Perkembangan tersebut juga menyebabkan berlakunya perpecahan dalam Pas.

Sebahagian besar bekas pemimpin Pas yang tewas dalam pemilihan parti itu telah meninggalkan parti tersebut. Sebuah parti baharu yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu telah ditubuhkan, Parti Amanah Negara (Amanah).

 Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, AZRAN FI TRI RAHIM dan MOHD . HAFIZ ABDUL MUTALIB bersama jurugambar WAHIDI N SALIM mendapatkan pandangan daripada Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai perkembangan semasa Pas selepas perpecahan yang berlaku. Dalam pertemuan di rumahnya, di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan, Khamis lalu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mengulas mengenai keadaan Pas selepas Amanahditubuhkan dan pandangan mereka terhadap DAP.

Beliau turut menjelaskan kerjasama yang dijalinkan dengan PKR biarpun menarik diri daripada Pakatan Harapan yang ditubuhkan oleh DA P, PKR dan Amanah. Ikuti penjelasan lanjut beliau dalam wawancara ini.
HIMPUNAN HIJAU

Mingguan: Boleh ustaz jelaskan mengenai Himpunan Hijau 60K (H60K) atau Himpunan Fastaqim yang akan diadakan pada 17 Oktober depan?

Nik Mohamad Abduh: Himpunan 60,000 ini yang kita panggil Himpunan Fastaqim yang bermaksud beristiqamah yang menjadi tema Muktamar Pas baru-baru ini akan diadakan pada 17 Oktober depan daripada pukul 3 petang hingga lewat malam. Kita sasarkan kehadiran seluruh penyokong Pas dari seluruh negara.Program ini adalah anjuran Pas Pusat cuma digerakkan secara serentak oleh sayap Dewan Pemuda, Ulama, Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dengan kita sasarkan kehadiran 60,000 peserta. Sasaran 60,000 peserta adalah disebabkan tahun ini adalah tahun ke-60 Pas Kelantan, dan Pas Pusat juga sudah berusia 64 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1951. Selain itu, himpunan ini juga sempena ulang tahun ke-25 Jubli Perak pemerintahan Pas di Kelantan yang juga kita sambut pada bulan Oktober ini.

Himpunan besar yang diadakan ini adalah sebagaimana perhimpunan besar yang pernah kita adakah sebelum pilihan raya lalu. Kita adakan himpunan ini bagi mengukuhkan kembali saf kekuatan Pas selepas parti baru selesai berhadapan krisis dalaman. Apabila ahli membuat keputusan memilih kepemimpinan pada muktamar lalu, kita dapat lihat apa yang berlaku sekarang ini termasuk pembentukan parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) ini. Maka himpunan ini menjadi platform untuk kembali mengukuhkan parti. Insya-Allah seluruh kepemimpinan Pas Pusat dan negeri akan turun bersama rakyat dan memberi amanat.

Adakah Pas menjadikan himpunan ini bagi menunjuk atau membuktikan kekuatan bagi menangini perhimpunan Bersih dan Merah sebelum ini ?

Nik Mohamad Abduh: Bukan hendak menunjukkan kekuatan atau berlawan dengan perhimpunan Bersih atau Merah. Himpunan ini tidak ada kaitan dengan parti lain atau untuk bersaing. Himpunan ini hanya untuk mengukuhkan barisan Pas, maknanya apa yang berlaku dalam Pas ini bagi kami amat penting untuk diselesaikan secepat mungkin. Ini kerana kekuatan Pas akan menjamin sokongan rakyat. Sekiranya Pas tidak kuat, agak sukar untuk menerima keyakinan rakyat.

Bagaimana rakyat boleh menerima sebuah parti yang tidak kuat mampu mentadbir negara pada pilihan raya akan datang.

Jadi kita tunjukkan kepada rakyat bahawa Pas walaupun dilihat mengalami krisis yang amat besar sebelum ini tetapi telah pulih. Antara yang membantu memulihkan parti ini adalah ahli Pas sendiri yang sentiasa istiqamah.

PELAKSANAAN HUDUD

Hudud menjadi punca bukan Islam menolak Pas, adakah Pas akan meneruskannya sedangkan ia menjadi penghalang kepada sokongan bukan Islam?

Nik Mohamad Abduh: Hudud ini termasuk dalam matlamat perjuangan Pas. Hudud termasuk dalam kerangka Islam secara menyeluruh. Hudud ini satu bahagian daripada kerangka perjuangan. Pas ini daripada perkara besar sehingga kecil, dia bawa semua. Itu arahan agama, maksud Islam adalah semua sekali. Perjuangan kita ini yang kita paparkan. Kita tidak pernah berundur daripada terus mengajak rakyat Malaysia terutama umat Islam supaya kembali kepada Islam yang menyeluruh.

