BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Thursday, March 19, 2015

ORANG KENA ZALIM - OKZ


Surat bawa penemuan gadis dikurung 25 tahun
Posted on Friday, September 25 @ 15:30:40 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu




KISAH tragis yang dibongkar oleh sepucuk surat misteri ini begitu menyayat hati...

Siapa sangka sepucuk surat yang tidak tercatat nama pengirimnya akhirnya berjaya menyelamatkan seorang wanita dikenali Blanche yang terkurung selama 25 tahun di rumahnya sendiri.

Pembongkarannya berlaku apabila pada 23 Mei 1901, pejabat guaman di Paris menerima sepucuk surat misteri.


Isi kandungan surat itu berbunyi...

"Tuan peguam: Dengan penuh rasa hormat, saya ingin memaklumkan tentang kejadian yang tidak diketahui sesiapa. Mengenai seorang wanita yang dikurung di dalam rumah Madame Monnier. Dia separuh kebuluran, hidupnya di dalam bilik bawah tanah yang kotor sejak 25 tahun lalu," catat tulisan itu tanpa dicatatkan nama pengirimnya.

Tersentak dengan surat itu, polis membuat siasatan walaupun, pada awalnya sukar mempercayai dakwaan tersebut kerana surat itu hanya dianggap surat layang.

‎Siasatan dimulakan, rumah Madame Monnier digeledah dan pada peringkat akhir polis telah memecah masuk ke sebuah bilik yang didakwa menjadi tempat kurungan seorang wanita selama 25 tahun itu.

Melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, mereka terhidu bau busuk.

Dalam bilik yang gelap tanpa sebarang pencahayaan, pasukan penyelamat melihat kelibat seorang wanita tanpa pakaian yang duduk di atas tilam jerami yang hampir reput.

Wanita itu tampak penuh ketakutan, badannya kurus kering, persekitarannya dipenuhi najis dan sisa-sisa makanan.

Udara di dalam bilik sempit itu sangat busuk sehingga menyukarkan pasukan penyelamat untuk bernafas.

Mereka segera mengangkat wanita malang itu keluar dari bilik kurungannya.

Tanpa membuang masa, wanita itu dibawa ke hospital untuk dirawat.

Ketika dirawat doktor meramalkan bahawa wanita itu tidak dapat hidup lama dan ketika dirawat wanita itu hanya mempunyai berat sebanyak 55 paun.

Selepas terbongkar mengenai kisah wanita itu, abang serta ibunya ditahan.

Penyiasatan dilakukan

Ketika siasatan dijalankan, satu persatu rahsia terungkai.

Semuanya bermula 25 tahun lalu sebelum Blanche  ditemui.

Ketika itu Blanche ‎jatuh cinta dengan seorang peguam miskin.

Ibunya Madame Louise menentang hubungan cinta itu kerana baginya anaknya tidak sesuai bercinta dengan orang yang tidak setaraf dengan mereka.

Blanche dikurung akhirnya.... masa berlalu, Blanche kini bukanlah seorang anak gadis seperti dahulu, kekasih yang menyebabkan dia dikurung pula sudah meninggal dunia pada 1885‎.

Abang Blanche, Marcel dalam kenyataan pembelaannya mendakwa Blanche mengalami masalah mental.

Namun ia disangkal beberapa saksi yang mendakwa sering terdengar suara rayuan meminta dibebaskan dari bilik bawah tanah tersebut.

Sementara ibu Blanche hanya ditempatkan di bilik sakit kerana menderita sakit jantung. Ibunya mati beberapa lama kemudian, dia dikatakan hanya mengucapkan 'ah anak ku Blanche' berulang kali kepada doktor yang merawatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Manakala abangnya Marcel dibebaskan dari penjara di atas kenyataannya kepada mahkamah bahawa dia tidak pernah mencederakan adiknya secara fizikal dan hanya menurut perintah ibunya.

Tanda tanya siapa yang mengirim surat itu hingga membawa kepada penemuan Blanche masih kekal misteri sehingga hari ini.

Meninggal di hospital

Sementara Blanche walaupun sudah mendapat rawatan kekal sakit dan mempunyai masalah mental, dia akhirnya meninggal dunia pada 1913 di Hospital Psikiatri Blois, 12 tahun selepas diselamatkan.


Sehingga kini kisah wanita malang ini terus menerus meniti di bibir penduduk tempatan. Kerana cinta dengan si miskin akhirnya Blanche menjadi mangsa kekejaman keluarga sendiri.

Sumber Link

Sumber TKO - 25-9-2015



Inilah 18 Gambar Zoo Manusia Yang Kejam Tahun 1860 Yang Ramai Tak Tahu
Posted on Sunday, September 13 @ 09:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



Percayakah anda jika kami katakan zoo juga pernah menempatkan manusia sekitar abad ke-19 dan 20-an? Memang agak aneh bunyinya, namun itulah yang berlaku apabila ia dijadikan pusat untuk mempamerkan manusia ‘pelik' seperti orang kerdil, golongan albino dan bongkok, khususnya di Eropah. Selain itu, golongan asli kulit hitam juga turut menjadi ‘mangsa' terutama oleh orang kulit putih yang gemar berbangga dengan perbezaan warna kulit mereka.



Pendek kata, ia simbolik kepada ‘kemuliaan’ yang dimiliki oleh bangsa kulit putih berbanding bangsa lain. Era ‘zoo manusia’ ini sebenarnya sudah bermula sejak Zaman Pembaharuan Eropah atau Renaissance lagi terutama di kalangan golongan atasan sekitar kurun ke-16. Mereka dikatakan gemar mengumpul manusia yang berbeza bangsa termasuklah dari Turki, Afrika, India kerana dianggap unik. Menjelang tahun 1870, pameran ‘zoo manusia’ menjadi popular dan menular ke Paris, Hamburg, Antwerp, Barcelona, London, Milan, New York, dan Warsaw. 

