dibimbang adalah undi sebahagian ahli parlimen Muslim. Dengan sikap mereka hari ini, kita tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi.

Justeru kita yang sedar dan faham tidak boleh berdiam diri. Manfaatkan segala apa yang kita mampu untuk memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Jadilah muslim yang cakna akan isu ummah. Ketahuilah ini bukan lagi isu kepartian atau kebangsaan. Tapi isu agama dan kedaulatan negara. Percayalah jika orang Islam mempamerkan kesatuan mereka dalam menuntut akta tersebut dipinda, orang-orang politik tidak akan berani melulu.

Namun sekiranya kita masih memilih untuk berdiam dan menonton, jangan menyesal akan apa yang akan jadi terhadap generasi akan datang. Andai masih berpeluk tubuh setelah datang keterangan yang nyata, tunggu sahajalah selepas ini saat tiada lagi kebebasan (merdeka) untuk anda sebagai muslim di bumi sendiri hatta untuk beribadat sekalipun. – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Sumber HD - 1-9-2016

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bukan Hanya Umno Yang Memperjuangkan Kemerdekaan!

HULU TERENGGANU – Perjuangan menuntut kemerdekaan negara ini adalah perjuangan seluruh rakyat, samada mereka ‘berparti’ atau sebaliknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato’ Harun berkata, sejarah perjuangan ‘fisabilillah’ para pejuang terdahulu menjadi ‘hambar’ apabila Umno mengaku hanya kelompok mereka yang menjadi jaguh.

Menurutnya, sebagai contoh, al-Marhum Haji Abdul Rahman Limbong mencetuskan ‘Pemberotakan Tani’, bangkit menentang pemerintah British di Hulu Terengganu bukan orang Umno.

“kerajaan mengambarkan bahawa hanya beberapa kelompok sahaja yang berjuang (menuntut kemerdekaan) sehingga (sembutan) hari kemerdekaan negara menjadi hambar,

“kerana sudah umpama perayaan sesetengah parti politik (terutamanya Umno)……….sepatutnya semua watak pejuang terdahulu dihidupkan supaya generasi baru menanam rasa sayang lebih pada tanah air ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan perjalanan ‘Kembara Merdeka Jejak Pejuang 2016’di Markaz Tarbiyah Kubang Lembek, di sini pagi semalam, 31 Ogos.

Sehubungan itu, Pengarah Program Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata, tujuan ‘kembara’ itu diadakan adalah untuk mendedahkan generasi baharu terhadap sejarah para pejuang sebenar kemerdekaan.

“Program ini bertujuan mendedahkan kepada generasi baru tentang kisah-kisah dan sejarah para pejuang terdahulu yang mula dilupakan oleh sesetengah pihak,

“berapa ramai yang tidak tahu bahawa (kawasan) Hulu Terengganu ini sebenarnya kaya dengan sejarah kepahlawanan,’ ujarn beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Seramai 200 orang peserta dan melibatkan lebih dari 50 buah kenderaan telah memulakan perjalanan pada jam 8.30 pagi dan berakhir sekitar jam 6 petang.

Antara lokasi yang disinggahi oleh ‘konvoi’tersebut adalah rumah dan surau Haji Abdul Rahman Limbong, Kubur
 
Pahlawan Padang Kacong, Memorial Batu Bersurat, Maqam Tok Gajah dan Maqam Tok Pauh.

Sepanjang ‘kembara’, para peserta mendapat ‘pengkisahan bermaklumat’ dengan ‘bicara pejuang’ yang menampilkan para panel terdiri daripada ‘warga lama’ Hulu Terengganu yang masih menyimpan sejarah perjuangan silam dalam memori mereka.

Program yang julung-julung kalinya diadakan ini, dianjurkan oleh Lujnah Kebajikan PAS Kawasan Hulu Terengganu dengan kerjasama Skuad Cakna Masyarakat, Ameerah, Yayasan Amal Malaysia, Darul Syifa, Shabab Care dan PAHAT, sempena menyambut kemerdekaan yang ke-59.

Sumber BO - 1-9-2016

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------







RUU355 penerus legasi kemerdekaan

ALANG IBN SHUKRIMUN | .



http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/42342-ruu355-penerus-legasi-kemerdekaan

RISALAH ANAK MERDEKA BHG 3


DALAM tulisan lepas, kita menyatakan bahawa cara membebaskan negara dari belenggu penjajah adalah meminda perlembagaan tinggalan Lord Reid ini. Sebagai anak merdeka, walaupun kita patuh kepada undang-undang negara, tapi kita tidak boleh redha selama-lamanya dengan perlembagaan ini.

Perlu ada usaha untuk menuju ke arah kemerdekaan total dari saki baki penjajah menurut saluran yang betul.

Justeru sebagai wadah gerakan Islam, PAS sebelum merdeka lagi mengambil pendekatan menyertai pilihanraya dan menghantar wakil di Parlimen.

Sebagai badan legislatif, parlimen berkuasa menentukan undang-undang negara. Keberadaan PAS telah banyak memainkan peranan di parlimen. Walaupun dengan kuantiti ahli parlimen yang sedikit, tetapi kualitinya tetap bermutu untuk menyampaikan risalah kebenaran kepada pihak penentu undang-undang negara.

Terkini, satu lagi usaha PAS melalui Presidennya yang juga ahli parlimen Marang membawa usul RUU Pindaan akta 355 di bawah perlembagaan persekutuan.

Akta ini sejak digubal telah mengongkong mahkamah syariah setiap negeri dari menjalankan proses kehakiman berasaskan syariah tuhan.

