BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Sunday, August 24, 2014

PRK PENGKALAN KUBOR



Minyak naik: Mana janji Umno di Pengkalan Kubor

ASLANI M | .

TUMPAT: Jasa seramai 9,961 pengundi Pengkalan Kubor mengekalkan Barisan Nasional (BN) di Pengkalan Kubor, malam tadi diberi hadiah istimewa yang turut dirasai seluruh rakyat Malaysia.

Kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen berkuatkuasa 12.01 malam tadi sebagai membalas jasa dan sumbangan pengundi Pengkalan Kubor Khamis lepas.

Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim berkata, hadiah itu amat bermakna kepada mereka kerana bebanannya turut dirasai seluruh rakyat Malaysia sehingga Sabah dan Sarawak.

Katanya, seminggu selepas lebih 9,900 pengundi Pengkalan Kubor mengekalkan calon BN mereka sudah diberi hadiah cukup “bermakna” dengan membebankan lagi kehidupan rakyat.

“Sudah pasti akan berlaku kenaikan harga barangan selepas ini. Kenaikan diesel akan memberi kesan yang besar.

“Tidak sepadan dengan mereka mendapat alat ketuhar dan wang ringgit pada kempen pilihan raya baru-baru ini. Sekarang mereka berhadapan kenaikan barangan keperluan asas,” katanya.

Malam tadi kerajaan BN mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 menjadikan harga petrol di pasaran sekarang RM2.30 dan diesel RM2.20.

Kenaikan itu berlaku ketika harga minyak dunia pada September lalu turun di paras USD100 setong.

Pada pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor 25 September lalu BN mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 2,635 undi mengatasi calon PAS dan Bebas.

Wan Rosdi yang juga calon PRK tersebut berkata, hari ini barulah pengundi dapat menilai apa makna sebenar sumbangan mereka mengekalkan BN.

Kata beliau, orang ramai tidak boleh mempersalahkan kerajaan BN kerana kuasa diberi setiap pengundi membolehkan pemimpin Umno bertindak termasuk menaikkan petrol dan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Yang Dipertua PAS Jeli, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, semasa kempen pilihan raya pemimpin Umno dan BN sanggup menjanjikan apa sahaja, namun selepas diberi kuasa mereka bebas menaikkan harga minyak.

Katanya, tempias kenaikan harga minyak bukan sekadar hadiah kepada pengundi BN di Pengkalan Kubor sebaliknya bebanan kepada rakyat di seluruh negara. - HARAKAHDAILY 2/10/2014

Sumber HD - 2-10-2014

Pengkalan Kubor: Nilai apakah yang BN lakukan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Perak merakamkan jutaan tahniah kepada seluruh jentera yang bertungkus lumus berusaha merebut kerusi Dun Pengkalan Kubor dalam pilihan raya kecil tempoh hari.

Khasnya kepada jentera daripada negeri Perak dari semua kawasan yang telah turun secara berperingkat mengikut jadual yang telah diberikan.

Walaupun tidak memperoleh kemenangan, namun ianya adalah permulaan baik bagi PAS untuk mengorak langkah dan memandang ke hadapan terhadap masa depan PAS di Pengkalan Kubor, kata Pengarah Jabatan Pilihan raya Pemuda PAS Perak, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

"Walaupun kita dibahangi dengan suasana muktamar namun jentera PAS tidak dilihat pincang apabila seluruh tenaga di semua peringkat sama ada ulamak, pemuda, muslimat termasuklah dewan himpunan turun membantu kempen," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mereka mengerah seluruh jentera dari seluruh negara menggerakkan gerak kerja pilihan raya sejak awal lagi hingga ke hari pembuangan undi.

Baginya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memilih tarikh yang tidak sesuai atau sengaja apabila dalam masa yang sama muktamar PAS sedang bersidang yang melibatkan semua jentera di seluruh negara.

"Namun begitu, kami menggesa PAS membuat 'post-moterm' bagi menilai keputusan yang telah diperoleh seterus melihat, menilai serta mengenal pasti kekurangan yang ada," katanya.

Beliau berkata, PAS perlu kenal pasti punca kenapa majoriti yang diperoleh oleh BN meningkat sedangkan kali ini PAS yang bertanding oleh kerana sebelum ini 'alasan' kekalahan yang kedengaran adalah kerusi tersebut ditandingi oleh PKR.

"PAS juga perlu memastikan apakah strategi yang diguna pakai dalam pilihan raya tersebut berkesan di samping menilai apa yang dilakukan oleh BN untuk kita aplikasikan serta tambah baik selepas ini," ujarnya lagi.

Pihaknya yakin, Jabatan Pilihanraya PAS Pusat mengambil serius dengan keputusan yang ada bagi menilai prestasi jentera parti serta penerimaan rakyat terhadap gerak kerja yang jentera lakukan. - HARAKAHDAILY 29/9/2014

Sumber HD - 29-9-2014

Projek Putrajaya bantu BN di Pengkalan Kubor

M FAQIH | .


“KALAU duit tak turun pasti out,” kata seorang pemimpin Umno di sebuah kedai kopi di Kota Bharu sehari selepas pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor berlangsung.

Malam tadi selepas keputusan muktamad PRK diumumkan, sumber Umno mendakwa sebanyak RM40 juta mereka korbankan di Pengkalan Kubor.

Apakah ada kewarasan maklumat Umno itu atau sekadar PAS mencari alasan selepas kalah teruk pada PRK tersebut?

Lojiknya sudah kelihatan pagi hari mengundi. Di Unit Peti Undi (UPU) Ketil banyak motosikal membawa kotak peralatan elektrik dari markas Umno di situ.

Di sebuah lagi markas Umno berderetan pengundi beratur, khabarnya bagi mendapat habuan selepas membuang undi.

Maka hujah sumber Umno menyebut RM40 juta, ia bukan lagi alasan direka PAS selepas gagal dalam misi merampas Dun Pengkalan Kubor.

Malam sebelum mengundi banyak rumah penyokong PAS di Geting, Tebing dan Tujoh didatangi orang tidak dikenali membawa “umpan segera”.

Misi itu sudah lama dipraktikkan termasuk di Galas, Manek Urai, Pengkalan Pasir dan Semerak pada PRK yang diadakan sebelum ini.

Tidak hairanlah di Pengkalan Kubor yang sudah didominasi Umno sejak 2004. - HARAKAHDAILY 26/9/2014

(Ikuti analisis lanjut dalam Harakah cetak keluaran akan datang)

Sumber HD - 26-9-2014

Semangat Pengkalan Kubor hadapi PRU14

ASLANI M | .


KOTA BHARU: Pesuruhjaya PAS Kelantan berharap semangat kerjasama petugas-petugas PAS seperti yang digerakkan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor wajar dikekalkan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, melalui semangat itu anugerah kemenangan tidak mustahil berpihak kepada PAS untuk kembali bertapak di Pengkalan Kubor.

Katanya, pengajaran PRK tersebut banyak memberi kematangan dan pengalaman kepada PAS Kelantan.

“Kita akan bermuhasabah setiap gerak kerja dijalankan bagi merangka strategi yang lebih cemerlang bagi menghadapi Umno BN.

“Mereka sentiasa memanipulasi isu-isu dan memutar-belitkan fakta berkaitan dengan royalti minyak dan pelbagai lagi,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap setiap penyokong PAS dan Pakatan Rakyat jangan bersedih dan lemah semangat kerana perjuangan kita akan mendapat ganjaran daripada Allah Taala.

“Kita berjihad menegakkan tuntutan Allah. Kita sudah mendapat ganjaran,” katanya.

PAS pernah mempunyai pengalaman tewas pada PRK 2005 di Pengkalan Pasir, namun PRU 2008 PAS menang dengan jumlah undi lebih besar.

Daripada tujuh PRK yang diadakan di Kelantan selepas 1991 PAS menang tiga dan tewas empat kali. Pada PRK 1991 Semangat 46 menang di Dun Sungai Pinang dan Limbongan. - HARAKAHDAILY 26/9/2014

Sumber HD - 26-9-2014

Saya tetap bertugas kepada rakyat – Wan Rosdi

SALMAH MAT HUSAIN | .

TUMPAT: Calon Pakatan Rakyat daripada PAS pada PRK Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantunya sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Katanya, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan parti Pakatan Rakyat khusus PKR dari semua peringkat cabang dan negeri yang membantunya.

“Terima kasih kepada petugas-petugas peringkat kawasan di negeri ini serta petugas seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang turut membantu.

“Terima kasih juga pada pengundi calon Pakatan Rakyat. Tidak ketinggalan juga anak-anak muda yang inginkan perubahan, petugas keselamatan yang menjalankan tanggungjawab dengan baik,” ujarnya di sini.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana PRK Pengkalan Kubor berjalan baik serta tidak ada insiden yang buruk.

“Saya akan bertugas seperti biasa kepada rakyat seperti sebelum ini,” katanya. - HARAKAHDAILY 25/9/204

Sumber HD - 25-9-2014

Undi hari bekerja punca peratusan rendah

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .



TUMPAT: Pengundi bukan sahaja diberi janji sebelum pilihan raya kecil (PRK) berlangsung, sebaliknya selepas mengundi pun diberi ganjaran lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengundi turut diberikan microwave selepas mengundi.

“Kalau suami dapat, isteri atau anak yang layak mengundi juga dapat.

“Perkara ini perlu diambil perhatian oleh SPR. Sekiranya dibiarkan budaya begini, pilihan raya kita akan menjadi korup andainya tidak dikawal,” ujarnya pada sidang media di Markas Besar PAS malam ini.

Pengurus PRK Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli mengumumkan malam ini BN mendapat 9,961 undi, manakala PAS - 7,326 undi. Calon Bebas pula 38 undi.

Sebanyak 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi. Pada pilihan raya umum lepas jumlah keluar mengundi 80 peratus.

Pada PRU13 lepas, Datuk Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Oleh itu, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Induk PRK Dun berkenaan meminta SPR menyemak semua perbelanjaan sepanjang kempen PRK Pengkalan Kubor sama ada BN atau Pakatan Rakyat.

“Ia satu perkara yang sangat serius berlaku pada PRK ini. Biasanya kalau PRK hanya lingkungan RM50,000 sahaja sudah cukup untuk memasang bendera, poster serta yang berkaitan.

“Namun PRK kali ini begitu besar perbelanjaannya dan ia dilihat seperti tidak ada kawalan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, PAS akan membuat post mortem berhubung kekalahan itu bagi mengetahui punca kekalahan sebenar.

Beliau juga mengucapkan tahniah di atas kemenangan calon BN semoga beliau dapat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan baik.

Hadir sidang media itu calon Pakatan, Wan Rosdi Wan Ibrahim, Timbalan Pengarah Operasi pilihan raya, Mohd Zaki Ibrahim dan Bendahari PKR negeri, Roslan Putih.

“PAS mewakili Pakatan Rakyat mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan khususnya PKR yang turut membantu.

“Selain itu petugas dari seluruh kawasan di negara ini yang turut berkampung di sini,” tambahnya.

Beliau juga berkata, peratusan mengundi agak rendah kerana ia diadakan pada hari bekerja sehingga menyukar pengundi yang tinggal jauh untuk pulang mengundi. - HARAKAHDAILY 25/9/204

Sumber HD - 25-9-2014

BN pertahan Dun Pengkalan Kubor

HARAKAHDAILY | .

TUMPAT: BN mengekalkan kerusi Dun Pengkalan Kubor dalam pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan hari ini dengan majoriti 2,635 undi.

Calon BN mendapat 9,961 undi, PAS memperoleh 7,326 undi sementara calon Bebas pula mengutip 38 undi dan hilang deposit.

Tiga calon iaitu Mat Razi Mat Ail (BN), Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) bertanding pada PRK ini.

Sebanyak 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD - 25-9-2014

Menunggu angin perubahan di Pengkalan Kubor

M FAQIH | .


HANYA pengundi masyarakat Siam di Jubakar Darat menjadi benteng taruhan akhir Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum lepas calon PKR, Shaharun Ibrahim hanya mendapat 83 undi, manakala BN membolot 782 undi di situ.

Umno juga berkubu utuh di unit peti undi (UPU) Simpangan, Bunohan dan Teluk Jering sejak pilihan raya umum 1995.

Namun kubu Umno di UPU Bendang Pak Yong pernah dimenangi calon PAS, Wan Hussin Wan Ahmad pada PRU 1999 dengan kelebihan 159 undi. Selain itu Wan Hussin juga menang di UPU Pengkalan Kubor dengan majoriti 78 undi.

PAS sejak dahulu sehingga sekarang mendominasi UPU Tebing, Geting, Tujoh dan Telaga Bata. Berdasar kepada gerak kerja kempen PAS dan Pakatan Rakyat sepanjang kempen 12 hari, apakah ada kemungkinan berlaku pertambahan undi PAS di UPU terbabit.

Ini kerana ada kalangan mereka yang tidak keluar mengundi pada PRU memberi komitmen baru sekarang.

Di Kampung Neting ada penduduk tidak mengharapkan bantuan jentera kempen dari luar bagi memasang sendiri poster kempen.

Mereka memasang sendiri poster dan bendera PAS di hadapan rumah. Mereka lebih bersemangat kerana Wan Rosdi sudah lama dikenali. Begitu juga di UPU Bendang Pak Yong.

Situasi baru juga diharap ada sedikit anjakan di UPU Jubakar Darat dan Mertua. Masyarakat Siam yang rata-rata bekerja sebagai petani mengakui sudah lama mengenali calon Pakatan Rakyat.

Eh Ron, 67 dari Kampung Mertua berkata, masyarakat Siam hanya suka pemimpin yang lebih dekat dengan mereka.

Katanya, kalau tidak kenal macam mana hendak diharap dapat membantu masyarakat Siam.

“Wan Rosdi kita sudah lama kenal. Dia selalu datang ke Kampung Mertua. Sejak enam tahun lepas hubungan rapat. Pemimpin macam inilah yang kita harapkan.

“Calon BN kita tidak kenal biar pun bertugas sebagai guru. Kalau tak kenal payah sikit hendak pilih. Dahulu wakil rakyat BN kita kenal dia,” katanya di sini.

Beliau memberitahu masyarakat Siam menerima banyak kemudahan disediakan kerajaan negeri termasuk bantuan Skim Takaful Kifaalah sebanyak RM1,500 apabila berlaku kematian warga emas.

“Selain itu pemuda miskin yang hendak berkahwin diberi bantuan RM1,000. Wan Rosdi datang sendiri ke rumah penduduk menyampaikan bantuan.

“Sebab itulah penduduk Siam rapat dengan dia. Saya yakin ada perubahan undi masyarakat Siam kali ini,” katanya.

Beberapa lagi penduduk Siam ketika ditemui turut mengakui perkara sama. Paling acap mereka sebut sudah lama kenal Wan Rosdi.

E Chian, 66 dari Mertua juga kenal rapat dengan Wan Rosdi kerana dia selalu datang ke kampung tersebut.

Mek Deng Chan Ho, 73 juga dari Kampung Mertua memberitahu sering bertemu dengan Wan Rosdi.

Pengundi Siam di Mertua dan Jubakar Darat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Sri Neting. Ramai yang keluar mengundi pada pagi tadi.

Pada pilihan raya umum lepas calon PAS kerusi parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar mendapat 104 undi Siam di SK Sri Neting, manakala calon BN, Mansor Salleh pula mendapat 767 undi.

Undi BN juga tinggi di UPU Simpangan, UPU Telaga Bata dan UPU Pengkalan Kubor. Apakah ada perubahan kali ini atau statik dengan keputusan lama?

Apakah angin Laut China Selatan akan melanda Pengkalan Kubor. Tunggulah keputusan muktamad malam ini. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Suasana PRK - 
https://www.youtube.com/watch?v=6B4WQJ0-M3A

Sumber HD - 25-9-2014

Aliran mengundi perlahan sebelah petang

ASLANI M | .


TUMPAT: Sebelah petang aliran kedatangan pengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor agak perlahan berbanding pagi tadi.

Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya peratusan keluar mengundi sehingga 2 petang tadi sebanyak 64 peratus atau 15,443 pengundi.

Timbalan Pengarah Operasi PAS PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, pengundian hari bekerja menyukarkan pengundi yang bekerja di luar pulang untuk mengundi.

Bagaimanapun beliau yakin hampir 50 peratus pengundi yang tinggal di luar kawasan terutamanya Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain pulang mengundi.

“Kami percaya bilangan pengundi luar lebih ramai sekiranya pengundian diadakan pada hari Sabtu atau cuti umum.

“Biar pun di Kelantan hari ini diumumkan kerajaan negeri sebagai cuti peristiwa, namun di negeri-negeri lain hari bekerja,” katanya di sini.

Beliau yang juga Adun Kelaboran berharap pengundi yang belum keluar membuang undi menggunakan kesempatan berbaki supaya menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau juga berkata, petugas Umno semakin berkurangan pada sebelah petang berbanding petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang mendominasi tempat pengundian.

Katanya, ketika tinjauan di Bunohan dan beberapa lagi tempat pengundian pada sebelah petang didapati semakin berkurangan perayu undi BN.

Menurutnya beliau juga berdasar kepada temubual bersama beberapa perayu undi mereka memberitahu dibayar sebanyak RM30 untuk hadir bagi memeriahkan kempen BN.

Kebelakangan ini hujan sering turun di Pengkalan Kubor pada sebelah petang. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD - 25-9-2014

Ambil peluang keluar mengundi awal - Tuan Ibrahim

HARAKAHDAILY | .



(Calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim membuang undi pagi ini)

KUALA LUMPUR: PAS menggesa semua pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor yang belum keluar mengundi agar memanfaatkan cuaca cerah sebelah pagi ini untuk menunaikan tanggungjawab.

Pengarah Induk PRK Pengkalan Kubor Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cuaca panas terik sebelah pagi dikhuatiri akan disusuli hujan pada sebelah petang.


"Saya sudah selesai pusing semua pusat-pusat mengundi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Ada tegang sikit-sikit antara penyokong itu biasalah.

"Cuma saya harap para pengundi boleh keluar awal kerana kita bimbang hujan di sebelah petang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas peluang PAS untuk mengambil kembali kerusi itu daripada BN, Tuan Ibrahim berkata setakat ini beliau optimis PAS boleh menang.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS, mahu seluruh ahli dan penyokong terus berdoa untuk kemenangan parti itu.

Mengulas peratusan keluar mengundi hari ini, beliau menjangkakan ia sekitar 70 hingga 75 peratus, iaitu kurang dari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu yang mencatat 80 peratus.

Menurutnya, Ia memandangkan faktor hari mengundi hari ini yang jatuh pada hari bekerja.

Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan pengundi luar yang sebahagian besarnya turut pulang untuk menunaikan tanggungjawab.

"Kita harap kelancaran proses ini berterusan sehingga keputusan diumumkan malam ini," katanya.

Dalam pada itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan peratusan keluar mengundi sehingga jam 12 tengah hari tadi mencecah 54 peratus atau 12,945 orang.

PRK Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, calon BN Mat Razi Mat Ail, dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

SPR menjangkakan keputusan PRK ini akan diketahui seawal jam 9 malam ini. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD - 25-9-2014

Pengkalan Kubor: Juham syak wujud sindiket salah guna IC

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Malaysia menerima aduan daripada petugas pilihanraya PAS di UPU Bendang Pak Yong, Pengkalan Kubor tentang seorang pengundi yang disyaki bukan warganegara Malaysia, namun mempunyai kad pengenalan dan passport Malaysia.

Menurut Pengarahnya, Noorazmir Zakaria, peguam-peguam Juham yang bertugas di situ dengan serta-merta menahan dan menyoal-siasat pengundi terbabit serta menyemak kad pengenalan serta passport beliau.

"Pengundi tersebut asalnya diiringi oleh Penghulu Kampung Bendang Pak Yong. Namun setelah menyedari kehadiran peguam Juham, penghulu tersebut terus melarikan diri dan meninggalkan pengundi tersebut," jelasnya dalam satu kenyataan.

Katanya, keraguan semakin memuncak apabila ketika disoal peguam Juham, pengundi tersebut langsung tidak tahu berapa nombor Kad Pengenalan (IC dia, berapa umurnya dan di mana alamatnya di Pengkalan Kubor.

"Malah yang lebih aneh adalah pengundi tersebut juga tidak tahu apakah nama Dun tempat beliau mengundi undi ini dan apakah nama tempat UPU beliau mengundi," ujarnya lagi

Namun, kata beliau pengundi tersebut mengaku bahawa dia memangkah calon Barisan Nasional.

"Berdasarkan rekod di dalam passport beliau, beliau kerap berulang-alik ke Thailand.

"Apabila ditanya, beliau mengesahkan keluarga beliau menetap di Thailand dan kali pertama beliau mengundi adalah ketika Pilihan raya Umum ke-13 baru-baru ini," katanya lagi.

Justeru, katanya Juham menyeru kepada semua petugas-petugas pilihan raya untuk lebih berwaspada dan cakna dengan individu-individu yang mencurigakan.

Beliau berkata, sekiranya wujud individu yang mencurigakan, petugas-petugas diminta untuk segera melaporkan kepada peguam Juham yang bertugas. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD - 25-9-2014

Wan Rosdi lawat tempat mengundi, suasana terkawal

RIZAL TAHIR & M ZIN | .


TUMPAT: Suasana tempat pengundian pagi ini agak terkawal biar pun berlaku sedikit ketegangan di tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Simpangan apabila perayu undi wanita Umno berada di pintu masuk tempat pembuangan undi.

Bantahan dibuat Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof memandangkan wanita terbabit memakai lambang dacing.

Pasukan peguam PAS membuat bantahan kepada pihak pengurus pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Sehingga pagi ini Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengiringi calon Pakatan Rakyat, Wan Rosdi Wan Ibrahim ke lima tempat mengundi iaitu Bendang Pak Yong, Teluk Jering, Bunuhan, Simpangan dan Pengkalan Kubor 2.

Menteri Besar tiba di rumah Wan Rosdi di Bendang Pak Yong kira-kira jam 7.30 pagi sebelum calon keluar membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong.

Turut serta mengiringi calon Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob dan Timbalan Speaker, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Suasana masih lagi terkawal dengan kehadiran ramai penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

Jalan utama utama ke Pengkalan Kubor sesak teruk sejak malam tadi.

Manakala di Sekolah Kebangsaan Sri Neting sudah ramai masyarakat Siam keluar membuang undi seawal jam 8 pagi.

Hampir kesemua pengundi di tempat mengundi tersebut ialah pengundi masyarakat Siam dari Kampung Jubakar Darat dan Mertua. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD - 25-9-2014

Wan Rosdi mengundi di SK Bendang Pa Yong

HARAKAHDAILY | .



TUMPAT: Seawal jam 8.00 pagi tadi, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim tiba di Sekolah Kebangsaan Bendang Pa Yong untuk menunaikan tanggungjawabnya membuang undi dengan diiringi Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yaakob. (Foto facebook PRK N.01 Pengkalan KUBOR)

Sebelum itu, beliau menunaikan solat hajat di rumahnya yang diimamkan oleh Ustaz Ahmad sebelum melangkah ke tempat mengundi.

"Sama-sama kita mendoakan segala urusan dimudahkan dan kemenangan berpihak kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS)! Insya Allah," tulisan facebook PRK N.01 Pengkalan Kubor dipetik.


Sumber HD - 25-9-2014

Polis jamin keselamatan pengundi

MOHD NOR YAHYA & MIJIE YUSOF | .
TUMPAT: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim meminta pengundi tidak risau untuk keluar mengundi kerana polis memberi jaminan terhadap keselamatan mereka.

Katanya, soal keselamatan tidak ada masalah di Pengkalan Kubor biar pun kedudukan berhampiran dengan negara jiran.

“Setakat tengahari ini tidak ada lagi laporan berlaku perkara tidak diingin di kesemua tempat mengundi dan keadaan begitu terkawal,” katanya ketika ditemui semasa melawat tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong, tengah hari ini.

Kata beliau, perayu undi kedua-dua pihak diharap tidak mengganggu pengundi ketika masuk untuk membuang undi bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Beliau juga menasihatkan pengundi keluar lebih awal memandangkan keadaan cuaca lebih elok.

Perayu-perayu undi di kawasan tersebut hampir setara biar pun pada pilihan raya umum lalu kawasan itu dimenangi BN dengan lebih 200 undi.