Tidak kira UMNO, DAP atau sesiapa yang boleh terima Islam kita alu-alukan, tetapi kalau dia terima sebahagian, tolak sebahagian dan ajak kita bersatu menolaknya (hudud) maka kita tidak akan bersatu. Tidak kiralah UMNO, PKR atau DAP. Perkara ini telah ditetapkan dalam agama dan tidak boleh undur. Dahulu kita bertelagah dengan UMNO kerana hudud sehingga Kelantan disekat pada masa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun kita tetap berkeras. Sekarang datang pula DAP menentang. Kini apabila UMNO kembali kendur dengan isu hudud, kita boleh berbincang dan akhir sekali rakyat akan faham betapa kukuhnya pendirian kita dalam memperkenalkan Islam secara menyeluruh.

Baru-baru ini dua peguam dan dua penyelidik masyarakat sivil menfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas juga disaman Parti Gerakan kerana meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Dewan Negeri. Apa komen Ustaz?

Nik Mohamad Abduh: Tidak ada apa-apa, benda sama berlaku iaitu akan ada kelompok yang menentang pelaksanaan Islam secara menyeluruh. Dulu lebih besar daripada empat individu ini pun ada, Datuk Zaid Ibrahim, saman hudud, masa itu beliau berada dalam UMNO. Yang menentang hudud ini tidak kira dia Islam atau bukan Islam, kita kekal untuk terus memperjuangkan dan kita yakin semakin hari bukan sahaja umat Islam, hari ini bukan Islam juga sudah boleh menerima hukum ini.

Tinggal lagi mereka teragak-agak kerana parti besar, DAP menolak, sedangkan semasa kita dalam pakatan pembangkang kita dapat melihat bagaimana masyarakat bukan Islam, Cina dan India nampak semakin hari semakin boleh terima malah mereka mengajak kita masuk dalam komuniti mereka menerangkan mengenai hudud. Sejarah sebegini pernah berlaku semasa kita berada dalam pakatan dahulu. Cuma seperti saya sebut terdahulu, isu sekarang emosi, mereka agak panas dengan Pas kerana mainan media yang dipelopori oleh DAP.

AMANAH DAN AHLI PAS

Sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas, bagaimana ustaz melihat kedudukan Pas sekarang sebagai parti pembangkang yang berpengaruh terutama dalam kalangan orang Melayu dan Islam dengan kewujudan Amanah yang merupakan serpihan Pas.

Nik Mohamad Abduh: Ada "otai" pimpinan lama yang memberi satu kenyataan yang ringkas mengenai perkara ini. Beliau berkata, dalam krisis yang melanda Pas hari ini tidak sebesar berbanding krisis yang pernah berlaku dalam Pas satu ketika dahulu. Krisis paling teruk dalam Pas adalah pada zaman Datuk Ahmad Nasir di Kelantan dahulu. Mengapa tidak besar krisis hari ini, kerana krisis yang berlaku ini hanya krisis kepemimpinan dan kepemimpinan boleh diganti, krisis dahulu melibatkan keyakinan rakyat, rakyat menolak Pas. Bila rakyat tolak, kita tidak boleh ganti dengan rakyat baharu. Jadi hari ini krisis beberapa orang pemimpin Pas keluar daripada parti dan kita dapat mengantikannya dengan mudah.

Kita yakin seluruh ahli Pas akan terus menunjukkan kesetian kepada parti dan yakin orang Islam, Melayu akan terus menzahirkan sokongan. Selepas ini kita berkemungkinan hanya berhadapan dengan isu untuk mendapat sokongan daripada bukan Islam. Tapi kita yakin ia bersifat sementara, iaitu kawan kita yang pernah bersama DAP telah memainkan emosi dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan emosi ini tidak lama. Dan kita juga telah buktikan sepanjang kita berkawan dalam pakatan pembangkang, kita adalah parti setia, mengajak kepada perpaduan rakyat.

Parti Amanah dikatakan mempunyai lebih 30,000 ahli dan menyasarkan 100,000 ahli sehingga hujung tahun ini. Kebanyakan ahli dan bakal ahli sudah tentu daripada Pas. Apakah ada usaha daripada Pas mengelak ahlinya keluar menyertai Amanah?

Nik Mohamad Abduh: Tidak ada, kita bebas jika mereka hendak keluar. Amanah hendak dakwa miliki ahli sehingga 30,000 itu hak mereka. Sekarang saya tidak dapat laporan mengenai ahli kita menyertai Amanah. Kita tengok ada atau tidak ahli Amanah sebanyak itu. Kita boleh buktikan, Pas terus mendapat sokongan di mana majlis yang kita buat penuh dengan penyokong yang mahu mengisi borang menyertai Pas. Simpati orang terhadap Pas dalam menghadapi krisis ini begitu besar. Harap terus diberkati.

