BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Sunday, September 28, 2014

BABY HATCH - PELINDUNG BAYI


Kecelaruan sosial punca kes buang bayi meningkat

Posted on Tuesday, November 10 @ 11:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah




NEGARA kita semakin maju. Negara berkembang pesat dalam semua aspek sama ada dari segi ekonomi, politik ataupun sosial, selaras dengan Wawasan 2020. Dalam kepesatan pembangunan fizikal itu, kita mengalami masalah sosial yang agak kronik, seperti pembuangan bayi. Kemelut pembuangan bayi semakin berleluasa. Keadaan ini amat membimbangkan.

Baru-baru ini, polis menahan seorang wanita dipercayai ibu kepada bayi berusia sehari yang dibuang di dalam sebuah mesin basuh rumahnya di Kampung Ulu Dulang Kechil, Yan, Kedah. Hasil siasatan, suspek berusia 38 tahun itu mengaku melahirkan bayi berkenaan dalam bilik air di rumah berkenaan yang dikongsi bersama bapa mentuanya, tanpa pengetahuan suami serta bapa mentuanya.

Bayangkan, ada juga yang membungkus mayat bayi dengan plastik, mencekik bayi sebelum ditanam, dibuang ke dalam mangkuk tandas, bahkan ada yang sanggup menanam bayi hidup-hidup.

Mengikut ahli kriminologi, pengaruh rakan sebaya dan pergaulan bebas, suka sama suka, ingin mencuba seks, terlalu percayakan lelaki, terdedah aktiviti seksual secara berleluasa melalui jaringan internet, persekitaran tempat tinggal dan dirogol, antara sebab remaja terjebak dalam gejala pembuangan bayi.

Punca keadaan sosial yang tidak teratur juga berkait rapat dengan hubungan renggang antara anak dan ibu bapa. Keadaan ini menjadikan remaja berani keluar rumah dan terbabit dengan aktiviti salah laku seksual sehingga hamil. Mereka kemudiannya mencari jalan mudah dengan membuang bayi yang dilahirkan akibat hubungan seks luar nikah.


Keruntuhan moral

Keruntuhan moral remaja juga dipengaruhi cara hidup. Sering kali ia membabitkan remaja yang berasal dari kampung dan berhijrah ke bandar. Di bandar pula, kurang pengawasan dan kasih sayang ibu bapa juga mempengaruhi tingkah laku remaja.

Ada juga remaja yang cukup didikan agama atau pelajar institusi pengajian tinggi yang terbabit dalam gejala pembuangan bayi.

Oleh kerana takutkan dirinya atau bayi yang dilahirkan tidak diterima keluarga, serta pandangan serong dan cacian masyarakat, mereka mencari jalan mudah untuk membuang bayi mereka seperti sampah, dibuang di merata tempat, di masjid, surau, sungai, tong sampah, tepi jalan dan yang paling teruk di buang ke dalam mangkuk tandas tanpa sedikitpun rasa belas kasihan atau perikemanusiaan.

Di Jerman, kerajaan menyediakan tempat khas sebagai pelindung kepada bayi yang dilahirkan akibat masalah sosial tadi. Tempat khas ini dikenali sebagai Babywiege, bertujuan mengelakkan bayi mati atau terbunuh akibat terdedah kepada kesejukan selepas dibuang. Undang-undang mereka juga membolehkan seorang bayi dijaga oleh hospital selama lapan minggu. Dalam tempoh dua bulan, seseorang ibu boleh mengambil semula anak yang mereka tinggalkan jika berubah fikiran. Selepas dua bulan barulah bayi itu, diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dijadikan anak angkat.

Di negara kita, sebuah badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur mewujudkan ruang khas Pelindung Bayi atau Baby Hatch di Kampung Tunku, Kuala Lumpur. Penyediaan ruang ini bagi membolehkan sesiapa yang terdesak meninggalkan bayi mereka di tempat selamat.

