BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Wednesday, June 6, 2018

DR RIDHUAN MOHD NOR - AJK PAS PUSAT (JILID 3)

Tutup tahfiz: Hapus dulu pusat hiburan



LANGKAH Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menutup semua pusat tahfiz haram di Kuala Lumpur atas alasan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin perlu dibahaskan secara terperinci dan menyeluruh. Ini kerana jika tindakan itu dibuat, dikhuatiri akan merencatkan perkembangan pendidikan tahfiz. 
Meskipun langkah DBKL itu dilihat positif kerana ia bertujuan mencegah dari kejadian tidak diingini seperti kebakaran, kemalangan, jenayah dan lain-lain, namun dari aspek lain pula ia mewujudkan birokrasi dalam pembelajaran agama.
Kenyataan YB Khalid Samad, Menteri Wilayah Persekutuan itu adalah bertitik tolak daripada kes seorang pengetua pusat Tahfiz yang didakwa atas melakukan kesalahan liwat terhadap sembilan orang pelajarnya di Kepong baru-baru ini. Langkah yang dicadangkan tidak mampu menyelesaikan permasalahan sebenar yang timbul.
Realitinya, kes jenayah seksual seperti liwat, rogol, zina, cabul dan lain-lain kerap kali juga berlaku di sekolah-sekolah yang lain. Sekolah asrama penuh, sekolah harian, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan lain-lain tidak terkecuali dalam merekodkan kes seumpama ini. Ini bukan bermakna kita bersetuju dengan apa yang berlaku di pusat tahfiz di Kepong terbabit, tetapi memfokuskan hanya pada pusat-pusat tahfiz untuk diambil tindakan tegas juga adalah suatu tindakan keterlaluan.
Isu sebenarnya adalah keruntuhan akhlak moral dan harga diri yang melanda masyarakat. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun 2016 merekodkan sebanyak 12,025 kes seksual terhadap kanak-kanak berlaku di negara ini. Ia dipecahkan mengikut kes iaitu 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan mangsa di bawah 18 tahun bagi tempoh 2015 dan 2016.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menunjukkan sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 hingga 2015 dengan purata kes sebanyak 963 kes setahun.
Angka ini menjadi sebab jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah wabak yang membimbangkan negara. Jika sekolah tahfiz yang mengajar didikan agama secara langsung juga gagal mengekang golongan yang bertuhankan syaitan dan nafsu dari bermaharajalela, tidak dapat dibayangkan bagaimana dengan kelompok yang jauh dari pegangan dan pendidikan agama. Soalnya, jika menutup pusat tahfiz yang haram dari beroperasi, adalah ia menyelesaikan masalah? Bagaimana dengan kes seumpama ini yang berlaku di sekolah-sekolah kerajaan, sekolah swasta dan lain-lain yang mempunyai lesen sah? Apakah langkah yang boleh diambil bagi menghalang kejadian ini berlaku?
Kerajaan sepatutnya memikirkan langkah lebih jauh dalam mencegah jenayah seksual dari berlaku di mana-mana. Kewujudan kelab malam yang berleluasa di tengah bandaraya, penganjuran konsert-konsert dan aktiviti hiburan, pusat pelacuran, rumah-rumah urut, program hiburan di televisyen, akses internet yang mudah tanpa sekatan, pergaulan bebas antara lelaki dan peempuan adalah punca utama kejadian seksual berlaku.
Bagaimana jika kerajaan bertindak tegas dalam mengharamkan kesemua pusat hiburan, konsert-konsert serta menyekat rumah-rumah urut dan pelacuran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan tegas ke atas pusat-pusat tahfiz. Ia jauh lebih berkesan dalam mengawal gejala sosial dalam masyarakat.
Sebaiknya Khalid Samad melihat kes ini dengan cermat dan tidak melulu mahu menghukum kesemua tahfiz. Sepatutnya proses pendaftaran pusat tahfiz dipermudahkan, justeru mana-mana institusi tahfiz yang tidak berdaftar diusahakan agar dibantu untuk pendaftarannya.
Selainnya adalah pemantauan berterusan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pihak Jabatan Mufti dan lain-lain agar kesinambungan pusat tahfiz. Soal keselamatan, kebajikan, kebersihan, modul dan silibus, gaji dan elaun kakitangan serta lain-lainnya perlu menjadi perhatian agar institusi tahfiz dibela sebaik mungkin, bahkan dijadikan pusat pembelajaran yang istimewa.
Apa yang diharapkan adalah kerajaan mampu memberi penyelesaian terbaik, dengan menguntungkan umat Islam dan masyarakat keseluruhannya. Jadikan kes yang berlaku sebagai rujukan, agar insititusi tahfiz terus diperkemas, dikembangkan dan dinaik taraf supaya ianya terus sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.
Masyarakat umumnya masih meyakini, pendidikan agama terutama tahfiz melalui insititusi tahfiz mampu menyelamatkan akhlak dan moral generasi muda dalam mendepani kehidupan pada masa hadapan. - HARAKAHDAILY 26/9/2018
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

Sumber HD - 26-9-2018

Tahfiz: Tingkat kualiti, elak tanggapan negatif



INSTITUSI sekolah tahfiz menjadi fenomena di negara ini dalam tempoh dua dekad terakhir ini dengan kemunculan ratusan sekolah aliran tahfiz swasta dan juga usaha kerajaan Kelantan di zaman almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempopularkan tahfiz sains sebagai sekolah berasrama penuh yang akhirnya memancing pesona ibu bapa memilih aliran tahfiz. Institusi ini sering memicu kontroversi dalam masyarakat negara ini dan pernah dicadangkan untuk ditutup dengan pelbagai alasan seperti tiada plan keselamatan bangunan, anti nasional, menjarakkan ruang intergrasi sosial dan lain-lain alasan.
Pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam menjawab polemik mengenai insititusi tahfiz wajar mendapat perhatian semua pihak. Beliau meminta semua pihak agar tidak menyuburkan bibit Islamofobia di negara berbilang kaum dan agama ini dengan desakan supaya institusi tahfiz dihapuskan susulan kes pelajar sekolah itu yang didakwa diliwat pengetua mereka.
Penjelasan beliau bahawa insitusi tahfiz perlu dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, ‘Marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Bahkan, menurut Dr Zulkifli lagi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak.
Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menutup pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur kerana pengetua pusat tahfiz terbabit ditangkap atas dakwaan meliwat sembilan orang pelajarnya adalah isu terpencil yang melibatkan tahfiz tersebut, kerana didapati beroperasi tanpa kebenaran. Bagi saya, jika ia melibatkan jenayah, keadilan mesti ditegakkan dan kesalahan mesti dicegah walaupun pahit untuk ditelan. Menutup pusat tahfiz kerana kesalahan seorang individu bukanlah satu tindakan yang bernas.
Kes yang berlaku sememangnya mencalar imej institusi agama dalam negara, dan kita akui umat Islam menanggung malu atas tindakan pengetua terbabit. Sekali gus kes ini menjadi rujukan dan perhatian ibu bapa, menghakis sedikit kepercayaan mereka terhadap insititusi tahfiz. Amat malang jika kepercayaan yang diberi oleh ibu bapa dan masyarakat ini dikhianati oleh individu yang paling dihormati di sesebuah pusat tahfiz, iaitu pengetua terbabit.
Akan tetapi, menghukum kesemua pusat tahfiz dengan tanggapan negatif adalah label yang keterlaluan. Kes pusat tahfiz terbabit bukan boleh dijadikan kes umum untuk kesemua insititusi tahfiz dengan alasan langkah keselamatan atau pencegahan atas kes yang berlaku itu. Ia juga bukan lesen untuk mana-mana pihak menyerang pusat-pusat tahfiz dan mendesak agar kesemua pusat tahfiz ditutup. Bukan juga sebagai alasan ampuh untuk menjarakkan masyarakat dengan Islam, mewujudkan Islamofobia dengan ketakutan yang sengaja direka-reka. Jangan pula ada mana-mana pihak menangguk di air yang keruh dengan mendesak menutup pusat tahfiz yang lain dengan alasan dangkal.
Bahkan, kes yang berlaku bukan sebab untuk menjadikan kewujudan insititusi tahfiz yang bercambah disekat, kelulusan semakin sukar untuk diluluskan, dianaktirikan, melalui pelbagai prosedur yang ketat, peruntukan yang dipotong, serta pelbagai karenah yang menyukarkan perjalanan tahfiz.
Sepatutnya apa yang berlaku menjadi pengajaran khususnya buat kerajaan, kerana mungkin kebanyakan pusat tahfiz beroperasi sendiri tanpa bantuan dan sokongan banyak pihak. Dengan dana yang terhad, tiada sokongan padu, kekurangan kepakaran dan pengalaman banyak aspek yang tertinggal dalam menjayakan pusat tahfiz ini sedangkan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap kepentingan tahfiz begitu tinggi. Ia menjadi permintaan yang besar sebagai alternatif buat ibu bapa yang cintakan agama sehingga sanggup membelanjakan sejumlah wang bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz.
Antara perkara yang mesti dilihat kembali adalah mekanisme pemantauan antara kerajaan dan pusat tahfiz yang ditubuhkan. Pemantauan yang berkesan amat penting bagi menyelaras kualiti pusat-pusat tahfiz, membantu aspek infrastruktur yang kurang, membekalkan modul dan silibus yang baik, guru-guru terlatih dan kompeten, mempunyai disiplin dan rekod yang baik. Selain itu, pemantauan dari sudut keselamatan premis, kebersihan premis bagi menjaga kesihatan penghuninya. Aspek kebajikan guru, ibu bapa dan pelajar juga menjadi titik penting agar kerajaan tidak terlepas pandang terhadap insititusi tahfiz ini.
Umat Islam menyedari bahawa kewujudan pusat tahfiz menyumbang kepada generasi yang berakhlak mulia, celik al-Quran, menghayati agama dan berwawasan tinggi. Kelompok generasi yang menghafaz al-Quran inilah yang diharapkan menjadi pelapis kepimpinan negara di masa akan datang, berbekalkan ilmu dan taqwa kepada Allah SWT Justeru, pusat tahfiz adalah prospek paling utama untuk dibantu, diperkemas dan dikembangkan selaras dengan mana-mana institusi pendidikan yang lain. – HARAKAHDAILY 25/9/2018
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

Sumber HD - 25-9-2018

Surat terbuka buat Tun M



Fenomena Penjelasan Batas-batas Iman Dan Kufur Bukan Takfiri

MEMBACA tulisan sampah Tun terhadap PAS seolah membawa kami generasi berumur 40-an melewati kembali terowong masa zaman pemerintahan sebagai Perdana Menteri yang keempat Malaysia. Era diktator yang akan menghumban penentang-penentang politik kerajaan BN ke dalam jeriji besi ISA serta pesaing-pesaing politik Tun dalam Umno terhumban keluar daripada persaingan merebut pengaruh ahli Umno. Itulah kahak sejarah yang ditelan oleh TS Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim, manakala PAS sebagai parti politik yang paling menderita di zaman Tun Mahathir.

Naratif Tun terhadap PAS tidak pernah berubah, api kebencian yang terus menyala dan mungkin dibawa sehingga mati. Setelah gagal melaksanakan janji manifesto PH dengan erti kata lain, menipu jutaan pengundi dengan memanipulasi kelemahan kerajaan BN maka Tun berlabun tentang mengapa beliau menentang PAS. PAS bagi Tun adalah pemecah belah orang Melayu dengan isu-isu agama, PAS mengkafirkan Tun!. Bijak Tun mengalih perhatian massa akan persaingan kuasa di antara Tun dengan Anwariyyun, langkah PD vs langkah pemerdagangan politikus Umno.

Tun buat-buat lupa bagaimana ucapan-ucapan Tun sendiri dalam dekad 80-an dan 90-an, sinis bahkan melampaui batas terhadap Syariah, mempertikaikan periwayat hadith dan pelbagai koleksi ucapan meremehkan Islam. Tun jangan lupa permusuhan Tun pada agamawan sehingga dipecat Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom, dikucilkan tokoh-tokoh agama seperti Dato’ Dr Haron Din. Apa yang Tun lakukan pada sekolah-sekolah agama rakyat? Tindakan Tun memencilkan Kelantan yang dipimpin oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kami generasi yang diperintah oleh Tun selama 22 tahun tak akan lupa sejarah hitam ini. PAS mengkafirkan Tun dan orang Islam kata Tun dalam tulisan sampahnya itu, ironisnya apabila PAS dipimpin oleh ulama haraki maka pengajian yang berteraskan ilmu akidah menjadi salah satu paten dalam majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS, juga institusi seperti masjid dan surau di seluruh negara. Pengajian akidah akan membenihkan ahli yang faham akan konsisten dengan perjuangan Islam. Namun ada sisi lain yang terserlah apabila pengajian akidah menggerakkan kesedaran secara besar-besaran tentang politik berteraskan akidah terutama yang membatalkan syahadah. Para asatizah mengajar bab batas-batas iman dan kufur, perkara-perkara yang membatalkan syahadah kerana masyarakat Melayu tipikal hanya biasa mendengar perkara membatalkan solat dan puasa. Kejahilan itulah yang membuka ruang keberanian mereka untuk bercakap mengenai hukum agama tanpa batasan, bahkan kepada kelompok elit seperti Tun sendiri.

Isu menjaga batas-batas iman ini juga telah digunakan sebagai senjata politik dan dimanipulasi oleh Tun Mahathir untuk memencilkan PAS daripada masyarakat umum. Mahathir dan avatar politiknya mempunyai niat terselindung untuk menuduh PAS menyebarkan fahaman takfiri dan di sisi lain gerakan Islam dituduh sebagai gerakan neo-Khawarij, inilah juga yang terjadi di Libya, Algeria, Mesir, Yaman dan sebagainya. Khawarij adalah firqah akidah, pelabelan ini akan memencilkan sesuatu kelompok daripada masyarakat yang lain. Dalam program BTN, tanpa berselindung PAS dituduh sebagai khawarij, proses indoktrinisasi ini untuk menjauhkan masyarakat daripada PAS.

