Sepatutnya, tidak ada mana-mana pihak apatah lagi yang bernama orang Melayu mempertikaikan keikhlasan Pas dalam soal bekerjasama tersebut. Walaupun Pas sebuah parti pembangkang, itu tidak bermakna ia tidak boleh bekerjasama dengan UMNO khususnya dalam melibatkan soal kepenting­an orang Melayu dan Islam.

Kenapakah perlu kerjasama yang dihasratkan oleh Pas dilihat dari sudut politik semata-mata? Sejak dulu lagi, UMNO sendiri terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi membangunkan orang Melayu dan memperkukuhkan agama Islam.

Oleh itu, jika ada mana-mana pihak yang memandang serong hasrat Pas, biarkanlah sahaja, apa yang penting orang Melayu perlu menerima keterbukaan dan perubahan sikap Pas itu dengan penuh kelegaan.

Dalam situasi politik sekarang, orang Melayu tidak mampu lagi terus berpecah belah. Mereka yang takut wujudnya ke­rjasama antara parti-parti atau organisasi Melayu hakikatnya tidak mahu melihat orang Melayu bersatu waima dalam soal menjaga kepentingan kelompok tersebut.

Mereka bimbang kalau orang Melayu bersatu, ia akan me­ngukuhkan kembali kuasa orang Melayu dalam memastikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan tidak diganggu gugat oleh sesiapa.

Jika sebelum ini pertemuan Pas dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dijadikan isu sekarang hasrat Pas untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk UMNO pula dipertikaikan.

Keadaan itu seolah-olah menampakkan ada pihak yang sama sekali tidak akan berasa selesa jika wujud sebarang ge­rakan bagi memperkukuhkan perpaduan antara orang Melayu.

Segalanya kerana mereka mentafsirkan ia dari segi politik.

Tetapi yang anehnya golongan tersebut tidak pula mahu bersuara apabila hak-hak orang Melayu digugat atau cuba digugat oleh pihak-pihak tertentu, biarpun mereka tahu apabila terlalu banyak gangguan dilakukan ke atas orang Melayu ia boleh mencetuskan suasana tidak tenteram kepada negara.

Bagaimanapun tidak kira sama ada UMNO, Pas mahupun Perkasa, ketiga-tiga pihak ini tidak perlu terganggu dengan sebarang pandangan, tohmahan atau kritikan dalam soal mewujudkan kerjasama sesama mereka.

Sebaliknya, usaha perlu dilakukan bagi memastikan orang Melayu mencapai kata sepakat dalam memperjuangkan kepentingan mereka dan mempertahankan kesucian Islam.

Kesepakatan dan perpaduan yang kukuh antara orang Me­layu bukanlah ancaman kepada kaum lain sebaliknya mampu memberi rahmat kepada mereka.

Justeru biarlah pihak-pihak tertentu termasuklah dalam kalangan ahli politik mentafsirkan apa sahaja terhadap ke­nyataan Abdul Hadi. Apa yang penting sekurang-kurangnya ia menunjukkan bahawa orang Melayu tidak mahu berpecah selama-lamanya kerana berbeza fahaman politik.

Pegangan politik adalah hak peribadi masing-masing dan orang Melayu juga mempunyai amalan demokrasi untuk memilih parti mana yang mereka suka tetapi dalam soal memastikan kedudukan dan hak orang Melayu tidak tergugat, mereka mesti bersatu dan bekerjasama. Tidak perlu apologetik atau berkompromi lagi dalam soal tersebut.- utusan.com.my

Sumber DD - 31-10-2015