Pas menganggap Amanah sebagai pengkhianat dan belot daripada perjuangan. Amanah menentang Pas kerana dikatakan pemimpinnya sedang berjinak dengan UMNO. Memang terdapat dalam kalangan akar umbi Pas masih jelik melihat UMNO. Ini bakal diambil kesempatan oleh Amanah untuk mendapat sokongan. Untuk mengatakan faktor ini boleh memenangkan Amanah tidaklah mudah tetapi sebagai faktor mengurangkan undi Pas, mungkin.

Faktor ketiga ialah UMNO itu sendiri yang kelihatan semakin kuat dan bersatu. Ini kunci yang boleh membawa kepada kemenangan itu. Penulis pernah beberapa kali hadir di perhimpunan membincangkan isu dakwah, pendidikan dan ekonomi dalam kalangan ahli UMNO Kelantan, sambutan agak baik sekali.

UMNO Kelantan perlu mengatur strategi dari sekarang bagaimana dapat menampilkan pemimpin berwibawa yang berjiwa rakyat dan mendekati rakyat, memahami masalah mereka dan cuba meleraikan masalah yang berbangkit. Dengan dukungan Mustapa, beliau amat dihormati kerana caranya sering turun ke bawah dan merakyat. Ia adalah aset bagi UMNO Kelantan.

Faktor agama amat penting bagi Kelantan. Calon-calon yang berintegriti tinggi perlu ditampilkan dari sekarang yang mengambil pendekatan sederhana, melakukan perancangan lebih tersusun mengembangkan dakwah, menyusun pendidikan yang Islami dan mengatur kegiatan ekonomi yang memperkasa rakyat.

Pas sendiri sering mengulangi pendirian tidak akan bersama dengan UMNO dalam perjuangan politik dan PRU-14. UMNO harus melakukan pembinaan minda atau jalur berfikir yang lebih ‘real’ iaitu bersedia menghadapi PRU-14 seadanya. Ini tidak bermakna UMNO tidak terbuka untuk menjalin kerjasama demi kebaikan umat Melayu tidak saja di Kelantan tetapi juga di Malaysia.

Di Pulau Pinang kedudukan Lim Guan Eng tercabar terus dengan sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berkecuali dalam usul BN terhadap isu tambak laut. Tunjuk perasaan di Komtar meminta Guan Eng kembali ke Melaka dan jawatan Ketua Menteri digantikan dengan orang lain dan peletakan jawatan ramai orang Pas dalam Jawatankuasa Kemajuan menjadikan Guan Eng semakin resah.

Di Perak kedudukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang pernah menjadi Menteri Besar dalam pertikaian. Orang Pas Perak tidak lagi bersama dengannya dan perpecahan Pas dan Amanah menjadi semakin serius.

Di Selangor Mohamed Azmin Ali cuba mencari jalan selamat untuk terus bersama dengan Pas dalam kerangka lama di tengah-tengah desakan DAP supaya Pas disingkirkan. Mohamed Azmin enggan menerima Pakatan Harapan di Selangor dan ini adalah suatu strategi yang tidak popular.

Senario ini digambarkan betapa Pas sedang menghadapi dilema perjuangan di seluruh negara. Tiga wakilnya di Parlimen tidak bersama pimpinan utama Pas dalam undian menolak Bajet 2016. Isu takzir hudud masih belum mampu dibawa ke Parlimen, pendirian beberapa pemimpinnya yang tidak jelas bersama Pas atau Amanah membayangkan keberkesanan syura dan baiah Pas semakin tercabar.

Senario ini tidak mudah dileraikan oleh Pas Pusat dan bakal memberi kesan kepada Pas Kelantan kerana tanpa Pas bekerjasama secara terancang dengan pihak lain Kelantan boleh jatuh ke tangan BN. Ini tidak mustahil terjadi.