BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Friday, September 12, 2014

NGO PENDIDIK

Sekalung ucapan tahniah kepada pelajar SPM sesi 2017

PENANTIAN dan debaran menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sekian lama dinantikan telah pun bernokhtah. 
Kini, tibalah masanya pelajar,ibu bapa dan warga pendidik menerima Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan penuh redha dan pasrah di hati. 
Pengumuman keputusan SPM yang diterima pada hari ini haruslah diterima dengan penuh rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi.
Statistik menunjukkan terdapat seramai 443,883 orang calon SPM telah mendaftar bagi sesi 2017 untuk menduduki peperiksaan SPM di 3,363 pusat peperiksaan di Malaysia. 
Kami optimis dan percaya, sudah pastinya apa jua keputusan yang diperolehi pada hari ini diterima dengan penuh rasa gembira terutama bagi pelajar yang beroleh kecemerlangan di dalam peperiksaan SPM sebagaimana yang dicita-citakan. 
Meskipun begitu, bagi yang memperolehi keputusan peperiksaan SPM kurang memuaskan sebagaimana yang diharapkan, yakinilah bahawa keputusan peperiksaan ini bukanlah nokhtah akhir bagi langkah-langkah perjalanan menuju sebuah kehidupan yang penuh dengan asam garam dan suka duka dalam menempuh sebuah kehidupan. 
Sesungguhnya dunia ibarat putaran roda dan ibarat giliran siang malam yang datang silih berganti. Pasti ada hikmah yang tersembunyi atas apa jua ketentuan dan takdir yang berlaku dengan izin-Nya. 
Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) mengucapkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan sekalung ucapan tahniah kepada semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2017 di seluruh Malaysia yang telah mencuba sehabis baik dan sehabis mampu ketika menjawab soalan peperiksaan yang dikemukakan di dewan peperiksaan yang lalu. 
Sudah pasti, kalian telah mencuba yang terbaik demi memenuhi impian diri, ibu bapa, para pendidik dan insan tersayang demi mencapai impian, cita-cita murni dan matlamat yang diimpikan selama ini. 
Setinggi-tinggi ucapan penghargaan tahniah buat buat semua warga pendidik di seluruh Malaysia yang gigih mendidik anak bangsa, menabur bakti serta mencurah ilmu kepada generasi pelapis negara serta pewaris kepimpinan pada masa akan datang dengan penuh dedikasi dan iltizam yang tinggi. 
Semoga apa jua pengorbanan, kesabaran yang tinggi, kegigihan warga pendidik dan para asatizah di seluruh Malaysia, ada ganjaran dan nilaian di sisi Allah SWT dan merupakan ‘saham akhirat‘ buat mereka nanti. 
Sekalung penghargaan juga buat keluarga dan ibu bapa anak-anak yang merupakan Pelajar SPM sesi 2017 yang pastinya merupakan pembakar obor semangat, pendorong setia dan sumber motivasi serta sumber inspirasi bagi kejayaan anak-anak yang harapan keluarga di samping iringan doa dan titipan semangat yang diberikan saban waktu tanpa mengenal erti jemu terhadap mereka. 
Buat semua yang terlibat dan mendoakan kejayaan anak-anak ini, didedikasikan serangkap pantun sebagai penutup bicara: 
Gunung Bentan gilang gemilang
Air laut tenang-tenangan
Budimu pasti tidakkan hilang
Itu menjadi kenang-kenangan
Ingatan tulus: 
NORMALA SUDIRMAN
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) & Lajnah Pendidikan PAS Pusat
15 Mac 2018 bersamaan 27 Jamadilakhir 1439 – HARAKAHDAILY 15/3/2018
Sumber HD- 15-3-2018

Elaun guru pelatih disekat, Permata Pintar dapat dana

NGO Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti semula tindakan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) mulai Jun 2018 tahun hadapan. 
Presiden Pendidik Normala Sudirman berkata, masih belum terlambat untuk kerajaan menarik balik pengumuman yang dibuat sebagai langkah mengangkat martabat dan profession perguruan dalam persada politik negara. 
Beliau mempersoalkan apa rasionalnya tindakan ini dilakukan seolah-olah peranan mereka yang bakal mendidik anak bangsa dikesampingkan dan secara tidak langsung dibimbangi bakal membunuh minat bagi bakal guru yang bercita-cita untuk menjadi pendidik yang baik suatu hari nanti. 
Bahkan katanya, cadangan agar guru pelatih disaran memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung keperluan hidup mereka juga dianggap  tidak relevan dan membuktikan bahawa kerajaan seolah-olah tidak prihatin terhadap nasib bakal guru sekali gus menunjukkan berlaku diskriminasi dalam sektor pendidikan berbanding bidang pekerjaan yang lain. 
"Kita perlu sedar bahawa profesyen perguruan adalah perkhidmatan yang sukar diukur dengan  nilai wang ringgit apatah lagi tugas mendidik adalah suatu tugas yang mulia meskipun mencabar. Gaji mereka setelah menjadi guru hanyalah memadai untuk mereka dan keluarga menjadi golongan yang hidup dalam keadaan sederhana dan tidak mewah sebagaimana profesyen lain .

"Selain memiliki tangga gaji tahap sederhana, mereka dibebani tugas-tugas kerani yang banyak walaupun fokus utama mereka adalah pengajaran dan pembelajaran murid di dalam kelas. 
“Hanya insan yang memiliki kesabaran yang tinggi sahaja mampu menjadi seorang guru yang berdedikasi dan gigih  dalam mendidik anak bangsa apatah lagi pada zaman zaman IT dan era globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam membentuk disipilin dan moral yang tinggi kepada anak bangsa," katanya kepada Harakahdaily. 
Jelas beliau, walaupun pembiayaan bagi mereka yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) akan diteruskan,tetapi menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan bermula tahun depan bagi bakal guru pelatih di mana khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa tidak dapat diterima sama sekali. 
Kerajaan dalam masa yang sama juga telah mengumumkan mereka yang mengikuti Program PISMP  akan terus menerima RM430 sebulan untuk elaun sara hidup dan elaun perjalanan tidak lebih RM500 setahun sehingga mereka tamat pengajian. 
"Selain itu, elaun dan yuran kursus di IPG satu tahun bagi program pra-PISMP sebanyak RM8,163 juga akan dibayar oleh kerajaan. Yang menyedihkan, situasi ini tidak berlaku kepada bakal guru pelatih di mana elaun guru pelatih di IPG pula yang bakal dihentikan sama sekali berkuatkuasa Jun tahun depan. 
"Kita rasa kesal dengan tindakan kerajaan seolah -olah bersikap tidak adil dan mengamalkan sikap diskriminasi apabila mengumumkan pembiayaan bagi mereka yang mengikuti PISMP diteruskan tetapi dalam masa yang sama menghentikan elaun sara hidup dan tuntutan perjalanan bagi guru pelatih bermula Jun 2018," tegas beliau. 
Justeru, Pendidik mendesak kerajaan agar jangan menyukarkan usaha mereka dalam menimba ilmu dan belajar pedagogi serta mendalami ilmu perguruan dengan menghentikan elaun mereka sepanjang menuntut pengajian seterusnya seolah-olah mahu menggalakkan mereka berhutang. 
"Persoalannya, mengapakah Program Permata Negara boleh diberikan peruntukan jutaan ringgit, sedangkan elaun guru pelatih mahu dihentikan pula?" soalnya. 
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon mengumumkan KPM akan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun 2018 tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 16/7/2017
Sumber HD - 16-7-2017 