Petugas bangsal panas PAS di Bendang Pak Yong menganggarkan lebih 27 peratus pengundi sudah keluar mengundi pada sebelah pagi.

Seorang petugas ketika ditemui memberitahu suasana pilihan raya kali ini agak berlainan dengan pilihan raya umum tahun lepas kerana lebih ramai pengundi datang ke bangsal panas PAS.

Katanya, tidak dinafikan faktor Wan Rosdi Wan Ibrahim calon tempatan membuat mereka kali ini lebih bersemangat.

“Terdapat perkembangan yang positif dengan suasana pagi ini. Lebih menarik lagi kedatangan ramai pengundi muda,” katanya.

Di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong terdapat lima saluran.

Di Maktab Rendah Sains Mara, tempat pengundian Kampung Tujoh kelihatan lebih ramai petugas PAS berbanding dengan Umno/BN.

Kata seorang petugas suasana berlainan di sini berbanding PRU lepas kerana lebih ramai keluar mengundi.

Suasana kempen di tempat itu agak tegang sedikit sehingga pasukan FRU dikerah mengawal suasana.

Sementara itu di UPU Ketil petugas PAS mengesan ramai pengundi yang menaiki motosikal membawa microwave keluar daripada Markas Umno Pahang. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD  - 25-9-2014

Pengkalan Kubor: Ramai pengundi luar pulang mengundi

SALMAH MAT HUSAIN & MOHD NOR YAHYA | .

TUMPAT: PAS melihat pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor agak positif memandangkan sebahagian besar daripada kira-kira 1,700 pengundi yang berada di luar, pulang membuang undi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pengundi luar kebanyakan golongan muda pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

“Kita memanjatkan rasa syukur kerana mereka pulang biar pun hari mengundi diadakan ada hari bekerja.

“Mereka tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih biar pun terpaksa mengambil cuti,” katanya ketika ditemui semasa meninjau suasana pilihan raya di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering.

Beliau juga berkata, suasana tempat mengundi di Teluk Jering agak tenang biar pun didapati ramai penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

“Suasana tenang, tiada masalah perayu undi di antara kedua-dua pihak. Lagi pun suasana molek kerana cerah cuaca pada sebelah pagi,” katanya.

Turut berada di tempat mengundi tersebut Adun Bukit Tuku, Abdul Rasul Mohamad dan petugas dari Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa.

Teluk Jering merupakan kubu tradisi Umno sejak dahulu lagi. Bagaimanapun strategi undi senyap menjadi pilihan kalangan pengundi muda.

Harapan penduduk untuk mendapatkan jambatan baru menggantikan jambatan lama yang sempit akan menjadi kenyataan tidak lama lagi selepas kerajaan negeri meluluskan peruntukan membinanya.

Teluk Jering merupakan kawasan sempadan dengan Dun Wakaf Bharu. Jalan dari Cabang Empat Tok Mek Ngah ke sempadan Dun Pengkalan Kubor jem teruk sejak pagi lagi.

Manakala di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Meheliah suasana tempat pengundi pun agak tenang biar pun perayu undi PAS dari Bachok dan Selangor mendominasi tempat tersebut.

Laluan ke tempat pengundian agak sempit menyebabkan perayu undi PAS dan BN berada bercampur antara satu sama lain.

Turut menyertai rayuan undi PAS Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, timbalanya, Dr Mariah Mahmod, naib ketua, Mumtaz Mohd Nawi dan isteri Mursyidul Am, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Suasana meriah juga dapat dilihat di tempat mengundi di Sekolah Menengah Rendah Sains Mara. Jalan dari Pantai Sri Tujuh ke Pengkalan Kubor jem teruk.

Sementara itu jentera pilihan raya PAS mengesan petugas SPR melipat empat kertas undi sehingga menyebabkan ruang tempat pangkah bulan berlipat.

“Kesannya menyebabkan ramai pengundi warga emas susah hendak pangkah bulan kerana terpaksa membetulkan lipatan terlebih dahulu,” kata mereka.

- HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD - 25-9-2014

11 pusat mengundi PRK Pengkalan Kubor dibuka

BERNAMA | .
TUMPAT: Sebanyak 11 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan sebanyak 23,929 orang pengundi biasa menunaikan tanggungjawab mereka.

Kesemua pusat mengundi itu akan ditutup pada pukul 5 petang ini.

Penjumlahan undi dijangka bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Biji Wangsa di sini.

Pengundian awal pada 21 Sept lepas, menyaksikan sebanyak 96.3 peratus atau 105 orang daripada 109 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka di Dewan Delima, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Terdapat 45 saluran mengundi bagi PRK itu membabitkan 11 buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Meheliah Geting, Sekolah Kebangsaan Geting (1).

Sekolah Kebangsaan Simpangan, Maktab Rendah Sains MARA Tumpat, Sekolah Kebangsaan Bunohan, Sekolah Kebangsaan Sri Neting, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa' Yong, Sekolah Kebangsaan Teluk Jering dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geting.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi mencecah 70 peratus, iaitu kurang daripada lebih 80 peratus pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Abdul Aziz juga menjangkakan keputusan PRK DUN Pengkalan Kubor itu dapat diumumkan kira-kira, 9 malam ini.

Sementara itu, pengundi dinasihat supaya keluar awal mengundi berikutan cuaca diramal elok pada sebelah pagi ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat daripada BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada PRU Umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. - Bernama

Sumber HD - 25-9-2014

Terima kasih kepada semua yang membantu - Wan Rahim

SALMAH MAT HUSAIN | .


TUMPAT: Jentera operasi PAS pilihan raya Dun Pengkalan Kubor yang diketuai Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengucapkan terima kasih kepada rakan parti dari Pakatan Rakyat, PKR bersama wanita dan AMK yang sama berjuang membantu agar kemenangan berpihak kepada calon, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Wan Abdul Rahim berkata, Ketua PKR negeri, Ab Aziz Ab Kader, Ketua Wanita, Nooraini Hussin dan Ketua AMK, Roslan Ismail turut turun bersama-sama kepimpinan PAS untuk berkempen dari rumah ke rumah.

“Terima kasih diucapkan pada semua termasuk PAS kawasan seluruh negeri yang turut serta membantu,” ujarnya.

Beliau juga turut merakamkan terima kasih pada petugas negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak yang juga datang membantu.

"Semangat kerjasama ini, memberi harapan yang begitu positif untuk kita merampas Dun Pengkalan Kubor," ujarnya.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku selepas penamaan calon sehingga hari mengundi Pilihan Raya Kecil PRK N.01 Pengkalan Kubor hari ini.

Ketika memberitahu Harakahdaily, beliau berkata, hasrat SPR untuk menjadikan PRK harmoni sebagaimana di Balingian, Sarawak menjadi kenyataan. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD - 25-9-2014

Royalti: Kenyataan Petronas sekadar desakan PRK

ASLANI M | .
TUMPAT: Pertubuhan R Kelantan sejak awal lagi menolak penubuhan Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti kerana ia tidak ada asas undang-undang.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, kerajaan hanya boleh menubuhkan jawatankuasa khas setelah perjanjian ditandatangani antara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas pada 9 Mei 1975 dibatalkan.

Katanya persetujuan untuk mewujudkan jawatankuasa berkenaan sebelum ini tidak boleh mengatasi Akta Petroleum 1974 dan perjanjian yang telah ditandatangani.

“Oleh itu tidak berbangkit jawatankuasa berkenaan biar pun mereka mengeluarkan rumusan Kelantan tidak berhak ke atas royalti lima peratus,” katanya di sini.

Petronas dalam kenyataan hari ini menyebut tidak terikat secara undang-undang untuk membuat bayaran tunai daripada hasil petroleum di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Menurutnya sehingga hari ini tiada petroleum didapati dan diperoleh di dalam negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Kenyataan itu juga menyebut berdasarkan terma 'di dalam negeri' dalam perjanjian pembayaran yang merujuk kepada tanah negeri dan laut wilayah negeri tidak melebihi 3 batu nautika.

Nazri berkata, Akta Pembangunan Petroleum 1974 langsung tidak menyebut perkataan 3 batu nautika dan hanya menyatakan pengeluran dalam dan luar perairan negeri.

Lagi pun kata beliau Ordinan Darurat 1969 sudah dimansuhkan kerajaan pada 2011 dan tidak berbangkit lagi istilah 3 batu nautika.

Oleh itu katanya jawapan terbaru diberi Petronas tidak lebih sebagai tekanan kuat anak-anak muda sempena pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Pengarah Operasi R, Khairul Nizam Abd Ghani pula berkata, pendedahan laporan Jawatankuasa Kuasa Khas oleh Putrajaya ibarat makanan basi dengan pembungkusan baru.

Katanya, R sejak awal lagi menolak Jawatankuasa Khas yang diumumkan Perdana Menteri pada 4 Ogos 2012.

“R tegaskan Petronas perlu bayar mengikut perjanjian 9 Mei 1975. Jawatankuasa Khas yang menjanjikan keputusan selepas 6 bulan kini memasuki lebih dua tahun.

“Kini diumumkan kerana tekanan PRK Pengkalan Kubor. Seperti diduga oleh majoriti rakyat, keputusan tetap sama iaitu 3 batu nautika,” katanya.

Menurutnya juga had keselamatan 3 batu nautika sudah dimansuhkan melalui pemansuhan Akta Darurat 2011.

Manakala Akta Wilayah Laut 2012 (Akta 750) juga yang tidak sah kerana tidak diluluskan di Dun dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja kerana ia melibatkan sempadan negeri-negeri.

Beliau juga berkata, mengapa hanya Kelantan sahaja diberikan alasan 3 batu nautika sedangkan negeri-negeri tidak. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

Sumber HD - 25-9-2014

Umno mahu berkawan ketika lemah – TG Nik Aziz

RIZAL TAHIR dan MIJIE YUSOF | .


TUMPAT: Hanya ketika Umno terasa letih dan lemah barulah mereka mahu berkawan dengan parti lain termasuk PAS, namun setelah senang kawan pun akan ditendang keluar.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, beliau antara pemimpin yang menyatakan persetujuan untuk bersama dengan Umno dalam Barisan Nasional pada 1973 ekoran berlaku darurat 1969.

“Kita pernah makan nasi sedulang dengan Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin Umno lain ketika itu, namun tahu-tahu selepas itu PAS ditendang keluar daripada BN.

“BN ni memang jahat, waktu mereka letih barulah hendak cari kita dan bila sudah senang mereka tendang kita keluar,” katanya pada ceramah di Kampung Geting.

Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar, anggota jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud, anggota parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad dan Adun Gual Periuk, Mohamad Awang.

Ribuan hadir pada ceramah tersebut yang diadakan di belakang Masjid As-Somadi. Ceramah itu merupakan siri akhir ceramah PAS sempena kempen pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, ketika hendak bersama Umno dalam BN, PAS menghadapi masalah dalaman sehingga wujud serpihan PAS, Bebas Bersatu.

Begitu juga kata beliau selepas Umno lemah pada PRU 2008 dan PRU 2013, mereka datang lagi hendak berkawan dengan PAS.

“Tetapi kita kena ingat Nabi Muhammad SAW mengajar dalam satu lubang janganlah jolok sampai dua kali,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak tertentu menyebarkan risalah dengan menggambarkan beliau sedang memegang plastik urin ketika datang berkempen di Pengkalan Kubor.

“Tidak kena apa dengan ambo.. kalau ada yang salah beritahu. Kita kena ingat kita akan mati, dan selepas mati kita akan hidup balik. Perkara seperti ini Umno tidak ajar kepada rakyat. Ianya hanya ada pada politik Islam,” katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi pula berkata, pilihan raya diadakan di Pengkalan Kubor esok bukan perkara suka-suka sebaliknya ada kewajipan bagi memikul amanah yang sangat besar.- HARAKAHDAILY 25/9/04

Sumber HD - 25-9-2014

Wakil Umno hadir menyuarat agensi persekutuan

ASLANI M | .

TUMPAT: Sejak awal lagi Umno memperalatkan jentera kerajaan pusat dalam misi mempertahankan Dun Pengkalan Kubor.

Maka tidak hairanlah difahamkan setiap hari diadakan mesyuarat penyelarasan jentera kerajaan turut membabitkan wakil Umno.

Mesyuarat itu diadakan di sebuah pejabat kerajaan di Terbok disertai banyak agensi kerajaan pusat termasuk Jabatan Pembangunan Persekutuan, Kemas, Jabatan Kesihatan dan polis.

Penduduk di Terbok mendakwa setiap hari mereka melihat kenderaan milik kerajaan pusat keluar masuk ke pejabat milik kerajaan persekutuan tersebut.

“Penduduk di sini hairan begitu banyak kenderaan kerajaan pusat keluar masuk di pejabat terbabit setiap pagi. Ini seolah-olah memperlihatkan agensi kerajaan yang masuk dalam pilihan raya dan bukan parti politik,” katanya ketika ditemui di sini.

Setiap hari orang ramai di Pengkalan Kubor melihat kenderaan agensi kerajaan di kawasan pilihan raya. JPJ menggunakan van bergerak mengadakan khidmat di kawasan pos Umno/BN. Begitu juga 1MDB menganjurkan rawatan kesihatan percuma juga berdekatan bilik gerakan Umno.

Paling banyak hilir mudik di kawasan pilihan raya ialah kenderaan Skuad Sayang Umno. Di mana sahaja kita berada di kawasan pilihan raya kenderaan itu boleh ditemui.

Kedatangan menteri juga membuatkan pasukan polis trafik tidak boleh duduk diam. Siren polis sering kedengaran bagi mengiringi menteri di laluan utama ke Pengkalan Kubor. - HARAKAHAILY 24/9/2014

Sumber HD -24-9-2014

Kisah guru: 'Double standard' antara dua PRK

NORMALA SUDIRMAN | .
Kementerian Pendidikan Malaysia harus menyiasat laporan bahawa isteri calon BN, Cikgu Khairos Husin yang didakwa berkempen membantu suami dalam PRK Pengkalan Kubor.

Aktivitinya dipaparkan di media bercetak dan media elektronik secara terang-terangan malahan laporan media akhbar menyatakan selepas cuti sekolah seminggu, beliau akan menyambung cuti bagi membantu suaminya berkempen bagi memenangkan calon PRK Umno BN, Mat Razi Mat Ali (mantan Penolong Pengarah PPD Tumpat bahagian Pengurusan Sekolah).

Pn. Khairos Husin adalah guru di Sekolah Kebangsaan Simpangan Tumpat.

NGO Pendidik menerima banyak aduan terhadap kes ini kerana ternyata jika ianya benar, maka berlaku 'double Standard' dalam melayan warga pendidik yang seharusnya mematuhi etika perkhidmatan profesionalisme perguruan dalam Buku Perintah Am.

Ketika PRK DUN Tenang, suami calon, Cikgu Maarof Abd.Mutalib (gambar) yang menerima tekanan Umno BN sehingga ditukarkan ke sekolah 500km pergi balik hanya kerana dakwaan yang belum terbukti bersalah dan hanya spekulasi media, blogger dan pimpinan Umno BN.

Bukan setakat itu sahaja beliau telah didakwa menipu cuti sakit sedangkan cuti diberikan oleh doktor bertauliah kerajaaan akibat simptom 'Stress Disorder' kerana menerima tekanan dan asakan hebat dari Umno yang mencampur adukkan politik kepartian dengan pendidikan anak bangsa.

Surat cuti yang merupakan dokumen sulit penjawat awam didedahkan oleh blogger upahan di dada akhbar, menerima tekanan psikologi surat tunjuk sebab 'Buang Kerja atau Turun Pangkat'. Bonus tahun semasa 2011 telah dinafikan dan menghadapi dua pertukaran yang bukan atas 'redeployment' atau atas keperluan perkhidmatan dalam tempoh 6 bulan.

Bukan setakat itu sahaja, Pengarah Pendidikan Johor tahun 2011 , Tn.Hj.Markom Bin Giran turun berkempen pada hari ke 2 persekolahan sesi 2011 secara terang -terangan di SMK Tenang Stesen, tempat suami Calon PRK Tenang berkhidmat dan menyerahkan surat pertukaran suami kepada pihak sekolah secara 'by hand' dengan dakwaan laporan yang mengatakan kepada pengetua sekolah,"saya tukarkan Cikgu Maarof bukan sebab prestasi dia tidak baik , tetapi sebab tak boleh kawal isteri terlalu aktif berpolitik".

Sedangkan pada ketika itu Cikgu Mala telah pun meletakkan jawatan berkuatkuasa 28 Disember 2010 sedangkan tarikh pengistiharan calon ialah pada 16 Januari 2011.

Hampir 80 orang guru dan staff sekolah begitu terkejut bagaimana seorang guru yang pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang dan banyak mengharumkan nama sekolah dalam bidang Hoki hingga ke peringkat negeri, tiba-tiba ditukarkan 24 jam tanpa sebab setelah berkhidmat hampir 13 tahun di SMK Tenang Stesen.

Arahan dipindahkan tanpa sebab dari SMK Tenang Stesen Segamat ke SMK Taman Daya , Johor Bahru, sejauh 150 km di hari ke 2 persekolahan sesi 2011 adalah tidak logik dan tidak masuk akal.

Akhirnya surat perpindahan ditarik balik dalam tempoh 24 jam, setelah bantahan dibuat dan setelah pihak JPN Johor menerima berita suatu kenyataan laporan SPRM akan dibuat jika arahan itu diteruskan. Umno telah memperalatkan pihak sekolah untuk mengikut telunjuk mereka , tetapi tidak berjaya .

Namun, kesan emosi yang mendalam akibat peristiwa itu telah menyebabkan suami calon PRK Tenang demam berpanjangan dan akhirnya setelah diagnosis dibuat oleh doktor akhirnya mendapati beliau mengalami 'Stress Disorder' yang menyebabkan doktor memberi cuti 14 hari dan diberi ubat anti kemurungan dan anti stress dengan nasihat jangan berada dalam keadaan kemurungan dan bersendirian sepanjang bercuti.

Terapi yang paling baik , mengikut nasihat doktor ialah berada dalam keadaan di tengah khalayak ramai agar melupakan tekanan yang berlaku dan melakukan aktiviti yang menggembirakan .Itulah rupanya peluang Umno BN dan pihak blogger upahan membuat spekulasi dan menfitnah yang akhirnya beliau menerima sekali lagi pertukaran di SMK Tanjung Pengelih, Pengerang yang mana surat diterima 2 hari sebelum Pengarah Pendidikan Johor , Markom Bin Giran bersara. Kezaliman dan dendam politik UMNO terserlah tanpa belas sedangkan merekalah yang melaungkan retorik politik semata-mata.

Ketika perletakan jawatan dibuat oleh Cikgu Mala pada tahun 2010, beliau sendiri pun tidak tahu siapa calon PRK DUN Tenang yang dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi parti dan Majlis Syura Ulama pada 16 Januari 2011, tetapi serangan psikologi yang telah dibuat kepada suami calon ternyata amat rapi sekali.

Juga maruah guru yang dijaja dan difitnah di dada akhbar, media elektronik dan media bercetak tanpa belas kasihan dengan harapan agar dapat mengurangkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Inilah realiti salahguna kuasa yang berlaku, penggunaan premis pendidikan sekolah sebagai tempat berkempen, menggunakan warga pendidik dengan 'kalimat mandatori saya yang menurut perintah' dan memaksa guru hadir ke program Umno semakin berleluasa.

Di Kelantan, telah ramai guru dipindahkan , ditukar dan ditendang seperti bola ke sana sini hanya kerana dianggap cenderung menyokong Pakatan Rakyat. Walaupun lebih 23 tahun menjadi kerajaan negeri, namun martabat guru yang dicengkam oleh kerajaan pusat dipimpin oleh Umno BN tidak dibela oleh KPM.

Antara PRK DUN Tenang dan PRK Pengkalan Kubor. Pasangan warga pendidik dilayan secara tidak adil dan. Double Standard.

Calon PRK tidak lagi berkhidmat dalam dunia pendidikan, tetapi pasangan mereka dilayan seperti antara 'dua dunia berbeza ' sedangkan masing -masing masih berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan Malaysia yang sama.

Situasi mengiringi dan menemani adalah berbeza dengan berkempen secara terang -terangan membantu suami.

Justeru, NGO Pendidik mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) Kelantan , dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mengambil membuat siasatan dan tindakan sewajarnya atas apa yang berlaku.

Jangan mengambil sikap berpilih dalam membuat tindakan.Adil dan jangan menzalimi warga pendidik. Inilah penegasan kami.

*Penulis adalah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dan juga bekas Calon PRK Tenang.

Sumber HD - 24-9-2014

PAS jangka peratusan keluar mengundi rendah

RIZAL TAHIR | .

TUMPAT: PAS menjangka peratusan keluar mengundi di PRK Pengkalan Kubor esok akan menurun kerana diadakan pada hari berkerja.

Pengarah Induk PRK PAS Pengkalan Kubor, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, akan menjadi pelik jika peratusan keluar mengundi akan naik pada hari mengundi esok.

"Kami jangka peratusan keluar mengundi akan jatuh dan kalau naik itu akan menjadi pelik mungkin ia melibatkan pengundi-pengundi luar.

"Pengundi yang tinggal jauh akan memikirkan faktor Hari Raya Aidiladha yang akan disambut selepas hari mengundi," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS bari ini.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Ir Khalid Samad berkata, PAS akan menghantar bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mengadakan hari mengundi pada hari bekerja.

"Bagi kami, ini tidak bertangungjawab kerana SPR sepatutnya kena memilih tarikh yang sesuai memungkinkan pengundi dapat keluar mengundi dengan selesa.

"Tetapi SPR menyukarkan pengundi untuk keluar mengundi bila menentapkannya pada hari kerja," ujarnya.

Menurutnya SPR kebelakangan ini sering memilih hari yang menyulitkan untuk keluar mengundi mungkin ada strategik tertentu.

Mengulas mengenai penggunaan gambar pimpinan PAS bersama sami Buddha, Tuan Ibrahim berkata, kalau itu dianggap tak patut, Umno lagi tak patut kerana membuat pos kempen dalam wat Siam.

"Program-program politik Umno buat dalam wat, sedangkan gambar pimpinan PAS bersama sami hanya sekadar menunjukan imej positif.

"Gambar berkenaan menunjukkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama ketua sami dan kedua-duanya dianggap ketua agama, boleh duduk bersama.

"Tetapi program-progam Umno dalam wat tak patut kerana mengherat politik ke dalam kawasan agama Buddha," ujarnya lagi.

Baru-baru ini BN menganjurkan karnival dan hiburan sambil berkempen di kawasan wat Siam di Kampung Kubang Panjang beberapa malam membabitkan artis dari negara jiran.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Hafiz Musa meminta anak-anak muda keluar mengundi esok kerana mereka sebagai penentu kemenangan calon yang bertanding.

Ujarnya golongan anak muda mewakili sebanyak 60 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan di Pengkalan Kubor. – HARAKAHDAILY 24/9/2014

Sumber HD - 24-9-2014

Tuan Sabariah juga aktif berkempen

SALMAH MAT HUSAIN | .


TUMPAT: Bukan hanya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sahaja yang aktif berkempen dan berceramah, sebaliknya isteri beliau Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak juga berbuat demikian.

Hampir setiap hari, beliau turun bersama muslimat ke peringkat UPU, dari rumah ke rumah untuk bertemu pengundi dari dekat.

Beliau berbuat demikian atas dasar tanggungjawabnya sebagai isteri pimpinan dan demi untuk kemenangan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Seawal jam 9.00 pagi, beliau yang ditemani beberapa pengiring, telah menghadiri program di Pengkalan Kubor, termasuk ke beberapa buah kampung yang berlainan setiap hari.

“Alhamdulillah, syukur dapat bersama muslimat dapat tunaikan tanggungjawab bersama,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Bendang Pak Yong semalam.

Para pengundi begitu teruja menerima kehadiran beliau yang mesra dengan panggilan Datin Che Yah dari dekat. - HARAKAHDAILY 24/9/2014

Sumber HD - 24-9-2014

Awas, ada akhbar palsu diedar di Pengkalan Kubor

HARAKAHDAILY | .


Pengkalan Kubor Kito yang diterbit PAS Kelantan.
TUMPAT: Jentera pilihan raya PAS mengesan risalah kempen palsu dengan menceduk “masshead” akhbar kempen milik Perhubungan PAS Kelantan iaitu Pengkalan Kubor Kito.