Walaupun perlembagaan menetapkan urusan agama diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, tetapi akta ini jelas menunjukkan campurtangan dan pertindihan kuasa antara pusat dan negeri.

Oleh itu, usaha meminda akta ini amat wajar bukan sahaja demi menjaga keutuhan sistem federalisme negara, bahkan secara tidak langsung memartabatkan syariah Islam serta memerdekakan undang-undang negara dari kepeningan sistem aturan penjajah.

Akta 355 menetapkan bahawa mahkamah syariah hanya boleh menjalankan hukuman tidak lebih dari 3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan 5000 ringgit denda. Lalu dengan merujuk kepada peruntukan perlembagaan pada fasal 3 iaitu Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan agama lain bebas diamalkan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi mempertikaikan kenapa hak agama lain dijamin tetapi hak umat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam sendiri disekat dengan akta 355 ini.

Dalam RUU ini, Tuan Guru mengusulkan supaya akta tersebut dipinda supaya memberikan kebebasan kepada mahkamah syariah untuk menjalankan proses kehakiman dengan undang-undang negeri masing-masing.

Namun begitu ia tidaklah bermakna selepas ini mahkamah syariah semua negeri bebas membicarakan apa sahaja kesalahan kerana tertakluk kepada peruntukan perlembagaan lain juga. Tetapi setidaknya usaha ke arah penambahbaikan mutu syariah Islam ditingkatkan. Kata hukama; apa yang tidak mampu dilakukan semuanya jangan ditinggalkan kesemuanya.

Alhamdulillah, setelah disampaikan dengan jelas betapa usul ini tidak bercanggah dengan perlembagaan dan tidak mengganggu agama lain, maka pihak kerajaan bersetuju memberikan laluan kepada usul ini untuk dibentang.

Dakwah PAS sekian lama di Parlimen akhirnya membuahkan hasil. Penentuan seterusnya adalah pada bacaan kali kedua bulan Oktober ini.

Usaha meminda akta ini adalah satu penerusan bagi perjuangan memerdekakan negara yang ditinggalkan pejuang terdahulu. Namun begitu, masih ada kumpulan yang cuba menghalang perjuangan kemerdekaan ini. InsyaAllah akan dikupas dalam tulisan berikutnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Sumber HD - 31-8-2016

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------











Hayati kemerdekaan untuk politik harmoni

HARAKAHDAILY | .



http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/42341-hayati-kemerdekaan-untuk-politik-harmoni

IKATAN Selangor ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-59 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada mereka yang memperjuangkan kemerdekaan.

Ikatan Selangor juga berpendapat setiap rakyat Malaysia seharusnya menghayati apa itu di sebalik kemerdekaan yang sebenarnya, ia bukan sekadar disambut setiap kali tibanya 31 Ogos.

Melalui penghayatan erti kemerdekaan, Ikatan Selangor berpendapat Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih harmoni tanpa ada pertelingkahan serta sebuah kerajaan yang lebih perihatian terhadap rakyat.

Sebenarnya melalui kermerdekaan ini melahirkan lima perkara Rukun Negara yang menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia.

Dengan penghayatan serta amalan yang diterap melalui rukun negara, ia dapat mewujudkan sistem politik yang harmoni serta amalan demokrasi yang sihat.

Ikatan Selangor menyeru sempena dengan sambutan hari kemerdekaan ini, seluruh rakyat mahupun pendokong parti politik perlu menghayati erti sebenarnya perjuangan kemerdekaan serta apa itu lima perkara rukun negara agar kita lebih dihormati oleh semua pihak.

Betul, kita menolak sebuah pemerintahan yang rasuah, tidak adil serta menekankan hidup rakyat, kita mahukan perubahan untuk pentadbiran yang lebih telus dan adil dan sebarang perubahan itu perlu dilakukan melalui sistem pilihanraya yang sedia ada.

Sebagai sebuah kerajaan yang sedang memerintah mereka perlu sedar bahawa rakyat inginkan kemerdekaan yang sebenar bukannya mereka dijajah melalui ekonomi yang semakin teruk, rakyat inginkan perubahan maka kerajaan perlu memastikan sistem pilihan raya yang ada di dibersihkan sepenuhnya tanpa ada campur tangan.

Kemerdekaan yang sebenar adalah kebebasnya campur tangan politik dalam segala bidang terutamanya sistem pilihan raya, kehakiman serta penguatkuasaan, gagalnya erti kemerdekaan jika kerajaan masih ingin menguasai seluruh agensi terutamanya membabitkan hak rakyat di dalam memilih sebuah kerajaan.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

DATUK SERI MOHAMAD BADRI ABD RAHMAN
Pengerusi Ikatan Selangor
Ahli Dewan Tertinggi Ikatan Malaysia – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Sumber HD - 31-8-2016

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------











Merdekakan perlembagaan negara

ALANG IBN SHUKRIMUN | .




http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/42321-merdekakan-perlembagaan-negara

RISALAH ANAK MERDEKA BHG 2

SEBAGAIMANA yang dinyatakan menerusi bahagian lalu, merdeka bagi seorang Islam bererti bebas daripada segala bentuk perhambaan kepada makhluk dan hanya memperhambakan diri kepada khaliq SWT. Dengan kefahaman ini, maka adakah negara tercinta kita sudah merdeka?

Jawabnya, negara hanya merdeka daripada individu penjajah, tetapi hakikatnya masih dibelenggu dengan sistem penjajah. Dengan erti kata lain, kemerdekaan kita masih belum sempurna dan perjuangan menuntut kemerdekaan ini perlu diteruskan.