Cara alternatif terbaik

Ini adalah satu cara alternatif terbaik untuk sesiapa yang melahirkan anak luar nikah supaya tidak melakukan jenayah pembuangan bayi atau lebih sadis lagi, membunuh bayi mereka.

Penempatan bayi di tempat perlindungan itu bagi membolehkan bayi yang dilahirkan, dijaga dan dapat diserahkan kepada keluarga angkat yang sesuai. Penyediaan tempat seperti ini tidak bermaksud untuk menggalakkan mereka membuat perlakuan yang bercanggah dengan tatasusila moral, tetapi bertujuan menyelesaikan masalah sosial yang berat, seperti pembuangan bayi yang seterusnya boleh mengakibatkan pembunuhan.

Tempat seperti ini sebenarnya tidak perlu diwujudkan sekiranya kita mempunyai masyarakat yang bertanggungjawab. Lazimnya polis menyiasat kes pembuangan bayi mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Sekiranya didapati bersalah, seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis juga boleh menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang meletakkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Bagi kesalahan membunuh bayi, siasatan boleh dilakukan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan. Seksyen 309B memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Disarankan supaya kerajaan mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan supaya denda yang lebih berat dikenakan ke atas mereka yang bersalah. Ini perlu dilakukan supaya remaja akan berasa lebih takut dan serik untuk membuang bayi.

Kabinet pernah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu dikenakan hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun yang sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Hukuman lebih berat

Hingga kini polis belum lagi menggunakan seksyen ini. Hukuman berat penting supaya mereka akan berhati-hati ketika bergaul dan mengelak hubungan yang melampaui batasan agama. Ini membolehkan mereka menghayati gaya hidup sihat dan kejadian mengandung tanpa nikah dan membuang bayi pasti dapat dielakkan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan pusat seperti Taman Seri Puteri Cheras yang memberi perlindungan dan pemulihan kepada remaja yang terbabit, tetapi apa yang masih kurang ialah publisitinya. Insitusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri dan masjid perlu memainkan peranan lebih aktif dan mencari jalan pencegahan serta penyelesaian holistik untuk mengelak berlakunya kes buang bayi atau menyekatnya daripada merebak sehingga tidak boleh dikawal lagi.

Sebagai masyarakat Islam kita patut sama-sama mencari penyelesaian kepada masalah ini dengan memberi penekanan didikan agama yang sempurna kepada anak dan menjaga nasib bayi yang bakal dilahirkan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ini. Keluarga adalah pelindung utama dalam membina pembentukan sahsiah dan kesejahteraan psikologi dalam kalangan remaja.

Pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti anak perlu. Ibu bapa hendaklah meluangkan masa untuk anak. Di samping itu, bantuan pihak sekolah secara berterusan juga boleh membantu remaja yang terlanjur. Dua institusi ini, iaitu institusi keluarga dan sekolah begitu dekat dengan remaja dan jika kedua-duanya digembleng dengan rapi, ia dapat menyumbang kepada pengurangan kes remaja hamil luar nikah dan pembuangan bayi, bahkan pembunuhan yang tidak berdosa.

Oleh Akhbar Satar

bhnews@bh.com.my

Sumber TKO - 10-11-2015


Kematian Muhammad Firdaus Satu tragedi buat negara

Dalam mengharungi kemelut sosioekonomi yang saban hari menghantui rakyat, kematian Muhammad Firdaus adalah satu tragedi yang menzahirkan betapa Malaysia terus gagal untuk membela nasib orang kurang upaya di saat mereka memerlukan. Walaupun sebab utama kematian Muhammad Firdaus sudah dikenalpasti namun kita wajar bangkit mengakui betapa masih banyak prasarana dan sokongan sosial yang diperlukan bagi mengelakkan tradegi ini berulang sekaligus bertekad untuk mengoptimumkan potensi dan keberadaan orang kurang upaya di Malaysia.

