BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Saturday, August 30, 2014

LAJNAH PEKERJA DAN PENGGUNA PAS PUSAT - TN HJ ZAINAL ABIDIN KIDAM (PENGERUSI)

SESI 2017 - 2019 :

Pengerusi: Tuan Haji Zainal Abidin Kidam
Timbalan Pengerusi: YB Ustaz Abdullah Hussin


Sumber PP - 6-5-2017

SESI 2015 - 2017 :

Pengerusi : YBhg. Dr Mohd Fuad Salleh
Timbalan : YB Ust Abdullah Hussin


Sumber PP - 23-6-2015


Larangan tudung: Hujah MAH disangkal

KUALA LUMPUR: Lajnah Pengguna dan Pekerja PAS Pusat membantah sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee bahawa larangan bertudung kepada pekerja muslimah yang diamalkan oleh industri hotel bukan satu amalan diskriminasi. 
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Zainal Abidin Kidam turut menyelar kenyataan beliau yang menyebut bahawa amalan tersebut merupakan standard operasi perhotelan antarabangsa sebagai satu hujah yang tidak bertanggungjawab. 
"Ia dikeluarkan tanpa menghormati hak umat Islam untuk mengamalkan agamanya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negara iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan.
"Persatuan Hotel Malaysia perlu sedar bahawa lebih 65 peratus penduduk negara ini beragama Islam, maka dengan secara langsung industri hotel Malaysia akan menidakkan hak peluang pekerjaan kepada sebahagian besar daripada mereka. 
"Memandangkan permintaan pasaran tempatan industri perhotelan juga banyak bergantung kepada pelanggan Islam, adalah wajar perkhidmatan hotel yang disediakan juga perlu patuh syariah seperti mana penyediaan makanan halal," ujar beliau.
Di samping itu Zainal Abidin turut menegaskan keyakinannya dalam sebarang prinsip amalan pengurusan atau Standard Operation Procedure (SOP) yang membezakan pekerja atau pengambilan pekerja atas dasar agama, bangsa atau warna kulit merupakan amalan diskriminasi.
"Justeru pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap amalan diskriminasi oleh Persatuan Hotel Malaysia tersebut. Mereka perlu sedar bahawa amalan pemakaian tudung dan menutup aurat adalah satu amalan wajib kepada muslimah. 
"Larangan amalan tersebut bermakna bahawa Persatuan Hotel Malaysia telah menafikan hak asasi orang Islam di negara ini sepertimana hak bersolat," tegas beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu.
Sumber HD - 14-11-2017 




KDN gagal urus isu pekerja asing

PEKERJA asing yang sah sehingga bulan jun 2017 berjumlah 1.78 juta berdasarkan  kenyataan yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara bertulis kepada soalan dalam parlimen baru-baru ini dan dilaporkan media. 
Angka ini tidak termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dianggarkan mungkin melebihi angka yang sah walaupun KDN telah melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula (Program Rehiring) sebagai tindakan bagi mengurangkan PATI. Menurut jawapan KDN kepada soalan di Parlimen berikut adalah 10 negara dengan bilangan warganegara paling ramai di Malaysia, 
1. Indonesia - 728,870
2. Nepal - 405,898
3. Bangladesh - 221,089
4. Myanmar - 127,705
5. India - 114,455
6. Pakistan - 59,281
7. Filipina -56,153
8. Vietnam - 29,039
9. China - 15,399
10. Thailand - 12,603 
Sehingga kini isu lambakan pekerja asing ke negara ini masih tidak mendapat perhatian yang serius oleh pihak kerajaan sehingga mendatangkan kesan yang berantai termasuk jenayah dan sosial. 
Masalah pekerja asing sudah mencapai tahap yang sangat membimbangkan kerana lambakan yang tidak terkawal akan memberi kesan yang cukup negatif bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi yang mampan dan keselamatan sosial tetapi juga kepada keselamatan negara. 
Dalam isu ini PAS melihat dari segi ekonomi kesan yang paling ketara ialah kurangnya peluang pekerjaan kepada warga negara dan kadar upahan buruh yang rendah secara keseluruhannya.
Dengan pertumbuhan ekonomi yang agak sederhana dewasa ini, jumlah tenaga kerja yang diperlukan adalah lebih rendah daripada bekalan yang berlebihan sedia ada disebabkan lambakan pekerja asing. 
Pada hemat kami hasilnya majikan akan lebih bersedia untuk mengambil pekerja asing dengan bayaran upah yang lebih rendah berbanding pekerja tempatan. 
Inilah hujah utama yang digunakan oleh majikan dengan mengatakan bahawa pekerja tempatan lebih memilih untuk mendapat pekerjaan. Hakikatnya upah yang disediakan adalah jauh lebih rendah daripada sepatutnya berasaskan pencapaian ekonomi dan kos sara hidup semasa. 
Malah majikan sanggup mengambil pekerja yang kurang mahir berbanding pekerja tempatan yang lebih mahir dengan permintaan upahan yang lebih rendah dari pekerja asing. 
Hasilnya pekerja tempatan yang terlatih pun sangat sukar untuk mendapat pekerjaan dan kini jumlah tenaga pekerja yang terlatih dan graduan dari pengajian tinggi yang menganggur sudah mencapai ratusan ribu. 
Masalah pengangguran dalam kalangan anak muda dan graduan daripada institusi pendidikan tinggi khususnya akan memberi kesan jangka panjang kepada negara jika tidak dapat ditangani dengan berkesan. 
Justeru PAS mencadangkan diwujudkan perancangan secara menyeluruh dalam menangani isu tenaga kerja termasuk isu pengambilan tenaga pekerja asing dan tindak segara bagi mengatasi masalah PATI. 
ZAINAL ABIDIN KIDAM
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat.
28 Julai 2017/4 Zulkaedah 1438 – HARAKAHDAILY 28/7/2017
Sumber HD - 28-7-2017 




Dr Mohd Fuad: Tukar sekolah demi ilmu agama

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .




Dr Fuad juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.
AHLI Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini sanggup bertukar empat buah sekolah semata-mata untuk mempelajari pendidikan Islam ketika di bangku sekolah rendah lagi.

Dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam Segamat beliau berpindah ke SK Parit Lima Muar. Kemudian beliau berpindah pula ke SK Sungai Balang dan SK Parit Nawi sehingga darjah enam sebelum ke Sekolah Tinggi Muar.

Bagi Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, perpindahan tersebut dilakukan bagi menyelaraskan antara pendidikan akademik dan agama kerana kerajaan negeri Johor pada ketika itu tidak menetapkan waktu khas untuk pelajaran agama.