Di tanah air kita, isu perpecahan akibat takfir dikesan pada tahun 1960-an apabila isu politik diganding dengan isu akidah tetapi ia tidaklah separah dekad 1980-an, kerana Umno di zaman Mahathir telah mempolitikkan isu ini dengan semaksimum mungkin bagi mewajahhitamkan PAS. Kebangkitan Islam yang sedang melanda tanah air, maka PAS akan mendapat laba yang besar maka usaha menjauhkan PAS daripada masyarakat umum terpaksa dilakukan. Walhal PAS berusaha memahamkan masyarakat tentang akidah dan garis sempadan, antaranya tokoh PAS telah menerbitkan kitab "Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah" karangan Sheikh Abdul Kadir Al-Mandili di Mekah dalam tahun 50-an.Beliau adalah tokoh ulama yang mengajar di Masjidil Haram yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS di Mekah.

Dalam usaha rejim Mahathir mengekang PAS dalam dekad 80-an, Kerajaan BN tidak bertindak dengan hujah tetapi menggunakan ISA untuk berhadapan dengan pimpinan PAS dalam isu ini. Kononnya berlaku gejala takfir di Besut, isu ini cuba dibendung oleh kerajaan Mahathir dengan menangkap pemimpin PAS Besut seperti Ustaz Mohammad@Stimat Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di bawah Enakmen Kediaman Terhad Seksyen 2. Almarhum Ustaz Abdul Latif dalam pertemuan peribadi dengan penulis pada tahun 1994 menegaskan beliau hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat bukan mengkafir pengikut Umno. Beliau mengajar secara berkitab dan tidak ada ulama Umno yang berani menyanggah dengan hujah apa yang disebut dengan nas al-Quran dan al-Hadis .

Tuduh-menuduh antara PAS- Umno, siapa yang mencetuskan fenomena takfir hampir menyeret keduanya ke meja debat terbuka di zaman Mahathir berkuasa, untuk rakyat menilai isu ini dengan terbuka. Pimpinan PAS telah bersedia dengan apa tajuk sekalipun. Sebelum debat ini dijadualkan berlangsung ada wakil NGO dan tokoh umat Islam meminta supaya debat itu tidak diadakan, sebaliknya berunding. Antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad bin Mohamed Ibrahim (UIA), wakil ABIM dan sebagainya.

Debat bertajuk "PAS tuduh Umno kafir" yang dicadangkan pada 11 November 1984 telah disensasikan dan menjadi buah mulut rakyat negara ini. Namun sebelum berlangsung ianya dibatalkan dengan campur tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pihak PAS berpandangan pembatalan debat ini satu bukti yang ampuh rejim Mahathir takut berhadapan dengan PAS dalam isu ini yang dimanipulasi dengan gaya paling hodoh untuk masyarakat membenci PAS, bahkan inilah naratif yang diulang kembali oleh Tun Mahathir sehari dua ini.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi Awang, isu takfir yang dimainkan terhadap PAS semakin reda, masyarakat mula menghargai menghargai ikrar syahadah mereka yang tidak boleh dipermainkan sesuka hati kerana syahadah boleh terbatal samada dengan iktikad, lisan atau perbuatan. Ucapan menghina Islam dan syariatnya semakin sirna apabila masyarakat difahamkan dengan ilmu akidah.

Penulis merasa agak bersimpati dengan tulisan Perdana Menteri ketujuh yang masih terjebak dalam lumpur falasi dan tuduhan Perdana Menteri keempat yang menyebut bahawa PAS membudayakan politik takfiri. PAS tetap istiqomah memberikan ilmu akidah kepada rakyat kerana ini adalah sebahagian obligasi teras sebagai sebuah gerakan Islam. Membimbing rakyat mengenali Islam dan syariat-Nya, juga menjadi jurubicara kepada ummah dan membentenginya daripada terjahan aqidah yang sesat. – HARAKAHDAILY 20/9/2018

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat.

Sumber HD - 20-9-2018

27 tahun Unit Amal, tiba-tiba meledak kerana uniform


PEJAM celik dengan masa yang bergulir pantas, kini Unit Amal mendakap umurnya yang ke-27 tahun. Badan beruniform ini tak pernah lelah menabur bakti di medan operasi masyarakat sehingga mengharumkan nama PAS, sebagai entiti yang tegak di atas fondasi siasah, dakwah dan tarbiah.

Jika anda memulakan langkah dalam jemaah bersama Dewan Pemuda, maka Unit Amal adalah segmen yang wajib disertai. Dalam organisasi ini, kita akan diajar berkerja dan mentaati arahan serta disiplin berjemaah. Aku juga memulakan langkah pertama dalam harakatul ummah ini melalui penglibatan dalam Unit Amal. Unit Amal Lembah Pantai, semuanya bermula di sini. Cinta dan pengorbanan.

Aku menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang. Sosok ini seperti tarikan magnet kepada orang ramai terutama anak muda yang berfikrah Islam.

Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa Universiti Malaya, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Seorang kontraktor lanskap lulusan UiTM berjanggut panjang. Haji Uzir berasal dari Perak dan menjadi jemaah tetap Masjid Ar-Rahman.

Tidak ramai anak-anak kampus Universiti Malaya yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepermudaan di Kawasan Lembah Pantai.

Pada masa itu, Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri semenjak era dekad 1960-an dan 1970-an.

Aku teringat almarhum Ustaz Hassan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam, aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda Umno yang terkenal dengan pemuda tahan lasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini.

Gerakan fenomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan (Abdul Muiz: 2001). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub kontinen, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sayap gerakan yang penting.

Di Indonesia pula, Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno, akhirnya memaksa sebahagian aktivis mengangkat senjata.

Unit Amal mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS di semua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjuangan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia.

Bukan sedikit ujian melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan, namun Unit Amal membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi.

Apabila negara dilanda musibah banjir, mereka 'beruniform merah' ini berada di barisan hadapan, jauh lebih awal daripada agensi kerajaan sendiri.

Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti ekslusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda.

Kepelbagaian latar belakang ini merencahkan Unit Amal menjadi pasukan yang kuat, disegani malah dihormati oleh pihak polis sendiri. Aku secara peribadi menemui pegawai-pegawai kanan polis dan mereka memuji Unit Amal berkerja tanpa mengharapkan habuan duniawi, berpanas terik serta bermandi hujan.

Mereka berkerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jemaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tidak mampu berbohong tentang asas dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran.

Unit Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah Islam. Unit ini dikenali sebagai kadet amal serta dilatih daripada awal untuk menjadi aktivis yang berorientasikan khidmat masyarakat.

Unit Amal tidak mudah digertak, aku teringatkan pada tahun 2002 apabila berlangsung Jambori Amal Peringkat Kebangsaan di Taman Templer, sekitar tapak jambori dikepung oleh FRU. Pada masa itu isu milintasi sangat mencuat, antaranya kes serangan WTC dan al-Maunah. Pihak kerajaan BN mengambil kesempatan untuk menyulitkan pergerakan anggota Amal dalam berprogram.

Aku menjadi Pengarah Jambori tersebut, program berlangsung dengan berjaya walaupun digertak untuk ditahan semua peserta Jambori Amal oleh pihak polis. Lebih seribu peserta berhimpun termasuk Amal Nisa'. Ustaz Kapten (B) Jamsari Marsom adalah Pengarah Amal Malaysia dan beliau adalah pesara pegawai tentera yang hebat. Termasuk pernah terlibat bersama PBB dalam misi pengaman ke Bosnia Herzagovena. Beliau berhujjah dengan OCPD tentang jambori dan kandungan jambori dengan hujah-hujah keselamatan.

Kepada pembenci-pembenci Unit Amal, abaikan mimpi kamu untuk melenyapkan Unit Amal bersama denyut nafas kami, seluruh ahli-ahli Parti Islam.

Mereka tidak menagih upah dan tanda jasa di atas khidmat bakti mereka, motto gerakan kepanduan PAS ini, "Di mana ada kesusahan, di situlah adanya kami". Mereka akan berdiri tegap dalam majlis-majlis rasmi PAS, siap untuk diperiksa perbarisan oleh pimpinan utama PAS.

Tidak kurang anggota Amal yang meninggal dunia saat sedang melakukan misi bantuan. Seorang anggota Amal, Abang Mad yang sangat baik denganku, meninggal dunia ketika membantu mendirikan rumah mangsa banjir Kuala Krai. Beliau suka berkhidmat termasuk membantu kerja siak di Surau Muttaqun USJ 12, Selangor.

Seorang veteran Amal yang juga bekas anggota komando tentera Malaysia, iaitu Abang Rahim dari Perak antara anggota Amal yang popular. Beliau jarang gagal untuk bertugas dan pernah terlibat mencari orang hilang. Beliau cekap seumpama belut, bahkan dengan tubuh tegap seperti berusia 20-an walaupun Abang Rahim komando telah mencecah 60 tahun.

Selama tempoh 27 tahun ini, Amal telah melalui pelbagai pahit getir, asam manis perjuangan dan tak lekang ditohmah para pembencinya. Aku merasa beruntung menjadi sebahagian daripada anggota Amal, mengenali teman-teman aktivis Amal yang tekun dan istiqamah seperti Cikgu Husin Ismail, Pak Jamu, Kapten Jamsari, Cikgu Li Terengganu, arwah Zainuddin Kubur Maras, arwah Abdul Aziz Marang (meninggal 17 Januari 2016) dan ribuan yang lain. Selamat menuai bakti untuk dekad-dekad seterusnya, kerana sepasang uniform nombor satu semua orang berlabun tentang Jabatan Amal Malaysia. Ajaibnya kuasa Tuhan! – HARAKAHDAILY 17/9/2018

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat.

Sumber HD - 17-9-2018

TG Dr Haron Din: Dalam kenangan kolektif kita semua







SIDANG Muktamar Tahunan PAS kali ke-64 berhenti seketika untuk membaca surah al-Fatihah, manakala sebahagian terus mendoakan almarhum di mana saat para amilin PAS berhimpun di Stadium Tertutup Gong Badak kali ini, telah dua tahun pemergian mantan Mursyidul Am PAS ketiga, Tuan Guru Dr Haron Din.

Terasa sayu dan basah relung hati kami semua, seolah almarhum masih berada di atas pentas utama, dengan senyum khas almarhum yang mengunyah pandangan-pandangan para perwakilan. Jarang almarhum menguzurkan diri pada setiap sidang muktamar berlangsung, kadang beliau mencatat, kadang menatap pandangan jauh ke arah khalayak.

"Riduan, anta ni, jubah hitam...tak tukar warna lain ka?" beliau bergurau dan aku hanya senyum. Takzim. Sosok ini menuturkan nasihat di akhir hujung sesi muktamar, juga berdoa pada sesi perasmian muktamar PAS. Wajah bening dengan guratan bersih rapi itu meluncurkan kalimah-kalimah penuh mutiara berharga.

Tokoh sarjana muslim ini bukan sahaja mencanai intelektualnya dengan puluhan buku dan ratusan kerta kerja di menara gading, namun menyumbang kepakarannya untuk masyarakat umum negara ini. Namanya mengharum dalam perubatan Islam, bukan sekadar beliau mengubati masyarakat yang sakit daripada sudut akidah tetapi melahirkan jumlah yang besar pengamal perubatan Islam dengan tertubuhnya Darul Syifa' di Bangi. Darul Syifa' juga mempunyai jaringannya di seluruh negara, berbakti pada masyarakat.

Minat murabbi ini kepada pendidikan Islam tak mampu diremehkan, kerana usaha jihad ta'lim telah berakar dalam jiwanya. Beliau menjadi banyak penasihat kepada institusi pendidikan dan dakwah, antaranya Pusat Dakwah Serantau yang banyak melahirkan para daie dan menebarkan dakwah di kawasan pedalaman.

Tuan Guru juga dalam keadaan uzur, masih lagi berulang ke Perlis, negeri kelahirannya untuk menyampaikan kuliah, antaranya di MATIN. Jiwanya segar apabila menyampaikan ilmu kerana itulah cinta dan citranya dalam kehidupan. Memberikan ilmu seolah terapi baginya dan tak banyak memberi alasan bila diajak menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Jika beliau tak hadir dalam majlis ilmu yang dirancangkan, bermakna beliau sakit yang tenat atau dalam pemerhatian doktor.

Dr Haron Din antara tokoh PAS yang dibenci oleh kelompok politikus liberal pragmatis kerana ketegasan beliau mempertahankan prinsip perjuangan Islam. Beliau dicaci dan dinista, namun ini tidak menjadi kudis buta kepada semangat beliau untuk membahterai perjuangan Islam ini.

Walaupun telah kembalj ke rahmatullah, musuh masih lagi memfitnah sosok ini. Sebagai Mursyidul Am, beliau mengambil tindakan bersama Majlis Syura dalam menentukan PAS tidak menjadi perkakas politik kepada musuh Islam untuk memanipulasi kekuatan jentera PAS. Memutuskan hubungan dengan rakan pemuafakatan politik yang tidak menghormati prinsip Islam mungkin pahit kepada pemimpi Putrajaya, namun itulah rakaman sejarah yang berlaku semasa Dr Haron memimpin Majlis Syura Ulamak.

Sikap pemurah beliau diketahui umum, membantu pembinaan kompleks tarbiah, sekolah agama, masjid serta pelbagai institusi Islam di negara ini. Masyarakat umum menghormatinya melepasi garisan sempadan politik kepartian, beliau dianggap milik umat Islam. Kitab tulisannya bertebaran dan digunakan sebagai teks pengajian, termasuk oleh PDRM.

Penulis teringatkan sosok maestro dakwah ini dalam mengobarkan api semangat, beliau hadir ke daerah Besut dalam bulan Mac 2016 untuk merasmikan Kompleks Dakwah Malaysia (KODIM) yang diusahakan oleh Ustaz Dr Nik Zawawi. Murabbi ini berucap lebih sejam di atas mimbar masjid, guratan wajahnya gembira serta energinya kelihatan seperti masih muda.

Beliau juga merasmikan majlis pecah tanah kompleks Pendidikan an-Nur Besut yang penulis usahakan, dalam keadaan agak penat beliau tidak menghampakan. Mendoakan supaya diberkati segala usaha mengajak manusia untuk hidup bertuhan serta dimudahkan segala gerak kerja membina mercutanda pendidikan di daerah agrarian itu. Kompleks pendidikan itu kini telah digunakan oleh masyarakat dengan pelbagai program, pelajar-pelajar menghafal al-Quran dan Masjid Siti Khadijah digunakan untuk solat berjemaah.

