Dalam Bajet 2013, kumpulan sasaran ialah golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Antaranya pengurangan cukai pendapatan satu peratus diberikan kepada mereka yang mempunyai pendapatan kena cukai sehingga RM50,000; bantuan tunai RM500 untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah; RM250 kepada orang bujang, 21 tahun ke atas, yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah. Seterusnya diskaun 50 peratus tambang Keretapi Tanah Melayu (KTM) diberikan kepada semua rakyat yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Untuk belia yang sedang me­nuntut RM250 diberi untuk baucar buku, manakala RM200 untuk rebat telefon pintar bagi yang berumur antara 21 hingga 30 tahun de­ngan pendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Untuk meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak masih belajar, kerajaan memberi RM100 untuk setiap pelajar, manakala RM200 juta dibelanjakan bagi membantu para siswazah. Diskaun pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut diberikan kepada peminjam mengikut kategori bayaran penuh dan pembayaran yang konsisten. Seterusnya pelepasan cukai RM6,000 diberi untuk pendidikan tinggi anak-anak di dalam negara.

Turut mendapat manfaat daripada Bajet 2013 ialah golongan usahawan muda yang mendapat pinjaman mudah pada kadar faedah dua peratus dan usahawan teknologi yang disediakan dana RM50 juta di bawah New Entrepreneur Foundation (NEF) di samping pengusaha perusahaan kecil dan sedehana (PKS) serta penjaja.

Bagi usahawan wanita pula, seramai 500 orang dilatih sebagai Ahli Lembaga Pengarah di bawah Program Pengarah Wanita. Golong­an wanita terus diberi perhatian menerusi pemeriksaan mamogram percuma untuk mereka berumur 40 tahun ke atas. Seterusnya geran RM1,000 melalui program Get Malaysian Business Online (GMBO) untuk 50,000 usahawan Internet, terutamanya usahawan wanita.

Bajet 2014 sekali lagi menyasarkan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana apabila kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Bagi meringankan beban cukai, pelepasan RM2,000 diberikan untuk individu yang berpendapatan RM8,000 dan ke bawah. Penjawat awam dan swasta pula, kerajaan memberi pengurangan sebanyak satu hingga tiga peratus ke atas cukai pendapatan peribadi.

Bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar diteruskan malah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terus menerima RM250 untuk baucar buku. Bagi menjadikan Malaysia hub pembelajaran tersohor di rantau Asia, kerajaan menyediakan RM110 juta untuk program MyBrain15 yang membiayai yuran pe­ngajian pada tahap pascasiswazah.

PKS terus mendapat perhatian apabila RM50 juta dibelanjakan untuk bantuan ke atas integrasi pangkalan data bersepadu, menyediakan pusat inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek serta latihan. Program 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) diwujudkan untuk membantu 5,000 belia dalam bidang keusahawanan. Pinjaman mudah sehingga RM500,000 pada kadar faedah empat peratus turut disediakan di samping program Green Lane Policy dan Skim Usahawan Pasar Malam.

Kerajaan juga memberi pengurangan sebanyak satu peratus ke atas cukai pendapatan korporat dan PKS.

Sebanyak RM2.2 bilion disediakan untuk Program Pengarah Wa­­nita, Program Keusahawanan Purple DNA dan sebagainya. Seterusnya bagi meringankan kos penjagaan kanak-kanak kerajaan memberi RM250 sebulan untuk yuran nurseri bagi ibu bapa yang berpendapatan bulanan di bawah RM900. Untuk kesihatan pula RM9 juta dibelanjakan untuk servis imunisasi Virus Human Papilloma dan pemeriksaan ujian mamogram untuk wanita.

Kerajaan terus prihatin terhadap mereka yang telah menyumbang kepada negara. Sumbangan tambah­an untuk Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) dari lima peratus kepada 10 peratus atau nilai maksimum sebanyak RM60 kepada RM120 setahun. Kerajaan juga memberi RM30 elaun harian untuk warga emas dan RM250 bantuan kewangan khas untuk pesara.

Bajet 2015 seterusnya menjurus kepada menyejahterakan rakyat. Sebanyak RM950 BR1M diberi untuk isi rumah yang berpenda­patan bawah RM3,000. Manakala RM750 BR1M diberi untuk isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan RM4,000. Seterusnya RM350 untuk individu yang berpenda­patan RM2,000 dan ke bawah. Skim Khairat Kematian diperkenalkan kepada penerima BR1M bagi menggantikan insurans kelompok. Waris penerima BR1M mendapat RM1000 jika berlaku kematian.

Untuk meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, bantuan RM100 diteruskan. Pelajar IPT pula terus mendapat baucar buku bernilai RM250. Bagi meneruskan cita-cita menjadikan Malaysia hub pembelajaran tersohor di rantau Asia, RM112 juta diperuntukkan bagi program MyBrain15 yang membiayai yuran pengajian pada tahap pascasiswazah.

Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk membantu memperkasakan PKS. Seterusnya RM2.26 bi­lion disediakan untuk Program Pengarah Wanita.

Untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat, sebanyak 290 klinik 1Malaysia menyediakan rawatan pada kadar RM1 untuk semua rak­yat terutamanya di luar bandar.

Dengan penurunan kadar cukai pendapatan pula, seramai 300,000 orang tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

Bajet 2016 tentunya akan terus memberi tumpuan kepada golong­an berpendapatan rendah dan sederhana. BR1M terus menjadi harapan bagi golongan ini. Menjadi harapan mereka agar BR1M naik lagi mungkin kali ini RM1,200 bagi keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000.

Saya cadangkan pemberian BR1M tidak semuanya dalam bentuk wang tunai. Untuk memastikan wang BR1M mencapai tujuannya iaitu meringankan kos sara hidup rakyat, kupon BR1M boleh diberi untuk menebus barang-barang ke­perluan di Kedai Rakyat 1 Malaysia.

Tentunya ibu bapa yang mempunyai anak-anak masih bersekolah mengharapkan bantuan persekolah­an dinaikkan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Begitu juga pelajar IPT mengharapkan baucar buku diberi juga pada tahun 2016.

Program MyBrain15 perlu dite­ruskan bagi menjayakan harapan negara untuk menjadi hub pendidikan yang tersohor di rantau ini. Lebih ramai pensyarah yang berkelulusan doktor falsafah diperlukan untuk menaik taraf pendidikan negara.

Tentunya PKS akan terus mendapat perhatian kerajaan memandangkan krisis ekonomi dunia memperlahankan pertumbuhan ekonomi kita. Juga dengan wujud­nya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) nanti PKS perlu dibantu agar dapat mengeluarkan produk yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, komitmen kerajaan dalam memperkasakan wanita perlu diteruskan agar lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawanan dan menjadi pengarah di peringkat swasta.

Dengan adanya GST, rakyat mengharapkan habuan daripada kerajaan dalam bentuk rebat GST selain pengurangan kadar cukai pendapatan individu satu hingga tiga peratus lagi.

Seterusnya dasar-dasar pembangunan prasarana dan servis perlu diteruskan demi memacu Malaysia ke arah negara maju. Untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula skim gaji kerajaan. Semoga Malaysia terus maju dan berada di landasan yang betul bagi mencapai aspirasi rakyat untuk sejahtera dan terbela.

DR. BAAYAH BABA ialah Penganalisis Ekonomi, Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.