Namun, beliau terpaksa tabah serta menyesuaikan diri dengan keadaan itu bagi memotivasi diri sendiri dalam mendapat siraman dan keberkatan ilmu agama.

Anak kedua daripada 10 adik beradik itu merupakan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah turut berjaya dalam kegiatan kokurikulum di sekolah.

Ketika di sekolah menengah, beliau menyertai persatuan Bahasa Melayu dan  aktif menulis sehingga artikelnya pernah disiarkan dalamsebuah akhbar di tanah air.

Selain aktif dalam pertandingan deklamasi sajak, beliau juga   mewakili sekolah sehingga berjaya ke peringkat  daerah  dalam pertandingan perbualan Bahasa Inggeris. Bukan itu sahaja, beliau juga mewakili daerah dalam pertandingan musabaqah al-Quran.

Dilahirkan pada tahun 1963 di Muar, beliau mendapat pendidikan menengah sehingga tingkatan lima di Sekolah Tinggi Muar sebelum melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM), kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketika di institusi pengajian tinggi itu pada 1981, beliau mula mengenali PAS dan mendekati parti itu pada 1982 secara rasmi walaupun masih belajar dalam kampus lagi.

Lebih awal lagi,  Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat ini mengenali PAS pada tahun 1979 kerana ayahnya merupakan Setiausaha Cawangan dan Bahagian Umno yang merupakan lawan PAS dalam setiap pilihan raya.

Golongan mahasiswa pada ketika itu cukup lantang menentang setiap dasar kerajaan yang dilihat menzalimi rakyat seperti peristiwa Baling ketika negara dalam ancaman komunis.

Antara pimpinan pelajar yang paling menonjol  ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang  seterusnya menyertai Umno selepas meninggalkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada bulan Mac 1982.

Langkah itu tidak diikuti oleh Mohd Fuad walaupun beliau menyertai Abim sebagai langkah pertama penglibatan beliau dalam arena politik Islam di negara ini.

Walaupun mantan ketuanya menyertai parti pemerintah, namun beliau memilih untuk kekal dalam Abim. Malah beliau pernah menolak tawaran untuk menyertai parti Melayu itu.

Bagaimanapun beliau mengambil keputusan menyertai PAS selepas melihat sendiri perkembangan politik ketika itu apabila berlaku pertembungan antara Islam dan sekular.

"Saya tidak nampak Abim boleh memberi banyak sumbangan di dalam politik walaupun  ada sumbanganya dalam masyarakat Sebab itu saya terlibat secara aktif bersama PAS hingga hari ini," kata beliau yang merupakan tenaga pengajar di Universiti Selangor (Unisel), Shah Alam sejak tahun 2011.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pendidikannya, beliau memperolehi Diploma Pentadbiran Awam dari ITM  pada 1984 dan terus berkhidmat di Lembaga Pertubuhan Peladang (Peladang) sebaik sahaja tamat pengajian.

Cita-cita untuk menuntut ilmu tidak terhenti walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap. Beliau pernah memohon cuti untuk sambung belajar, namun permohonannya tidak diluluskan. Justeru beliau terpaksa cuti tanpa gaji semata-mata hasrat beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau juga pernah berada tiga tahun di Amerika Syarikat sewaktu mengikuti ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan di Westwern Michigan Universiti dan Edinboro University of Pennsylvania.

Bapa kepada lapan orang cahaya mata itu menceritakan,  beliau pernah mencari rezeki di negara berkenaan selama setahun

Kerjaya pertama selepas sekembalinya ke tanah air ialah pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pensyarah penuh selepas menamatkan ijazah sarjana (Master) dari Universiti Putra Malaysia dalam bidang sumber manusia.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang yang sama tetapi pengkhususan dalam bidang pengurusan konflik UKM itu berkhidmat dengan UTM sehingga 2010 sebelum menyertai Unisel.

Datuk kepada tiga orang cucu ini bercita-cita untuk memiliki tanah yang luas bagi merealisasikan aktiviti masa lapangnya  yang gemar bercucuk tanam, selain bermain badminton dan memancing.

Ia merupakan hasratnya selepas bersara. Malah ketika  berpindah dari rumah sewa sebelum ini pun, beliau sanggup membawa sekali tanamannya dalam sebuah pasu besar walaupun terpaksa berulang alik beberapa kali. - HARAKAHDAILY 11/3/2016

Sumber HD - 11-3-2016










PAS tidak setuju hapus subsidi tepung 25 kg

HARAKAHDAILY | .


PAS tidak bersetuju malah membantah tindakan kerajaan memotong subsidi tepung gandum 25 kg yang telah berkuatkuasa pada 1 Mac yang lalu.

Tindakan pemotongan perbelanjaan kerajaan dengan mengorbankan kepentingan rakyat membuktikan slogan kerajaan, Rakyat "diutamakan" disalah ertikan. Ia akan membawa maksud rakyat terlebih dahulu menjadi "mangsa korban" pihak kerajaan dalam tindakan yang diambil.

Tambahan pula, alasan yang dinyatakan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak menampakkan penelitian yang menyeluruh terhadap tindakan yang diambil dengan pemotongan subsidi tepung gandum. Tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai "separuh masak".

Meskipun pemotongan subsidi hanya melibatkan produk tepung gandum 25 kg, tidak kepada produk bersaiz 1 kg yang banyak digunakan oleh isi rumah, kesan kepada kenaikan harga barang daripada rantaian terbabit tidak mustahil akan berlaku.

Masyarakat miskin di luar bandar akan terus menjadi mangsa. Begitu juga pemain industri kecil dan sederhana yang sudah pasti terkesan dengan langkah tersebut.

PAS ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk polisi daripada pihak kerajaan tidak seharusnya meminggirkan keperluan rakyat walau apa cara sekalipun.

PAS juga menggesa kerajaan meneliti semula langkah pemotongan subsidi ini dan tidak terburu-buru mengambil "jalan pintas" dalam memotong perbelanjaan negara.

Langkah pemotongan perbelanjaan (austerity) seperti penghapusan subsidi semata-mata untuk menghadapi situasi ekonomi yang gawat ini adalah tidak lagi relevan untuk diimplimentasi.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 3/3/2016

Sumber HD - 3-3-2016











Diskusi Pengguna, lahirkan pengguna yang peka

MUHAMMAD FAIZAL | .


KUALA LUMPUR: Lajnah Pengguna dan Pekerja Dewan Muslimat PAS Malaysia akan menganjurkan Wacana dan Diskusi Isu Pengguna dan Pekerja 2016 bagi melahirkan budaya hidup pengguna yang peka dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan hidup.