Jumlah pengunjung juga cukup besar iaitu mencecah antara 200,000 hingga 300,000 orang untuk setiap pameran. Namun, Pameran Dunia Parsi pada tahun 1889 yang dipanggil Kampung Negro berjaya menarik sehingga 28 juta pengunjung. Ia mempamerkan kira-kira 400 orang asli Afrika untuk tontonan ramai. Bagaimanapun, kewujudan zoo manusia ini mengundang pelbagai kontroversi dan kritikan kerana ia dianggap merendah-rendahkan martabat manusia itu sendiri. 



Ini kerana, pada masa itu, ramai pengunjung bertindak kasar dengan menjerit, memaki-hamun dan juga mengajuk bunyi binatang yang ditujukan kepada ‘penghuni’ zoo tersebut. Kini, biarpun tiada lagi kewujudan zoo yang mengurung dan mempamerkan manusia ‘pelik’, namun konsepnya masih lagi diguna-pakai. Sebagai contoh, sebuah perkampungan Afrika diwujudkan di Zoo Augsburg, Jerman pada tahun 2005 dan African Safari di Puebla, Mexico. Bezanya, ia berfungsi untuk memberi pengetahuan mengenai budaya sesebuah negara kepada orang ramai berbanding zaman dahulu yang berbentuk penghinaan dan hiburan. Di bawah merupakan lagi gambar penghinaan kepada manusia. =( via Dairishare.
















Sumber TKO - 13-9-2015

Ikram doa aktivis dibebas berjuang pertahan hak asasi

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) melahirkan rasa bersyukur dan gembira di atas pembebasan 11 aktivis yang menjalani hukuman di penjara Tapah kerana terlibat dalam demonstrasi membantah pelantikan Menteri Besar yang baharu pada 2009.

Mereka dibebaskan setelah mendapat pengampunan daripada Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dua hari lepas.

"Pengampunan yang diberikan Paduka Seri Sultan Perak disambut baik pada saat umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan tahun ini," ujar Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani Ikram, Prof Madya Badlishah Sham Baharin dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ini pastinya menggembirakan aktivis terbabit kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga untuk menjalani ibadah puasa.

Tambahnya, ia pastinya juga suatu keputusan yang bermakna kepada keluarga mereka yang sabar dan terus berjuang mendapat keadilan semasa mereka menjalani proses penghakiman dalam tempoh yang lama dan juga sewaktu mereka mula menjalani hukuman di Penjara Tapah.

"Ikram mendoakan dan berharap semoga negara Malaysia ini akan diperintah oleh pemimpin yang akan selalu berlaku ihsan dan adil kepada rakyatnya," ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, Ikram juga mendoakan agar mereka yang baru dibebaskan itu akan terus bersemangat tinggi untuk berjuang mempertahankan hak asasi di bawah sistem demokrasi di negara ini. - HARAKAHDAILY 21/6/2015


Sumber HD - 21-6-2015

Pemuda PAS Komited Bantu Azman dan Suwandi Yang Dizalimi

IMG-20150619-WA0101

Pemuda PAS Malaysia bersama-sama Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) dan PAS Kawasan Kuala Terengganu telah menziarahi dan bertemu dengan keluarga mangsa Orang Kena Zalim (OKZ) Muhammad Azman Aziz di Pasir Panjang Kuala Terengganu.

Rombongan diketuai oleh Timbalan Ketua Pemuda Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi diiringi oleh Naib Ketua Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin serta Ketua Pemuda PAS Terengganu Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan Timbalannya YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, bagi menzahirkan rasa kebersamaan ‘solidariti’ pemuda Malaysia terhadap apa yang dialami oleh Azman.

Pemuda PAS menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan memenjarakan Azman dan Suwandi Abd Ghani selama 18 bulan amat mengejutkan, dan merenggut seluruh keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada sistem perundangan.

IMG-20150619-WA0100

Bagaimana dua orang awam yang menjadi mangsa tembakan polis dalam peristiwa yang terkenal dengan ‘Tragedi Berdarah Batu Burok’ itu yang sebelumnya dihukum lebih ringan, sebaliknya menjadi bertambah berat.

Pemuda PAS menyampaikan sendiri ucapan takziah kepada keluarga Mohamad Azman Aziz di atas keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan keputusan penjara 18 bulan kepada mereka dalam insiden yang belaku 8 September 2007 lalu.

Ustaz Khalil dan Ir.Khairil Nizam dalam kenyataannya bersama menegaskan komitmen Pemuda PAS Malaysia untuk terus membela kebajikan mereka dan bersedia menjadikan mereka berdua sebagai Keluarga Angkat Pemuda PAS Malaysia.

Manakala Ustaz Kamaruzzaman pula menyampaikan perasaan dukacita, hampa dan kecewa seluruh pemuda negeri Terengganu kepada keluarga Azman dan Suwandi atas keputusan yang telah dbuat oleh mahkamah tersebut, di kala seluruh umat Islam sedang bersedia menyambut Ramadhan Al- Mubarak dan Hari Raya Idil Fitri.

Sehubungan itu, DPPNT telah melancarkan kempen bagi mengutip Dana bagi membantu kebajikan Keluarga Azman dan Suwandi.

Seluruh rakyat Malaysia yang prihatin diseru untuk terus menghulurkan bantuan pada tabung tersebut diatas nama Dana TAAWUN DPPNT, Maybank 563064113873.

Walaupun berdepan dengan cabaran dan ujian gentir seperti dipenjarakan namun Pemuda PAS akan terus menggerakkan anak muda menentang kezaliman dan memastikan keadilan Islam akan dapat ditegakkan di bumi Malaysia ini.