Ketika rakyat tanah melayu bersatu menuntut kemerdekaan daripada penjajah British, kerajaan British telah melantik Lord Reid (Gambar atas) mengetuai sebuah suruhanjaya bagi menggubal sebuah perlembagaan untuk Malaysia. Ironinya, tiada seorangpun anak jati Tanah Melayu menjadi anggota dalam suruhanjaya tersebut.

British mensyaratkan sekiranya Tanah Melayu mahukan kemerdekaan, mereka harus menerima perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid sebagai undang-undang tertinggi negara. Delegasi Tunku Abdul Rahman yang terbang ke London akhirnya menyetujui perkara ini sebulat suara.

Walhasil, Tunku Abdul Rahman pulang membawa khabar gembira akan kemerdekaan. 31 Ogos 1957 diumumkan sebagai tarikh rasmi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Namun hakikat yang buruk di sebaliknya adalah, hanya kelibat British yang hilang daripada tanah melayu. Dengan perlembagaan Lord Reid itu, mereka masih menguasai Tanah Melayu!

Walaupun yang menjadi PM adalah anak Melayu, walaupun orang nombor satu adalah raja Melayu yang menjadi Yang di-Pertuan Agong, hakikatnya kuasa mereka berada di bawah izin perlembagaan. Yang paling berkuasa di negara kita hari ini adalah perlembagaan penjajah, hatta Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak boleh bertindak melainkan apa yang dibenarkan perlembagaan.

Mujurlah para alim ulama kita yang celik politik dahulu sedar masalah ini. Mendengar khabar Suruhanjaya Reid, mereka cuba fahamkan rakyat tentang hakikat sebenar ini hingga membawa rakyat turun ke jalan raya.

Demonstrasi diadakan menuntut Suruhanjaya Reid memasukkan unsur-unsur jati diri Tanah Melayu ke dalam dasar perlembagaan negara. PAS menghantar memorandum mendesak tiga perkara utama dimasukkan dalam perlembagaan.

Ia adalah Islam sebagai agama rasmi, jaminan hak istimewa bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Akhirnya Suruhanjaya Reid akur dengan desakan ini.

Walau bagaimanapun, itu hanyalah sebahagian usaha awal agar Tanah Melayu tidak dijajah secara total. Perjuangan PAS dan alim ulama terdahulu masih diteruskan setelah British keluar dari tanah melayu.

Hal ini kerana akta-akta tanah, akta-akta ekonomi, akta-akta mahkamah, akta-akta pentadbiran negara masih dibelenggu sistem British. Sebahagian besarnya jelas bercanggah dengan jati diri asal Tanah Melayu yang berakidah Islam dan pernah ditadbir dengan sistem Islam sebelumnya.

Ia juga bercanggah dengan fasal 3 perlembagaan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Satu-satunya cara untuk merdeka daripada sebarang unsur penjajah adalah dengan meminda perlembagaan negara. Ini hanya boleh berlaku di Parlimen. Ikuti kupasan seterusnya dalam bahagian akan datang. – HARAKAHDAILY 30/8/2016

Sumber HD - 30-8-2016

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------













Merdeka: Exco Selangor pimpin bacaan Asmaul Husna

HARAKAHDAILY | .



http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/42339-merdeka-exco-selangor-pimpin-bacaan-asmaul-husna

KUALA LUMPUR: Rahmat pembebasan daripada penjajahan dizahirkan dengan rasa syukur menerusi pembacaan Asmaul Husna pada Program Malaysiaku Merdeka.

Menariknya, pembacaan 99 nama Allah itu dipimpin oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib bersama hadirin di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, malam tadi.

Sebelumnya, bacaan tersebut diiringi kumpulan nasyid Soutul Amal bersama kanak-kanak Rohingya Subang dan pendakwah lainnya, selain nyanyian lagu Negaraku meraikan sambutan kemerdekaan ke-59 tahun.

Sementara itu, Zaidy ketika berucap dalam sambutan ambang kemerdekaan peringkat Taman Templer, berkata masyarakat perlu memahami konteks sebenar kemerdekaan.

Katanya, wujudnya stigma negatif dan tafsiran kurang tepat dalam kalangan masyarakat tentang pengertian kemerdekaan sebenar, dalam konteks tema kemerdekaan tahun ini, ‘Sehati Sejiwa’.

“Pengertian ‘Sehati Sejiwa’ itu sendiri bermaksud kita berpegang kepada janji Allah. Mudah-mudahan ianya akan terus menjadi iltizam sebagai bekalan untuk kita memerdekakan negeri kita,” katanya dipetik SelangorKini.

Katanya lagi, masyarakat Malaysia perlu mensyukuri nikmat keamanan dan tidak terus leka dengan nafsu duniawi dan melupakan tugas sebenar hidup di bumi Allah.

“Pastikan diri kita ini bebas dan merdeka daripada hawa nafsu dan godaan syaitan. Semoga kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah,” katanya.

