Apakah itu jerebu?

JEREBU berlaku apabila habuk, asap dan zarah kering berkumpul di udara, menyebabkan pemandangan kurang jelas dan mengehadkan jarang penglihatan. Ketika jerebu, bahan pencemaran ini tertumpu kepada sesuatu kawasan dan menyelimutinya.

Fenomena ini biasa berlaku ketika keadaan cuaca kering berpanjangan dan tidak berangin. Keadaan ini menyebabkan bahan pencemaran yang disebabkan pembakaran terbuka atau faktor semula akan terperangkap di udara, tertumpu dan tidak dapat disebarkan secara meluas atau dileraikan. Jerebu boleh berwarna coklat atau biru bergantung kepada saiz zarah dan jerebu juga tidak selalunya boleh dilihat dengan mata kasar.

Jerebu boleh terjadi disebabkan tindakan manusia seperti pembakaran terbuka, pencemaran kenderaan dan perindustrian serta aktiviti pembersihan tanah kawasan pertanian. Kebakaran hutan dan habuk yang dibawa angin pula antara faktor semula jadi yang menyebabkan jerebu.

Punca jerebu?

SEPERTI diketahui, punca utama jerebu ialah pembakaran kawasan hutan dan ladang yang luas di Indonesia. Namun kenapakah kawasan hutan dan ladang ini terbakar?

Berdasarkan beberapa analisis yang dibuat, kebakaran kawasan hutan dan ladang ini berlaku secara sengaja dan tidak sengaja. Antaranya ia disebabkan tindakan kontraktor syarikat perladangan terutama kelapa sawit secara tidak sengaja atau sengaja memulakan kebakaran dan kemudian gagal mengawal api yang semakin merebak semasa membersihkan kawasan, terutama kebakaran di kawasan tanah gambut sukar dipadamkan.

Kebanyakan pekebun kecil juga masih mengamalkan kaedah pembakaran bagi membersihkan kawasan. Ini kerana kaedah ini lebih murah iaitu kira-kira RM29 sehektar berbanding kaedah mekanikal yang menelan kos mencecah RM630 sehektar.

Selain itu, tindakan penduduk dan pekerja ladang membuang puntung rokok merata-rata terutama ke atas sampah sarap yang terkumpul menyebabkan berlaku kebakaran hutan yang akhirnya merebak dan sukar dipadamkan.

Bahaya jerebu

SETIAP kali jerebu berlaku, bilangan pesakit mendapatkan rawatan bagi kes berkaitan saluran pernafasan dan asma di hospital dan klinik meningkat dengan mendadak. Jerebu boleh mendatangkan masalah kesihatan terutama kepada golongan kanak-kanak dan orang tua.

Namun, golongan yang paling terdedah kepada bahaya jerebu ialah mereka yang menghidap penyakit pernafasan seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung dan alahan. Penghisap rokok dan mereka yang bekerja di luar pejabat atau rumah juga berisiko tinggi mendapat penyakit berkaitan pernafasan.

Antara gejala atau simptom akibat terdedah kepada jerebu ialah kegatalan kerongkong dan batuk, kesukaran bernafas dan hidung tersumbat, kegatalan dan merah di mata, mata terasa pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin serta sakit dada.

Bagi mengurangkan risiko bahaya jerebu, golongan yang berisiko tinggi perlu sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan. Orang ramai juga perlu mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa memakai topeng muka ketika berada di luar rumah atau pejabat.

Semasa berada dalam kenderaan pula, sentiasa menggunakan penghawa dingin dan elakkan membuka cermin kenderaan manakala perokok perlu menghentikan tabiat merokok apabila udara tidak sihat. Selain itu, orang ramai perlu kerap minum air masak serta membasuk muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.

Jerebu sejak 1983

ISU jerebu mula mendapat perhatian di Malaysia pada 1997 apabila Kuala Lumpur dan banyak negeri lain dilanda jerebu yang teruk. Keadaan ini berlaku disebabkan kebakaran hutan yang dianggarkan seluas empat juta padang bola sepak di Indonesia. Kebakaran itu menghasilkan awan asap kuning di hampir kesemua kawasan di Asia Tenggara sehingga ke utara Australia.

Pada masa itu, Sarawak yang paling teruk terjejas. Bacaan IPU di Kuching mencecah 650 manakala di Miri melebihi 700 iaitu pada paras sangat berbahaya dengan jarak penglihatan hanya sejauh 120 meter.

Pada 20 September 1997, kerajaan mengisytiharkan darurat di Sarawak selama seminggu yang menyaksikan semua lapangan terbang dan sekolah di seluruh negeri ditutup manakala semua aktiviti diluar dilarang sepenuhnya.

Keadaan jerebu itu telah menjejaskan ekonomi negara terutamanya dengan kekurangan kedatangan pelancong. Memandangkan jerebu tidak berkurangan, kerajaan Malaysia menghantar pasukan pemadam api ke Indonesia dalam ‘Operasi Haze’ bagi memadamkan api yang melitupi hampir keseluruhan Sumatera dan Kalimantan yang mengambil masa selama 25 hari.