Pengerusinya, Normala Sudirman ketika dihubungi berkata, program yang akan diadakan pada 6 Mac bermula 8.30 pagi hingga 12 tengahari di Pejabat Agung PAS turut mendapat kerjasama Suara Pengguna Prihatin Malaysia (SPPM).

"Objektif kita adalah melahirkan penguna yang perihatin serta bertanggungjawab, selain itu kita ingin merakyatkan isu pengguna dan pekerja ke arah kualiti hidup bermakna.

"Memupuk budaya hidup pengguna yang peka dan empati ke arah pengguna yang bermaklumat dan sejahtera," katanya.

Menurut beliau, wacana tersebut turut dihadiri Pengerusi Kongres Rakyat, Azmi Abd Hamid dan Pengerusi Lanjah Pengguna dan Pekerja PAS Pusat, Dr. Fuad Salleh.

"Saya berharap semua Pengerusi Lajnah Pengguna dan Pekerja peringkat negeri, serta Dewan mahupun AJK Lajnah termasuk aktivis penggerak isu pengguna dan pekerja dapat hadir untuk mendengar info penting ini.

"Pendaftaran peserta dan segala modul akan diberi percuma, justeru saya sangat berharap agar semua yang hadir dapat mengambil manfaat atas segala perkongsian yang bakal dianjurkan nanti," katanya yang juga merupakan Presiden SPPM. – HARAKAHDAILY 2/3/2016

Sumber HD - 2-3-2016



















Tarik subsidi gandum, pengusaha kecil terjejas

SALMIYAH HARUN | .


KUALA LUMPUR: Di manakah slogan kerajaan "Mensejahterakan Kehidupan Rakyat" sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 tahun lepas apabila bertindak menarik subsidi gandum bermula 1 Mac (semalam).

Bercakap kepada Harakahdaily, Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh menggesa kerajaan membatalkan penarikan balik subsidi ini kerana ia bukan sahaja menyusahkan pengguna malah pengusaha kecil-kecilan turut menerima kesan ini.

"Kerajaan dilihat tidak prihatin kepada golongan pekerja pertengahan dan bawahan serta golongan petani dan nelayan yang rata-rata berpendapatan kurang RM5,000 sebulan," katanya.

Malah beliau menyifatkan tindakan kerajaan itu amat tidak wajar dalam keadaan sebahagian pekerja diberhentikan, dikurangkan gaji dan sebagainya.

Penarikan subsidi ini, katanya akan menyebabkan  kenaikan harga makanan di pasaran dan sudah tentu akan menambah bebanan pengguna yang semakin dihimpit peningkatan kos ketika ini.

"Tindakan kerajaan menarik balik subsidi antara RM600 hinga RM800 bagi setiap satu tan metrik hanya akan mengurangkan bebanan kerajaan sebanyak RM89 juta setahun (seperti tersiar di laman pmr.penerangan.gov.my)," tambah beliau.

Jelasnya, keputusan kerajaan menarik balik subsidi tepung (pek 25 kg) akan memberi kesan besar dalam industri makanan berasaskan tepung seperti, roti (termasuk roti canai), kek, kuih-muih dan berbagai makanan berasaskan tepung.

Namun bagi pengusaha kecil, mereka mungkin masih boleh membeli tepung dalam kampit kecil (1kg) yang masih dijual pada harga subsidi.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad berkata, subsidi bagi tepung gandum kegunaan am dalam pek 25 kilogram ditarik semula mulai Selasa.

"Langkah penarikan balik subsidi ini diambil kerana kebanyakan pengguna mahupun isi rumah tidak membeli tepung bersaiz tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini. – HARAKAHDAILY 2/3/2016

Sumber HD - 2-3-2016

Rasionalkah SPAD susun semula bas Lembah Klang?

DR MOHD IBRAHIM | .


Bermula 1 Disember lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah melakukan rombakan dan penyusunan semula ke atas laluan perkhidmatan bas henti-henti di ibu kota dengan harapan segala masalah yang ada sebelum ini dapat diselesaikan. Sebaliknya berlaku ialah ia lebih menyukarkan lagi para pengguna apabila beberapa masalah baru lain timbul dan masalah lama juga tidak berjaya diatasi.

Lebih mengejutkan apabila Datuk Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan tidak mengetahui berkenaan penyusunan semula tersebut lalu jelas menimbulkan sedikit kekeliruan serta menampakkan seolah-olah ada kelemahan komunikasi, penyelarasan bidang kuasa dan pengurusan diantara kedua-dua pihak yang berkuasa dalam menguruskan sistem pengangkutan di negara ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpendapat wujud pertindihan kuasa dan tugasan antara kedua-duanya yang menyebabkan berlakunya keadaan seperti sekarang. Pertembungan ini menyukarkan lagi keadaan untuk melaksanakan kaedah pengurusan yang sempurna demi mewujudkan sistem dan jaringan pengangkutan yang lebih baik di Lembah Klang untuk manfaat dan faedah kepada warga kota.

DPPM melahirkan rasa kebimbangan berikutan rungutan warga kota terhadap sistem baru yang dilaksanakan ini. Bagi kebanyakkan mereka, ia tidak mengubah tahap kecekapan sistem tersebut serta persepsi mereka terhadap perkhidmatan bas di Lembah Klang. Walaupun diwujudkan 8 koridor dan pengurangan masa menunggu untuk memudahkan pengguna, hakikat sebenarnya tidak mengubah apa-apa.

Berikut adalah antara rungutan-rungutan oleh warga kota yang disampaikan kepada DPPM:

(i) Tambang yang tidak selaras diantara syarikat bas yang terbabit walaupun laluannya sama di antara syarikat lama dengan yang baru mengambil alih laluan tersebut.

(ii) Laluan yang telah ditamatkan menimbulkan kesulitan kepada pengguna yang mengharapkan pengangkutan awam.

(iii) Pengurangan kekerapan bas pada sesetengah kawasan akibat daripada penyusunan semula perkhidmatan menambahkan lagi kesulitan pengguna terutama di waktu puncak.

(iv) Laluan yang ditinggalkan Rapid KL tidak diselia serta diselenggara dengan baik oleh syarikat bas lain yang diberi tanggungjawab.

(v) Laluan yang sebelum ini hanya diperlukan satu bas sahaja untuk sampai ke destinasi, sekarang memerlukan lebih dari satu bas untuk sampai ke destinasi yang sama.

(vi) Masa menunggu yang lebih lama serta perjalanan ke destinasi tujuan menjadi lebih jauh berbanding sebelumnya.

