BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Monday, October 23, 2017

SPRM (JILID 2)






KUALA LUMPUR: Anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tiga yang lain ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah aktiviti perlombongan pasir haram.
Mereka dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada jam 9.30 pagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Ainna Sherina Saipolamin membenarkan SPRM menahan reman keempat-empat mereka sehingga 6 Disember ini.





































Mereka yang ditahan termasuklah dua pengarah syarikat, seorang pengurus tapak dan seorang eksekutif syarikat pengiklanan sedang disiasat di bawah Akta SPRM kerana didakwa merasuah pegawai kerajaan tempatan di Kajang pada 2014.


Menurut laporan Bernama sebelum ini, SPRM turut membekukan RM4 juta dalam beberapa akaun

bank milik syarikat itu.

Difahamkan, mereka yang ditahan petang semalam ialah dua pengarah syarikat melombong pasir bersama-sama seorang pekerja syarikat pengiklanan disyaki bersubahat dalam kegiatan itu.

“Semua mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap perlombongan pasir dan batu 

secara haram di lokasi di Kajang sejak 2014,” kata seorang sumber SPRM.



“Pasukan penyiasat memeriksa beberapa lori disyaki membawa pasir haram dalam satu operasi dilancarkan 10 pagi tadi dan beberapa akaun syarikat terbabit bernilai RM4 juta dibekukan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani turut mengesahkan tangkapan itu.

Menurut Simi, SPRM menjalankan operasi tersebut setelah mendapat aduan daripada orang ramai berhubung kegiatan mencuri pasir di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.-MYNEWSHUB.CC


Sumber TKO - 30-11-2017

SPRM Lapor Polis Dokumen Siasatan Bocor
Posted on Wednesday, November 29 @ 08:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=37047



SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes bekas Exco Negeri Johor yang disiasat pada awal tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, dokumen kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh telah diberikan kepada peguam bela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.
“Memandangkan kes melibatkan bekas Exco Negeri Johor masih dalam perbicaraan, maka SPRM khuatir pembocoran dokumen-dokumen tersebut akan mengganggu prosiding mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, SPRM akan membuat satu laporan polis berhubung pembocoran tersebut supaya mereka yang bertanggungjawab menularkan dokumen-dokumen itu diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, ingin ditegaskan, pembocoran kenyataan sedemikian adalah bersifat prejudis memandangkan kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah.
-Sinar Harian

Smber TKO - 29-11-2017

Adakah MB Johor terima RM12 juta?
Posted on Wednesday, November 29 @ 07:16:29 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=37043




Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor menggesa Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjelaskan sama ada beliau menerima RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan bumiputera kepada status bukan bumiputera.

Dalam satu kenyataan media bersama, enam pemimpin HARAPAN itu berkata, pengakuan perlu dibuat susulan sebuah laman web yang memuat naik dokumen yang didakwa dikaitkan dengan penyiasatan SPRM mengenai perkara berkenaan.

“Isu melibatkan pengubahan status lot perumahan bumiputera yang timbul telah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri BN pimpinan Khaled telah gagal untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Oleh itu, Pakatan Harapan Johor mendesak agar Khaled Nordin tampil ke hadapan dan menjawab persoalan ini dengan kadar segera tanpa berselindung,” petik kenyataan itu.


Ia ditandatangani oleh Pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Shahruddin Md Salleh; Pengerusi AMANAH Johor, Aminulhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim dan pemimpin DAP Johor, Liew Chin Tong.


  Tuduhan itu ditimbulkan oleh ADUN Senai Wong Shu Qi di Dewan Undangan Negeri Johor, semalam.

Wong berkata, bahawa sebuah laman web kononnya telah memuat naik kenyataan seorang saksi SPRM yang mengaitkan Khaled menerima suapan sebanyak RM12 juta untuk menukar status lot perumahan bumiputera.

Beliau kemudian menuntut supaya Khaled menjawab pertuduhan itu tetapi sebaliknya, dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan dan diarah keluar dewan.

Pada Mac lalu, exco kerajaan negeri Johor Datuk Abdul Latif Bandi ditahan dan didakwa sebulan kemudian atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

Sebelum itu, pada 25 Februari lalu, anak exco itu dan pegawai khas beliau ditahan oleh SPRM dalam satu serbuan.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Sebanyak 45 akaun bank milik bersama semua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan  pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes bekas exco itu di media sosial.