Masa berlari pantas meninggalkan kita, Hari ini kita telah dua tahun kehilangan murabbi ummah dengan segunung kebaktian di medan amal Islami. Penulis merasakan wajar mana- mana institusi masyarakat seperti kolej, sekolah, masjid, hospital wakaf diabadikan nama almarhum. Beliau sangat inspiratif, menyemangati semangat zaman.

Negara kita bersedih kerana almarhum adalah milik semua orang, menyantuni orang susah, merawat yang sakit, mencerdaskan akal ummat. Terbayang senyuman manis dan doanya yang lirih serta taujihatnya yang menunjal-nunjal lubuk hati dan akal kita. Bersemadilah wahai sang murabbi, kami semua menjadi saksi akan kebaktianmu, kebaikanmu, juga dedikasimu di jalan juang ini. – HARAKAHDAILY 16/9/2018

Sumber HD - 16-9-2018

Hukuman Sebat Pesalah Lesbian; Bukti Kerajaan Pas Serius Mahu Laksana Islam


Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor
PAS membuktikan bahawa Islam bukan hanya menjadi tempelan dan slogan perjuangan, tetapi benar-benar gerakan Islam itu serius dalam melaksanakannya di medan operasi masyarakat. Meskipun dalam keterbatasan kuasa dan pemerintahan, kerajaan yang dipimpin oleh PAS di Kelantan dan Terengganu terus mengorak langkah dalam mengaplikasikan pelaksanaan Islam sebagai bahan rujukan umat dan masyarakat di negara ini seluruhnya.
Geger dan gegak gempita media baru dan media arus perdana termasuk BBC mengulas panjang hukuman sebat ke atas dua wanita atas kesalahan cuba melakukan hubungan seks sejenis. Ia berjaya dilaksanakan di khalayak ramai dalam kamar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia. Hukuman dijalankan mengikut Seksyen 125 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah. Sebatan syarie ini sedikit sebanyak ia menjadi asas penting kepada masyarakat agar melihat kebaikan hukuman Islam dan kesannya kepada masyarakat. Walaupun di saat ini ada suara menempik yang menyanggah hukuman tersebut dilaksanakan kerana pelbagai alasan, pastinya alasan utama di sebalik penentangan itu kerana mereka tidak senang jika undang-undang Islam menjadi panduan utama dalam penyelesaian masalah maksiat dan kemungkaran yang dilakukan oleh manusia.
Perlu diketahui bahawa pelaksanaan syariat Islam dengan hukuman yang disaksikan oleh khalayak ramai tidak berniat menjatuhkan maruah pesalah, tetapi ia adalah hukuman sebagai mendidik pesalah dan orang ramai. Walaupun sebatan yang dilaksanakan tidak sekuat hukuman rotan sebagaimana mahkamah sivil, tetapi aspek pelajaran itu yang perlu dititik beratkan. Dalam aspek hukuman sebat, Islam tidak bersifat mahu mendera pesalah melalui hukuman, ianya memberi bekas pendidikan kepada semua.
Mereka yang bersuara lantang membantah pelaksanaan hukuman terbabit tidak menyedari bahaya pelakuan seks songsang, maksiat atau perzinaan dalam masyarakat. Pernahkah mereka insafi jumlah pelaku seks dari kalangan remaja dan dewasa, statistik kelahiran anak luar nikah, kes-kes rogol, sumbang mahram, lesbian, gay, dan sebagainya yang membimbangkan dalam negara ketika ini. Mereka merasa hukuman ini begitu ngeri, menyiksakan, dan memalukan sedangkan mereka tidak terfikir kejahatan yang pesalah ini lakukan serta kesannya dalam masyarakat. Mereka juga langsung tidak tergambar bagaimana Allah menyediakan solusi dalam penyelesaian masalah sosial yang rumit melalui syariat Islam.
Sepatutnya mereka yang lantang menentang hukuman ini menyaksikan sendiri pelaksanaannya dan bandingkan dengan hukuman sivil yang dibuat sekarang. Buatlah rencana, kajian, penyelidikan, tesis mahupun penelitian bagi menghakimi antara undang-undang syariat Islam dengan undang-undang sivil. Jangan kerana hukuman itu adalah hukuman Syariah, apa sahaja yang dibuat akan ditentang tanpa melihat, membaca, menelaah dan mengkaji hukuman terbabit.
Pejuang Lesbian, Gay, Biskesual dan Transgender (LGBT) mungkin merasa terancam dengan hukuman yang dikenakan ini, dan sememangnya tugas kerajaan PAS untuk meluruskan kefahaman ummah terhadap perundangan syariah. Kelompok liberal di negara ini berdiri dibelakang tuntutan songsang untuk mengiktiraf LGBT, menguatkan kedudukan, memberi hak dan kelihatan semakin membuncah keberanian mereka di akhir-akhir ini. Setidaknya, mereka perlu sedar bahawa ramai umat Islam bangkit menentang kegiatan songsang dan kemungkaran yang di lakukan oleh segelintir manusia yang tidak takut kepada Allah dan azabnya. Ketika suara dan perjuangan mereka memuncak, hukuman seperti ini mengendurkan diri dan menyedari bahawa mereka berada di bumi Malaysia yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam, dan bukan di negara-negara Barat yang bebas tanpa sekatan.
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS pusat dan Pengerusi LESTARI)
Sumber BO - 5-9-2018

Menteri Pendidikan tidak wajar jadi Presiden UIAM


TINDAKAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melantik Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam tersebut dilihat sebagai langkah undur ke belakang dan mengulangi skrip kesilapan kerajaan BN terdahulu. Beliau dilantik menjadi Presiden UIAM ketujuh bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Imej universiti Islam yang gah dan tersohor di negara ini yang merupakan produk PNI (Penerapan Nilai Islam) sedikit tercalar apabila melantik Menteri Pendidikan sebagai Presidennya, meskipun ia pernah dipimpin oleh beberapa tokoh politik dan pemimpin negara sebelum ini.

Pelantikan Dr Maszlee telah mengundang kontroversi, ejekan maya dan bantahan banyak pihak, termasuk daripada pemimpin DAP yang menjadi sekutu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH gagal untuk keluar dari bayangan kerajaan BN terdahulu, mereka akan terus menyulam kesilapan bahkan lebih teruk dan membusuk. Tiada pembaharuan yang tuntas dan tak berkeupayaan menunaikan janji pada rakyat, bahkan mencetak kembali idea dan gagasan kerajaan lama.

Pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM menjadikan beliau sebagai orang yang berkepentingan, sebagai Menteri Pendidikan dan sebagai presiden universiti.

Dalam hal ini, sepatutnya Dr Maszlee tidak terlibat dalam pentadbiran universiti dan berada dalam hirarki kampus. Meskipun kelayakan beliau sebagai mantan ahli akademik (pernah menjadi pensyarah dan memiliki PhD), namun beliau kini memegang jawatan sebagai pemimpin kerajaan serta ahli politik.

Tidak wajar seorang yang berjawatan Menteri Pendidikan, ahli politik dan menjadi Ahli Parlimen yang terlibat secara langsung dalam merangka dasar negara terlibat secara langsung dalam dunia pentadbiran universiti. Ia menggambarkan bahawa Menteri Pendidikan tidak memberi kepercayaan terhadap pentadbiran universiti sedia ada bagi merangka dan bergerak sendiri dengan pentadbiran mereka.

Ketika PH berkokok mahu memperjuangkan nasib universiti tempatan dan membebaskan universiti dari cengkaman politik kepartian, serta mahu membebaskan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU), kehadiran beliau sebagai pemimpin universiti tidak mencerminkan langkah tersebut.

Bahkan, ia sebagai gugatan kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan universiti untuk bersikap bebas mengkritik kerajaan dan menyertai mana-mana parti parti politik. Beliau seperti memberi mesej bahawa mata dan telinganya sentiasa mendengar dan memerhati mana-mana suara lantang sehingga mewujudkan budaya takut, tidak telus dan berani kalangan warga universiti.

Sebagai Menteri Pendidikan, terlalu banyak agenda yang perlu beliau fokuskan bagi mengupayakan sektor penting negara ini, termasuk mengembalikan kegemilangan akademik negara terutama kedudukan universiti tempatan agar setaraf dengan universiti terbaik dunia.

Tumpuan beliau tidak hanya ditumpahkan pada satu-satu universiti, malah seluruh institusi pendidikan termasuk sekolah perlu diberi perhatian supaya tidak ada pihak yang tercicir dalam aspek pendidikan berkualiti. Beliau perlu tekun merangka dasar pendidikan negara, menaik taraf mana-mana sekolah ketinggalan, jurang pendidikan antara wilayah dan etnik, menyelesaikan masalah sistem pembelajaran, bebanan guru dan warga pendidik, meningkatkan kualiti akademik universiti seluruh negara, membantu kalangan mereka yang terbeban dengan hutang PTPTN dan lain-lain lagi. Dengan menjadi Presiden UIAM, sudah pasti fokusnya akan berkurang dan komitmen beliau semakin bertambah.

Oleh itu, demi maruah dan kedudukan beliau sebagai Menteri Pendidikan, sebagai pemimpin kerajaan Malaysia yang berintegriti, ahli politik yang telus, komited dan amanah dengan tugas dan tanggung jawab, beliau perlu menyahut suara yang mengkritik beliau dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM. Presiden UIAM perlu diserahkan kepada yang ahlinya dan berada dalam dunianya, sementara beliau boleh terus membantu dan memantau dari jauh UIAM tanpa gangguan. -HARAKAHDAILY 5/9/2018

Penulis adalah Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

Sumber HD - 5-9-2018


Peranan Ulama Dalam Perjuangan Kemerdekaan Tanahair Yang Disepikan Sejarah



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Euforia gembira dan keghairahan menyambut kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos separuh hambar, kibaran bendera oleh rakyat sangat dingin walaupun berlaku perubahan kerajaan pada PRU yang lepas. Jauh berbeda dengan semangat patriotik rakyat negara lain dalam menyambut tanggal penting kemerdekaan tanahair mereka.
Kesilapan paling besar regim pemerintah ialah tidak meluruskan sejarah perjuangan kemerdekaan. Hanya kelompok nasionalis kanan yang dibesarkan sumbangan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, dengan menafikan peranan Islamis dan para alim ulama.
Langit sejarah telah merakamkan seawal abad ke-20, telah menyaksikan kemuculan arus kesedaran Islam di Tanah Melayu dalam memperjuangkan nasib Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
Antaranya gerakan perlawanan menentang penjajah yang berlaku di Kelantan oleh Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) pada tahun 1915, juga kebangkitan ulama dalam menentang penjajah Barat di Terengganu pada1928 yang di pimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong beserta gerakan Sarekat Islam Terengganu yang mengibar bendera Khilafah Uthmaniah.







Tok Janggut, nama sebenar Haji Mat Hassan bin Munas, dikenali sebagai Tok Janggut kerana beliau menyimpan janggut hingga ke paras dada https://sejarahtokoh.wordpress.com/tok-janggut/

Kebangkitan Ulama Tanah Melayu juga mengakar dari simbahan kebangkitan ulama Islam yang berlaku di seluruh belahan dunia ini.
Islam telah telah menjadi pemangkin dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah kuffar sebagaimana yang dimanifestasikan oleh dua peristiwa tersebut di Tanah Melayu.
Di luar Tanah Melayu seperti Indonesia, Mesir, libya, Algeria, Iraq, Iran, Sudan, Nigeria dan negara umat Islam yang lain. Islam telah menjadi kuasa pengerak yang ampuh dalam membajai perjuangan menentang penjajah Barat dan menyuntik energi perjuangan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.
Ulama dan gerakan Islam telah menjadi pemacu utama dalam perjuangan menentang penjajahan di seluruh bumi umat Islam seperti Sheikh Abdul Quader Al Jazair di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, Sheikh Uthman Den Fodio di Nigeria, Hassan Al Banna di Mesir, Sheikh Amin Al Husini di Palestin, Sultan Hasanuddin dan Iman di Ponegoro (Perang Jawa 1825- 1830) di Indonesia, Tuan Guru Hassan bin Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong (1922-1928) di Tanah Melayu.
Malangnya bagi umat Islam ialah walaupun kemenangan menentang penjajah adalah kerana kegigihan ulama dan pendokongnya tetapi buah kemanisan kejayaan kemerdekaan telah dipetik oleh golongan sekular berpendidikan Barat seperti Front Liberatian Nasionalis (FLN) di Algeria pada tahun 1962.







Haji Abdul Rahman Limbong Pejuang Tani – Pemimpin agama memainkan peranan penting dalam kebangkitan anti-British di Terengganu, menegaskan bahawa tanah adalah hak Allah dan rakyat bebas mengerjakannya tanpa perlu membayar cukai kepada kerajaan.

Soekarno dan kelompoknya di Indonesia dan Umno di Tanah Melayu. Kelompok ini yang telah mengisi kemerdekaan dengan sistem dan nilai-nilai yang ditinggalkan oleh penjajah.
Pada awal abad 20 juga telah berkembang gerakan Isla Islamiah telah mencetuskan fenomena bahkan meriuhkan seketika tentang perbahasan agama di Tanah Melayu.
Gerakan yang juga digelar sebagai kaum muda ini, antara lain berpunca daripada pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tenggah yang memperjuangkan citra perjuangan agama yang perlu dimurnikan daripada khurafat dan bidaah, juga kesedaran pan Islamisme bertolak daripada penjajahan yang menimpa umat Islam oleh kuasa Barat pada abad ke 19 dan abad ke-20.
Gerakan ini telah menyebarkan fahaman mereka melalaui wacana penulisan, pendidkan dan aktiviti berpersatuan.
Sedikit sebanyak, gerakan kaum muda ini telah menginspirsikan kepada orang Melayu untuk berpartipasi dalam gerakan politik perlawanan dan juga menyuburkan dunia pendidikan yang akhirnya diterjemahkan dengan penubuhan Hisbul Muslimin pada tahun 1948 di Mahaad Al- Ehya Asyariff Gunung Semanggol.
PAS sebagai mana gerakan Islam lain telah merakamkan nama di langit sejarah merupakan tuntutan beragama yang memerlukan kewujudan tanzim atau organisasi tersusun untuk menegakkan Islam.
Di Mesir tertubuhnya Ikhwanul Muslimin oleh Hassan Al- Banna pada tahun 1928 di subcontinent tertubuhnya Jamaat- e-Islami oleh Maulana Maududi, Jamaah An-Nur di Turki, Majlis Syura Muslimin di Indonesia dan PAS di Tanah Melayu.
Sejarah penubuhan PAS adalah berkaitan dengan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam kontemporari yang telah diharamkan oleh penjajah British pada bulan Jun tahun 1948.