Di kawasan Pantai Barat, Amanah dikatakan begitu kukuh dan banyak kawasan Pas khususnya di Johor dibubarkan?

Nik Mohamad Abduh: Mereka boleh sebut bubar, saya pergi Johor, boleh dibilang dengan jari yang bubar. Masalah yang berlaku sekarang bukan melibatkan keyakinan rakyat, hanya keyakinan daripada kelompok kepemimpinan. Sebagai contoh di Johor, pemuda Pas kawasan meletak jawatan menyertai Amanah, sebelum letak jawatan, kita telah siap barisan baharu untuk ganti. Kita tidak paksa mereka hendak keluar.

KERJASAMA PEMBANGKANG

DAP pilih kerjasama dengan Amanah dan PKR, dan PKR pula menjalinkan kerjasama dengan Pas. Adakah ustaz nampak PKR bertindak demikian demi kepentingan mereka ?
Nik Mohamad Abduh: Itu soal strategi, perkara itu akan dibincang dengan PKR. Sekarang kita amal politik parti bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana parti asalkan tidak menganggu hal parti masing-masing. Hubungan dalam pakatan pembangkang asasnya mudah dahulu dan kita sentiasa mempertahankannya selain tidak pernah memungkiri janji. Semasa pakatan ditubuhkan, antara perkara yang dipersetujui bersama adalah untuk menjaga dasar parti masing-masing. Kita bersetuju untuk tidak bersetuju dalam beberapa perkara yang kita lihat tidak menemui jalan penyelesaian. Kita pernah ada krisis besar dengan PKR mengenai isu Langkah Kajang namun isu itu berlalu dan sehingga kini kita kekal saling menghormati.

Suasana itu menyebabkan hubungan kita dengan PKR masih berjalan. Walaupun dasar perjuangan Pas dan PKR berbeza, apabila kedua-dua parti itu saling menghormati, kita masih kekal bekerjasama. Yang tidak sama adalah DAP, semua orang tahu DAP menganggu perjuangan Pas sementara Pas tidak pernah berbuat demikian. Jadi untuk menuduh Pas punca perpecahan dalam pakatan pembangkang, itu tidak benar. Buktinya kita masih boleh terima PKR walaupun parti itu bekerjasama dengan DAP. Kalau ikut emosi, pasti hubungan itu berakhir. PKR sebuah parti besar, kita pernah berselisih faham, tetapi mereka masih mahu bersama Pas dan kita sahut. Kita akui mempunyai manfaat menjalinkan kerjasama dengan PKR, begitu jugalah PKR.

BAI'AH TALAK TIGA

Ada pemimpin Pas di Kelantan yang tidak mempedulikan bai'ah talak tiga ke atas isteri masing-masing dan menganggap perkahwinan tidak terbubar dengan tindakan mereka meninggalkan Pas dan menyertai Amanah. Pandangan ustaz ?

Nik Mohamad Abduh: Isu bai'ah talak tiga ini kita telah putuskan – serah pada pihak berwajib sebab itu melibatkan hukum di dunia. Bai'ah adalah ajaran agama yang disebut dalam al-Quran, hadis dan Nabi juga laksanakan. Bai'ah ini amalan sepanjang zaman untuk mengukuhkan ketaatan kita kepada Allah. Pada zaman Nabi dahulu ada muslimat yang memeluk Islam tetapi mereka datang jumpa Rasullulah untuk menguatkan ketaatan mereka kepada Allah dengan melakukan bai'ah untuk tidak berzina, mencuri dan Nabi menerima bai'ah tersebut. Perkara itu disebut dalam al-Quran. Disebut dalam kalangan mukmin berbai'ah kepada ketua mereka untuk memperjuangkan agama.

Banyak orang kata kita menggunakan agama, memang kita menggunakan agama daripada arahan agama. Kalau tidak guna agama baik masuk UMNO dan parti-parti lain. Apa yang dilihat juga dalam isu bai'ah ini orang dapat ilmu baharu. Tinggal sekarang kita buat secara dalaman. Kita membawa ilmu sebesar ini untuk mengukuhkan parti Pas. Bai'ah dilakukan seluruh pemimpin Pas dan ia berperingkat sama ada untuk ahli, yang memegang jawatan dan wakil rakyat. Ahli hanya berbai'ah janji untuk setia. Pas tidak beri apa-apa, mereka yang memberi kepada Pas daripada segi mengorban diri, harta dan sebagainya untuk perjuangan Pas.