OMR rosak dibimbangi keabsahan SPM

PERSATUAN Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) melahirkan kebimbangan sekiranya isu mesin pembaca tanda optik (OMR) yang rosak baru-baru ini bakal menjejaskan keputusan dan prestasi pencapaian SPM. 
Pengerusi Pendidik Normala Sudirman, berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan ibu bapa yang melahirkan rasa gusar dan keresahan terhadap keputusan yang bakal diterima oleh anak -anak mereka pada 16 Mac 2017 ini. 
"Persoalannya, apakah mekanisme yang bakal digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengatasi masalah mesin yang rosak ini? 
"Bagaimana dari segi keabsahan keputusan SPM yang bakal diterima supaya tidak meragukan calon SPM, ibu bapa, warga pendidik dan pihak sekolah?" katanya kepada Harakahdaily. 
Dilaporkan mesin pemprosesan OMR yang rosak telah menyebabkan keputusan SPM telah lewat dikeluarkan dan bakal dikeluarkan pada 16 Mac 2017 
Tegasnya, kekangan kewangan bagi kos membaiki mesin OMR yang diakui dan menjadi tular di media sosial amat dikesali kerana ia dibimbangi bakal menjejaskan kredibiliti KPM dan Lembaga Peperiksaan (LP) di mata masyarakat dan pelbagai pihak.
Beliau yang juga AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, pengumuman keputusan SPM yang sepatutnya keluar pada 2 Mac 2017 telah ditunda ke 16 Mac 2017 telah menimbulkan keresahan ibu bapa dan warga pendidik serta pihak sekolah. 
"Apa yang sangat dikesali, mengapa mesin OMR ini seolah-olah dikesampingkan dan tidak diselenggara secara berkala sehingga jadi rosak dan dibimbangi bakal menghakis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti Lembaga Peperiksaan," tegasnya lagi. 
Seharusnya jelas beliau, bajet bagi urusan pendidikan dan pembangunan modal insan tidak harus dipotong atau dikecilkan kerana  secara tidak langsung ia akan menjejaskan masa depan anak bangsa yang merupakan generasi pelapis masa hadapan tegasnya lagi
Walau bagaimanapun, Pendidik mengharapkan agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi dan semoga apa juga keputusan SPM yang bakal diterima oleh pelajar yang mengambil peperiksaan SPM pada esok hari dapat diterima dengan tenang dan lapang dada oleh semua pihak. 
Dalam pada masa yang sama, Pendidik mendesak agar bajet pendidikan diberi peruntukan yang besar oleh kerajaan supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi. 
"Kami juga terkejut bagaimana semua guru di Malaysia telah diberi telefon bimbit percuma dan modem Yes, yang pastinya jumlah keseluruhan menelan kos jutaan ringgit atas nama untuk 'memajukan masa depan anak bangsa', tetapi dalam masa yang sama mesin OMR sepenting itu untuk peperiksaan SPM diabaikan," katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2017
Sumber HD - 15-3-2017

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PAS temui Suhakam bela warga pendidik dipecat

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .


                                                                                                                                                                   















http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/42042-pas-temui-suhakam-bela-warga-pendidik-dipecat                                                                                                                                                                                                                                                                                                        KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) mengadakan lawatan ke Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tengahari tadi.

Presidennya, Normala Sudirman berkata, beberapa isu dibawa dalam pertemuan tersebut bagi membela nasib golongan pendidik yang dipecat daripada tugas serta dinafikan hak mereka.

"Hari ini kita buat satu serahan memorandum berkaitan kes guru yang dipecat atas faktor kesihatan dan hak mereka dinafikan oleh KPM," kata Presiden Pendidik Ketika ditemui.

Kunjungan tersebut bertujuan menyerahkan memorandum kepada agensi berkenaan bagi menyerahkan memorandum kepada Suhakam bagi membela nasib golongan guru yang dizalimi oleh kementerian.

Antara kandungan memorandum itu, Pendidik meminta Suhakam meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghentikan sebarang usaha menglibatkan guru dalam program yang berbaur politik.

Selain itu, kunjungan tersebut bagi mengetahui perkembangan terhadap kes Cikgu Hanimah Mohd Haniff dari Melaka yang dipecat dari tugas beliau kerana masalah kesihatan.

Walaupun pihak perubatan sudah memberikan pengesahan bahawa beliau masih boleh berkhidmat, tetapi perkara itu tidak dipandang oleh KPM. Begitu juga kes Cikgu Abdul Karim Deraman dari Kelantan.

Abdul Karim yang mengidap kemurungan juga mendapat pengesahan doktor, beliau masih boleh bekerja dan memorandum sudah dihantar kepada Suhakam, namun belum mendapat maklumbalas. – HARAKAHDAILY 3/8/2016                                                                                                                                                                                                                                                                                    Sumber HD - 3-8-2016                                           
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Henti paksa guru hadir program anjuran Umno

HARAKAHDAILY | .
                                           


http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/41969-henti-paksa-guru-hadir-program-anjuran-umno                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  
 Isu Arahan Terhadap Guru Agar Dipaksa Menghadiri Program Anjuran Umno Harus Dihentikan Dan Amat Dikesali

Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) melahirkan rasa kesal dan dukacita atas tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengarahkan guru -guru hadir dalam perjumpaan bersama Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam 'Majlis Bicara AidilFitri Warga Pendidik Bersama Wanita Umno Negeri Johor' bertempat di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), UTHM, Parit Raja Batu Pahat, Johor pada 22 Julai baru-baru ini.

Persoalannya, mengapakah majis bicara warga pendidik bersama Menteri Pendidikan perlu menggunakan platform parti anjuran Wanita Umno Johor sedangkan profesionalisme bidang perguruan seharusnya boleh dibuat atas anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor atau Kementerian Pendidikan Malaysia?

Apa yang paling mendukacitakan senarai guru yang disasarkan telah dikeluarkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat seolah-olah guru 'dipaksa rela' hadir ke program parti dan perlu 'menurunkan tandatangan' sebagai bukti hadir sedangkan masa itu boleh digunakan untuk berehat bersama keluarga pada cuti hujung minggu. Biasanya jika gagal untuk hadir, maka nama guru terbabit akan 'disenaraihitamkan' serta perlu menyatakan sebab ketidakhadiran. Walhal, segelintir guru memang ada urusan keluarga yang penting.

Mungkin juga ada guru yang 'tawar hati' untuk hadir tetapi apabila dibuat atas anjuran sebuah parti politik maka timbul rasa 'benci' atau tidak puas hati kerana program perjumpaan bicara warga pendidik yang matlamat awalnya sebegini baik bersama Menteri Pendidikan, tetapi malangnya dibuat atas platform politik.

Pendidik menegaskan bahawa apa sahaja program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mendatangkan manfaat kepada guru dan pelajar serta hala tuju pendidikan negara disokong serta disambut baik tetapi jika sebaliknya maka teguran akan dibuat terhadap kementerian terbabit sebagai proses 'check and balance'.

Justeru, Pendidik mendesak Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia agar mengambil perhatian serius terhadap beberapa berikut sebelum kebencian warga pendidik semakin memuncak:

1. Guru bukanlah ‘robot’ yang boleh diarah sesuka hati sehingga hak mereka sebagai warganegara Malaysia yang boleh membuat keputusan dalam memilih siapa yang mereka mahukan sebagai pemimpin atau wakil rakyat dinafikan. Tiada sesiapa pun boleh memaksa mana-mana guru agar mengikut arahan yang ‘tidak bertamadun‘ seperti ini.

2. Guru adalah insan yang berkhidmat untuk rakyat dan gajinya dibayar oleh rakyat, bukan dari duit poket Umno Barisan Nasional. Jadi, jangan paksa warga pendidik mengikut telunjuk pemimpin politik dan mencampuradukkan ‘pendidikan’ dengan ‘politik kepartian’ yang akhirnya akan merosakkan masa depan pendidikan negara”.

3. Sebagai penjawat awam, guru memang menjadi ‘pelaksana dasar ‘ dalam apa juga program pendidikan yang telah diputuskan tetapi dari segi hak mengundi dan memilih pemimpin yang mereka mahukan, tiada sesiapa yang boleh memaksa mereka. Hak ini dijamin dalam perlembagaan selaras dengan demokrasi yang diamalkan di negara kita.

4. Bebaskan guru dari sebarang ‘cengkaman politik’ yang cuba mengongkong minda dan jiwa para pendidik yang banyak berjasa dalam memacu hala tuju pendidikan negara di Malaysia yang tercinta selama ini. Cukuplah 59 tahun kita merdeka dan guru telah lama menjadi mangsa percaturan politik pemimpin yang 'rakus kuasa ' hingga memperlakukan guru secara 'zalim' termasuk sengaja menukarkan guru berjauhan daripada keluarga hanya kerana ‘dendam politik’ dan 'tekanan politik' Umno Barisan Nasional.

5. Kami menyeru agar semua warga pendidik, bangkit dengan penuh keberanian agar dapat ‘merobohkan tembok kezaliman’ yang telah lama membelenggu mereka selama ini sekian lama. Hanya dengan memahami hak mereka, sebagai warganegara Malaysia yang bebas menyokong mana-mana pertubuhan politik yang sah dan berdaftar di negara ini, maka guru dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam memilih pemimpin mana yang mereka mahukan demi kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta.