Sumber HD - 31-8-2016

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Azan dan doa, seluruh Tanah melayu menangis 31 Ogos 1957
Posted on Wednesday, August 31 @ 09:08:28 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah

http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=31505



Pada sambutan kemerdekaan 31 Ogos 1957, ianya dimulakan dengan laungan azan oleh Ustaz Hasan Azahari



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سَائِرَ العُمَّالِ وَالوُزَرَاءِ وَالسَّلاَطِينَ وَالمُلُوكِ وَالأُمَرَاءِ لِرِعَايَةِ أُمُورِ الدِّينِ وَالمُحَافَظَةِ عَلَى حُقُوقِ المُسْلِمِينَ وَإِقَامَةِ العَدْلِ فِى الأَحْكَامِ وَالتَّمَسُّـكِ بِفَضَائِلِ الإِسْلاَمِ

اَللَّهُمَّ وَأَصْلِحْ بِهِمْ شُئُونَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ حَتَّى تَتَرَقَّى وَتَتَقَدَّمَ إِلَى أَعْلَى مَا يَتَحَقَّقُ بِهِ بُلُوغُ الأُمْنِيَّةِ. اَللَّهُمَّ وَانْصُرْنَا مَعَاشِرَةَ الأُمَّةِ المَلاَيُوِيَّةِ وَاهْدِنَا وَسَدِّدْنَا خَيْرَ البَرِيَّةِ وَاهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْـتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّآلِينَ،

اَللَّهُمَّ اكْشِفْ عَنَّا الكُرُبَاتِ وَسَـلِّمْنَا نَحْنُ مِمَّا فِيهِ مِنَ الآفَاتِ وَاحْفَظْنَا مِنْ كُلِّ سُوءٍ وَمَلاَمٍ وَبَـلِّغْنَا كُلَّ مَقْصُودٍ وَمُرَامٍ وَأَصْلِحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ غَيْرِنَا حَتَّى تَكُونَ فِى أَمَانٍ وَسَلاَمٍ. وَفَرِّجْ عَنَّا كُرُبَاتِنَا فَرْجًا عَاجِلاً بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

اَللَّهُمَّ كُنْ لَنَا وَلَهُمْ وَلِهَذَهِ البِلاَدِ حَافِظًا مِنْ جَمِيعِ البَلاَيَا وَدَافِعًا عَنَّا وَعَنْهُمْ جَمِيعَ الرَّزَايَا، وَانْصُرْنَا عَلَى الأَعْدَاءِ وَالحُسَّادِ وَاحْلُلْ غَضَبَكَ وَنِقْمَتَكَ عَلَى البَغْيِ وَالفَسَادِ اَللَّهُمَّ وَاحْرُسْ بِعَيْنِكَ الَّتِي لاَ تَنَامُ وَاكْـنُفْ بِكَنَفِكَ وَرُكْنِكَ الَّذِي لاَ يُرَام. اَللَّهُمَّ اِرْمِ رَايَةَ الإِسْلاَمِ مَنْشُورَةً وَمَوَاطِنَ الدِّينِ وَالحَـقِّ مَعْمُورَةً


Yang bermaksud, Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekelian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.

Oleh,

Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, doa ini dibaca ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31hb Ogos 1957. Sumber Jabatan Mufti Negeri Sembilan


Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman disertakan laungan "MERDEKA" 7 kali. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru oleh Ustaz Hassan Azhari (Tan Sri) dan tembakan meriam seratus satu das.

Video: https://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=RVbstSPmhIo


Sumber TKO - 31-8-2016

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sayalah yang naikkan bendera Tanah Melayu 31 Ogos 1957
Posted on Wednesday, August 31 @ 08:58:44 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah


http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=31504



Sebahagian daripada tugas hakiki Mohd Sarif Kalam memerlukan beliau menaikkan bendera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tatkala adanya majlis rasmi.

Bersama rakan setugas lain, beliau akan sentiasa memastikan tidak berlakunya sebarang ‘kecacatan’ yang akan merosakkan upacara yang sedang berlangsung.

Namun, pada tanggal 31 Ogos 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan mencapai kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pesara tentera laut berusia 79 tahun itu merasa sedikit kelainan.

Keseluruhan tubuhnya gemuruh malah hampir menangis kerana terlalu sayu menyedari dirinya berada di tengah lautan manusia untuk melaksanakan satu-satunya tanggungjawab yang baginya tidak akan berulang, katanya dalam temu bual di kediamannya di sini baru-baru ini.

Katanya, tugas itu lebih berat berbanding hari biasa kerana perlu menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu (yang kini dikenali sebagai Malaysia dan bendera dikenali sebagai Jalur Gemilang) secara rasmi buat pertama kali untuk dipersembahkan kepada orang ramai.

Sebelum itu, Mohd Sarif hanya melihat proses-proses pembuatan bendera itu dari jauh sewaktu menjalani latihan menaikkan bendera berkenaan di Depoh Latihan Polis (kini Pusat Latihan Polis) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Pakcik berkampung empat hari tiga malam di Depoh itu untuk memastikan latihan menaikkan bendera Malaysia berjalan lancar dan pada kesempatan itu, pakcik melihat bagaimana ia (bendera) dibuat.

“Memang rasa bangga kerana menjadi antara orang yang pertama melihatnya, namun pakcik rasa pelik kerana perasaan (bangga) itu belum cukup menyengat.

“Sampailah bila tiba detik bersejarah, perasaan semangat itu lain, tambahan lagi bila kedudukan kita berada di tengah padang, dikelilingi orang-orang kenamaan termasuk Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Ia menjadikan detik itu lebih bermakna kerana semua orang tertumpu kepada arah bendera Malaysia,” kata Mohd Sarif.

Katanya, beliau bertuah kerana diberi kepercayaan yang tinggi oleh ketua unitnya untuk melaksanakan tanggungjawab itu, walaupun pada hakikatnya beliau hanyalah seorang laskar biasa di bahagian komunikasi TLDM ketika itu.

“Pakcik dipilih melakukan tugas itu ketika baru berusia 20 tahun dan sudah dua tahun bekerja.

