BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Thursday, March 15, 2018

KESIHATAN DAN PENYAKIT (JILID 3)

Skim Pembiayaan Kesihatan B40







SETAKAT ini tiada penjelasan terperinci mengenai cadangan Kementerian Kesihatan berhubung Skim Pembiayaan Kesihatan B40 (Social Health Insurance - SHI).

Menurut menterinya sebelum ini, skim tersebut bakal diumumkan dalam Bajet 2019 yang dijadual akan dibentangkan esok (2 November 2018). Malangnya, perincian mengenai skim itu masih embargo dan tidak mendapat pandangan rakyat lebih awal.
Menteri Kesihatan hanya memberikan jaminan bahawa skim tersebut bukan berbentuk insurans, sebaliknya ia dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut memberikan gambaran bahawa skim yang akan dicadangkan itu mirip dengan Skim Peduli Sihat yang pernah dilaksanakan di Negeri Selangor. Skim ini dijangka akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Tiada syarikat insurans yang akan terlibat untuk menguruskan skim tersebut.
Walau bagaimanapun, satu sumber melaporkan terdapat syarikat insurans luar negara yang telah bercadang untuk menyumbang berbilion ringgit untuk menubuhkan skim kesihatan tersebut sebagai pertukaran (swap deal) dikecualikan daripada menjual 30% pegangan saham kepada pelabur tempatan sepertimana yang diminta oleh Bank Negara Malaysia.
Sebelum cadangan SHI, Kerajaan Persekutuan pernah mencadangkan satu skim yang dinamakan 1Care sejak tahun 2009 yang lalu. Namun, cadangan tersebut tertangguh selama beberapa tahun.  -  HARAKAHDAILY 1/11/2018

Sumber HD - 1-1-2018


Demam campak boleh bawa maut




PASTIKAN jika anak anda demam, tidak mempunyai tanda-tanda penyakit campak (measles). Tanda-tanda klasikal bagi kanak-kanak yang diserang demam campak adalah:
i) Demam sehingga mencecah 38°C
ii) Batuk
iii) Selsema / hidung berair
iv) Mata merah (radang konjuntivitis)
v) Ruam merah bermula di bahagian muka kemudian merebak ke seluruh badan. Biasanya ruam itu terjadi pada hari ketiga demam.
vi) Pengidap penyakit campak akan juga mengalami gatal mata, pening, sakit urat, kerengsaan kerongkong dan pembengkakan kelenjar.
Demam campak adalah sejenis jangkitan virus yang boleh merebak dengan cepat terutamanya di pusat asuhan kanak-kanak. Tempoh minggu pertama serangan campak ini amat mencabar ibu bapa yang menjaganya. Kanak-kanak akan merengek, kurang selera makan dan tidak dapat tidur malam.
Kesan serius yang menakutkan akibat penyakit campak ini adalah kematian. Dicatatkan pada tahun 2013, terdapat 145,700 kematian akibat campak seluruh dunia. Pecahan ini mencatatkan 400 kematian bagi setiap hari dan 16 kematian setiap jam. Satu angka yang amat menggerunkan.
Empat perkara penting yang wajib anda tahu mengenai keseriusan demam campak.
1) Ianya boleh membawa maut jika tidak bertindak dan diuruskan dengan baik. Fakta mendapati komplikasi serius boleh berlaku terhadap kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun. Satu dari empat kanak-kanak yang diserang campak akan dimasukkan ke wad akibat keterukan penyakit. Satu dalam seribu kes demam campak mempunyai risiko bengkak otak dijangkiti virus dan satu atau dua kes daripada seribu meninggal dunia. Menunjukkan pengesanan dan pengurusan kes demam campak perlu dijalankan sebaik mungkin. Jangan sesekali memandang enteng pemeriksaan para doktor dan rawatan yang dijalankan.
2) Virus campak paling senang merebak. Hanya dengan batuk, bersin atau pernafasan pesakit yang sudah dijangkiti di tempat yang tertutup boleh menjadi wabak. Sembilan daripada sepuluh orang lain berisiko dijangkiti dalam sesatu kes yang positif. Pembawa yang dijangkiti mungkin boleh timbul tanda-tanda serangan atau menjadi pembawa virus sahaja. Ianya bergantung kepada tahap imuniti badan masing-masing.
3) Peningkatan kes penyakit campak sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan. Sebagaimana laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada bulan Jun 2015 bahawa kes penyakit campak (measles) di WP Kuala Lumpur sebanyak 73 kes. Kes berkenaan disahkan positif dihinggapi kuman campak melalui ujian darah. Julat umur kes tersebut antara sebulan sehingga 43 tahun. Lebih menyedihkan majoriti (79%) daripada kes tersebut didapati tiada suntikan vaksin campak (measles). Begitu juga kes wabak penyakit campak ini di Kuantan Pahang yang melibatkan sebuah sekolah agama, didapati liputan pemberian imunisasi campak tidak mencapai 85% di lokalliti terbabit. Dengan ertikata lain, tiada lindungan Imuniti Berkumpulan (herd immunity) ke atas kanak-kanak di lokaliti berkenaan. Menyebabkan wabak penyakit berjangkit berbahaya seperti penyakit campak ini senang merebak.
4) Pemberian vaksin khusus bagi pencegahan penyakit campak semasa umur 9 bulan dan setahun kanak-kanak telah berjaya menyelamatkan 15.6 juta kematian dari tahun 2000 hingga 2013. Sebelum era vaksinasi (1980), jumlah kematian kanak-kanak dianggarkan 2.6 juta setiap tahun seluruh dunia akibat wabak penyakit campak ini. Membuktikan vaksinasi memainkan peranan penting dalam kehidupan sejagat manusia.
Sasaran penyakit campak sifar 2010 musnah kerana jumlah yang menolak pemberian vaksin kepada anak-anak semakin bertambah. Sasaran terbaharu pihak berkuasa untuk menjadikan negara kita sifar campak 2015 juga tidak tercapai kerana jumlahlah semakin meningkat.
Jika semua pihak tidak memainkan peranan bagi penghapusan deman campak ini, tidak mustahil sasaran sifar campak tahun 2020 juga akan gagal. Apa yang kita perhatikan punca yang boleh dikaitkan secara tidak langsung adalah wujudnya golongan yang menolak vaksin. Ibu bapa yang menolak pemberian vaksin semakin meningkat setiap tahun. Sejajar dengan peningkatan kes campak yang juga bertambah.
Seruan saya agar setiap pihak memainkan peranan sama ada masyarakat awam mahupun ahli politik dan sebagainya agar virus campak ini pupus. Kita tidak boleh menyalahkan takdir jika usaha dan ikhtiar kita tidak dijalankan secara optimum. - HARAKAHDAILY 11/9/2018

Sumber HD - 12-9-2018

Mandi pagi hilang kolesterol?

PALING kurang tiga rakan sakat (tag) nama saya dalam facebook bertanyakan kebenaran video berkaitan mandi pagi boleh hilang kolesterol. 
Terdapat juga sebaran tular artikel yang kononnya menyebut sesiapa yang bangun di awal pagi dan solat sunnat tahajjud boleh terhindar dari penyakit. Katanya, saat sujud di pagi hari darah akan mengalir ke dalam salur darah halus otak. Waktu kebiasaan salur darah tersebut tidak dimasuki darah! Ada juga tulisan tular yang menyebut di waktu dini sedemikian, udara sekeliling terdapat banyak O3 atau ozone. Di mana, ozone ini mempunyai banyak manfaat kesihatan. 
Adakah benar khasiat-khasiat yang diceramahkan itu? 
Hasil penelitian saya, tiada hadis yang jelas mengenai anjuran mandi sebelum subuh. Apa yang disebut oleh Rasulullah SAW adalah fadilat solat sunat sebelum subuh dan keberkatan bangun makan sahur. Sebagaimana hadis- hadis berikut: 
Aisyah binti Abu Bakar Radhiallahu anhuma berkata,
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ عَلَى شَيْئٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ تَعَاهُداً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ
“Nabi tidak pernah menjaga shalat sunnat melebihi perhatian beliau terhadap dua rakaat sebelum Subuh.” 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مَنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيْهَا 
“Dua rakaat (sebelum) Subuh lebih baik daripada dunia seisinya.”
Atau aktiviti sebelum subuh adalah makan sahur. Dari Ibnu Umar dan A’isyah radhiallahu ‘anhum, 
أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ 
Bahawa Bilal biasanya berazan di malam hari. Lalu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Makan dan minumlah kalian, sampai Ibnu Ummi Maktum berazan, kerana tidaklah dia mengumandangkan azan kecuali setelah terbit fajar.” 
Ilmu perubatan tidak akan menafikan manfaat kesihatan jika berlaku kepada individu tertentu dalam melakukan apa sahaja amalan sunnah. Cuma, ilmu perubatan mesti bersandarkan bukti yang tepat sesuatu perbuatan itu boleh menghindarkan penyakit mahupun menyembuhkannya. 
Selagi tiada disebut secara khusus oleh baginda Rasulullah SAW bahawa mandi sebelum fajar itu boleh mengubati penyakit atau secara spesifiknya menghapuskan kolesterol darah, mengubati kulit, merawat nyanyuk dan seumpamanya, maka pandangan para agamawan hanya bersifat andaian semata-mata. Ianya tidak boleh dijadikan hujah malah kurang manis dijadikan bahan kuliah. Tambahan pula beliau membuat pengesyoran agar berhenti makan ubatan yang sudah terbukti (secara sainsnya mampu merawat) demi mengukuhkan pandangan beliau itu. Nasihat yang sedemikian menyanggahi disiplin ilmu yang sepatutnya. 
Kolesterol terbentuk dalam badan kita sama ada melalui kaedah luaran atau dalaman. Memakan makanan yang tinggi kandungan lemak boleh mempungaruhi paras kolesterol. 
Begitu juga badan sistem badan kita sendiri memproses kolesterol dan komponennya untuk kegunaan tenaga secara dalaman. Satu proses yang agak unik untuk dibincangkan.
Sehingga kini, tiada satu pun kajian yang membenarkan kenyataan mandi sebelum subuh itu boleh merawat kolesterol, mencantikkan kulit, melancarkan peredaran darah, tingkatkan kesuburan, meningkatkan sistem imun dan sebagainya. 
Sujud yang lama di waktu subuh juga tidak dibuktikan boleh menghindarkan penyakit nyanyuk. Bahkan salur darah halus dalam otak semuanya disaliri oleh darah sepanjang ketika sama ada waktu berdiri, baring atau sujud. Mekanisma badan kita dijadikan unik untuk itu. Jika terdapat salur darah yang tidak mengalir darah ke sesatu kawasan otak, bermakna kita sudah ditimpa penyakit strok (angin ahmar). 
Udara di waktu dini hari memang segar, kerana tiada aktiviti manusia yang boleh mencemarkannya (bergantung kepada kawasan juga). Tetapi teori yang mengatakan waktu dinihari itu banyak ozone adalah tidak benar. Ozone dalam bersekitaran boleh meningkat dengan peningkatan suhu. Ozone baik untuk menghalang kemasukan cahaya ultra lembayung ke muka bumi. Sebaliknya Ozone yang tinggi dalam persekitaran boleh menjadi risiko kepada penyakit seperti asma dan lain-lain penyakit paru-paru. - HARAKAHDAILY 17/7/2018
Sumber HD - 17-7-2018 