“BERISTIQAMAH HINGGA MENANG”
“MEMPERSIAP GENERASI KEMENANGAN”
Mohd Nasir Abdul Razak
Setiausaha DPPNT
19 Jun 2015

Sumber BO - 20-6-2015





11 aktivis PAS bertakbir, syukur bebas dari penjara

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .


TAPAH: Sebelas aktivis PAS dibebaskan daripada Penjara Tapah kira-kira jam 9.30 malam tadi setelah mendapat pengampunan diraja daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mereka dibebaskan selepas dipenjara selama 91 hari setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan apabila menyertai demonstrasi ketika krisis politik Perak pada tahun 2009 yang membawa kepada hukuman denda RM5,000 dan 10 bulan.

Mereka disambut gembira oleh ahli keluarga masing-masing.

Terpancar kegembiraan di raut wajah mereka menzahirkan rasa syukur di atas pelepasan daripada penjara.

Masing-masing bertakbir dan menyambut kegembiraan bersama ahli keluarga yang tidak jemu berusaha untuk melepaskan mereka daripada hukuman tersebut.

Sebelum itu, ahli keluarga terutama para isteri masing-masing telah menunggu di pekarangan Penjara Tapah sejak siang lagi setelah menerima perkhabaran tentang pengampunan itu.

Nashita Md Noor, 49, mengucapkan rasa syukur kepada Allah dan menjunjung kasih kepada Sultan Perak yang memberi pengampunan kepada suaminya.

Isteri kepada Bad Latif Mansor itu berkata, pihaknya berasa bertuah kerana ada peruntukan undang-undang yang membolehkan rakyat memohon pengampunan terhadap hukuman yang dijatuhkan.

"Terima kasih kepada Tuanku dan rakyat Malaysia," katanya yang tidak dapat menahan rasa sebak berhubung berita gembira itu.

Dalam nada yang sama, Amin Meor Abu Bakar, 69, bapa kepada salah yang dibebaskan itu turut berterima kasih kepada Sultan Nazrin.

Beliau bersyukur pada hari pertama Ramadhan telah menerima satu perkhabaran yang ditunggu-tunggu.

"Saya berterima kasih kepada Sultan Perak atas perkenan mengampunkan banduan yang dijatuhkan hukuman.

"Mudah-mudahan hanya Allah yang mampu membalas jasa baik Tuanku," jelasnya. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Sumber HD - 19-6-2015




11 aktivis PAS terima pengampunan diraja

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .


IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenan memberi pengampunan diaja ke atas 11 aktivis yang disebut sebagai orang kena zalim (OKZ) setelah 92 hari dipenjara.

Perkara itu telah disahkan oleh Nashita Md Noor iaitu isteri kepada salah seorang yang dijatuhkan hukuman dalam laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, pengampunan dari Sultan dan Lembaga Pengampunan Perak itu adalah bersempena bulan Ramadhan dan Aidilfirtri yang menjelang tiba.

Kata beliau, pengumuman tersebut dilakukan setelah perintah pembebasan sampai kepada pihak penjara.

Namun kata beliau, pihak waris masih menunggu panggilan daripada pihak penjara berhubung pembebasan itu dan kemungkinan mereka akan dibebaskan lewat petang ini.

"Alhamdulillah Allah hu Akbar! Saya bagi pihak ahli keluarga OKZ11 (orang kena zalim 11) yang masih terpenjara di balik tembok besi Penjara Tapah (ketika ini) ingin mengumumkan bahawa ke semua mereka telah mendapat pengampunan dari Sultan Perak dan Lembaga Pengampunan Perak," tulisnya.

Menurutnya, usaha dan rayuan pengampunan itu dilakukan sendiri oleh isteri-isteri serta ahli keluarga masing-masing, bukan daripada mana-mana pihak ketiga.

"Terima kasih pada semua yang memberikan sokongan dan mendoakan kami," kata beliau.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria ketika dihubungi Harakahdaily menjunjung kasih ke bawah Duli Sultan Perak atas perkenan memberi pengampunan kepada 11 aktivis itu.

"Dengan keperibadian Tuanku berjiwa rakyat, moga bertambah kemakmuran negeri di bawah perintah Tuanku.

"PAS Perak mengucapkan terima kasih diatas pengorbanan 12 orang yang terlibat serta keluarga mereka, doa kami moga Ramadhan dan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat mereka," katanya.
Razman menyatakan, peristiwa yang berlaku juga menjadi sayu ingatan dan pengajaran kepada seluruh rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia.

Pada 18 Mac lalu, seramai 12 aktivis PAS itu telah dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 10 bulan penjara oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas didapati bersalah menyertai demonstrasi ketika membantah rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009.

Seorang daripada mereka telah diberi pengampuan awal beberapa bulan lalu oleh Sultan Perak yang baru ditabalkan itu. - HARAKAHDAILY 18/6/2015

Sumber HD - 18-6-2015

22 Rangka Manusia Dikeluarkan Dari Bukit Wang Burma - Polis


KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Sebanyak 22 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dibawa turun dari hutan Bukit Burma di Wang Kelian, Perlis, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, menurut polis.

Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia ACP Datin Asmawati Ahmad berkata rangka berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses patologi pada 9.45 malam tadi.

Katanya jumlah keseluruhan rangka mayat yang ditemukan setakat ini kekal 35 orang.

"Operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat akan diteruskan di lain-lain lokasi kubur yang telah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini.

Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.

-- BERNAMA  / HD - 31-5-2015






Tangan bergari, OKZ hiba tatap jenazah ibu

| .