Bai'ah paling besar adalah dari wakil rakyat, sebab kita memberi mereka amanah untuk menjadi wakil rakyat. Oleh kerana ini amanah yang besar kita menuntut mereka untuk setia dan kita menggunakan ajaran agama iaitu bai'ah, bai'ah janji kepada Allah.

Bagaimana ustaz melihat perpaduan dalam kalangan umat Islam ?

Nik Mohd Abduh: Kalau bercakap soal perpaduan, elok sebut perpaduan secara menyeluruh iaitu rakyat di negara ini. Di Malaysia ini, Islam datang, orang Melayu dapat. Jadi kita semaikan dari Islam datang lagi bukan sahaja cintakan Melayu tetapi cintakan Tanah Melayu supaya semua yang ada di Tanah Melayu kena jaga apabila datang kaum Cina dan India. Jadi pada masa itu, kalau kita jaga kelompok Melayu sahaja tidak amanlah Tanah Melayu sebab ada di dalamnya Cina dan India.

Jadi kita ajar cintakan Malaysia. Islam ajar kita jaga tanah air termasuk bukan Islam. Apabila nabi wafat, idea ini berkembang, di mana saja umat Islam berada, maka umat Islam di Madinah perlu mencintai umat Islam di Eropah, maka jadilah sistem khilafah iaitu kita saling mencintai. Kalau Melayu kita setakat terkurung di Tanah Melayu sahaja. Kita tak cintakan umat Melayu di negara lain. Jadi kalau nak bercakap mengenai perpaduan bukan sahaja perpaduan kecil tetapi perpaduan yang meluas. Sebab itu umat Islam otaknya meluas, dia melihat rakannya di Palestin teraniaya, walaupun tak pernah jumpa kita sudah rasa terikat. Itu yang kita nak buat di Malaysia. Jadi apabila bawa agama, kita beritahu rakyat Malaysia ini Islam, bahawa Islam mencadangkan cara perpaduan yang terbaik. Kita kata cinta semua rakyat di tanah air.

Sebab itu timbul masalah, apabila cauvinis tidak kira Melayu, Cina atau India bila bercakap mengenai bangsa, sehingga bila perhimpunan kuning berlaku, orang bukan Islam hadir, orang Melayu resah. Apabila perhimpunan merah yang pergi orang Melayu ramai, orang Cina resah sampai kedutaan China turun ke Jalan Petaling. Ini tidak akan menyelesaikan masalah. Saling menunjukan kekuatan bangsa, saling tuduh menuduh.

Sebab itu apabila Pengerusi NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos kata hendak datang ke perhimpunan hijau, kita alu-alukan sebab apabila dia datang, dia akan tengok bahawa himpunan kami ini bukan perhimpunan perkauman, kita menyeru cintakan tanah air seperti mana yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Jadi kita dapat tengok penyatuan yang lebih baik daripada idea Nabi Muhammad SAW.

KERAJAAN PAS KELANTAN

Pas pasca Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyaksikan pergelutan sesama sendiri sejak akhir-akhir ini termasuk pemimpin Pas sendiri menyerang Kerajaan Pas Kelantan. Apa pandangan Ustaz?

Nik Mohd. Abduh: Setiap mukmin berpegang pada janji. Seorang pemimpin yang diberi amanah penuh dengan janji dengan parti untuk setia dan tidak mengkhianati parti apabila dia tidak lagi menjadi pemimpin. Maka pemimpin itu perlu kekal dengan janji untuk memelihara perjanjian semasa menjadi pemimpin. Kita berhadapan dengan saat gagah dan lemah, ada benda tersilap kita baiki dan setiap perkara itu tidak perlu didedah. Yang penting kita mengakui dan perbaiki. Kita tengok sekarang ada pemimpin yang berada dalam kelompok kita sendiri gagal menjaga amanah, mendedahkan rahsia, kita lihat perkara itu sebagai tidak sihat.

Isu-isu yang dibangkitkan ini rakyat akan dapat menilai. Sepatutnya soalan-soalan menentang Pas ini keluar daripada parti lain bukan pemimpin sendiri. Isu yang ditimbulkan Datuk Husam Musa ini ada jawapannya. Sepatutnya beliau tanya soalan di Sidang Dewan Undangan Negeri. Kalau ikut kaedah bawa ke dewan dan EXCO jawab dan diteruskan dengan sesi dialog. Kalau menggunakan media, memudahkan fitnah menular. Kita dalam proses pengukuhan, kalau ada timbul sesuatu cubalah redakan.-utusan.com.my