Risalah itu difahamkan diedar di muktamar PAS di Johor baru-baru ini sehingga mengelirukan ramai perwakilan.

Risalah tersebut antara lain memuatkan tajuk “Kaji Semula Tahaluf Siyasi” dan “Krisis Selangor Bukan Masalah” yang membuatkan berita-berita sekitar muktamar.

Sedangkan akhbar Pengkalan Kubor Kito hanya memuatkan isu-isu tempatan sejak edisi pertama sehingga keluaran terakhir hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi PAS PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab mencetak risalah Pengkalan Kubor Kito palsu menyerupai akhbar kempen diterbit Perhubungan PAS Kelantan.

“Tindakan itu menggambarkan Umno sangat terdesak sekarang. Tujuan mereka bagi mengelirukan orang ramai terutamanya pengundi di saat menjelang hari mengundi esok.

“Secara jelas risalah tersebut palsu kerana akhbar kempen kita langsung tidak memuatkan isu sekitar muktamar PAS yang berlangsung di Johor baru-baru ini,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap orang ramai tidak keliru dengan taktik jahat pihak lawan yang benar-benar terdesak setelah mereka melihat perubahan sikap pengundi Pengkalan Kubor. – HARAKAHDAILY 24/9/2014

Sumber HD - 24-9-2014

Wan Rosdi bantu dapat geran tapak persatuan kereta sewa

FUAD HADINATA | .


TUMPAT: Impian lebih 100 ahli Persatuan Pemandu Kereta Sewa Pengkalan Kubor mendapatkan geran tapak persatuan itu akhirnya menjadi kenyataan awal tahun lepas.

Hasrat mendapat geran menjadi kenyataan selepas mendapat bantuan Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Ahli jawatankuasa persatuan itu Osman Abd Rahman, 47, berkata sebelum ini persatuan itu tidak mempunyai stesen tetap walau pun lebih 30 tahun memohon untuk mendapatkan geran.

“Paling berharga kepada kami apabila kerajaan negeri meluluskan geran hak milik kepada persatuan di sini. Ini hasil perjuangan ahli serta AJK.

"Terima kasih kepada mereka yang mempermudahkan permohonan kami,” katanya ketika ditemui di sini.

Kelmarin anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar dan Wan Rosdi melawat stesen kereta sewa terbabit yang terletak berhampiran kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor.

Osman berkata, beliau dan rakan-rakan melahirkan rasa gembira terhadap kerajaan negeri kerana meluluskan geran kepada persatuan.

Ahli persatuan itu, Kamal Muhammad, 44, pula memohon jasa baik mana-mana pihak dapat membantu bagi membolehkan persatuan terbabit memiliki bangunan lebih baik.

"Kalau boleh bagilah kemudahan kepada kami di sini kerana kemudahan yang ada sekarang sudah tidak sesuai lagi.

"Lagi pun pelancong semakin ramai datang melalui negara jiran untuk melancong ke Kelantan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 24/9/2014

Sumber HD - 24-9-2014








Pakatan optimis dapat memenangi hati anak muda

MOHD NOR YAHYA | .


TUMPAT: Biarpun pada pilihan raya umum lepas PAS dan Pakatan Rakyat tewas di kebanyakan saluran anak muda di Dun Pengkalan Kubor, namun berdasar perkembangan terakhir nampak perubahan ketara mereka.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, golongan muda rata-ratanya menunjukkan perubahan sikap setelah kempen secara agresif diadakan di sini.

Katanya, Pakatan Rakyat optimis dapat memenangi hati anak-anak muda pada pilihan raya kecil kali ini kerana kesedaran baru sudah berputik.

“Mereka semakin selesa untuk bersama-sama PAS. Ini dapat dilihat berdasar sambutan positif yang diberikan anak muda tempatan setiap program diadakan.

“Tambahan pula mereka sudah bosan dengan janji-janji yang ditaburkan Umno sejak tiga kali memenangi Dun ini,” katanya selepas menghadiri Program Santai Anak Muda di Pantai Geting, Pengkalan Kubur petang semalam.

Fadhli juga mendakwa Umno dan Barisan Nasional hanya membawa program-program 'one-off' dan hiburan semata-mata untuk disajikan kepada anak-anak muda tanpa sebarang pengisian positif.

"Kita mengadakan program santai bersama anak muda iaitu konvoi bermotosikal menjelajah seluruh Dun Pengkalan Kubur sambil mengedarkan risalah.

“Alhamdulillah mendapat sambutan cukup memberangsangkan di setiap perhentian yang kita lalui," ujarnya.

Turut sama hadir Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Kelantan, Razuan Awang Hamat. - HARAKAHDAILY 24/9/2014

Sumber HD - 24-9-2014

Fitnah: Nasrudin beri tempoh 24 jam kepada NGO

MOHD NOR YAHYA | .


TUMPAT: Mungkin kerana terlalu ghairah sebuah NGO dikenali Gerakan Anak Muda Tumpat dianggap tersalah membuat laporan polis apabila menyebut ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi berceramah di Pengkalan Kubor pada 13 September lalu.

Sedangkan kata anggota parlimen Temerloh itu beliau sudah pulang ke Kuantan pada petang 13 September selepas penamaan calon.

Katanya, kenyataan yang disiar sebuah akhbar kononnya beliau berceramah di Pengkalan Kubor pada malam tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

“Saya berharap NGO terbabit memohon maaf dalam akhbar dalam tempoh 24 jam kerana membuat dakwaan fitnah terhadap saya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis terhadap NGO terbabit di Balai Polis Pengkalan Kubor petang semalam.

Baru-baru ini NGO berkenaan yang dipengerusi Hizwani Shafie membuat laporan polis terhadap Nasrudin dengan mendakwa ucapan pemimpin PAS terbabit di program ceramah menghasut.

Kenyataannya disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 20 September bertajuk “Ceramah Berbaur Fitnah, Nasruddin Dikecam”.

Nasrudin berkata, dengan tersebarnya berita fitnah itu menyebabkan beliau merasai tidak selamat dan boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga.

Dalam perkembangan yang sama Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud turut membuat laporan polis berhubung kenyataan disiar akhbar Sinar Harian 17 September yang bertajuk “Dakwa Kenyataan Berbaur Hasutan”.

“Saya sebut kerajaan Thailand bunuh orang Islam di Takbai tetapi saya tak kata duit hasil minyak digunakan bagi tujuan tersebut. Itu adalah satu fitnah,” kata beliau selepas membuat laporan polis.

Menurutnya ceramah yang disampaikan pada program tersebut adalah untuk menarik pengundi menyokong PAS dan tiada kaitan dengan huru hara.

“Macam mana nak jadi huru hara, saya berkempen untuk memilih wakil rakyat bukannya untuk pilih kerajaan, kita amalkan demokrasi,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Akhbar Salim membuat laporan polis terhadapnya dengan mendakwa beliau memberi ceramah berbaur hasutan.

Nassuruddin berkata, apa yang diucap dalam ceramah tersebut ialah fakta dan telah diketahui umum dan bukannya yang direkanya sendiri.

Kata beliau fitnah dibuat Pemuda Umno itu boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai Exco kerajaan negeri.

Sementara itu Dewan Ulamak PAS Pusat berharap semua pengundi di Pengkalan Kubor tidak bimbang terhadap keselamatan diri untuk keluar mengundi esok.

Nasruddin yang juga Pengarah Pilihan raya Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, pilihan raya kecil Pengkalan Kubor hanya pilihan raya untuk memilih wakil rakyat dan bukannya menukar kerajaan negeri.

“Dewan Ulamak PAS berharap semua pengundi membuat pertimbangan secara rasional serta berpandangan jauh dalam memilih wakil rakyat,” ujar beliau.

Beliau juga berharap orang ramai berhati-hati terhadap tipu muslihat pihak tertentu dengan mengambil kad pengenalan untuk mendapatkan sesuatu sumbangan.

Katanya, kad pengenalan tersebut dipegang mereka sehingga pengundi tidak dapat keluar mengundi esok. - HARAKAHDAILY 24/9/2014

Sumber HD - 24-9-2014

PAS lapor polis risalah hina Tok Guru

FUADHADINATA | .


TUMPAT: Bekas Adun Limbongan Drs Zainuddin Awang Hamat membuat laporan polis terhadap penyebaran secara meluas risalah yang menghina Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pengkalan Kubor.

Katanya, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis menyiasat perkara itu bagi mengelakkan mencetus perasaan tidak senang kalangan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

“Kita terpaksa mengambil langkah itu demi menjaga maruah seorang pemimpin besar terhadap risalah yang tidak bertanggungjawab tersebut.

"Saya tampil membuat laporan polis sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab.

“Saya mengharap kepada pihak yang bertanggungjawab tampil memohon maaf secara terbuka kepada Tok Guru,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat hari ini. - HARAKAHDAILY 23/9/2014

Sumber HD - 23-9-2014

Umno makin tertekan menjelang hari mengundi

MOHD NOR YAHYA | .


TUMPAT: Menjelang hari pengundian Khamis ini, Umno jelas semakin tertekan apabila mengedar risalah dan menaikkan sepanduk berunsur provokasi sebagai senjata akhir mereka.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno semakin tertekan dengan perubahan sikap pengundi di Dun Pengkalan Kubor sekarang.

“Ini membuatkan mereka berada dalam kepanasan sehinggakan banyak papan-papan iklan serta sepanduk digantung boleh menimbulkan ketegangan.

“Kita amat berharap pihak berkenaan dapat mematuhi arahan SPR bagi membuang seberapa segera papan iklan tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beberapa hari lalu Umno menaikkan papan iklan gergasi berkaitan royalti di mana ditulis “RM12 bilion Fitnah Besar PAS”.

Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Induk PAS PRK Pengkalan Kubor berkata, PAS ada menerima salinan surat SPR yang telah bertindak terhadap papan iklan berunsur provokasi dipasang pihak tertentu. - HARAKAHDAILY 23/9/2014

Sumber HD - 23-9-2014

Sokongan pengundi kepada Wan Rosdi makin terserlah

SALMAH MAT HUSAIN | .

TUMPAT: Prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan memberi keyakinan rakyat di Dun Pengkalan Kubor untuk memilih calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Penasihat Jentera Operasi PAS Pilihan Raya Dun Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya opitimis pengundi akan memilih calon PAS berikutan prestasi tugas Wan Rosdi sebagai Penyelia Dun sejak dua penggal lalu dikenali rakyat.

“Sokongan untuk pengundi memilihnya pada PRK 25 September ini semakin menyerlah, insya Allah.

“Pengundi pelbagai keturunan mengakui memang mengenali calon kita yang sering menjaga kebajikan rakyat, turun ke bawah menyantuni mereka serta menyelesaikan masalah yang dihadapi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Beliau berkata, pentingnya wakil rakyat dipilih dari pihak kerajaan negeri bagi menyelenggarakan program masyarakat khususnya yang berkaitan majlis-majlis daerah.

Menurutnya, perbincangan dan perundingan begitu perlu untuk mempertingkatkan tahap kebersihan, ekonomi rakyat di Dun berkenaan.

Tuduhan liar

Mengenai dakwaan pihak tertentu terhadap parti rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR yang didakwa cuba mensabotaj Wan Rosdi, beliau menyifatkannya sebagai tuduhan liar.

Beliau berkata, ia satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab memandangkan PKR bukan sahaja hadir bermesyuarat bersama-sama, sebaliknya petugas mereka turun ke bawah bersama dengan petugas PAS.

Katanya, sewaktu Muktamar PAS sedang berlangsung di Batu Pahat, Johor minggu lepas, petugas PKR bersama petugas PAS di Pengkalan Kubor bekerja keras berkempen bersama-sama.

“Malah setiap hari juga kami mengadakan mesyuarat bersama sebelum jam 10.00 pagi untuk bertukar-tukar maklumat dan padangan,” ujarnya.

Untuk itu, Takiyuddin memberi amaran agar tidak ada lagi tuduhan liar seperti itu. - HARAKAHDAILY 23/9/2014

Sumber HD - 23-9-2014

Menjelang hari-hari terakhir kempen, jauhi provokasi

RIZAL TAHIR | .


TUMPAT: Menjelang hari-hari terakhir berkempen pada PRK Pengkalan Kubor, para petugas PAS diminta menjauhi mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menjangkakan menjelang hari mengundi Khamis ini corak berkempen akan bertambah panas.

“Secara keseluruhannya perjalanan kempen di Pengkalan Kubor berjalan secara aman.

“Tetapi dua tiga hari ini terdapat beberapa sepanduk yang cuba mencetus provoksi telah dinaikkan,” katanya pada sidang media di Markas Besar PAS, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, Bendahari PAS Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad, Timbalan Pengarah Operasi PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim dan Timbalan Presiden Pertubuhan R Kelantan, Abdul Shakur Sharrie.

Sehari dua ini BN Kelantan dikesan menaikkan sepanduk dan mengedarkan risalah berunsur provokasi antaranya memetik ucapan Adun Salor, Datuk Husam Musa pada persidangan Dun mengenai pembalakan di Hutan Hulu Sat.

Selain itu risalah Datuk Dr Haron Din kecewa keputusan Majlis Syura Ulamak diperlekeh golongan pro Anwar.

Oleh itu Tuan Ibrahim berharap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Pemantau Pilihanraya untuk menurunkan sepanduk bersifat provokasi.

Beliau juga berharap majikan memberi cuti kepada pekerjanya keluar mengundi sebagaimana diumumkan kerajaan Kelantan minggu lepas. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

Sumber HD - 22-9-2014

Umno guna taktik provokasi melampau

MIJIE YUSOF | .



TUMPAT: Menjelang hari-hari terakhir pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Umno dikesan menggunakan senjata provokasi dengan menaikkan sepanduk dan risalah memburukkan PAS.

Hari ini bertebaran poster yang mendakwa calon PAS menawarkan minyak petrol percuma di semua stesen minyak di Pengkalan Kubor.

Timbalan Pengarah Operasi PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, taktik jahat itu tentunya dilakukan pihak musuh.

Beliau berkata, taktik kotor dianggap perbuatan begitu terdesak bagi memanaskan kempen PRK yang berada di penghujung.

“Saya berharap calon Umno yang dilabel berimej ustaz hendaklah menasihatkan jentera kempennya tidak menggunakan taktik yang bertentangan dengan ajaran agama,” katanya pada sidang media petang tadi.

Selain itu terdapat juga sepanduk mendakwa Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan menganjurkan ceramah yang melibatkan beberapa pemimpin PAS.

Menurutnya sepanduk itu satu lagi fitnah yang ditabur pihak lawan bagi mencetus provokosi melampau.

Oleh itu kata beliau PAS telah berunding dengan Pengurus Pilihanraya supaya menurunkan gambar yang menggunakan gambar pimpinan PAS ada kaitan dengan unsur fitnah. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

Sumber HD - 22-9-2014

Kelantan peruntuk RM5.5 juta bina jambatan baru

FUAD HADINATA | .

TUMPAT: Setelah lebih 30 tahun penduduk di Teluk Jering Pengkalan Kubor terpaksa menggunakan jambatan sempit, tidak lama lagi jambatan itu akan diganti baru.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM5.5 juta bagi membina jambatan baru yang menghubungkan lima kampung membabitkan lebih 5,000 penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, kerajaan negeri meluluskan pembinaan jambatan baru bagi mengatasi masalah dihadapi penduduk.

“Penduduk terpaksa menggunakan jambatan lama yang sempit. Strukturnya tidak sesuai lagi memandangkan berlaku pentambahan pengguna.

“Pembinaannya akan dilakukan setelah selesai proses di peringkat teknikal dan penyediaan pelan,” katanya pada sidang media di Markas Besar PRK Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Jambatan itu digunakan penduduk di Kampung Teluk Jering, Kajang Sebidang, Jejulok, Kuala Jambu dan Bendang Pok Yong terutamanya bagi membawa hasil pertanian dan anak-anak ke sekolah.

Jambatan itu dibina kerajaan negeri selepas ia tidak diberi perhatian di bawah projek kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Hanifa melawat jambatan lama minggu lepas dan sehari selepas itu disusuli lawatan pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerjaraya dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

"Jambatan itu akan dibina bermula seawal tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh setahun," katanya.

Jambatan baru akan dibina sepanjang 65 meter dan lebar lapan meter. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

Sumber HD - 22-9-2014

Muhyiddin elok tumpu isu soalan UPSR bocor

ASLANI M | .

TUMPAT: Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta menumpu perhatian menyelesaikan isu kebocoran soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (USPR) sebelum datang berkempen ke Pengkalan Kubor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, kebocoran soalan UPSR cukup memalukan negara memandangkan dua menteri menjaga Kementerian Pelajaran.

“Paling memalukan dua orang menteri menerajui Kementerian Pelajaran, namun masih boleh berlaku soalan UPSR bocor.

“Soalan UPSR pun boleh bocor, kalau soalan SPM bocor agak kurang memalukan sikit,” katanya pada ceramah di Unit Peti Undi Bunohan malam tadi.

Hadir sama anggota jawatankuasa Pimpinan PKR Pusat, Mustafa Kamil Ayub dan calon Pakatan Rakyat Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Suasana tempat ceramah agak tegang sedikit memandangkan Umno juga dibenarkan pihak keselamatan mengadakan ceramah di kawasan berhampiran.

Biar pun corong pembesar suara tempat ceramah BN lebih kuat, namun kehadiran pendengar tidak penuh di bawah khemah.

Berbeza dengan tempat ceramah PAS apabila kehadiran memenuhi sebuah kedai makan berdekatan dan ramai lagi terpaksa berdiri di kiri dan kanan jalan.

Baru-baru ini gempar soalan kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan Sains yang sepatutnya diadakan pada 11 September lalu dibatalkan kerana dikesan berlaku kebocoran.

Ekoran itu Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu peperiksaan pelajaran tersebut.

Berikutan kejadian tersebut polis mengambil keterangan daripada 30 individu untuk membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan UPSR.

Dr Mohd Hatta yang juga anggota parlimen Kuala Krai berkata, kebocoran soalan sehingga menyebabkan terpaksa diadakan ulangan semula peperiksaan cukup memalukan.

“Lebih Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri. Eloklah beliau menyelesaikan isu tersebut sebelum datang untuk berkempen di Pengkalan Kubor,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri hampir setiap hari datang membantu kempen calon BN di Pengkalan Kubor. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

Sumber HD - 22-9-2014

Isu royalti isyarat kemenangan awal

ASLANI M | .

TUMPAT: Pertubuhan R Kelantan menyifatkan sifat gelabah Umno terhadap isu tuntutan royalti sebagai suatu kemenangan awal pengundi di Pengkalan Kubor dan seluruh rakyat Kelantan.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, isu royalti yang digerakkan Pertubuhan R ternyata mendapat perhatian pemimpin utama negara.

“Kami bersyukur dan amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana menjadikan isu tuntutan royalti sebagai tumpuan kempen di Pengkalan Kubor.

“Pertubuhan R Kelantan memandang serius kenyataan Tan Sri Muhyidin Yassin menuduh NGO R membawa berita palsu dan fitnah,” katanya di sini.

Baru-baru ini Muhyiddin mencabar PAS menyiasat sendiri kewajaran Kelantan mendapat royalti minyak RM12 bilion.

Malah BN juga menaikkan iklan gergasi di beberapa tempat di kawasan pilihan raya Pengkalan Kubor dengan menyebut RM12 bilion fitnah besar PAS.

Nazri berkata, tuntutan royalti berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian dan surat cara yang ditandatangani Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Nasir pada 9 Mei 1975.

Mengikut perjanjian tersebut, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperoleh dalam kawasan perairan dan luar perairan negeri tersebut.

Kata Nazri perjanjian terbabit jelas menyebut kawasan perairan dan luar perairan tanpa mengehadkan kepada jarak tiga batu nautika.

Menurutnya asas jumlah tunggakan dianggar RM12 bilion berdasar pengiraan dibuat agensi kerajaan negeri yang mempunyai autoriti dan Laporan KDNK mengikut negeri dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 16 Mac 2009.

“Jumlah RM12 bilion adalah kiraan anggaran sehingga akhir 2012, kini kami yakin jumlahnya mencecah melebihi RM13 bilion,” katanya.

Kata beliau juga menurut maklumat yang diterima sehingga 2013 terdapat lima blok medan Petroleum dan 44 telaga minyak di kawasan perairan Kelantan ditemui. – HARAKAHDAILY 22/9/2014

Sumber HD - 22-9-2014

Anak muda zahir sokongan terbuka kepada Wan Rosdi

MOHD NOR YAHYA | .


TUMPAT: Seperti juga di tempat-tempat lain, anak-anak muda di Pengkalan Kubor juga merupakan golongan yang kritikal terhadap isu-isu semasa.

Maka tidak hairanlah ramai menzahirkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan Rakyat, Wan Rosdi Wan Ibrahim. Tidak kurang juga yang sanggup meninggalkan kerja harian bagi membantu kempen calon pilihan mereka.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sehingga kini gerak kerja pemuda PAS tidak berhadapan masalah bagi mendekati golongan muda di Pengkalan Kubor.

Katanya, jentera pemuda negeri turut dibantu Pemuda PAS dari negeri-negeri lain di mana mereka dipertanggungjawab menjaga unit peti undi (UPU) tertentu di Pengkalan Kubor.

"Jentera pemuda yang datang begitu bersemangat bagi memastikan Pengkalan Kubor dapat dirampas semula pada PRK kali ini," ujar beliau ketika ditemui di markas pemuda di sini hari ini.

Ahmad Fadhli juga berkata pemuda mengambil pendekatan menziarahi rumah ke rumah bagi mengenal pasti pemuda yang berdaftar sebagai pemilih keluar membuang undi pada Khamis ini.

Menurutnya juga Pemuda Kelantan telah menghubungi anak-anak muda Pengkalan Kubor yang bekerja di luar Kelantan supaya pulang mengundi.

“Sebahagian besar mereka telah memberi komitmen untuk pulang mengundi pada PRK kali ini. Alhamdulillah kita menerima respons baik daripada mereka.

“Walaupun hari mengundi jatuh pada hari kerja, mereka sanggup pulang untuk memastikan ada perubahan politik berlaku di Dun Pengkalan Kubor," katanya. - HARAKAHDAILY 21/9/2014

Sumber HD - 21-9-2014

PAS sedia jaga peti undi di lokap

RIZAL TAHIR | .



TUMPAT: PAS bersedia meletak petugas bagi menjaga peti undi pengundian awal yang diadakan hari ini untuk memastikan keselamatannya.

Timbalan Pengarah Operasi PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, pihaknya bersedia menghantar petugas untuk menjaga peti undi berkenaan.

"Ketika Pilihan raya Umum ke-13, kami meminta untuk menjaga peti undi di lokap, tetapi tidak dibenarkan pihak polis.

"Walau pun petugas kami terpaksa bermalam dalam lokap bagi menjaga peti undi, kami bersedia melakukannya.

“Bagaimananpun permintaan berkenaan ditolak kerana kata mereka lokap hanya untuk menempatkan orang bersalah sahaja," kata beliau pada persiangan media di Markas Besar PAS hari ini.

Peti undi awal diletak dalam lokap Balai Polis Daerah Tumpat. Pengundian awal diadakan pagi tadi melibatkan 109 anggota polis diadakan di Dewan Delima Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Turut hadir pada sidang media berkenaan, Penasihat Operasi PRK Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan dan ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Sementara itu Kamarudin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan hari mengundi pada mana-mana pilihan raya kecil atau umum diadakan pada hari cuti bagi menyuburkan lagi demokrasi di Malaysia.

“Hari untuk penamaan calon tidak kisah dibuat pada hari cuti atau hari bekerja sekali pun,” ujarnya.

Kata beliau adalah menjadi tanggungjawab SPR memastikan rakyat dapat keluar untuk membuang undi dengan selesa.

Ekoran itu tindakan SPR itu, kata beliau menyebabkan kerajaan negeri mengumumkan cuti perisitiwa pada hari mengundi Khamis ini. - HARAKAHDAILY 21/9/2014

Sumber HD - 21-9-2014

Masyarakat Siam akui sudah lama kenal Wan Rosdi

ASLANI M | .


TUMPAT: Menjelang hari pengundian 25 September ini, Umno kelihatan semakin gelabah apabila terpaksa menjelaskan isu peribadi calon dan menjawab isu royalti yang sudah menjadi viral kalangan anak-anak muda di Kelantan.