Hizbul Muslimin (Hamim) atau lebih dikenali dengan nama Parti Orang Muslimin Malaya (Muslim People’s Party of Malaya) sebenarnya adalah merupakan parti Islam yang pertama mula menapak di Tanah Melayu sejak ia ditubuhkan pada tarikh keramat 17 Mac 1948.

Hizbul Muslimin ditubuhkan Maahad Ar-Ehya asyariff di Gunung Semanggol, Perak dengan idea daripada tokoh-tokoh politik kiri seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Muslimin (Masyumi).
Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan didukung oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama- agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama.
Pertubuhan politik Islam ini telah mengsasarkan tiga matlamat utama perjuangannya iaitu untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, membentuk negara Islam yang bersifat sejagat dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam.
Dengan citra besar dan nuansa yang murni inilah yang memungkinkan British menghidu bahaya yang dibawa oleh parti Islam ini yang dilihat mampu menggembleng sokongan orang Melayu. Penjajah British seperti yang diungkapkan Sir Lord Cromer (The Modern Egypt) tidak akan membenarkan tegaknya negara Islam di mana sahaja wilayah jajahan British walaupun sesaat.
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Sumber BO - 28-8-20118








Martabatkan Bahasa Malaysia Dalam Semua Agensi Kerajaan






Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor
Genap 100 hari pemerintahan kerajaan PH, antara aspek yang seakan terabai dan mengalami pemencilan ialah usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Kita memiliki segerombolan para Menteri dan Timbalan Menteri yang sangat lemah penguasaan Bahasa Kebangsaan, malah sering meremehkan bahasa ini dengan menganggap bahasa kebangsaan tidak penting. Mereka memuat turun kenyataan media dalam bahasa ibunda tanpa mempedulikan bantahan tokoh-tokoh budaya dan pecinta keamanan negara.
Usaha merobek bahasa kebangsaan akan memberikan dampak yang sangat negatif kepada masa depan negara, termasuk usaha mengiktiraf UEC. Persijilan melalui pendidikan swasta Cina yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan malah menebalkan politik komunal di negara ini.
Memperkasa Bahasa Malaysia adalah suatu perjuangan yang mesti dipertahankan agar bahasa kebangsaan sentiasa dimartabatkan kedudukannya di negara ini. Pelantikan beberapa tokoh yang mengetuai beberapa agensi penting negara dari kalangan bukan berbangsa Melayu serta tidak mahir menguasai Bahasa Malaysia akhir-akhir ini menjadi isu yang perlu dijadikan iktibar betapa bahasa kebangsaan ini semakin terpinggir dan tidak dipedulikan.
Kerajaan sepatutnya sedar mengenai perkara ini dan serius bagi memastikan semua agensi kerajaan dan swasta, pemimpin politik, institusi pendidikan dan syarikat serta badan berkanun di negara ini menggunakan Bahasa Malaysia. Jika dibiarkan, rakyat semakin melupakan Bahasa Malaysia dan menjadikan bahasa Ibunda mereka sebagai medium komunikasi. Kesannya, semangat patriotik dan perpaduan dalam negara semakin longgar dan lemah.
Tindakan terbaharu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menggunakan Bahasa Inggeris untuk operasi dan taklimat harian semakin menunjukkan usaha meminggirkan bahasa Malaysia. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun seperti mana yang dilaporkan oleh portal berita Malaymail, arahan belajar Bahasa Inggeris dalam komunikasi datangnya dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Justeru, PDRM akan menggunakan medium Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi termasuk dalam penulisan mereka di masa-masa akan datang. Perdana Menteri juga mengelak untuk menjawab isu ini di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man minggu ini.
Langkah PDRM adalah sesuatu yang tidak wajar. Sebagai pasukan utama menjaga keselamatan dalam negara, PDRM perlu menjadi contoh kepada masyarakat dengan menjadikan entiti mereka dihormati, berintegriti dan dirujuk oleh semua bangsa. Mereka perlu mengekalkan penguasaan Bahasa Malaysia dan mana-mana pihak di dalam negara ini yang mahu berurusan dengan mereka, perlu menguasai Bahasa Malaysia. Malah, tahap penguasaan Bahasa Malaysia dari kalangan anggota PDRM perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa dan zaman. Ia adalah pendidikan berterusan supaya semua pihak menghormati bahasa kebangsaan ini.
Mempelajari Bahasa Inggeris tidak menjadi suatu kesalahan, kerana menguasai banyak bahasa selain Bahasa Malaysia adalah satu kelebihan. Tetapi meletakkan Bahasa Inggeris melebihi Bahasa Malaysia di dalam negara ini adalah satu kesalahan yang serius dan tidak patriotik. Ini adalah asas kepada usaha memecahkan kedaulatan negara agar rakyat yang berbilang kaum tidak lagi bergantung kepada BM dalam kehidupan harian mereka di negara ini, malah menganggap BM bukan lagi bahasa terpenting dalam negara.
Bahasa kebangsaan mempunyai keunikan dan kekuatannya tersendiri. Ia patut dikagumi dan dibanggakan oleh semua kaum di negara ini. Masyarakat antarabangsa amat menghormati dan berusaha mempelajari BM kerana nilai seninya yang halus dan tinggi. Rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai jalur latarbelakang kaum, bahasa dan budaya dapat bersatu kerana menggunakan bahasa kebangsaan. Mengapa pula kerajaan Pakatan Harapan tidak berusaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum yang utuh selama ini? Apakah kerajaan PH meragui keupayaan bahasa ini setelah hampir tujuh dasawarsa digunakan, atau kerana majoriti penuturnya terdiri daripada kaum yang terperuk ekonominya?
Bahasa adalah jiwa bangsa, kekalkan kedaulatan bahasa kebangsaan , malah sewajarnya bahasa kebangsaan menjadi cerminan arca perpaduan kepada tanahair yang berdaulat ini. Kalian bukan sahaja gagal melunaskan janji -janji yang terkandung dalam manifesto pilihanraya ,namun juga gagal memberdayakan bahasa kebangsaan dalam kegunaan rasmi negara.
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)
Sumber BO - 17-8-2018










Tragedi gempa bumi Lombok menginsafkan





















SUHU dingin dengan angin semilir perlahan menampar kami di kaki Gunung Rinjani, ada pemandangan yang sangat pilu menjentik tangkai hati kami anggota misi bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia. Ribuan rumah yang musnah, 18 nyawa yang terkorban dan ratusan yang cedera, manakala lebih 60 kali gegaran susulan berterusan berlaku selepas gegaran 6.4 skala richter yang menagih korban Lombok Timur, Lombok Utara dan sekitarnya.

Sebaik sahaja tragedi Lombok berlaku maka berbondong-bondong gerakan swadaya masyarakat bergegas ke Lombok untuk menyantuni mangsa-mangsa gempa bumi. Pulau Lombok juga dikenali sebagai pulau seribu masjid, terletak di Wilayah Nusa Tenggara Barat. Kami bergabung dengan dengan ACT dan juga MRI (Masyarakat Relawan Indonesia), NGO yang terkenal dengan kepiawaian dan keseriusan mereka membantu kawasan bencana di negara yang pernah dijajah Belanda selama 350 tahun.

Melihat wajah kumal dan pakaian yang kumuh mangsa-mangsa gempa bumi sangat meruntun hati. Lombok dengan majoriti masyarakat Muslim sebenarnya mengalami sedikit kejutan apabila dalam sedekad akhir ini mula dibanjiri oleh pelancong asing, sama ada dari Eropah, Timur Tengah, Asia Timur, bahkan juga daripada negara Malaysia. Ramai pelancong mula mengalih perhatian mereka daripada Pulau Bali yang eksotik kepada Pulau Lombok yang mempunyai sejarah lama Kerajaan Mataram.

Di jajaran pantai Lombok yang panjang mula dibangunkan Kompleks Parawisata, pelbagai kemudahan pelancong, rumah rehat, hotel, sukan aquaria untuk menggamit kedatangan pelancongan. Gunung Rinjani yang sombong menjulang awan juga antara tarikan kepada pelancong untuk datang ke Pulau seribu masjid ini. Pulau ini juga dimeriahkan dengan pesantren dengan kepulangan anak-anak tempatan daripada bermukim ilmu di Timur Tengah.

Misi bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia yang diketuai oleh Haji Zulkifli Wahijan pada kali ini dengan kekuatan 18 orang relawan yang terdiri daripada doktor-doktor, paramedik, dengan pelbagai latar belakang relawan termasuk seorang doktor non-Muslim, Dr Chai. Rombongan telah mengadakan khidmat kesihatan percuma kepada mangsa-mangsa gempa bumi, mengagihkan makanan, pakaian solat, menyediakan tangki air bersih kepada mangsa-mangsa gempa bumi. Beberapa lokasi telah dikunjungi oleh anggota misi di Lombok Timur dan juga Lombok Utara.

Sebelum pulang, rombongan Muslim Care Malaysia telah sempat singgah di Pondok Pesantren Sohwatul Islamiah, Lombok Barat. Kami disambut dengan penuh kehangatan Ukhuwah Islamiah oleh pihak pentadbiran pondok dan para pelajar. Kami menyerahkan sejumlah wang derma untuk pembangunan pesantren yang dibangunkan oleh tiga beradik yang mendapat pendidikan di Mesir.

Gegaran saat ke dewan pelepasan

Satu pengalaman yang tak dapat kami lupakan ialah goncangan gempa bumi berskala 7.01 richter saat kaki kami melangkah ke dewan pelepasan. Bandara Antarabangsa Lombok bergegar kuat walaupun struktur bangunan kukuh menampung lapangan terbang yang mula menerima ramai kehadiran pelancong luar negara. Saya pada mulanya menyangka gegaran itu akibat daripada pesawat mendarat, namun apabila tiang-tiang bangunan bergegar kuat sehingga kerangka dinding kaca turut rentak. Dalam kekelamkabutan orang ramai ingin menyelamatkan diri, lampu telah terpadam dan ada yang berdesakan mencari pintu keluar utama.

Petugas-petugas lapangan terbang seupaya mungkin menenangkan penumpang-penumpang yang panik dengan suara pekikan dan jeritan menyelamatkan diri. Saya dan beberapa teman lain melaungkan azan semasa menyelamatkan diri dan kami berhimpun di luar pintu utama hadapan terminal, manakala sebahagian lain di kawasan berhampiran "runaway". Pelbagai berita luar mula diterima melalui telefon pintar dan media sosial, dikhabarkan Lombok Utara paling terjejas teruk. Terbayang wajah-wajah penghuni Lombok Utara yang kami santuni pagi tadi dan juga santri pondok pesantren yang kami tinggalkan pada waktu petang sebelum kami berangkat ke lapangan terbang.

Ujian mendekatkan kita kepada Tuhan, semoga warga Lombok bangkit menjadikan komuniti mereka menyintai rumah Allah dan memeriahkan majlis-majlis ilmu. Tiada yang mustahil, lihatlah bagaimana Acheh pasca Tsunami menjadi lahan kebangkitan Islam di Indonesia, hidup bersyariat dan dipandang mulia oleh masyarakat antarabangsa Muslim. - HARAKAHDAILY 6/8/2018

