KUALA KANGSAR: Suasana hiba mengiringi majlis pengebumian ibu kepada Orang Kena Zalim (OKZ), Ismail SM Kadir hari ini.

Ramlah Abdul Karim, 80, meninggal dunia kira-kira jam 4.20 petang semalam akibat sakit tua.

Ismail yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 10 bulan berhubung demonstrasi ketika krisis rampasan kuasa di Perak tahun 2009 itu dibenarkan melawat serta memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum ibunya itu.

Ismail dibawa oleh pihak pegawai Penjara Tapah dalam keadaan bergari serta berpakaian serba merah menaiki sebuah van.

Kehadirannya disambut dengan penuh hiba dan sedih oleh isteri dan anak-anaknya yang ternyata sangat merinduinya.

Sebaik sahaja keluar dari van, Ismail dipeluk oleh isteri dan anak-anaknya yang masih kecil.

Dia disambut dengan laungan 'Allahu Akbar' oleh hadirin yang bersama-sama membantu menguruskan jenazah di samping datang memberi sokongan moral kepadanya.

Ismail tidak dapat menahan kesedihan ketika menatap jenazah ibu tercinta kerana tidak berkesempatan bersama ketika masa-masa terakhir almarhum.

Sebelum dibawa pulang kembali ke penjara, Ismail berkesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah ibunya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai yang bawa saya ke sini.

"Hanya Allah yang mampu membalas jasa dan usaha anda semua," katanya.

Dia berharap semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan kesemua 12 OKZ yang kini dipenjara.

Tambahnya, semua pihak perlu terus berjuang memartabatkan Islam dan mengangkat prinsip keadilan di dalam negara ini.

"Perjuangan Islam ini tidak ada henti sampai hari kiamat, teruskan perjuangan.

"Sama-sama kita berjuang mencari keredhaan Allah untuk menegakkan kalimah Allah, untuk menyelamat ummah yang tak faham-faham lagi.

"Kita bukan pengganas, kita nak menyelamatkan ummah dengan kita bawa perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah," pesannya.

Turut hadir dalam majlis pengebumian itu termasuklah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss. - HARAKAHDAILY 17/4/2015

Sumber HD - 17-4-2015

Hayati ibrah 13 pejuang dipenjara

Posted on Thursday, April 02 @ 15:00:00 MYT by paktam

Menyorot insiden rampasan kuasa Perak


Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR

PILIHAN Raya Umum ke 12 (PRU12) pada tahun 2008 telah menukilkan satu episod sejarah dalam landskap politik Malaysia apabila cengkaman penguasaan BN telah berjaya dirobek.

Perak adalah antara negeri yang BN gagal mendapatkan majoriti untuk menubuhkan kerajaan, pada ketika itu PAS, KeADILan dan DAP bergerak secara solo.

Harapan baru terjelma apabila PAS, KeADILan dan DAP akan berjaya membentuk kerajaan baharu jika bermuafakat bersama. Suasana pada ketika itu sangat mendebarkan serta ditunggu-tinggu oleh rakyat negeri Perak khasnya adakah akan terbentuk satuk kerajaan baharu untuk memerintah negeri itu.
PAS ternyata sangat tertekan pada saat itu dalam membuat keputusan sama ada akan bermuafakat bersama KeADILan dan DAP ataupun tidak. Dalam masa yang sama, Umno sentiasa memikat dan menghimpit PAS dengan momokan perpaduan ummah.

Namun PAS di bawah pimpinan Ustaz Ahmad Awang selaku Pesuruhjaya PAS Perak pada ketika itu telah membuat satu keputusan besar iaitu bermuafakat bersama dua lagi parti untuk membentuk kerajaan.

Bukan mudah untuk PAS membuat keputusan itu, namun dengan memikirkan maslahat yang lebih besar, PAS telah bersetuju untuk bersama KeADILAN dan DAP walaupun ketika mengharungi pilihan raya, masing-masing bergerak secara bersendirian tanpa terikat antara satu sama lain.

Maka, satu lembaran baharu bagi rakyat Malaysia serta landskap politik negara dengan tertubuhnya permuafakatan politik yang diberi nama Pakatan Rakyat.

Seterusnya Kedah, Pulau Pinang dan Selangor telah mengikut jejak Pakatan Rakyat di Perak untuk membentuk kerajaan campuran.

Apabila persetujuan bersama telah termeterai, maka pemilihan menteri besar telah dilakukan dan 

Sultan Perak pada ketika itu bertitah agar ketiga-tiga parti menghantar nama calon menteri besar.
Satu kejutan besar berlaku apabila Almarhum Sultan Azlan Shah memperkenan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (kini Dato’ Seri) daripada PAS untuk menjadi menteri besar walaupun parti Islam itu memperoleh kerusi paling sedikit.

Selepas Mohammad Nizar ditabalkan sebagai menteri besar, Pakatan Rakyat telah mengorak langkah merangka polisi pentadbiran berteraskan mentadbir cekap, mesra dan beramah.

Mohammad Nizar telah berjaya memperkenalkan pelbagai idea-idea baru yang memberi manfaat kepada rakyat termasuklah pemberian air percuma, pengurniaan hak milik tanah kepada orang Melayu, India dan Cina, dan sebagainya.

Perubahan pengurusan pentadbiran negeri ternyata sangat dirasai oleh seluruh rakyat yang melihat kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat lebih berintegriti dan mengutamakan marhaen tanpa menindas manamana kelompok.

Ku sangka hujan hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Suasana aman harmoni negeri dengan pentadbiran baharu tiba-tiba dikejutkan dengan kehilangan tiga orang Ahli Dewan 

Undangan Negeri (Adun) iaitu Hee Yit Foong (DAP-Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (KeADILan- Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (KeADILan- Changkat Jering).