Air sejuk atau air panas mana lebih baik?

LightBlog

Notis : Kami membuka satu group baharu "MindaRakyat" di Telegram. Anda boleh berborak apa sahaja di sini. Group ini terbuka dan tiada sekatan. Group ini menerima RSS (suapan berita) daripada blog ini secara berkala. >> Masuk < <
http://mindarakyat.blogspot.com/2018/06/air-sejuk-atau-air-panas-mana-lebih-baik.html




AIR adalah unsur yang sangat penting dalam tubuh manusia kerana 70 peratus tubuh manusia mengandungi air dan kebergantungan manusia terhadap air lebih tinggi berbanding makanan.

Mengikut fakta, manusia mampu hidup selama tujuh hari tanpa makanan tetapi tanpa air manusia hanya mampu bertahan antara dua hari hingga lima hari sahaja.

Jadi, manusia perlu mendapatkan secukupnya air panas dan air sejuk bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Menurut portal Berita Mediacorp, terdapat manfaat di antara air panas dan air sejuk mengikut keadaan tertentu yang boleh anda nikmati.

Perubatan Cina lama dan Ayurveda berpendapat, minum air suam pada waktu pagi mampu mengaktifkan sistem penghadaman, mencegah sembelit dan merangsang aliran darah ke bahagian usus.

Selain mampu mencegah jerawat dan masalah kulit, minuman air hangat membantu mengeluarkan toksin dari tubuh sekali gus dapat membersihkannya dari badan manusia.

Perahan jus lemon dalam segelas air suam mampu membangkit rasa yang lebih menyegarkan juga menambahkan khasiat dalam minuman.

Bagi mereka yang mengalami masalah hidung tersumbat, minum air panas boleh membantu mengeluarkan lendir di saluran penafasan.

Tidak sekadar itu, apabila air panas mengalir dalam aliran darah, ia sekali gus berfungsi sebagai penghilang rasa sakit semula jadi. Suhunya yang panas membantu mengurangkan sakit pada sendi atau perut kerana haid.

Manakala, minuman air sejuk pula baik untuk tubuh tetapi perlu mengambilnya mengikut waktu yang sesuai.

Antaranya adalah waktu bersenam ketika suhu tubuh sedang meningkat, minuman air sejuk akan menurunkannya.

Tambahan pula, ketika waktu panas mesti sangat seronok menikmati air sejuk. Tidak ramai yang tahu, mengambil air sejuk pada waktu ini membantu menurunkan berat badan.

Melalui cara ini pembakaran lemak berlaku disebabkan metabolism tubuh meningkat apabila minum air sejuk.

Pun begitu, terdapat waktu yang dilarang mendapatkan air sejuk antaranya ialah semasa dan selepas makan kerana akan menyebabkan tubuh membuang banyak tenaga untuk meningkatkan suhunya.

Hal tersebut akan melambat pencernaan yang berhubung kait dengan masalah lemak pada perut.

Jadi, anda perlu bijak mengambil air panas dan sejuk mengikut keadaan yang sesuai supaya kesihatan anda lebih terjamin.

Pastikan diri anda mengambil air yang secukupnya ketika musim perayaan ini. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Sumber MR - 18-6-2018




Cacing dalam tin sardin, Kementerian Kesihatan arah produk ditarik balik
Posted on Saturday, April 21 @ 23:17:14 UTC
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=39274&mode=thread&order=0&thold=0



KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan 2 produk sardin dalam tin dari China, Canned Sardines in Tomato Sauce jenama TL Tan Lung dan Sardines in Tomato Sauce jenama TLC, ditarik balik dari pasaran kerana mengandungi cacing.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan penguatkuasaan diambil terhadap syarikat pengimport produk itu yang diarah menarik balik produk setelah didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Kementerian Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan makerel dalam tin.
“Dalam isu ini, hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co Ltd dari China tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana mengandungi benda asing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kementerian mengambil maklum laporan yang tular di laman media sosial berkaitan cacing mati ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China.

“Laporan tersebut menyatakan, pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan 3 pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produknya dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China,” katanya.

Beliau berkata KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan makerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran.

“Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.


Sekiranya pengguna mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan mengenai isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq.

Sumber TKO - 21-4-2018










Penyelidik Secara Tidak Sengaja Menemui ‘Enzim’ Pemakan Plastik

Para penyelidik di Amerika Syarikat dan Britain secara tidak sengaja merekabentuk enzim yang memakan plastik dan pada akhirnya dapat membantu menyelesaikan masalah pencemaran plastik yang semakin meningkat.

Menurut sebuah kajian lebih daripada lapan juta tan plastik dibuang ke lautan dunia setiap tahun, dan kebimbangan semakin meningkat ke atas warisan beracun yang dihasilkan oleh petroleum ini pada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Walaupun usaha kitar semula dibuat, kebanyakan plastik dapat bertahan selama beratus-ratus tahun pada alam sekitar, justeru penyelidik mencari cara yang lebih baik untuk menghapuskannya.

Para saintis di University of Portsmouth dan Makmal Tenaga Boleh Diperbaharui Kebangsaan Jabatan Tenaga AS memutuskan untuk memberi tumpuan kepada bakteria yang terdapat di Jepun beberapa tahun yang lalu.

Para penyelidik Jepun percaya bakterium berkembang agak baru di pusat sisa kitar semula, kerana plastik tidak dicipta sehingga tahun 1940-an.

Dikenali sebagai Ideonella sakaiensis, nampaknya memakan secara eksklusif pada jenis plastik yang dikenali sebagai polietilena terephthalate (PET), yang digunakan secara meluas dalam botol plastik.
Mutasi Yang Mudah

Matlamat penyelidik adalah untuk memahami bagaimana salah satu enzimnya, dikenali sebagai PETAS – bekerja, dengan memikirkan strukturnya.

“Tetapi mereka akhirnya melangkah lebih jauh dan sengaja merekayasa enzim yang lebih baik untuk memecahkan plastik PET,” kata laporan itu dalam Prosiding Akademi Sains Kebangsaan, jurnal AS yang dikaji semula.

Menggunakan sinar X yang sangat kuat, 10 bilion kali lebih cerah daripada Matahari, mereka mampu membuat model tiga dimensi enzim ultra tinggi.

Para saintis dari University of South Florida dan University of Campinas di Brazil membuat pemodelan komputer yang memperlihatkan PETase sama seperti enzim lain, cutinase, yang terdapat dalam kulat dan bakteria.

Salah satu bidang PETAS sedikit berbeza dan penyelidik menganggap hipotesis bahawa ini adalah bahagian yang membolehkannya meremehkan plastik buatan manusia.

Jadi, mereka bermutasi tapak aktif PETAS untuk menjadikannya lebih seperti cutinase, dan dengan tidak disangka-sangka mendapati enzim mutan ini lebih baik daripada PETAS semula jadi pada pemecah PET.