Sumber HD - 6-8-2018

Sedia pakaian tepati syariah bagi pramugari

PEMERKASAAN agenda Islam dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti  telur di hujung tanduk, samar-samar dan terus mengalami perlecehan. Bagi MP Sepang yang juga Timbalan Menteri, seolah-olah isu rasuah jauh lebih penting daripada isu aurat staf penerbangan, walhal anggota Legislatif PAS telah mengambil bahagian dalam pelbagai segmen soalan dan perbahasan sidang Parlimen kali ini. Dalam Islam tiada yang boleh diketepikan dengan alasan kecil atau besar sesuatu arahan Allah, namun berhala moden ideologi manusia seperti Pragmatis Sekular tidak meletakkan Islam sebagai petunjuk dalam mentadbir urusan kenegaraan. Wajah indah Islam diburukkan lagi dengan fahaman neo-Muktazilah yang mengutamakan akal dalam mengartikulasi sesuatu isu. 
Jawapan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menasihatkan mereka yang merasakan seragam pramugari Malaysia terlalu menggoda supaya merendahkan pandangan adalah jawapan paling lucu dan tidak bertanggungjawab. Bagi rakyat, jawapan Menteri seperti ini mengulangi jawapan penuh kepandiran yang menggelikan hati dan merendahkan tahap intelektualisme mereka sebagai pemimpin negara. Adakah bodoh mesti menjadi kembar siam kepada pak Menteri? Sangat malang kepada rakyat negeri ini memiliki barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang jauh daripada kompetensi sebagai negarawan yang berjiwa besar. 
Kenyataan beliau bahawa pihak syarikat bebas memilih seragam masing-masing selagi mampu menjalankan tugas dengan baik dan dalam masa yang sama kerajaan pula tidak menghalang pihak syarikat memperkenalkan seragam yang menepati agama menunjukkan bahawa kerajaan tidak mahu bertanggungjawab membantu menyelesaikan permasalahan pakaian seragam khususnya bagi wanita Muslim. Dengan maksud lain, kerajaan tidak serius memikirkan soal etika pemakaian bagi nasib wanita Muslim yang terpaksa memakai pakaian ketat dan membuka aurat mereka ketika bekerja. Mungkin bagi kerajaan ia isu yang remeh, tetapi bagi umat Islam ia adalah perkara besar kerana melibatkan dosa dan pahala. 
Secara realitinya, umum mengetahui pakaian seragam pramugari sangat ketat, tidak patuh Syariah sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka, dan sesetengahnya memakai pakaian yang singkat sehingga menampakkan dada dan peha mereka. Bagi golongan wanita Muslim, mereka berhadapan dengan dosa setiap hari dengan pemakaian seperti itu dan bukan semua pramugari ini ‘redha’ dengan pakaian mereka. Namun oleh kerana ia adalah etika berpakaian yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan, mereka ‘terpaksa’ tunduk dengan kehendak syarikat penerbangan kerana memikirkan soal periuk nasi dan karier mereka. Bagi yang memikirkan dosa dan pahala, tidak ada pilihan lain melainkan mencari pekerjaan lain yang menepati kriteria pakaian Syariah, tetapi dalam industri ia tidak memberi suatu solusi ‘menang-menang’ kepada semua pihak.  
Nampaknya YB Anthony Loke gagal memahami realiti masalah dalam industri penerbangan. Sepatutnya sebagai Menteri, beliau ada kuasa untuk mengarahkan syarikat penerbangan menetapkan seragam kepada semua pramugari khususnya untuk wanita Muslim, dan pakaian itu mestilah yang menutup aurat. Setidak-tidaknya beliau memberi teguran, nasihat, atau panduan kepada semua syarikat penerbangan agar menjaga kebajikan pekerjanya, terutama dalam soal berpakaian. Beliau tidak boleh hanya menyerahkan begitu sahaja kepada syarikat tanpa panduan atau nasihat yang jelas. Menggesa agar penumpang atau orang lain menundukkan pandangan bukanlah sebuah penyelesaian melainkan jawapan melepas diri semata-mata. Penumpang mungkin tidak berdosa jika menundukkan pandangan, tetapi bagaimana dengan pramugari yang berpakaian seperti itu setiap hari. 
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Malaysia perlu kelihatan berbeza daripada negara-negara yang lain. Pelancong yang terdiri daripada umat Islam seluruh pelusuk dunia pasti berbangga apabila menggunakan khidmat syarikat penerbangan Malaysia kerana semua kru dan kakitangannya mementingkan soal syiar dan syariat dengan menutup aurat. Ia adalah persepsi awal bahawa Malaysia amat mementingkan soal menjaga batasan Syariah dalam segenap perkara. Ia juga menjadi penanda aras untuk negara dipandang tinggi, dihormati dan dimuliakan oleh negara-negara lain. Banyak negara umat Islam yang memperkenalkan pakaian patuh Syariah kepada staf penerbangan dan ianya tidak menjejaskan keuntungan dan pengoperasian syarikat penerbangan. Hendak seribu daya, malas seribu dalih! 
Umat Islam telah meletakkan harapan tinggi agar perubahan ini berlaku dalam pemakaian staf penerbangan semenjak rejim terdahulu, namun harapan tinggal harapan. Rakyat melihat dengan mual bagaimana anggota Legislatif daripada PH hanya menjadi "pasu bunga" dalam Dewan untuk mempertahankan apa sahaja agenda Islam. Rakyat merindui klise, "tunggu sampai ke Putrajaya, kita akan laksanakan agenda Islam" oleh politikus acah-acah Islamis daripada blok PH dengan janji-janji muluk bertatah emas berlian. Belum sampai 100 hari pentadbiran PH, kehancingan dihidu daripada jarak dekat dan jauh. Rakyat telah membuat pilihan yang salah! 
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 2/8/2018
Sumber HD - 2-8-2018 











Ulama Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan Yang Perlu Dimasukkan Dalam Teks Sekolah Bukan Petualang Komunisme

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

“Sejarah ditulis oleh pemenang” ujar sang filosof, tetapi saya beranggapan tugas sarjana muslim ialah meluruskan sejarah, kerana sejarah itu tidak pernah berbohong di langit yang paling sakral. Siapa pun tak mampu memadam sejarah ulama dalam perjuangan membebaskan tanah leluhur ini.

Perjuangan kemerdekaan di setiap inci bumi umat islam adalah dipelopori oleh alim ulama walaupun sejarah ini cuba di padamkan oleh kelompok sekular pragmatis yang memerintah umat islam. Dalam negara tercinta ini juga, sejarah perjuangan ulama dalam menentang penjajahan tidak didokumentasikan dengan baik sehingga pernah dituduh bahawa ulama tidak memperjuangkan kemerdekaan.

Di tanahair kita yang tercinta ini, denai sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama membentengi aqidah ummat Islam semenjak kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13. Ulama kita yang berkubu di pusat-pusat pengajian Islam telah memancarkan kekuatan kepada ummat Islam bagi berdepan dengan “ghazwatul fikri” penjajah barat. Dalam cerminan sejarah ini, tersuluh kehebatan Tuan Guru Hj Hassan bin Munas (Tok Janggut) yang bangkit bermandi darah di Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1915. Di Terengganu pula, ulama tersohor Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong telah memimpin kebangkitan ummah, menentang kemaraan penjajah British yang cuba memijak kemulian Syariat Islam.

Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong atau nama lengkapnya Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid, beliaulah yang banyak memberi corak agama dalam pemberontakkan agama Terengganu ini. Sejak dari kebangkitan 1922, lalu kebangkitan 1925 dan seterusnya pemberontakan 1928, penglibatan jelas sekali apabila tokoh-tokoh tempatan dari Kuala Berang datang menemuinya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana sepatutnya diambil tindakan. Malah namanya turut tercatat dalam surat-surat kerahan agar berkumpul di Kuala Berang dan Telemong sebelum tercetusnya pemberontakan ini. Sebab itulah sebagai hukumannya, beliau dibuang negeri ke Mekah, dengan harapan agar penentangan terhadap British tidak lagi wujud di Terengganu.

Abdul Rahman Limbong telah berguru kepada banyak tokoh agama tetapi paling istimewa sekali ialah daripada Tok Ku Paloh, di mana beliau turut menjadi khadam di rumah tuan gurunya itu.

Kemudiannya beliau mengajar di suraunya di Jonggok Tong, Beladau, dan dengan kematian Tok Ku Paloh, beliau meengajar di surau Sayyid Saggaf. Di samping itu beliau juga mengajar di tempa-tempat lain, iaitu di mana sahaja beliau singgah dalam pengembaraannya. Dalam pengajaran ini, di antara teks-teks yang digunakan ialah kitab-kitab tasawwuf karangan Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, seperti Siyar al-Salikin dan Hikayat al-Salikin serta karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari iaitu al-Durr al-Nafis.

Pada dekad 1920’an pula berlaku ‘revolusi mental’ yang digerakkan oleh ulama-ulama muda yang mendapat pendidikan tinggi di Universiti Al-Azhar di Mesir. Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abas Mohd Taha, adalah sebaris nama-nama yang berjasa besar meniupkan api perjuangan untuk pengislahan diri bangsa Melayu yang serba terperuk akibat penjajahan dan kesalahfahaman terhadap Islamyang syumul.

Mereka mendapat tentangan sengit daripada penjajah British yang cuba menunggangi istana (melalui pihak berkuasa agama negeri-negeri) untuk menyekat arus kesedaran yang digerakkan oleh ulama-ulama muda yang progresif ini. Perjuangan menuntut kemerdekaa juga bertambah rancak dengan kepulanagan Dr Burhanurddin Al Helmi dari pengajiannya di India. Beliau merupakan tokoh tersohor yang mendapat pengalaman antarabangsa dalam perjuangan menentang imperialis Barat.

Sejarah juga tidak dapat memadamkan jasa gerakan Hizbul Muslimin dalam perjuangan kemerdekaan. Ditubuhkan pada Mac 1948 di Gunung Semanggol, Perak dan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Gerakan ini dengan jelas menyatakan matlamatnya untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan asing dan menegakkan darul islam. Hizbul Muslimin telah diberi perhatian ketat oleh pihak risikan British kerana potensi mereka mampu menggugah kesedaran rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan :

“The development of this movement should be very closely watched, for its preachs nationalism as the religious duty of all the believers, and Islam has always been a militant creed. There can be no doubt that its propanganda is made to appeal to the young Malay intellectuals and progressives, since it strives to give scriptual authority to their efforts to modernize their society and economy and to their undoubtedly aspirations towards national independent. In the present relatively lethargic state of UMNO, it may well draw away of the younger and more progressive minds. Its promoters have had bad political record, and it may well be that in the current crisis any extension of its activities will force goverment to consider the question of outlawing the party. Wheather Hizbul Muslimin moves to the right or to the left in step with its true paent, the Masjoemi (MASYUMI-penulis), it remains a menace to the British authority.”
PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 oleh para alim ulama dan guru-guru agama juga dengan tegas memperjuangkan kemerdekaan namun cuba dipadamkan sejarah citra dan nuansa ini dalam catatan sejarah. Sebahagian daripada pimpinannya telah mendekam dalam penjara British seperti Dr Burhanuddin Al Helmy, Khatijah Sidek(pernah menjadi calon PAS di Dungun) dan lain-lainnya. Perjuangan kemerdekaan oleh PAS dilihat sebagai tanggungjawab aqidah seperti yang diungkapkan oleh Prof.
Dr. Zulkifli Mohamad :
“Salah besar hukumnya bagi orang Islam duduk dibawah penjajahan asing oleh orang yang tidak seagama dengaannya. Sebab itu ummat Islam adalah diwajibkan oleh Tuhan-nya memperjuangkan kemerdekaan bagi melepaskan dirinya dari ikatan penjajahan oleh orang-orang yang tidak seyakinan dengannya. Dan bagi PAS sebagai parti politik Islam bukan sahaja merupakan kewajipan politik semata-mata tetapi lebih dari itu merupakan perintah agama, perintah Tuhan yang mesti dijunjung dan dilaksanakan.”
PAS memainkan peranan yang besar menyedarkan masyarakat untuk menuntut kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan tanah leluhur ini berpandukan Syariat Islam. Ramai tokoh- tokoh besarnya mendekam di penjara kolonial seperti Dr Burhanuddin al Helmi, juga alumni Hizbul Muslimin demi melihat deenul Islam tertegak di atas Tanah Melayu ini.

Usaha untuk menulis kembali sejarah tanahair dengan memasukkan jasa kelompok komunis adalah pengkhianatan pada perjuangan umat Islam mengusir penjajah. Perjuangan mereka bukan bertujuan memerdekakan Tanah Melayu tetapi untuk mewujudkan wilayah ke 19 Republik Komunis China. Setelah gagal dalam Rundingan Baling pada tahun 1955, PKM terus melancarkan pemberontakan di Malaya , Malaya dimerdekakan British pada tahun 1957 ,namun PKM terus melancarkan serangan bersenjata sehingga mengorbankan ribuan nyawa anak watan . Bukan kepalang jenayah komunis pada negara ini , harta benda yang dimusnahkan, anggota keselamatan yang cedera dan terkorban,bahkan menjarakkan hubungan antara kaum Melayu dan Cina dalam tempoh yang panjang. Perjuangan bersenjata PKM hanya tamat pada pada tahun 1989 setelah ideologi komunisme mengalami kegagalan di seluruh belahan dunia.

Buat anak-anak muda kail sejengkal , anda tidak mengenali sejarah komunis dan cabang ideologi mereka. Di rantau ini juga mereka menumpahkan kezaliman sehingga membunuh ratusan ribu nyawa di Indonesia, Cambodia, Vietnam dan lain-lain wilayah. Keinginan menulis sejarah baru ini bagi saya adalah keterujaan merengkuh kuasa Malaysia baru yang seakan pernah melanda Indonesia pasca Reformasi Mei 1998, awas semua rakyat bermaruah akan reinkarnasi komunisme di tanahair tercinta ini.!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Sumber BO - 31-7-2018

Perlu utama SK lebih dari SMP

KENYATAAN Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang berjanji menyediakan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan boleh diagak berdasarkan sikap beliau namun ianya sangat dikesali. Dalam jawapan bertulis Parlimen sebelum ini Dr Maszlee menjelaskan SMPC tidak mendapat peruntukan bagi membayar gaji guru kerana institusi itu bukan bertaraf sekolah kerajaan. Tetapi pada hari ini beliau menjelaskan pula untuk menyediakan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan. Beliau menyatakan peruntukan Kerajaan Harapan kepada SMPC akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik kebangsaan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan. 
Pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terkenal dengan kenyataan kluk klek dan u-turn kerana suka bertukar kenyataan dari sehari ke sehari. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung manifesto yang disifatkannya hanya panduan dan bukan kitab suci, menjadikan keseluruhan janji PH tertakluk kepada kehendak dan selera mereka, bukan lagi keperluan untuk ditunaikan. Selain itu pengumuman Perdana Menteri bahawa projek High Speed Rail (HSR) Singapura-Kuala Lumpur dan MRT3 di Lembah Klang akan dibatalkan tetapi akhirnya kedua-dua projek itu tidak akan dibatalkan tetapi hanya akan dikaji semula. Menteri Pendidikan pula mengumumkan pelajar-pelajar sekolah akan memakai kasut hitam pada awal tahun depan. Akhirnya setelah bantahan dari ibu bapa dan pembekal, pelaksanaannya ditangguh sehingga pertengahan tahun hadapan. Kenyataan Dr Maszlee berkenaan SMPC pula memperlihatkan betapa kelam kabutnya pemerintahan PH. Mereka sekadar bercakap ‘dalam gelap’ tanpa bukti dan fakta kukuh, tetapi apabila menemui perkara realiti, mereka terpaksa menarik balik kenyataan awal. 
Kerajaan PH dilihat terlalu lunak, berlembut, manja dan mesra dengan kaum lain dan bukan Bangsa Melayu Islam yang lebih majoriti. Jika kehendak segelintir pihak dalam isu Unified Examination Certificate (UEC) Menteri Pendidikan dengan mudah menerima desakan mereka sedangkan ia bukan suatu keperluan bahkan boleh mengancam kedudukan Bahasa Malaysia dan peperiksaan SPM. Tetapi apakan daya, bantahan rakyat tidak dipedulikan kerana mahu meraikan segelintir yang menyokong mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Manakala, dalam isu SMPC pula, kerajaan lembut lidah memberi peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina melalui peruntukan kerajaan, sedangkan banyak lagi sekolah agama, tahfiz, madrasah, pondok dan insititusi agama persendirian tidak pula mahu dibantu. 
Alangkah beruntungnya segelintir pihak itu yang semua kehendak dan keperluan mereka dipenuhi oleh kerajaan. Dan alangkah ruginya umat Islam dan Bangsa Melayu kerana kerajaan sendiri tidak pernah memikirkan mahupun menyuarakan mahu memperjuangkan nasib sekolah-sekolah persendirian agama. Bahkan dibiarkan ada suara ‘menyengat’ tanpa tindakan yang mahu sekolah tahfiz pula ditutup. 
Sepatutnya kerajaan mengutamakan sekolah kebangsaan milik kerajaan lebih utama daripada SMPC atau mana-mana sekolah persendirian. Banyak lagi sekolah kebangsaan yang masih dhaif, infrastruktur masih ketinggalan, kemudahan guru dan murid yang kurang, guru tidak mencukupi, pelajar miskin, guru yang terbeban dengan pelbagai tanggungjawab, peruntukan yang tidak mencukupi untuk menjalankan pelbagai aktiviti kokurikulum dan seribu satu isu yang belum selesai. Sekolah persendirian bertunjangkan kepada yuran dan keuntungan dan banyaknya yang mampu berdiri sendiri. Jika tidak pengusaha tidak akan mampu menguruskan sekolah milik mereka dan menanggung operasi bulanan. Jika kerajaan mahu membantu SMPC, maka wajib juga kerajaan membantu keseluruhan sekolah agama, tahfiz dan institusi agama milik persendirian tanpa bersikap berat sebelah. 
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 27/7/2018
Sumber HD - 27-7-2018 














RadioHead untuk tutup janji PRU14?