6. NGO Pendidik menyarankan agar mana-mana warga pendidik yang diugut atau menjadi mangsa 'salah guna kuasa' agar segera membuat laporan polis dan membuat pengaduan kepada Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) seberapa segera.

Pendidik tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada SPRM jika berlaku 'salah guna kuasa' yang mengongkong jiwa pendidik seperti ini sekiranya menerima laporan.

“Semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak.” (Petikan dalam Artikel 1 Peristiyharan Hak Asasi Manusia Sejagat)

Normala Sudirman
Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)
AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat

25 Julai 2016/20 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 25/7/2016                                                                                                                                                                                                                                 Sumber HD - 25-7-2016                                                             ----------------------------------------------------------                                                                                                                                                            Persekolahan: Kementerian wajar ikut Kelantan

HARAKAHDAILY | .


Langkah Kerajaan Negeri Kelantan menjadualkan sesi persekolahan 2016 bermula jam 8.00 pagi bagi sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan berikutan perubahan waktu siang yang lebih singkat dari malam adalah penyelarasan bersifat fitrah dan insani.

Ia menunjukkan kepekaan dan tanggung jawab yang murni pihak Kerajaan Negeri Kelantan terhadap pengurusan rutin dilalui rakyat dapat dilaksanakan sesempurnanya, apatah lagi dalam memastikan tuntutan antara solat dan ilmu tertunai sebaiknya.

Keprihatinan seperti inilah sepatutnya dimiliki pemimpin, lebih-lebih lagi sebuah kerajaan bahawa ia berperanan terhadap bukan sahaja hal ehwal duniawi rakyat, tetapi juga membentuk capaian keredaan Allah di hari akhirat kelak.

Sungguhpun mungkin dilihat satu usaha kecil, tetapi perhatian seperti itu sebenarnya memberi kesan besar kepada urusan harian kehidupan. Ia juga menunjukkan interaksi terhadap alam ciptaan Allah di mana pemahaman mengenainya dalam kaitan hidup manusia hakikatnya mengembalikan faedah kepada manusia sendiri.

Misalnya, dengan waktu malam yang lebih panjang itu akan menyebabkan suasana gelap menjadi lebih lama apabila siang muncul sedikit lewat.

Keadaan gelap di awal pagi itu sebenarnya menimbulkan risiko keselamatan terhadap anak-anak pelajar sekolah untuk mengharungi pergerakan ke sekolah.

Maka, mengelak kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi, Generasi menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengambil langkah sama sepertimana Kerajaan Negeri Kelantan menjadualkan waktu persekolahan tersebut.

Dengan langkah tersebut, ia bukan sahaja menghindari kejadian tidak diingini, malah menjadi satu kemudahan kepada rakyat dalam menyusun pergerakan harian mereka di samping menyempurnakan tuntutan agama yang difardukan.

"Memangkin Impian Generasi"

ROSLAN MD ESA
Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi)
17 Rabiulawwal 1437 | 29 Disember 2015 - HARAKAHDAILY 29/12/2015

Sumber HD - 29-12-2015









Isu guru 'duka lara': Moga bukan sekadar retorik











HARAKAHDAILY | .


PERSATUAN Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bersedia untuk mengembalikan semula pasangan warga pendidik yang selama ini  telah lama berjauhan dengan keluarga dan anak.-anak  tercinta .

Statistik dan unjuran guru yang hampir mencecah 30,000 ribu tinggal berjauhan dari keluarga dan pasangan masing -masing, seharusnya telah lama dibuat dan diteliti agar guru yang banyak berjasa dan menyumbang bakti mendidik anak bangsa selama ini, tidak hidup dalam keadaan tertekan  perasaan menanggung kerinduan, sehingga mengundang pelbagai implikasi negatif terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan.

Bagi guru wanita pula yang berjauhan dari suami hingga ke Sabah dan Sarawak, ada yang sehingga terganggu aspek emosi dan kesihatan hingga mengalami keguguran kandungan dan terdedah kepada kebarangkalian keselamatan mereka terancam akibat tinggal bersendirian.

Belum lagi diambil kira emosi anak-anak yang terganggu.

Pendidik mengharapkan agar isu 'Guru Duka Lara ' yang menjadi tumpuan beberapa minggu lalu oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahadzir Khalid bukan hanya retorik politik atau hanya sekadar, melepaskan betuk di tangga.

Isu penempatan guru harus diberi perhatian serius demi kesejahteraan pasangan guru yang selama ini terpisah jauh. Jika guru gembira, mereka akan bekerja dalam keadaan tenang dan emosi mereka tidak mudah diganggu dengan gejala 'stress' yang akan menurunkan motivasi bekerja mendidik anak bangsa.

Pendidik sangat mengharapkan pasangan guru yang tinggal berjauhan dapat 'didekatkan' seberapa segera tetapi pasangan guru yang tinggal berdekatan jangan 'dijauhkan' dan 'ditukarkan' hanya kerana 'perbezaan pendirian politik' dengan Umno-BN.

Pendidik mendesak agar parti pemerintah menghormati hak warganegara Malaysia  yang boleh memilih mana-mana pertubuhan politik yang sah dan berdaftar di sisi undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.

Selama 58 tahun, ribuan warga pendidik yang berlainan idealogi politik telah dizalimi, dipindahkan, ditahan kenaikan pangkat, diugut dengan surat pertuduhan yang mengakibatkan tindakan tatatertib  serta ditendang macam 'bola' ke sana ke mari hingga ke pelusuk negeri dan pedalaman tanah air hanya kerana menjadi mangsa 'dendam politik'.

Mereka yang berjawatan dalam Umno di peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM bertindak 'menunjuk 'keangkuhan kuasa' dengan sengaja bersubahat menukarkan warga pendidik yang cemerlang dalam profesionalisme perguruan hanya kerana bersekongkol dan akur serta patuh kepada arahan pihak atasan yang merupakan 'orang politik' yang terutamanya berjawatan sebagai 'Menteri' dari Umno-BN.

Adalah amat  malang sekali apabila 'penjara organisasi' dan 'Akta Perintah Am' dijadikan hujah untuk 'menghalalkan' segala tindakan zalim mereka terhadap penjawat awam seperti warga pendidik ini dengan mengenepikan pertimbangan kemanusiaan terhadap pasangan yang teraniaya dan anak-anak yang tidak berdosa.

Pengumuman KPM bahawa seramai 1,848 orang bagi pertukaran guru yang  diluluskan, hanya jumlah kecil daripada keseluruhan permohonan guru yang ada selama ini

Pendidik merakamkan setinggi-tinggi penghargaan tahniah dan syabas serta jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga pendidik yang terus berdedikasi tinggi dan tabah serta sabar dalam mencurahkan ilmu mendidik anak bangsa walaupun terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan keluarga.

Pendidik menyeru agar guru bangkit menyuarakan kebenaran dan 'merobohkan' tembok kezaliman yang selama ini membelenggu jiwa dan minda pendidik. – HARAKAHDAILY 23/12/2015

NORMALA SUDIRMAN
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)

Sumber HD - 23-12-2015

PT3: Jangan jadikan anak kita tikus makmal

NORMALA SUDIRMAN | .


MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mendakwa bahawa ibu bapa sudah mula memahami dengan lebih baik konsep pelaksanaan Pentaksiran (PT3) yang diperkenalkan sejak tahun lalu. Namun Pendidik (Pendidik - sebuah badan bukan kerajaan) melahirkan kebimbangan dan menyuarakan rasa sangsi atas dakwaan itu.

Beliau menjelaskan bahawa PT3 iaitu empat komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dianalisis oleh pihak sekolah dan bukan dilakukan secara berpusat.

Inilah yang membimbangkan kami kerana Pendidik menerima banyak aduan dan rungutan daripada ibu bapa dan warga pendidik sebelum ini berkaitan cara penandaan markah diberi kepada pelajar dan banyak rungutan yang ditimbulkan akibat kesangsian dari segi keabsahan dan integriti serta akauntabiliti guru yang menanda dan memberi markah kepada pelajar.

Sedangkan guru yang menjadi pelaksana dasar PT3 pun masih belum benar-benar faham cara pelaksanaan dan pemberian markah dibuat, inikan pula ibu bapa.

Meskipun sebagai ibu bapa, mereka mahukan anak-anak mereka mendapat keputusan cemerlang dalam bidang akademik atau semua A, namun yang lebih penting adalah ketelusan dan integriti guru sebagai pemeriksa kertas adalah yang paling penting.