Para penyelidik mengatakan bahawa mereka kini sedang berusaha untuk memperbaik enzim, dengan harapan akhirnya akan meningkatkan penggunaan industri untuk memecahkan plastik.

“Serendipity sering memainkan peranan penting dalam penyelidikan saintifik asas, dan penemuan kami di sini adalah tidak terkecuali,” kata penulis kajian John McGeehan, profesor di Sekolah Sains Biologi di Portsmouth.

“Walaupun penambahbaikan adalah sederhana, penemuan yang tidak dijangka ini menunjukkan bahawa ada ruang untuk meningkatkan enzim ini, mendorong kita lebih dekat kepada penyelesaian kitar semula untuk gunung yang pernah tumbuh plastik yang dibuang.” – Terjemahan bebas






Sumber BO - 17-4-2018






Bahaya Bakar Ikan Dalam Pembalut Aluminium?

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Ada satu video petua kehidupan yang menayangkan penggunaan pembalut aluminiun semasa membakar ikan atau ayam mendatangkan bahaya kesihatan. Antara dakwaan mereka adalah zat aluminium tersebut boleh terurai sehinggakan penyebab kepada penyakit nyanyuk (Alzheimer’s Disease) dan beberapa penyakit lain. Tularan video dan tulisan tersebut sudah beredar sejak sekian lama.

Adakah benar dakwaan tersebut?
Satu kajian telah dijalankan oleh Ghada Bassioni dan rakan-rakan mengenai penilaian penggunaan pembalut aluminium dalam sajian makanan.[1] Mereka mendapati penggunaan suhu memasak yang tinggi melebihi 150 C boleh menyebabkan logam aluminium mudah terurai.

Penguraian itu lebih cepat dengan hadirnya pengaruh dari beberapa faktor seperti bahan makanan dicampur dengan asam/asid/masin, makanan pedas dan tempoh memasak yang lama melebihi 1-3 jam. Kandungan aluminium yang mugkin diambil oleh seseorang yang memasak menggunakan kaedah ini telah melebihi kadar yang dibenarkan oleh FDA iaitu tidak lebih dari 1 mg/kilogram berat badan/sehari.

Namun perdebatan berlaku sejak berabad lamanya dikalangan para pengkaji samada jumlah yang sedemikian itu boleh menyebabkan penyakit Alzheimer (AD) atau penyebab kepada penyakit badan atau tidak?[2] Beberapa hujahan mereka yang berdebat dalam isu ini dengan memberikan info kajian yang menyatakan kes-kes yang berlaku dalam seberapa banyak lokaliti mendapati kes AD ini banyak berlaku dikawasan yang terdapat kandungan aluminium tinggi dalam sisitem air minuman mereka.

Tetapi hujah ini disangkalkan oleh kumpulan yang menentang “Aluminium Teori” ini dengan menyatakan bahawa kenapa menyalahkan aluminium semata-mata?[3] Sedangkan dalam sistem air minuman, bukan sahaja air itu mengandungi logam aluminium. Malah patut dipersalahkan juga logam-logam lain yang menganggu sistem saraf otak (jika berlaku) sehingga menyebabkan AD seperti logam Zink, Plumbum, Besi dan lain-lain.

Terdapat juga kajian ke atas tikus yang menyatakan bahawa kandungan aluminium tinggi penyebab kepada kerosakan otak tikus makmal. Sekali lagi, kajian tersebut telah dipatahkan dengan kajian semula ke atas manusia, di mana sifat sel akibat aluminuim dalam tikus berbeza dengan sifat sel otak yang terdapat dalam manusia. Bahkan kajian-kajian tersebut juga mempunyai ketidakseragaman dari sudut pemilihan sampel dan bias yang tersendiri.

Buat masa ini perbahasan mengenai kandungan aluminium ini masih menjadi khilaf, samada boleh menjadi faktor risiko kepada penyakit-penyakit terutama AD atau tidak. Persatuan Alzheimer Kanada dan Kesatuan Alzheimer Antarabangsa telah membuat kenyataan rasmi bahawa aluminium BUKAN faktor risiko kepada penyakit-penyakit yang dibincangkan.[4] Malah pada tahun 2008 Pusat Kawalan Penyakit (CDC), unit toksikologi melaporkan beberapa kenyataan seperti berikut:

1) Walaupun terdapat pelaporan kemungkinan hubungkait antara aluminium dan penyakit sejak 40 tahun lalu, tetapi isu ini masih lagi menjadi tandatanya dan kontroversi dikalangan pakar-pakar berdasarkan bukti-bukti kajian terkini.

2) Terdapat sebilangan kecil kajian yang mengaitkan sejumlah masyarakat yang tinggal dikawasan yang tinggi kandungan aluminium dalam sistem air mereka, tetapi kajian tersebut adalah lemah. Bahkan terdapat juga kajian yang tiada signifikan prevalens penyakit AD dengan aluminium.

3) Ia dikuatkan lagi dengan kajian bahawa tiada kaitan signifikan berlakunya kes AD dikalangan penggemar air teh dan pesakit yang memakan ubat gastirk (antacid). Walupun diketahui umum bahawa air teh dan antasid mengandungi kandungan aluminium yang lebih tinggi berbanding dengan air minuman biasa.

Jika dilihat kembali penggunaan pembalut aluminium dalam penyediaan ikan bakar dan sebagainya, peratusan aluminium yang masih dalam bentuk logam itu terlalu sedikit dan tidak mendatangkan mudarat besar. Dengan syarat pembakaran menggunakan pembalut aluminium itu dimasak dalam tempoh yang sekejap (tidak melebihi 1 jam), suhu tidak melebihi 150 C, tidak dicampur garam/asam berasid semasa membakar, dan tidak dicampur ramuan pedas. Pembalut aluminium boleh digunakan untuk penyimpanan bahan makanan dalam peti atau pemerapan.

Pautan
[1] Risk Assessment Using Aluminium Foil. 2012. http://www.electrochemsci.org/papers/vol7/7054498.pdf
[2] Dangerous cooking with aluminium foil. https://www.foodnetwork.com/healthyeats/2017/02/myth-or-fact-cooking-with-aluminum-foil-is-dangerous
[3] Link between Aluminum and the Pathogenesis of Alzheimer’s Disease.
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3056430/#__ffn_sectitle
[4] Does Cooking with Aluminum Foil Put You at Risk for Alzheimer’s?
https://www.snopes.com/fact-check/cooking-with-aluminum-foil-puts-you-at-risk-for-alzheimers/

Sumber BO - 9-4-2018

Saringan HIV bakal pengantin

SETIAP insan yang waras sudah pasti inginkan berkahwin, membina keluarga dan melahirkan zuriat yang soleh. Tetapi sebelum berlangsungnya sesatu ikatan yang sah, pasangan wajib mengetahui hak diri dan kemampuan masing-masing bagi melayari bahtera sehingga akhir hayat. Kemampuan itu terdiri dari kemampuan fizikal, mental dan sosioekonomi. Sihat tubuh badan, bebas dari segala penyakit yang boleh membahayakan diri dan pasangan adalah salah satu syarat penting untuk diambil kira. Salah satu syarat yang ditetapkan oleh jabatan agama dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah mengadakan ujian HIV kepada bakal pengantin. Walaupun penyakit berjangkit seperti HIV ini boleh dikawal penularannya pada masa kini, tetapi kefahaman mantap pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga perlu disalurkan oleh pihak yang berwajib. 
Berikut adalah maklumat yang akan diberikan kepada individu yang telah dijangkiti HIV dan pasangan mereka semasa sesi kauseling yang akan dijalankan dalam beberapa peringkat. 
Kefahaman mengenai HIV
Topik-topik yang perlu dihadamkan kepada bakal pengantin adalah bagaimana cara jangkitan berlaku, cara mengelakkan jangkitan, cara tidak boleh menyebabkan jangkitan, rawatan yang boleh diperolehi, pemantauan semasa rawatan, paras sel pertahanan tubuh (CD4), jumlah virus yang terdapat dalam badan (viral load), manfaat menggunakan perlindungan (kondom) semasa melakukan perhubungan seks, waktu subur wanita, risiko jangkitan kepada pasangan, risiko jangkitan kepada janin dan anak jika si ibu dijangkiti dan beberapa ilmu lain lagi. 
Polisi
Di premis KKM, hanya pasangan sah berkahwin sahaja yang akan dimaklumkan, tetapi digalakkan supaya beritahu juga pasangan seksual yang lain (jika ada atau jika belum berkahwin). Kaunseling akan dijalankan oleh pegawai perubatan atau pakar yang terlibat dengan pengendalian kes.
Polisi Undang-Undang Syariah pula menetapkan Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) akan maklumkan kepada bakal isteri/suami (pasangan yang terlibat) dan wali (mengikut budi bicara PAID). Untuk perhatian, hanya wali yang sah sahaja yang akan dimaklumkan, bukan isteri wali dan/atau ahli keluarga wali.
Keputusan berkahwin
Keputusan samada untuk meneruskan pernikahan atau tidak, bergantung kepada pasangan serta wali. Undang-undang Syariah Negeri serta pihak Jabatan Agama Islam Negeri tidak pernah serta tidak akan menghalang pernikahan tersebut tetapi amat menggalakkan supaya pasangan melakukan apa sahaja demi untuk mengelakkan pasangan yang belum dijangkiti, menjadi mangsa jangkitan baru sama ada terhadap pasangan mahupun bayi yang akan dilahirkan (jika hamil). Kefahaman ini penting dihadam lumatkan oleh semua pihak yang terlibat. 
Pembentukan sikap (attitude)
Individu yang disahkan positif HIV melalui ujian pengesahan mesti bersikap terbuka, berlapang dada dan pasrah atas ketentuan ke atasnya. Sudah pasti ada hikmah besar yang diletakkan kepadanya demi kehidupan dunia dan akhirat. Beliau tidak boleh bersikap seperti kefahaman jabbariyah yang meletakkan segala sandaran yang berlaku ke atas dirinya itu sebagai qada dan qadar Allah. Sedangkan akidah ahli sunnah wal jamaah juga memberi ruang untuk beliau berikhtiar untuk berubat. Beliau mesti mendapatkan rawatan secepat mungkin dari doktor. 
Pasangan yang terbabit juga mesti ambil peduli rawatan yang diambil oleh individu yang dijangkiti itu. Jika ditakdirkan perkahwinan berlangsung dan rumahtangga terbina, pasangan terbabit juga mesti mengambil cakna status dan progres rawatan pesakit termasuk jadual lawatan doktor, paras CD4, paras VL dan indikator status darah yang lain. Inilah makna cinta yang dimetrai hasil ijab kabul di hadapan wali. 
Kemahiran
Kedua-dua mempelai ini wajib mahir dalam mengelakkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku terutamanya kemahiran menggunakan kondom; kemahiran waktu makan ubat; di mana nak dapatkan ubat dan sebagainya lagi. Akhir sekali mahir bagaimana nak memberitahu wali mengenai status jangkitan serta rawatan dan/atau memberitahu qadhi atau naib qadhi atau pendaftar nikah atau juru nikah jika enggan wali dimaklumkan atas sebab yang munasabah. 
Semak semula kefahaman