“Mujur, pakcik dibantu dua lagi individu bersama pakcik ketika itu iaitu pegawai bentara kanan (Awang Mohd Salleh) dan laskar kanan TLDM (Oliver Culvelt Samuel) dan kami melakukannya dengan sempurna sekali sambil diiringi nyanyian lagu Negaraku,” kata beliau yang berasal dari Batu Pahat itu.

Mohd Sarif berkata setelah beliau menamatkan perkhidmatan dengan TLDM pada 16 April 1987, beliau kerap menceritakan kembali detik-detik berkenaan dengan masyarakat sekeliling termasuk anaknya serta saudara-mara.

Menurutnya, perkongsian beliau itu sebagai mengingatkan golongan muda agar lebih menghargai dan memahami sebaiknya erti kemerdekaan setelah pejuang negara bertungkus-lumus menghadapi pelbagai konflik ketika menghadapi penjajahan asing dan konfrontasi bermula era 1940-an hingga 1960-an. 


Sumber TKO - 31-8-2016

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

















Pelbagai kaum dan agama sambut Hari Malaysia bersama PAS

JOFRI JARAIEE | .


MIRI: Acara kemuncak Hari Malaysia peringkat nasional di Miri mendapat sambutan di luar dugaan kerana pelbagai bangsa dan agama telah menghadiri makan malam di Eastwood Valley pada malam 15hb September 2014.

Antara pemimpin PAS Pusat yang hadir pada malam tersebut adalah MP Pokok Sena dan Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Mahfuz Omar, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib yang juga mantan menteri besar Selangor dan juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat, MP Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Muslimat PAS pusat, Pesuruhjaya PAS Sarawak Tuan Haji Adam Ahid, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak Mr Yeo Kian Leong dan John Barah pengerusi DHPP Miri serta pemimpin tempatan. (Gambar kanan)

Antara kandungan ucapan yang disampaikan oleh penceramah pada malam tersebut ialah kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh rakyat Sarawak sendiri sepatutnya jangan menyalahkan pihak lain yang menyebabkan rakyat Sarawak hidup dalam kemiskinan kerana kekayaan hasil bumi Sarawak sepatutnya dinikmati oleh semua lapisan rakyat bukan hanya dinikmati oleh pemimpin BN serta kroni mereka saja.

Begitu juga dengan masalah ampangan Baram yang akan menyusahkan kehidupan penduduk yang tinggal di kawasan Baram. Menurut John Barah, penduduk kampung memerlukan tempat tinggal yang selamat dan sepatutnya pihak kerajaan membina lebih banyak infrastuktur dan kemudahan asas kepada rakyat.

Mr Yeo pula berkata yang masyarakat berbagai kaum di Sarawak boleh menerima PAS sebab PAS bukan parti ektremis tapi yang peliknya mengapa terdapat umat Muslim yang masih takut dengan PAS. Kebanyakan umat Muslim yang takut dengan PAS sebab ada diantara mereka masih lagi suka berjudi katanya. Semua agama melarang penganutnya supaya tidak berjudi dan minum minuman yang memabukkan. Katanya lagi isu Hudud adalah mainan pemimpin politik yang cuba untuk menakutkan rakyat kepada PAS sedangkan rakyat biasa di Sarawak tiada masalah dengan Hudud sebab katanya lagi perundangan syariah memang sudah ada cuma Hudud adalah sebagai tambahan dalam perundangan jenayah syariah.

Antara lain ucapan pemimpin PAS pusat ialah menyeru agar rakyat Sarawak perlu berani berubah kalau mahu terus maju atau setanding dengan negara lain kerana kalau mereka masih takut untuk berubah, mereka akan terus ketinggalan dari segi infrastrukur dan sebagainya. Mereka juga rasa kesal kerana masih ada lagi rakyat Sarawak yang hidup dalam kemiskinan dan tiada kemudahan asas seperti air bersih yang sepatutnya dapat dinikmati oleh penduduk terutama yang tinggal di luar bandar.

Walaupun tanah Sarawak luas tetapi masih ramai lagi penduduk Sarawak yang masih tidak ada hak milik tanah kekal seperti mana penduduk di Semenanjung.

Pada malam tersebut juga ada pelancaran Tabung Kebajikan UntukMu Sarawak dimana tabung tersebut khas untuk membantu penduduk Sarawak yang memerlukan bantuan.

Kehadiran penduduk berbagai kaum dan agama dalam majlis Hari Malaysia bersama PAS menujukkan bahawa PAS terus mendapat tempat dihati rakyat setelah mereka kenal PAS dengan lebih dekat lagi.

Menurut Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib beliau merasa kagum kerana melihat berbagai kaum dan agama hadir pada makan malam Hari Malaysia anjuran PAS di Miri. Dia tidak menjangka kehadiran berbagai kaum dan agama seperti ini lebih-lebih lagi di tempat yang terdapat ramai majoriti non Muslim.

Semoga PAS akan terus mendapat tempat dihati rakyat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. – HARAKAHDAILY 16/9/2014

Sumber HD - 16-9-2014





















Miri tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2014

JOFRI JARAIEE | .

Miri telah diberi penghormatan oleh PAS pusat sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 2014.

Antara program yang akan diadakan sepanjang sambutan Hari Malaysia adalah pertandingan mewarna 'UntukMu Sarawak' terbuka kepada semua, terutama kanak-kanak pra-sekolah dan juga dari tahap 1 hingga ke tahap 2.