Menyoroti kisah Muhammad Firdaus yang kali pertama mendapat perhatian media apabila dijumpai dalam keadaan yang terabai di sebuah flat pada tanggal 21 Jun 2014, seluruh rakyat hampir tidak percaya bagaimana seorang kanak-kanak kurang upaya berusia 15 tahun boleh berada dalam keadaan yang sedemikian rupa di sebuah negara membangun seperti Malaysia. Realitinya adalah kesempitan hidup yang mencengkam rakyat bawahan di samping kurangnya kemudahan serta sokongan daripada pihak berwajib tidak memberi banyak pilihan kepada orang kurang upaya dan keluarga untuk hidup senorma yang mungkin.
Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS menyambut baik usul Kongres Rakyat yang mencadangkan penubuhan Pasukan Perubatan dan Sosioekonomi (PPSE) di peringkat Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Tujuan utama PPSE adalah bagi memastikan kelangsungan proses pencegahan penyakit dan perawatan kesihatan yang bersepadu dan berterusan dari hospital ke komuniti dengan harapan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit. Dengan melibatkan ahli perubatan, kakitangan kesihatan dan kebajikan, pemimpin masyarakat setempat serta kerjasama oleh kumpulan sokongan pesakit, NGO dan sektor korporat, PPSE berperanan sebagai pasukan pelbagai bidang (multidisciplinary team) yang menguruskan sumber sosioekonomi dan kebajikan pesakit di komuniti.

PPSE juga bertujuan untuk mengurangkan karenah birokrasi di antara agensi kerajaan yang sering kali menjadi batu penghalang kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Dengan melibatkan pimpinan masyarakat dan juga kumpulan sokongan pesakit, adalah diharapkan dapat membantu memperkasa masyarakat awam agar perihatin terhadap permasalahan sosioekonomi bagi pesakit kronik dan orang kurang upaya. Perlu disedari betapa pentingnya faktor sosioekonomi terhadap status kesihatan. Kajian oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat mendapati individu yang tidak mempunyai ijazah mempunyai jangka hayat 9 tahun lebih pendek.

Manakala, individu daripada lingkungan pendapatan tinggi mempunyai jangka hayat 6-8 tahun lebih panjang. Di Malaysia, kajian menunjukkan individu daripada kumpulan sosioekonomi rendah berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kronik terutamanya serangan jantung yang merupakan penyebab utama kematian. PAS juga komited untuk menyumbang melalui Skuad Kesihatan Komuniti PAS (SIKAP) yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Selain itu, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS mencadangkan kerajaan supaya menaiktaraf Pusat Pemulihan Komuniti (PDK) sedia ada dengan mewujudkan pusat penjagaan sementara (respite care center) yang bertujuan untuk menyediakan kemudahan penjagaan pesakit kurang upaya bagi membolehkan ahli keluarga atau penjaga menghadiri komitmen harian seperti biasa. Dengan adanya kemudahan sebegini, adalah diharapkan dapat memberi peluang kepada penjaga dan keluarga untuk menyara kehidupan seharian tanpa perlu mengabaikan keperluan orang yang tersayang. Malah jika ada komitmen sosial atau ingin bercuti, pusat penjagaan sementara adalah tempatnya untuk memastikan kedua-kedua pesakit kurang upaya dan penjaga dapat menikmati kualiti hidup yang sewajarnya dinikmati oleh rakyat di sebuah negara membangun seperti Malaysia.

Oleh itu, atas iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan tenteram dinaungi redha serta keampunan Allah, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS menyeru kepada kerajaan agar bersegera memastikan segala usaha kebajikan digerakkan bagi menjamin hak dan membela nasib orang kurang upaya di sekeliling kita. Apa yang berlaku kepada mereka adalah ujian buat kita yang masih punya kesihatan akal dan fizikal. Maka pilihan di tangan kita, jangan biarkan pemergian Muhammad Firdaus dipersiakan sebegitu sahaja.