Tiba-tiba mereka muncul dalam satu sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Najib Razak (kini Perdana Menteri) dengan mengumumkan keluar daripada parti dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN, maka bermulalah episod hitam demokrasi di negara ini.

Kerajaan yang telah diberi mandat secara demokrasi oleh rakyat telah dijatuhkan secara tidak demokratik serta tidak bertamadun.

Ia secara tidak langsung menzahirkan bahawa BN tidak menghormati serta mengkhianati mandat rakyat yang telah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara.

Pada saat itu, rakyat Perak telah bangkit dengan kesedaran sendiri menyatakan ketidakpuashatian mereka terhadap kebobrokan yang dilakukan BN.

Berlaku siri-siri bantahan daripada rakyat sebagai isyarat bahawa tindakan yang dilakukan itu tidak direstui.

Kemuncak bantahan Kemuncak bantahan rakyat Perak adalah ketika majlis angkat sumpah Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar menggantikan Mohammad Nizar di Istana Iskandariah, Bukit Chandan Kuala Kangsar menyaksikan ribuan rakyat perak berhimpun menyatakan bantahan.

Kehadiran yang sangat ramai membuktikan momentum amarah rakyat tidak terkawal hingga berlaku beberapa insiden yang tidak diingini. Tidak dapat dinafikan pada ketika itu suasana begitu kecoh dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku termasuklah baring di atas jalan.

Namun begitu, amarah yang dizahirkan itu perlu dihormati serta difahami kerana mereka berperilaku sedemikian setelah hak mereka dicabuli secara tidak bertamadun oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Lantaran daripada suasana itu, polis telah menahan seramai 13 orang daripada ribuan yang hadir dan salah seorangnya adalah seorang wanita yang bekerja sebagai tukang sapu di Masjid Ubudiah berhampiran istana itu.

Ada daripada mereka adalah jurugambar yang hadir untuk merakam potret bersejarah.
Walaupun pada hakikatnya, ke semua mereka bukanlah yang telah mencetuskan provokasi sebaliknya hanya menjadi mangsa keadaan akibat keadaan yang tidak terkawal itu.

Jika diteliti video yang dirakam dengan penuh tekun, ada daripada tertuduh telah memainkan peranan untuk mengawal daripada berlakunya ketegangan.

Nah! ini membuktikan mereka yang ditangkap itu hanya mangsa kepada keadaan, bukanlah anggapan umum bahawa mereka adalah pencetus kekacauan.

Keadaan politik di Perak telah reda tetapi 13 orang tertuduh itu terus dihantui dengan sabitan yang dikenakan ke atas mereka, walaupun menganggap mereka tidak bersalah tetapi tetap komited memberi kerjasama dengan pihak polis.

Ke semua orang kena tahan (OKT) atau digelar orang kena zalim (OKZ) itu tidak sesekali cuba untuk melarikan diri sebaliknya sentiasa hadir di sepanjang tempoh perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Mereka terus istiqamah menjadi wakil kepada suara amarah rakyat terhadap kebobrokan, tanpa rasa putus asa mereka terus melalui proses mahkamah walaupun tidak lagi mendapat sokongan mahupun perhatian umum disebabkan suhu amarah semakin melebur.

Pada 13 September 2013, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun serta denda RM5,000 kepada mereka dan hukuman tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan tersebut sangat mengejutkan hingga menyebabkan masyarakat khususnya rakyat Perak mengingati kembali insiden hitam yang berlaku di negeri itu.

Sebelum itu rakyat seolah-olah lupa akan kedurjanaan yang berlaku hingga 13 orang itu disabitkan seterusnya dijatuhkan hukuman penjara.

Namun begitu selepas beberapa hari disumbat di dalam Penjara Tapah, mereka telah dibebaskan apabila Hakim Mahkamah Tinggi Taiping menerima permohonan peguambela untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu proses rayuan.

Sinar kegembiraan berjaya dilakar pada tarikh 27 Jun 2014 apabila peguam PAS yang diketuai oleh Asmuni Awi dalam mitigasi telah meyakinkan Hakim untuk mengetepikan hukuman penjara yang disabitkan sebelum itu.

Seolah-olah masih tidak berpuas hati, kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam usaha menyabitkan mereka dengan kesalahan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan dan mereka akhirnya telah dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan pada 18 Mac lalu dan hukumannya dijalankan serta-merta.

Maka sekali lagi keputusan ini telah menggerakkan lagi rakyat yang seolah-olah lupa akan peristiwa bersejarah itu. Masing-masing telah menyatakan solidariti dan kekecewaan mereka terhadap hukuman yang dijatuhkan.

Tidak ada lagi ruang serta peluang untuk memperjuangkan keadilan ke atas mereka melainkan menunjukan kebersamaan dan solidariti. Jika diratapi, hukuman yang dijatuhkan ini tepat pada masanya iaitu ketika pemimpin sedang asyik berikhtilaf sesama sendiri.

Mereka seolah-olah dihadirkan oleh Allah untuk mengingatkan para pimpinan agar tidak bergocah antara satu sama lain sebaliknya bergerak dalam satu pasukan menuju matlamat yang sama.

Hukuman yang dijatuhkan ke atas 13 pejuang itu perlu diinsafi oleh para pimpinan untuk memuhasabah kembali pengorbanan yang dilakukan oleh para penyokong yang ikhlas berjuang mengetepikan kepentingan tertentu.
13 OKZ terkurung di tirai besi

Hukuman ini pasti disambut dengan hiba oleh seluruh masyarakat khusunya di negeri Perak dan khasnya para peserta yang menyertai demonstrasi itu.

Ia seharusnya menjadi pelopor kepada kebangkitan rakyat agar terus komited untuk berjuang menentang pemerintah yang telah melakukan kebobrokan terhadap demokrasi di dalam negara ini.