Pasangan akan diuji kefahaman dan kemahiran mereka di akhir sesi kaunseling.
Rawatan

Individu yang dijangkiti akan diberikan rawatan segera setelah kaunseling ubatan diberikan. 
Penyakit HIV ini terlalu sensitif dalam kalangan masyarakat. Individu yang terbabit atau pasangannya akan mengalami stigma negatif berterusan. Kerahsian amat penting dalam mengendalikan kes. Janganlah petugas kesihatan sendiri terjebak dalam stigma yang memeritkan ini. Beberapa isu yang perlu diambil perhatian oleh semua. 
i) Pihak wali boleh dimaklumkan dengan bantuan pengamal perubatan serta diberi kaunseling yang sama sama ada secara individu atau bersama bakal pengantin. Persetujuan melakukan pemakluman itu tertakluk kepada perbincangan doktor dengan individu yang positif HIV tersebut. Pasangan pengantin wajib diberitahu oleh beliau sendiri dalam tempoh 24 jam. Namun bagi mengelakkan kekeliruan, pasangan akan diberi kaunseling oleh doktor. 
ii) Jika pada pandangan pasangan yang akan berkahwin tersebut pihak wali akan bertindak menghalang perkahwinan, maka pihak doktor akan mengeluarkan surat pengesahan kesihatan/perubatan kepada PAID menyatakan bahawa pasangan ini telah menjalani sesi kaunseling serta faham dengan situasi mereka dan individu HIV positif telah dimulakan rawatan serta berjanji untuk meneruskan rawatan dengan dibantu dan dipantau juga secara bersama oleh bakal isteri/suami. Pasangan akan bawa surat tersebut dan berbincang dengan PAID supaya wali tidak dimaklumkan. 
iii) Hubungan baik antara doktor yang merawat dan pasangan yang akan berkahwin ini amat penting bagi menjamin kesinambungan rawatan yang berterusan, bukannya terhenti setakat kaunseling pra perkahwinan. - HARAKAHDAILY 3/4/2018 
Adaptasi penulisan dan rujukan dari Dr Iskandar Firzada Osman, Pakar Perubatan Keluarga Jaya Gading, Pahang.
Sumber HD - 3-4-2018 









Bedah Batin Adalah Sihir Atau Silap Mata

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Sebut sahaja jika ada perawat yang mahir untuk merawat penyakit batu karang, pesakit akan berbondong-bondong pergi mendapatkan rawatan. Kemahiran mengeluarkan batu karang tanpa pembedahan seperti yang dilakukan oleh sesetengah bomoh, biasanya akan menjadi buah mulut ramai termasuk menjadi video viral dalam media sosial.

Pendek kata, masyarakat yang masih jahil dalam urusan perubatan batu karang ini, akan sanggup menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga untuk mendapatkan rawatan bedah batin yang dianggap pelik dan hebat.

Pernah satu seminar fiqh medik yang saya hadiri, seorang pegawai JAKIM membentangkan isu beberapa rawatan yang dianggap syirik. Antara kes yang beliau bentangkan adalah bedah batin. Beliau mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan terhadap pengamal perubatan bedah batin di satu negeri dalam Malaysia. Pengamal perubatan tradisional tersebut telah menggunakan jin bagi tujuan merawat.

Perbuatan ini adalah salah satu dari kaedah rawatan syirik, yang menggunakan khadam jin sebagai perantara. Amat menyedihkan juga menurut beliau, pengamal perubatan tradisional berkenaan berselindung atas nama ustaz dan membaca bacaan zikir/mentera yang tidak lekang di mulut.

Konklusi yang boleh diambil dari kaedah pengamalan perubatan sebegini biasanya:

1- Mereka meyakinkan anda bahawa rawatan pembedahan batin ini berupaya menggantikan pembedahan moden bagi penyakit kronik seperti masalah jantung, kanser, batu karang, strok dan lain-lain penyakit.

2- Mereka berupaya meyakinkan orang ramai bahawa kaedah pembedahan ini tidak menyakitkan tanpa ubat, malah pembedahan hidup yang dilakukan tiada ubat bius serta penahan kesakitan.

3- Tempoh masa untuk sembuh adalah sekelip mata. Selepas bedah sahaja tiada bekas luka dan pesakit tidak terkesima setelah melihat ‘hasil’ pembedahan. Batu karang yang dikeluarkan memang sahih dan boleh dibawa balik.

3- Mereka seolah-olah diberi mukjizat untuk menjalankan pembedahan batin, atau mereka tergolong dalam golongan orang yang menerima keistemewaan (karamah, maunah atau kasyaf).

4- Pesakit secara psikologinya berasa segar bugar kerana puas hati hasil pembedahan. Kemudian bahan hasil bedah itu dibawa kepada doktor hospital, doktor pakar pun boleh terkejut. Keterkejutan doktor pakar ini dimasukkan penulisan para pesakit ke media sosial. Akhirnya menjadi tular. Hakikatnya pesakit terus merosot status kesihatan mereka setelah tempoh yang tertentu. Batu karang masih terbungkam di dalam ginjal atau pundi kencing.

Jika diperhatikan, kaedah perubatan seumpama ini sebenarnya bahawa tiada bukti dalam Al-Quran dan Hadis yang membolehkan menjadi dalil kepada amalan pembedahan batin ini mengikut syariat Islam. Ulama juga menetapkan bahawa amalan seumpama ini adalah HARAM dilakukan kerana pengamal mungkin menggunakan ilmu hitam, silap mata, perantaraan jin atau syaitan atau sihir semasa merawat.

Pesakit juga ditipu dengan janji manis keberkesanan rawatan ini di samping bayaran yang tidak munasabah. Walaupun mereka tidak menetapkan kos, tetapi kebanyakan pesakit akan meletakkan duit dalam tabung dengan jumlah yang banyak, kerana terkesima dengan kebolehan perawat tersebut.
 
Amalan berkenaan bukannya mukjizat, karamah, maunah kasyaf atau seumpamanya. Sebagaimana yang diketahui, Mukjizat adalah suatu perkara yang luar biasa yang dikurniakan oleh Allah untuk para nabi dan rasulNya, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu yang tertentu, ia yang mesti ditunjukkan kepada umatnya sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka.

Begitu juga Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang soleh yang dikasihi Allah, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu tertentu secara mendadak semasa hidupnya, tetapi tidak boleh diprogramkan dan dipertontonkan kepada orang lain dan ianya khusus sebagai tanda kemuliaan yang diberikan kepada golongan yang taat kepadaNya.

Begitu juga Maunah, ialah suatu perkara luar biasa yang berupa pertolongan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang tertentu, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu itu dengan tujuan untuk menambahkan lagi keyakinannya kepada Allah dan tidak wajar diperhebahkan. Kasyaf pula ialah penyingkapan rahsia-rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati. Ia termasuk karamah yang mencarik adat yang dikurniakan kepada wali Allah SWT dan mestilah tidak bercanggah dengan kaedah agama dan hukum syarak yang telah disepakati.

