BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Sunday, May 24, 2015

RMK11



RMK11: Mampukah Malaysia capai negara maju?

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menyediakan tenaga pakar berkemahiran tinggi bagi mencapai status negara maju seperti mana yang disebut dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang lalu.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata, Penubuhan Talent Corporation (TalentCorp) pada Januari 2011 adalah dengan harapan melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi untuk bekerja di Malaysia.

Katanya, ia adalah susulan daripada Program Pakar (Returning Expert Program – REP) yang ditubuhkan atas tujuan yang sama sebelum dipindahkan bidang kuasa tersebut kepada TalentCorp.

Namun, ujar beliau jumlah pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia ketika ini hanyalah 2.8 peratus berbanding 3.1 peratus sasaran pada 2015.

"Ia menunjukkan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia masih rendah dan tidak mencapai status yang sepatutnya," katanya.

Beliau menambah, mengikut data yang disebutkan oleh Menteri Pendidikan di Parlimen, Rabu lalu jelas menunjukkan para pelajar yang menyambung di luar negara dan juga para profesional Malaysia yang bekerja di sana merupakan talent pool yang harus diberi perhatian.

Namun persoalannya, ujar beliau strategi yang dilaksanakan TalentCorp dilihat tidak berkesan dan berjaya untuk menyediakan ruang kerja berkemahiran tinggi yang semakin kompetitif dalam menghadapi cabaran semasa hari ini serta menggalakkan pekerja berkemahiran tinggi pulang dan bekerja di Malaysia ke arah membangunkan negara menuju cita-cita negara maju. - HARAKAHDAILY 15/6/2015

Sumber HD - 15-6-2015



Bolehkah ‘Negara Berpendapatan Tinggi’, pendapatan rakyatnya rendah?

DR DZULKEFLY AHMAD | .


Rancangan Malaysia Ke-11 baru dibentang. Penulis bersedia mengakui memang nampak hebat.

Namun setelah meneliti tidak banyak yang berbeza. Bahkan laras bahasa dan terminologinya pun tidak banyak yang baru, semacam tepu.

Tetapi yang pasti angka-angka sasaran sangat agresif dan terlalu optimis atau ‘bullish’.

Betul, ini pacuan lapse terakhir untuk menerjah tahun keramat 2020. Namun biar munasabah. Penulis seperti biasa akan menulis secara selektif untuk diketengahkan beberapa isu. Ruang terhad.

Sedikit ingatan, Bank Dunia mengiktiraf Malaysia antara negara terkaya di segi sumber per kapita rakyatnya. Jangan terlalu asyik mahu peraga angka-angka dalam target RMK11. Cuba kita perhatikan dahulu pencapaian RMK10.

Sesungguhnya, para ekonomi menganggap sejarah pembangunan diakui sebagai satu yag berciri ‘relative underperformance’ atau ‘prestasi rendah secara relative atau perbandingan’. Ya kita mendahului jiran atau ‘peers’ seperti Indonesia, Thailand atau Filipina. Sebaliknya, kita tidak mampu bermegah kalau dibanding dengan Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Mengapa?

Contohnya, pada tahun 1970 rakyat Korea Selatan punyai “Pendapatan Negara Kasar atau PNK per kapiat (GNI per capita) sebanyak US$270, ketika rakyat kita adalah sebanyak US$470 (mengikut data World Bank Atlas Method). Pada tahun 1980, mereka sudah menghampiri US$1,810 berbanding kita US$1,820.

Tiga dekad kemudian, pada 2011, Korea Selatan terus memecut PNK per kapita rakyatnya cecah US$20,870 sementara Malaysia terus terhambat dalam penomena “Perangkap Pendapatan Sederhana” (Middle Income Trap) dengan hanya mampu mencapai US$8,420 hampir sepertiga mereka.

Nah, mengapa berlaku gejala “perangkap pendapatan sederhana”? Saya juga enggan untuk menggunakan istilah “Negara Maju”. Kedua-dua isu ‘perangkap sederhana dan negara maju berhajatkan wacana yang lain.