Abdullah Fahmi,
Penyelaras Skuad Kesihatan Komuniti PAS (SIKAP)

Sumber PP - 1-111-2015


Kanak-Kanak Tahan Sakit 30 Minit Kepala Tersepit Celah Dinding
Posted on Thursday, October 22 @ 20:35:52 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun terpaksa menahan sakit kira-kira setengah jam apabila kepalanya tersepit di celah dinding rumahnya di Bandar Tasek Kesuma, Semenyih dekat sini, Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi, mangsa Muhammad Izzul Sufi Zulkifli dikatakan sedang bermain di celah dinding di luar rumahnya dan kemudian gagal mengeluarkan kepalanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Khairul Anuar Yaacob berkata lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.40 pagi.

"Kami terpaksa memecahkan sebahagian dinding bagi mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit itu.

"Operasi itu selesai kira-kira pada pukul 9 pagi dan mangsa telah diserahkan kepada ibu bapanya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sumber TKO - 22-10-2015


Budak Digelar Monyet, Jadi Mangsa Deraan Pengasuh?
Posted on Friday, August 28 @ 17:58:44 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah



MELAMPAU dan biadap! Seorang wanita yang dipercayai merupakan pengasuh di sebuah taska menerima kutukan dan kritikan ramai selepas tergamak memanggil anak asuhannya sebagai anak monyet sambil memburuk-burukkan ibu kanak-kanak malang itu di laman Facebook.

“Anak monyet tak reti duduk diam. Mak kau acah bagus. Suruh pantau anak yang macam monyet ni, pergi taska sudahla tak mandi. Lepastu minum nak bersuap. Seluar pun ikat dengan getah. Babi tak mampu ke mak kau? eh sial laa….,” tulis Liluu.

Kenyataan sarkastik pengasuh itu sekali gus mengejutkan pelayar media sosial yang membacanya.
Apatah lagi, wanita ini sangat lancang berkata-kata hingga sanggup mencarut dengan melabelkan ibu kanak-kanak berkenaan sebagai ‘babi’.

Rata-rata netizen menyifatkan pengasuh berkenaan tidak ikhlas dalam menjaga kanak-kanak dan hanya mementingkan wang ringgit semata-mata.

Tidak kurang juga ada ibu bapa yang mempunyai anak kecil menzahirkan rasa bimbang dan takut melihat kes seumpama ini berlaku.

Melihat kebiadapan pengasuh seperti ini, tidak dapat dinafikan segala macam perkara boleh berlaku.
Senang kata, kanak-kanak ini tidak berdosa ini mudah terdedah dengan risiko penderaan dan berada dalam keadaan bahaya.

Sama benar atau tidak dia menjadi mangsa, adalah harus untuk pihak berkuasa masuk campur segera dan cuba mengesan di mana kanak-kanak itu berada.

Jangan nanti sudah terantuk, baru tengadah.

Tak pasal-pasal, anak kecil yang masih lagi tidak memahami apa-apa ini menanggung penderitaan dan kesakitan.

Bagaimanapun, ibu bapa di luar sana usah la gusar kerana tidak semua pengasuh mempunyai perangai ‘gila’ sebegini. Namun, kita juga haruslah sentiasa berwaspada agar kejadian yang sama tidak menimpa pada batang hidung sendiri. – MYNEWSHUB.CC

Sumber TKO - 28-8-2015


CRC : ARTIKEL 14, ANAK BEBAS PILIH AGAMA - HAMBALI AKRAM


CRC ARTIKEL 14

http://www.harakahdaily.net/index.php/surat-pembaca/33479-crc-artikel-14-anak-bebas-pilih-agama






Sumber HD - 7-2-2015

Kanak-kanak diikat tangan, kaki di rumah pengasuh

BERNAMA | .
KEPALA BATAS: Seorang wanita yang membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh anaknya terkejut apabila mendapati anak lelakinya berusia tiga tahun terbaring di atas lantai dengan tangan dan kaki diikat.

Wanita yang bekerja kilang itu mengambil keputusan membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh di Flat Taman Seri Pinang di sini semalam, setelah mendakwa sejak kebelakangan ini anaknya sentiasa dalam keadaan lapar apabila diambil daripada rumah pengasuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kanak-kanak itu dihantar ke rumah pengasuh berkenaan sejak Jun tahun lepas dan sebelum ini ibu kanak-kanak itu mendakwa tiada sebarang masalah dengan pengasuh berkenaan.