Disamping itu, ada juga acara Larian ‘UntukMu Sarawak’ terbuka untuk semua golongan yang akan bermula dari MYY Mall Miri pada pagi ahad 14hb sept 2014.

Antara lain acara yang akan diadakan sepanjang Hari Malaysia adalah konvoi kembara bersama dengan pimpinan PAS, memberi sumbangan kebajikan kepada penduduk yang kurang bernasib baik di sekitar bandaraya Miri serta pameran dan derma darah juga akan diadakan di MYY Mall Miri.

Kemuncak program sambutan Hari Malaysia adalah majlis makan malam Pakatan Rakyat Hari Malaysia pada 15 September 2014 di Eastwood Valley Miri.

Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah antara tetamu jemputan khas untuk memberi ucapan pada malam tersebut.

Semua rakyat Sarawak dan penduduk Miri khasnya dijemput hadir bersama untuk meraikan majlis dan program sempena sambutan Hari Malaysia itu nanti.

PAS akan terus bersama rakyat dan inilah masa untuk orang ramai mengenali PAS dengan lebih dekat lagi sepanjang sambutan Hari Malaysia.

Kehadiran anda semua untuk meraikan program ini amat dihargai tanpa mengira bangsa, agama dan juga fahaman politik. Kerjasama dengan pihak keselamatan untuk memudahkan perjalanan program ini juga amat dialu-alukan.

Sebarang pertanyaan untuk penyertaan dalam aktiviti program sepanjang sambutan Hari Malaysia bersama PAS boleh hubungi nombor telefon dibawah:-

Hakimah: HP 0139705078 untuk Pertandingan Mewarna

Mohd Asrul: HP 0192669326 untuk acara Larian UntukMu Sarawak

Mohammad Arifiazul: HP 0138377505 untuk tempahan tiket makan malam sambutan Hari Malaysia.

Sumber HD - 1-9-2014



















Ulama pejuang merdeka, mereka bukan pemberontak

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS mendesak supaya semua pihak khususnya kerajaan supaya menulis kembali sejarah kemerdekaan tanah air.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ini agar para pejuang yang benar-benar terlibat memerdekakan tanah air ditulis kembali nama mereka.

"Mereka dahulunya yang benar-benar terlibat dengan memerdekakan tanah air kita, untuk ditulis kembali nama-nama mereka, bukan dituduh sebagai pemberontak, penderhaka, sedangkan mereka adalah pejuang-pejuang yang memerdekakan tanah air kita ini," ujarnya dipetik daripada Buletin Online.

Hari ini, katanya yang mengiktiraf kemerdekaan itu seolah-olah dari kalangan pemimpin-pemimpin Umno sahaja sedangkan mereka dahulunya merupakan pekerja, petugas pegawai kerajaan di bawah penguasaan British.

“Mereka yang sebenarnya telah dilantik oleh British, untuk menubuhkan Umno bagi menghalang gerakan rakyat untuk menolak Malayan Union,” katanya yang juga Adun Paka.

Bercakap kepada pihak media selepas Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiah di Manir, Hulu Terengganu semalam, beliau menegaskan, dalam masa yang sama, kerajaan yang ada hari ini menyekat perjuangan Islam.

Katanya, ia merupakan ‘permainan’ penjajah untuk melahirkan generasi yang meneruskan apa yang dibuat oleh mereka.

Sehubungan itu, ujarnya, PAS Terengganu mengadakan sambutan kemerdekaan dengan menganjurkan majlis-majlis penerangan untuk memberi penjelasan takrif sebenar kemerdekaan, siapa sebenarnya pejuang-pejuang kemerdekaan, dan siapa sebenarnya yang mengkhianati kemerdekaan tanah air.

“Supaya minda rakyat kita ini dimerdekakan daripada kongkongan sejarah yang telah dimanipulasi oleh penjajah, biasanya kerajaan yang memerintah, yang menulis mengikut kehendak ini, bukan sebenarnya latar belakang kisah sebenarnya.

“Kalau kita lihat dahulu, pejuang-pejuang seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Dol Said, mereka sebenarnya dari kalangan ulama. Datuk Maharajalela (adalah) mufti pernah belajar di Madinah,” jelasnya.

Katanya, mereka merupakan anak murid kepada Tok Ku Paloh, tetapi latar belakang mereka seolah-olah disembunyikan.

“Yang di timbulkan mereka ini sebagai pemberontak. Perkara inilah yang perlu generasi baru khususnya, generasi yang lahir selepas merdeka seharusnya memahami perjuangan ini, jika mereka memahami, kita sedia maklum bahawa negara kita ini lahiriahnya kita merdeka, tapi minda kita masih lagi terjajah,” ujarnya lagi.

Sumber  HD - 31-8-2014

Bayi merdeka akhiri penantian selama 6 tahun

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Tanggal keramat ketika negara menyambut ulang tahun ke-57 kemerdekaan turut menjadi hari bersejarah buat Ida Fikriah Ismail, 36, yang selamat melahirkan bayi sulung selepas enam tahun berkahwin.

Ida Fikriah berkata beliau dan suami, Mohd Zamzuri Khoshim, 37, amat gembira dengan kehadiran bayi lelaki seberat 2.90 kilogram itu pada 9.46 pagi tadi selain bersyukur kelahiran secara normal itu dipermudah.

"Saya berasa teruja dan gembira tidak terkata, setelah bertahun kami menanti kehadiran seorang anak, akhirnya doa kami untuk memiliki zuriat dimakbulkan," katanya kepada Bernama di KPJ Ampang Puteri.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam KPJ Ampang Puteri Roslin Amran berkata dua lagi bayi perempuan dilahirkan di hospital berkenaan setakat tengah hari ini dengan kelahiran pertama pada 7.08 pagi.