Untuk ingatan semua, kita juga adalah sebuah negara yang amat mewah dengan perancangan dan dasar. Ini tidak perlu saya ulangi. Tulisan ini hanya menumpu tentang ‘negara berpendapatan tinggi’.

Izinkan saya ingatkan Perdana Menteri apa yang telah diakuinya sendiri dalam ucapannya di Dewan Rakyat. Nah, saya mahu mengulangi dalam angka dan bukan peratus.

Masih terdapat 1,772,000 penduduk yang belum mendapat bekalan air bersih, ii. 672,000 masih tidak mendapat bekalan elektrik iii 168,000 penduduk yang masih dalam kategori ‘miskin’ yang kemudian disifatkan oleh Menteri Kewangan sebagai ‘standard hidupnya sangat rendah.

Di samping itu, setelah hampir 3 dekad tamat DEB, pegangan ekuiti Bumiputera masih ditahap 23.5%, gagal capai sasaran 30%.

Untuk pengetahun pembaca, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, akui hampir 40% perancangan RMK-10 gagal dilaksana. Siapa dan wilayah mana yang tercicir dan terpinggir akibat itu? Malang.
Saya hadiri sebuah Seminar oleh PEMIKIR minggu lalu. Pakar ekonomi dan teknokrat ulung Prof Tan Sri Kamal Saleh membuat pembentangan kertas kerjanya berkenaan RMK-11.

Dalam memacu matlamat multidimensi 2016-2020 dalam RMK-11 ini, dua tunggak penting asas perhitungan atau premisnya ialah:

Pertumbuhan KDNK (Benar) (Real GDP) sebanyak 5-6% setahun. Dan
Pendapatan Negara Kasar –PNK per kapita (GNI per capita) mencecah RM54,100 (US$15,690) pada 2020.

Premis ini mengandaikan kesan limpahan atau ‘trickle-down economics’ berlaku, 5-6% pertumbuhan, adalah syarat bagi membolehkan sasaran pendapatan per kapita. Maka seandainya pertumbuhan tidak cecah 5-6% setahun dalam RMK-11, cita-cita untuk rakyat nikmati pendapatan PNK per kapita sebanyak (mudahnya US$15,000) atau RM54,690 tersasar, tidak kesampaian.

Dalam pada itu, saya setuju dengan kritikan seorang ahli akademik Universiti Malaya, Dr Lee Hwok Aun, bahwa RMK-11 silap membuat sebutan angka US$15,000 ini dalam ‘angka nominal’ dan bukan ‘angka sebenar’ atau riil (real term). Dengan kata lain, angka tersebut adalah silap, kerana ‘angka sebenar’ mengambil kira faktor inflasi.

Sebagai contoh, kalau pertumbuhan adalah 6% dan inflasi adalah 5%, maka angka pertumbuhan sebenar adalah 1%. Kalau pertumbuhan adalah 5% dan kadar inflasi adalah 6%, maka pertumbuhan sebenar adalah negatif 1 atau -1 atau ekonomi menguncup.

Ketika Model Ekonomi Baru dibentangkan pada tahun 2010, angka GNI per capita atau PNK per kapita sebanyak US$15,000 setahun disebut pada ‘angka sebenar atau real term’. Ketika itu, ‘angka nominal-semasa’ (tidak mengambil kira inflasinya) adalah US$17, 725 setahun atau US$16,500 pada kadar pertukaran hari ini (harga semasa) setelah nilai ringgit jatuh.

Pentingnya, mencapai angka US$15,000 pada sebutan nominal (bukan angka sebenar) ini tidak lagi bermakna mencapai ‘berpendapatan tinggi’! Ada yang lebih pentingkan persoalan jurang atau kesejengan (inequality/disparity).

Pelik mengapa pihak Unit Perancangan Ekonomi (EPU) pilih lakukan sedemikian. EPU terdiri dari teknokrat yang kompeten. Silap atau diarah?

Satu lagi, kalau kadar pertumbuhan purata 5-6% setahun dalam ‘angka sebenar’ pun tidak juga kesampaian. Congakan matematik memerlukan pertumbuhan ke paras 6.5% secara ‘angka sebenar’ untuk RMK-11 nanti. Sebabnya kerana RMK-10 tidak mencapai sasaran pertumbuhan 6% tetapi hanya 5.3%. Maka perlu dilakukan satu pacuan untuk atasi ‘defisit’ pertumbuhan.