Kebimbangan ramai pihak terutama ibu bapa adalah guru dari sekolah masing-masing boleh terdorong untuk memberikan markah gred A atau ‘meluluskan‘ pelajar hanya  semata-mata untuk menjaga nama baik dan prestasi sekolah, sedangkan hakikatnya pelajar masih lemah dalam pencapaian yang diuji.’
    
Saya sebagai Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan, mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berterusan memberi perhatian serius tentang cara pelaksanaan dan kaedah format Pentaksiran Pelajar Tingkatan 3 (PT3) yang telah dijalankan dan telah bermula sejak bermula April 2014.

Kami ingin mengimbas bagaimana pelaksanaan awal PT3 yang menimbulkan keresahan warga pendidik, sebelum ini telah semakin membuak terutama seawal bulan Jun lagi sedangkan peperiksaan telah bermula seawal Julai 2014. Guru-guru pula masih keliru bentuk pelaksanaan yang telah dilakukan kerana taklimat belum lagi menyeluruh kepada semua pelaksana dasar di peringkat sekolah pada ketika itu.

Sebelum ini, Pendidik telah mendesak KPPM agar memberi taklimat seberapa segera tentang semua proses pelaksanaan instrumen PT3 dan Lembaga Peperiksaan perlu memastikan ia sampai kepada pelaksana dasar kerana masa sudah suntuk dan keresahan semua pihak semakin tidak dapat dibendung lagi.

Setiap hari Pendidik menerima aduan bukan sahaja daripada kalangan guru, malahan juga daripada  ibu bapa dan pelbagai NGO yang prihatin terhadap masa depan anak bangsa.

Pendidik telah mengingatkan sebelum ini dalam suatu kenyataan bertarikh 24 Jun 2014, iaitu yang paling penting sekali semua pengetua dan ketua jabatan harus benar-benar memahami apa itu PT3, supaya mereka bukan hanya tahu memberi arahan semata-mata sebaliknya dibimbangi mereka yang merupakan peneraju utama pentadbiran sekolah rupa-rupanya tidak faham mengenainya.

Ibu bapa pula bimbang sejauhmana ketelusan pelaksanaan yang dibuat dalam keadaan tergesa- gesa ini setelah ditangguhkan sehingga April, kerana apakah mungkin wujudnya ‘double standard’ dalam membuat klasifikasi gred pencapaian kerana guru di sekolah masing-masing yang akan memberi penilaian bukan pemeriksa dari sekolah lain sebagaimana PMR sebelum ini.

Persoalannya, ruang untuk membuat ‘diskriminasi’ kepada pelajar atau wujud ‘sentimen pilih kasih’ mungkin berlaku. Juga semua guru perlu memiliki integriti yang tinggi dan jujur dalam memastikan setiap markah dan gred yang diberi adalah berdasarkan jawapan pelajar semata-mata, bukan sebab hanya mahu meluluskan pelajar atau menaikkan peratus serta prestasi sekolah untuk menggambarkan kepada masyarakat bahawa PBS ini berjaya dan instrumen PT3 dilaksanakan tidak ada sebarang masalah.

Hal ini adalah kerana pihak sekolah dibimbangi akan memilih jalan selamat dengan ‘meluluskan pelajar’ agar tidak dikunjungi atau dipantau oleh pihak Nazir Persekutuan, Pejabat Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah. Akhirnya yang akan menjadi mangsa, adalah pelajar tingkatan tiga yang menjadi mangsa eksperimen dasar PBS yang tidak konsisten dan bercelaru sejak awal pelaksaannya.

Guru-guru pula sebelum ini menjadi terbeban kerana untuk memahami pelaksanaan PT3  dan PBS dalam masa yang cukup singkat, dalam masa yang sama, perlu melakukan kerja-kerja perkeranian yang tidak berkesudahan sungguhpun tidak perlu bangun malam untuk memasukkan data sehingga jam 2 atau 3 pagi akibat akses dan capaian internet yang cukup rendah sebelum ini. Semua telah  menganggu tugas dan fokus guru dalam mencurahkan ilmu kepada pemimpin masa hadapan.

Ada ibu bapa yang bertanya, jika mereka bukan ahli atau penyokong Umno Barisan Nasional, apa jaminan anak mereka tidak akan menjadi mangsa ‘dendam politik’ guru-guru yang berjawatan Umno di sekolah. Sedangkan  sejak 58 tahun lalu, walalupun guru tersebut guru yang cemerlang tetapi dianggap propembangkang berisiko ditukar ke sana sini.

Inikan pula kami sebagai ibu bapa pelajar yang tidak dianggap menyumbang atau berjasa apa-apa dalam dunia pendidikan Malaysia.

Pendidik menerima banyak aduan dan rungutan tentang keresahan warga pendidik dan ibu bapa yang melahirkan kebimbangan tentang pelaksanaan PT3 yang dianggap hasil dasar pendidikan yang tidak konsisten dan bercelaru sejak PBS mula dilaksanakan.

Pada 1 hingga 18 Julai 2014, peperiksaan kali pertama telah melibatkan instrumen bagi Subjek Sejarah dan Geografi. Manakala ujian kemahiran mendengar dan bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula antara 6 hingga 29 Ogos 2014. Jadi, ini bukanlah perkara yang harus dipandang ringan oleh Kementerian Pendidikan  Malaysia.

Sebab itulah sejak awal pelaksanaan PBS pada tahun 2012, Pendidik telah menghantar memorandum ke Dewan Rakyat memohon agar PBS dikaji semua. Diikuti dengan bantahan secara serius  pada 22 Februari 2014 dalam ‘Himpunan Mansuh PBS’ di Bandar Baru Bangi. Himpunan ini adalah untuk mendesak agar PBS dimansuhkan serta merta, sementara kajian rintis dilaksanakan dengan baik sebelum diteruskan.

Pendidik meneruskan desakan sekali lagi, melalui penyerahan memorandum ke Suhakam, Kementerian Pendidikan di Putrajaya dan Parlimen Malaysia pada tahun ini agar isu ini diambil perhatian.

Kini, warga pendidik dan pihak sekolah juga berdepan dengan dilema kerana pelaksanaan PT3 membebankan ‘pelaksana dasar’ iaitu warga pendidik  dan pelajar.

Jika dulu pertanggungjawaban atau akauntibiliti untuk menjaga kerahsiaan soalan PMR Tingkatan 3 adalah tanggungjawab  Lembaga Peperiksaan Malaysia, tetapi kini apabila PT3 dilaksanakan, ia telah diperturunkan terus kepada pihak sekolah yang terpaksa menyediakan ‘bilik kebal’ dan prasarana yang lengkap. Jika soalan UPSR pun boleh bocor, apa jaminan soalan ini terpelihara dengan baik tanpa berdepan dengan risiko ‘bocor’? Bagaimana pula dengan sekolah luar bandar yang kurang persediaan prasarana, sejauh mana boleh dipastikan kes bocor soalan tidak berlaku.

Jika dahulu, guru yang dilantik menjadi pengawas peperiksaan dan penanda kertas soalan menerima sedikit imbuhan, kini semuanya telah tiada sejak pelaksanaan PT3. Guru perlu menyedia kertas soalan, menanda markah pelajar masing-masing dan memastikan kertas soalan di ‘bilik kebal’ sekolah masing-masing selamat.

Dahulu pengawas peperiksaan dan penanda markah kertas soalan dilakukan di sekolah atau negeri yang berlainan dari mereka berkhidmat agar tidak pilih kasih dalam pemberian markah pelajar. Namun kini, tidak berlaku. Semuanya dari sekolah masing- masing.

Yang paling mengejutkan lagi, jika dahulu ketika pelajar tingkatan 3 ini digambarkan bahawa tidak ada peperiksaan pada tingkatan 3 kerana mereka tidak diberi gambaran akan menghadapi cara pelaksanaan dan format peperiksaan, sejak tingkatan 1 dan tingkatan 2, tetapi akhirnya pelaksanaan PT3 yang dilakukan secara tidak teratur dan tergesa- gesa sangat mengecewakan pentadbir dan warga pendidik dan pelajar.

Hal ini kerana sangat jelas kurangnya persediaan di kalangan ‘pembuat dasar’ dan ‘pelaksana dasar’ dalam pelaksanaan PBS dan PT3 ini yang akhirnya ‘memangsakan pelajar’.