(vii) Akibat daripada kekurangan kekerapan terutama di waktu puncak, kapasiti pengguna yang memerlukan perkhidmatan bas adalah tinggi, menyebabkan bas senantiasa penuh, melambatkan pergerakan penumpang sampai dari satu destinasi ke destinasi yang lain.

(viii) Tiada penyeragaman serta pemantauan kaedah pembayaran tambang atau sistem pembayaran tambang bas seperti penggunaan kad Touch & Go dan kadar penetapan tambang bagi setiap laluan oleh pihak berwajib bagi memantau harga yang dikenakan kepada pengguna terutamanya bagi bas selain Rapid KL.

(ix) Bas yang disediakan oleh syarikat bas selain Rapid KL tidak memuaskan malah ada sesetengah bas boleh dikatakan tidak menepati ciri-ciri keselamatan dan berkeadaan sangat daif, tidak menepati standard taraf pengangkutan awam untuk sebuah ibu negara.

DPPM tidak mahu tindakan baru yang dilaksanakan ini yang disifatkan sebagai pembaharuan atau penyeragaman hanyalah kosmetik semata-mata sedangkan hakikatnya tidak membawa apa-apa perubahan sebenar. Sesebuah ibu kota seharusnya mempunyai sistem pengangkutan yang cekap, efisyen, mesra pengguna dan selamat agar pertumbuhan ekonomi dan produktiviti setimpal dengan tarafnya sebagai sebuah ibu kota. Ketidakcekapan sistem pengangkutan akan merencatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi yang mampu merugikan negara dalam jangka masa panjang.

DPPM menggesa Kerajaan supaya mewujudkan pemisahan bidang kuasa diantara kedua-dua pihak yang diberi tugas mengawal selia industri pengangkutan ini supaya pengurusan sektor ini menjadi lebih efisyen, cekap, berdaya saing dan selamat. Pertindihan bidang kuasa hanya akan menambah karenah birokrasi dan persaingan tidak sihat di antara agensi Kerajaan yang akhirnya merugikan negara dan rakyat. Jika benar impian Kerajaan ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju, perubahan perlu bermula dari sekarang. Kita tidak mahu tindakan hanya bermusim, yang sengsara tetap rakyat marhaen. - HARAKAHDAILY 16/12/2015

Penulis ialahPengarah Jabatan Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar DPPM.

Sumber HD - 17-12-2015



Mak Aii!! Demi Jualan RM15 Vincci, Sanggup Panjat Pagar

Posted on Friday, October 02 @ 19:55:02 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



PEREMPUAN dan shopping sememangnya tidak dapat dipisahkan!

Lagi-lagi jika ada jualan murah atau jualan penghabisan stok. Memang teruja dan rambang mata jadinya golongan kaum Hawa ini!

Buktinya, lihat gambar-gambar gelagat dan telatah orang ramai yang dikongsi netizen di media sosial ketika membanjiri ‘Jualan RM15 Vincci Warehouse’ di Shah Alam, hari ini.

Apa yang mengejutkan kami, terdapat juga gambar menunjukkan aksi beberapa wanita ‘gigih’ yang sanggup memanjat dinding dan pagar untuk masuk ke tapak jualan.

CQS829AVAAEK0aO CQS829KUsAAyDx9 CQTLJmzUYAEQ4E8 iLKbOYs copy

Difahamkan, orang ramai telah menunggu sejak awal pagi lagi untuk membeli kasut di jualan murah tersebut. Namun, kebanyakan peminat Vincci pulang hampa kerana mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam tapak jualan kerana terlalu sesak.

CQTK2N4UcAArfKK

Barangkali kerana melihat situasi yang tidak terkawal hari ini, pihak Vincci menerusi laman sosialnya memaklumkan jualan pada hari esok dan lusa dibatalkan atas faktor keselamatan. – MYNEWSHUB.CC

Sumber TKO - 2-10-2015


Kempen turun harga barang KPDNKK hanya gimik politik

Posted on Sunday, March 15 @ 07:50:13 MYT by paktam

KEMPEN Penurunan Harga 2015 yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula 1 Mac lalu sehingga kini hanyalah melibatkan 16 pasar raya utama dengan melakukan potongan harga antara 10 hingga 70 peratus ke atas barangan terpilih.

Menterinya, Dato’ Hasan Malek menyatakan kempen tersebut dilaksanakan kerana mahu mengubah persepsi rakyat bahawa perubahan harga petrol bukan penyumbang utama kenaikan harga barangan. Apakah tindakan yang dilakukan kerajaan ini benarbenar membantu rakyat?

Wartawan Kanan Harakah, NYZA AYOB mencungkil pandangan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir mengenai isu ini. Ikuti wawancara bersama beliau.

WARTAWAN: Adakah kempen ini mencapai sasaran sebenar bagi menggalakkan peniaga menurunkan harga barang?

MOHD ANUAR TAHIR: Saya melihat kempen ini lebih kepada gimik politik bagi menunjukkan kerajaan mengambil berat dengan kenaikan harga barangan yang berlaku hari ini.

Kerajaan gunakan pasarayapasaraya untuk menurunkan harga barangan dengan harapan boleh mempengaruhi kedaikedai runcit lain. Jika kita lihat pasaraya ini mempunyai barangan yang banyak. Tetapi untuk menghabiskan stok barangan ini, maka diisytiharkan potongan harga sehingga 70 peratus sedangkan ada barangan yang hampir tarikh luput.

Mungkin enam bulan sebelum tarikh luput diberi diskaun sehingga 70 peratus. Dengan cara ini pasaraya-pasaraya sudah mengaut keuntungan.

Jadi, kempen ini bukanlah kaedah sebenar untuk menggalakkan peniaga menurunkan harga, sebaliknya ia ‘membantu’ memperkukuhkan lagi pasaraya-pasaraya besar ini. Sistem ini menjadikan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Jadi saya tidak nampak cara melalui kempen ini merupakan langkah yang benar-benar jitu dan terancang. Golongan konglomerat inilah yang makin untung dan makin untung.

Adakah kempen ini hanya dilihat bermusim dan bukan jangka masa lama?

Saya juga melihat Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hassan Malek tidak mempunyai idea. Jadi, sekarang ini beliau hendak gambarkan dia mempunyai idea dan bersungguh-sungguh. Kempen ini merupakan langkah sementara dan hanya bersifat publisiti. Ia bukanlah langkah untuk sesuatu yang agak revolusioner. Jika pasaraya menawarkan potongan harga atau diskaun, ia samalah dengan Jualan Mega sebelum ini. Adakah Jualan Mega ini membantu pengguna dan membantu ekonomi negara? Kempen penurunan harga ini hanyalah penerusan kepada Jualan Mega.

Bermakna kempen ini hanyalah kempen terpilih kerana kebanyakan pasaraya besar hanya berada di kawasan bandar?