Terdapat segolongan dari kita yang menyandarkan kaedah perubatan sedemikian adalah salah satu dari ilmu Allah yang luas. Memang benar Allah yang maha tinggi Ilmu serta jajahan taklukNya berkuasa menjadikan sesuatu itu berlaku walaupun luar dari pemikiran adat serta akal manusia.

Namun ini termasuk dalam mustahil adat, walaupun harus pada akal. Hukum adat boleh berubah dengan sebab, sebagaimana contoh yang berlegar di sekitar perbahasan wahyu seperti kisah Nabi Ibrāhīm dibakar api, Nabi ‘Īsā lahir tanpa ayah dan selainnya. Keduanya-duanya “melanggar” hukum adat dengan sebab mukjizat.

Tapi dalam isu pembedahan batin ini disahkan oleh pihak berkuasa ianya sihir atau silap mata. Tujuan utama adalah mendapatkan laba dari kejahilan manusia.

Semoga masyarakat kita tidak terus ditipu dengan amalan perubatan sebegini.

Sumber BO - 1-4-2018 


















Ketum Masih Bahaya!

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Ketum adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh subur di Malaysia. Ianya sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand.

Amerika menamakan ketum ini sebagai Kratum. Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952.

Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.[1] Di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, seseorang boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kontorversi mula di timbulkan apabila agensi RISDA mula menyuarakan keinginan mereka menanam ketum atas dasar ingin membantu para pekebun getah yang terhimpit dengan harga getah yang rendah. Harga ketum ini berkali-kali ganda nilainya sehinggakan boleh menjana ekonomi para pekebun kecil terutama di utara tanah air.

Alasan yang selalu dikemukakan oleh mereka adalah ketum ini mempunyai tuntutan perubatan dalam merawat pesakit ketagihan dadah jenis opiod. Sandaran yang dirujuk oleh mereka adalah kajian yang telah dilakukan oleh sekumpulan pengkaji dari USM.[2]

Sehingga tarikh ini pihak Polis Di Raja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia masih konsisten dengan akta pengharaman ketum. Malah jika diperhatikan dengan laporan berita-berita yang menjengah ruang maklumat negara kita mendapati pengambilan ketum yang telah disalah gunakan ini banyak menimbulkan mudarat kepada masyarakat.[3] Penglibatan pelajar sekolah dalam penagihan ketum amat memalukan negara.

Sesuatu yang mudarat lebih baik ditinggalkan demi menjaga kepentingan masyarakat umum berbanding dengan manfaat yang sedikit hasil dari penjualan ketum. Andai sekiranya ketum mempunyai nilai perubatan sekalipun, kementerian yang lebih layak mengemukakan cadangan adalah Kementerian Kesihatan Malaysia itu sendiri.

KKM sudah pasti mempunyai ramai tenaga pakar yang boleh diarahkan untuk mengenal pasti, mejalani dan memberi pengesyoran yang wajar berkaitan dadah mitraginin ini.

Kenyataan terbaharu dari Pihak Berkuasa Makanan dan Dadah (FDA) berkaitan dengan ketum ini adalah, ketum masih mengundang banyak mudarat (Feb 2018).[4]

1) FDA bimbang berkenaan potensi pengeluaran dan penjualan ketum secara komorsial akan menyebabkan berlaku penyalahgunaan seterusnnya menyebabkan ketagihan. Terdapat laporan yang mengaitkan pengambilan ketum ini penyebab kepada sawan, komplikasi gangguan kesihatan dan terdapat kes kematian.

2) Sehingga tarikh ini tiada lagi dikemukakan laporan yang menyokong penggunaan ketum sebagai produk kesihatan dan melepasi standard perubatan yang dibenarkan. Apa yang berlaku adalah, kajian-kajian yang dijalankan setakat ini baru diperingkat tikus makmal. Jika terdapat kajian yang melibatkan manusia, ianya masih belum terdapat bukti bahawa ianya selamat dan berkesan.

3) Kajian yang dijalankan untuk membuktikan ketum itu sebagai dadah gantian kepada penagih dadah jenis opiod (heroin, morfin) pula menimbulkan satu masalah baharu. Di mana, dadah mitraginin yang terdapat dalam ketum menjadi punca ketagihan dan kebergantungan baharu kepada para penagih. Mereka mungkin berhenti dari mengambil opiod, tetapi mereka pula menjadi ketagih tegar ketum.

4) Kebimbangan pihak FDA ini dibuktikan dengan jumlah kematian akibat ketagihan ketum sebanyak 44 kes. Selain itu terdapat kes yang mengalami masalah gangguan paru-paru, koma dan sawan.

5) Kesimpulan yang dibuat oleh FDA bahawa kesan biologi yang terdapat pada ketum ini tidak boleh sesekali digunakan sebagai alternatif kepada rawatan ketagihan opiod kerana tiada bukti jaminan keselamatan pengambilannya.

Pendekatan yang harus diambil dalam sebuah negara yang merdeka adalah bebaskan diri kita dari unsur-unsur yang mendatangkan mudarat kepada masyarakat. Laungan untuk membantu para pekebun getah dengan menanam ketum adalah tidak sesuai.

Banyak lagi kaedah lain yang boleh dijalankan oleh pihak berkuasa bagi meningkatkan mata pencarian golongan yang berpendapatan rendah ini.

Ketum bukan caranya.

Pautan;
[1] Kenyataan dari PDRM. http://www.astroawani.com/…/penjualan-air-ketum-tetap-salah…
[2] Kajian atas tikus ketagihan opiod. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/25616583/
[3] Pelajar, murid berisiko terjebak dengan ketum. http://www.sinarharian.com.my/…/kerajaan-perlu-pinda-akta-d…
[4] Kenyataan FDA berkaitan Ketum. https://www.fda.gov/…/News…/PressAnnouncements/ucm595622.htm

Sumber BO - 31-3-2018










Botol, ketupat bungkus plastik penyebab kanser?

SEKURANG-kurangnya terdapat tiga sebaran maya yang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan botol/bekas plastik kerana menjadi punca kepada kanser. Amaran pertama adalah larangan dari menggunakan bekas plastik ketika menyediakan juadah minuman dan makanan. Begitu juga larangan memasukkan botol plastik dalam mikrowave kerana ia mengundang 52 jenis kanser. 
Sebaran kedua mengenai amaran dari seorang selebriti TV, Sheryl Crow yang kononnya pengidap kanser payudara supaya masyarakat tidak menggunakan botol plastik semasa meminum air, terutama sekali botol plastik air mineral yang terdedah atas dashboard kereta. 
Sebaran viral ketiga adalah bahaya mengunakan plastik pembalut ketika memasak nasi himpit, kononnya plastik tersebut akan terurai semasa proses pemanasan dan akhirnya mengeluarkan bahan pencetus kepada kanser serta mengganggu fungsi hormon manusia.

Saya terus membuat sedikit selidikan mengenai perkara tersebut. Saya menemui kenyataan dalam laman Youtube.com dari Sheryl Crow. 
Beliau telah membuat penafian sejak 2009 lagi. 
Malah selebriti Sheryl Crow berkenaan tidak pun menghidap kanser payudara akibat dari meminum air dari botol plastik. Sebaran maya yang tidak bertanggungjawab itu cuba mengaitkan penggunaan botol plastik kitar semula mengandungi dioxin. Dioxin adalah salah satu bahan kimia yang dilepaskan dari botol plastik apabila mengalami perubahan suhu ekstrem sama ada terlalu panas atau sejuk, dan ia dikaitkan sebagai agen pencetus kanser (carcinogenic). 
Selain tokoh selebriti, terdapat juga sebaran maya yang cuba memalitkan universiti tersohor seperti Johns Hopkin yang kononnya mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan kanser dan penyebabnya. Penafian juga dibuat oleh Johns Hopkin. Banyak lagi sebaran berita palsu lain yang disebarkan tanpa sebarang objektif dari para penyebar maklumat. 
Dalam isu yang sama, laman web rasmi cancerresearchuk.org juga mengeluarkan kenyataan penafian. Mereka menyatakan, terdapat kajian bahawa sejumlah kecil bahan kimia akan terperangkap dalam botol air minuman semasa proses pengilangan. Tetapi jumlahnya terlalu rendah. Kajian pengesahan telah dilakukan, botol plastik dipanaskan pada suhu 60⁰C (140⁰F) beberapa jam, paras bahan kimia yang terlepas ke dalam air dari dinding botol amat rendah dan selamat digunakan. 
Botol plastik yang dijual biasanya dibuat dari plastik bernama polyethylene terephthalate (PET atau PETE). Ia senang digunakan kerana ringan, senang buang, boleh kitar semula walau digunakan berkali-kali. 
Dua bahan yang kononnya dilepaskan dari PET ini jika berada dalam suhu sejuk; iaitu dioxin dan DEHA (diethylhydroxylamine). Namun dakwaan mengatakan DEHA ini dilepaskan dari PET adalah tidak benar, kerana DEHA tidak terlibat pun dalam campuran proses pembuatan botol plastik. Pun begitu pada Jun 2003, Makmal Pusat Swiss telah mengesahkan dalam kajian mereka bahawa DEHA tidak dijumpai dalam mana-mana botol plastik yang dikitar semula. Dengan itu WHO juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kandungan DEHA (jika wujud pun) adalah terlalu kecil dan selamat digunakan botol plastik. Isu ini juga disokong oleh Persatuan Kanser Amerika dan International Agency for Research on Cancer (IARC). Mereka menegaskan sekali lagi lagi bahawa DEHA bukan agen kanser. 
Bagi dioxin pula, Majlis Kimia Amerika mengesahkan tiada kajian yang mengaitkan dioxin dalam botol plastik penyebab kanser. Malahan, dakwaan dioxin sebagai agen kanser juga tiada asas saintifik. Ini kerana dioxin adalah satu bahan kimia yang hanya terurai dalam suhu yang terlalu ekstrem melebihi 700⁰F (371.1⁰C). Terlalu amat sukar keadaan suhu yang ekstrem itu berlaku dalam sinaran panas dalam kereta.[4] Sudah tentu kereta itu sendiri sudah terbakar dan meletup. 
Bagi isu ketupat plastik, KKM telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi. Tegas kenyataan tersebut bahawa , tiada bukti yang menyatakan polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) boleh menyebabkan gangguan kepada fungsi sistem endokrin dan kesan karsinogenik. Plastik ketupat yang mengandungi bahan HDPE adalah jenis gred makanan yang tahan kepada haba sehingga 120oC dan tidak mudah merembes (leaching) keluar. 
Kajian yang dilakukan oleh Institut Sains dan Teknologi Industri Pembuatan di Princeton, Amerika Syarikat yang dibangkitkan oleh Pengerusi CAP adalah kajian terhadap plastik HDPE saluran paip, dan ia tidak boleh disamakan dengan penggunaan plastik ketupat atau plastik pembungkus makanan. 
Organik mudah meruap (VOC) dari plastik adalah tidak stabil dan mudah meruap pada suhu yang tinggi, oleh itu ia tidak menjadi isu keselamatan kerana sifat ini di dalam masalah plastik ketupat. - HARAKAHDAILY 28/3/2018
Sumber HD- 28-3-2018 