Keadaan tambah keliru apabila ramai pengundi masyarakat Siam berani tampil memberitahu mereka tidak boleh menerima calon yang tak mereka kenali.

Biar pun segala jenis kelengkapan kempen dibawa ke Pengkalan Kubor dan aneka jenis kereta dan peralatan, namun keperibadian calon BN, Mat Razi Mat Ail meniti setiap bibir penduduk di Pengkalan Kubor.

Guru-guru ditukar kerana politik, penafian pelajar terhadap Kumpulan Wang Amanah Pelajar ((KWAP), bantuan banjir pelajar dan banyak cerita berkisar peribadi calon BN mulai diperkatakan secara meluas sekarang.

Eh Ron, 67, dari Kampung Mertua berkata, masyarakat Siam hanya berminat pemimpin yang lebih dekat dengan mereka dan bukan yang tidak pernah dikenali.

Katanya, kalau tidak kenal macam mana hendak diharapkan dia boleh membantu masyarakat Siam.

“Bagi calon PAS, Wan Rosdi kita sudah lama kenal dia. Selalu datang ke Kampung Mertua. Sejak enam tahun lepas hubungan begitu rapat. Pemimpin macam inilah yang kita harapkan dapat membantu masyarakat Siam.

“Calon BN kita tidak kenal biar pun ada orang sebut bekerja sebagai guru. Kalau tak kenal payah sikit hendak pilih. Dahulu wakil rakyat BN kita kenal dia,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau ditemui selepas program penyampaian bantuan baja organik oleh kerajaan negeri di Jubakar Darat dekat sini semalam.

Penyampaian dilakukan anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. Hadir sama anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengurus Besar Kumpulan Kelantan Sdn Bhd, Abdul Aziz Yunus dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Lim Guan Seng.

Seramai 100 petani masyarakat Siam dari beberapa kampung menerima baja organik 50 kg dan empat jenis benih sayur-sayuran termasuk jagung.

Jelas terbayang kegembiraan di wajah mereka. Sebaik sahaja mendapat baja tersebut ada yang membawa balik baja dengan basikal dan motosikal.

Eh Ron yang kini menderita sakit buah pinggang dan terpaksa menjalani dialisis sejak lima tahun lepas berkata, masyarakat Siam menerima banyak kemudahan disediakan kerajaan negeri termasuk bantuan Skim Takaful Kifaalah sebanyak RM1,500 apabila berlaku kematian warga emas.

“Selain itu pemuda yang miskin hendak berkahwin diberi bantuan RM1,000. Wan Rosdi datang sendiri ke rumah penduduk yang meninggal dunia dan menyampaikan bantuan awal Kifaalah sebanyak RM500 sejak beberapa tahun lepas.

“Penduduk Siam rapat sangat dengan dia. Saya yakin ada perubahan undi masyarakat Siam kali ini,” katanya.

Beberapa lagi penduduk Siam ketika ditemui turut mengakui hakikat sama. Paling acap mereka sebut sudah lama kenal Wan Rosdi. - HARAKAHDAILY 21/9/2014

Sumber HD - 21-9-2014

Perakan harap anak perantau pulang mengundi

ASLANI M | .

TUMPAT: Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (Perakan) berharap warga perantau yang mengundi di Pengkalan Kubor pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih pada 25 September ini.

Presidennya, Ir Hamdzah Ab Rahman berkata, menjadi harapannya anak Kelantan yang mengundi di Pengkalan Kubor dapat meluangkan masa untuk balik mengundi pada pilihan raya kecil tersebut.

“Harapan Perakan Malaysia supaya pengundi yang berada di luar Kelantan dapat balik menunaikan tanggungjawab seperti biasa.

“Di samping itu kami berharap mereka dapat menilai secara tepat serta rasional sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk di Pengkalan Kubor.

“Biar pun Pengkalan Kubor diwakili BN sejak tiga penggal lepas, namun kerajaan negeri tetap berusaha membangunkan Pengkalan Kubor terutamanya berkaitan sektor pelancongan dan pertanian,” katanya di sini.

Menurutnya juga tidak ketinggalan pengundi Pengkalan Kubor yang tinggal di luar kawasan tersebut hendaklah pulang mengundi memandangkan kerajaan negeri mengumumkan hari mengundi Khamis ini sebagai cuti peristiwa.

Terdapat lebih 1,600 pengundi Pengkalan Kubor yang berada di luar daerah mengundi termasuk Kuala Lumpur.- HARAKAHDAILY 21/9/2014

Sumber HD - 21-9-2014

R cabar Muhyiddin debat isu royalti

FUAD HADINATA | .


TUMPAT: Ternyata kesungguhan anak-anak muda yang bernaung di bawah Pertubuhan R menjelaskan hak Kelantan ke atas royalti minyak menyebabkan Umno panas punggung.

Umno terpaksa menaikkan sepanduk gergasi yang memaparkan “RM12 bilion fitnah besar PAS tetapi demi rakyat mulai tahun depan wang ihsan disalur 50% kepada Maik dan 50% kepada rakyat Kelantan”.

Timbalan Presiden Pertubuhan R, Abdul Shakur Sharrie berkata, R dan kerajaan negeri menolak cara pemberian royalti yang ditukar kepada wang ihsan.

Katanya, mengapa perlu ditukar kepada wang ihsan sedangkan apa yang termaktub dalam perjanjian secara jelas disebut sebagai royalti.

"Negeri-negeri lain termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak dibayar royalti seperti yang ditandatangani Kelantan dalam perjanjian pada tarikh sama iaitu pada Mei 1975.

"Ini satu tindakan berdolak dalih untuk menyembunyikan perkara sebenar. Mengapa Umno terpaksa menghabiskan wang begitu banyak bagi menaikkan iklan gergasi di Pengkalan Kubor semata-mata untuk terus membohongi rakyat Kelantan,” katanya di sni.

Shakur juga berkata, telaga minyak milik Kelantan terdapat di kawasan Joint Development Area (JDA) bersempadan dengan Thailand.

Selain itu telaga di kawasan commercial arrangement area (CAA) bersempadan dengan Vietnam. Telaga yang betul-betul berada di kawasan Kelantan iaitu lapangan 301 dan 302.

Oleh itu Shakur mencabar pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdebat dengan R bagi menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

“Jangan hendak terus berdolah dalih. Biar pun penafian demi penafian dibuat kerajaan Umno ia tidak mampu untuk menjawab isu sebenar yang cuba disembunyikan,” ujarnya.

Menurutnya juga, kerajaan negeri dicadang mengkaji semula status perjanjian berkaitan royalti pada tahun 1975 sebagaimana digagaskan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien.

"Demi maruah rakyat Kelantan kami terus bangkit untuk mendapatkan royalti 5 peratus daripada kerajaan Malaysia seperti mana yang telah termaktub dalam perjanjian,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 21/9/2014

Sumber HD - 21-9-2014

Perakan harap anak perantau pulang mengundi

ASLANI M | .
TUMPAT: Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (Perakan) berharap warga perantau yang mengundi di Pengkalan Kubor pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih pada 25 September ini.

Presidennya, Ir Hamdzah Ab Rahman berkata, menjadi harapannya anak Kelantan yang mengundi di Pengkalan Kubor dapat meluangkan masa untuk balik mengundi pada pilihan raya kecil tersebut.

“Harapan Perakan Malaysia supaya pengundi yang berada di luar Kelantan dapat balik menunaikan tanggungjawab seperti biasa.

“Di samping itu kami berharap mereka dapat menilai secara tepat serta rasional sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk di Pengkalan Kubor.

“Biar pun Pengkalan Kubor diwakili BN sejak tiga penggal lepas, namun kerajaan negeri tetap berusaha membangunkan Pengkalan Kubor terutamanya berkaitan sektor pelancongan dan pertanian,” katanya di sini.

Menurutnya juga tidak ketinggalan pengundi Pengkalan Kubor yang tinggal di luar kawasan tersebut hendaklah pulang mengundi memandangkan kerajaan negeri mengumumkan hari mengundi Khamis ini sebagai cuti peristiwa.

Terdapat lebih 1,600 pengundi Pengkalan Kubor yang berada di luar daerah mengundi termasuk Kuala Lumpur.- HARAKAHDAILY 21/9/2014

Sumber HD - 21-9-2014

Ibu bapa tak sokong Umno, anak dinafi bantuan banjir

ASLANI M | .



TUMPAT: Sebahagian besar pelajar di Mukim Simpangan mendapat bantuan banjir sebanyak RM100 seorang, namun 60 orang daripada mereka di sebuah sekolah di sini disisih sehingga sekarang.

Apa puncanya.

Penghulu Simpangan, Saari Abdul Kadir memberitahu bantuan itu disekat kerana ibu bapa mereka bukan penyokong Umno.

“Sampai ke hari ini pelajar-pelajar terbabit dinafikan mendapat bantuan banjir biar pun rakan-rakan mereka sudah lama mendapatnya.

“Ini tidak lain lain kerana dendam politik yang begitu membara. Saya dan dua penduduk di sini pernah menemui guru besar sekolah berkenaan, namun dijelaskan dia tidak boleh berbuat apa-apa.

“Rupa-rupa pemimpin yang berperanan menyekat bantuan banjir kepada pelajar-pelajar sekolah anak penyokong PAS,” katanya ketika ditemui di sini.


Seorang penduduk, Osman Che Isa, 70 memberitahu ketika berjumpa dengan pihak sekolah, guru mengakui duit bantuan tersebut disalur kerajaan dan bukan milik Umno.

“Saya tanya guru di sekolah itu kalau duit milik kerajaan mengapa pula ada pelajar yang tidak dapat.

“Sebelum kami datang sudah ada ibu bapa yang pergi ke sekolah sehingga menempuk meja guru marah anak mereka disisihkan mendapat bantuan banjir,” katanya.

Kampung Simpangan antara perkampungan yang terbabit dengan banjir hampir setiap tahun. Limpahan daripada Sungai Golok menyebabkan kampung tersebut tenggelam sehingga dua minggu.

Projek jalan keselamatan (Kesban) yang merentangi Kampung Simpangan sehingga ke Lubuk Jambu menyebabkan limpahan air Sungai Golok terperangkap lama dan tidak dapat keluar ke sungai.

Osman juga berkata, bukan sahaja pelajar sekolah disekat bagi mendapat bantuan di bawah kerajaan pusat, sebaliknya guru-guru yang disyaki menyokong ditukar.

“Ada waris saya ditukar daripada mengajar di sebuah sekolah di Geting ke Pasir Pekan selepas pilihan raya umum lepas kerana disyaki tidak menyokong Umno.

“Malah anak saya yang baru setahun ditukar bekerja di sebuah pejabat kerajaan sini telah ditukar ke tempat lain. Dia bekerja di Johor selama tujuh tahun dan memohon balik ke Pengkalan Kubor.

“Hanya setahun sahaja bekerja tidak jauh dari rumah, namun selepas itu ditukar ke tempat di Tumpat. Ada campur politik kerana mereka tahu saya penyokong kuat PAS,” ujarnya kesal.

Seorang lagi penduduk yang enggan namanya didedahkan mendakwa guru besar diarah memanggil guru-guru yang mengundi di Pengkalan Kubor untuk dipastikan mereka tidak mengundi calon PAS.

Menurutnya bukan sahaja guru yang mengajar di Pengkalan Kubor, sebaliknya di sekolah lain tetapi mengundi di situ juga diarah berbuat demikian.

Seorang lagi penduduk, Hassan Ibrahim, 57 juga dari Simpangan menjelaskan isterinya ditamatkan berkhidmat sebagai guru Fardhu Ain di sekolah beberapa tahun lepas kerana keluarganya bukan penyokong Umno. - HARAKAHDAILY 20/9/2014

Sumber HD - 20-9-2014

Tanggungjawab saya bantu kempen – TG Nik Aziz

ASLANI M | .

TUMPAT: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan beliau hadir berkempen membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan selagi terdaya.

Mursyidul Am PAS berkata, beliau perlu memikul tanggungjawab tersebut biar pun agak keuzuran sekarang semata-mata bagi memenangkan perjuangan Islam.

“Kita tidak boleh duduk diam sahaja, mesti ambil tanggungjawab untuk teruskan dakwah sampai akhir usia,” katanya pada ceramah umum di Pantai Geting malam tadi.

Biar pun Pengkalan Kubor dimenangi Umno sejak tiga penggal lalu namun kehadiran malam tadi melimpah sehingga kelihatan sendat di hadapan pentas utama.

Cuaca yang terang tanpa hujan sebagaimana kelazimannya kebelakangan ini di Pengkalan Kubor membuatkan pantai Geting yang terkenal sebagai tempat festival wau antarabangsa Kelantan dihadiri begitu ramai penduduk tempatan.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Pengerusi Majlis Pimpinan PRK Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua Cabang PKR Tumpat, Shaharun Ibrahim.

Sebelum ini ada pihak mendakwa PAS memperalatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi meraih simpati pengundi di Pengkalan Kubor.

Mursyidul Am PAS juga berkata, ceramah umum tersebut merupakan kemunculan pertama beliau sejak pilihan raya umum tahun lepas disebabkan keuzuran.

“Selepas lebih setahun tidak lagi menjadi Menteri Besar, inilah kali pertama saya muncul di pentas ceramah umum,” katanya.

Beliau turut hairan bagaimana ada pihak yang cuba memperbodohkan rakyat Kelantan dengan mengatakan negeri ini tidak membangun di bawah teraju PAS.

Menurutnya mengapa hendak sibukkan sangat tentang pembangunan sedangkan semua kerajaan termasuk ditadbir parti Komunis melaksanakan tanggungjawab pembangunan kepada rakyat.

Beliau juga memperingatkan pengundi di Pengkalan Kubor hendaklah mengundi kerana Allah pada 25 September ini kerana ia akan disoalkan di akhirat kelak kalau silap dibuat pilihan.

“Hendak mengundi kena ingat molek di akhirat kelak kita akan disoal oleh malaikat. Sebab itulah tidak kira kita ada pangkat apa sekali pun akan berdepan dengan soalan di akhirat kelak terhadap apa yang kita buat di dunia sekarang,” katanya. - HARAKAHDAILY 20/9/2014

Sumber HD - 20-9-2014

Berita buruk buat Umno – TKM PP

RIZAL TAHIR | .



TUMPAT: Penegasan daripada Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika muktamar bahawa PAS akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat (PR) adalah berita yang tidak baik kepada Umno/BN. (Gambar atas: Datuk Mohd Rashid Hasnon mendengar taklimat daripada Timbalan Pengarah Operasi PRK PAS, Zaki Ibrahim)

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon, memberitahu, Umno/BN yang ingin melihat PR berpecah, telah menerima berita yang amat buruk untuk mereka.

“Perselisihan faham itu biasa di dalam sesebuah organisasi, cuma kita kena tangani dengan cara baik.

“Dalam ikatan PR ini, kita seharusnya terus berusaha mengekalkan PR walaupun media massa menyetakan PR hendak berpecah. Kita jangan dengar berita yang di luar itu,” ujarnya sewaktu ditemui selepas melakukan lawatan ke Markas Besar PAS, PRK N.01 Pengkalan Kubor, di sini, petang semalam.

“Apabila kita kata nak lihat semula tahaluf siyasi, ia boleh jadi berpecah atau untuk mengukuhkan lagi.

“Biasalah proses ‘review’ ni dan kita lihat ia semakin menjurus kepada kekuatan PR,” ujarnya lagi.

Sambungnya, penegasan daripada Presiden PAS itu adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh ramai orang.

Sementara itu, beliau yang datang untuk turut sama berkempen di PRK N.01 Pengkalan Kubor ini, percaya bahawa rakyat telah membuat keputusan dan akan menterjemakan sewaktu hari mengundi nanti.

“Ini adalah PRK dan saya percaya rakyat telah pun membuat keputusan awal mereka,” katanya.

“Kami akan cuba mensasarkan mereka yang di atas pagar agar mengundi calon PAS yang mewakili PR,” katanya lagi.

Beliau yang juga Adun Pantai Jerejak, Pulau Pinang, di sambut calon PAS bagi PRK N.01 Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim,sewaktu sampai di Markas Besar PAS. (Gambar kiri)

Dalam lawatan 15 minit itu, beliau menerima taklimat daripada Timbalan Pengarah Operasi PRK PAS, Zaki Ibrahim.

Turut sama hadir menyambut beliau, exco kerajaan negeri, Datuk Dr Fadzli Hasan. – HARAKAHDAILY 19/2014



Sumber HD - 19-9-2014

5,000 penduduk akan dapat jambatan baru

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

TUMPAT: Kira-kira 5,000 penduduk di beberapa kampung sekitar Teluk Jering akan mendapat jambatan baru menggantikan gertak sedia ada yang tidak mampu lagi menampung pertambahan pengguna.

Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan, Azi Rahimee Mohamed berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi membina jambatan baru menggantikan jambatan yang sedia ada sekarang.

Katanya, Jurutera Jajahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tumpat akan menyediakan reka bentuk dan anggaran kos yang terlibat.

“Jambatan sepanjang 65 meter itu perlu dibina baru dengan keluasan sekurang-kurangnya tujuh meter kerana jambatan sedia ada sudah uzur serta tidak dapat menampung kenderaan berat melebihi 5 tan.

“Lagi pun jambatan yang ada sekarang hanya satu lorong dan berusia lebih 30 tahun,” katanya selepas membuat lawatan meninjau jambatan terbabit hari ini.

Lawatan itu turut disertai wakil JPS Tumpat, JKR Tumpat dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

Tinjauan tersebut dibuat susulan lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad ke jambatan itu semalam.

Rahimee berkata, amat wajar jambatan itu dinaik taraf kepada jambatan dua lorong kerana ia digunakan penduduk Bendang Pak Yong, Naga Ibu, Kubang Sawa, Teluk Jering, Kajang Sebidang dan Cherang Melintang. – HARAKAHDAILY 18/9/2014

Sumber HD - 18-9-2014

Kalau boleh calon Umno pun undi lambang bulan

RIZAL TAHIR | .



TUMPAT: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merayu semua pengundi Pengkalan Kubor pulang menunaikan tanggungjawab mereka biar pun tinggal di Sabah dan Sarawak.

“Saya walau pun tidak berapa sihat tetapi mengagahkan diri untuk turun berkempen di sini.

Oleh itu saya berharap kepada semua pengundi keluar mengundi walau pun berada di tempat yang jauh.

“Kalau tak boleh naik kereta, jalan kaki yang penting balik mengundi pada 25 September ini,” katanya ditemui semasa melawat Markas Besar PAS Dun Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Kedatangannya disambut Pengarah Operasi PAS Dun Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Hanifa Ahmad dan petugas Markas Besar PAS.

Beliau juga mendengar taklimat mengenai perkembangan kempen pilihan raya tersebut disampaikan Wan Abdul Rahim.

Ujarnya lagi apabila balik mengundi nanti pastikan pengundi mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

“Sekarang sudah terbukti pengaruh gerakan Islam semakin kuat sehinggakan calon dari Umno turut memakai serban untuk menunjukan ciri-ciri keislamannya.

“Kalau boleh biar calon Umno pun undi lambang bulan juga sebab dia nakkan politik Islam,” ujarnya sambil berseloroh. - HARAKAHDAILY 17/9/2014

Sumber HD - 17-9-2014

SMS fitnah guna nombor telefon milik penghulu

RIZAL TAHIR | .


TUMPAT: Nombor telefon pencadang kepada calon PAS pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor, Roshdi Ramli didakwa dipintas pihak tidak dikenali.

"Saya kesal ramai yang telah menerima SMS kononnya dari nombor telefon saya walaupun saya tidak menghantarnya.

“SMS berkenaan berbunyi 'Prof Shaharun, mu tok soh duk tunjuk hero. Mu doh tuo. Kawe nok nasihat tok soh cah keting Abe Di calon kawe. Mu ingat Mu gedebe ko?'

"Ketika SMS berkenaan saya sedang bermesyuarat bersama Adun Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim pada malam kelmarin dan telefon berkenaan juga berada dengan saya," katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Menurutnya beberapa rakan memberitahu mereka menerima mesej tersebut daripada nombor telefon miliknya, sedangkan beliau tidak melakukan perkara itu.

Kata beliau kebanyakan penerima SMS berkenaan ialah golongan wanita.

“Sejak dari malam kejadian sehingga pagi tadi saya menerima kiriman SMS yang menanyakan tentang SMS yang dihantar itu,” tambahnya.

Ekoran kejadian itu beliau membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah tersebut di Balai Polis Tumpat pagi semalam.

Oleh itu beliau melahirkan rasa kesal kerana nombor telefon miliknya digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi merosakkan kerjasama di antara PAS dan PKR di Pengkalan Kubor.

“Ini jelas satu komplot ini cuba menjatuhkan saya dan merenggangkan hubungan antara Pakatan Rakyat di sini ketika kempen pilihan raya sedang hangat berlangsung," ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/9/2014

Sumber HD - 17-9-2014

Kubu kuat Umno di Teluk Jering ditembusi PAS

FUAD HADINATA | .

TUMPAT: Kampung Teluk Jering yang merupakan kubu kuat Umno sejak merdeka kini berjaya ditembusi Pakatan Rakyat apabila bendera PAS mulai berkibar di situ.

Malam tadi lebih 100 penduduk tempatan hadir pada perjumpaan dengan Pengarah Operasi PAS Dun Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Mereka diraikan pada program bakar ayam bersama pemimpin Pakatan Rakyat.

“Nampak ada reaksi positif penduduk di sini biar pun sebelum ini kawasan tersebut merupakan kubu tradisi Umno sejak zaman berzaman,” kata seorang petugas PAS.

Sementara itu bekas Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang berkempen secara santai dengan mengunjungi pos-pos Barisan Nasional (BN) di sekitar Kampung Tebing baru-baru ini.

Beliau bersama Adun Kemuning, Ustaz Mohd Rosli Ismail beramah mesra dengan petugas Umno di pos terbabit.

“Kami mengamalkan politik ummah dengan menjengok semua pihak tidak kira sama ada penyokong PAS, Umno atau PKR. Kita dapat bertanya khabar dan bermesra dengan mereka.

“Kunjungan kami diterima baik. Tidak ada sesuatu yang perlu diributkan

kerana kita mahu mengekalkan kempen secara harmonis dan sentosa,” katanya di sini. - HARAKAHDAILY 16/9/2014

Sumber HD - 16-9-2014

PRK Pengkalan Kubor: Pengundi luar wajar diberi cuti

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .
TUMPAT: Kerajaan-kerajaan negeri di samping pihak swasta di negara ini diharap memberi kemudahan cuti kepada pengundi yang berhasrat untuk pulang mengundi sempena PRK N.01 Pengkalan Kubor pada 25 September ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata mereka wajar diberi peluang pulang mengundi sebagaimana hasrat kerajaan negeri sendiri memberikan cuti kepada pengundi untuk menyuburkan demokrasi.

Beliau berkata demikian pada persidangan media PRK N.01 Pengkalan Kubor, di Markas Besar PAS, di sini hari ini.

Beliau seterusnya berkata, pemberian cuti oleh kerajaan negeri pada kakitangannya untuk memberi ruang kepada pengundi untuk mengundi di samping menyuburkan demokrasi.

"Cuti atau tak cuti (hari mengundi) tak menentukan menang atau kalah. Kalau nak kalah buat hari cuti pun kalah juga.

"Kalau cuti bukan kita (PAS) sahaja, orang Umno pun boleh balik undi, sama saja tak ada masalah," katanya.

Kerajaan negeri Kelantan pada Isnin mengisytiharkan 25 September sebagai hari cuti peristiwa.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan tersebut diputuskan selepas membuat pertimbangan mengenai kesukaran pengundi yang akan keluar mengundi pada PRK DUN Pengkalan Kubor.

Menurut Datuk Mohd Amar, keputusan itu juga dipertimbangkan kerajaan negeri setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi pada hari cuti walaupun teguran telah dibuat.

Katanya, pilihan raya pada hari berkerja akan menafikan hak para pengundi dan menimbulkan kesulitan.

"SPR sebagai sebuah badan patut mencetuskan semangat untuk orang mengundi, patut pilih hari cuti. Ini (SPR) sengaja pilih hari yang tak cuti seolah-olah menghalang dan cuba untuk nafikan ruang pengundi menunaikan tugasnya dalam sebuah negara demokrasi.

"Oleh sebab sikap tak berubah, maka kerajaan negeri ambil pendekatan isytihar cuti bagi membolehkan orang keluar mengundi dan paling penting peratusan keluar mengundi meningkat," katanya.