  Katanya, pihaknya memandang serius pembocoran itu dan akan membuat laporan polis supaya mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Malaysiakini juga telah menghubungi pegawai di pejabat menteri besar Johor dan masih menunggu penjelasannya berhubung dakwaan itu.

Setakat laporan ini ditulis, Khalid setakat ini belum bersuara terhadap kenyataan HARAPAN itu.
Bagaimanapun, satu NGO negeri Persatuan Pemikir Muda Johor menyifatkan tuduhan itu hanya “berdasarkan andaian semata-mata dengan ditambah rencah memuat naik sebuah lampiran pengakuan saksi kes tersebut”.

“Malangnya, ia hanya sehelai kertas yang tidak menyebut dan menyatakan apa-apa pun tentang penglibatan menteri besar Johor!” kata jurucakap persatuan itu Fikri Allaudin.

Sumber TKO - 29-11-2017


SPRM mohon bantuan UK siasat FIC beli hotel di London
Posted on Saturday, November 18 @ 17:27:13 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbuBakarMat

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36816



KOTA SAMARAHAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan Mutual Legal Assistance (MLA) dari United Kingdom berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, permohonan tersebut akan dilakukan menerusi Jabatan Peguam Negara.

“Berkenaan pembelian hotel di London, mungkin itu mengambil sedikit masa, malah kita juga telah berkomunikasi untuk dapatkan dan membuat permohonan bantuan MLA dengan pihak United Kingdom.

“Kita akan buat permohonan melalui Jabatan Peguam Negara dan insya Allah permohonan tersebut kita akan buat untuk dapatkan keterangan-keterangan yang berada di London, selepas itu barulah kita boleh lengkapkan siasatan melibatkan pembelian hotel di United Kingdom,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (Pemarah) Borneo 3.0 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini.

Mengulas pembelian sebuah hotel oleh FIC di Kuching, Dzulkifli berkata, siasatan kes itu berada di peringkat akhir.

Sementara itu, berkenaan senarai kementerian paling banyak menerima aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, Dzulkifli berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Itu dalam proses penambahbaikan, kita akan melihat terlebih dahulu perkara tersebut.


“Saya akan berbincang dengan ketua setiausaha negara tentang perkara itu, barulah kita akan mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Sumber TKO - 18-11-2017



Polis Ambil Keterangan Raja Petra Di UK
Posted on Saturday, November 04 @ 23:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36437



PETALING JAYA: Polis mengesahkan mereka telah mengambil keterangan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin di United Kingdom (UK).


Kenyataan itu direkodkan berkaitan laporan polis yang dibuat Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap artikel Raja Petra mengenai dakwaan rasuah dalam blog Malaysia Today.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tiga pegawai dari Bukit Aman berlepas ke United Kingdom untuk mengambil keterangan Raja Petra pada Rabu lalu.

Pada 22 Oktober lalu, Apandi membuat laporan polis ke atas Raja Petra kerana tuduhan jenayah berhubung dua artikel yang mendakwa peguam negara itu menerima rasuah.

Sumber TKO - 4-11-2017


Tragedi tanah runtuh: NGO buat laporan SPRM
Posted on Saturday, October 28 @ 12:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36251



GEORGETOWN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung projek rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, yang didakwa mempunyai unsur rasuah.


Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Jati Pulau Pinang, K Praba, berkata pihaknya hairan apabila kerajaan negeri menolak ulasan yang dikemukakan Jabatan Alam Sekitar (JAS), walaupun agensi berkenaan mempunyai kepakaran dalam menentukan jenis pembangunan yang selamat.

"Adalah sesuatu yang pelik apabila kerajaan DAP Pulau Pinang menolak ulasan JAS. Sebelum ini, kerajaan negeri sering mengemukakan syarat supaya mendapatkan kebenaran daripada JAS bagi semua pembangunan baharu.

"Justeru, kami mahu SPRM menyiasat perkara ini. Adakah ia mempunyai unsur rasuah sehingga kerajaan negeri sanggup mengenepikan peranan JAS," katanya ketika ditemui di perkarangan SPRM Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sabtu lalu, 11 pekerja binaan maut termasuk seorang warga tempatan, dalam tragedi runtuhan tanah di tapak pembinaan 980 unit perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini.