Warga pendidik pula berdepan dengan ‘tekanan kerja melampau’  yang menganggu tumpuan mereka mengajar akibat tugas-tugas perkeranian yang membebankan seperti memasukkan data markah pelajar, menyedia soalan, menanda, mengawasi peperiksaan yang dijalankan termasuk diarahkan agar memastikan murid tingkatan 3 ini menjalani peperiksaan akhir tahun, walaupun baru selesai menghadapi peperiksaan PT3.

Pelajar tingkatan 3 juga merungut kerana ‘stress’ akibat pelaksanaan dasar bentuk baharu ini kerana sebaik sahaja menjalani peperiksaan PT3, mereka terpaksa sekali lagi menjalani peperiksaan akhir tahun. Sekali lagi guru sekolah dibebankan dengan tugas penandaan dan memasukkan data dalam selang waktu yang sangat singkat

Kami mengharapkan pihak ibu bapa di seluruh Malaysia melalui PIBG di sekolah masing-masing, mengambil perhatian dengan mendesak pihak KPM menilai semula kaedah pelaksanaan PT3 sebelum terlambat. Ini adalah kerana, yang akan menjadi mangsa eksperimen dan tikus makmal adalah anak bangsa kita juga. – HARAKAHDAILY 18/12/2015

Penulis ialah Presiden NGO Pendidik (Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan) merangkap  AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat

Sumber HD - 18-12-2015



Tugas Pertama Mahdzir Khalid Batalkan Ketetapan Muhyiddin Pasal Cuti Sekolah?

Posted on Monday, August 03 @ 14:05:31 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Setelah dilantik menjadi Menteri Pelajaran, DS Mahdzir Khalid dikatakan telah membatalkan ketetapan yang telah diumumkan oleh TS Muhyiddin Mat yassin di Dungun bahawa cuti banjir yang dilanjutkan pembukaan sekolah tidak perlu diganti.



TS Muhyiddin pernah mengumumkan bahawa seminggu cuti permulaan buka sekolah tidak perlu diganti ketika beliau berada di Dungun, Terengganu.

Malangnya tak sampai pun seminggu selepas TS Muhyiddin dipecat daripada Menteri Pelajaran, Cuti berkenaan telah diwajibkan ganti pada hari Sabtu.



Di Terengganu cuti berkenaan pada 5 - 8 Jan 2015 diganti setiap Sabtu bermula 8 Ogos sehingga 3 Oktober 2015.

Pihak kami cuba mendapat maklumat daripada negeri lain samada arahan yang bercanggah dengan kenyataan Menteri Pelajaran lalu ini hanya tindakan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu semata-mata atau arahan daripada Menteri Pelajaran baru?

Malangnya tiada hitam putih ini arahan siapa yang cuba mengganti cuti berkenaan.

Apakah Pengarah JPNT yang baru ini juga suka membuat tindakan tidak mengikut prosedur dan peraturan sedia ada?

Guru Malang

Sumber TKO - 3-8-2015

Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak

Posted on Sunday, May 17 @ 11:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah


1. Rasulullah saw adalah mahaguru yang membina minda, emosi dan akhlak manusia sehingga terbangunnya satu tamadun kemanusiaan berpaksikan ubudiyyah pengadian diri kepada Allah.

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ


"Dialah yang mengutuskan di kalangan orang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis- orang Arab) seorang Rasul daripada kalangan mereka juga, yang membacakan ke atas mereka ayat-ayat-Nya, mensucikan mereka dan mengajar kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah meskipun mereka sebelumnya dalam keadaan sesat tanpa ilmu, yang nyata." (Surah Jum'ah ayat 2)


2. Berbahagialah mereka yang mewarisi tugasan sebagai seorang GURU dan pendidik kerana telah berbuat suatu amal yang berpanjangan kebaikan dan pahalanya, iaitu menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Setelah meninggal dunia pun, kebaikan pahala ini akan terus dapat dinikmati oleh guru-guru semua.

Sabda Nabi s.a.w., maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda’ : “Apabila anak Adam (manusia) telah meningal dunia, maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya”. (Riwayat Muslim)

3.    Bersempena dengan Sambutan Hari Guru 2015 yang bertemakan “Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”, saya ingin menyarankan kepada Kerajaan untuk memberikan perhatian kepada beberapa perkara berikut :

(a)    Menaikkan gaji bulanan guru bersesuaian dengan bebanan keguruan yang semakin bertambah. Juga sebagai suatu pengiktirafan terhadap warga pendididik, justeru meningkatkan lagi penghormatan masyarakat terhadap golongan ini di atas jasa besar membangunkan bangsa dan ketamadunan negara kita.

(b)    Memberikan perhatian dan pembelaan kepada guru-guru yang berkhidmat di sekolah-sekolah swasta dan institusi-institusi pondok dengan menyediakan suatu dana khusus bagi menyelesaikan dan membantu isu gaji dan kebajikan mereka.

(c)    Mengembalikan hak guru yang berpasangan untuk tinggal bersama dengan tidak memisahkan mereka oleh penempatan yang berjauhan – polisi berkenaan penempatan mesti disemak semula dan urusan perpindahan mesti dipermudahkan. Lokasi berjauhan ini hanya akan memberi kesan psikologi yang negatif kepada guru berkenaan dan menyukarkan pelaksanaan tanggungjawab terhadap tanggungan mereka.

(d)    Mengurangkan bebanan perkeraniaan yang perlu dibuat oleh guru seperti setelah pelaksanaan sistem PBS.

(e)    Mengelakkan sentimen politik kepartian sehingga mengakibatkan ada sebahagian guru dihukum dan dinafikan hak atau tidak mengalami kenaikan pangkat disebabkan masalah ini. Guru-guru sepatutnya dinilai berasaskan prestasi tanpa melibatkan sentimen politik kepartian.

3.    Kepada mereka yang anaknya menerima didikan seorang guru, berilah hak penghormatan kepada mereka. Guru bukannya peniaga yang dinilai berdasarkan dagangannya kerana nilai ilmu tiada nilainya. Janganlah guru dianggap si makan gaji lalu diperlekehkan kedudukannya dan tidak diperendahkan kebajikan mereka.

4. Hubungan antara guru dengan muridnya atau pensyarah dengan pelajarnya; umpama hubungan ibu dan bapa dengan anaknya. Tersangat istimewa dan tersangat mulia. Gurulah yang mencorak fitrah manusiawi dalam diri kita. Merekalah yang mendidik kita membuat pilihan untuk menentukan jalan kehidupan, lalu kita menyelusurinya. Bertuah kita, kerana tunjuk ajar mereka, dapatlah kita meniti di jalan yang benar.

5.    Kepada semua warga pendidik; para guru, pensyarah dan ulamak, saya mengucapkan “Selamat Hari Guru”. Semoga sentiasa mendapat petunjuk, keampunan dan kasih sayang daripada Allah s.w.t. dan sentiasa menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai teladan teragung dalam bidang pendidikan yang telah membahagiakan ketamadunan kemanusiaan sejagat. Terima kasih kerana telah mendidik kami dan anak-anak kami.

6.    Pesan saya kepada penuntut ilmu, beradablah dengan gurumu sebagaimana Nabi Musa alaihissalam dengan gurunya Khidr alaihissalam yang diceritakan dalam al-Quran. Berterima kasihlah kepada pensyarahmu, muliakanlah para ulamak di sisimu dan doakanlah kebaikan untuk mereka semua; sesungguhnya inilah penghargaan terbesar dan yang sebenarnya untuk mereka – kerana, merekalah yang telah membina ilmumu dan menyempurnakan akhlakmu.

Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan DUPP

Sumber TKO - 17-5-2015















Bangkitlah para guru mempertahankan hak















NORMALA SUDIRMAN | .


Warga pendidik lebih sinonim sebagai ‘arkitek pembangunan negara’ atas jasanya membangunkan, mencorakkan dan mewarnakan hala tuju pendidikan negara bagi melahirkan generasi pelapis pada masa akan datang.

Natijahnya, banyak kejayaan telah diraih oleh mereka dalam usaha memajukan pencapaian akademik, kokurikulum, kepimpinan, akhlak dan multi disiplin ilmu dan peribadi yang terpuji.

Di tangan para gurulah terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem pendidikan rabbani.

Sudah tentunya, 'kebangkitan semangat guru untuk terus membela rakyat' yang diperjuangkan oleh para guru di seluruh Malaysia bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya, guru adalah 'agen' perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai 'kemerdekaan' tanah air.