Para pendokong perjuangan Pakatan Rakyat khususnya PAS perlu menjadikan hukuman yang dijatuhkan itu sebagai tonik serta semangat untuk mereka terus beristiqamah berjuang dalam usaha mendapatkan kembali tampuk pemerintahan di negeri Perak.

13 orang hero rakyat Perak itu sedang beruzlah di dalam hotel besi dan yakinlah hasil daripada tarbiyah itu, apabila dibebaskan nanti, mereka akan menjadi pejuang yang hebat.

Ayuh, kita teruskan perjuangan dengan memfokuskan kepada musuh utama, antara kita perlu berlapang dada serta menghormati antara satu sama lain.

Jadikan hukuman ke atas 13 orang pejuang itu sebagai dorongan untuk kita terus istiqamah berjuang menentang kezaliman BN khususnya Umno.

Semoga wira kita tenang dan kuat di dalam penjara sebagai seorang pejuang, bukan petualang!
Bad Latif Mansor, 48; Suhana Abdullah, 50; Mohd Faiz Mohd Arshad, 27; Zulhaizam Zulkifli, 30; Isha Riduan Ishak, 60; Adi Hilmee Mohd Nasir, 45; Mohamad Nazeer Hameed, 49; Khairul Azmi Hassan Basri, 49; Mohd Hasri Ismail, 49; Mohamed Ismail S M Abdul Kadir, 48; Idris Mohd Thaib, 49; Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40; dan Yusoff Jaafar, 49 akan terus terpahat dalam sanubari rakyat Malaysia sebagai hero dan pejuang rakyat!

Sumber DD - 2-4-2015






Bukan sekadar beri kenyataan, tetapi bantulah mereka - Mat Sabu

Posted on Wednesday, April 01 @ 13:00:00 MYT by paktam

SEJAK disumbat ke penjara Kajang pada 18 Mac lalu ada yang mengatakan nasib 13 Orang Kena Zalim (OKZ) yang juga peserta demonstrasi membantah rampasan kuasa Perak, ramai pihak yang umpamakan mereka ini sebagai wira yang tidak didendangkan.

Namun sebalik penderitaan mereka ditahan, terdapat 13 keluarga yang mereka tinggalkan sementara duduk di tirai besi yang terpaksa menanggung beban berikutan ketiadaan mereka.

Apakah nasib mereka ini dipedulikan oleh parti-parti politik khususnya Pakatan Rakyat? Menjawab persoalan itu, Wartawan Kanan Harakah ROY RASUL menemubual Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, pada 23 Mac lalu untuk mengupas isu itu.

WARTAWAN: Sekarang ini nasib tiga belas pejuang pasca rampasan kuasa Perak pada Februari 2009 ditahan di penjara Kajang, Selangor. Bagaimana saudara melihat perkembangan ini?

MOHAMAD SABU: PAS akan terus membuat program-program untuk membela tiga belas yang dipenjarakan itu. Mereka itu orang yang pertahankan perlembagaan dan pejuang demokrasi. Mereka ini seolaholah ‘dizalimi’ Kerajaan BN.

Oleh itu kita akan buat program terutamanya untuk keluarga mereka yang terseksa akibat didakwa dan ditahan di penjara. Ingin saya tegaskan sekali lagi, mereka itu pejuang demokrasi bukan militan. Mereka pertahankan perlembagaan Malaysia dan demokrasi serta keputusan rakyat Perak.

Bagaimana PAS melihat soal nasib keluarga tahanan yang pastinya akan terkesan dengan penahanan ini?

Benar, mereka terkesan dan saya sendiri pernah alaminya sebelum ini (beberapa kali ditahan ISA dan kes-kes lain).

Bagi PAS mesti kita bela nasib mereka ini contohnya esok (24 Mac) kita ada program di Shah Alam, Selangor bagi mencari sumbangan untuk meringan bebanan keluarga mereka. Saya sendiri akan ke Perak untuk membuat program di sana juga untuk mengutip dana bagi meringankan kesengsaraan mereka.

Dengan ini, kita menyeru orang ramai juga sama-sama membantu ‘Tabung Kena Zalim’ (OKZ) untuk meringankan keluarga mereka yang berada di luar penjara. Yang di penjara itu lainlah kerana mengikut undangundang penjara. Namun orang yang di luar
penjara inilah yang menderita.

Isu isu begini hanya menjadi bahan kenyataan media berbanding lebih ramai pihak dalam parti untuk mobilisasi isu dan mengerakkan Dana Bantu keluarga. Apa pandangan saudara?
Saya akan turun gelanggang dan tidak hanya memberi pandangan contohnya di Shah Alam dan di Perak serta tempat lain. Ini kerana kita membantu mereka ini hendaklah berterusan biarpun apa pun suasana dalam Pakatan Rakyat.

Apa ruang yang boleh digunakan bagi membebaskan kesemua tahanan ini, bagaimana kempen?
Mereka sudah pergi ke mahkamah yang paling tinggi, cuma di peringkat kita sekarang ini kita membantu keluarga mereka. Sekurang-kurangnya untuk membantu mereka.

Cara lain tidak ada melainkan jika mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Mereka umpama wira rakyat wira tanpa nama, mereka tidak kejar jawatan namun nasib mereka dipandang sepi apa pandangan saudara?

Ya mereka wira rakyat, wira demokrasi, wira pertahankan perlembagaan. PAS akan terus membela mereka dan orangorang yang tidak berjawatan selalunya kadang-kadang dilupakan. Dan kita akan adakan program di Shah Alam dan kita harap semua orang akan datang. Kita akan membuat kutipan, ucapan dan membuat pembelaan kepada kaum keluarga mereka.