Pasaraya besar ini hanyalah di kawasan bandar. Jadi diskaun harga itu juga hanya dinikmati pengguna-pengguna kawasan bandar. Saya menyeru kerajaan prihatin kepada nasib pengguna-pengguna di kawasan luar bandar. Untuk penurunan harga barangan ini sungguhpun kerajaan libatkan pakar ekonomi dari Bank Negara sekalipun, ia tidak akan selesaikan masalah.

Kita tidak mahu kerajaan bercakap tidak serupa bikin.

Tetapi kerajaan boleh libatkan ahli-ahli ekonomi rakyat, pemikir-pemikir rakyat dan pejuang-pejuang nasib rakyat bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Begitu juga libatkan persatuan-persatuan pengguna dan dapatkan nasihat mengenai perkara ini. Sebagai contoh Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang dilihat paling efektif dan berkesan dalam memperjuangkan isu-isu pengguna.

Jika kempen seperti ini dilaksanakan, apakah perkara yang perlu diberi keutamaan?

Bagi saya kerajaan harus kempen ke arah ‘keselamatan makanan’, iaitu isu yang diperjuangkan golongan alternatif sekarang ini.

Kerajaan mesti pertingkatkan pengeluaran dan bekalan. Sebab itu saya kecewa dengan bajet yang disebut Perdana Menteri dahulu yang tidak menyebut langsung persoalan pertanian yang sustainable yang ada di negara kita ini. Ia termasuklah penanaman bahan-bahan makanan secara organik dan bebas daripada dikuasai syarikat-syarikat baja gergasi dunia.
Malaysia perlu belajar dari negara-negara seperti Cuba.

Sepatutnya Hassan Malek hantar wakil ke Cuba belajar mengenai perkara-perkara ini.
Ada negara-negara dunia ketiga yang diboikot Amerika tetapi boleh survive. Ini kerana ia melibatkan semua pihak untuk meningkatkan pengeluaran dan pendapatan negara. Begitu juga dengan Venezuela yang boleh dicontohi.

Negara seperti Venezuela ditekan oleh kuasa-kuasa besar. Tetapi Venezuela juga boleh survive kerana pemerintah ada komitmen hendak menyelamatkan rakyat dan pemerintah ikut serta membangunkan rakyat. Jika hanya duduk di bilik sejuk, sampai bila tidak akan selesai masalah yang dihadapi rakyat ini. ‘Keselamatan makanan’ ini boleh membawa kepada penurunan harga barang.

Bagaimanakah kaedah paling berkesan supaya penurunan harga barang ini dapat dilaksanakan?

Seperti yang saya nyatakan, kerajaan kena pergi ke negerinegeri kecil untuk belajar bagaimana sebuah kerajaan yang ditekan kuasa asing boleh menyediakan makanan yang cukup, makanan yang sihat dan dapat menghasilkan ubatubatan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga mengakui Cuba telah berjaya dalam bidang perubatan alternatif.

Sekali lagi saya menyeru menteri-menteri berkaitan supaya menukar mindset. Jangan hanya belajar dari Amerika, Korea dan Jepun sahaja.

Negara-negara kecil inilah yang mengutamakan rakyatnya.

Adakah kaedah atau tuntutan dalam Islam berkaitan perniagaan dan jualan ini dipraktikkan di negara ini?

Walaupun pada zaman Rasulullah dahulu tidaklah sofistikated seperti sekarang ini, Baginda melarang kaedah menyorok barangan dan jualan hendaklah barangan yang benarbenar genuine.

Jika sekarang ini peniaga mula mencampur makanan yang dijual itu dengan pelbagai bahan untuk lebih menguntungkan. Ertinya walaupun sedikit berkurangan timbangan pun dilarang dalam Islam.

Sejauh mana kerajaan boleh memantau taktik penipuan harga yang dilakukan peniaga?

Apa yang berlaku hari ini kita dapat lihat, ada barangan yang kononnya dikatakan diskaun tetapi sebenarnya adalah harga asal. Pengguna memang tertipu.

Kita boleh lihat harga asal yang diletakkan sebelum potongan itu kadang-kadang tidak munasabah. Pengguna sentiasa ditipu oleh konsep jualan murah ini.

Sebenarnya kerajaan mempunyai segala peralatan yang canggih dan amat mustahil kerajaan tidak boleh kesan penipuan peniaga kepada pengguna. Jika kerajaan boleh tangkap orang yang baru sahaja membuat persiapan untuk ke Syria, takkanlah kerajaan tidak boleh mengesan peniaga yang menipu. Jika kerajaan gagal melakukan tangkapan, ini kerana di belakang tauke-tauke besar ini adanya golongan VIP.

Selagi rasuah tidak ditangani, memang masalah ini tidak akan selesai. Betapa besarnya kuasa golongan ini yang wewenang mengawal semua ini. Golongangolongan korporat inilah yang merosakkan ekonomi negara.

Di pihak pengguna sendiri, apakah tindakan yang boleh dilakukan mereka supaya tidak terus terpedaya dengan kempen-kempen yang sebenarnya tidak memberi keuntungan kepada mereka?

Seruan ikhlas saya agar pengguna betul-betul berhatihati dan jangan mudah tertipu dengan kempen-kempen seperti kempen GST yang sedang giat dilaksanakan dengan momokan GST memberi faedah kepada rakyat dan membangun ekonomi negara.

Pengguna harus belanja sebijak mungkin dan jangan terpengaruh dengan jualan murah yang hanya untuk mengaburi mata mereka.

Pengguna juga harus membina networking sesama mereka.

Persatuan-persatuan penduduk juga boleh memainkan peranan dengan mengadakan wacana kepenggunaan. Rakyat juga patut menyokong mana-mana NGO yang membuat kempen berkaitan kepenggunaan.

Sumber DD - 15-3-2015


TARIF ELEKTRIK TURUN, HARGA BARANG BAGAIMANA? - PENGERUSI LAJNAH PENGGUNA


TN HJ ANUAR TAHIR - PENGERUSI LAJNAH PEKERJA DAN PENGGUNA

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/33817-tarif-elektrif-turun-harga-barang-bagaimana

Sumber HD - 12-2-2015


BUKA SEKOLAH JANGAN SAMPAI BELAJAR SAMBIL BERSILA - ANUAR TAHIR


http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/33139-buka-sekolah-jangan-sampai-belajar-sambil-bersila

Sumber HD - 8-1-2015



















Potong dahulu gaji PM, menteri bantu mangsa banjir

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Sebelum Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar setiap penjawat awam memotong gaji membantu mangsa banjir, sepatutnya terlebih dahulu mencadangkan agar Perdana Menteri dan menteri kabinet turut berbuat demikian.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar (LPPB) PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, pemotongan gaji pada kadar yang munasabah di kalangan mereka bergaji besar dialu-alukan sebagai menyatakan solidariti kepada mangsa banjir.