Mengulas lanjut, Praba berkata, pihaknya turut menyerahkan pelbagai dokumen berkaitan projek berkenaan, termasuk kenyataan JAS dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sebagai bahan bukti kepada SPRM.

Katanya, bencana yang kerap melanda negeri itu menimbulkan keraguan terhadap ketelusan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.

"Dulu kerajaan negeri kata rakyat adalah tuan, dan mereka akan ikut kehendak rakyat. Tetapi apabila berkuasa, semuanya berubah.

"Banyak NGO yang sudah bantah projek yang merosakkan alam sekitar, tetapi kerajaan negeri tidak peduli," katanya.


https://www.bharian.com.my/ 


Sumber TKO - 28-10-2017

Shafie Apdal bebas, mungkin hadir bajet
Posted on Friday, October 27 @ 10:47:04 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36207&mode=thread&order=0&thold=0



KOTA KINABALU: Datuk Seri Shafie Apdal hari ini dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000, beberapa jam sebelum Bajet 2018 yang akan dibentangkan perdana menteri.

Ia membolehkan ahli Parlimen Semporna itu hadir pada sesi Dewan Rakyat, bagaimanapun tidak pasti sama ada bekas naib presiden Umno yang kini mengetuai Parti Warisan Sabah itu dapat berbuat demikian.

Shafie ditahan dalam siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan RM1.5 bilion untuk pelbagai projek luar bandar di Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang pernah diterajuinya.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus turut mengarahkan beliau melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Shafie tiba di mahkamah di sini ditemani pemimpin Warisan termasuk naib presiden Junz Wong, Jaujan Sambakong dan Datuk Peter Anthony.

Shafie ditahan pada 19 Oktober oleh SPRM, berhubung siasatan melibatkan projek kementerian luar bandar di antara 2009 dan 2015.

Beliau bagaimanapun diserang tekanan darah tinggi dan dimasukkan ke hospital sejurus selepas ditahan.

Kediaman beliau di Taman Golf View, Penampang, diserbu pegawai SPRM, tetapi difahamkan tiada dokumen dirampas.

Peguam Shafie sebelum ini berusaha mendapatkan arahan mahkamah untuk membebaskan Shafie supaya dapat menghadiri sesi pembentangan Bajet 2018 oleh Datuk Seri Najib Razak yang bermula jam 3.00 petang ini.

Sebelum ini, pemimpin Warisan memulakan kempen memungut wang RM300,000 untuk membayar ikat jamin.

Adik Shafie, Adun Lahad Datu, Datuk Yusof Apdal dan Hamid Apdal turut ditahan SPRM sebelum dibebaskan, di samping Peter Anthony dan ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman.
Dua bekas pegawai Shafie turut direman.

Kira-kira 350 projek di bawah kementerian yang pernah diketuai Shafie itu dilaporkan dipantau SPRM atas dakwaan penyelewengan dana persekutuan.

Dana RM1.5 bilion itu dikatakan sebahagian daripada RM7.5 bilion untuk pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan, antara 2009 hingga 2015.

Lebih 45 orang disoal siasat SPRM sejak siasatan itu bermula 3 minggu lalu. Sebanyak 72 syarikat di Sabah juga dilaporkan disiasat SPRM.


Kira-kira RM170 juta aset dan wang dalam akaun bank milik beberapa syarikat yang terbabit dalam projek itu dilapor dibekukan SPRM.

Sumber TKO - 27-10-2017

SPRM tahan bekas pekerja pejabat MB Selangor
Posted on Thursday, October 26 @ 07:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36174


Seorang bekas kakitangan pejabat Menteri Besar Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, dalam pemberian projek membekal cenderahati ke pejabat Menteri Besar Selangor pada 2016.


Menurut sumber SPRM, suspek berusia 38 tahun yang merupakan bekas pembantu tadbir di pejabat berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.30 tengahari hari ini di pejabatnya.