Katanya, pemberian cuti peristiwa kepada rakyat Kelantan pada hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan ini tidak akan menentukan kemenangan PAS di kawasan itu.

Sementara itu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata perisytiharan cuti pada hari mengundi bukan pertama kali dilaksanakan.

"Di Kelantan sendiri pernah kerajaan negeri mengisytiharkan cuti, begitu juga kerajaan Pulau Pinang turut membuat perkara yang sama apabila ada PRK di negeri itu,”ujarnya.

"Secara tidak langsung, kita membantu tugas-tugas SPR dan fungsinya untuk menggalakkan rakyat Malaysia keluar mengundi dari. Ini sumbangan kita kepada demokrasi," katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2014

Sumber HD - 16-9-2014

Kakitangan pusat dikerah sambut Muhyiddin

ASLANI M | .





TUMPAT: Banyak kenderaan milik jabatan kerajaan pusat dilihat Kampung Telok Jering, Kampung Bendang Pak Yong dan Simpangan sejak pagi semalam bagi membuat persiapan menyambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seorang pesara, Wan Kamaruddin Wan Kob berkata, beliau melihat lori-lori milik Kada menurunkan khemah-khemah sejak tengah hari semalam.

“Selepas itu kakitangan Kada yang berada di situ memasang khemah-khemah yang dihantar. Kerahan kakitangan kerajaan pusat begitu berleluasa sekali bagi membantu kempen BN,” katanya di sini.

Muhyiddin tiba Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 10 pagi tadi dan kemudian berkereta ke Wat Machimaram di Jubakar Darat, Dun Pengkalan Kubor.

Program tersebut dinamakan sebagai Majlis Ramah Mesra Masyarakat Siam bersama Timbalan Perdana Menteri. Hanya kelihatan seorang sami berada di pentas bersama Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno.

Keadaan itu jauh berbeza dengan Majlis Jalinan Mesra Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob bersama masyarakat Siam di wat sama 12 September lepas.

Majlis ramah mesra tersebut turut dihadiri Ketua Sami Wat Machimaran, Prak Khru Whiktet Thammnard dan ramai lagi sami wat tersebut dan wat lain di Tumpat.

Penduduk tempatan di sini mengakui tidak ramai sami Buddha hadir pada program anjuran BN hari ini.

“Sedangkan pada program anjuran kerajaan negeri Jumaat lepas ramai sami datang. Ini seolah-olah melihat satu petanda perubahan kalangan masyarakat Siam,” katanya di sini.

Selepas beramah mesra bersama pengundi kalangan masyarakat Siam di Jubakar Darat Timbalan Perdana Menteri berkempen pula ke Kampung Bendang Pak Yong.

Di Bendang Pak Yong Muhyiddin difahamkan menziarahi rumah penduduk sebagai gimik kempen sebelum menunaikan solat Zohor di Masjid Simpangan.

Beliau juga dikatakan melawat Pondok Simpangan milik calon BN, Mat Razi Mat Ail.

Pondok tempat pengajian kelas al Quran itu difahamkan disumbang bekas Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar.

Wan Kamaruddin berkata, sebahagian besar yang hadir pada program Timbalan Perdana Menteri ialah kakitangan kerajaan pusat dan penyokong Umno dari bahagian-bahagian lain di Kelantan.

Seorang penduduk pula mendakwa Umno menggunakan premis pejabat milik agensi kerajaan pusat sebagai bilik gerakan kempen parti itu.

“Saya melihat ramai petugas-petugas Umno berkumpul di premis milik Jabatan Perpaduan Masyarakat di Terbok, Tumpat,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu menjadi satu kesalahan menggunakan kemudahan milik kerajaan ketika kempen pilihan raya. - HARAKAHDAILY 16/9/2014

Sumber HD - 16-9-2014

Kelantan isytihar 25 Sept cuti peristiwa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Saya sebagai ketua kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat mengisytiharkan bahawa tarikh 25 September 2014 sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh negeri Kelantan Darulnaim," kata Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Ini, katanya kerana rakyat di negeri Kelantan yang menetap di Pengkalan Kubor, Tumpat akan membuat pemilihan calon wakil rakyat pada pilihan raya kecil N.01 Pengkalan Kubor yang akan berlangsung pada hari Khamis 30 Zulkaedah 1435 bersamaan 25 September 2014.

"Harapan saya agar proses pengundian pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan aman tanpa ada sebarang unsur memanipulasi undi," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, undi hari bekerja sememangnya menyulitkan pergerakan rakyat yang sepatutnya kerajaan persekutuan melihat kepada kesukaran-kesukaran yang bakal dilalui oleh kakitangan awam dan swasta.

Justeru, beliau mengisytiharkan cuti peristiwa itu setelah menghalusi dan mempertimbangkan kesukaran yang bakal dihadapi rakyat pada hari pembuangan undi kerana hari tersebut adalah hari bekerja, maka pihak kerajaan amat menaruh simpati kepada para pengundi dan anggota keluarga yang terlibat.

"Semoga Allah mempermudahkan segala urusan pembuangan undi pada hari tersebut," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 15/9/2014

Sumber HD - 15-9-2014

Berilah kepercayaan kepada Wan Rosdi

HARAKAHDAILY | .


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Sejahtera kepada semua Pengundi Pengkalan Kubor.

Bersyukur kepada Allah SWT yang memberi peluang untuk kita bertemu dalam pilihan raya kecil N.01 Pengkalan Kubor, Tumpat. Semoga semua Pengundi Pengkalan Kubor tak kira sama ada orang Melayu, Siam, Cina dan semua pengundi berada dalam sihat walafiat.

Pihak saya meletakkan harapan agar semua Pengundi Pengkalan Kubor termasuk pengundi yang berada di perantauan yang jumlahnya hampir mencecah 1,900 orang agar dapat pulang untuk mengundi pada hari khamis 25 September 2014 nanti demi untuk mencorak kepimpinan baru di Dun Pengkalan Kubor.

Oleh itu, bersempena pilihan raya kecil ini saya menyeru agar kita semua mengambil pengajaran daripada seruan Allah SWT sebagaimana dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang meminta supaya kita semua memupuk silaturrahim, berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain, lelaki dan perempuan daripada pelbagai bangsa.
Ini bermakna, tidak kira Melayu, Siam, Cina, India dan semua bangsa adalah anak-cucu Adam alaihissalam yang kemudian berkembang menjadi pelbagai keturunan, bangsa, bahasa, budaya, warna kulit dan pelbagai adat resam. Maka Islam memandang tinggi dan memberi kemuliaan di atas kepelbagaian ini, asalkan mereka beriman dengan Allah SWT.

Saya meletakkan harapan agar semua Pengundi Pengkalan Kubor sentiasa bersikap saling hormat-menghormati, iaitu sikap yang selari dengan pendirian dan dasar Membangun Bersama Islam yang dijelmakan sejak tahun 1990 oleh bekas menteri besar, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Maka prinsip ini menjadi panduan kepada semua Wakil Rakyat PAS yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan. Sikap ini saya yakin ada pada Saudara Wan Rosdi Wan Ibrahim sebagaimana ikrarnya untuk bersedia memberikan khidmat terbaik untuk rakyat Pengkalan Kubor.

Pilihanraya kecil Pengkalan Kubor berlaku pada saat Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan baru, menyambung daripada usaha pembangunan negeri Kepimpinan Ulama’ sebelum ini. Sudah tentu banyak usaha pembangunan yang telah dibuat dan sedia dinikmati oleh semua rakyat.
Aspek pembangunan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri demi memastikan keberkatan dan kemakmuran kepada semua rakyat. Demikian pula menerusi pelbagai agensi Kerajaan Negeri, banyak program kesejahteraan dan kemudahan asas sedia dilaksanakan. Malah pihak pentadbiran Kerajaan Negeri komited untuk terus memperbaiki prestasi dan mutu perkhidmatan di sini.

Bagi Kerajaan Negeri Kelantan, amatlah menaruh kepercayaan tinggi kepada Pengundi Pengkalan Kubor untuk bersama-sama menjayakan perancangan kerajaan menjadikan Pengkalan Kubor sebagai pusat pembangunan sosio-ekonomi, sesuai dengan kedudukannya yang bersempadan dengan Thailand.

Saudara Wan Rosdi sebelum ini adalah sebagai Penyelia Dun yang telah rapat dengan rakyat dan cukup berpengalaman dalam memberi khidmat kepada rakyat. Di atas asas ini, amat wajar pengundi Pengkalan Kubor memilih Saudara Wan Rosdi sebagai Wakil Rakyat demi melengkapkan saluran perkhidmatan kerajaan Negeri kepada rakyat di sini bagi memberi laluan kepada beliau memberi khidmat terbaik dan sedia menjadi penghubung dan pemudah-cara antara rakyat dengan Kerajaan Negeri.

Berilah keyakinan dan kepercayaan kepada calon PAS, Saudara Wan Rosdi Wan Ibrahim yang mewakili Pakatan Rakyat. Ia sesuai dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi meningkatkan khidmat kepada semua Pengundi Pengkalan Kubor menerusi seorang Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, bukannya seorang Wakil Pembangkang.

*Bersamo Pakate Pakoh Bule*

USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Sumber HD - 15-9-2014

PRK Pengkalan Kubor: Bersamo Pakate Pakoh Bule

SALMAH MAT HUSAIN | .
TUMPAT: Pakatan Rakyat menggerakkan misi memerdekakan Dun Pengkalan Kubor dengan tema 'Bersamo Pakate Pakoh Bule' sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor.

Gembelingan usaha dilaksanakan jawatankuasa bersama PAS dan PKR.

Penasihat Jentera Operasi PAS PRK Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pimpinan kedua-dua pihak sentiasa bersama bagi memastikan calon Pakatan Rakyat menang.

“Kerana itu PRK kali ini menggunakan tema ‘Bersamo Pakate Pakoh Bule’. Gandingan mantap tersebut akan terus digerakkan pada masa akan datang,” katanya pada persidangan media di Markas Operasi PAS di sini semalam.

Menurutnya juga gandingan kerjasama dapat dilihat apabila PKR memberi laluan kepada PAS bertanding pada PRK kali ini.

Sehubungan itu beliau merakam ucapan tahniah dan terima kasih di atas semangat ukhuwah ditunjukkan PKR. - HARAKAHDAILY 15/9/2014

Sumber HD - 15-9-2014

Royalti: Muhyiddin, Mustapa hina mahkamah

ASLANI M | .




TUMPAT: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan hak Kelantan ke atas royalti petroleum dianggap sebagai subjudis dan menghina mahkamah.

Timbalan Presiden Pertubuhan Royalti, Abdul Shakur Sharrie berkata, penafian dibuat pemimpin Umno terbabit berdasar kepada pentafsiran Kelantan tidak layak mendapat royalti.

“Menafsirkan berdasar kepada 3 batu nautika dan undang-undang berkaitannya adalah subjudis kerana isu itu dalam perbicaraan di mahkamah.

“Dan ia juga termaktub sebagai pre-emptive decision dan penghinaan kepada mahkamah. Ini kerana Petronas adalah milik kerajaan,” katanya di sini.

Sehubungan itu beliau sebagai mewakili R membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Umno Kelantan di Balai Polis Tumpat jam 12.30 pagi tadi.

Muhyiddin dalam kenyataan media di sini kelmarin mencabaran kerajaan PAS menyiasat jumlah royalti yang belum dijelaskan kerajaan pusat.

Manakala Mustapa ketika berceramah di Kampung Tebing malam semalam turut mencabar kerajaan Kelantan mengemukakan bukti berhubung tuntutan royalti petroleum.

Menurut anggota parlimen Jeli itu fakta yang dikemukakan PAS adalah fitnah semata-mata dan tuntutan yang dibuat tidak berlandaskan undang-undang.

Pada Ogos 2010 kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas) di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur berhubung dakwaan melanggar kontrak.

Dalam tuntutan itu kerajaan negeri menjelaskan Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, secara jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar secara tunai sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di pantai ataupun di luar pantai negeri berkenaan.

Sementara itu Presiden R, Nazri Deraman berkata, kenyataan dibuat kedua-dua pemimpin Umno terbabit bertentangan sama sekali dengan amanat bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak di Dewan Rakyat pada 15 November 1974:

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya,".

Tun Abdul Razak merupakan antara individu merangka Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang ditandatangani kesemua negeri di Malaysia.

Nazri berkata, tuntutan royalti berdasarkan Undang-Undang dan Perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Surat Cara yang ditandatangani Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasir pada 9 Mei 1975.

“Perjanjian itu melampirkan surat penyerahan hak (vesting deeds) kuasa petroleum negeri Kelantan, kerajaan Persekutuan dan Petronas yang jelas menyebut pembayaran tunai 5 peratus daripada pengeluaran.

“Semua negeri di Malaysia menandatangani perjanjian yang sama kerana semuanya merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya.

Beliau berkata, mengapa pemimpin Umno terbabit yang melaungkan 1Malaysia tetapi memberi layanan yang berbeza terhadap negeri. Ia jelas amalan pecah amanah. - HARAKAHDAILY 15/9/2014

Sumber HD - 15-9-2014

Rugi jika tolak Wan Rosdi - Presiden PAS

SALMAH MAT HUSAIN | .


TUMPAT: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan pengundi di Dun Pengkalan Kubor sebagai orang yang rugi sekiranya menolak calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim pada 25 September ini.

Katanya, Wan Rosdi bukan sahaja seorang calon yang setia kepada parti, sebaliknya telah menjalankan kerja-kerja wakil rakyat sejak dua penggal lalu iaitu selepas Pilihan raya Umum (PRU) ke-12 dan PRU13.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di Markas Besar PAS Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Menurutnya, calon Pakatan Rakyat itu juga seorang yang setia kepada parti yang sering mengikut keputusan parti.

“Ketika tidak dicalonkan sebagai calon PRU, beliau tidak bersungut dan menjalankan kerja-kerjanya sebagaimana biasa.

“Bila calon PKR kalah pada PRU12 dan 13, beliau menerima pula jawatan Penyelia Dun dan menjalankan kerja-kerja wakil rakyat sebagaimana biasa,” ujarnya.

Katanya, calon yang paling layak untuk dipilih oleh pengundi di Dun Pengkalan Kubor sememangnya Wan Rosdi, seorang yang bersifat sederhana dan berlatarbelakangkan pendidikan agama.

Menyentuh tentang peringkat awal Wan Rosdi menolak apabila namanya dicalonkan, beliau berkata Islam menggalakkan memilih orang sedemikian.

Menurut beliau lagi, orang yang tidak meminta jawatan itu sebenarnya yang lebih layak berbanding mereka yang meminta untuk mendapatkan jawatan.

“Nabi s.a.w. sendiri berpesan supaya memilih mereka yang tidak meminta jawatan kerana mereka itulah yang sebenarnya lebih layak berbanding daripada orang yang meminta-minta jawatan.

“Yang terbaik ialah calon kitalah, Pakatan Rakyat kerana Pengkalan Kubor dari segi sejarahnya PAS telah menguasai Dun tersebut sejak tahun 1959,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya lagi, mengikut keputusan PRU13 lalu, peringkat parlimen calon Pakatan Rakyat Datuk Kamarudin Jaffar menang, namun di Dun sahaja tewas.

Beliau bagaimanapun mengingatkan anggota parti seluruhnya agar tidak over confident untuk meraih kemenangan dengan mudah.

Ini, ujarnya kerana PAS bukan sahaja melawan parti Umno dan BN, sebaliknya turut berlawan dengan agensi kerajaan Pusat yang datang dari pelbagai arah dengan tidak malu-malu lagi.

"Demokrasi di tempat kita berat sebelah dan kita bertanding tidak di padang yang sama rata," ujatnya lagi. - HARAKAHDAILY 14/9/2014

Sumber HD - 14-9-2014

Anak Kelantan: Jawapan kepada tohmahan blog Umno

ASLANI M | .



Wan Rosdi (kiri) bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi di Surau Lama Mukim Tebing.

TUMPAT: Tohmahan blog-blog Umno yang cuba menggambarkan Wan Rosdi Wan Ibrahim berasal dari Kedah dinafikan ahli keluarganya, Wan Kamarudin Wan Kob.

Beliau yang juga sepupu kepada calon PAS itu turut menampilkan bukti nombor kad pengenalan milik ayah dan ibu Wan Rosdi.

Bapanya, Wan Ibrahim Wan Mamat nombor kad pengenalan 290525-03-5037 dan ibunya, Wan Esah Wan Deris (350713-03-5300). Kedua-duanya sudah lama meninggal dunia.

Wan Kamarudin berkata, calon PAS adalah anak jati Kelantan biar pun beliau dilahirkan di negeri Kedah.

“Ayahnya berhijrah ke Baling, Kedah pada tahun 1950-an untuk mencari rezeki sebagai petani. Pada masa itu ramai anak Kelantan berhijrah ke sana.

“Wan Rosdi dibawa balik ke Kelantan dan dipelihara datuknya pada tahun 1960-an. Kami sama-sama tinggal dengan datuk di Tanah Merah,” katanya di sini.

Blog-blog Umno sebelum ini mendakwa Wan Rosdi bukan anak tempatan kerana dilahirkan di Kedah.

Wan Rosdi pula menjelaskan keluarganya berhijrah ke Kedah bersama ramai lagi rakyat Kelantan pada 1950-an untuk bekerja di sawah padi.

“Pada peringkat awal mereka bekerja di sawah milik penduduk tempatan di Kampung Lanai, Baling. Namun akhirnya ayah saya mengumpul duit dan membeli tanah milik penduduk.

“Saya dan empat lagi adik dilahirkan di sana. Bagaimanapun ketika berusia enam tahun ayah menghantar saya pulang ke Tanah Merah dan tinggal bersama datuk,” katanya.

Menurutnya tidak lama kemudian semua keluarga pulang semula ke Kelantan dan menjual tanah yang pernah dimiliki di Baling.

Oleh itu beliau berkata, tidak berbangkit keluarganya bukan anak Kelantan sebagaimana didakwa sesetengah pihak. - HARAKAHDAILY 14/9/2014

Sumber HD - 14-9-2014

Royalti: Kempen Muhyiddin bernada sumbang

ASLANI M | .

 


TUMPAT: Kempen Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pengkalan Kubor agak sumbang apabila cabarannya mahu kerajaan PAS menyiasat jumlah royalti yang belum dijelaskan kerajaan pusat dijawab segera pelbagai pihak.

Timbalan Perdana Menteri mungkin lupa pada 26 April lalu Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Kelantan agar dibekalkan dokumen-dokumen tertentu milik Petronas yang mempunyai kaitan dengan tuntutan royalti.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ketika PAS mentadbir Terengganu pada 1999 Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengakui royalti petroleum milik Terengganu.

“Perkara itu dijelaskan Perdana Menteri pada pertemuan bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri. Saya dan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut hadir pada mesyuarat terbabit.

“Namun Kerajaan Pusat mengkhianati Kelantan apabila menafikan hak royalti seperti yang diberi kepada Terengganu,” katanya pada ceramah di Kampung Geting malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.

Selain itu anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Dr Ramli Mamat dan Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad.

Ceramah tersebut mendapat sambutan penduduk tempatan sehingga ramai duduk di sepanjang jalan bagi mengikutnya.

Hujah Muhyiddin juga cuba dipertahankan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila turut mencabar kerajaan negeri mengemukakan bukti berhubung tuntutan royalti petroleum.

Menurutnya pada ceramah di Kampung Tebing malam tadi, fakta yang dikemukakan PAS fitnah semata-mata dan tuntutan yang dibuat tidak berlandaskan undang-undang.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, Akta Petroleum diwujudkan pada 1974 antara lain bagi merangka perjanjian dengan negeri-negeri di Malaysia.

Kata beliau, minyak dan gas mula-mula dijumpai di perairan Sabah dan Sarawak.

“Akta Petroleum dirangka Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Salleh Abas sehingga membawa kepada rundingan dengan Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Nassurudin pula mempersoal mengapa royalti yang dibayar kepada kerajaan Terengganu tiba-tiba disekat selepas negeri itu ditadbir PAS pada 1999.

“Dan apabila BN kembali memerintah Terengganu royalti dibayar semula. Penafian macam inilah yang menyebabkan penduduk termasuk di Pengkalan Kubor terus dihimpit kesusahan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 14/9/2014

Sumber HD - 14-9-2014

CD burukkan PAS diedar di Pengkalan Kubor

ASLANI M | .




TUMPAT: Umno kini dilihat bermati-matian mempertahankan Dun Pengkalan Kubor sehingga terpaksa menggunakan khidmat siber trupper dan pengedaran cakera padat (VCD) bagi memburukkan PAS.

Terbaru siber tropper Umno menggunakan isu ketidakhadiran pemimpin utama DAP pada perarakan penamaan calon semalam bagi menggambarkan hubungan dingin dalam Pakatan Rakyat.

Anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, ada penduduk menemui VCD yang mempersoalkan tahaluf siyasi PAS bersama parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Katanya turut dijelaskan dalam VCD tersebut Umno lebih awal mengadakan tahaluf siyasi dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN).

“VCD yang diedarkan di merata tempat di kawasan Pengkalan Kubor sempena kempen pilihan raya kecil sekarang. Saya harap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan propaganda tersebut,” katanya di sini.

Umno juga terpaksa menggunakan gambar calon BN, Mat Razi Mat Ail dengan memakai serban dan jubah sambil berdoa diletak di tepi-tepi jalan.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud berkata, jarang berlaku seseorang yang memakai serban dan berjubah berada dalam perjuangan Umno.

“Orang yang pakai serban kebiasaannya mereka lebih faham ilmu agama dan bukan sekadar pandai mengajar qiraati sahaja.

“Kalau nak bagi nampak hebat janganlah pula meniru bulat-bulat gaya Tok Guru Nik Aziz berdoa sebagai bahan kempen pilihan raya,” katanya pada ceramah di Kampung Tebing malam tadi.

Kempen yang masuk hari kedua hari ini tambah rancak dengan ceramah kedua-dua pihak diadakan malam tadi. PAS mengadakan ceramah di Kampung Simpangan, Kampung Geting dan Bunohan.

Ceramah tersebut membabitkan pemimpin-pemimpin utama PAS iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib-Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa.

Umno pula mengadakan ceramah di Pengkalan Kubor. Petugas parti pula sibuk mempersiapkan markas dan pos parti.

Kempen PAS tambah rancak dengan kemunculan akhbar harian yang dikenali sebagai Pengkalan Kubor Kito, mulai diedar kepada orang ramai mulai semalam.

Keluaran pertama yang memaparkan tajuk “Wan Rosdi harapan rakyat” diedarkan berpusat di Markas Besar Pengkalan Kubor di Kampung Geting.

Akhbar harian itu diterbitkan Lajnah Penerangan Badan Perhubungan PAS Kelantan turut diedarkan petugas kalangan anak-anak muda kepada orang ramai.

Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kehadiran akhbar harian setebal empat halaman itu sekurang-kurangnya dapat memuatkan maklumat terkini kempen kepada pengundi.

“Setidak-tidaknya ia dapat menyaingi berita propaganda dimuat dalam akhbar harian milik Umno,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2014

Sumber HD - 14-9-2014

Muhyiddin, Hishammuddin tahu hormat ulama

http://tikaqbuloh.blogspot.com | .

Biar Gambar Berbicara. Hishammuddin Dan Muhyiddin Yassin Pun Tahu Hormat Ulama



Dalam pertarungan politik memang mereka bermusuh kerana berlainan parti. Tetapi realiti sebenar mereka tetap menghormati Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai ulama.

Tetapi lain pula dengan pentaksub-pentaksub Umno BN, golongan penyokong tegar yang sanggup menghina dan mencerca ulama ini, lebih parah lagi ada yang mengatakan golongan ulama dalam PAS ini sebagai sesat dan nyanyuk.

Sumber HD - 13-9-2014

PRK medan perkukuh PR – Nik Nazmi

ASLANI M foto RIZAL TAHIR | .


TUMPAT: Pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor menjadi medan terbaik bagi mengukuhkan lagi saf kepemimpinan Pakatan Rakyat berikutan kemelut yang berlaku di Selangor sebelum ini.

Ketua Pemuda AMK Pusat berkata, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Pengkalan Kubor boleh merapatkan hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat .

“PRK Pengkalan Kubor boleh menjadi tempat bagi merapatkan lagi saf sesama kita dalam Pakatan Rakyat. Kita perlu mempamerkan semangat sebagai adik-beradik dalam usaha mengukuhkan lagi Pakatan.

“Rakyat perlu menghantar isyarat yang jelas untuk menolak BN pada PRK Pengkalan Kubor.

“Pengundi di sini hendaklah bersama dengan rakyat Malaysia berada dalam kelompok 51 peratus yang menolak BN pada pilihan raya umum lalu,” katanya pada ceramah selepas penamaan calon di Padang Kemahkotaan di sini, hari ini.

Ceramah kepada penyokong Pakatan Rakyat diadakan di padang Kemahkotaan sebaik selesai proses penamaan calon berakhir. Ribuan penyokong hadir menyebabkan kesesakan lalu lintas begitu ketara.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyatuan dan kesepaduan dalam Pakatan Rakyat akan bermula di Pengkalan Kubor.

Oleh itu beliau berharap jentera-jentera dalam Pakatan dapat menembusi setiap peti undi di Pengkalan Kubor dengan menemui rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meminta pengundi Pengkalan Kubor yang tinggal di luar Kelantan pulang mengundi pada 25 September ini.

Katanya, biar pun hari mengundi jatuh pada hari bekerja, namun mereka hendaklah balik menunaikan tanggungjawab bagi memilih pemimpin bagi mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri.

“Inilah masalah yang sengaja dibuat SPR kerana mengadakan hari mengundi pada hari bekerja. Tidakkah ia boleh menyusahkan pengundi yang tinggal jauh untuk balik mengundi,” katanya.

Beliau yang juga yakin calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim mampu berkhidmat dengan baik kepada rakyat memandangkan beliau sudah lama menabur bakti kepada masyarakat.

“Saya masih lagi ingat semasa berkhidmat sebagai Exco, Wan Rosdi begitu cepat bertindak menyampaikan maklumat kepada kerajaan apabila berlaku musibah yang menimpa rakyat di Pengkalan Kubor.

“Tidak sampai 5 minit selepas kejadian berlaku beliau segera menelefon saya memaklumkan perkara tersebut,” katanya.

Wan Rosdi pula berkata, sudah nampak angin perubahan berlaku di Pengkalan Kubor sekarang berdasar kepada semangat rakyat di peringkat akar umbi.

Oleh itu kata beliau perlu dilonjakkan lagi dengan kerja lebih kuat bagi memastikan semangat perubahan rakyat yang diinginkan menjadi kenyataan. – HARAKAHDAILY 13/9/2014

Sumber HD - 13-9-2014

Kami datang beri sokongan pada calon kita - Wanita PKR

SALMAH MAT HUSAIN | .

TUMPAT: Wanita Pakatan Rakyat menyokong penuh kepada calon PAS pada PRK Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang mewakili calon Pakatan Rakyat.

Pada masa yang sama mereka menyifatkan calon berkenaan begitu sinonim dengan masyarakat berikutan sentiasa bersama rakyat setelah menjadi Penyelia Dun Pengkalan Kubor sejak beberapa penggal lalu.

Naib Ketua Wanita PKR Malaysia, Dr Daroyah Alwi, berkata pada masa yang sama pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

“Kami datang beramai-ramai bersama pimpinan PKR Pusat, AMK Pusat dan negeri untuk menyatakan sokongan moral kami kepada calon kita.

“Untuk itu saya menyeru semua Wanita PKR seluruh negara termasuk cabang-cabang di negeri ini turun membantu calon kita yang akan bertanding,” ujarnya ketika ditemui semasa proses penamaan calon PRK Dun Pengkalan Kubor hari ini.

Jelasnya, Wanita PKR akan membantu gerak kerja bersama Muslimat PAS sama ada peringkat Pusat atau negeri bagi menyelaraskan program.

“Muslimat PAS di hadapan, kami akan membantu bersama-sama dari belakang,” ujarnya.

Bagi Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff, calon Pakatan Rakyat sebenarnya lebih dekat di hati rakyat, bergerak aktif dalam parti hingga ke peringkat bawahan sehingga rakyat mengenalinya.

"Kak Lah yakin dengan kebolehdan dan pengalaman yang ada disamping sifat peribadinya yang lembut dan sering menyantuni masyarakat akan memberi saham yang cukup tinggi baginya pada PRK ini.

“Calon kita ni memang mampu malah telah memberi perkhidmatan yang cukup baik pada rakyat selama ini,” ujarnya.

Sehubungan itu Zailah mengucapkan terima kasih pada semua pimpinan PKR yang memberi laluan kepada calon PAS untuk mewakili Pakatan Rakyat.

Katanya, dengan semangat setia kawan dalam Pakatan Rakyat, diharap Dun Pengkalan Kubor dapat dirampas semula pada PRK kali ini. - HARAKAHDAILY 13/9/2014

Sumber HD - 13-9-2014

Insya Allah, calon kita akan dipilih rakyat - TG Nik Aziz

SALMAH MAT HUSAIN | .

TUMPAT: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berharap Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor berjalan baik mengikut amalan demokrasi.

Katanya, tidak perlu melakukan perkara yang bertentangan demokrasi kerana pengundi telah akil baligh.

Beliau berkata demikian kepada media di tempat penamaan calon, di sini hari ini.

Katanya lagi, setiap perkara yang dilakukan di dunia ini akan berkait dengan akhirat, termasuk pilihan raya.

"Hanya ajaran Islam sahaja yang akan mengingatkan umat manusia pada hal akhirat dan bukannya ajaran sekular.

"Setiap pembalasan akan berlaku di akhirat kelak sama ada yang baik atau yang buruk," ujarnya.

Walaupun tidak mengenal secara peribadi, namun apabila kepimpinan PAS kawasan memilih calon, sudah tentu ia cukup baik untuk mewakili Pakatan Rakyat.

"Insya Allah, hasil kerjasama kita semua pihak, sokongan padu rakan Pakatan Rakyat, calon kita akan dipilih rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/9/2014

YB TG DBS - 
http://www.youtube.com/watch?v=0BhPQjH0bQU

Sumber HD - 13-9-2014

Hari bekerja tidak galakkan pengundi luar mengundi

ASLANI M | .


TUMPAT: Naib Presiden PKR, Tian Chua mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan hari mengundi pada hari bekerja iaitu 25 September.

Ini, katanya kerana ia menyusahkan para pengundi yang tinggal di luar Kelantan.

Katanya, strategi itu dianggap bukan langkah terbaik bagi menggalakkan orang ramai keluar mengundi.

"Kaedah yang sama digunakan pada PRK Parlimen Teluk Intan sehingga menyebabkan tidak ramai yang pulang mengundi," ujarnya kepada media pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor pagi tadi.

PRK Dun Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Wan Rosdi Wan Ibrahim, Mat Razi Mat Ail (BN) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

SPR menetapkan tarikh pengundian PRK Dun Pengkalan Kubor pada 25 September sementara pengundian awal 21 September.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Pada Pilihan raya Umum ke-13 lepas, yang mendapat 10,174 undi menewaskan calon PKR, Saharun Ibrahim (8,438) dan Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (65) dengan majoriti 1,736 undi. - HARAKAHDAILY 13/9/2014

Sumber HD - 13-9-2014

PAS, BN dan Bebas bertanding PRK Pengkalan Kubor,

ASLANI M | .



TUMPAT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Wan Rosdi Wan Ibrahim, Mat Razi Mat Ail (BN) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

(lanjut menyusul)

Perarakan Calon -
http://www.youtube.com/watch?v=c22M9lwOfQw

Sumber HD - 13-9-2014

Solat hajat sebelum perarakan calon Pakatan

ASLANI M | .



TUMPAT: Perarakan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Pasir, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang bemula di Padang Kemahkotaan didahului dengan solat hajat yang dipimpin Ustaz Nik Radzi Ni Mat.

Para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat mula berkumpul kira-kira jam 7 pagi dalam suasana tenang dengan cuaca yang agak redup.

Para petugas Unit Amal kelihatan sibuk mengawal lalu lintas supaya keadaan berjalan lancar.

Perarakan calon Pakatan Rakyat daripada PAS itu diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut disertai Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pemagku Ketua Dewan Ulamak PAS PUsat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Ketua Pemuda, Suhaizan Kaiat, Ketua Pengarah Pilihan raya, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar di samping Tian Chua dan Shamsul Iskandar daripada PKR.

Rombongan calon PAS yang mula berarak jam 8.15 pagi sudah masuk tempat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat. Mereka tiba paling awal. Seorang calon Bebas juga kelihatan.

Pegawai Pengurus PRK Pengkalan Kubor, Mohd Sobri mengumumkan penamaan calon dibuka jam 9 pagi.

Wan Rosdi menyerahkan borang pencalonan jam 9.02 pagi , diikuti calon BN, Mat Razi Mat Ali pada 9.03 pagi dan calon Bebas, Aizat Bukhori seminit kemudian.

Penyokong kedua-dua pihak hanya dpisahkan dengan jalan di hadapan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat. Laungan takbir kedengaran dari sebelah penyokong PAS dan Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 13/9/2014

Sumber HD - 13-9-2014

Wan Rosdi rapat dengan penduduk Pengkalan Kubor

ASLANI M | .

TUMPAT: Pelbagai pihak di sini menyifatkan pemilihan Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 57, dalam misi menafikan kekuatan Umno di Dun Pengkalan Kubor sebagai pilihan terbaik dan tepat.

Ini memandangkan beliau berkhidmat sebagai Penyelia Dun kawasan berkenaan sejak 2009 dan begitu rapat dengan masyarakat.

Ketua Cabang PKR Tumpat, Shaharun Ibrahim berkata, parti itu berdiri teguh di belakang calon PAS yang bertanding dalam misi merampas Dun berkenaan daripada Umno.

“Saya meminta semua penyokong KeADIlan dam pengundi di sini memilih Wan Rosdi pada 25 September ini. Kami tetap berdiri teguh di belakang calon yang dipilih bagi menghadapi Umno,” katanya pada majlis pengisytiharan calon Pakatan Rakyat pilihan raya kecil Pengkalan Kubor malam tadi.

Pengumuman dibuat Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Calon BN pula diisytiharkan pada petang Rabu lalu dilakukan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Anggota jawatankuasa Umno Tumpat, Mat Razi Mat Ail, 49 diumumkan sebagai calon.

Shaharun yang juga calon PKR di Pengkalan Kubor pada PRU 2013 berkata, pendirian parti itu jelas bagi membantu rakan-rakan Pakatan Rakyat bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Seorang penduduk Omar Rahmat, 47 dari Kampung Pak Keran berkata, pemilihan Wan Rosdi sebagai calon PAS sebagai tepat.

“Ini kerana beliau sudah enam tahun berkhidmat sebagai Penyelia Dun. Ramai orang di sini kenal kerana beliau begitu ramah dan banyak membantu menyelesaikan masalah penduduk.

“Jarang orang tidak mengenalinya. Beliau seorang aktivis masyarakat yang bekerja untuk rakyat tanpa mengira masa,” katanya. - HARAKAHDAILY 12/9/2014

Sumber HD - 12-9-2014

Penduduk tidak kenal calon BN

ASLANI M|Foto MIJIE YUSOF | .
TUMPAT: Calon BN, Mat Razi Mat Ail pada peringkat awal tidak ada dalam senarai utama. Malah ia tidak mencerminkan kehendak awal Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu calon muda ditampilkan.

Kemunculan bekas penolong pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat itu mengenepikan pemimpin yang sudah lama menabur bakti dalam Umno.

Sedangkan senarai yang diketengahkan dalam kajian Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendapat 35 peratus sokongan daripada 507 responden.

Turut disenaraikan Timbalan Ketua Umno Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz (29 peratus), Razidi Mohmad (16 peratus), Wan Johani Wan Hussin (9 peratus) dan Wan Hanafi Wan Yaacob (9 peratus).

Nama Mat Razi langsung tidak tersenarai dalam jangkaan ramai. Berbeza calon Pakatan Rakyat, Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang mendapat sokongan 28 peratus hasil kajian UMcedel.

Seorang penduduk di Kampung Geting, Abdullah Sabri (gambar) mengakui penduduk kurang mengenali Mat Razi biar pun beliau merupakan anak tempatan.

“Penduduk kampung tidak mengenalinya kecuali mereka yang sering berurusan di Pejabat Pelajaran Daerah. Sedangkan Wan Rosdi orang ramai sudah lama kenal hati budinya.

“Ini memberi kesan yang besar. Jauh berbeza di antara kedua-dua perwatakan itu. Biasanya penduduk kampung menilai kemampuan seseorang berpandu kepada jasa dengan hubungan dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini.

Zainab Che Mat, 49 (gambar) dari Kampung Tujuh juga memberitahu tidak pernah mendengar nama Mat Razi biar pun beliau anak tempatan Pengkalan Kubor.

Wan Rosdi diumumkan sebagai calon Pakataan Rakyat malam tadi dalam misi menafikan pengaruh Umno di Dun terbabit sejak 2004.

Sumber yang rapat dengan Umno memberitahu ramai pemimpin di peringkat bahagian Tumpat kelihatan kecewa kerana orang yang sudah lama berkhidmat diketepikan.

Katanya, jentera kempen kalangan pemimpin tempatan agak hambar berbanding jentera Umno dari luar Tumpat.

Sumber HD - 12-9-2014

Peluang Wan Rosdi menang sangat cerah

MUHAMMAD FAIZAL | .



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar menyifatkan pencalonan Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan kubor adalah pilihan yang tepat.

Beliau (gambar) berkata, pengalaman selama 20 tahun di dalam PAS dan bergelumang dengan penduduk setempat, calon PAS itu tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN).

"Beliau merupakan seorang pekerja parti di peringkat kawasan dan Dun, hampir 20 tahun beliau berkhidmat untuk rakyat setempat.

"Dengan sikap dan sifat yang beliau miliki selain dikenali penduduk setempat, saya yakin kita tidak mempunyai masalah untuk mengambil balik kerusi Dun Pengkalan Kubor dari BN," katanya kepada Harakahdaily.

Kamarudin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut berpendapat pengalaman yang dimiliki calon PAS lebih jauh mengatasi calon BN.

"Beliau telah lama berdamping dengan penduduk setempat. Memadai jika kita tanya nama beliau, orang kampung akan mengenali dia.

"Saya yakin peluang untuk PAS dan Pakatan Rakyat menang pada PRK kali ini amat besar," sambung beliau.

Tambah beliau lagi, pergolakan dalaman Umno Pengkalan Kubor yang tidak berpuas hati dengan pencalonan calon BN turut membantu PAS dalam usaha mengambil semula kerusi tersebut. - HARAKAHDAILY 12/9/2014

Sumber HD - 12-9-2014

Kelantan serah hak milik tanah tanpa kira fahaman politik

SALMAH MAT HUSAIN Foto ZAM ZAMANI | .

TUMPAT: Seramai 37 orang dari beberapa buah mukim dalam Dun Pengkalan Kubur menerima surat Hak Milik Tanah daripada kerajaan negeri. (Penyelia Dun, Wan Rosdi Wan Ibrahim bantuan sosial kepada penerima yang layak)

Surat hak milik tanah itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, di Kompleks Penggawa, Getting, Pengkalan Kubur, semalam.

Sementara itu, 200 orang penerima lagi menerima bantuan sosial dari kerajaan negeri yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Siam.

Penerima dipilih berdasarkan kelayakan sebagai golongan yang dhaif.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Ahmad ketika berucap pada majlis itu memberitahu kerajaan negeri tidak pernah memilih bulu dalam pembahagian hak milik tanah.

Katanya, walaupun tidak selari dengan parti yang mendokong kerajaan hari ini, namun rakyat yang berkelayakkan akan dapat memiliki tanah daripada kerajaan negeri.

Sambungnya, pada masa yang sama kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mempercepatkan proses permohonan tanah daripada pemohon.

“Kerajaan negeri dan Pejabat Tanah di Jajahan Tumpat serta mana-mana jajahan sekalipun sentiasa bekerja keras untuk mempercepatkan proses tersebut untuk keselesaan rakyat,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Wan Rosdi. - HARAKAHDAILY 12/9/2014

Sumber HD -12-9-2014

Wan Rosdi calon Pakatan PRK Pengkalan Kubor

ASLANI M | .


TUMPAT: Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 57, akan membawa cabaran Pakatan Rakyat dalam misi merampas Dun Pengkalan Kubor yang dikuasai Umno sejak 2004.

Pemilihan beliau diumumkan oleh pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada satu majlis malam ini.

Antara yang hadir ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau merupakan anak tempatan Kampung Bendang Pak Yong. Pernah mengikuti kursus pentadbiran perniagaan di Tokyo, Jepun pada 1984.

Wan Rosdi pernah menimba ilmu di Institut Kemahiran Mara di Sungai Petani, Kedah dalam binaan bangunan (1978-1980).

Pendidikan peringkat menengah di Maahad Muhamadi Pasir Mas sehingga lulus SPM. Pernah juga belajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Al Ihsan, Tanah Merah.

Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah. Susur galur keluarganya terbabit dengan PAS. Ibunya, Wan Esah Wan Deris merupakan Ketua Muslimat PAS Tanah Merah.

Beliau berhijrah ke Tumpat selepas berkahwin dengan Saadiah Salleh yang juga bekas Ketua Muslimat PAS Tumpat. Bagaimanapun isterinya meninggal dunia pada 14 Julai 2013.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan 5 anak. Wan Muhammad Khairul Amili bertugas sebagai jurutera, Wan Nor Hayani lulusan master di UiTM, Wan Shakikah lepasan ijazah USIM. Wan Mohd Shafiq (Ijazah Universiti Islam Sultan Shariff Riau, Pekan Baru Indonesia) dan Wan Najibah lepasan ijazah USIM.

Wan Rosdi juga merupakan Ketua Unit Amal Tumpat ketika peringkat awal diwujudkan.

Sebelum terbabit sepenuh masa dengan parti beliau mengurus perniagaan sendiri sebagai kontraktor binaan.

Kegiatannya dalam parti bermula sebagai ahli jawatankuasa Pemuda PAS Tumpat pada 1991 dan 1997 dilantik sebagai ahli jawatankuasa PAS Tumpat.

Selepas pilihan raya umum 1999 Wan Rosdi bertugas sebagai setiausaha Adun Pengkalan Kubor, Wan Hussin Wan Ahmad.

Pernah juga dilantik sebagai Penolong Setiausaha PAS Tumpat dan Setiausaha Penerangan PAS kawasan. Dan mulai tahun lepas dilantik sebagai Setiausaha PAS Tumpat.

Hubungannya dengan masyarakat di Pengkalan Kubor tambah akrab selepas dilantik sebagai Penyelia Dun Pengkalan Kubor sejak 2009.

Beliau juga dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Kompleks Perkayuan Kelantan pada 2013 dan ahli majlis Majlis Daerah Tumpat pada 1997-2007. - HARAKAHDAILY 11/9/2014

YAB MB/ PJ - http://www.kelantantv.my/v1/

Sumber HD - 11-9-2014

Projek tebatan sekerat jalan punca banjir

ASLANI M | .


TUMPAT: Sebelum dibina batas air masin di Kampung Bendang Pak Yong sehingga ke sempadan di Dun Meranti, banjir yang melanda cepat surut.

Bagaimanapun selepas jalan keselamatan (Kesban) yang juga dijadikan sebagai batas mengelakkan air masin masuk ke sawah siap dibina, banjir melanda lambat surut.

Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim berkata, banjir menenggelamkan Kampung Simpangan, Kubang Sawa, Bendang Pak Yong dan Juluk sehingga dua minggu.

“Maka tidak hairanlah orang kampung menggelarkan sebagai banjir air termenung. Termenung kerana penduduk tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti sepanjang ditenggelami bah.

“Hendak pergi membeli keperluan harian pun terpaksa menaiki sampan melintasi beberapa kampung. Penduduk juga tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Biar pun dalam kesibukan kempen pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor beliau sedia meluangkan masa untuk ditemubual petang semalam.

Selepas itu beliau menghadiri mesyuarat Perhubungan PAS Negeri yang diadakan di Markas Operasi PRK Pengkalan Kubor di Kampung Tebing.

Menurut Wan Rosdi masalah dihadapi penduduk mendapat perhatian kerajaan negeri, di mana setiap musim tengkujuh bantuan banjir bernilai lebih RM40,000 diberi kepada mangsa banjir.

Katanya beliau bersama petugas Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Kubor menghantar keperluan harian kepada penduduk yang terperangkap menggunakan bot.

“Pada akhir 2012 saya terpaksa mencari dana sehingga RM70,000 termasuk disumbang kerajaan negeri bagi menyediakan keperluan asas diagih kepada penduduk.

“Bantuan diagih dari rumah ke rumah kerana keseluruhan kawasan itu ditenggelami air bah. Rumah saya juga tenggelam. Di halaman rumah di paras dada,” ujarnya yang juga tinggal di Kampung Bendang Pak Yong.

Penghulu Bendang Pak Yong, Mohd Azmi Ibrahim berkata, banjir air termenung berlaku kerana projek batas air masin yang dibina kerajaan pusat hanya sekerat jalan.

Katanya, projek itu hanya berakhir di Kampung Kuala Jambu dan dari kampung tersebut ke Rantau Panjang jalan yang dibina lebih rendah.

Menurutnya air banjir yang masuk melalui kampung tersebut akan terperangkap tidak boleh keluar kerana pintu air dibina kecil.

“Pintu air yang dibina di Kampung Naga Ibu tidak sepadan dengan air yang deras mengalir masuk dari arah Meranti. Air hanya surut dalam tempoh agak lama,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, masalah banjir hanya akan dapat diatasi sekiranya projek tebatan dibina sehingga ke Rantau Panjang seperti dilaksanakan di sebelah Thailand.

Sebelum ini kerajaan pusat acap kali menguar-uarkan projek tebatan banjir antara Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor, namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang. - HARAKAHDAILY 11/9/2014

Sumber HD - 11-9-2014

Suasana PRK Balingian di Pengkalan Kubor

ASLANI M | .

TUMPAT: PAS akur terhadap arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak berlaku sebarang ketegangan pada hari penamaan calon dan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor.

Pengarah Operasi PAS pilihan raya tersebut, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, PAS dan Pakatan Rakyat akan berusaha untuk memastikan penamaan calon berjalan lancar dan tenang.

“Kami menghargai nasihat yang disampaikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof supaya menjadikan PRK Pengkalan Kubor terbaik seperti yang berlaku di Balingian, Sarawak,” katanya di sini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kelmarin berharap PRK Pengkalan Kubor boleh menjadi pilihan raya kecil paling harmoni seperti di PRK Balingian, Sarawak.

Selain itu beliau memberitahu penggunaan aset milik kerajaan untuk berkempen pada mana-mana pilihan raya tidak boleh sama sekali.

Abdul Aziz menjelaskan demikian selepas mengunjungi hormat Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim, Selasa lalu.

Wan Abdul Rahim yang juga bekas Anggota Parlimen Kota Bharu berkata, PAS tidak akan mengadakan ceramah secara terbuka kepada penyokong pada hari penamaan calon.

“Saya juga telah memberitahu secara lisan kepada Tan Sri ketika bertemu di Kota Darulnaim. Jadi saya berharap penyokong PAS dan Pakatan Rakyat mematuhi garis panduan ditetapkan,” ujarnya.

Menurutnya, suasana seperti di Balingian pernah berlaku pada PRK Pulai Chondong pada 1997 di mana tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini pada hari penamaan calon dan sepanjang kempen berlangsung. - HARAKAHDAILY 11/9/2014

Sumber HD - 11-9-2014

Akan berlaku lonjakan, PAS boleh menang

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .



TEMERLOH: PAS Pahang akan menghantar 500 petugas yang berlatarbelakangkan pelbagai kepakaran bagi membantu gerak kerja pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor melalui empat kumpulan mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya (JPN) PAS Pahang Hasenan Haron berkata, empat kumpulan tersebut akan bertugas secara bergilir di unit peti undi (UPU) Kampung Geting yang mempunyai lebih 3,000 pengundi.

“Insya Allah, berdasarkan calon Parlimen PAS yang menang lebih 600 undi pada PRU lepas di Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut, maka kita yakin akan berlaku lonjakan dan PAS boleh menang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat Perhubungan petang semalam selepas PAS Pahang menyerahkan cek berjumlah RM100,000 kepada Yayasan Amal bagi sumbangan kemanusiaan Gaza, Palestin.