"Bagi cadangan dulu agar Perdana Menteri, Timbalan, dan menteri kabinet dipotong gaji mereka barulah Cuepacs bincang dengan ahli mereka untuk mendapat persetujuan.

"Hendak potong senang-senang tidak semua bergaji besar tetapi pemimpin negara, kenalah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, Cuepacs tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak memotong gaji penjawat awam apatah lagi dalam keadaan ekonomi dan harga barang sekarang ini tidak menentu.

Bagaimanapun katanya, Cuepacs boleh mensasarkan kepada penjawat awam di peringkat Jusa ataupun di kalangan Exco kerajaan dan Senator terlebih dahulu.

"Menjadi seorang pemimpin perlu menanggung penderitaan, dahulukan orang bawah. Penjawat awam di peringkat bawahan tidak usahlah bebankan mereka melainkan mereka dengan rela hati untuk membantu," katanya.

Beliau bekata demikian bagi memberi respons kepada kenyataan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda yang mencadangkan kepada kerajaan agar setiap penjawat awam menyumbang melalui potongan gaji bulanan untuk membantu mangsa di negeri yang dilanda banjir.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam tempoh terdekat supaya penjawat awam boleh menyumbang pada kadar yang munasabah.

Cuepacs berharap potongan gaji itu dapat dilakukan pada bulan ini memandangkan kaedah itu adalah mekanisme terbaik dalam mengumpul dana bagi meringankan beban mangsa banjir. - HARAKAHDAILY 6/1/2015

Proton: Siapa boleh tolong saya?

FAZELI HASHIM | .

SAYA telah membeli sebuah kereta Proton Pesona pada tahun 2010. Sehari selepas keluar dari "bilik pameran" kereta saya mengalami masalah iaitu kereta kehilangan kuasa pecutan dan mati di tengah jalan. Sebagai pengguna kita faham akan sedikit kerosakan dan percaya pihak pengeluar akan membaikinya sebaik mungkin.

Sangkaan saya meleset kerana selepas kejadian pertama, berlaku lagi beberapa bulan kemudian dan terus berlaku sehingga kali yang ke empat. Memandangkan masalah yang berlaku mengancam nyawa saya dan keluarga, saya mula takut untuk menggunakan kereta tersebut. Bayangkan ketika memandu di lebuh raya kereta hilang kuasa dan mati secara tiba-tiba. Ada antara kejadian yg menyebabkan saya dan Isteri hampir-hampir dilanggar oleh pengguna jalanraya lain.

Yang lebih menyakitkan hati, Pihak Proton tidak dapat mencari punca kerosakan sebaliknya mula mencari alasan daripada bertanggungjawab. Alasan yang diberikan adalah pemain DVD yang saya baru pasang beberapa bulan sebelum karosakan kali ke empat. Untuk memuaskan hati saya terima walaupun rasa diri terlalu bodoh untuk terus diperbodohkan. Memang alasan mereka meleset, kejadian sama berulang lagi beberapa bulan selepas itu. Untuk pengetahuan, pemain DVD tersebut tidak ada sewaktu kerosakkan pertama hingga ketiga. Pihak Proton sendiri mengakui akan hal ini.

Memandangkan kerosakan yang berulang kali dan saya minta pihak Proton untuk mengeluarkan surat jaminan yang perkara ini tidak berlaku lagi. Berbulan-bulan saya tunggu pihak Proton bagi jawapan. Memang hampa. Akhirnya selepas tiga bulan menanti saya ambil keputusan untuk bawa perkara ini ke mahkamah.

Nasihat daripada kawan-kawan yang pernah bekerja di Proton memang benar. Apa juga alasan Mereka cakap Proton pasti menang. Saya kalah hanya di sebabkan resit pembelian DVD tidak disertakan.

Yang lebih pelik lagi Proton menang tuntutan parking kereta yang saya tidak ambil sejak dari hari kereta itu rosak. Peliknya sudah lah Pihak Proton tidak pernah menghubungi saya untuk mengambil malah tiada sebarang notis agar saya mengambil kereta tersebut agar tidak dikenakan sebarang bayaran. Proton mendakwa telah menghantar surat menggunakan pos biasa. Tapi saya memang tidak pernah terima apa-apa surat daripada Proton agar mengambil kereta itu.

Sudah jatuh ditimpa tangga, saya turut diminta membayar kos penyimpanan kereta sebanyak RM13,000. Begitulah nasib rakyat marhaen seperti saya. – HARAKAHDAILY 13/12/2014





















Pengapungan terkawal tapi harga barang tetap naik

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Kaedah pengapungan terkawal petrol RON95 dan diesel yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan akan memberi perubahan terhadap harga barang di pasaran, demikian menurut Lajnah Pekerja dan Pengguna, Anuar Tahir.

Katanya, apatah lagi kaedah pengapungan itu dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu sudah tentu mustahil untuk harga barang diturunkan walaupun berlaku penurunan harga petrol.

Tambahnya, harga petrol RON95 hanya turun 4 sen sahaja, dan bukan dalam tempoh jangka masa panjang.

"Sudah tentu tidak ada perubahan pada harga barang. Ia tidak ada perubahan pada dasar, harga barang tetap akan naik," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau percaya tindakan kerajaan ini tidak memberi kegembiraan kepada rakyat di saat harga barang masih lagi mahal selepas kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen sebelum ini ini.

"Sebenaranya rakyat terus terdera dalam suasana hari ini dan ianya akan berterusan. Dan keadaan bertambah buruk apabila kerajaan memperkenalkan GST nanti," katanya.

Kaedah pengapungan yang buat pertama kali diperkenalkan di negara ini, katanya akan menyebabkan harga di pasaran tidak menentu akhirnya pengguna yang menjadi mangsa.

"Industri di negara kita banyak pakai diesel, jadi kaedah yang dibuat ini tidak memberi keuntungan kepada pengguna," katanya mengenai kenaikan harga diesel sebanyak 3 sen seliter ekoran pengapungan itu.

Menurutnya, apabila harga minyak tidak stabil sekali gus akan mempengarui harga barang.

"Harga barang dinaikkan sekali ganda, tidak mungkin akan turun," katanya.

Pada 1 Disember lalu, kerajaan buat pertama kali menarik semula subsidi ke atas RON95 dan diesel dengan menggunakan kaedah pengapungan terkawal. Kaedah ini dilaksanakan berikutan harga minyak dunia jatuh kepada USD85 setong.