KITA berada di zaman edan, kemaksiatan dan kemungkaran dibungkus rapi atas nama kebebasan berekspresi, hak asasi manusia dan hak menikmati seni. Sensate culture dan budaya popular bukan sahaja digilai oleh anak-anak muda ranggi namun terus dikembang subur oleh penguasa. Kesungguhan YB Nurul Izzah untuk membawa masuk kumpulan Radiohead ke Malaysia sebagai balasan kepada rakyat negara ini yang menyokong peralihan kuasa 9 Mei adalah terlalu rapuh dan dangkal. 
Kumpulan muzik ini sangat mesra Zionis dan entiti haram Israel, antaranya kerana isteri salah seorang pemain guitar kumpulan itu, Jonny Greenwood adalah artis kelahiran Israel yang bernama Sharona Katan. Tidak menjadi kepelikan, dalam keadaan semakin ramai figura yang terlibat dalam industri seni, atlit, tokoh budaya, pemikir dan ahli musik menyeru kepada pemboikotan Israel dalam bidang seni dan budaya serta apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Israel. Radiohead mengambil sikap melawan arus dan mengambil tingkah yang menyokong rejim, mereka juga aktif membuat persembahan di Israel bahkan menjadi alat propaganda kepada Kerajaan Israel. Mereka telah mengadakan lapan kali konsert di Israel dalam tempoh 20 tahun, malah disensasikan oleh media hiburan antarabangsa sehingga melonjakkan nama mereka sebagai artis popular. 
Radiohead adalah satu kumpulan muzik yang membawa tema-tema politik ekstrem berhaluan kiri di dalam lagu-lagu mereka. Anak-anak muda ranggi yang kononnya rebel meminati genre ini, sebenarnya muncul dalam cerminan zaman dekad 90-an. Bukanlah satu perkara yang pelik, laras genre seperti raggae, blues, rock menjadi wahana untuk mengekspresi pelbagai latar isu politik dan sosial. 
Kumpulan ini sering memicu sensasi, antaranya Thom Yorke, ketua band ini pernah menunjukkan rasa jengkel kepada penonton konsert dengan menunjukkan jari tengahnya (simbol lucah), beliau juga mengucapkan kata-kata lucah apabila terdapat beberapa penonton yang menjulang dan mempamerkan bendera Palestin di sebuah konsert di Glasgow, Scotland pada bulan Julai, 2017. Tindakan itu mengundang kecaman kepada Radiohead oleh simpatisan perjuangan Palestin. 
Satu perkara yang boleh dipuji adalah, sikap netizen yang amat prihatin dan peka dengan perkembangan semasa khususnya melibatkan anak-anak muda. Golongan yang membantah ini merasa terpanggil untuk tidak melihat semakin banyak keruntuhan akhlak dan moral terhadap generasi muda. Penyumbang utamanya yang dikenal pasti daripada aktiviti hiburan yang melampau yang tidak ada batasan. 
Bagi umat Islam negara ini, usaha mengundang Radiohead tidak menyumbang kepada pembinaan peradaban dan kemajuan tamadun negara ini. Indeks gejala sosial negara ini sangat membimbangkan, gejala seks bebas, penagihan najis dadah, seks songsang, perlecehan pada agama, penularan wabak HIV dan pelbagai masalah bertindan tindih. kita menyedari budaya seronok melampau, Hedonisme, sensate culture adalah jarum halus Zionis yang menyucuk minda anak-anak muda agar ghairah dengan keseronokan, kebebasan, pergaulan tanpa batasan dan cinta muda-mudi yang mengasyikkan. Bayangkan jika dibiarkan pelbagai konsert menjadi fenomena dalam industri hiburan negara dan menjadi dendangan atau siulan anak-anak muda. Ke mana kita ingin membawa anak-anak muda kita pasca PRU14? Meralikkan mereka dengan candu hiburan supaya mereka melupakan janji-janji manifesto permuafakatan politik penguasa? 
Apa yang membimbangkan, elemen negatif, liar dan merosakkan mudah sangat diterima anak-anak muda negara ini, diangkat malah diidolisasikan oleh anak-anak muda. Lagu-lagu Radiohead mudah mendapat tempat di hati peminat hiburan sedangkan liriknya tidak langsung mengandungi mesej yang bernuansa ketuhanan malah tidak sesuai dengan budaya dan adat resam anak muda. Alangkah baiknya jika pemimpin-pemimpin negara ini menganjurkan program yang membangun peradaban, membangun minda masyarakat khususnya golongan belia pula mendapat tarikan dan ikutan pula sehingga menjadi fenomena luar biasa. 
Apa yang diharapkan agar kerajaan bertanggungjawab memantau aktiviti hiburan di negara ini, memantau perkembangan industri hiburan di negara ini. Jangan hanya menunggu laporan dan rungutan netizen untuk bertindak, sebaliknya apa juga elemen yang cuba dibawa masuk ke negara ini atau cuba dicetuskan oleh rakyat di negara ini mesti ditegah serta merta. Selain itu, pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti konsert-konsert hiburan, pesta-pesta hiburan yang melibatkan artis luar negara perlu diperketatkan kelulusan agar hanya mereka yang berimej bersih sahaja layak membuat persembahan. 
Saya mengharapkan seluruh umat Islam, juga netizen sentiasa memberi kerjasama baik dengan menjadi mata, telinga dan lidah rakyat yang kasih dengan pembinaan budaya, adat resam dan masa depan cemerlang buat generasi muda. Semakin banyak pendedahan, kritikan, teguran mahupun pandangan positif bagi mengekang budaya liar semakin baik agar akhlak generasi muda terpelihara. 
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pengerusi LESTARI ) - HARAKAHDAILY 20/7/2018
Sumber HD - 220-7-2018 














Beri Dr. Zakir Naik Lebih Ruang Forum Terbuka Bagi Menjawab



Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Umat Islam negara ini menuntut agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak supaya pendakwah bebas Dr Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya India amat penting bagi menjamin keselamatan pendakwah tersebut. Keadilan dan karomah insaniah menjadi intipati prinsip asas dan pendirian negara Malaysia mengenai Islam dalam menangani tuntutan pelbagai golongan termasuk mereka yang mahu melemahkan kedudukan agama Islam di negara ini.

Cadangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy agar Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dengan India tidak terjejas adalah pandangan tidak berasas. Hubungan diplomatik antara India dengan Malaysia tidak akan terjejas hanya kerana dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. India tidak akan mengambil tindakan diplomatik hanya kerana seorang warganegaranya yang bukan seorang pemimpin politik, bukan pula penjenayah berat, bukan pelampau, serta tidak terlibat dengan aktiviti keganasan. Beliau hanyalah seorang warga yang mahu memilih tinggal di negara lain. Kebimbangan kita bahawa Dr Zakir Naik berdepan dengan intimidasi, perlecehan dan hukuman penjara di negara tersebut jika dia dihantar pulang dan ini akan menghalangnya daripada menjalankan kerja-kerja dakwah , bahkan dinafikan hak sebagai manusia yang bebas.

Sememangnya kerajaan tidak perlu melayan tuntutan golongan yang paranoid terhadap kepetahan dan keseriusan pendakwah global tersebut kerana Dr Zakir Naik tidak membuat apa-apa kesalahan. Dakwaan mereka hanyalah berbentuk spekulatif, prejudis dan skeptikal tanpa dapat mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh. Sewajarnya debat secara sihat diadakan , terutama diantara Dr Zakir dan juga Dr Ramasamy , tokoh DAP yang paling aktif memicu isu ini.

Kes tuntutan terhadap Dr Zakir Naik tidak boleh disamakan dengan kes terhadap Jho Low atau Sirul Azhar yang dituntut di ekstradisi oleh kerajaan kerana mereka jelas melakukan jenayah dan kesalahan besar. Sebaliknya, Dr Zakir perlu diberikan kebebasan memilih tempat pemastautinnya tanpa gangguan mana-mana pihak apatah lagi sentimen agama yang melatari kebencian ini.

Bagi umat Islam, Dr Zakir Naik adalah permata yang bergemerlapan, aset ummah yang sangat berharga. Beliau adalah pembela dan pembahas terkemuka di dunia Islam. Jarang ada manusia sepertinya yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam ilmu perbandingan agama, mampu berhujah bukan sekadar melalui Al Quran dan Hadis, malah mampu mengeluarkan hujah melalui kitab-kitab suci agama lain. Kehadirannya di mana-mana pentas dan bersedia berdebat dengan mana-mana pihak secara spontan begitu dikagumi sehingga ramai yang memeluk Islam kerana hujah Zakir yang interaktif dan memancing pesona.

Bagi menutup mulut para pengkritik Islam dan pembenci Dr Zakir, Perdana Menteri perlu bertindak lebih jauh dengan menginstitusikan pemikiran dan metodologi dakwah Dr Zakir Naik. Beliau perlu diberikan ruang melalui insititusi yang ditaja kerajaan supaya lebih ramai para pendakwah dalam bidang perbandingan agama mampu dilahirkan di negara ini. Selain itu, lebih banyak forum terbuka, dialog agama, wacana silang budaya dan agama, ceramah dan perbahasan perlu dianjurkan melibatkan beliau dengan tokoh-tokoh agama lain diseluruh negara. Ini penting bagi menjawab kesemua tohmahan dan tuduhan terhadapnya, selain membuktikan bahawa kerajaan sedia memberi ruang kepada mereka yang melakukan kebaikan demi agama, bangsa dan negara.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Sumber BO - 15-7-2018















Hidangan Babi: Hormati Sensitiviti Umat Islam

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Negara ini sangat rapuh hubungan antara kaum malah mempunyai sejarah panjang pergeseran antara kaum akibat penjajah yang mengelompokkan sesuatu kaum berdasarkan wilayah dan pekerjaan.

Pergaduhan kaum pasca Perang Dunia Kedua, juga tragedi 13 Mei 1969 adalah akibat hilang sikap toleransi antara kaum sehingga mengorbankan nyawa . Sikap menghormati antara kaum adalah kunci kedamaian tanahair ini, malangnya mutakhir ini isu-isu perkauman mula mengambil ruang akibat keterujaan dengan mandraguna kuasa .

Tindakan penganjur Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong, di Melaka, malam kelmarin menghidangkan sajian babi kepada wartawan Islam dan Hindu sebagai keterlaluan walaupun mereka menganggap ia sebagai kesilapan. Kealpaan pihak penganjur dalam hal ini sukar diterima kerana ia melibatkan perkara sensitif khususnya dalam soal makanan terhadap umat Islam dan penganut Hindu.

Penganjur sengaja mengundang kemarahan masyarakat dengan sajian yang tidak halal untuk penganut beragama Islam dan Hindu. Apatah lagi yang menerima layanan seperti itu adalah wartawan beragama Islam. Oleh itu, layanan yang mereka terima malam itu melayakkan pihak penganjur pula menerima ‘layanan peringkat atasan’ dalam media dan mereka wajib menjawab segala kritikan dan kemarahan masyarakat. Isu di majlis tersebut mungkin akan berterusan dalam media buat beberapa hari atas kesilapan mereka sendiri.

Walaupun disebut ada lima buah meja untuk makanan halal, lima lagi meja makanan vegetarian dan selebihnya 50 meja menghidangkan makanan tidak halal, namun jika umat Islam atau penganut Hindu yang hadir serta melihat sajian yang dihidangkan secara keseluruhannya, tekak mana yang mampu menelan makanan yang dihidangkan? Dengan aneka bau dan rasa, penglihatan dan deria sukar buat tetamu menjamu makanan walaupun di meja yang halal kerana terbayangkan sajian lain yang meloyakan.

Sepatutnya dalam majlis umum seperti itu, pihak penganjur tidak menyediakan hidangan yang begitu sensitif khususnya daging babi. Walaupun jumlah hadirin dikatakan 90 peratus bukan Islam serta pelabur dari luar negara, namun apabila melibatkan majlis rasmi di dalam negara yang melibatkan orang kenamaan, majlis bersifat terbuka dan ada segelintir pihak yang diundang melibatkan golongan beragama Islam atau penganut agama lain, pihak penganjur perlu menghormati kehadiran mereka. Sebaiknya, daging babi, persembahan melampau melibatkan wanita atau botol arak tidak dihidangkan langsung dalam majlis kerana ia mengundang persepsi tidak baik.

Melainkan jika ia dibuat tertutup dan kehadirannya disahkan seratus peratus bukan Islam (bangsa Cina), maka menghidangkan daging babi dibenarkan kerana selain kaum Tinghua ada juga penganut agama lain yang tidak makan daging babi. Sensitiviti mereka perlu dijaga kerana protokol dalam majlis rasmi dan besar seperti itu amat penting bagi mengelakkan tanggapan buruk dalam masyarakat.