Cuci Buah Pinggang

OLeh : Dr Suhazeli Abdullah

Rawatan untuk penyakit kegagalan fungsi buah pinggang adalah melalui Terapi Gantian Buah Pinggang (RRT – Renal Replacement Therapy). Masyarakat tidak boleh ambil mudah mengenai hal ini kerana, peningkatan bahan kumuh seperti urea yang tidak dapat dibuang melalui buah pinggang yang rosak akan menagakibatkan penyakit-penyakit lain timbul.

Tanda-tanda penyakit kegagalan buah pinggang adalah: letih, loya muntah, gatal kulit, pucat, sakit perut, kaki dan muka sembab, kelihatan kurang zat makanan, otot tidak berisi, percakapan merapu dan boleh membawa pengsan.

Apabila berlaku keadaan itu, doktor akan merawat pesakit sesegera mungkin dengan membantu seperti berikan rawatan kesimbangan elektorlit darah dan akhirnya rawatan mencuci buah pinggang. Penyakit asal yang lain juga wajib dirawat dengan teliti seperti penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Statistik menunjukkan bahawa kebanyakan pesakit kegagalan buah pinggang ini berpunca dari kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal.

Istilah cuci buah pinggang adalah sebutan orang awam. Bagi pihak perubatan, istilah RRT adalah lebih tepat. Pelbagai kaedah samada jangka pendek atau jangka panjang rawatan RRT ini boleh dibuat.

1- Peritoneal Dialysis: Dialisis melalui tukaran air dalam ruang antara perut yang mengandungi banyak bahan kumuhan.

2- Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis: Satu saluran khas yang separa kekal diletakkan kepada abdomen pesakit. Konsep yang sama dengan Peritoneal Dialysis tadi, cuma pesakit akan lakukan sendiri cucian buah pinggang dengan kaedah ini sekarang-kurangnya tiga kali sehari.
3- Hemodialysis: Dialisis penapisan darah yang kotor dari bahan kumuhan melalui mesin khas. Kaedah ini adalah yang paling banyak dibuat.

4- Gantian buah pinggang: Pembedahan menggantikan buah pinggang yang sesuai ke atas pesakit. Biasanya derma organ buah pinggang ini dari saudara mara terdekat bagi mengurangkan komplikasi penolakan atas alahan buah pinggang yang jauh dari sudut keserasian genetik.

Masyarakat perlu memahami bahawa kaedah yang dikemukakan ini bukan semborono disyorkan oleh doktor pakar. Tetapi ianya telah pun dijalankan kajian menyeluruh bahawa RRT adalah kaedah yang boleh digunapakai seluruh dunia.

Kesimpulan yang boleh kita ambil adalah, mencuci buah pinggang yang rosak ini perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Bukannya kita mudah percaya kepada kaedah-kaedah ubat-ubatan produk yang dijual diselinap tempat seperti herba dan seumpamanya. Ini kerana produk tersebut hanya menjalankan dakwaan untuk melariskan produk, tetapi mereka berlepas diri apa sahaja kesan sampingan yang wujud selepas dari mengambil produk tersebut.

Begitu juga dengan kaedah lain seperti bekam yang didakwa boleh menurunkan paras kreatinin (salah satu bacaan komponen darah yang diukur untuk menentukan fungsi buah pinggang). Bekam tidak salah, tetapi dakwaan yang menyatakan bekam itu boleh menggantikan RRT dalam perawatan buah pinggang adalah salah dari sudut konsep.

Bekam boleh membantu kesegaran tubuh dalam jangkamasa pendek, bukannya rawatan membuang urea, bikarbonat, asid urik dan lain-lain bahan kumuh.

Jika testimoni hanya seorang pesakit boleh turunkan paras kreatinin lalu mendakwa buah pinggangnya pulih seratus peratus melalui bekam, kita tidak boleh mengambil asas itu untuk disamaratakan keedah rawatan kepada masyarakat awam. Selagi belum disahihkan dengan kajian ke atas sekelompok manusia yang lebih ramai.

Setakat ini tiada kajian yang konklusif berkaitan dengan bekam boleh menggantikan fungsi dialisis.
Pautan

L. Aimee. Overview Renal Replcement Therapy.

https://www.msdmanuals.com/professional/genitourinary-disorders/renal-replacement-therapy/overview-of-renal-replacement-therapy

Smber BO - 21-3-2018












Nyamuk gajah

NYAMUK gajah sejenis nyamuk bukan sejenis gajah. Nama timangan nyamuk ini digandingkan dengan gajah ianya bersaiz besar serta mempunyai belalai. 
Nyamuk gajah ini berguna dalam pembasmian denggi kerana ia memakan jejentik nyamuk aedes. 
Nyamuk gajah tidak menggigit manusia tetapi ia hanya makan jejentik dan haiwan kecil lain dalam air bertakung. Makanan ruji nyamuk ini adalah manisan bunga. Lagipun ia tidak membawa apa-apa virus berbahaya dalam badannya. 
Boleh baca lanjut pasal nyamuk gajah ini di http://rootofscience.com/…/2018/kesi…/aedes-vs-nyamuk-gajah/ - HARAKAHDAILY 21/3/2018
























Sumber HD -N 21-3-2018


























Bahaya Air Yang Direbus Semula…..

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Hari ini disebarkan tulisan yang melarang orang ramai merebus semula air yang sudah dimasak. Kononnya air rebusan semula itu merbahaya kerana mengandungi ARSENIK, NITRAT & FLUORIDA. Penjelasan lanjut yang disebut dalam tulisan itu semacam ada logiknya kerana air yang sudah masak akan menghuraikan beberapa sebatian lain, di mana masakan kali kedua akan menjadi racun sehingga membahayakan kesihatan.

Adakah benar dakwaan itu?

Artikel sebegini sudah berlegar beberapa tahun dalam dunia internet. Pada asasnya artikel itu memberi amaran kepada masyarakat agar tidak meminum air kumbahan atau air yang tidak dirawat. Terdapat sesetengah tempat air takungan atau perigi/bawah tanah yang mempunyai kandungan arsenik, nitrat yang melepasi paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa persekitaran dan mutu air.
ARSENIK: Arsenik dibebaskan ke udara sebagai hasil sampingan dari aktiviti perleburan bijih, proses pengeluaran racun makhluk perosak dan baja. Namun demikian arsenik juga boleh di dapati semulajadi dalam bawah tanah. Ianya adalah sebatian yang boleh menyebabkan merosakkan kulit dan kanser dalam jangkamasa panjang.

Arsenik yang terdapat dalam minuman samaada dari pelbagai sumber tidak dibenarkan melebihi 0.6 microgram/kg tubuh kita sehari oleh pihak berkuasa. Jika berat badan kita 70 kg, pengambilan air yang mengandungi arsenik ini tidak lebih dari 42 microgram sehari. Bagi mendapatkan sejumlah 42 mcg itu, setiap individu dikehendaki meminum air sebanyak 2600 galen atau 10,000 liter air sehari. Dengan maksud, mana-mana air yang terdapat dalam sistem air minum kita (jika wujud arsenik) paras yang boleh menyebabkan keracunan arsenik adalah amat kecil. Merebus semula air tidak mengubah struktur arsenik ini kepada racun yang merbahaya.