Cek diserahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Yusof Embong kepada wakil Yayasan Amal, Nazri Ahmad.

Di UPU Geting, PAS Pahang ditugaskan bersama PAS Kawasan Kota Bharu dan Machang.

Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor. - HARAKAHDAILY 11/9/2014

Sumber HD - 11-9-2014

Pengkalan Kubor: PAS umum calon malam esok

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: PAS Kelantan mengakui bukan mudah untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor pada 25 September ini, apa lagi untuk merampas Dun terbabit yang telah dimenangi BN sejak tiga penggal lalu.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun berkata, pihaknya akan berusaha lebih hebat lagi untuk menawan Dun terbabit.

Katanya, apa lagi dengan sokongan PKR untuk bersama PAS akan mencerahkan lagi hasrat itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

“Sengit, memanglah sengit pilihan raya ni, tetapi kita akan menghadapinya dengan suasana aman dan harmoni bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat,”ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, seterusnya memberitahu sokongan PKR secara terbuka untuk membantu calon Pakatan Rakyat daripada PAS akan membantu gerak kerja yang baik untuk meraih kemenangan.

Mengenai calon pula, beliau berkata ia akan diumumkan pada malam esok di padang belakang Masjid Geting, Tumpat.

“Tentang calon tunggu malam esok, insya Allah kita akan umum malam esok.

“Orangnya tentu orang tempatan dan yang paling anak Kelantan,” ujarnya ketika diminta mengulas soal calon. - HARAKAHDAILY 10/9/2014

Sumber HD - 10-9-2014

Pemuda PAS yakin beri saingan kepada BN

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan melancarkan markas dan jentera pemuda pada 12 September ini bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor.

Pengarah Pilihan rayanya, Mohd Sany Hamzan menjelaskan selain persiapan pelancaran markas pemuda, beliau turut berpuashati dengan persediaan jentera pemuda dalam menghadapi PRK Pengkalan Kubor.

"Persiapan Pemuda PAS amat memuaskan dan mereka telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil kali ini.

"Kalau sebelum ini persiapan kita untuk memenangkan calon dari PKR, namun apabila Presiden PKR memberi laluan kepada PAS, semangat kita semakin kuat dan yakin mampu memberi saingan kepada Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Harakahdaily.

Kata beliau, pihaknya menjangkakan setiap Unit Peti Undi (UPU) akan ada 40 hingga 50 orang jentera pemuda setiap hari sepanjang kempen pilihan raya.

"Dilaporkan jentera-jentera pemuda dari setiap negeri sudah pun tiba di Pengkalan Kubor dan kita yakin kerjasama dari semua peringkat terutama jentera dari Kelantan ia akan melancarkan lagi gerak kerja kita," sambung beliau.

Tambah beliau, Pemuda PAS turut merancang program-program mega sepanjang kempen pilihan raya kecil itu bagi mendekati pengundi muda. - HARAKAHDAILY 10/9/2014

Sumber HD - 10-9-2014

Tuan Ibrahim Pengarah Induk PRK Pengkalan Kubor

ASLANI M | .

TUMPAT: Jentera operasi PAS pilihan raya Dun Pengkalan Kubor diketuai bekas Speaker Dun Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor.

Setiausaha Operasi PAS Pilihan Raya Dun Pengkalan Kubor, Jamaluddin Ishak berkata, pelantikan tersebut dibuat pada mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur semalam.

Katanya, Timbalan Pengarah Operasi pilihan raya terbabit iaitu Dr Wan Nik Wan Yussof, Mohd Nasir Daud, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Mohd Zaki Ibrahim.

“Gerak kerja operasi pilihan raya PAS di Pengkalan Kubor bermula pada 12 September lalu selepas dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu,” katanya di sini.

Operasi jentera tersebut berpusat di Markas Besar PAS Dun Pengkalan Kubor di Kampung Tebing. Bangunan dua tingkat itu turut menempatkan ruang sidang media dan Unit IT dan Media PAS.

Jamaluddin juga berkata, pasukan petugas daripada PAS kawasan-kawasan lain di Kelantan memulakan gerak kerja bermula semalam sehingga hari pembuangan undi 25 September ini.

Manakala jentera PAS kawasan-kawasan lain dari luar Kelantan akan mulai berkampung pada Khamis ini.

Dun Pengkalan Kubor mempunyai 12 unit peti undi (UPU). UPU Pengkalan Kubor menempatkan petugas PAS dari Pengkalan Chepa dan Wilayah Persekutuan.

UPU Ketil – Pasir Mas, Melaka dan Sarawak, UPU Tebing – Pasir Puteh dan Selangor, UPU Geting – Kota Bharu, Machang dan Pahang.

UPU Simpangan – Tanah Merah dan Johor, UPU Tujuh – Ketereh dan Terengganu, UPU Jubakar Darat – Tumpat dan Perak, UPU Bunohan – Kubang Kerian dan Negeri Sembilan.

UPU Teluk Jering – Rantau Panjang dan Sabah, UPU Telaga Bata – Jeli, UPU Bendang Pak Yong – Kuala Krai, Bachok dan Perlis manakala UPU Kedai Geting - Gua Musang dan Kedah. - HARAKAHDAILY 9/9/2014

Sumber HD - 9-9-2014 

Dewan Muslimat rakam penghargaan PAS Tanding Kerusi PRK Pengkalan Kubor

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan,mengucapkan setinggi tinggi syukur kepada Allah SubhanahuWaTaala,dan penghargaan yang tinggi kepada Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail diatas sifat jiwa besar,keperihatinan yang tinggi menjiwai denyut nadi dan kehendak pengundi Pengkalan Kubur dimana laluan telah diberi kepada PAS untuk bertanding menentang umno di PRK Pengkang Kubor.


Cetusan awal dari Dewan Muslimat untuk kerusi Pengkalan Kubor dipertimbangkan oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk diberi kepada PAS telah disambut oleh Kak Wan selaku Presiden PKR dengan penuh lapang dada, jiwa besar dan kasih sayang.


InsyaAllah Dewan Muslimat PAS bersama seluruh pimpinan dan jentera muslimat serta Wanita Pakatan dari PKR dan DAP seluruh negara akan mengembelingkan seluruh tenaga untuk berhadapan dengan UMNO secara lebih berkesan utuh dan sepakat untuk memastikan kerusi Pengkalan Kubor kita menangi.


Semoga sikap keterbukaan semua pihak, lapang dada, bertolak ansur, kasih sayang dan saling maaf memaafi antara kita, Pakatan Rakyat akan lebih mantap, terus utuh. InsyaAllah semoga kerusi Pengkalan Kubor dapat kita tawan kembali, kemelut MB Selangor dapat dileraikan, Kekuatan Pakatan Rakyat diperteguhkan.


Siti Zailah binti Mohd Yusoff
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan

Sumber FBPP - 9-9-2014

Pengkalan Kubor: Wanita PKR bantu calon PAS

ASLANI M | .
KOTA BHARU: Biar pun Dun Pengkalan Kubor ditandingi PAS, namun wanita PKR tetap turun padang berkempen dalam misi menafikan kekuatan Umno di Dun berkenaan.

Ketuanya, Noraini Husin berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menggerakkan jentera kempen bagi membantu calon PAS.

“Kami tetap akan terus mara dengan menawarkan tenaga untuk membantu segala gerak kerja yang dirancang demi perpaduan yang telah lama terjalin.

“Satu-satunya musuh utama Pakatan Rakyat ialah Umno dan BN. Jadi tugas utama yang turut dipikul Wanita PKR ialah untuk menewaskan musuh itu,” katanya di sini.

Sehubungan itu kata beliau Wanita PKR Kelantan sebulat suara menyokong keputusan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail memberi laluan kepada calon PAS di Pengkalan Kubor.

“Saya mewakili seluruh Wanita PKR Kelantan menegaskan bahawa kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat ini dan memastikan Pakatan Rakyat berjaya bagi membawa harapan baru kepada negara,” katanya.

Sebelum ini pada pilihan raya umum 2013 dan 2008 kerusi Dun Pengkalan Kubor ditandingi calon PKR.

Pada pilihan raya umum tahun lepas Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN mempertahankan kerusi tersebut sejak PRU 2004. - HARAKAHDAILY 9/9/2014

Sumber HD - 9-9-2014

Pengkalan Kubor: SPR sahkan tiga borang dibeli

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan penggunaan aset milik kerajaan untuk berkempen pada mana-mana pilihan raya tidak boleh sama sekali.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, penggunaan aset kerajaan boleh dikecualikan apabila meminta izin dengan syarat membayar sewa dengan disokong Penasihat Undang-Undang.

“Peraturan itu juga digunapakai pada mana-mana pilihan raya kecil,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi hormat Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakub di Kota Darulnaim hari ini.

Ditanya mengenai pilihan raya kecil Pengkalan Kubor, beliau berkata, setakat ini hanya tiga borang pencalonan dibeli seseorang.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak mengetahui orang yang membeli borang mewakili parti mana.

Abdul Aziz juga mahu menjadikan PRK Pengkalan Kubor sebagai contoh kempen pilihan raya kecil paling harmoni selepas PRK Balingian, Sarawak.

PRK tersebut diadakan berikutan pengosongan kerusi oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selepas dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Pilihan raya tersebut diadakan pada 25 Mac lalu. BN mengekalkan kerusi Dun Balingian dengan majoriti 6,911 undi apabila calonnya, Yussibnosh Balo mendapat 8,194 undi manakala calon PKR, Abdul Jalil Bujang memperoleh 1,283 undi.

Oleh itu Abdul Aziz berharap mana-mana parti yang bertanding di PRK Pengkalan Kubor hendaklah mengikut garis panduan undang-undang SPR.

“Saya harap tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini pada PRK Pengkalan Kubur dan diharap ia berjalan dengan baik bermula hari penamaan calon sehingga tengah malam hari pengundian.

“Elak berlakunya kejadian provokasi, baling membaling, cacian atau membawa pembesar suara di tempat penamaan calon,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada Abdul Aziz kerana mengunjunginya untuk berbincang khususnya berkaitan PRK Pengkalan Kubor. - HARAKAHDAILY 9/9/2014

Sumber HD - 9-9-2014

'Semoga kerusi Pengkalan Kubor dapat kita tawan'

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: "Insya Allah, semoga kerusi Pengkalan Kubor dapat kita tawan kembali, kemelut MB Selangor dapat dileraikan," ujar Siti Zailah Mohd Yusoff.

Justeru, katanya Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah Taala dan penghargaan yang tinggi kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di atas sifat jiwa besar, keprihatinan yang tinggi menjiwai denyut nadi dan kehendak pengundi Pengkalan Kubur di mana laluan telah diberi kepada PAS untuk bertanding menentang Umno BN pada PRK Pengkalan Kubor.

Selaku ketua kedua-dua dewan itu, katanya cetusan awal daripada Dewan Muslimat untuk kerusi Pengkalan Kubor dipertimbangkan oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk diberi kepada PAS telah disambut oleh Wan Azizah selaku Presiden PKR dengan penuh lapang dada, jiwa besar dan kasih sayang.

"Insya Allah Dewan Muslimat PAS bersama seluruh pimpinan dan jentera muslimat serta Wanita Pakatan dari PKR dan DAP seluruh negara akan menggemblengkan seluruh tenaga untuk berhadapan dengan Umno secara lebih berkesan utuh dan sepakat untuk memastikan kerusi Pengkalan Kubur kita menangi," ujarnya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berharap semoga sikap keterbukaan semua pihak, lapang dada, bertolak ansur, kasih sayang dan saling maaf memaafi, Pakatan Rakyat akan lebih mantap dan terus utuh. - HARAKAHDAILY 9/9/2014



Sumber HD - 9-9-2014

Serah Pengkalan Kubor cetus kekuatan baru PR

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata penyerahan semula Dun N1 Pengkalan Kubor oleh PKR kepada PAS petanda kekuatan baru Pakatan Rakyat akan bermula.

Penyerahan semula Dun berkenaan kepada PAS setelah dua penggal diberikan kepada calon PKR ujarnya, telah membangkitkan semula semangat juang PAS untuk memperkukuh Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar Kelantan turut mengucapkan terima kasih kepada PKR di atas laluan yang diberikan kepada PAS.

Katanya, dengan perpaduan yang dicapai bersama melalui PRK Pengkalan Kubor, Dun ini akan dapat diambil semula.

“Ucapan penghargaan dari kami PAS Kelantan dan terima kasih di atas laluan itu,”ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini memaklumkan parti itu memutuskan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Pengkalan Kubor pada PRK 25 September ini.

Menurutnya, ia sebagai mengambil kira perlunya parti-parti Pakatan Rakyat bertolak ansur, memahami dan berjiwa besar demi kesepakatan menentang Umno BN.

- HARAKAHDAILY 9/9/2014

Sumber HD - 9-9-2014

PAS Kelantan harap PKR beri sokongan penuh

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS Kelantan mengharapkan sokongan penuh daripada PKR untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor yang akan ditandingi parti Islam itu nanti.


Menurut Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, sokongan itu penting bagi membolehkan Pakatan Rakyat mengambil kembali kerusi yang dimenangi Umno itu.

“Terima kasih kepada mereka (PKR), kerana beri laluan (kepada PAS).

"Kita juga berharap akan mendapat sokongan penuhlah dari PKR untuk kemenangan PR di sana,” katanya dipetik Sinar Harian.

PKR hari ini memutuskan memberi laluan kepada PAS bertanding di kerusi Pengkalan Kubor pada pilihan raya kecil (PRK) Dun itu hujung bulan ini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat demi kesepakatan menentang Umno BN.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu calon PKR Saharun Ibrahim tewas kepada calon BN Datuk Noor Zahidi Omar dengan majoriti 1,736 undi.

Noor Zahidi bagaimanapun meninggal dunia 20 Ogos lalu akibat kanser hati.

Berikutan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 13 September manakala pengundian pada 25 September.

- HARAKAHDAILY 9/9/2014

Sumber HD - 9-9-2014

PKR beri PAS tanding di Pengkalan Kubor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PKR hari ini memutuskan memberi laluan kepada PAS bertanding di kerusi Pengkalan Kubor pada pilihan raya kecil (PRK) Dun itu kali ini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat demi kesepakatan menentang Umno BN.

Menurutnya untuk berhadapan dengan Umno BN secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat perlu dipertahankan.

"PKR telah memutuskan untuk memberi laluan kepada calon PAS bertanding di Pilihanraya Kecil Pengkalan Kubur mengambil kira perlunya sesama kita ini bertolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar," katanya dalam satu kenyataan.

Kerusi Pengkalan Kubor sebelum ini ditandingi PKR.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu calon PKR Saharun Ibrahim tewas kepada calon BN Datuk Noor Zahidi Omar dengan majoriti 1,736 undi.

Noor Zahidi bagaimanapun meninggal dunia 20 Ogos lalu akibat kanser hati.

Berikutan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 13 September manakala pengundian pada 25 September.

- HARAKAHDAILY 9/9/2014

Sumber HD - 9-9-2014

Jumlah undi PAS atasi BN di Pengkalan Kubor

ASLANI M | .

TUMPAT: Kata Pengerusi Umno Kelantan, Dun Pengkalan Kubor satu-satu Dun yang dimenangi BN, namun majoriti undi parlimen di Dun berkenaan dimenangi PAS.

“Dun Pengkalan Kubor satu-satunya Dun yang dimenangi BN tetapi kawasan parlimennya dimenangi PAS kerana rakyat Pengkalan Kubor undi BN bagi kawasan Dun tetapi parlimen mereka undi PAS,” kata Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program ziarah penduduk di sekitar Pengkalan Kubor di sini kelmarin.

Pada pilihan raya umum lepas jumlah undi yang diraih PAS bagi calon parlimen, Datuk Kamarudin Jaffar di Dun Pengkalan Kubor lebih 600 berbanding jumlah undi calon BN, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki.

Bagaimanapun pun majoriti undi peringkat Dun dimenangi calon BN, Datuk Noor Zahidi Omar dengan kelebihan 1,736 undi mengatasi Shaharun Ibrahim dari PKR.

Pengarah Pilihan Raya PAS Tumpat, Jamaludin Ishak berkata, calon PAS kerusi parlimen menang lebih 600 undi di Pengkalan Kubor pada pilihan raya umum lepas.

“Calon PAS peringkat parlimen mendapat lebih 1,000 undi berbanding jumlah undi bagi calon PKR peringkat Dun di Pengkalan Kubor pada pilihan raya umum tahun lepas,” katanya di sini.

Pakatan Rakyat difahamkan akan mengumumkan calon dalam misi merampas kerusi Dun Pengkalan Kubor pada malam 11 September ini di belakang Masjid as-Somadi Kampung Tebing.

Hari penamaan PRK tersebut pada 13 September, manakala hari mengundi 25 September ini. PRK tersebut diadakan berikuta kematian penyandangnya, Noor Zahidi akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.

Sementara itu Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim berkata, BN akan mengitar semula janji-janji lama bagi menarik simpati pengundi di sini.

“Pemimpin kerajaan pusat dan menteri acap kali berjanji hendak buat projek tebatan banjir Sungai Golok. Sudah lama menteri memberitahu projek tersebut hendak dilaksanakan.

“Namun sampai sekarang tidak menjadi kenyataan. Biasalah musim pilihan raya datang lagi janji projek itu,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS Tumpat.

Menurutnya banjir di Pengkalan Kubor tidak sama dengan tempat lain kerana air melimpah sampai dua minggu.

“Sekarang mereka datang lagi dengan janji lama dan bukan idea baru. Begitu juga jambatan menghubungkan Pengkalan Kubor-Tak Bai sebelum ini sudah acap kali disebut hendak dibina,” katanya. - HARAKAHDAILY 8/9/2014

Sumber HD - 8-9-2014

Siapapun calon, yang penting Umno ditewaskan

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Pemuda Pakatan Rakyat tidak mahu isu calon pada Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor menjadi masalah kepada kerjasama antara PKR dan PAS.

Bagi mereka, parti mana sekalipun yang dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk bertanding di situ, mereka akan memberi sokongan penuh.

Penegasan itu dibuat Timbalan Ketua AMK Pusat, Dr Afif Baharuddin ketika mengunjungi Pemuda PAS Kelantan semalam.

"Soal calon yang bakal bertanding sama ada dari PAS atau PKR tidak penting, kerana sasaran sebenar yang perlu dikalahkan ialah Umno dan BN.

“Saya yakin majlis pimpinan Pakatan Rakyat, Majlis Presiden akan membuat keputusan yang terbaik demi memastikan kemenangan calon Pakatan pada PRK nanti,” ujarnya.

Kunjungan beliau semalam disambut oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari di pejabat dewan itu, di Syabab Point.

Hadir sama, timbalannya Ustaz Hafiz Musa, Naib Ketua Pemuda, Ustaz Asri Daud serta kepimpinan pemuda peringkat negeri.

“Kerjasama erat yang akan diberikan baik dari AMK atau Pemuda PAS bagi memastikan seleruh jentera pemuda di kalangan kami turun untuk kemenangan di Pengkalan Kubor,

“Kita juga akan hadapi beberapa cabaran bersama, itu tugas kami untuk mengatasinya,” ujar Afif lagi.

Menurutnya lagi, Pemuda Pakatan Rakyat begitu komited untuk memastikan kerajaan BN dan Umno dapat ditukar dalam PRU akan datang dan Pengkalan Kubor sebagai pandu arahnya.

Tujuan pertemuan itu juga katanya untuk menyatakan komitman sebagai anggota pemuda, di mana siapa pun calon dikemukakan ia calon PR dipihak angkatan muda tetap akan bekerjasama.

- HARAKAHDAILY 5/9/2014

Sumber HD - 5-9-2014

Pengundi Siam makin ramai sokong Pakatan

ASLANI M | .



TUMPAT: Peti undi Jubakar Darat yang mana kesemuanya didominasi pengundi masyarakat Siam menjadi taruhan kepada BN apabila menguasai 90 peratus jumlah undi pada pilihan raya umum (RU) lalu.

Pada PRU itu BN menang di tujuh peti undi, manakala Pakatan Rakyat melalui PKR mengatasi BN di empat peti undi iaitu Ketil, Tebing, Geting dan Telaga Bata.

Bagaimanapun bagi Penghulu Mukim Mertua, E Chin perubahan pola pengundian akan berlaku pada masa akan datang apabila generasi lama pengundi Siam semakin mengecil.

Katanya, sebahagian besar undi kepada Pakatan pada pilihan raya umum lalu disumbang kalangan pengundi muda di peti undi masyarakat Siam.

“Golongan tua masyarakat Siam tidak terdedah kepada perkembangan semasa yang berlaku dalam dan luar negara. Kalau tengok televisyen pun mereka lebih berminat menonton saluran tv Siam dipacar dari Thailand.

“Memandangkan kedudukan bersempadan dengan Thailand siaran dari negara jiran itu lebih mudah didapati,” katanya ketika ditemui di sini.

Hujah itu disokong Penghulu I Chan dari Jubakar Darat yang menyifatkan masyarakat Siam menjadi penyumbang kepada kemenangan BN di Pengkalan Kubor sejak tiga penggal lalu.

Sedangkan kata beliau kerajaan negeri banyak membantu masyarakat Siam di mana sehingga sekarang lebih 70 penduduk Siam yang meninggal dunia mendapat manfaat Skim Takaful Kifaalah sebanyak RM1,500 setiap keluarga.

“Jumlah itu jauh lebih besar berbanding dua kg gula diberi pemimpin Umno ketika mereka berkempen di perkampungan Siam di sini setiap kali menjelang pilihan raya.

“Selain itu lebih 80 penduduk Siam yang miskin menerima bantuan beras di bawah skim al-Itaam sebanyak 10 kg setiap bulan daripada kerajaan negeri.

“Bantuan tersebut belum termasuk peruntukan bagi membaiki rumah dan saluran paip air yang disalurkan ke rumah-rumah penduduk,” katanya.

Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim pula berkata, jumlah undi masyarakat Siam di Jubakar Darat kepada calon Pakatan bertambah setiap kali pilihan raya, namun peningkatannya agak kecil.

Menurutnya, masyarakat Siam yang tinggal di beberapa kampung di sini kurang mendapat maklumat mengenai kerajaan negeri.

“Tidak ramai kalangan mereka tahu kerajaan negeri sudah meluluskan geran milik tanah Wat Machimaran, sedangkan perkara itu tidak dipertimbangkan semasa di bawah kerajaan BN.

“Ini sesuatu yang cukup besar kepada masyarakat Siam apabila wat milik mereka mempunyai surat hak milik yang diwartakan kerajaan negeri,” ujarnya.

Selain Jubakar Darat penduduk Siam ramai tinggal di Kampung Tual, Kubang Bemban, Pulau Ular, Kubang Panjang dan Chenderong.

Timbalan Ketua Cabang PKR Tumpat, Abdul Razak Samad berkata, penduduk Siam tidak mengambil kira sangat perkembangan semasa biar pun setiap kali musim tengkujuh kampung mereka di Mertua sering ditenggelami banjir. - HARAKAHDAILY 4/9/2014

Sumber HD - 4-9-2014

Pengkalan Kubor: PAS, PKR Kelantan bincang hati ke hati

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan menentukan parti mana yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor sama ada daripada PAS atau PKR.


Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perbincangan dari hati ke hati antara PAS Kelantan dengan PKR diadakan secara tertutup malam tadi.

Katanya, keputusan diambil bagi mengangkat nama calon yang bakal bertanding ke Majlis Presiden.

“Kita akan menyerah keputusan calon yang bakal bertanding di Pengkalan Kubor kepada Majlis Presiden,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pembinaan asrama Kolej Islam Antrabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri, hari ini.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Mohd Amar yang juga pengerusi jawatankuasa rundingan calon Pengkalan Kubor bagi pihak PAS berkata, perbincangan diadakan dalam suasana harmoni.

Ketika ditanya kemungkinan kemenangan tipis sekiranya PKR bertanding, beliau berkata, ia belum dapat dipastikan lagi kerana masih terlalu awal.

Bagaimanapun Mohd Amar menjelaskan setiap keputusan yang diambil Majlis Presiden akan diterima baik PAS Kelantan. - HARAKAHDAILY 2/9/2014

Sumber HD - 2-9-2014

Tiada perubahan ketara 3 penggal di bawah BN

ASLANI M | .



TUMPAT: Biar pun Umno menganggap Pengkalan Kubor sebagai kubu mereka, namun bagi penduduk tempatan tidak banyak yang mampu dibangga selepas tiga penggal berada di bawah BN.