Baru-baru ini melalui media sosial, salah seorang isteri mangsa mencadangkan kepada penganjur aksi #kitalawan supaya memfokos kepada isu rakyat bukan untuk solidari kepada ahli politik.
Ini menampakkan seolaholah mereka tidak mahu lagi menggunakan pendekatan politik.
Jadi apa pandangan saudara?

Itu hak mereka, tetapi PAS sebagai parti politik kita tetap memberi sokongan sebab ia perjuangan rakyat ataupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) pun kita akan menyokong.


Mereka tidak mahu guna itu hak mereka tetapi kita tetap menyokong dan membela orang yang dizalimi tidak kira daripada parti mana ataupun tidak berparti.

Nasihat untuk keluarga mereka.

Saya harap keluarga mereka bersabar dan ingat suami atau keluarga mereka bukan sebagai seorang penjenayah. Ingat mereka adalah pejuang atau pembela demokrasi dan perlembagaan dan jangan anggap masuk penjara itu semua penjenayah.

Sumber DD -1-4-2015


Nashita tidak gentar walau dirinya, suami ditahan

Posted on Tuesday, March 31 @ 17:00:00 MYT by paktam

Oleh AZAMIN AMIN 


TIDAK sedikit pun terlihat di raut wajahnya, kusam mahupun sugul. Sentiasa cergas dan tegas. Perasaannya disimpan kemas dan kejap. Yang terpamer, keredaaan dan semangat yang naik menjulang. Tidak berubah.

Sama malah lebih kuat dari dulu. Sewaktu memperjuangkan nasib rakyat dan rakan-rakan yang menjadi mangsa kezaliman akta tak bermata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tidak berundur walaupun seinci, bersama-sama suami Bad Latif Mansor ke sana kemari, melaungkan suara demokrasi dan membantah tekanan ke atas rakyat sendiri yang tidak berdosa.

Perjuangan yang lama, akhirnya membuahkan hasil yang bahagia. Akta, dimansuhkan setelah ramai melintasi derita.

Namun, ujian tuhan siapa yang menyangka, hikmah yang tidak terduga, Bad suami Nashita pula, menjadi mangsa. Kali ini, nama diberi atas akta yang lain pula.

Perjuangan mereka, masih sama, namun dipenjara atas alasan yang tidak boleh diterima. Ulang tayang cerita lama pemerintah yang tidak memberi peluang mereka yang mahukan keadilan dan kecewa dengan sekumpulan manusia yang melanggar peraturan negeri, sekali gus merampas sebuah kerajaan tanpa aturan yang ada dalam undang-undang negara.

Tidak siapa pun, akan melupakan kisah hitam, Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang memerintah selama 10 bulan, tiba-tiba ‘dirampas’ tanpa mandat.

Berpunca dari itu, rakyat sudah tidak tahan dengan gelagat yang semakin pedih dan menyakitkan jiwa, lalu membantah secara aman, sebuah demokrasi yang dilaung namun tidak dilaksanakan.
Kisah sedih dan mencengkam rasa terus menghimpit rakyat yang tidak berdosa. Kali ini, Nashita Md Noor menerima ujian yang cukup hebat menyentuh, naluri seorang suri dan menjadi galang ganti, ketua keluarga setelah suami, Bad dihukum penjara 10 bulan.

Dan tidak cukup sampai di situ, beberapa hari setelah suami di penjara, Nashita bangkit dan muncul semula memperjuangkan resah beban rakyat. Bukan lagi isu suami, di hadapan Wisma Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Selangor, petang 23 Mac, Nashita bersama rakyat membantah pelaksanaan GST.

Tidak tahan tekanan rakyat, penguasa mula melancarkan tangkapan dan skrip sama berulang kembali. Rakyat berjuang ditahan, termasuk Nashita yang disumbat ke dalam trak polis. Di dalam trak itu, ada hampir 30 lagi yang ditahan.

Mengujakan, tidak berkudiskan rasa gentar, masih, berada dalam trak Nashita tetap tenang menjawab soalan Harakah dari talian telefon bimbitnya. Bermula dengan tangkapan kasar pasukan keselamatan sehinggalah ke kisah perjuangan menuntut keadilan rakyat dan suami. “Azamin...saya tak tahu akan dibawa ke mana. Dalam trak ini ada dekat 30 orang. Di luar ramai yang kena kepung dan terus disumbat ke dalam trak,” katanya jelas.

Maaf, dari mana datang semangat juang yang tinggi puan, seperti tiada henti, soal saya yang melihat Nashita seperti tidak secebis rasa jemu atau mahu berehat seketika mengenang nasib 10 bulan tanpa suami.

“Suami saya pesan supaya terus berjuang dan saya juga tidak mahu pengorbanan suami dan lain-lain diabaikan dan didiamkan. Tidak ada apa yang boleh menutup bicara dan menahan semangat kami.

“Selagi ada kezaliman dilakukan ke atas rakyat, kita akan terus berjuang menentang dan melawan, itu prinsip yang saya pegang,” katanya tegas dan tuntas.

Ya, benar seperti luahan Nashita, yang menanggung derita rakyat dan rakyat jua berhak meluahkan rasa dan penyudahnya rakyat menjadi mangsa berganda, dihadiahkan oleh pemerintah dengan pelbagai tekanan, sekatan dan jua tangkapan.

Sedang berbicara dengannya, Nashita sempat mengepilkan sekeping gambar yang dihantar melalui WhatsApp dari telefonnya.

Benar, beliau berada di dalam trak polis bersama-sama yang lain.

Terkedu saya menatap. Ketabahan dan dugaannya cukup kuat. Di hatinya ada azimat yang terpahat, berjuang demi rakyat.

Beliau kemudian menitip katakata yang terasa membuatkan mata seperti hampir berkaca.