NITRAT: Nitrat ini menjadi bahan asas dalam setiap air minuman kita. Ianya wujud kerana air minuman mengandungi klorin. Tetapi nitrat tidak mendatang keracunan atau kemerbahayaan kepada tubuh badan kita. Walaupun air direbus semula, nitrat tersebut tidak akan terurai dengan mudah.

Cuma isu yang selalu dibangkitkan adalah kehadiran nitrosamin dalam air boleh menjadi risiko bahaya. Di mana Nitrosamin dipercayai sebagai sumber kejadian kanser kepada manusia (karsinogen). Nitrosamin ini terbentuk apabila ammonia daripada sumber yang tidak diketahui biasanya dari sisa buangan haiwan atau racun serangga, berinteraksi dengan klorin. Ammonia akan bertindakbalas dengan klorin dan terbentuknya nitrosamin. Kepekatan nitrosamin ini makin likat apabila air direbus dalam tempoh yang lama sehingga isipadu air berkurangan. Pun begitu, jumlah klorin dan kehadiran nitrosamin ini dipantau dengan ketat oleh pihak berkuasa. Setakat ini air minuman yang kita ambil tidak mendatangkan bahaya kepada tubuh kerana jumlah yang terlalu kecil.

FLUORIDA: Fluorida penting bagi pertumbuhan gigi yang sihat namun paras yang tinggi akan menyebabkan penyakit fluorosis atau kerapuhan pada gigi dan tulang. Fluorida di dapati secara semulajadi di dalam tanah, air, udara dan tumbuhan. Biasanya kandungan fluorida dalam air perigi, sungai dan tasik adalah di bawah paras 0.5 mg/liter. Paras yang tinggi biasanya dikesan di kaki gunung dan kawasan yang geografinya berasal dari enapan hidupan laut.

Dakwaan menyatakan bahawa florida ini mendatangkan kesan saraf kepada manusia adalah dangkal. Mereka menyamakan kajian ke atas tikus makmal yang menyebabkan tikus menjadi kerosakan otak. Mereka juga mengambil beberapa kajian yang berat sebelah bahwa fluorida ini boleh menyebabkan rendah IQ terhadap kanak-kanak. Sedangkan kajian timbal balik dijalankan menyangkal dakwaan tersebut. Bahkan, kadar yang dibenarkan kehadiran fluorida dalam air minuman adalah 4 mg/L, berbanding dengan kajian ke atas tikus yang didakwa fluorida merosakkan otak sebanyak 100 – 150 mg/L.

Bayangkan berat badan anda 75 kg, bagi mencukupi jumlah 4 mg/L air minum yang mengandungi fluorida, anda memerlukan 15 liter air untuk dimasukkan ke cawan teh, baharulah disamakan dengan julat yang dibenarkan itu. Bermakna, jika segelas teh tarik sepagi, tidak menimbul kerosakan otak anda sehingga dianggap biul.

Pautan
[1] Bahan logam dalam air Malaysia. http://www.prn.usm.my/bulletin_articles_kosmik.php?Id=520
[2] Nitrosamine/NDMA in chlorinated water. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3214982/
[3] WHO statement. http://www.who.int/water_sanitation_health/dwq/chemicals/ndma2ndadd.pdf
[4] Mitos Rebus air dua kali. https://www.snopes.com/fact-check/never-boil-water-twice/

Sumber BO - 19-3-2018














Bedah mayat

KAMI sering kali menerima kes kematian di rumah atau dibawa jenazah yang sudah tidak bernyawa ke unit kecemasan klinik. Istilah yang kami sebut adalah Brought In Death (BID). 
Jika kes kematian itu boleh ditentukan penyebabnya, kami akan minta pihak keluarga untuk membuat laporan polis dan proses pengurusan jenazah diteruskan seperti biasa. Tiada masalah besar. 
Namun terdapat kebanyakan kes yang kami klasifikasikan sebagai medikolegal. Bermaksud kes tersebut dihubungkaitkan dengan undang-undang seperti disyaki kes jenayah, kemalangan jalan raya atau tempat kerja, melibatkan insurans atau tidak dapat ditentukan punca kematian. Kes-kes medikolegal ini perlu dilakukan post mortem atau bedah siasat mayat. 
Mayat tersebut wajib juga dibuat laporan polis dan dihantar ke rumah mayat hospital bagi bedah siasat. 
Di sinilah bermula konflik antara doktor, polis dan waris si mati. Waris akan cuba menolak post  mortem ini dilakukan. Antara alasan yang mereka selalu sebut adalah: 
1)     Bedah mayat dilarang oleh agama Islam kerana ianya menyiksa mayat. Terdapat beberapa hadis Rasulullah S.A.W yang dinukilkan oleh mereka untuk berhujah.
2)     Dakwaan bahawa doktor forensik akan mengambil organ dalaman untuk didermakan kepada orang lain tanpa keizinan waris.
3)     Semua waris redha dan tidak akan menuntut apa-apa tuntutan kepada si mayat.
Justeru mereka semua menolaknya. Apabila berlaku sedemikian, kami akan menerangkan kenapa post  mortem perlu dijalankan.
Terdapat beberapa isu yang perlu difahami bersama oleh waris. 
A.     Keizinan dan kebenaran waris untuk menghalang post  mortem hanya dalam kes-kes tertentu.

     i.   Bagi kes-kes bedah siasat kes Polis kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.
     ii.   Bagi kes-kes bedah siasat klinikal, Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat. Bedah siasat klinikal ini adalah bagi kes yang meninggal dunia ketika dalam rawatan hospital.
     iii.   Bagi kes BID, doktor akan menilai sama ada kes tersebut melibatkan perundangan atau seumpamanya sehingga doktor tidak boleh menentukan punca kematian yang tepat. Kes ini perlu dijalankan post mortem.
Post  mortem hanya boleh dibatalkan jika:
     i.   Bagi kes Polis, hanya pihak Polis boleh menarik balik arahan bedah siasat tersebut. Jika pembatalan berlaku, maka pihak Polis bertanggungjawab memberikan sebab kematian, bagaimana dan bila kematian itu berlaku.
     ii.   Bagi kes bedah siasat klinikal, waris boleh menarik balik kebenaran bedah siasat bila-bila masa sahaja. 
B.     Jenis post  mortem adalah sama ada luaran atau dalaman:
     i.   Pemeriksaan Luaran
          Menjalankan pemeriksaan luaran untuk mendokumentasi kecederaan mayat. Pegawai Perubatan Kerajaan akan membuat pemeriksaan terperinci ke atas mayat antaranya pakaian si mati, keadaan mayat secara keseluruhan, perubahan-perubahan luaran yang berkaitan dengan kematian dan penyakit serta tanda-tanda kecederaan. Sekiranya sebab kematian dapat dikenal pasti atau tanpa ragu-ragu maka pembedahan mayat tidak lagi perlu dilaksanakan. Dokumentasi ini penting untuk kegunaan perundangan jika timbul kemudian hari nanti.
     ii.   Pemeriksaan Dalaman
          Sekiranya pemeriksaan luaran masih tidak dapat mengenal pasti punca kematian, maka pemeriksaan dalaman perlu dijalankan. Ini termasuklah membuka tempurung kepala, rongga dada, abdomen, pelvis dan lain-lain anggota badan bila mana perlu.
     iii.   Pengambilan spesimen
           Iaitu mengambil cecair badan untuk analisis toksikologi dan lain-lain ujian seperti pemeriksaan radiologi, kaji kuman, kaji tisu dan fotografi forensik. Adalah tidak benar dakwaan bahawa doktor akan ambil organ untuk didermakan kepada orang lain. Proses mengambil organ untuk derma tidak boleh sewenang-wenangnya dibuat kerana ianya terlibat dalam proses perundangan. Malah organ mayat yang sudah mati sudah tidak hidup selnya. Sesekali sel mati tidak boleh digunakan kepada orang yang hidup. 
C. Hukum menjalankan post  mortem telah dijelaskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan; 
“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan; 
“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenal pasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan .” HARAKAHDAILY 18/3/2018
Sumber HD - 18-3-2018 