Kembali kepada isu bersabitan cita-cita untuk melonjak purata pendapatan isi rumah kumpulan berpendapatan rendah B40 akan digandakan kepada RM5,270 menjelang 2020 .

Berkebetulan, berdasarkan Bank Dunia, kategori B40 adalah kelompok ‘Miskin Relatif’ atau “Relative Poverty”. Golongan B40 yang berjumlah kira-kira 2.7juta isi-rumah dengan pendapatan purata sebanyak RM2537 (bezakan purata, bukan penengah atau ‘median’ yang lebih rendah).

Professor Tan Sri Kamal Saleh, pakar ekonomi dan teknokrat ulung negara, berpandangan bahawa untuk melonjakkan purata pendapatan B40 ini adalah terlalu optimis dan sukar mengandaikan segala faktor-faktor global dan serantau akan berjalan dengan baik.

Kali terakhir Malaysia menyaksikan pertumbuhan yang rancak seperti 8% untuk hamper sedekad adalah antara 1988 antara 1998. Malaysia mengalami industrialisasi yang rancak pada era tersebut, tetapi melalui era ‘premature deindustrialisation’ atau tidak ‘matang’ seterusnya.

Sumbangan KDNK atau GDP yang terdiri dari gaji dan bonuses-overtimes pekerja adalah pada paras 26 ke 32% di Malaysia ini, berbanding 46% di Korea, 55% di Canada dan lebih tinggi di negara maju yang lain. Ini bermakna pulangan hasil keuntungan kerja kepada buruh di negara ini rendah.

Singapura telah mencapai 47% pada tahun 1997 lagi. Pekerja dan buruh di negara ini sememang telah mengalami ‘wage suppression’ atau ‘tekanan kenaikan gaji’ untuk sekian lamanya. Pastinya faktor pekerja asing yang sejumlah dikata 6 juta memainkan peranan, sementara kerajaan tidak mesra persatuan sekerja juga berpengaruh.

Hanya 1.7 juta sahaja dari 12.4 juta pasaran buruh yang layak membayar cukai pendapatan. Fakta dari KWSP membuktikan 78.6% pencarumnya mempunyai gaji RM3000 atau lebih rendah dari paras itu. Pendeknya, produktiviti yang dijana di negara ini, tidak dapat diagihkan dan dikongsi kembali kepada golongan pekerja di negara ini. Pelbagai faktor lagi perlu dihalusi untuk menggapai sasaran negara berpendapatan tinggi.

Tegasnya, mampukah negara ini menjadi sebuah ‘Negara Berpendapatan Tinggi’, sementara ‘Rakyatnya Berpendapatan Rendah’? - HARAKAHDAILY 31/5/2015
Penulis ialah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Sumber HD - 31-5-2015

Bedah siasat isu-isu air dalam RMK11

PIARAPAKARAN S. | .


PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) telah menyediakan komen-komen bagi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11). Komen-komen ini adalah berdasarkan kepada laporan-laporan dan cadangan-cadangan yang diterbitkan oleh Awer berbanding dengan maklumat di dalam RMK11 (dibaca bersama dengan Kertas-kertas Strategi oleh EPU), Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

1. Bekalan Air Luar Bandar
Meningkatkan bekalan air terawat kepada masyarakat luar bandar adalah satu langkah ke arah yang betul. Melalui model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA), ia dapat membuahkan hasil yang cepat. Kami juga menggalakkan Kerajaan Persekutuan untuk melibatkan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah untuk menerima pakai model WSIA untuk meningkatkan pencapaian industri perkhidmatan air di kedua-dua negeri.

Model WSIA dapat dilaksanakan untuk perkhidmatan air berpusat dan pembangunan perkhidmatan air luar bandar. Walau bagaimanapun, penggunaan sistem penuaian air hujan (SPAH) tidak boleh diambil kira dalam bekalan air terawat kecuali air hujan yang dituai telah dirawat sebelum penggunaan. Menaik taraf infrastruktur bekalan air luar bandar yang sedia ada juga perlu dimulakan untuk memastikan kesinambungan bekalan air terawat dapat dikekalkan.