Sejumlah 52 bayi merdeka iaitu 21 perempuan dan 31 lelaki dilahirkan di enam hospital kerajaan serta swasta sekitar Lembah Klang bermula selepas detik 12 tengah malam tadi hingga 2 petang ini.

Bayi merdeka pertama ialah bayi lelaki yang dilahirkan tepat pukul 12 tengah malam tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Bayi seberat 3.08 kilogram itu antara 18 kelahiran yang direkod di hospital berkenaan, yang turut mencatat kelahiran paling tinggi.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula, sejumlah tiga bayi dilahirkan, kesemuanya lelaki, dengan kelahiran pertama pada 7.20 pagi.

Sementara itu, Hospital Ampang mencatat 15 kelahiran iaitu 11 perempuan dan empat lelaki dengan bayi pertama dilahirkan pada 12.28 pagi.

Di Hospital Selayang, sejumlah 12 bayi dilahirkan iaitu 10 lelaki dan dua perempuan manakala KPJ Tawakkal Specialist Hospital merekodkan kelahiran seorang bayi perempuan.

TERENGGANU pula merekodkan kelahiran 19 bayi di empat hospital kerajaan iaitu sembilan lelaki dan 10 perempuan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata daripada jumlah itu, lapan bayi lelaki dan lima perempuan dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau berkata Hospital Kemaman merekodkan empat kelahiran bayi diikuti Hospital Dungun dan Besut masing-masing dengan satu kelahiran.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri Toh Puan Halina Zakaria meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi bayi merdeka di HSNZ.

Bagi Sharah Salleh, 34, tiada perkataan yang mampu diungkap bagi menggambarkan kegembiraan beliau dan suaminya apabila kelahiran anak ketiga mereka berkongsi tarikh keramat sambutan kemerdekaan negara.

"Saya dijangka bersalin pada 8 Sept ini, dan saya tak sangka akan melahirkan anak lebih awal dari tempoh yang dijangkakan, dan saya turut berbangga anak saya dilahirkan sebagai anak merdeka," katanya ketika ditemui di wad bersalin HSNZ. - Bernama

Sumber HD - 31-8-2014






















57 tahun merdeka, pengisiannya masih tempang

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pengisian kemerdekaan negara ini sepanjang 57 tahun masih tempang dan gagal.

Beliau yang berucap pada sambutan ambang kemerdekaan sempena 40 tahun PAS Wilayah Persekutuan berkata, kerajaan masih gagal menjadikan negara ini dalam keadaan yang terbaik walaupun 57 tahun merdeka.

"57 tahun kita masih tempang, mana pengisian sebenar. Pentadbiran yang gagal sehinggakan sampai sekarang kita tidak mengetahui hak sebagai rakyat.

"Pada awal kemerdekaan kita memikirkan tentang pengisian, pembangunan negara dan hala tuju tetapi itu tidak berlaku sepenuhnya.

"Masa depan yang menyimpang dari asas merdeka yang betul," ucap beliau pada majlis yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

Tambah beliau, teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Najib Razak membuktikan hala tuju negara yang semakin jauh menyimpang tanpa mempedulikan hak rakyat di bawah.

"Bukan sahaja kita perlu memekik merdeka setiap tahun, tetapi hala tuju sebenar untuk membina kebajikan rakyat tidak kita perolehi.

"Kita bercakap tentang Melayu tetapi 57 tahun merdeka di mana hak kita yang sebenarnya dalam negara ini," sambung beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan bahawa jiwa merdeka dapat melahirkan keberanian untuk berfikir, kesetiaan untuk memastikan negara ini terus dipelihara.

"57 tahun ekonomi entah ke mana, agama Islam entah ke mana, ini yang perlu kita fikirkan dan ini adalah asas yang utama untuk kehidupan kita.

"Kemakmuran merupakan milik kita bersama tetapi tidak kita perolehi," tambah beliau. - HARAKAHDAILY 31/8/2014

Sumber HD - 31-8-2014



















Sejarah menuntut merdeka bukan bermula 1946

MUHAMMAD FAIZAL | .

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu sejarah negara ini banyak yang disembunyikan terutamanya tentang perjuangan asal menuntut kemerdekaan.

Berucap pada Wacana Kemerdekaan di Universiti Selangor (Unisel) hari ini, beliau berkata perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan semula untuk pengetahuan generasi akan datang.

"Perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan, ingat ia bukannya bermula pada tahun 1946 tetapi sejak dari awal lagi.

"Sejarah-sejarah awal perlu kita kaji semula dan kita kena tahu apa yang berlaku sebelum ini, sepertimana perjuangan menentang penjajahan Portugis dan Inggeris di Melaka sewaktu ketika dulu," katanya.

Beliau menekankan nilai kemerdekaan dari perspektif Melayu dan Islam berkata, peranan Islam amat penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

"Di sini peranan perjuangan Islam amat penting dalam menuntut kemerdekaan, ia melibatkan semua tempat dan kedudukan. Ini perlu digali semula dan diperbetulkan, janganlah kita dibohongi dengan sejarah sendiri.

"Kita kena tahu dan jangan lupa sejarah sebenar, kita menghargai mereka yang sebenarnya berjuang tetapi dilupai," ucap beliau.

Ahli Parlimen Marang itu juga meminta semua pihak dalam mengisi semangat kemerdekaan mesti bersikap adil dengan semua kaum.

