Bagi parti Republikan, sebagaimana dalam kempen pilihan raya 2012, bilangan calon yang ramai bertanding menyebabkan sukar meramalkan siapa yang akhirnya akan menjadi calon presiden bagi parti itu. Setelah disenarai pendek, empat orang calon nampak menonjol iaitu Donald Trump, Ben Carson, Jeb Bush, dan Marco Rubio.

Dalam kalangan calon presiden parti Republikan, ternyata pihak media banyak memberi ruang kepada Trump. Trump sebelum ini membiayai kempen beliau sendiri, namun kini mengharapkan sumbangan dana luar. Seorang usahawan hartanah yang berjaya, Trump sebenarnya telah lompat parti sebagai seorang ahli Republikan kepada ahli Demokrat (2000-2009) tetapi kini kembali menjadi ahli Republikan.

Trump sering dianggap oleh rakyat Amerika yang berpendidikan sebagai calon yang amat memalukan untuk mewakili rakyat atau negara itu. Justeru, kita bertanya siapakah sebenarnya yang menyokong Trump dan bagaimana dengan kenyataan-kenyataannya yang ‘jahil’, Trump masih boleh bertahan sebegitu lama dalam kempen pilihan raya yang sengit ini?

Seperti Trump, seorang lagi calon yang dilihat ‘amat menakutkan’ dengan kenyataannya yang amat kontroversi berhubung imigrasi dan kepelbagaian yang menjadi kunci kejayaan AS ialah Ben Carson. Seorang calon kulit hitam, Carson telah bersara daripada kerjayanya sebagai neurosurgeon yang berjaya. Carson tidak pernah memegang jawatan dalam politik dan pentadbiran dan penentang kuat Obamacare, iaitu program penjagaan kesihatan yang diperkenalkan oleh Presiden Barack Obama pada 2010.

Calon Republikan Jeb Bush pula datang daripada keluarga yang pernah menjadi presiden. Ba­panya George H.W. Bush ialah Presiden AS yang ke-41 (1989-1993), manakala abangnya, George Bush mentadbir selama dua penggal (2001-2009) dan terkenal dengan polisi luar yang amat kontroversi, terutama berkait perang di Iraq pada 2003. Setakat ini mantan gabenor Florida (2001-2007) ini antara calon yang paling banyak mengumpul dana untuk kempen beliau dan sekiranya terpilih bakal mencipta rekod sebagai presiden AS yang bapa dan abangnya pernah menjadi pre­siden.
Jeb Bush masih mempertahankan dasar abangnya yang melibatkan AS dalam perang di Iraq dan antara ‘alasannya’ mahu membantu pihak Kurdish melawan pihak Daesh atau ISIS di Iraq.

Seorang lagi calon Parti Republikan yang mungkin tidak begitu menonjol tetapi berpotensi kerana mewakili golongan muda - kumpulan pengundi yang semakin penting di AS ialah Marco Rubio. Seperti Obama, Rubio kini berusia 45 tahun. Jika terpilih beliau bakal mencipta rekod sebagai presiden pertama berketurunan Cuba. Fasih bahasa Sepanyol, Rubio tidak mempunyai masalah memenangi hati rakyat keturunan Hispanic. Sehingga kini, Rubio yang berkelulusan dalam bidang sains politik amat berpengetahuan dalam dasar luar namun beliau sering dilihat sebagai ‘the extreme hawk’, seorang yang properang dan mahu AS memainkan peranan sebagai polis antarabangsa sebagaimana calon parti Republikan lain. Mereka gagal belajar daripada kesilapan Bush dan golo­ngan ‘neo-cons’ sebelum ini.

Melihat kepada calon Republikan yang disenaraipendekkan, tiada satupun yang mempunyai kekuatan jentera pilihan raya sebagaimana dimiliki oleh Hillary Clinton, calon Demokrat yang sebenarnya telah bersedia untuk menjadi presiden wanita AS yang pertama sejak kempen pilihan raya 2008 apabila beliau kalah dengan Obama untuk mewakili parti Demokrat. Clinton seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Negara AS semasa penggal pertama pentadbiran Obama.

Kaya dengan pengalaman politik dan pentadbiran AS, sebagai senator yang bijak berkomunikasi sesuai dengan latar belakangnya seorang peguam, Clinton mempunyai peluang besar untuk memenangi pencalonan parti Demokrat pada Konvensyen Kebangsaan Philadelphia dari 25 hingga 28 Julai 2016.

Clinton dilihat sebagai calon presiden yang lebih selamat dan berjaya menambat hati rakyat AS.

Sekiranya terpilih sebagai presiden AS, mungkin suatu yang meng­untungkan adalah pegangannya menentang Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA), tetapi besar kemungkinan sudah terlambat.

Namun dasar luar beliau amat membimbangkan terutama sekali berkait sokongannya yang jitu terhadap Israel.

Seorang lagi calon Demokrat yang kian mendapat sambutan ialah Bernie Sanders. Senator dari Vermont sejak 2007 ini menjadi wakil dalam Dewan Perwakilan selama 16 tahun. Beliau menggelar dirinya sebagai ‘democratic socia­list’, satu terma yang mengelirukan rakyat AS yang mengaitkannya dengan komunisme. Malahan, Sanders sendiri masih belum dapat menjelaskan pendiriannya dengan baik.

Walaupun, ceramahnya sering mendapat sambutan hangat daripada rakyat AS yang ingin melepaskan diri mereka daripada belenggu ekonomi dan jurang perbezaan besar antara yang kaya dan miskin, beberapa faktor dilihat sebagai penghalang Sanders untuk memenangi pencalonan parti Demokrat.

Pada usia 79 tahun, beliau dilihat terlalu tua untuk bertanding. Pendiriannya memperjuangkan golongan marhaen juga dilihat sebagai terlalu kiri untuk pengundi AS.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan berbentuk plutokrasi dan bukannya demokrasi sudah tentu golongan elit yang kaya mahu terus memegang kuasa politik dan ekonomi AS.

Justeru janji-janji kempen Sanders dilihat sukar untuk dipenuhi kerana memerlukan perbelanjaan kerajaan yang terlalu tinggi. Apatah lagi cadangan dasar Sanders dikatakan agak kabur dan sukar difahami ramai rakyat AS.

Amat menarik untuk kita mengikuti kempen pilihan raya AS dan siapakah calon yang bakal mewakili kedua-dua parti ini. Menarik juga untuk kita melihat bagaimana dasar dan pegangan mereka akan memberi impak kepada perjalanan politik global yang amat kompetitif dan semakin sukar dikawal oleh mana-mana negara sama ada AS mahupun Rusia.

PROFESOR MADYA DR. SHAKILA YACOB ialah pensyarah dari Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya yang kini merupakan Sarjana Fulbright di University of Maryland,

Sumber DD - 3-11-2015