2. Prinsip Pencemar Perlu Bayar (Polluter Pays Principle)
Satu ayat dalam RMK11 tidak dapat menjelaskan bagaimana fungsi mekanisme ini. Kami telah berulang kali menegaskan bahawa konsep pencemar perlu bayar bagi isu air dan terdapat seksyen-seksyen dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling serta WSIA yang boleh meningkatkan kuasa pendakwaan terhadap pencemaran yang boleh diperluaskan kepada lain-lain jenis mekanisme pencemaran (udara dan tanah).

Jurang dalam mekanisme ini adalah pemulihan kerugian akibat penutupan loji rawatan, gangguan operasi sektor industri dan komersil serta kos perkhidmatan kecemasan kepada pengguna domestik. Semua kos ini perlu diambil kira. Menyenarai hitamkan pencemar daripada menyertai proses tender kerajaan boleh dijadikan satu lagi penalti ekonomi yang boleh dilaksanakan.

3.  Melindungi Hutan Semulajadi sebagai Rizab Kekal
Usaha yang lebih perlu digembleng di dalam isu ini kerana kawasan simpanan kekal juga memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air. Peningkatan dalam populasi penduduk and aktiviti-aktiviti ekonomi akan meningkatkan permintaan bagi air terawat.

Kuasa ke atas sumber air masih di bawah kerajaan negeri dan perubahan guna tanah adalah punca utama kegagalan perlindungan hutan semula jadi. Terdapat keadaan di mana hutan semula jadi telah ditukar menjadi penanaman kelapa sawit di kawasan tadahan air.

Empangan Gemencheh, Negeri Sembilan adalah contoh klasik kegagalan melindungi kawasan tadahan air. Empangan ini kini gagal berfungsi disebabkan oleh perubahan guna tanah. Lebih daripada RM 30 juta akan dibelanjakan untuk membina sistem pam untuk mengepam air mentah dari Sg Jelai. Sg Jelai mempunyai air yang keruh dan ini pasti akan meningkatkan kos penyelenggaraan sistem pam dan meningkatkan kadar pemendapan di Empangan Gemencheh. Maka, selain kos pembinaan, kos elektrik, kos penyelenggaraan pam dan empangan akan meningkat.

Satu lagi contoh adalah sumber air mentah bagi projek Langat 2. Kawasan sekitar kawasan tadahan air sedang digondol dan ditukar kepada penanaman kelapa sawit. Penurunan kualiti air mentah akan meningkatkan kos penyelengaraan sistem pam dan terowong serta kos perawatan air.

Mengapakah pengguna-pengguna Lembah Klang perlu membayar 10 sen bagi setiap meter padu untuk mendapatkan air mentah yang lebih keruh? Keadaan yang lebih buruk adalah sumber air ini mempunyai risiko kegagalan sama seperti empangan Gemencheh. Kebimbangan ini telahpun diutarakan kepada agensi yang berkenaan.

Malangnya, tiada tindakan konkrit yang diambil kecuali teriakan untuk Langat 2 disiapkan dengan cepat. Dalam senario kes terburuk, Langat 2 dan terowong akan menjadi projek gajah putih. Siapa yang akan membayar kos infrastruktur terbabit untuk projek gajah putih sebegini? Lebih buruk lagi, Lembah Klang mungkin akan mengalami margin rizab negatif yang tidak boleh dipulihkan selama bertahun-tahun jika Langat 2 gagal berfungsi kerana ia sepatutnya menghasilkan 1130 Juta Liter sehari (JLH).

4. Tebatan Banjir
Seperti yang dicadangkan oleh Awer, ia adalah berita baik untuk mendengar bahawa ramalan banjir akan ditambah baik. Ini juga akan digabung dengan pendekatan pengurusan banjir secara holistik. Satu-satunya isu yang kami ingin membawa kepada perhatian semua pihak adalah status Jabatan Pengairan dan Saliran yang tidak mempunyai kuasa perundangan atau penguatkuasaan. Ini boleh membawa kepada isu-isu guna tanah yang mungkin akan mengagalkan perancangan tebatan banjir. Kami berharap isu ini diberi perhatian yang serius.