Atas tindakan tidak sengaja pihak penganjur itu, negeri Melaka turut terpalit dengan pandangan serong serta kemarahan masyarakat terutama umat Islam. Ketua Menteri Melaka mesti menjernihkan keadaan dan menjamin agar tidak ada majlis seumpama itu lagi berlaku di Melaka. Justeru, apa juga majlis yang mendapat liputan media, melibatkan pemimpin negara, dan undangan yang bercampur antara penganut agama dan bangsa, pastikan pihak penganjur meraikan budaya dan sensitiviti mereka dalam soal pemakaian, penganjuran dan pemakanan.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat)

Sumber BO - 13-7-2018
















Bahasa Melayu sebagai medium rasmi kerajaan

BAHASA adalah medium dan wahana untuk berkomunikasi dan melebarkan jaringan sosial serta menjadi alat perpaduan negara. Negara India pada suatu masa pernah berlaku kegegeran sosiopolitik akibat isu bahasa kerana kerencaman etnik negara itu sehingga bahasa Inggeris dipilih menjadi bahasa rasmi. Bahasa Melayu dalam denai sejarahnya, pernah menjadi lingua franca yang dipertuturkan oleh 84 bangsa yang datang berdagang ke Melaka dalam abad ke-15. Bahasa Melayu terus berkembang dan diperkayakan dengan penambahan kosa kata pinjaman daripada pelbagai bahasa dalam dunia ini. 
Para leluhur tanah watan ini dalam membina peradaban dan jatidiri negara pasca kemerdekaan telah berjaya mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke dalam Artikel 152 Perlembagaan negara. Kini dengan wewenang politikus cauvanis atas nama keterbukaan dan persaingan global telah meremehkan bahasa kebangsaan dengan semudah memetik jari. Bangsa yang gagah berdiri seperti Jepun dan Perancis tetap dengan bangga menjulang bahasa mereka, mengapa kita membiarkan malapetaka ini muncul di negara ini pasca PRU14. Rejim pragmatis sekular negara ini harus sedar, merosakkan kontrak sosial negara ini adalah seperti membakar jerami perpaduan yang dibina lebih enam dekad. 
Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan semalam amat tidak wajar. Tindakan beliau boleh mencetus suasana tidak tenang dan selesa dari kalangan rakyat dan boleh dianggap sebagai usaha merendahkan bahasa kebangsaan negara ini. 
Sebagai Menteri Kabinet, seharusnya beliau memahami sensitiviti rakyat di negara ini. Melakukan sesuatu yang lain dari yang lain dalam formaliti kerajaan boleh menyebabkan persepsi buruk rakyat terhadap beliau dan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan serta rakyat merasa tidak selesa dengan keadaan yang berlaku.
Sebagai menteri kanan kerajaan persekutuan Lim Guan Eng perlu sedar bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang menjadi pengikat semua bangsa di negara ini. Beliau adalah pemimpin negara dan mesti menunjukkan contoh teladan bagi menyemai perpaduan dan kesatuan rakyat berbilang kaum melalui apa juga cara termasuk menggunakan bahasa Melayu. Tidak salah untuk beliau menggunakan bahasa Mandarin dalam berkomunikasi, tetapi biarlah dalam bentuk yang tidak formal. Dalam urusan rasmi kerajaan, beliau mesti menggunakan bahasa rasmi agar mesej dan maksudnya boleh difahami oleh semua bangsa. Jika beliau menggunakan tiga bahasa sekalipun, Bahasa Melayu mesti mendahului daripada bahasa lain dalam pertuturan dan penulisan. Dengan demikian, ia adalah usaha mendidik masyarakat terutama bangsa lain agar mengerti dan memahami bahasa kebangsaan negara. 
Dalam hal ini, ingin diajukan persoalan kepada kerajaan Pakatan Harapan sekarang, apakah dasar mereka terhadap Bahasa Melayu? Apakah Bahasa Melayu mahu dimartabatkan dan dipertahankan, atau adakah Bahasa Melayu tidak memberi makna dan kepentingan apa-apa terhadap terhadap dasar kerajaan? Apakah kerana kerajaan PH yang ditunjangi oleh pelbagai parti dan berbilang kaum maka Bahasa Melayu juga sudah tidak dipedulikan kerana mahu meraikan kelainan bangsa yang ada dalam kerajaan PH sekarang? 
Jika benar Bahasa Melayu dimartabatkan, ditinggikan dan dipertahankan maka Menteri Kewangan mesti meminta maaf secara terbuka atas tindakannya itu manakala Perdana Menteri mesti menegur semua anggota kabinetnya agar menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam apa juga bentuk komunikasi rasmi kerajaan. Jika tidak, jangan salahkan rakyat jika medium komunikasi dalam syarikat, NGO, badan kerajaan malah institusi pendidikan juga akan menggunakan pelbagai bahasa kerana mengikut contoh pemimpin negara sekarang. 
Bahasa adalah jiwa bangsa, merosakkan kelestarian bahasa Kebangsaan adalah seperti merabik keharmonian tanah leluhur ini. Rejim baru Malaysia jangan memicu ketidakharmonian negara ini, tunaikan manifesto kamu atau rakyat akan menghumban kamu ke dalam bakul sejarah! - HARAKAHDAILY 25/6/2018 
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS dan Pengerusi LESTARI Pusat
Sumber HD - 25-6-2018 




































Almarhum UABC: Murabbi, pemimpin dan teman

HARI yang indah ini dengan program sambutan raya di pelbagai peringkat yang diadakan di seluruh negara, aku teringat akan sosok pejuang kental dari negeri Tok Ku Paloh, Almarhum Ustaz Dato Abu Bakar Chik (UABC). Genap empat tahun Almarhum UABC telah meninggalkan kita semua dan kejayaan PAS menguasai Terengganu dalam PRU14 juga sedikit sebanyak ada jasa sumbangan almarhum yang telah membina kader-kader dakwah di negeri yang kental dengan semangat beragama ini. 
Terbayang lebih dua dekad menjadi anak didiknya semenjak zaman kampus, memasuki Dewan Pemuda, saya sempat dua kali menghadiri Mesyuarat Pemuda Pusat ketika beliau memimpin Dewan itu, seterusnya bersama almarhum dalam PAS Pusat. Berusrah bersama almarhum semenjak zaman 'anak muda kail sejengkal' saya sehingga melepaskan zaman pemuda yang serba indah. Terbayang renungan matanya yang tajam dan kesungguhan almarhum bila berbicara, dakapan tubuhnya setiap kali bersua termasuk arahan demi arahan untuk memastikan jamaah ini tidak kontang daripada amal tarbawi. 
Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70-an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Hj Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah Tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh rejim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini Kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu. 
Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988. Kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jamaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tasawwur perjuangan Islam. 
Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi Dun Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam Operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang ke-13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai Pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi. 
Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di Dun Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Portfolio Pertanian. Beliau tak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Saya teringat almarhum menemankan saya makan tengahari usai Program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah, membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekanda saya, Ustaz ABC. Saya tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun. 
Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa Kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulamak Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jamaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat. 
Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat, bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak-anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor. Generasi Pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang , menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan. 
Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baik saya ini, namun saya mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya, Dato Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90-an, menggelarkannya secara diam "alfatihah", kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan Ummul Kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. Alfatihah buat maestro perjuangan, kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir. - HARAKAHDAILY 24/6/2018
Sumber HD - 24-6-22018 



















Mengenang Almarhum Ustaz Fadzil Noor

DATO' Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa umat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil" merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah. 
Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti Sosial Sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulamak ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih. 
Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi. 
Latar belakang keluarga  
Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. 
Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibu bapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris al-Jarumi merupakan salah seorang ulamak yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam. 
Darah ulamak pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah. 
Pendidikan
Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang credible. 
Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulamak iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.
Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanah air iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa Kerajaan Negeri Kedah. Di Universiti al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulamak-ulamak Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur kebaktian di tanah air. 
Perkahwinan
Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf. 
Bakat kepimpinan 
Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). 
Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Israel dalam Perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya regim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al-Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada Ustaz Fadzil. (Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu). 
Perkhidmatan
Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. 
Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (Dun) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan. 
Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS. 
PAS di penghujung dekad 70-an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihan raya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, di tengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh. 
Aktiviti kemasyarakatan
Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah. 
Beliau pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS di mana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70-an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami. 
Fadzil Nor telah memegang jawatan Setiausaha Penerangan Pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti-establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70-an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80-an terutama selepas Anwar menyertai Umno. 
Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demonstrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70-an. 
Ustaz Fadzil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam gerakan dakwah, beliau tokoh pembina yang penting di negara ini: kata beliau: 
"Kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasullullah S.A.W itu mendapat sambutan dari kalangan muda. Rasullullah menyebut dalam Hadisnya:
"Golongan mudalah yang membantu perjuangan dakwah."" 
Itulah antara sebab kaum Quraisy tidak senang, mereka mahu golongan muda mereka hidup berpoya-poya, mereka mahu golongan muda mereka menghabiskan masa dengan hiburan, mereka mahu golongan muda mereka tenggelam dalam kesesatan.\ 
Inilah cita-cita kaum Quraisy, dalam kebingungan golongan muda, dalam kesesatan golongan muda dalam kemungkaran yang dilakukan oleh golongan muda mereka boleh meneruskan kezaliman dan kejahatan. 
Tetapi apabila mereka melihat golongan muda menyahut panggilan Allah, menyahut panggilan Rasul, menyahut panggilan Islam inilah yang menyebabkan mereka tidur tidak lena, makan tak lalu. Yang menyebabkan mereka tidak senang dengan Islam dan kebangkitannya di akhir abad ke-14 dan di awal abad ke-15 ini, ialah kerana Islam mendapat sambutan golongan muda. 
Inilah menyebabkan Amerika tidak senang, Rusia tidak senang, Yahudi tidak senang dan khadam-khadam mereka pun tidak senang. Bila tuan mereka tidak senang maka khadam ikut tidak senang juga. Menjadi satu perkara biasa khadam ini ikut tuan. Kadang-kadang ia berlagak lebih dari tuan.
Rusia sedang dalam ketakutan sekarang untuk menghadapi Mujahidin Afghanistan walaupun ia kuasa besar kerana ia melihat Mujahidin Afghanistan itu sendiri dari golongan umat Islam Afghanistan, dari mereka yang berumur 15 tahun hingga ke 70 tahun. Inilah golongan yang menyertai gerakan mujahidin di Afghanistan".
Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulamak-ulamak untuk menggerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan Kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.
Ustaz Fadzil menyedari ulamak mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam masyarakat, mereka kelompok yang mewarisi amanah ilmu daripada Nabi S.A.W. Ulamak di sepanjang zaman menjadi benteng pertahanan Islam di seluruh belahan dunia Islam, berdadad dengan kezaliman pemerintahan seperti Imam Ahmad Ibnu Hambal, Imam Nawawi, Imam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya.
"Peranan ulamak seperti yang diterangkan oleh sumber-sumber itu ialah menyampaikan Islam, melaksanakan Islam dan memperjuangkan Islam. Peranan ‘ulamak’ dalam kehidupan ialah memikul tanggungjawab dakwah Islamiyyah dengan menyeru manusia kepada Islam. Mereka juga wajib menerangkan hukum Allah bagi semua persoalan hidup yang dihadapi oleh masyarakat dalam semua peristiwa yang berbangkit dan di antara kewajipan dan peranan ‘ulamak’ juga ia menjelaskan kepada pemerintah, menegur dan mengkritik pemerintah dan melaksanakan al-Amru Bil-Makruf dan Nahyu Anil-Munkar. 
"Tanggunjawab ulamak, seperti menegur, mengkritik pemerintah dan memberi penjelasan kepada pemerintah merupakan "kerja politik" yang mesti dipikul dan disedari ‘ulamak’. Oleh yang demikian tidak boleh sama sekali membiarkan adanya ‘ulamak’ (juhhal) yang sanggup menyatakan bahawa Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik atau politik tidak ada kene mengena dengan Islam." 
Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi. 
Penglibatan dalam politik
Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di Negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihan raya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti Peristiwa Memali dan Peristiwa Lubuk Merbau (1985). 
Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai Jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. 
PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulamak. Ustaz Fadzil adalah barisan ulamak muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia. 
Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Beliau menghadapi saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu Peristiwa Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah di mana dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini. 
Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di Negeri Kedah dalam Pilihan Raya Umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Dun Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihan raya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihan raya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu. 
Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil di kawasan Dun Bukit Raya berikutan kematian ahli Dun tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan Dun Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995. 
Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. 
Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi Parlimen (menang 27 kerusi Parlimen). 
Di Dun Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana Dun ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. Dun anak Bukit adalah Dun baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS. 
Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan, akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, almarhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latar belakang mereka, sama ada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.\ 
Ustaz menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap mangsa kezaliman ISA, beliau semasa memimpin PAS sentiasa peduli kepada keluarga mangsa ISA, tidak lokek menghulurkan bantuan kewangan dan menyuarakan isu ini di semua peringkat. Beliau turun naik ke Bukit Aman merudingkan pembebasan mangsa ISA, termasuk meminta pihak berkuasa membatalkan waran tangkap terhadap Ustaz Ibrahim Libya. Semasa menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, Ustaz Fadzil menyokong kuat Gerakan Mansuhkan ISA. 
Beliau juga sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan latar belakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. Di perhimpunan aman seperti di lebuhraya Kesas, di hadapan kedutaan asing, beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan, kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel atau Amerika. 
Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam situasi antarabangsa. Apabila tentera Rusia meninggalkan Afghanistan, beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabangsa yang lain seperti Sheikh Mustapha Masyhur Qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk mendamaikan kumpulan yang bertelingkah. Begitu juga, apabila berlaku reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta, mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh yang bersatu. 
Segala kenangan dengan lelaki berhati emas ini sangat mengesankan, beliau mampu mengingati nama-nama anak buah dengan baik, bertanya khabar, mengambil berat, seolah ayah kepada sebuah keluarga besar. 
Perjalanan akhir yang memilukan
Sang Murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam, semenjak zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam masyarakat disedari oleh umat, beliau mengharungi zaman payah perjuangan, melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan. Ustaz sentiasa mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh umat, didoakan selepas meninggalkan alam yang fana ini. 
Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah S.W.T. Berbondong-bondong manusia ramai menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah Bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan mengenainya di hati setiap manusia yang berada di pelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasasah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan Kompleks Pendidikan PAS Kedah. 
Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata mengalir air mata kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am, sarat dengan makna yang mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu. 
(Penulis adalah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 23/6/2018
Smber HD - 23-6-2018 

Laksanakan Pemisahan Kuasa Antara Kerajaan Dan Parti Politik Dengan Betul

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Arahan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Salahuddin Ayub supaya kakitangan kementerian itu tidak ikut serta dalam program politik beliau sekaligus tidak menggunakan aset milik kerajaan adalah langkah perlu yang mesti diikuti oleh seluruh kementerian yang lain.