Bagaimanapun kerajaan telah membayangkan penjimatan antara RM10 bilion hingga RM20 bilion setahun apabila subsidi minyak tidak lagi disuntik. - HARAKAHDAILY 3/12/2014

Sumber HD - 3-12-2014

Anda pernah alami SmartTAG bermasalah

http://kachipemas.blogspot.com | .

Smart Tag Yang Bermasalah Pada Musim Hujan...Anda Pernah Alami?


Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, angin satu badan bila gajet smartTAG baru buat hal lagi. 
Bulan lepas sangkut kat lorong smartTAG exit keluar UPM dan exit keluar Kajang, di digital board lorong smartTAG keluar perkataan “tiada smartTAG” sedang terpacak smartTAG kat cermin depan kereta, baki pun ada banyak lagi. Pertugas rumah TOL Kajang cakap mungkin bateri dah low tapi bila aku periksa masih bertanda HIGH. Aku ada kongsikan masalah ini di status Facebook, rupanya ramai yang beri maklumbalas menghadapi masalah yang sama. Ada yang cadangkan aku pergi kaunter PLUS minta tukar gajet baru.
gambar smartTAG baruSemalam jadi lagi masalah yang sama di dua rumah TOL lebuhraya LATAR balik dari Sabak Bernam. Bukan aku sahaja ada masalah di lorong smartTAG highway LATAR tetapi ramai pemandu lain yang senasib dengan aku dan semuanya menggunakan smartTAG baru. Bukan setakat di rumah TOL highway LATAR, di rumah TOL Guthrie nak masuk ke PLUS highway pun tersangkut lagi dengan masalah yang sama “tiada smartTAG”. Mak Datin sebelah aku yang bawa kereta Audi pun senasib dengan aku. Pertugas TOL datang bantu dan dia kata sebab bateri lemah tapi aku balas balik aku dah periksa bateri banyak lagi. Rupanya masalahnya bateri longgar yang menyebabkan smartTAG tidak berfungsi jadi alat pengesan tidak dapat mengesan kehadiran smartTAG.
gambar bateri smartTAG baruMasalah ini bukan masalah aku seorang tetapi masalah semua mengguna smartTAG baru. Kepada pihak pengurusan PLUS highway dan Touch ‘n Go tolong ambil tindakan sebelum ada pengguna yang baling smartTAG kat muka CEO anda. Aku harap pihak PLUS highway dan Touch ‘n Go bertindak segera dengan menarik balik semua penggunaan smartTAG baru yang telah dijual dengan menganti smartTAG lain yang berkualiti. Setakat minta pengguna pergi kaunter tukar baru dan dapat semula smartTAG yang ada masalah bateri tidak akan menyelesaikan masalah. Kalau TOYOTA, HONDA dan banyak lagi syarikat boleh tarik balik produk yang ada masalah kenapa tidak Touch ‘n Go.
Kami pengguna yang sudah membayar RM120 dan top up duit setiap kali hendak menggunakan smartTAG inginkan perkhidmatan yang bagus tidak mahu lagi ada masalah di lorong smartTAG sehingga kena hon oleh pemandu lain yang tidak faham masalah yang berlaku. Kalau kami yang menggunakan smartTAG terpaksa mengundurkan kereta untuk masuk ke lorong Touch ‘n Go kemudian kena maki dengan pemandu lain hanya kerana smarTAG tidak berfungsi memang tidak berbaloi sebab kami sudah bagi banyak duit in advance kepada PLUS highway dan Touch ‘n Go. Tolong ya Lembaga Lebuh Raya, PLUS highway dan Touch ‘n Go jangan buat bodoh dengan masalah pengguna.
Sumber HD - 17-11-2014























Rakyat terkorban sebelum sambut Hari Raya Korban

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan dalam mengurangkan subsidi minyak berkuatkuasa tengah malam tadi adalah langkah sumbang kerajaan yang memberi kesan yang berat kepada rakyat.


"Hanya belum sampai setahun rakyat menerima pelbagai siri kenaikan, kerajaan sekali lagi tidak mengendahkan suara rakyat yang paling dalam untuk mengurangkan kos sara hidup yang membebankan," ujar Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia, Muhamad Azan Safar.

Menurutnya, GST yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan selalu diberi janji manis bahawa tidak akan berlaku kenaikan mendadak harga barangan, namun kerajaan seawalnya telah menaikkan harga segala keperluan asas rakyat tanpa henti sebelum bermulanya GST.

Maka, katanya ia hanya meninggalkan janji kosong kepada rakyat.

Tambahnya, alasan rasionalisasi subsidi dalam mengukuhkan kewangan selain untuk disalurkan kepada sektor-sektor lain seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan juga hanyalah retorik kerajaan apabila KPM gagal menguruskan ketelusan peperiksaan UPSR, termasuk PBS serta PT3 yang masih tidak tahu di mana penghujung eksperimennya.

"Namun kami juga beranggapan bahawa isu pengurangan subsidi minyak ini menjadi panggilan kepada seluruh parti kompenen dalam Pakatan Rakyat dan NGO untuk mengukuhkan muafakat, meninggalkan perselisihan dan terus fokus dalam menentang dasar-dasar yang menindas rakyat oleh kerajaan Barisan Nasional," ujarnya lagi.

Katanya, rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Raya Korban tidak lama lagi akhirnya telah dikorbankan terlebih dahulu oleh kerajaan korup yang mentadbir negara ini. - HARAKAHDAILY 2/10/2014

Sumber HD - 2-10-2014

























Minyak naik: Apa makna 'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga petrol dan diesel secara mendadak mulai hari ini adalah suatu yang amat dikesali dan mengecewakan.

"Suatu tindakan tidak bertanggungjawab di saat rakyat bersiap untuk merayakan Aidil Adha," ujar Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Pengguna PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan BN makin tidak prihatin kepada rakyat yang sedang menghadapi tekanan ekonomi yang memeritkan.

Sesungguhnya, ujar beliau kenaikan harga bahan api beberapa bulan sebelum perlaksanaan GST sudah pasti akan mempercepatkan lagi kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

"Kenaikan terbaru ini menggambarkan betapa rakusnya kerajaan Barisan Nasional dan tidak mempedulikan nasib rakyat jelata yang semakin tertekan," katanya lagi.

Menurutnya, pengorbanan dan kesabaran rakyat langsung tidak dihargai dan dipandang sepi oleh pentadbiran Najib-Mahyuddin.