5. Mekanisme PenetapanTariff dan Pembilan Bersama
Akhirnya, cadangan kami untuk menggunakan hanya sumber kewangan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan penghentian peruntukan kewangan terus oleh kerajaan persekutuan bagi industri perkhidmatan air telah diterima pakai.

Hanya melalui kaedah ini, model WSIA boleh berjaya dilaksanakan. Walau bagaimanapun, mekanisme penetapan tarif masih jauh ketinggalan berbanding dengan pelaksanaan sebenar. Mekanisme penetapan tarif ini merupakan salah satu komponen dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang tidak dicapai.

Kami telahpun memberikan maklumbalas mengenai kelewatan dalam pelaksanaan model WSIA dan penyelewengan model WSIA daripada pelaksanaan sebenar kepada kedua-dua Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pengurusan tertinggi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). Pembilan bersama juga merupakan pencapaian yang perlu dilaksanakan semasa RMK10.

Terdapat kelewatan yang serius dalam pelaksanaan model WSIA di mana sasaran-sasaran untuk Rancangan Malaysia ke-9 juga belum dicapai. Pembilan bersama juga patut dilaksanakan serentak dengan penggabungan syarikat air (perawatan dan bekalan air) dengan perkhidmatan pembentungan (Indah Water Konsortium-IWK). Pulau Pinang, Lembah Klang (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor), Melaka dan Johor boleh melaksanakan langkah ini dahulu. Bercakap mengenai pembilan bersama dalam RMK11 tidak membawa sebarang makna dan impak yang ketara sekiranya IWK tidak distruktur semula terdahulu.

6. Pelaksanaan Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) secara Holistik
Selepas hampir 5 tahun 'pertempuran' untuk mengutarakan masalah NRW di Malaysia, ia adalah satu kemenangan bagi AWER di mana semua cadangan kami untuk mengurangkan NRW telah diterima pakai di bawah RMK11.

Kami juga telah dimaklumkan bahawa Pelan Tindakan Pengurangan NRW yang dibangunkan oleh Pasukan Petugas Khas Pengurangan NRW Kebangsaan (yang pembentukan kedua-duanya telah dicadangkan oleh AWER) akan diguna pakai untuk menyelesaikan masalah NRW.

Walau bagaimanapun, kami masih tetapkan Indeks Prestasi Utama SPAN untuk NRW di tahap 20% pada tahun 2020 berbanding dengan sasaran SPAN sendiri (25%). Ini adalah kerana Bank Dunia menetapkan 15% tahap NRW bagi negara maju dan 25% tahap NRW bagi negara membangun.

Kami juga akan terus  memantau kemajuan program NRW kerana Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Labuan masih belum menstruktur semula di bawah model WSIA. Negeri-negeri ini sepatutnya menyempurnakan penstrukturan semula semasa Rancangan Malaysia Ke-9 yang berakhir pada tahun 2010. Sabah dan Sarawak tidak menyertai model WSIA.

7. Industri Pembentungan
Kami gembira bahawa cadangan untuk membina loji rawatan pembetungan serantau dan berpusat diberi keutamaan di bawah RMK11 seperti yang dicadangkan oleh Awer. Hanya melalui kaedah ini, kemampanan dari segi ekonomi dan alam sekitar untuk sektor pembetungan dapat dicapai. Ini digabung dengan mengguna pakai cadangan kami untuk menukar sisa kepada kekayaan (waste to wealth) dari sektor pembetungan yang akan meningkatkan daya maju ekonomi projek.

Kami mengalu-alukan pembangunan Pelan Induk Pembetungan Negara oleh SPAN dan akan menyumbang untuk menambah baik pelan induk ini. Pelan induk ini perlu dibangunkan dengan penglibatan semua pihak berkepentingan dan bukan sahaja entiti "ya bos" dan kumpulan-kumpulan vested interest sahaja.