Seorang penduduk, Wan Akbar Wan Abdullah Alimin berkata, hanya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dapat dilihat selepas tiga penggal dikuasai BN.

Katanya, projek tersebut pun khabarnya ada kaitan secara tidak langsung dengan syarikat dimiliki pemimpin Umno Tumpat.

“Kewujudan MRSM ada kontorversi pada peringkat awal pembinaannya,” kata beliau ketika ditemui di sini.

Media pernah melaporkan syarikat yang terbabit membina sekolah berasrama itu mengorek pasir di Pantai Geting untuk ditimbunkan di tapak pembinaan.

Tapak MRSM asalnya kawasan berpaya sebelum ditimbuskan pasir yang disedut daripada tempat perkelahan tersebut.

Ekoran itu pada Disember 2006 kira-kira 300 penduduk berhimpun membuat bantahan tidak jauh dari tempat pasir dikorek.

Wan Akbar juga berkata, sebahagian besar projek pembangunan yang terdapat di sini diusahakan Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Katanya, MDT mewujudkan prasarana lebih selesa di Pantai Sri Tujuh termasuk menyediakan dewan dan bangunan madrasah setinggi dua tingkat.

“Difahamkan kira-kira RM10 juta dibelanjakan MDT bagi meningkatkan prasarana di Pantai Sri Tujuh Resort yang menjadi tumpuan ramai sekarang,” ujarnya.

Penduduk Kampung Tebing, Razali Wan Min, 67 pula berkata, ramai warga emas terutamanya nelayan di sini masih ingat lagi jasa bekas wakil rakyat PAS Allahyarham Wan Abdullah Alimin.

Beliau berkata, wakil rakyat PAS itu berjasa besar kepada nelayan di Pengkalan Kubor apabila menubuh persatuan nelayan.

“Sebelum adanya persatuan nelayan, pemasaran ikan dikuasai tauke Cina. Tauke membayar dengan harga tidak sepandan dengan keringat nelayan,” katanya.

Menurutnya selepas kewujudan Persatuan Nelayan Pengkalan Kubur pendapatan nelayan meningkat kerana tiada lagi orang tengah yang mengambil kesempatan. - HARAKAHDAILY 2/9/2014

Sumber HD - 2-9-2014

PRK Pengkalan Kubor: Pengundian 25 September

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor ditetapkan pada 25 September ini.

Manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 13 September dan hari pengundian awal ialah pada 21 September.

Penetapan itu dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diumumkan hari ini.

Ini bermakna, tempoh berkempen bagi semua parti-parti bertanding adalah selama 12 hari.

Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

- HARAKAHDAILY 29/8/2014

Sumber HD - 29-8-2014

PKR senarai pendek nama calon Pengkalan Kubor

ASLANI M | .

TUMPAT: PKR sudah menyenarai pendek nama-nama calon yang akan mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor tidak lama lagi.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Ab Kadir berkata, nama-nama tersebut sudah disenarai pendek untuk diserah kepada pucuk pimpinan bagi dipertimbangkan.

“Apa yang pasti nama-nama terbabit merupakan anak-anak tempatan Tumpat termasuk ada tokoh berpangkat Datuk. Kita pastikan mereka dikenali penduduk tempatan,” katanya di sini.

Malam tadi, PKR negeri mengadakan pertemuan dengan jentera PKR Tumpat di sini bagi membuat persiapan awal menghadapi pilihan raya.

Manakala PAS pula sudah membuat persiapan akhir sebelum membuka markas besar di Kampung Geting. Ketika tinjauan petang semalam petugas-petugas sedang menaikkan sepanduk di markas terbabit.

Pusat Khidmat Penyelia Dun Pengkalan Kubor juga mulai sibuk dengan kedatangan petugas kawasan-kawasan lain di Kelantan termasuk dari Pasir Puteh diketuai setiausahanya, Drs Zainuddin Awang Hamat.

PRK Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar di China pada 20 Ogos lalu. Beliau menang tiga penggal di Dun berkenaan.

Abdul Aziz juga berkata, biar pun PKR tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi berbanding PAS, namun kerjasama padu Pakatan diharap mampu dalam misi merampas semula Dun berkenaan.

Menurutnya juga PKR menghormati pandangan rakan-rakan di Kelantan yang melihat kemampuan jentera PAS bagi merampas Dun Pengkalan Kubor.

“Biar pun ada suara-suara dalam kalangan muslimat dan pemuda negeri mahu Dun terbabit dikembalikan kepada PAS, namun ia dianggap sebagai proses dalam politik,” katanya. - HARAKAHDAILY 28/8/2014

Sumber HD - 28-8-2014

PAS pernah menang PRK Pengkalan Kubor 1972

ASLANI M | .
TUMPAT: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor sebenarnya pernah menghadapi pilihan raya kecil (PRK) pada 1972 berikutan kematian wakil rakyat, Wan Abdullah Alimin Wan Sulaiman.

Adun PAS terbabit menang pada pilihan raya umum 1969 mengatasi calon Perikatan, Che Abdul Rahman Che Omar dengan majoriti 829 undi. Ketika itu Dun Pengkalan Kubor dikenali sebagai Tumpat Barat.

Wan Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung. PAS melalui calonnya, Wan Ismail berjaya mengekalkan kerusi tersebut pada PRK yang diadakan.

PAS bertapak di Dun Tumpat Barat sejak pilihan raya umum (PRU) pertama pada 1959 apabila calonnya Tuan Guru Haji Daud Yusof menang dengan majoriti 2,043 mengatasi calon BN, Osman Mohd Uddin.

Haji Daud sekali lagi menang pada PRU 1964 dengan majoriti lebih besar iaitu 3,191 undi menewaskan calon Perikatan, Mohamad Musa. Haji Daud ialah bapa kepada anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Nassuruddin Daud.

Pengarah Jawatankuasa Khas N01 Pengkalan Kubor, Jamaluddin Ishak (gambar) berkata, BN hanya dapat merampas Dun berkenaan pada pilihan raya 1978 selepas Mageran berlaku di Kelantan.

Katanya, pada PRU tersebut calon PAS, Husin Abdullah berdepan dengan calon Berjasa yang berganding dengan BN, Tahir Abdul Aziz. Tahir juga menang pada PRU 1982.

“Pada PRU 1986 BN melalui Mat Nawawi Mat Jusoh mengekalkan kerusi tersebut yang dikenali sebagai Dun Simpangan,” katanya di sini.

Seorang penduduk, Razali Wan Min, 67 dari Kampung Tebing, Pengkalan Kubor berkata, Allahyarham Wan Abdullah berjasa besar kepada nelayan di Pengkalan Kubor apabila berjaya menubuh persatuan nelayan.

“Sebelum adanya persatuan nelayan, pemasaran ikan dikuasai tauke Cina. Tauke membayar dengan harga tidak sepandan dengan keringat nelayan.

“Disebabkan masalah tersebut arwah berusaha mewujudkan persatuan nelayan bagi memasarkan ikan-ikan didaratkan nelayan-nelayan tempatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya selepas kewujudan Persatuan Nelayan Pengkalan Kubur perniagaan tauke Cina terbabit terjejas teruk. - HARAKAHDAILY 28/8/2014

Sumber HD - 28-8-2014

Pemuda PAS, AMK gading bahu di Pengkalan Kubor

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda Keadilan Kota Bharu menyokong sesiapa sahaja yang bakal bertanding pada pilihian raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor tidak lama lagi.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang bakal dicalonkan pada PRK itu
demi perpaduan Pakatan Rakyat.

“Kami menyedari musuh sebenar Pakatan Rakyat ialah Umno dan BN. Apa yang penting kita mahu merampas Dun berkenaan daripada BN,” katanya di sini.

PRK Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar akibat barah hati di China pada 20 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum lepas Noor Zahidi mengatasi calon PKR, Saharun Ibrahim dengan majoriti 1,736 undi.

Ahmad Fadhli juga berkata, berdasar tinjauan awal pemuda negeri ke Pengkalan Kubor didapati peluang cerah untuk merampas semula Dun berkenaan.

Ketua Cabang AMK Kota Bharu, Roslan Ismail pula berkata, pihaknya akan bekerja keras bagi menghadapi musuh sebenar Pakatan Rakyat iaitu Umno dan BN.

Menurut beliau AMK Kota Bharu bersama AMK negeri akan turun ke bawah bagi membantu calon yang akan bertanding.

“Kami bersedia untuk berganding bahu bersama untuk membantu calon Pakatan bagi merampas Dun terbabit,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 28/8/2014

Sumber HD - 28-8-2014

PRK Pengkalan Kubor: Masa terbaik tuntut janji BN

SALMAH MAT HUSAIN | .
TUMPAT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor menjadi masa terbaik bagi penduduk di Dun terbabit menuntut kerajaan BN menunaikan janji membina tebatan banjir yang sudah diabaikan.

Setiausaha Pertubuhan R Kelantan, Muhammad Hisyamuddin Ghazali berkata, tidak lama lagi penduduk Pengkalan Kubor bakal berhadapan dengan musim tengkujuh.

Katanya, projek tebatan banjir sudah lama dijanjikan, namun sehingga sekarang tidak menjadi kenyataan.

“Sedangkan setiap kali musim tengkujuh banjir melanda Pengkalan Kubor. Sedangkan di sebelah Thailand tebatan banjir sudah lama dibina,” katanya di sini.

PRK Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian Adunnya, Datuk Noor Zahidi Omar ketika menjalani rawatan di China pada 20 Ogos lalu.

Hisyamuddin berkata, projek tebatan banjir juga boleh mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan apabila dibangunkan secara sistematik.

Menurutnya juga Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) perlu menimbangkan semula cadangan membina jambatan menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Tak Bai (Thailand).

Kata beliau Ecer sepatutnya berperanan menumpukan pembangunan di Kelantan dan bukan hanya memfokus projek di Terengganu, Pahang dan Mersing sahaja.

Malah katanya, pantai Tumpat amat wajar diwujudkan terminal bagi mendaratkan gas dari North Malay Basin dari perairan Kelantan.

“R yakin dengan adanya PRK Pengkalan Kubor kerajaan pusat dan negeri tentunya akan mengambil perhatian bagi membangunkan pekan tersebut,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 27/8/2014

Sumber HD - 27-8-2014

PRK Pengkalan Kubor diharap perkukuh kembali Pakatan

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .


Tuan Ibrahim meletakkan batu bata sebagai simbolik upacara perasmian pecah tanah Komtaq.


TEMERLOH: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor akan datang dapat memperkukuhkan kembali gabungan Pakatan Rakyat (PR).

“Mutakhir ini banyak isu-isu tercetus yang melibatkan masalah dalaman sesama gabungan PR sehingga harus diperkukuhkan kembali.

“Jadi dalam PRK ini biasanya semua pihak (dalam PR) akan buat tumpuan. Kita harapkan dengan tumpuan itu isu soal titik bengik yang berlaku itu kita boleh atasi dan bersatu semula, insya Allah mudah-mudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian pecah tanah dan peletakan batu asas Kompleks Tahfiz Al-Quran dan Anak Yatim Al-Qardhawi (Komtaq) di Kampung Kuala Kerdau, dekat sini semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, pada asasnya Pengkalan Kubor adalah kerusi milik PKR, bagaimanapun yang lebih penting PR menang kerusi tersebut dan PAS sendiri melalui jabatan pilihan rayanya akan turun membuat kajian ke arah kemenangan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang kepada Komtaq. Sebahagian daripada mereka datang dari Selangor dan 10 buah bas.

Komtaq yang terletak di atas tanah seluas tujuh ekar hasil wakaf penduduk, dipengerusikan oleh Ustaz Kamal Ashaari.

Pada masa ini sedang dibangunkan pembinaan masjid. Kemudiannya akan dibina pula kompleks pendidikan, asrama pelajar dan kuarters guru yang apabila siap dianggarkan bernilai RM4 juta. - HARAKAHDAILY 25/8/2014

Sumber HD - 25-8-2014

Pengkalan Kubor: PAS-PKR bincang parti boleh menang

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Faktor 'boleh menang' menjadi keutamaan dalam menentukan parti mana yang akan bertanding mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali berkata, parti itu akan berbincang dengan PKR dalam menentukan perkara itu.

"Kalau apa-apa tentang PRK ini ia perlu merancang, PKR kena bincang dengan PAS. Biasanya dalam pilihanraya kita hendak menang, jadi 'winnability' ini salah satu faktor.

"Perlu dua-dua berbincang untuk mencari kata sepakat yang terbaik untuk kita mencapai kemenangan pada pilihanraya kecil ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat PAS Pusat di pejabat agung parti itu pagi ini.

Mustafa ditanya tentang calon kerusi dun itu, sama ada PAS akan bertanding di kerusi yang diwakili PKR itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Kata beliau, dalam kaedah yang biasa parti yang telah bertanding pada pilihanraya umum akan bertanding pada pilihanraya kecil.

"Tetapi tidak semestinya terikat begitu, kalau ada keputusan baru yang dibuat berdasarkan faktor yang saya sebut tadi 'winnability', ia akan diambil kira dan ia masih boleh bincang lagi," sambung beliau.

Kerusi Dun N1 Pengkalan Kubor menjadi kosong apabila penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia di Ghuangzhou, China ketika mendapatkan rawatan perubat akbibat kanser Rabu lalu.

Allahyarham Noor Zahidi pada PRU13 lalu memperolehi majoriti 1,763 undi dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon dari Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

- HARAKAHDAILY 25/8/2014

Sumber HD - 25-8-2014

Boleh cadang PAS bertanding PRK Pengkalan Kubor


SALMAH MAT HUSAIN | .


KOTA BHARU: PAS Kelantan menerima cadangan anggota parti di peringkat Unit Peti Undi (UPU) dan Dun Pengkalan Kubor supaya mengembalikan calon PAS di situ pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata aduan itu diterima selepas calon-calon PKR tidak berjaya mencapai kemenangan.

“Aduan dan rayuan itu diterima pihak parti selepas PRU lalu dan sewaktu itu dan kinipun sikap kita masih di peringkat menerima aduan sahaja,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek kepada Pondok Mahmudiah Beta Hilir, dekat sini petang semalam.

Kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM15,000 kepada pondok berkenaan untuk menyiapkan bangunan baru yang bernilai RM1.2 juta.

Sumbangan berkenaan diterima mudir pondok berkenaan, Ustaz Jalaluddin As-Sayuti.

Jalaluddin merupakan anak kepada pengasas pondok tersebut Allahyarham Tuan Guru Muhammad Mahmudiah.

Menyentuh cadangan Dewan Pemuda dan Muslimat negeri meminta supaya calon daripada PAS pada PRK Pengkalan Kubor, Ustaz Ahmad hanya berkata, ia boleh dicadangkan.

“Ya, dewan-dewan boleh cadang, boleh tak ada masalah,” ujarnya.

Kelmarin, Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan menuntut supaya calon PRK Pengkalan Kubor dikembalikan kepada PAS berikutan calon PKR sebelum ini tidak berjaya merebut kerusi tersebut yang berpotensi untuk dimenangi. - HARAKAHDAILY 25/8/2014

Sumber HD - 25-8-2014

Kejutan di Teluk Intan bakal berulang di Pengkalan Kubor

M FAQIH | .


NOOR Zahidi Omar biar pun tinggal di Pasir Pekan dan Kuala Lumpur, namun diterima baik penduduk di Pengkalan Kubor. Buktinya sejak tiga penggal lalu kawasan itu didominasinya.

Noor Zahidi muncul menggantikan Mat Nawawi Mat Jusoh. Cikgu Mat Nawawi pun pernah menang dua kali di kerusi Pengkalan Kubor.

Kali pertama Cikgu Mat menang pada PRU 1995 menewaskan calon Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), Wan Abdul Rahman Wan Salleh.

Sebelum itu pada PRU 1990 Timbalan Presiden Hamim, Datuk Nik Man Nik Mohammad menang ketika mewakili Angkatan Perpaduan Ummah.

Beliau bertanding menggunakan lambang Semangat 46. Pada PRU tersebut Dun berkenaan dikenali sebagai Geting.

Kali kedua Cikgu Mat menang pada PRU 2004 apabila mengatasi calon PAS, Wan Husain Wan Ahmad dengan majoriti 714 undi.

Sedangkan pada PRU 1999 Tok Imam Wan Husain menang dengan majoriti 2,432 undi mengatasi Cikgu Mat.

Cikgu Mat dan Noor Zahidi pernah berketuakan Datuk Kamarudin Jaffar (KJ) di bahagian Tumpat. Kamaruddin menyertai PAS menjelang PRU 1999.

Semua orang tahu Datuk KJ rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka sama-sama menjadi pengasas Abim.

Nama KJ sangat akrab dengan penduduk Tumpat. Boleh dikatakan hampir serupa dengan Noor Zahidi di Pengkalan Kubur.

Kini Noor Zahidi, Cikgu Mat dan Tok Imam Wan Hussin bukan lagi bersama dalam arus perjuangan, sebaliknya sudah pergi meninggalkan kita.

Cikgu Mat menang dengan agak bergaya pada PRU 1995 dengan majoriti 1,289 mengatasi Wan Abdul Rahman.

Sebaliknya pada PRU 2004 beliau boleh dikatakan bergantung kepada nasib apabila mengatasi Tok Imam Wan Hussin dengan majoriti 714 undi.

Cikgu Mat dua penggal bergelar YB Pengkalan Kubur, dan Noor Zahidi pula tiga penggal.

Berdasar kronologi tersebut PAS mungkin tidak boleh menganggap Pengkalan Kubur menjadi medan tradisi mereka. Ketika era kerajaan Membangun Bersama Islam (1990-an sehingga sekarang) kerusi itu sering bertukar ganti.

PAS hanya bertanding pada PRU 1999 dan PRU 2004. Sebelum itu Hamim menggunakan tiket Semangat 46. Dan PRU 2008 kerusi itu berpindah pula kepada PKR.

PKR hampir-hampir membuat kejutan apabila calonnya, Hasan Ibrahim hanya tewas dengan majoriti 100 undi kepada Noor Zahidi.

Merujuk senario di atas PAS hanya bertapak sepenggal di Pengkalan Kubur selepas dua kali mencuba. Hamim juga menang sekali dalam dua perlawanan.

Dan PKR belum merasai kemenangan dalam dua perlawanan di gelanggang yang sama.

Parti itu difahamkan mempunyai lebih 2,000 ahli berdaftar di Cabang Tumpat. Berbeza dengan kekuatan akar umbi PAS.

Pada persaingan kali ini tentunya keadaan rumit kerana berlangsung di pentas PRK. Umno dan BN mendapat laluan lebih mudah kerana dibantu jentera kerajaan pusat.

Bagaimanapun pertembungan tersebut menjadi lebih sengit sekiranya calon ditampilkan kedua-dua pihak daripada kategori “heavyweight”.

Umno juga kekurangan calon tempatan yang mampu diketengahkan dalam misi mempertahankan Dun Pengkalan Kubor.

Pilihan yang ada mungkin Senator Datuk Dr Asraf Wajdi Ahmad Dusuki. Beliau merupakan anak jati Tumpat.

Tokoh itu sedang dijulang di era Najib. Bayangannya juga sudah dinyatakan Timbalan Pengerusi Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau menyebut Umno mungkin menampilkan calon muda.

Gambaran diberi semakin mendekati anak veteran Umno Tumpat, Datuk Dusuki Ahmad.

PKR juga perlu tampil calon dari senarai nama-nama besar. Episod yang berlaku terhadap DAP menonjolkan Dyana Sofya menentang heavyweight Gerakan, Datuk Mah Siew Keong di Teluk Intan boleh menjadi ingatan.

Mungkin masa terbaik Datuk Saifuddin Nasution Ismail kembali semula ke Kelantan. Saifuddin pernah membuat kejutan di Lunas pada 2000 apabila menang pada PRK tersebut.

Saifuddin memperoleh 10,511 undi manakala S. Anthonysamy daripada BN mendapat 9,981 undi. Calon bebas, N.Letchumanan, 46, hanya mendapat 50 undi. Saifuddin menang dengan 530 undi.

Dun Kelantan sekarang mempunyai 45 kerusi. BN diwakili 12 Adun, PKR (satu) dan PAS (32). Kejutan di Teluk Intan boleh berulang di Pengkalan Kubor. - HARAKAHDAILY 24/8/2014

Sumber HD - 24-8-2014

Pengkalan Kubor: Speaker serah surat kepada SPR

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan menerima sijil kematian Adun Pengkalan Kubor dikeluar Modern Special Hospital Guanzhong dan pengesahan pejabat Barisan Nasional (BN) Kelantan.

Datuk Abdullah Ya’kub berkata, surat pemakluman rasmi kematian Datuk Noor Zahidi Omar ditandatangani Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Alwi Che Ahmad diterima hari ini.

“Selain itu turut dikepil sijil kematian Adun berkenaan yang dikeluarkan The Modern Cancer Hospital Guangzhou tempat arwah menjalani rawatan sebelum ini,” katanya pada persidangan media di pejabatnya di sini, hari ini.

Allahyarham Noor Zahidi meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China pagi 20 Ogos lalu.

Jenazahnya tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada malam 22 Ogos.

“Oleh itu saya umumkan kekosongan kerusi N01 Dun Pengkalan Kubor dan surat rasmi kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai mengenai kekosongan kerusi tersebut akan diserah hari ini.

“Pegawai SPR Kelantan akan datang mengambil surat tersebut. Dan terserah kepada SPR menentukan tarikh pilihan raya dalam 60 hari bermula hari ini,” ujarnya.

Mengikut peraturan SPR pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas berlaku kekosongan kerusi Dun atau parlimen.

Malah Perkara 46 (5) Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan juga menjelaskan kekosongan kerusi Dun perlu diisi dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kerusi itu kosong.

Abdullah juga berkata, beliau bersama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pimpinan negeri turut menyambut ketibaan jenazah arwah Noor Zahidi di Pengkalan Chepa malam semalam.

“Saya mewakili Dun Kelantan merakam ucapan takziah kepada keluarga arwah Adun Pengkalan Kubor yang kembali ke rahmatullah pada 20 Ogos lalu,” katanya. - HARAKAHDAILY 24/8/2014

Sumber HD - 24-8-2014

PRK Pengkalan Kubor: Ujian di sebalik isu MB Selangor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N1 Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor, Kelantan adalah medan untuk Pakatan Rakyat menilai prestasi setelah terpaksa menghadapi liku konflik yang timbul dalam isu Menteri Besar Selangor.

Pengarah Jabatan Pilihanrayanya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, Pakatan Rakyat boleh menilai mood rakyat terhadap gabungan parti itu setelah sedikit tercalar akibat konflik yang timbul yang sehingga hari ini belum dapat diselesaikan secara keseluruhannya.

PKR juga, katanya boleh mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan parti itu kukuh dan sudah pulih daripada konflik serta tidak mempunyai perpecahan seperti yang digambarkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Kami berpandangan, pilihanraya kecil itu adalah satu medan penting untuk Pakatan Rakyat itu sendiri bagi memulihkan kembali imej di mata rakyat khususnya seterusnya meyakinkan mereka untuk terus bersama Pakatan Rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Pengkalan Kubor juga seharusnya menjadi gambaran kepada rakyat bahawasanya kerjasama Pakatan Rakyat sangat utuh dan akan terus dikekalkan bagi menghadapi seteru utama iaitu Barisan Nasional dan segala konflik yang timbul akan diselesaikan secara musyawarah.

Katanya lagi, Pakatan Rakyat perlu mengadaptasi semangat setiakawan mereka di Pengkalan Kubor dengan ketiga-tiga parti mengerah seluruh tenaga bagi mencapai matlamat untuk merampas kedudukan kerusi tersebut yang dimenangi oleh Barisan Nasional sebelum ini seterusnya memperteguhkan lagi kekuatan Pakatan Rakyat di negeri Kelantan.

"Bagi peringkat Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Perak, kami akan menunggu arahan yang dikeluarkan PAS dan sentiasa bersedia untuk mengerah tenaga bagi membantu gerak kerja pilihanraya walaupun kerusi tersebut ditandingi oleh PKR.

"Sebelum menerima arahan, kami akan mengarahkan seluruh jentera membuat persediaan dari pelbagai aspek dalam hasrat memenangkan Pakatan Rakyat," katanya. - HARAKAHDAILY 24/8/2014

Sumber HD - 24-8-2014

No comments:

Post a Comment