Gurulah yang membentuk 'jiwa dan minda merdeka' dari segala belenggu pemikiran negatif dalam kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.

Pendidik ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh Malaysia agar 'berani' membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara lebih terarah agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.

Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan.

Beranilah menyuarakan pendapat melalui 'lisan dan mata pena' demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki hala tuju yang jelas.

Mantapkanlah jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi. - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Penulis ialah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)

Sumber HD  - 15-5-2015

'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak'
















AYU DALITA PENDEK | .


KUALA LUMPUR: Ramai yang berkata perkembangan teknologi, maklumat dan komunikasi, umpamanya akses kepada Internet, mempengaruhi cara pendidikan dan pembelajaran di sekolah.
  
Seiring peredaran zaman ini, guru-guru dilihat perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat secukupnya untuk mendidik dan menyampaikan ilmu, kata Presiden Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB) Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad.
  
Tema sambutan Hari Guru tahun ini 'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak' juga dilihat mengambil kira keperluan ini, iaitu dalam memastikan anak bangsa berjaya, berilmu dan berakhlak, guru-guru berperanan penting untuk menentukan cara pendidikan yang bersesuaian dengan peredaran masa.
  
Guru Besar Sekolah Kebangsaan St Thomas Kuantan Pahang itu berkata berkata zaman dahulu murid bergantung semata-mata dengan apa diberikan guru.
  
"Keadaan itu memerlukan guru menggunakan segala pengalaman yang ada kerana tiada kemudahan Internet meluas seperti sekarang," katanya kepada Bernama di sini.
  
"Bagi mengelakkan murid tidak merasa bosan dalam kelas, guru tidak boleh mengajar mengikut kaedah lama, guru juga perlu kreatif," katanya yang sudah berkhidmat selama 34 tahun.
  
Mohamed Sabri berkata soal guru yang dikatakan dibebankan dengan tugasan pentadbiran sekarang juga ada kaitan dengan perkembangan ini, kerana peningkatan pendidikan di sekolah kini dijadikan antara penanda aras kemajuan sesebuah negara di peringkat global.
  
"Jadi hanya guru yang mengajar mengetahui pencapaian murid mereka sendiri, dan lebih baik mereka menyediakan sendiri laporan prestasi pelajar," katanya.
  
Ahli jawatankuasa (AJK) Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Othman Lebar berpendapat cabaran pengajaran dan pembelajaran masa kini lebih berkait rapat dengan perubahan kehidupan.
  
Perubahan sosial, teknologi dan ekonomi, katanya, menuntut perubahan yang menyeluruh dalam aspek amalam perguruan itu sendiri.
  
Beliau berkata guru perlu menguasai perkembangan teknologi untuk memastikan peranan guru kekal relevan kerana pelajar lebih banyak terdedah serta mudah memperolehi maklumat dalam pelbagai sumber.
  
"Mahu tidak mahu cabaran itu perlu disahut para guru untuk memastikan pelajar lebih tertarik dan tidak bosan untuk mengikuti pembelajaran dalam kelas," katanya.
  
Mengenai cabaran berdepan masalah disiplin, guru perlu tangani dengan pendekatan berbeza, katanya.
  
Kini pendekatan menghukum atau mendenda tidak lagi dilihat sebagai penyelesaian terbaik sebaliknya pelajar bermasalah perlu dibantu dan dibimbing secara diplomasi.
  
Namun, masalah itu tidak wajar diletakkan pada bahu guru semata-mata, ibu bapa juga perlu membantu dalam pengurusan tingkah laku anak-anak, hubungan rapat kedua-dua pihak amat diperlukan
  
Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini menyaksikan Kedah menjadi tuan rumah dan majlis pelancarannya dijadual disempurnakan Timbalan Perdana  Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mei (esok). - BERNAMA

Sumber HD - 15-5-2015

Pendidik, Hesa anjur himpunan warga pendidik 16 Mei

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) sebuah entiti di bawah Lajnah Pendidikan PAS Pusat dengan kerjasama Pertubuhan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah (Hesa) bakal menganjurkan satu pertemuan yang akan menghimpun dan meraikan warga pendidik di seluruh Malaysia.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata himpunan itu bakal diadakan 16 Mei ini bertempat di Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks Batu 9, Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Katanya, tujuan program Himpunan Pendidik Islam Malaysia 3.0 itu diadakan adalah untuk membina rangkaian hubungan yang rapat antara pendidik, ustaz dan ustazah seluruh Malaysia.

Menurut beliau, himpunan itu juga diadakan bagi meraikan guru-guru, tokoh-tokoh pendidik dan pengurus pendidikan pelbagai institusi dari seluruh pelosok tanah air.

Tambahnya, majlis itu akan diserikan lagi dengan kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan pidato ucaptama seusai menerima anugerah ‘Tokoh Murabbi Ummah'.

Katanya lagi, tazkirah dalam slot Kalam Murabbi Ummah akan disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Turut mengisi program ialah Adik Haikal Firdaus Jaafaruddin, 12, dari Johor yang dijemput untuk mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan persembahan nasyid kumpulan Far East. - HARAKAHDAILY 13/5/2015

Sumber HD - 13-5-2015


















Pecat Cikgu Izzat, Pendidik rujuk Suhakam

SALMIYAH HARUN | .


KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) akan merujuk kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung pemecatan seorang guru Mohd Nor Izzat Johari ekoran mengkritik pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Presiden Pendidik Normala Sudirman berkata, perkara ini akan dipanjangkan kepada Suhakam kerana tindakan memecat guru berkenaan jelas menzalimi warga pendidik hanya kerana beliau berani mengkritik Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

"Hanya kerana keberanian beliau yang dianggap lantang mempertikaikan pelaksanaan PBS bersama Pendidikan yang lain maka beliau dihadiahkan dengan 'surat pemecatan 'yang jelas melambangkan tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

"Walaupun beliau diberi peluang untuk menjawab surat tindakan tata tertib yang diterima sebelum ini, beliau tidak pernah diberi peluang membela dirinya di hadapan panel tata tertib secara bersemuka dan ini telah melanggar hak asasi manusia," tegas Normala.

Sebelum ini, pihak Pendidik telah menghantar memorandum ke Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Parlimen dan Putrajaya bantahan terhadap pertukaran Cikgu Izzat yang dilakukan secara tergesa-gesa.

Bagaimanapun tambah Normala, keegoan segelintir pemimpin yang memegang tampuk tertinggi dalam bidang pendidikan di KPM masih membenarkan kezaliman ini.

"Saya menyeru kepada warga pendidik di seluruh Malaysia agar bangkit dari lena yang panjang. Berani merobohkan tembok kezaliman dan tegakkan keadilan dalam dunia perguruan yang kian diperlekehkan oleh mereka yang tidak berperi kemanusiaan," katanya.

Justeru, tegas beliau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah juga memainkan peranan penting untuk membantah sebarang tindakan zalim ini kerana yang akan menjadi mangsa adalah anak cucu mereka juga.

Pendidik menyeru agar semua pimpinan dan ahli di semua peringkat negeri dan peringkat kawasan mengadakan 'Solat Hajat Perdana Membantah Kezaliman Terhadap Warga Pendidik' dalam waktu terdekat agar nasib guru terbela setelah 58 tahun negara merdeka.

Cikgu Izzat salah seorang wakil guru yang menyuarakan rasa tidak puas hati dalam kalangan para guru terhadap pelaksanaan PBS yang tidak praktikal.

Ekoran kelantangannya beliau diarahkan bertukar sekolah serta merta berkuatkuasa pada 17 Febuari 2014, namun pada 8 April 2015 Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran melalui surat rasminya telah memutuskan Cikgu Izzat dikenakan tindakan tata tertib dengan hukuman membuang kerja berkuat kuasa mulai 31 Mac 2015. – HARAKAHDAILY 22/4/2015

Sumber HD - 22-4-2015


















Yuran sekolah percuma, mohon budi bicara kerajaan

Posted on Saturday, January 10 @ 23:02:42 MYT by paktam

WALAUPUN sesi persekolahan tahun 2015 ditunda kepada 11 dan 12 Januari , masalah untuk meneruskan alam persekolah amat sukar bagi mangsa-mangsa banjir. Kita sedia maklum, sekiranya tidak berlaku banjir sekalipun, terdapat ramai ibu bapa yang berdepan dengan masalah besar dalam menyediakan barangan keperluan sekolah anak-anak di samping yuran-yuran yang sangat membebankan mereka.