8. Pelan Induk Pengurusan Permintaan Air
Pelan Induk Pengurusan Permintaan Air adalah tepat pada masanya kerana Awer telah berulang kali mengesyorkan pelaksanaan pengurusan permintaan air yang holistik. Walau bagaimanapun, pelan induk ini telah tertinggal penggunaan air utama (air mentah) dalam sektor industri dan pertanian. Oleh itu, adalah lebih sesuai untuk menamakan semula pelan induk ini kepada Pelan Induk Pengurusan Permintaan Air Terawat.

Semakan tarif sepatutnya membantu syarikat-syarikat air mendapat pulangan bagi perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi serta keuntungan yang dikawal selia. Maka, tarif tidak boleh digunakan sebagai kaedah langsung dalam pengurusan permintaan air. Ia adalah band tarif yang ditetapkan sebagai tarif mendenda (punitive tariff) yang akan menggalakkan kecekapan air. Ini digabung dengan bil pembetungan berdasarkan isipadu yang telah dicadangkan oleh Awer untuk menggalakkan kecekapan air secara holistik. Pelan induk perlu dibangunkan dengan penglibatan semua pihak berkepentingan dan bukan sahaja entiti "ya bos" dan kumpulan vested interest sahaja.

9. Penyusunan Semula Institusi Sektor Awam Dan Mengurangkan Pertindihan Peranan
Ia adalah tepat pada masanya untuk dimasukan dalam RMK11. Malah, Awer ingin mencadangkan keutamaan yang boleh dilaksanakan dalam tahun ini juga. Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan Indah Water Konsortium.

Jabatan Bekalan Air (JBA) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan operator air. Sepatutnya tidak ada sebarang percubaan untuk mengurangkan fungsi PAAB, SPAN, Indah Water Konsortium atau operator air. Kedua-dua JBA dan JPP perlu ditutup dan kakitangannya boleh diserap oleh SPAN, PAAB, Indah Water Konsortium, operator air atau kekosongan jawatan kerajaan yang lain.

Jika ini dapat dilakukan, kerajaan akan menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan janji-janji dalam RMK11. Begitu juga, ia adalah diketahui oleh banyak pihak bahawa JPP sedang mencuba untuk membentuk Syarikat Pembetungan Negara (NaSCo) yang memainkan peranan yang sama seperti PAAB bagi industri pembetungan. Manipulasi dan penyelewengan dari model WSIA seperti ini mesti dihentikan.

Kesimpulan
Awer gembira kerana Kerajaan Persekutuan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) telah banyak menerima pakai cadangan-cadangan yang telah kami utarakan sejak beberapa tahun lalu dalam RMK11. Ini adalah langkah yang betul untuk menambah baik dasar-dasar nasional.

Seperti yang kami maklumkan dalam komen-komen tadi, banyak sektor perlu ditambah baik dan beberapa pelaksanaan adalah tidak diperlukan. Pengulangan projek dan rancangan dalam Bab 3 (bekalan air luar bandar), Bab 6 (pertumbuhan hijau) dan Bab 7 (komponen infrastruktur) bagi isu-isu berkaitan dengan perkhidmatan air dan tenaga adalah sangat ketara.

Rancangan seperti RMK11 harus mengelakkan pengulangan sebegini kerana ia menggambarkan kekeliruan dalam merangka pelan. Satu projek atau rancangan harus dikelompok di bawah kriteria yang ia akan dinilai dengan jelas.

Perancangan yang berkaitan dengan air (terutamanya perkhidmatan air) telah tertangguh sejak Rancangan Malaysia Ke-9. AWER akan terus memantau pelaksanaan pelan dan bajet berikutnya (2016-2020) untuk menentukan pelaksanaan sebenar pelan dan projek dalam RMK11. Guna tanah yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan menjadi penghalang utama. Pengurusan risiko ini tidak pernah diketengahkan dalam semua isu berkaitan di dalam RMK11. – HARAKAHDAILY 28/5/2015

Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Sumber HD - 28-5-2015

LTA Kulim: Adakah 'tindak balas' Najib kepada Mukhriz?



HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: PAS Kedah mempersoalkan kenapa tiada peruntukan projek Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kulim dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kelmarin.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mahfuz Omar berkata apa yang mengejutkan dalam pembentangan yang menetapkan peruntukan pembangunan sebanyak RM260 billion itu, LTA Kulim yang ghairah dicanangkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir tidak disenaraikan bersama.