Tindakan ini menjadi penanda aras bahawa pemimpin negara tahu pemisahan kuasa antara parti politik dengan kerajaan yang memerintah. Ia juga bagi memastikan amanah dan tanggungjawab sebagai kerajaan dipikul dengan betul dan tidak menyalahgunakan aset mahupun kakitangan kerajaan bagi kepentingan pemimpin dan parti politik.

Malah lantikan sebagai pegawai kerajaan dan pegawai politik juga mesti difahami skop dan peranannya agar tidak bertindih antara satu sama lain. Justeru, para pemimpin negara diharap tidak berdendam kepada mana-mana pegawai kerajaan yang tidak memihak kepadanya dan tidak memaksa mereka menyokong parti politik mereka.

Jangan pula memaksa pegawai kerajaan yang menyokong pembangkang meletakkan jawatan, atau memindahkan mereka ke sektor lain. Kenyataannya sudah berlaku sekarang, apabila PM dan menteri kabinet lain memberi amaran kepada mana-aman pegawai kerajaan yang berkempen untuk BN dahulu agar memberikan kesetiaan pula kepada kerajaan PH. Juga ada pegawai kanan kerajaan yang dipindahkan agensi kerana dilihat membantu kerajaan BN dahulu.

Kita melihat bagaimana layanan pegawai kerajaan di era BN dahulu yang begitu teruk dengan pelbagai tugas diberikan di luar bidang kuasa mereka bagi melunaskan kehendak para menteri kabinet. Pegawai kerajaan dipaksa turun dalam semua aktiviti bersifat politik termasuk kempen pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

Ada pegawai yang diminta berceramah, berkempen, mengiringi menteri, bahkan bermalam di kawasan menteri. Ada kalanya, menteri turut menggunakan aset kerajaan seperti kereta rasmi, elaun rasmi, jet milik kerajaan, tiket penerbangan, hotel, peruntukan demi peruntukan untuk program peribadinya. Lebih dikesali, apabila kemudahan kerajaan seperti pejabat, mesin fotostate, kertas-kertas, rumah-rumah rehat, bilik mesyuarat, serta kemudahan-kemudahan lain milik kerajaan digunakan untuk kepentingan parti politik.

Kesemua amalan ini mesti dihentikan serta merta. Mana-mana aktiviti parti politik perlu menggunakan saluran yang betul. Jika ia program parti, maka dana parti yang mesti digunakan walaupun parti politik tidak berduit dan tidak memiliki aset yang besar. Selain itu, kerajaan tidak lagi boleh dengan sewenang-wenangnya mengumumkan peruntukan kepada kawasan tertentu di musim pilihanraya kecil mahupun pilihan raya umum.

Tidak ada lagi projek mee segera, bantuan kepada rakyat sewaktu kempen pilihanraya menggunakan dana kerajaan, merasmikan projek khas secara mengejut di kawasan tertentu dan fokus hanya di parlimen sendiri lebih daripada parlimen yang lain. Kerajaan mesti berfikir secara menyeluruh, bukan mengutamakan kawasan menteri atau negeri yang dikuasai oleh PH sahaja tetapi meliputi seluruh negara.

Semua kenyataan dan ucapan para menteri mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Ia bukan dipandang pada sudut yang kecil tetapi pada semua sudut dan daripada perspektif yang menyeluruh. Kerajaan pasca PRU 14 perlu melaksanakan ketelusan, integriti dan tanggungjawab kepada rakyat, dan bukan hanya sekadar retorik ucapan semata-mata. Kegagalan pemerintahan BN dahulu adalah pengajaran paling berharga buat kerajaan dan pemimpin bahawa amanah terhadap rakyat dan negara adalah persoalan besar yang dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat)

Sumber BO - 11-6-2018





















Perang Ahzab melakar sejarah

PERANG Ahzab adalah mercu tanda pertembungan di antara iman dan kufur di zaman ar-Rasul S.A.W. Peristiwa ini akan dikenang sehingga kiamat oleh orang-orang beriman setiap kali kita menyambut hari raya, tanpa jemu kita akan terus menyebut peristiwa ini. 
Peristiwa ini berlaku kerana kebencian dan permusuhan golongan Yahudi yang tidak senang dengan kebangkitan pengaruh dakwah Islam yang berpangkalan di Madinah. Golongan Yahudi ini daripada kelompok Bani Nadhir yang tinggal di Khaibar telah menghasut kafir Makkah yang dipimpin oleh Abu Suffian supaya mengadakan usaha yang terancang dan berpakat dengan khalayak Kafir yang lain untuk menyerang orang Islam di Madinah. 
Tentera Musyrikin begitu berang apabila mereka terhalang oleh parit dan kubu kerana taktik ini tidak pernah digunakan di Semenanjung Arab. Mereka telah melancarkan serangan anak panah bertubi-tubi daripada luar Kota Madinah manakala beberapa Panglima mereka telah berjaya menyusup masuk di sebelah parit, iaitu Ikrimah bin Abu Jahal dan Amru bin Abdul Wud. 
Peristiwa selanjutnya ialah berlaku cabar-mencabar di antara pahlawan Musyrikin tersebut dan para Sahabat. Saidina Ali K.W.J telah bertarung (al-Mubarazah) dengan Amru bin Abdul Wud yang disaksikan oleh Sahabat-sahabat yang lain. Saidina Ali memang terkenal dengan seorang anak muda pemberani yang sangat dikasihi oleh Nabi S.A.W, apatah lagi beliau mendapat tarbiyah secara langsung daripada Baginda Nabi S.A.W. 
Saidina Ali telah berjaya membunuh Amru menyebabkan Ikrimah bin Abu Jahal melarikan diri dan kegembiraan Sahabat-sahabat dan Nabi S.A.W dimanifestasikan melalui laungan takbir mereka. Dalam Peristiwa Perang Ahzab yang berlaku di musim sejuk ini dan kekurangan makanan, orang-orang Yahudi Bani Quraizah telah melakukan pengkhianatan yang mana mereka sepatutnya sama-sama mempunyai tanggungjawab kolektif iaitu mereka sepatutnya mempertahankan bumi Madinah daripada serangan luar sepertimana yang disepakati bersama dalam Sahifah Madinah. 
Kelompok Yahudi ini melakukan pengkhianatan kerana dihasut oleh Huyai bin Aktab iaitu pemimpin Yahudi Bani an-Nadhir. Pertembungan semakin sengit yang menyaksikan 6 orang Sahabat telah gugur sebagai syuhada', manakala Musyrikin kehilangan 10 orang tentera mereka. Dalam pertempuran ini, Sahabat kanan yang sangat Nabi S.A.W kasihi juga merupakan pemimpin kaum Ansar, iaitu Sa'ad bin Mua'dz telah cedera parah terkena panah pihak musuh. 
Allah S.W.T Yang Maha Perkasa lagi Maha Pembalas dendam telah membantu para pejuangnya yang ikhlas dalam Peristiwa Perang Ahzab iaitu dengan memberikan beberapa bentuk pertolongan, antaranya sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, Surah al-Ahzab ayat 9 bermaksud: 
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu ketika kamu diserang oleh tentera-tentera Ahzab, lalu Kami hantarkan kepada mereka ribut yang kencang dan tentera-tentera (malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu lakukan." 
Orang Yahudi yang dipimpin oleh Salam bin Abi al-Haqiq ini telah berjaya meyakinkan Abu Suffian tentang buah kemenangan yang akan mereka kecapi jika permuafakatan Kuffar ini berjaya dilaksanakan. Beberapa Kabilah Arab yang masih kufur telah berjaya disatukan dalam satu barisan, seperti Kabilah Bani Ghatfan, Kabilah Bani Murrah dan lain-lain lagi. Jumlah kekuatan mereka ialah seramai 10,000 orang dan mereka dipimpin oleh Abu Suffian yang sebelum ini telah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam Peristiwa Peperangan Uhud yang berlaku pada tahun 3 Hijrah.
Nabi S.A.W telah mendapat maklumat tentang permuafakatan golongan Kuffar ini lantas telah mengadakan mesyuarat di Madinah dengan Sahabat-sahabat yang lain bagi menghadapi peristiwa perang besar ini. Dalam mesyuarat itu, Nabi S.A.W tertarik dengan cadangan yang diberikan oleh seorang Sahabat yang berbangsa Parsi, iaitu Salman yang mencadangkan supaya parit digali di keliling Kota Madinah. Ini bagi menghalang serangan tentera berkuda yang ramai di pihak musuh. 
Rasulullah S.A.W telah mengatur persiapan dan pertahanan tentera Islam dengan membahagikan Sahabat-sahabat kepada beberapa kumpulan iaitu setiap sepuluh orang menggali 40 hasta. Dalam operasi ini, Nabi S.A.W bertungkus-lumus dengan Sahabat-sahabat yang lain menggali parit dan merangsang semangat Sahabat-sahabat yang lain dengan ganjaran pahala jihad. 
Dalam operasi ini juga, Allah S.W.T memperlihatkan beberapa mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi S.A.W, seperti mampu memecahkan batu yang sangat pejal yang tidak mampu dipecahkan Sahabat-sahabat yang lain. Usaha membina parit ini diteruskan dengan bersungguh-sungguh kerana mengejar masa, bimbang takut musuh tiba sebelum parit disiapkan tetapi dengan keikhlasan dan kesungguhan para Mujahidin, maka parit tersebut berjaya disiapkan sebelum kedatangan 10,000 bala tentera musuh. 
Dalam pertembungan yang bersejarah ini, dirakamkan bahawa tentera Islam hanyalah sekitar 3,000 orang sahaja dan mereka tidak mendapat kerjasama daripada orang-orang Munafik yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubai serta berlaku pengkhianatan daripada orang Yahudi Bani Quraizah. 
Dalam menghadapi kedatangan jumlah musuh yang ramai ini, para Sahabat memperlihatkan tahap moral dan keimanan yang begitu tinggi, sepertimana Firman Allah S.W.T dalam al-Quran Surah al-Ahzab ayat 22, bermaksud: 
"Apabila orang-orang yang beriman itu melihat tentera Ahzab, maka berkatalah mereka, inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada kita dan benarlah Allah dan Rasul-Nya dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan kesejahteraan." 
Peristiwa ini sarat dengan ibrah kepada pejuang Islam di sepanjang zaman, bahawa orang beriman akan terus dikepung oleh musuh-musuh Islam yang bersatu. Mereka berbeza ideologi, citra dan nuansa namun untuk mengepung Islam dan umat Islam mereka akan satukan pakatan dan pemuafakatan. Malanglah umat Islam yang tidak mengambil pelajaran daripada peristiwa besar ini, Pragmatis, Sekular, Liberal, Sosialis mengepung dan menerjah agama Allah dan kita hanya mampu berpeluk tubuh melihat kemaraan Ahzab moden. 
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 6/6/2018
Sumber HD  - 6-6-2018

















Pertahan Jakim untuk kepentingan umat Islam  

ADA cadangan pihak tertentu terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula dimansuhkan. Pelbagai pandangan dikemukakan termasuk mereka yang mahu mengambil kesempatan menjarakkan Islam dari negara pasca PRU ke-14. Kelompok pejuang kebebasan bersuara, LGBT, liberal, free thinker dan lain-lain cepat melompat atas kesempatan PH menerajui Malaysia dengan menyerang apa juga insititusi berkaitan agama Islam di negara ini. 
Alasan mereka yang mendesak pembubaran Jakim kerana ia dilihat mencampuri urusan agama yang sepatutnya diletakkan di bawah raja Melayu dan majlis agama negeri, membazir dana negara dan menghabiskan duit kerajaan serta pelbagai pandangan lainnya. Mereka mendesak secara agresif supaya Jakim dibubarkan selaras dengan pengumuman pembubaran agensi lain kerajaan termasuk SPAD, JKKP, Jasa dan Majlis Professor Negara (MPN). Entah mengapa begitu cemburu dan marah segelintir pihak ini terhadap Jakim tidak pula diketahui walaupun bidang kuasa Jakim tidak mengganggu urusan kehidupan mereka seharian. 
Jakim adalah institusi agama Islam dan dianggap oleh umat Islam sebagai agensi penting kerajaan. Ia ditubuhkan secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Jakim begitu signifikan terhadap umat Islam dan negara ini sebagai badan penasihat kepada pihak kerajaan dalam isu-isu agama, penggubal undang-undang Syariah untuk dijadikan model di peringkat negeri dan digunakan sepenuhnya oleh negeri. Selain itu, Jakim juga berperanan sebagai badan penyelaras di antara agensi-agensi agama dan yang paling utama adalah sebuah badan yang melaksanakan pensijilan halal di Malaysia. 
Di sinilah menguji kekentalan prinsip Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan insitusi agama itu. Jakim ditubuhkan di bawah kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dan dengan kedudukan sekarang ia menguji beliau sama ada masih bertegas mempertahankan kewujudan Jakim atau tunduk kepada tekanan segelintir pendesak. Rakyat sedang melihat ketegasan kerajaan PH mempertahankan institusi agama Islam sesuai dengan kedudukan agama Islam dalam perlembagaan Malaysia. 
Dalam hal ini, tidak wajar bagi Tun Dr Mahathir mempertimbangkan desakan suara liar yang benci terhadap agama Islam dalam apa juga bentuk. Membubarkan Jakim akan merugikan umat Islam untuk jangka pendek dan jangka panjang. Sukar bagi agama Islam dipertahankan di negara ini jika satu dem satu desakan dan tekanan disuarakan bagi mengurangkan kuasa umat Islam. Jika kerajaan tunduk dengan desakan mereka, bererti kemenangan moral pertama terhadap agama Islam dan selepas ini banyak lagi desakan dan tekanan diberikan untuk mengurangkan kuasa agama Islam. 
Di sebalik desakan mereka yang agresif menyerang agama Islam, kerajaan pula perlu mendengar desakan umat Islam agar peranan Jakim diperkasakan di negara ini. Selain dikekalkan, bidang kuasa Jakim mesti diperluaskan dan diselaraskan, kakitangannya mesti ditambah, dan skop tugasannya mesti kembangkan bagi memperkasakan peranannya. Jadikan Jakim sebagai agensi utama penghubung antara insititusi agama di negara ini dengan negeri-negeri agar syiar dan syariat Islam terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 28/5/2018 
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Sumber HD - 28-5-2018 

No comments:

Post a Comment