Turut ditahan seorang pemilik syarikat pembekalan cenderahati berusia 59 tahun dan isterinya yang berusia 52 tahun, kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Sumber itu berkata, bekas kakitangan pejabat Menteri Besar terbabit disyaki telah menerima wang rasuah sebanyak RM16,566 daripada pemilik syarikat pembekalan cenderahati itu tahun lepas, sebagai balasan mengesyorkan syarikat tersebut sebagai pembekal cenderahati kepada pejabat berkenaan.

“Isteri pemilik syarikat pembekalan cenderahati itu pula ditahan kerana dipercayai bersekongkol dengan kedua-dua suspek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret di Shah Alam esok.

-Bernama

Sumber TKO - 26-10-2017




Pembangkang gesa bos SPRM perjelas tuduhan skandal di Bali
Posted on Tuesday, October 24 @ 19:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AnisahOmar

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36140



KUALA LUMPUR: DAP hari ini mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad tampil membuat penjelasan berhubung spekulasi sama ada beliau merupakan individu yang terlibat dalam hubungan sulit dengan seorang wanita berstatus isteri orang.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo membuat desakan itu susulan penularan video yang dipercayai dirakam di Bali, Indonesia.

“Saya meminta Dzulkifli, sama ada benar atau tidak dialah individu di dalam video yang tersebar yang didakwa dirakam di Bali, Indonesia.

“Beliau kena jawab spekulasi bahawa individu itu yang kini sedang beredar di kalangan orang ramai adalah dirinya. Sekiranya itu bukan dirinya, maka saya minta beliau nyatakan secara terbuka,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Katanya, penjelasan Dzulkifli dapat membersihkan nama beliau sebagai pengerusi SPRM.
“Tindakan itu perlu untuk membersihkan nama dirinya yang mempunyai kedudukan di dalam SPRM. PDRM atau mana-mana agensi penyiasatan perlu sedar bahawa imej agensi mereka tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini adalah untuk memastikan keyakinan masyarakat terhadap mereka.

“Saya membuat gesaan ini sebagai seorang wakil rakyat kerana SPRM ditubuhkan berasaskan undang-undang, yang diluluskan di Parlimen pada 2009. Malah jawatan ketua pesuruhjaya SPRM merupakan jawatan khas yang terkandung di bawah Seksyen 5 akta berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan pasukan khas menyiasat tuduhan itu.'


Polis turut mengesahkan sedang menyiasat video tersebut.


Sumber TKO - 24-10-2017


Yusof Apdal Bebas
Posted on Monday, October 23 @ 11:34:06 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36098



KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal, selepas ditahan reman sejak Rabu lalu berhubung siasatan penyelewengan dana awam di Sabah.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus yang membuat keputusan itu turut membenarkan Mohd Yusof dijamin RM100,000 dengan deposit RM50,000.

Mohd Yusof, 57, yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada kira-kira jam 9.40 pagi, sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret pada jam 9.55 pagi dan keluar 10 minit kemudian.

Dua peguam mewakilinya iaitu Edward Paul dan Peter Lee manakala SPRM diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.

Mohd Yusof ditahan kira-kira jam 10 malam Selasa lalu di pejabat SPRM Sabah, di sini selepas hadir bagi membantu siasatan SPRM berhubung penyelewengan RM1.5 bilion dana awam untuk pembangunan luar bandar menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

Dia direman empat hari sejak Rabu lalu sebelum disambung dua hari lagi bermula semalam hingga hari ini.

Jumaat lalu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, direman empat hari hingga hari ini dan dijadualkan dibawa ke mahkamah sebentar lagi bagi mendapatkan perintah sambung reman.

Setakat ini, 13 individu ditahan berkaitan kes itu, masing-masing 10 di Sabah dan tiga di Putrajaya termasuk seorang lagi adik Mohd Shafie, iaitu Hamid Apdal dan menantunya yang juga ahli perniagaan berumur 33 tahun.

Sebelum ini, SPRM menahan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; dan Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dan ahli perniagaan berumur 52 tahun.
Mereka bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Tiga lagi masih dalam tahanan reman iaitu seorang jurutera yang juga ahli politik Warisan Putatan berumur 47 tahun, manakala dua lagi ialah bekas Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Politik Mohd Shafie.

- Berita Harian


Sumber TKO - 23-10-2017

No comments:

Post a Comment