Kenaikan caj perkhidmatan bas sekolah, kenaikan pelbagai harga barangan peralatan sekolah dan sebagainya menyebabkan ada ibu bapa yang terpaksa meminjam, melakukan dua tiga kerja dalam sehari semata-mata untuk menyediakan keperluan sekolah anak.

Akhirnya terdapat masalah lain yang menimpa mereka, termasuk masalah kesihatan kerana melakukan kerja tidak henti-henti dan masalah sosial anak-anak yang terbiar kerana kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk menyekolahkan anak-anak. Apatah lagi kini berlaku banjir besar, maka beban berganda tersandar di bahu mereka. Menyelami masalah tersebut Presiden NGO Pendidik, Normala Sudirman yang diwawancara Wartawan Harakah, ROY RASUL berkata bagi meringankan beban mangsa banjir tidak ada salahnya jika keperluan untuk yuran ataupun peralatan sekolah dan sebagainya diberi percuma. Ikuti wawancara bersama beliau

WARTAWAN: Mala petaka banjir yang berlaku di negara ini khususnya di Kelantan sangat dahsyat. Dalam keadaan itu semestinya ibu bapa yang mempunyai anakanak bersekolah akan bertambah sengsara untuk meneruskan hidup. Sebagai Presiden NGO Pendidik, apa pandangan saudari?

NORMALA: Kita mengharapkan mudahmudahan mangsa banjir terutamanya di Pantai Timur tabah menempuh dugaan dan sabar dengan ujian yang menimpa itu.

Insya-Allah, Allah akan memberi ganjaran pahala sabar kepada mereka dalam ujian yang hebat itu. Kita juga mengharap tanggungjawab kerajaan pusat agar prihatin terhadap mangsa banjir itu bukan sahaja daripada aspek persediaan awal tahun anak-anak untuk ke sekolah tetapi prasarana seperti buku-buku ataupun pakaian dan sebagainya.

Namun, bagaimana pula dengan ibu bapa yang terpaksa membayar yuran dan lain-lain.
Jadi kita mengharapkan ada budi bicara untuk penangguhan sekiranya kewangan tidak mencukupi untuk mangsa banjir membayar yuran menyediakan barangan persekolahan anak-anak ataupun buku, alat tulis dan sebagainya. Ini kerana mereka hadapi trauma yang hebat bukan sahaja dari segi emosi tetapi kehilangan keseluruhan termasuk ada rumah yang hanyut.

Sudah pasti ini memerlukan keprihatin daripada kerajaan pusat, Kementerian Pelajaran dan juga di samping kerajaan negeri berusaha membantu memulih kesemuanya dalam waktu terdekat.
Dalam pada itu budi bicara terletak di tangan pihak sekolah atau kementerian.

Sekiranya ini ruang untuk meringankan beban mangsa banjir tidak ada salahnya jika keperluan untuk yuran ataupun alat tulis, buku sekolah, buku kerja dan sebagainya diberikan percuma. Ini yang dikatakan matlamat pendidikan percuma kepada rakyat. Maknanya ia bermula di sini dan ini akan dilihat lebih menjiwai denyut nadi rakyat. Ini kerana Malaysia boleh belanja wang berjuta untuk dua ekor panda kenapa tidak kepada mangsa banjir seperti.

Kerajaan ada umumkan akan memberi bantuan kepada mangsa banjir contohnya akan percepatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).Pada pandangan saudari bantuan seperti ini memadai atau tidak dengan musibah yang menimpa mereka?

Secara rasional atau logiknya ia tidak mencukup hanya dengan bantuan BR1M. Sebabnya dengan bantuan ‘one off’ secara terus begitu tidak mencukupi. Sebenarnya rakyat mengharapkan lebih daripada itu terutama ibu bapa atau rakyat yang susah mengharapkan bantuan yang lebih daripada itu.

Bukan sahaja BR1M tetapi prasarana yang lain perlu diambil kira tentang keprihatinan kerajaan.
Maknanya slogan rakyat didahulukan bukan retorik semata-mata tetapi perlu direalisasikan serta membuat tindakan untuk membantu.Satu lagi yang perlu diberi keprihatinan daripada Kementerian Pelajaran ialah warga pendidik yang menanda kertas soalan kerana mereka juga terlibat dengan mangsa banjir.

Keprihatinan pentadbir sekolah dan Kementerian Pelajaran sangat penting dan perlu mengambil kira kebajikan bukan sahaja kepada anak-anak sekolah tetapi juga warga pendidik.

Ini kerana sebahagian sekolah masih menjadi pusat pemindahan banjir.Prasarana itu juga perlu diambil kira oleh kementerian dan kerajaan pusat untuk meringankan beban rakyat tidak kira golongan sama ada pendidik, pelajar dan ibu bapa. Mereka ini penting dalan sisem pendidikan negara.

Baru-baru ini kerajaan umum akan siapkan sekolah-sekolah yang rosak dalam banjir tempoh hari dengan cepat.

Jadi apabila dipercepatkan ia dibimbangi akan berlaku perkara yang tidak diingini sebagaimana terjadi dalam projek makmal sekolah yang banyak runtuh. Jadi pemantauan perlu dibuat kerajaan, apa pandangan saudari?

Saya bersetuju bahawa kerajaan perlu pantau persediaan prasarana yang akan dibina semula. Ini kerana kita mahu audit dibuat dengan telus dan kita tidak mahu projek yang dilakukan itu ada agenda di sebalik itu seperti diberi kepada kroni umpamanya.Kita mahu saluran itu betul-betul diberi kepada rakyat.

Ia juga perlu ada ketelusan, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dari semua pihak termasuk kementerian dan kerajaan pusat melihat perkaraperkara seperti itu. Selain itu kita juga minta saluran sama ada dalam bentuk kewangan atau bentuk barang keperluan kepada rakyat khususnya di Pantai Timur yang ditimba bencana banjir itu jangan ada karenah teknikal biro karenah birokrasi yang ada sentimen politik kepartian yang dicampur-aduk dalam sistem pendidikan antarabangsa.

Contohnya perlunya ditampal logo dan sebagainya kerana proses tersebut akan melambatkan usaha untuk memulihkan emosi, prasarana yang dibuat dan sebagainya.Maknanya karenah birokrasi campur tangan politik kepartian kita tidak mahu diangkat sangat dalam keadaan sangat memerlukan perhatian daripada kerajaan pusat khasnya.

Sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang pendidikan apa bantuan yang saudari lihat perlu diberikan oleh kerajaan kepada murid-murid dan para guru ketika mereka menghadapi musibah seperti itu?

Kami dari NGO Pendidik melihat murid-murid bukan sahaja memerlukan bantuan perbelanjaan persekolahan dalam keadaan ibu bapa tidak dapat bekerja malah mereka memerlukan khidmat kaunseling.Ini kerana mereka mengalami trauma yang maha hebat dan mungkin anak-anak ini akan terganggu dari segi persediaan mereka hendak belajar kerana bersedih dan sebagainya.

Apa tindakan daripada NGO Pendidik dalam membantu mangsa banjir khususnya para pelajar?

NGO Pendidik meluluskan beberapa peruntukkan dalam waktu terdekat dalam satu misi kemanusiaan ke Pantai Timur berupa barangbarang keperluan, pakaian dan wang tunai.Kita juga akan menziarah seorang guru yang terkorban dalam banjir di Terengganu barubaru ini semata-mata mahu menyelamat kertas soalan peperiksaan. Kami akan menyantuni anak-anaknya yang seramai enam orang itu.

Paling meninggal kesan kepada kami, pengorbanan seorang warga pendidik, Nurhayati Sulong yang meninggal dunia dalam tragedi banjir itu. Kita akan turun bersama dengan peruntukan yang besar daripada NGO Pendidik untuk menyantuni mangsa banjir iaitu anak-anak yang bersekolah dan warga pendidik yang diuji dengan ujian hebat itu.

Harapan NGO Pendidik terhadap masyarakat dalam membantu mangsa banjir khususnya warga pendidik dan murid untuk menghadapi alam persekolahan tahun 2015 ini.

Saya mengharapkan supaya warga pendidik, ibu bapa dan juga anakanak yang bersekolah tabah menempuh ujian dan dugaan oleh Allah SWT. Banyakkan berdoa dan mudah-mudahan Allah akan mengganti dengan yang lebih baik pada masa akan datang.