Rentetan daripada peristiwa jerebu pada 1997, tujuh anggota ASEAN menandatangani Perjanjian mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan pada 2002. Namun, demikian, jerebu terus melanda rantau Asia Tenggara sehingga hari ini.

Selepas jerebu pada 1997, Malaysia dilanda jerebu yang teruk pada 2005 dan 2013. Pada 2005, darurat diisytiharkan di Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor dari 11 hingga 13 Ogos selepas bacaan IPU di kedua-dua tempat itu melebihi paras bahaya. Pada 2013, sekali lagi negara dilanda jerebu teruk sehingga menyaksikan darurat diisytiharkan di daerah Muar dan Ledang di Johor pada 23 Jun.

Walaupun jerebu hanya mula mendapat liputan meluas bermula 1997, masalah tersebut sudah mengganggu kehidupan harian penduduk di rantau ini sejak April 1983. Mengikut rekod, itu merupakan kali pertama Malaysia ini dilanda jerebu.

Namun, pada masa itu, punca sebenar jerebu tidak diketahui dan ia dianggap sebagai fenomena biasa. Faktor abu terapung dari letusan gunung berapi, zarah asap terapung dari kebakaran hutan secara besar-besaran serta pembakaran kawasan pertanian di negara jiran dan negara sendiri dikatakan antara punca jerebu.

Masalah ini terus melanda Malaysia pada Ogos 1990, dari Jun hingga Oktober 1991 dan setiap tahun sejak 1992. Gangguan ini mencapai kemuncaknya pada 1997 apabila berlaku jerebu yang teruk. Sejak itu, semua orang tahu jerebu berpunca daripada pembakaran kawasan hutan dan kawasan perladangan di Sumatera, Kalimantan dan beberapa pulau lain di Indonesia semasa kerja pembersihan kawasan bagi melaksanakan tanaman baharu.

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Riau pada 2014, sebanyak 60 peratus kawasan hutan yang dibakar diusahakan oleh pekebun kecil dan itu merupakan penyumbang utama kepada jerebu yang teruk di Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Penyelesaian?

JEREBU sudah menjadi masalah besar di rantau ini setiap tahun. Masalah tersebut berpunca dari pembakaran hutan di Indonesia tetapi turut menjejaskan negara-negara lain sejak lebih dua dekad lalu.

Oleh itu, Indonesia iaitu tempat punca masalah ini, perlu memainkan peranan penting bagi memberikan noktah kepada isu jerebu ini. Tindakan Indonesia menandatangani Perjanjian mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan pada 2014 memberikan harapan untuk melihat masalah ini selesai, walaupun menjadi negara anggota ASEAN terakhir berbuat demikian.

Meskipun Herry meminta Malaysia dan Singapura turut bertanggungjawab terhadap masalah jerebu dengan alasan 50 peratus syarikat perladangan kelapa sawit yang beroperasi di Indonesia dimiliki rakyat dua negara itu, permintaan pakar perhutanan Indonesia itu tidak masuk akal.

Ia ibarat menyuruh Indonesia bertanggungjawab atas tindakan jenayah yang dilakukan oleh rakyatnya yang masuk secara haram atau bekerja di Malaysia. Begitu juga dalam kes ini, Kerajaan Indonesia yang perlu bertanggungjawab memastikan pembakaran hutan secara tidak terkawal tidak berlaku di negara itu.

Sekiranya syarikat-syarikat perladangan milik rakyat Malaysia dan Singapura terlibat dalam pembakaran hutan itu yang menyebabkan jerebu, maka ambillah tindakan sewajarnya mengikut undang-undang kerana mereka beroperasi di Indonesia.

Sebelum ini, ada cadangan supaya Indonesia menubuhkan sebuah organisasi tetap yang mempunyai kuasa untuk mengadakan mesyuarat dengan pemimpin masyarakat, kerajaan wilayah dan pemilik-pemilik ladang untuk bersama-sama melaksanakan langkah pencegahan segera, sebelum tiba musim kemarau setiap tahun. Organisasi ini perlu mempunyai program kerja, peruntukan dan kuasa untuk bertindak serta-merta mewakili pihak kerajaan wilayah dan kerajaan pusat.

Namun, sehingga hari ini langkah-langkah tersebut gagal dilaksanakan dengan berkesan kerana kerajaan wilayah tidak mempunyai tenaga kerja, peralatan dan peruntukan yang mencukupi.

Apatah lagi Kerajaan Indonesia tidak melihat jerebu sebagai isu nasional, sebaliknya lebih memberi keutamaan kepada pencegahan rasuah. Selain itu, konfrontasi antara majikan dan pekerja ladang berhubung tuntutan gaji serta amalan pembakaran terbuka di kawasan halaman rumah oleh penduduk Indonesia menyebabkan isu ini rumit untuk diselesaikan.

Sehingga Indonesia dapat melakukan langkah konkrit bagi menangani pembakaran terbuka di negara itu, aktiviti harian rakyat di Malaysia dan Indonesia akan terjejas. Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah melakukan pembenihan awan bagi meningkatkan penurunan hujan dalam usaha mengurangkan jerebu.- utusan.com.my

Sumber DD - 28-9-2015