"Banyak perkara timbul dalam suasana sekarang, masalah politik, ekonomi dan paling ketara pengisian dalam masyarakat majmuk.

"Kita kena berlaku adil dengan semua kaum, masyarakat madani dalam Islam perlu diterap dalam masyarakat majmuk sekarang.

"Masing-masing mempunyai kelebihan dan kita perlu saling menghormati serta ketengahkan jangan mengabaikannya.

"Kita punyai titik persamaan, titik persamaan ini digabungkan untuk masyarakat majmuk dalam mencarikan satu kebaikan," sambung beliau.

Sebelum itu, wacana kemerdekaan dibarisi ahli panel Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar (UM), Prof Dr Kamarulzaman Yusoff (UTM), Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Mohd Fadli Ghani manakala Prof Dr Badlisham Mohd Nasir (Ilmuan) sebagai moderator. - HARAKAHDAILY 30/8/2014

Sumber HD - 30-8-2014



















Merdeka: Slogan dilaung PM tidak bawa maksud apa-apa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Setelah 57 tahun Merdeka, Malaysia masih lagi merangkak dalam usahanya membina sebuah masyarakat yang harmonis tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Lim Kit Siang salah satu tweet menggunakan hashtag tersebut menulis, ‘seandainya iklan Merdeka itu benar, pastilah kerajaan tidak perlu membazir wang mempromosikan 1Malaysia’.

Setakat sekarang, katanya slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri ternyata sekadar penjenamaan, dan hakikatnya tidak membawa maksud apa-apa.

"Kita dapat melihat seolah-olah pendekatan pecah dan perintah warisan penjajah British masih lagi terjadi. Kita masih lagi terpecah-pecah dan tidak bersatu.

"Malah kita masih lagi menggunakan undang-undang British untuk menafikan hak bersuara dan berpendapat seperti Akta Hasutan 1948 dan pelbagai lagi undang-undang yang menindas, sepertimana yang boleh dilihat dari beberapa pendakwaan terpilih dan berniat jahat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dalam masa sepuluh hari lalu," ujarnya dalam satu kenyataan. - HARAKAHDAILY 30/8/2014

Sumber HD -30-8-2014



















Nabi Muhammad tokoh pejuang kemerdekaan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sempena menyambut ulangtahun ke-57 negara kita mencapai kemerdekaan, hayatilah tokoh agung pejuang pembebasan dan kemerdekaan iaitu Nabi Muhammad SAW.

"Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat manusia daripada segala bentuk penjajahan dan perhambaan," tegas Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menerusi facebook.

Justeru, kata beliau penjajahan minda, pemikiran, aqidah sehinggalah kepada penjajahan sistem kehidupan sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial perlu dibebaskan sepenuhnya dari anasir yang merosakkan masyarakat bagi mencapai makna hakiki kemerdekaan.

"Kemerdekaan yang hakiki ialah apabila seseorang itu berjaya melepaskan diri dari belenggu jahiliah dan hasutan jahat diri," jelasnya.

Menurutnya, masyarakat yang merdeka adalah masyarakat yang saling bahu-membahu memastikan terlaksananya kebaikan dengan mencegah kemungkaran, hasilnya lahirlah sebuah negara yang benar-benar merdeka.

Belau berkata, sambutan kemerdekaan tahun ini agak suram dengan nahas pesawat MH17 dan kehilangan pesawat MH370 yang sehingga ke saat ini tiada khabar berita.

Tambahnya, lebih menyedihkan lagi apabila mengenangkan saudara kita di Gaza yang sekian lama dijajah oleh regim zionis.

"Apa erti kemerdekaan kita tanpa lahirkan rasa belas kasihan untuk membantu mereka," ujarnya. - HARAKAHDAILY 30/8/2014

Sumber HD - 30-8-2014

Presiden PAS di wacana Penilaian Semula Kemerdekaan hari ini

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diberi penghormatan untuk menyampaikan Ucapan Khas Kemerdekaan dalam satu program di Shah Alam hari ini.

Beliau dijadual berucap pada majlis Wacana Penilaian Semula Kemerdekaan yang diadakan di Dewan Pro Canselor UNISEL, kira-kira jam 12 tengahari ini.

Sebelum itu, majlis yang bermula dari awal pagi ini akan dirasmikan oleh Exco Kerajaan Selangor sebelum disusuli dengan satu wacana khas.

Wacana Kemerdekaan- Satu penilaian semula dari Perspekstif Melayu Islam itu akan diulas oleh empat orang panel.

Mereka adalah Prof Dato Abu Bakar (UM), Prof Dr Kamarulzaman Yusoff (UTM), Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dan Mohd Fadli Ghani, manakala moderatornya adalah Prof Dr Badlisham Mohd Nasir (ILMUAN).

Selepas program ini, Presiden PAS dijangka hadir pada sambutan ambang merdeka anjuran Lujnah Penerangan PAS Pusat di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru pada sebelah malam.

Program tersebut akan bermula dengan solat hajat sejurus selesai solat maghrib.

Ia kemudian akan disusuli dengan acara pentas yang akan bermula selepas Isyak.

Kesemua pimpinan utama PAS dijangka hadir pada program ini malam nanti.

Pada program malam ini, beberapa pimpinan utama PAS akan dibawa dengan motosikal berkuasa besar yang akan berkonvoi dari masjid negara menuju ke pentas utama.

Beberapa persembahan kesenian juga akan mengisi slot pentas malam ini. - HARAKAHDAILY 30/8/2014

Sumber HD - 30-8-2014

No comments:

Post a Comment