Tambahnya, turut tidak tersenarai dalam RMK11 ialah lima lagi projek mega yang diumumkan oleh Menteri Besar dalam ucapan Bajet 2015 tahun lalu iaitu Bandaraya Aero Kedah, Lebuh raya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE), Bandaraya Getah, Taman Sains dan Teknologi Kedah dan Bandaraya Sains Perubatan Kedah.

Dalam ucapan bajet tersebut, ujarnya Menteri Besar begitu optimis bahawa semua projek tersebut akan dimasukkan dalam RMK11 bagi tempoh lima tahun mulai 2016 hingga 2020.

"Penafian terhadap kesemua projek tersebut oleh Perdana Menteri dalam RMK11 menimbulkan tandatanya," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Pertama, kata beliau kemungkinan rancangan pembinaan LTA Kulim serta lain-lain projek tersebut tiada dalam pengetahuan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, kata Mahfuz kajian dan kertas cadangan yang dinyatakan oleh kerajaan negeri hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata rakyat, sedangkan ianya tidak dikemukakan secara serius dan komprehensif.

"Kedua, kemungkinan Perdana Menteri ingin 'bertindakbalas' terhadap anak Tun Dr Mahathir Mohamad (Datuk Paduka Mukhriz) yang akhir-akhir ini lantang mengkritiknya, atau terdapat kemungkinan yang lain," ujarnya lagi.

Menurutnya, oleh kerana projek berkenaan diperkatakan secara serius dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah dan melibatkan kepentingan rakyat, maka beliau mendesak Menteri Besar memberi penjelasan terhadap status serta impak terhadap penafian kerajaan Persekutuan dalam menyenaraikan projek tersebut.

"Jika dalam tempoh lima tahun, tiada satu pun dari projek tersebut akan dilaksanakan, maka apa lagi projek pemangkin ekonomi negeri yang ada, sedangkan tempoh penggal Menteri Besar akan berakhir tiga tahun sahaja lagi," katanya.

Semua persoalan itu, tegasnya harus dijawab dengan jujur oleh Mukhriz selaku pemimpin kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sosioekonomi negeri ini. - HARAKAHDAILY 24/5/2015

Sumber HD - 24-5-2015

Kekeliruan RMK11: Isi rumah M40 bukan kelas menengah

OOI HENG | .


Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang diumumkan pada 21 Mei 2015 telah menyentuh aspek pendapatan isi rumah yang mengukuhkan persepsi bahawa Malaysia mempunyai 40 peratus kelas menengah. RMK11 juga mensasarkan peningkatan kepada 45 peratus kelas menengah pada tahun 2020.

Pada masa yang sama, RMK11 juga menggunakan konsep "isi rumah M40" apabila menyentuh kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan. Penggunaan konsep ini agak mengelirukan di mana kumpulan berpendapatan pertengahan (middle income group) telah disamakan dengan kelas menengah (middle class) secara sedar atau tidak sedar.

Sesungguhnya, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (middle income group) tidak bersamaan dengan kelas menengah (middle class). Menurut Laporan RMK11, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan atau "isi rumah M40" merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan di antara 41 peratus hingga 80 peratus daripada taburan pendapatan keseluruhan. Pada tahun 2014, pendapatan "isi rumah M40" adalah dalam julat RM3,855 dan RM8,135 yang mana pendapatan purata adalah RM5,662 dan pendapatan penengah adalah RM5,465.

Konsep "isi rumah M40" mempamerkan pendapatan kumpulan isi rumah yang merupakan sebahagian daripada taburan pendapatan keseluruhan. Dua lagi konsep berkaitan ialah kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau "isi rumah B40" dan kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus teratas atau "isi rumah T20".

Hal ini bermaksud, konsep "isi rumah M40" merujuk kepada sifat pendapatan pertengahan dan bukannya sifat kumpulan masyarakat yang mempamerkan gaya dan kualiti kehidupan kelas menengah. "Middle income group" dan "middle class" adalah dua konsep berbeza.