"Menurut ibu kanak-kanak itu, anaknya dihantar ke rumah pengasuh berkenaan pada 5.30 pagi semalam dan kira-kira lima jam kemudian dia pergi ke rumah pengasuh itu untuk melihat keadaan anaknya.

"Dia melihat anaknya dalam keadaan tangan terikat di belakang dan kaki turut diikat terbaring di atas lantai...ketika itu hanya anak pengasuh yang berusia 11 tahun berada di rumah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata pemeriksaan lanjut terhadap kanak-kanak itu tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam di badannya.

Sehubungan itu, polis menahan reman wanita berusia 39 tahun itu bagi membantu siasatan dan menurut Abdul Rahman, suspek bertindak demikian kerana mendakwa kanak-kanak berkenaan terlalu nakal.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Sumber HD - 29-10-2014

Lebih banyak 'baby hatch' akan dibuka seluruh negara

TENGKU FAEZAH TENGKU YUSOF | .

KUALA LUMPUR: Yayasan OrphanCare akan bekerjasama dengan KPJ Healthcare Berhad (KPJ) bagi menyediakan 10 pusat perlindungan bayi atau "baby hatch" di cawangan KPJ di seluruh negara.

Pegawai Perhubungan Yayasan OrphanCare Siti Naquiah Fadzil berkata satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani bersama-sama KPJ bagi penubuhan 'Baby Hatch" itu selari dengan usaha menangani kes pembuangan bayi di negara ini.

"Melalui perjanjian itu, bayi yang diletakkan dalam 'baby hatch' akan diserahkan kepada OrphanCare sebelum bayi itu ditempatkan bersama keluarga angkat mereka," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, MoU berkenaan akan ditandatangani antara Pengerusi Yayasan OrphanCare Tan Sri Faizah Mohd Tahir dan Pengarah Urusan KPJ Amiruddin Abdul Satar, pada 10 Okt ini.

Menolak dakwaan bahawa kewujudan 'baby hatch' menggalakkan kes pembuangan bayi dan anak luar nikah, Siti Naquiah berkata keutamaannya ialah menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa serta membantu pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak untuk mengambil anak angkat.

Beliau berkata ketika ini sebanyak 3,758 permohonan diterima bagi mendapatkan bayi untuk dijadikan anak angkat.

Sejak penubuhan OrphanCare pada 2010, sebanyak 102 bayi telah diserahkan kepada keluarga angkat manakala 63 lagi dikembalikan kepada ibu kandung.

"Yayasan kami merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang mempunyai kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani isu pembuangan bayi.

"Kami berharap kes pembuangan bayi dapat dikurangkan dengan penubuhan 'baby hatch' di samping berusaha menempatkan bayi dengan keluarga yang benar-benar inginkan anak," katanya.

Beliau berkata lebih 50 peratus ibu kandung yang menyerahkan anak mereka kepada OrphanCare adalah lingkungan umur antara 18 dan 24 tahun dan masih berstatus pelajar.

Pihaknya juga mengadakan pelbagai ceramah motivasi di peringkat institusi pengajian tinggi untuk memberi kesedaran berhubung pendidikan seks serta fungsi pusat perlindungan bayi itu, katanya.

"Dengan cara ini, ia dapat mengurangkan kes pembuangan bayi di samping sebagai satu isyarat bahawa ada lagi insan yang sanggup menjaga bayi berkenaan," katanya.

Siti Naquiah berkata bukan hanya anak luar nikah yang diserahkan, tetapi ada antaranya menghadapi masalah kewangan sehingga menyebabkan si ibu tidak mampu untuk menyara keperluan anak tersebut.

Beliau berkata OrphanCare kini beroperasi di Petaling Jaya, Selangor, Johor Baharu, Johor dan Kota Bahru, Kelantan.

"Kami sedang merancang untuk membina sebuah lagi OrphanCare di Kedah," katanya. - Bernama

Sumber HD - 28-9-2014

No comments:

Post a Comment