Bahaya perdarahan selepas bersalin

BAGI menentukan sesuatu polisi atau kaedah pengurusan pesakit semasa dan selepas bersalin, para pakar dalam pelbagai bidang duduk semeja untuk berbincang. Apakah perkara-perkara yang perlu diambil pengajaran dari kejadian-kejadian lepas? Apakah rawatan yang terbaik berdasarkan evidence terkini? 
Bagaimana untuk diaplikasikan dalam sistem kesihatan yang sedia ada? Dan pelbagai lagi persoalan yang perlu digarap untuk mengurangkan kadar kematian ibu hamil dan bayi sesuai dengan matlamat Mellinium Development Goal (MDG) 4 dan 5. 
Contohnya buku garis panduan mengurangkan kadar perdarahan semasa/selepas hamil ini, dibincang oleh 37 orang pakar seluruh negara. Kemudian review selepas itu disemak oleh 16 orang pakar sehingga keluarnya satu garis panduan untuk diterjemahkan dalam praktis sehari-hari para petugas kesihatan. Buku ini bukan ditulis oleh seorang individu tetapi ramai yang memberikan input. 
Adakah ianya 100 peratus perfect? Bukan! Tetapi inilah strata terkini dan teratas. Jika wujud evidence baru selepas ini, ianya akan diupdate lagi. Matlamat utama adalah demi penjagaan dan perawatan pesakit yang optimum. 
Perdarahan post partum (Lepas bersalin) ini adalah penyebab utama kematian ibu seluruh dunia. Negara kita juga tidak terlepas. Penentuan PPH ini didefinisikan kepada perdarahan ibu melebihi 500 ml. Bagaimana kiranya bagi seseorang yang tiada kemahiran untuk mengukur jumlah ini?Tekanan darah ibu, keadaan umum ibu pucat atau tidak, keluh kesah dan rungutan ibu, tumpah darah yang banyak sama ada lekat pada kain sarung atau seumpamanya dan pelbagai lagi kaedah yang wajib digunakan oleh individu terlatih bagi menentukan sama ada ibu tersebut mengalami PPH atau tidak. 
Pengecaman tanda-tanda serius ini penting bagi meletakkan seseorang pengendali itu berada di zon selamat atau bahaya. Sedikit perkiraan salah kita boleh membawa maut.
Seterusnya dalam situasi bahaya, pengendali pandai menjalan tindakan pemulihan dan mendapatkan bantuan segera. Bukannya menyuruh si suami atau waris memeluk tubuh dan menanti si ibu berbuih mulutnya, baru bingkas dan berteriak sendu. 
Situasi sebeginilah yang kita bimbang akan berlaku jika tidak dikendalikan oleh anggota terlatih di tempat yang mempunyai fasiliti optimum seperti di hospital atau klinik. Jika di rumah? Hanya garfu dan sudu! - HARAKAHDAILY 15/3/2018
Sumber HD - 15-3-2018 
















Kelahiran selamat: Panduan amalan betul

KITA bertuah kerana dalam menjalankan kerja-kerja klinikal perawatan pesakit, para doktor akan merujuk kepada garis panduan yang telah disediakan oleh jawatankuasa berwibawa. 
Jawatankuasa tersebut terdiri dari pakar-pakar yang bertungkus lumus mencari dan mentelaah kajian-kajian terkini dalam sesatu kaedah rawatan. Mereka mengambil masa yang tertentu untuk menyiapkan satu garis panduan klinikal bersama dengan bahan-bahan rujukan autentik. Bukannya mengikut pendapat mereka semata-mata tanpa melihat kepada suasana setempat, kebolehcapaian prasarana dan kedudukan sesioekonomi dalam negara. 
Kami yang terlibat secara terus turut membantu mendapatkan maklumat itu dari pelbagai sumber. Hasil carian itu dibawa dalam beberapa siri mesyuarat dan perbahasan agar segala maklumat klinikal serta praktis itu mantap untuk digunapakai dan dijadikan panduan amalan oleh seluruh ahli perubatan kelak. 
Akhirnya terbentuk satu garis panduan klinikal yang menjadi piawaian kepada amalan perubatan dalam negara kita. 
Clinical Practice Guideline (CPG) namanya. Sumber yang diletakkan dalam CPG itu bukannya diambil dari laporan Wikipedia, bukan juga dari blog peribadi yang tidak dipastikan validiti, bukan juga website picisan yang tidak disahihkan infonya. 
Selain itu KKM juga mengeluarkan manual-manual amalan dan protokol yang memberikan panduan secara detail sesuatu aktiviti perawatan. Contohnya Perinatal Care Manual yang memberi bimbingan kepada nurse dan doktor tentang bagaimana setepatnya menjaga ibu-ibu hamil serta bayi. Sudah tentu manual serta protokol ini ditulis oleh ramai pakar, bukannya hasil pandangan solo oleh seorang ahli praktis. 
Tidak cukup sekadar itu, KKM juga mengeluarkan beberapa polisi dan pekeliling perkhidmatan yang terjelma dari bukti-bukti terbaharu saintifik amalan agar para anggota kesihatan mematuhinya. Tujuannya apa? Demi penjagaan kesihatan optimum pesakit. Adakah CPG, manual/protokol dan pekeliling perkhidmatan itu maksum? Tidak! Tetapi itulah standard utama yang kami gunakan. Terkemudian selepas itu sesi-sesi audit, review klinikal dan konferens pakar-pakar akan terus dilaksanakan bagi memantapkan lagi amalan perubatan negara. 
Puan, buku Amanibirth ini di mana letaknya? 
1) Pernah atau tidak buku itu diselia-pantau atau review dari badan berautoriti Obstetrik? Dalam buku tersebut hanya dimuatkan testimoni dari pengikut-pengikut Amanibirth yang tiada langsung background perubatan. Rujukan pun di ambil dari Wikipedia dan blog diri sendiri serta laman web yang tidak buat khulasah peer review. Tidak dinafikan ada diselitkan dengan pandangan laporan WHO, tetapi penulis menyimpulkan di akhir perenggan dengan teori sendiri. Boleh lihat isu Delay Cord Clamping mukasurat 97-98 buku manual pengajar Amanibirth. 
2) Taktik menakut-nakutkan para pengikut (scare monggering tactics) digunakan dalam penulisan. Contohnya penulis menakut-nakutkan pembaca dengan penggunaan teknologi seperti ultrasound. Kononnya terdapat bukti bahawa ultrasound itu membahayakan janin. Buku Amanibirth ditulis tahun 2012, adakah penulis tidak membaca laporan yang lebih berutoriti mengenai isu ultrasound tersebut? Lebih daripada 40 kajian klinikal yang menyatakan ultrasound selamat digunakan, laporan ditulis tahun 2009. Begitu juga penulis memberi gambaran buruk berkaitan amalan amniocentesis. Kajian yang dilakukan terhadap haiwan diambil sebagai rujukan! Kajian haiwan itu adalah Evidence Base Medicine Pra-klinikal, ia adalah kajian pramatang, tidak boleh dijadikan hujah menakut-nakutkan pelajar. Kecuali ia satu cabang ilmu untuk pelajar terus berfikir bagaimana mendapatkan bahan kajian yang lebih ampuh. Bahkan hasil dari teknologi ultrasound terkini, amniocentesis sudah tidak dilakukan pada masa kini untuk membuat diagnosis kecuali dalam kes-kes yang khusus. Penulis kena update knowledge beliau. 
3) Jika penulis dan alumni Amanibirth sendiri mengakui ikut saranan WHO dalam rawatan semasa bersalin, cukup sebagai peneman katanya, kenapa masih berlaku cikgu-cikgu CBE dan murid-muridnya buat physiological third stage sampai lotus birth, DCC sampai lebih dari 5 minit, tunggu kat rumah sampai nak terberanak, VBA3C VBA4C, breech delivery at home, unsafe birth, tolak vaksin dan vitamin K? 
Sudah banyak teguran yang dibuat oleh rakan-rakan dari fratenity perubatan. Perbahasan maya pun sudah banyak dilakukan sejak 2013 lagi setelah peristiwa bersejarah kematian Amy Karmila. Adakah para doula mengambil pengajaran? Adakah mereka hadam semua perbahasan itu? Atau sekadar baca di angin lalu padangan dari pakar-pakar. KKM juga sudah beberapa kali membuat kenyataan media. Saya lihat mereka yang ekstremis ini masih tidak sedar. Boleh lihat review lanjut buku Amanibirth ini di https://www.facebook.com/imelda.balchin/posts/10154960700981659. Tulis panjang pun jika masih ketegak, rugi masa? 
Marilah kita usaha bersama untuk menurunkan kadar kematian ibu kepada 11.0 untuk setiap 100,000 kelahiran hidup. Walaupun, Malaysia telah berjaya mencapai sasaran bagi indikator lain di bawah MDG 5; Antaranya ialah peratus kelahiran selamat (99% pada tahun 2014), liputan penjagaan antenatal (97.2% pada tahun 2014), peningkatan Contraceptive Prevalence Rate (57.5% pada tahun 2014), penurunan kadar kelahiran kalangan remaja (13 per 1,000 remaja pada 2013) dan penurunan unmet needs perancang keluarga (13.4% pada tahun 2014), tetapi usaha dari semua pihak khususnya bidang perubatan dan kesihatan perlu dipertingkatkan lagi.
.
Antara kejayaan lain utama Malaysia menurunkan MMR adalah apabila kelahiran selamat (safe delivery) yang ditakrifkan sebagai kelahiran yang dikendalikan oleh individu terlatih (skilled birth attendants) dapat ditingkatkan dari kurang 55% pada tahun 50-an kepada peratusan 98.5% hari ini. Peratus kelahiran di rumah didapati menurun daripada 24.8% pada tahun 1990 kepada 1.7% pada tahun 2012. Sifirnya, kelahiran di rumah dalam negara kita adalah kelahiran yang tidak selamat. Jika para doula Malaysia menyedari hakikat ini, saya cukup bersyukur.
Semoga pertemuan bersama DoulaZam Ahad lepas membuka mata mereka.
Terima kasih daripada suhazeli.com - HARAKAHDAILY 15/3/2018
Sumber HD - 15-3-2018 

No comments:

Post a Comment