Kami juga akan terus menghantar bantuan dari masa ke semasa melalui akaun pengurusan NGO Pendidikan yang diwujudkan beberapa ketika yang lalu. Melalui tabung kewangan ini kita akan terus menyantuni warga pendidik dan juga anak-anak yang bersekolah.

Sekiranya para dermawan ingin menyumbang kita sangat mengalu-alukan di atas keprihatinan mereka dan sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun Pendidik Managemant: 562834629323 (Maybank Islamic)

Sumber DD - 10-1-2015

Soalan UPSR: 4 sudah bocor, apa lagi yang tinggal

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) melahirkan rasa kesal dan dukacita atas berita yang menggemparkan sekali lagi persada pendidikan negara iaitu dakwaan kebocoran soalan UPSR bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil hari ini.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman menggesakan agar tindakan sewajarnya diambil dan penubuhan suruhanjaya bebas yang telus serta berintegriti harus berperanan secara optimum dan efektif terhadap tragedi malang ini.

"Ia amat memalukan dan mencalar imej Kementerian Pendidikan Malaysia dan profesionalisme perguruan serta sejarah pendidikan di Malaysia.

"Saya mewakili warga pendidik di Malaysia ingin mendesak agar tindakan adil dan saksama di ambil, tanpa memilih siapa dan apa pangkat mereka," katanya.

Tambahnya, jika mereka yang membocorkan soalan itu terdiri dari orang atasan di Kementerian Pendidikan Malaysia atau Lembaga Peperiksaan Malaysia, maka tindakan tegas harus diambil.

"Jangan 'ikan bilis' ditangkap, digari dan dihina walaupun belum terbukti bersalah tetapi 'jerung' dilepaskan. Jangan bersikap 'double standard'," tegasnya lagi yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan PAS Pusat.

Katanya, masyarakat melihat guru ditangkap di sana sini, tangannya digari dan ditahan reman namun siapa pula orang atasan yang terlebih awal membocorkan soalan.

"Mana mungkin guru boleh dituduh sebegitu rupa jika 'orang atasan' di KPM tidak memulakannya," ujarnya lagi.

Katanya, NGO Pendidik menerima banyak aduan warga pendidik yang marah atas apa yang dilakukan terhadap guru yang didakwa.

Menurutnya, mereka belum dibuktikan bersalah tetapi telah ditangkap dan digari sedemkian rupa.

"Mereka bertanya di manakah Menteri Pendidikan dan orang KPM yang selama ini diharapkan membela maruah warga pendidik dalam profesionalisme perguruan tetapi sewenang- wenangnya membiarkan martabat guru diinjak dan diperlekehkan di hadapan masyarakat dan pelajar di dada akhbar," katanya.

Beliau menambah, jika isu kebocoran soalan itu tidak dapat ditangani dengan penuh ketelusan dan berintegriti, Pendidik mendesak agar Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Ini, ujar beliau kerana setakat ini empat matapelajaran didakwa bocor.

"Jadi apa lagi yang tinggal, tinggal 1 atau 2 lagi matapelajaran yang belum dilaporkan. Kita bimbang ada lagi soalan matapelajaran yang bocor juga.

"Kita tidak tahu mungkin esok atau lusa ada lagi laporan polis dibuat," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

Sumber HD - 22-9-2014





















Soalan bocor: Murid, ibu bapa dan guru paling terkesan

AHMAD DANIAL | .
MELAKA: PAS Negeri Melaka kesal dengan kejadian kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 sehingga ianya menyusahkan semua pihak.

Pesuruhjayanya, Adly Zahari berkata kebocoran soalan peperiksaan UPSR 2014 amat dikesali dan ianya sesuatu yang dapat dihindari jika semua pihak mengambil langkah-langkah pencegahan dari awal.

"Saya amat simpati kepada ibu bapa, murid, guru dan pentadbir yang telah bertungkus lumus menjaga amanah dan diharap mereka bersabar"

"Pihak kementerian harus bertanggungjawab untuk memastikan isu soalan bocor ini tidak terus berulang. Mereka yang didapati membocorkan soalan wajar diambil tindakan." ujar beliau.

Adly berkata sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sebagai satu-satunya penilaian kepada seseorang pelajar juga menjadi pendorong kepada kebocoran kertas soalan UPSR tersebut.

"Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menganggap beliau disabotaj adalah bersifat peribadi dan mementingkan diri. Murid, Ibu Bapa dan Guru-Guru sebenarnya lebih terkesan."

"Saya mengingatkan diri saya dan warga Malaysia, membocorkan soalan adalah suatu kesalahan dan memanjangkan soalan bocor dan jawapannya adalah juga suatu kesalahan" tegas beliau.

Semalam Kementerian Pendidikan mengesahkan kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris telah bocor dan pelajar-pelajar yang terlibat dikehendaki menduduki semula peperiksaan tersebut.

- HARAKAHDAILY 12/9/2014

Sumber HD - 12-9-2014

Pendidik gesa wujud JK Khas siasat soalan bocor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK) mendesak kerajaan mewujuddkan satu Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat kes soalan Sains dan Bahasa Inggeris 1 & 2 UPSR yang bocor.


Presidennya, Normala Sudirman berkata pihaknya berasa kesal dan dukacita terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM) atas insiden tersebut.

“Satu Suruhanjaya Bebas perlu dibentuk seberapa segera untuk menyiasat insiden yang berlaku agar kejadian yang sama tidak akan berulang pada peperiksaan yang lain seperti SPM ,STPM atau PT3.”

"Kita mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia menyiasat perkara ini secara terperinci dan mengheret pihak yang bertanggungjawab membocorkan soalan UPSR ini ke muka pengadilan.

"Hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada semua agar bersifat telus, berintegriti dan jujur dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dalam bidang pendidikan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, implikasi yang berlaku adalah peperiksaan bagi matapelajaran tersebut telah ditangguh dan ditunda ke tarikh 30 September 2014 iaitu lebih dari dua minggu atau 20 hari dari tarikh asal.

Apa yang pasti ujarnya, peristiwa ini telah mencalar imej KPM dan integriti LPM sehingga akan timbul keraguan di kalangan ibu bapa, pelajar, warga pendidik dan masyarakat bagaimana ianya boleh berlaku sedangkan UPSR adalah konotasi kata bagi Ujian Pelajaran Sekolah Rendah bagi anak- anak yang berusia 12 tahun.

Turut dipersoalkan, di mana letaknya kejujuran dan sifat amanah yang ada pada ‘orang dalam‘ yang diberi mandat untuk membuat soalan dan menggubal dasar jika perkara yang melibatkan anak- anak berusia 12 tahun bagi UPSR di sekolah rendah pun boleh berlaku.

Katanya, sudah pasti ia suatu peristiwa yang amat memalukan dan mencalar imej Kementerian Pendidikan Malaysia dalam persada pendidikan negara.

“Selain daripada peristiwa ini menjadi suatu sejarah dan titik hitam bagi calon UPSR tahun 2014 yang jumlahnya lebih dari 40,000 orang di seluruh Malaysia ini, ianya sudah pasti menyebabkan mereka berasa kecewa dan secara tidak langsung faktor ini sedikit sebanyak telah menjejaskan emosi pelajar dan motivasi anak–anak UPSR.

"Berkemungkinan besar juga motivasi diri akan menurun kerana mereka terpaksa menjalani peperiksaan bagi 3 kertas matapelajaran tersebut pada 30 September 2014 sedangkan sepatutnya peperiksaan UPSR yang bermula pada 9 hingga 11 September 2014 sepatutnya, telah tamat pada hari Khamis hari ini," tegas beliau lagi.

Tambahnya, bukan setakat itu sahaja malahan perancangan bercuti dan dan mood merdeka selepas menghadapi peperiksaan UPSR yang sepatutnya tamat pasti tergendala.

Beban implikasi insiden ini turut dirasai warga pendidik yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan dan pihak sekolah yang akan menyebabkan berlakunya pertambahan tugas kepada mereka.

"Semoga insiden yang berlaku tidak melemahkan semangat warga pendidik, ibu bapa dan pelajar untuk terus berperanan dalam menyumbang dan mencurah bakti sebagai rakyat Malaysia," tegas beliau.

- HARAKAHDAILY 12/9/2014

Sumber HD - 12-9-2014

No comments:

Post a Comment