Bahkan katanya lagi, Langkah Kajang pernah bermati-matian dinafikan ketua pembangkang waktu itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi akhirnya ‘bangkai gajah tidak lagi boleh ditutup dengan nyiru’.

Adakah benar bakal terjadi satu lagi ‘move’, Langkah Rawang? Apakah ADUN Rawang ketika ini, Gan Pei Nei akan menerima nasib sama seperti terjadi ke atas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh tahun lalu sebelum kedudukannya ‘dirompak’ oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail?

Ini bukan kali pertama sindrom penafian keluar dari mulut pemimpin-pemimpin PKR. Semasa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hendak disingkirkan pun, berbuih mulut mereka menyangkalnya.

Dalam kes Langkah Rawang, kata Menteri Besar Selangor sekarang, Mohamed Azmin: “Saya tidak pernah dengar benda macam itu. Langkah Rawang adalah spekulasi yang tidak betul dan tidak ada kena-mengena dengan jawatan saya sebagai menteri besar sekarang.”

Tetapi yang peliknya hanya Mohamed Azmin sahaja yang lantang menafikan. Mana perginya suara Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Tian Chua dan Nurul Izzah semasa menidakkan Langkah Kajang di peringkat awal dulu?

Dengan Menteri Besar Selangor itu dilihat lebih banyak bergerak solo serta acuh tidak acuh dengan kewibawaan pakatan pembangkang yang baharu, pakatan harapan, beliau dikatakan tetap mahu memilih ‘jalan selamat’ dengan menagih sokongan Pas. Kerana itu, beliau masih enggan menerima kedatangan parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) di Selangor.

Timbalan Presiden PKR ini juga dikatakan masih percaya Pas ada pengaruh daripada ‘pihak di atas’ lantas belum terdetik di hatinya mahu menyingkirkan exco-exco Pas daripada pentadbirannya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin akur PKR tidak memiliki jentera pilihan raya akar umbi secekap Pas yang difahamkan mendominasi sebahagian besar kariah surau-surau dan masjid di Selangor.

Tambah lagi, Mohamed Azmin terpaksa pula jenuh ‘bersilat’ untuk menjawab kepada rakyat Selangor akan dakwaan pemindahan aset Perbadanan Menteri Besar (MBI) kepada Darul Ehsan Investment Group (DEIG) bernilai kira-kira RM30 bilion.

Maka ‘peletakan’ Saifuddin untuk kerusi MB Selangor juga tidak pelik kerana bekas Ahli Parlimen Temerloh dan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu kini berada dalam pasukan Wan Azizah.
Wan Azizah tentu tidak lupa sampai bila-bila dipermainkan Pas sehingga menyebabkannya terlepas jawatan MB ke tangan Mohamed Azmin.

Mungkinkah benar Langkah Rawang ini strategi terancang Wan Azizah dan Saifuddin? Kalau tidak masakan Saifuddin sanggup menggadai maruahnya keluar BN dan meninggalkan kedudukan selesa Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesederhanaan Gerakan Global (GMMF)?

Dengan ‘bakat’ mempelopori politik baharu serta pengalaman selaku bekas Ahli Parlimen, timbalan menteri dan ahli MT UMNO, tidak mungkin Saifuddin masuk PKR tanpa strategi, benarkah?

Nampaknya ‘jalan belot’ yang dipilih Saifuddin berbaloi apabila tidak sampai seminggu menjawat jawatan sebagai ahli baharu PKR, dia terus dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan oleh Wan Azizah.

Kalau diikutkan ‘kepala’ PKR, parti itu tentu tidak peduli dengan apa kata rakyat Selangor asalkan Langkah Rawang boleh menjayakan agenda politik mereka, sungguhkah?

Langkah Kajang adalah buktinya, meskipun sebanyak RM1.6 juta anggaran wang rakyat terpaksa dibelanjakan bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Selangor pada 23 Mac tahun lalu.

Orang Selangor tidak akan lupa bagaimana wang rakyat ini dibazirkan sebegitu rupa apabila Chin Cheh sengaja mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semata-mata mahu memberi laluan kepada Wan Azizah. Malangnya RM1.6 juta itu terpaksa dibayar oleh rakyat untuk wayang politik PKR di Selangor.

Secara perbandingan, jumlah itu mampu menampung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM650 masing-masing kepada lebih 2,400 keluarga ataupun RM300 masing-masing kepada lebih 5,300 individu bujang di negara ini.

Selain itu, RM1.6 juta itu juga mampu menampung pemberian lebih 50 rumah percuma masing-masing berharga RM30,000 di bawah program perumahan rakyat kepada mereka yang kurang berkemampuan ataupun menampung pemberian percuma 16 rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia berharga RM100,000 sebuah.

Nampaknya PKR waktu menggerakkan Langkah Kajang telah mempermainkan proses demokrasi di Selangor dengan kosnya ditanggung oleh wang rakyat sendiri.

Seperti tahun 2008 juga, sebanyak RM1.5 juta wang rakyat terpaksa dibelanjakan bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang setelah Wan Azizah meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim untuk bergelar ahli Parlimen kawasan tersebut.

Wanita PKR beberapa hari lalu menyifatkan rancangan untuk menyisihkan Mohamed Azmin melalui Langkah Rawang atau digantikan dengan Saifuddin sebagai mengarut. Tetapi sejarah membuktikan dalam politik PKR apa sahaja boleh berlaku.

Sebutan Rawang dalam bahasa Cina adalah terbalik dengan bahasa Melayu iaitu “Wang Ra”. Bagi asal usul nama Kajang pula, menurut satu riwayat, maksud perkataan ‘berkajang’ bagi orang Mendailing ialah berpondok/berteduh manakala bagi orang Bugis ‘bertikam atau bergaduh’.

Adakah rakyat Selangor bakal menyaksikan satu lagi drama ‘bergaduh’ mirip Langkah Kajang di “Wang Ra”? Andai ini terjadi, ramai pemerhati politik tertunggu-tunggu kesudahannya pihak yang mahu melakukannya. Sudah tentulah dalam masa yang terdekat sebelum Mei tahun depan.

Ini kerana tempoh selepas itu iaitu dua tahun sebelum mandat kerajaan berakhir (Mei 2018), biasanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengendalikan pilihan raya kecil lagi. Kita tunggu saja apakah angin-angin ini akan bertukar menjadi puting beliung sekali lagi dalam PKR.
DATUK SOHAIMI SHAHADAN ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Sumber DD - 31-10-2015