Pemahaman ini mustahak sekali kerana permasalahan dalam pemahaman konsep di atas telah membawa kepada mitos bahawa Malaysia mempunyai peratusan kelas menengah yang tinggi seolah-olah Malaysia telah memasuki status negara maju yang berpendapatan tinggi.

Menurut Laporan RMK11, pada masa ini, terdapat 2.67 juta "isi rumah M40" di Malaysia. Hal ini tidak bermaksud, kumpulan isi rumah ini tergolong sebagai kelas menengah. Justeru, terdapatnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan tidak bermaksud Malaysia mempunyai 40 peratus isi rumah yang tergolong sebagai kelas menengah.

Sesungguhnya, menurut Laporan United Nations Development Programme (UNDP), yakni "Malaysia Human Development Report 2013: Redesigning an Inclusive Future" yang dilancarkan pada tahun 2014 dan dijadikan rujukan semasa perancangan RMK11, kelas menengah di Malaysia berkisar sekitar 19 peratus daripada jumlah populasi Malaysia semenjak tahun 1989. Dua dasawarsa kemudian, saiz kelas menengah di Malaysia berkisar sekitar 22 peratus antara tahun 2009 hingga 2012.

Hal ini bermaksud, saiz kelas menengah bukanlah 40 peratus. Tetapi penggunaan konsep "kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan" secara meluas telah memberi gambaran tidak tepat berkenaan saiz kelas menengah di Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dinyatakan dalam Laporan RMK11, pada masa ini, terdapat 2.67 juta "isi rumah M40" dengan julat pendapatan antara RM3,855 hingga RM8,135. Dalam konteks semasa dan juga konteks lima tahun akan datang, apakah kewajaran menggolongkan kumpulan isi rumah berpendapatan antara RM3,855 hingga RM5,000 sebagai kelas menengah? Daripada "isi rumah M40", mungkin lebih wajar jika hanya kumpulan isi rumah berpendapatan antara RM5,001 hingga RM8,135 digolong sebagai kelas menengah.

60% isi rumah di bawah kelas menengah

Berikutan penjelasan di atas, jika diandaikan 20 peratus daripada "isi rumah M40" tergolong sebagai kelas menengah, maka 20 peratus isi rumah yang selebihnya berada di bawah kelas menengah. Apabila diambil kira angka "isi rumah B40" serta sebahagian daripada perangkaan "isi rumah M40", maka terdapat 60 peratus isi rumah yang berada di bawah kelas menengah.

Kumpulan 60 peratus ini terdiri daripada isi rumah miskin, isi rumah mudah terjejas dan isi rumah aspirasi. Laporan RMK11 telah mendefinisikan isi rumah mudah terjejas sebagai isi rumah berpendapatan antara paras garis kemiskinan (PGK) dan 2.5 kali PGK. Seterusnya, Laporan RMK11 mendefinisikan isi rumah aspirasi sebagai isi rumah berpendapatan antara 2.5 kali paras garis kemiskinan (PGK) dan pendapatan purata nasional.

Berdasarkan penetapan pemerintah pusat mengenai paras garis kemiskinan (PGK) sebanyak RM800, maka isi rumah mudah terjejas merujuk kepada isi rumah berpendapatan antara RM800 dan RM2,000 sementara isi rumah aspirasi merujuk kepada isi rumah berpendapatan antara RM2,000 dan RM5,270.

Angka RM5,270 merupakan pendapatan bulanan purata yang menjadi sasaran RMK11 dalam meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat kelas menengah. Tetapi sebelum mencapai sasaran, isi rumah aspirasi adalah mereka yang mengaspirasikan status kelas menengah tetapi belum mencapai status tersebut.

Penjelasan ini penting untuk menonjolkan pembangunan Malaysia yang berdepan dengan "stagnation". Dalam konteks perkembangan ini, persepsi bahawa "isi rumah M40" sama dengan kelas menengah bukan sahaja mengelirukan malah membawa trajektori pembangunan masyarakat ke arah yang menjauhi sasaran RMK11. - HARAKAHDAILY 24/5/2015

Penulis ialah Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU).

Sumber HD - 24-5-2015

No comments:

Post a Comment