Beliau menambah, rakyat sedang dipermain dan diperlecehkan oleh kerajaan yang sarat bermain slogan dan teriakan kosong.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apa maknanya slogan '1Malaysia' dan 'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara apabila rakyat hidup dicengkam derita.

"Cukup cukuplah wahai pemerintah yang diamanahkan oleh rakyat daripada mengambil mudah, mempermainkan, dan memperlecehkan rakyat jelata," ujarnya. - HARAKAHDAILY 2/10/2014

Sumber HD - 2-10-2014


























Pramugari MAS bertudung, antara harapan dan realiti

ROY RASUL | .

RAMAI berpandangan kerajaan perlu muhasabah berikutan tragedi malang yang melibatkan dua pesawat kepunyaan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dalam tahun 2014 ini.

Kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac sehingga sekarang masih menjadi misteri kerana seramai 239 penumpang dan anak kapal tidak dapat dikesan. Ketika tangisan pilu MH370 belum reda, negara diratapi pula dengan tragedi tembakan sebuah lagi pesawat negara iaitu MH17 di Ukraine.

Dalam tragedi 17 Julai lalu, pesawat MH17 yang membawa seramai 298 penumpang dalam perjalanan dari Amsterdem ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di Ukraine.

Mula transformasi pramugari MAS bertudung

Mengingati tragedi itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Pengguna PAS Pusat, Normala Sudirman berkata kerajaan perlu melaksanakan transformasi ke arah mengembalikan imej dan reputasi MAS dengan beberapa pendekatan.

Pendekatan itu hendaklah ke arah kaedah yang seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi demi menjamin keberkatan dan produktiviti yang cemerlang dunia akhirat.

"Salah satu daripadanya langkah membenarkan pramugari dan kakitangan penerbangan bertudung menutup aurat dengan sempurna selain menghentikan hidangan arak kepada penumpang," katanya.

Perkara itu katanya, telah lama disuarakan pimpinan dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, tetapi tidak diambil peduli kerajaan dan pengurusan MAS.

Ini kerana masyarakat tidak mahu potensi pekerja wanita dalam sektor yang boleh menyumbang kepada produktiviti negara dijadikan mangsa untuk tujuan komersial dan disalahgunakan serta kecantikan semula jadi fitrah kewanitaan dieksploitasikan untuk memajukan perniagaan tidak kira dari aspek apa sekalipun.

Sebagaimana tegas Normala, jika kerajaan dan MAS masih tidak berubah, malang bagi wanita di Malaysia kerana ini merupakan 'penghinaan' kepada mereka dari aspek penghormatan dan kerjaya.

Menurutnya, dari segi roh keberkatan dan aspek spiritual, membenarkan pramugari menutup aurat sepenuhnya adalah lambang imansipasi wanita yang dihormati martabat dan maruahnya.

Wanita bukan mangsa salahguna seperti barang dagangan perhiasaan untuk mengabui mata pembeli atau sebagai pelaris jualan.

Sehubungan itu katanya, reformasi atau perubahan ke arah transformasi pengurusan pemulihan imej syarikat MAS ini adalah penting agar imej wanita yang bergelar pramugari sempurna dari aspek penampilannya.

"Kita reda atas apa yang berlaku dengan dua tragedi yang menimpa baru-baru ini, namun muhasabah perlu dilakukan dengan mengambil ibrah tersurat atau tersirat agar segala usaha murni diberkati Illahi," kata Normala.

Isu sama turut disuarakan bekas Pegawai Komunikasi dan Jenama MAS, Salbiah Wahab, bahawa pengurusan MAS perlu menyedari banyak kebaikan syarikat penerbangan itu menyelesaikan isu arak dan hijab.

Dengan tidak menghidangkan arak, MAS dapat menjimatkan kos perbelanjaan dan menutup jalan keburukan kepada penumpang.

Manakala menutup aurat mengikut syari'at boleh membawa kebaikan dan menjadi penyebab turunnya keberkatan dan rahmat Allah.

Hijab tingkatkan seri eksklusif pramugari MAS

Oleh itu, semua pihak perlu positif dalam soal menutup aurat dan menghapuskan arak dalam pesawat.

"Dalam isu ini saya berharap Kesatuan Sekerja perlu bekerjasama dengan pihak pengurusan. Kerana fungsi mereka bukan sahaja sebagai badan kebajikan pekerja tetapi pembantu dan penasihat kepada pihak pengurusan," katanya.

Tidak dapat dinafikan layanan MAS sangat eksklusif namun katanya jika pramugari Muslim berhijab seri ekslusifnya makin terserlah.

Dalam kata lain sepatutnya pramugari digalakkan menutup aurat ketika menjalankan profesionnya.

Ini disokong Ameerah Wilayah Persekutuan (Ameerah WP) cadangan pelbagai pihak yang mahukan kru penerbangan MAS beragama Islam diberikan pilihan untuk menutup aurat.

Pengarahnya, Khairi Syutina Mahmood, berpendapat etika pemakaian hijab selari dengan tuntutan syariat Islam.

Menutup aurat akan lebih menjaga kesopanan dan maruah wanita dan baginya wanita yang berpakaian menutup aurat lebih yakin dan berketrampilan.

Apa lagi sudah menjadi 'trend' masyarakat hari ini berhijab atau menutup termasuk artis dan selebriti.

Tambahan pula, wanita akan terpelihara dari kejadian yang tidak diingini seperti cabul, rogol, maksiat dan perzinaan.

Khairi Syutina menegaskan bahawa pandangan mengatakan bertudung menyebabkan MAS akan kerugian atau tidak memenuhi kehendak masyarakat antarabangsa tidak tepat. Hakikatnya pelanggan memandang kepada perkhidmatan dan kualiti sesebuah syarikat penerbangan berbanding pakaian pramugarinya.

"Apa ertinya pakaian pramugari yang mendedahkan aurat sedangkan kualiti MAS tidak terjaga. Perkhidmatan yang cemerlang asas untuk sesebuah syarikat mendapat tempat dan pilihan buat pelanggannya," ujarnya.

Malah beliau percaya berpakaian menutup aurat boleh menjadi suatu imej kepada MAS yang mengundang penghormatan dan kekaguman masyarakat antarabangsa.

Baginya, MAS sewajarnya mencontohi syarikat penerbangan Brunei yang mewajibkan pramugari mereka bertudung.

Mereka mampu melakar kejayaan dan keuntungan tanpa menggadaikan prinsip agama bahkan dalam aspek perniagaan dan profesion, keberkatan dapat mengelakkan daripada berlakunya kecelakaan udara atau sesuatu yang tidak diingini seperti tragedi MH17 dan MH370. - HARAKAHDAILY 30/8/2014

Sumber HD -    30-8-2014

No comments:

Post a Comment