Wanita berjiwa kental, yang pernah disebut mutiara kata, yang mampu menanggung beban dunia.

Ya, sejak Harakah menyusuri perjuangan keadilan sejagat dan membela nasib rakyat, wajah Nashita sentiasa berada di manamana bersama suami, rakan-rakan dan pejuang rakyat yang lain.
Biarpun, Nashita tidak bersuara seperti yang lain, keberadaannya sudah cukup membuktikan bahawa dia sanggup bersusahpayah, mendepani badai yang menggila, walaupun Nashita kelihatan adakalanya diam, namun di hatinya penuh bara, melawan penguasa yang menyalahguna kuasa dan menghimpit rakyat jelata.

“Saya sudah rasa hidup susah. Saya tahu anak-anak dan rakyat akan terus susah jika GST dilaksanakan.

“Saya menjadi marah bila lihat pemimpin hidup mewah sedangkan negara dan rakyat dalam kesempitan,” katanya.

Ditanya soal harapan, dia menyatakan jika berpeluang menemui suaminya, khabar tentang perjuangan rakyat di luar sana akan dicerita untuk menaikkan semangat mereka yang dipenjara.

Ketika khusyuk menyelami isi hatinya, tiba-tiba Nashita memaklumkan talian hayat bateri telefonnya sudah sampai ke penghujungnya dan sebelum terpadam, beliau sempat membariskan ayat akhir sebagai menutup wawancara dari dalam trak polis.

“Saya akan terus berjuang walaupun suami saya terpenjara...” titipnya dan sehingga kisah ini ditulis jam 7.30 malam 23 Mac itu, tidak diketahui perkembangan atau keadaan Nashita yang terkini, pejuang wanita yang sentiasa mempertahankan dan membela nasib rakyat yang berterusan menjadi mangsa.

Sumber DD - 31-3-2015

Wakil rakyat DAP Perak bantu keluarga OKZ

| .

 
KUALA LUMPUR: Wakil DAP Perak hari ini menyerahkan replika cek bernilai RM18,000 kepada Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar sebagai bantuan kepada 13 orang kena zalim (OKZ) yang dipenjara 10 bulan atas sabitan kesalahan menyertai bantahan rampasan kuasa negeri Perak pada 2009.

Jumlah RM18,000 itu hasil daripada pemotongan gaji Ahli Parlimen dan Adun DAP Perak pada bulan ini.

Menurut Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, semua enam Ahli Parlimen dan 18 Adun menyerahkan potongan gaji sebanyak RM18,000 sebagai sumbangan kepada keluarga OKZ bagi menampung keperluan mereka.

Atas prinsip keadilan, DAP akan terus menghulurkan bantuan termasuk khidmat guaman kepada keluarga OKZ khususnya mereka yang mempunyai kanak-kanak kurang upaya dan pengidap penyakit barah.

Mahfuz sebagai wakil kepada keluarga mangsa berterima kasih kepada DAP Perak yang prihatin dengan nasib keluarga OKZ yang sebahagian besar daripada mereka adalah penyokong PAS.

Selain penjara 10 bulan, mereka turut didenda RM5,000 setiap orang oleh Mahkamah Rayuan. - HARAKAHDAILY 24/3/2015

Sumber HD - 24-3-2015





















'Sahabat Aktivis' Muslimat PAS cari dana 12 OKZ

| .


KUALA LUMPUR: Penggerak Demokrasi Dewan Muslimat PAS Malaysia berjaya mendapatkan penyumbang tetap bagi tujuh keluarga daripada 12 keluarga orang kena zalim (OKZ) yang dipenjarakan 10 bulan atas sabitan kesalahan menyertai bantahan rampasan kuasa negeri Perak pada 2009.

Ahli jawatankuasa Muslimat PAS Malaysia, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, mereka masih meneruskan usaha mencari penyumbang tetap bagi lima lagi keluarga OKZ.

Program yang dinamakan Sahabat Aktivis itu melantik koordinator sumbangan bagi memastikan mereka menerima sumbangan bulanan minimum RM1,500 setiap keluarga serta mengambil berat kebajikan keluarga terbabit mengikut keperluan dan keutamaan.

"Penggerak Demokrasi menginsafi bahawa nasib 12 keluarga OKZ ini perlu mendapat pembelaan segera daripada kita semua khususnya aktivis dan rakyat.

"Atas semangat dan tema 'Friends Of Activist' (Sahabat Aktivis) maka Penggerak Demokrasi Muslimat PAS mengambil inisiatif segera untuk mengenal pasti pwnyumbang tetap sepanjang tempoh OKZ dalam penjara," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, mana-mana pihak atau individu perseorangan yang berminat menjadi penyumbang tetap bulanan boleh menghubungi Setiausaha Program Sahabat Aktivis, Anis Afida Azli di talian 013-7549335.

Aiman juga berkata, hukuman ini adalah satu perkembangan terbaru yang sangat malang dalam sejarah demokrasi negara ini dan suatu yang sangat dikesali.

"Ironinya, para demonstran daripada Umno BN yang melakukan kekacauan serta demonstrasi ke atas Kerajaan Selangor dan gangguan ke atas sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang suatu ketika dulu, sekalipun didakwa akhirnya hanya dijatuhi hukuman denda RM1,500 dan RM1,000.

"Sedangkan dalam kes aktivis kita di Perak pula dijatuhi hukuman Denda RM5,000 seorang dan penjara 10 bulan," katanya.

Mereka yang dijatuhi hukuman penjara dan denda ialah Bad Latif Mansor, 49; Suhana Abdullah, 50; Mohd Faiz Mohd Arshad, 27; Zulhaizam Zulkifli, 30; Isha Riduan Ishak, 60; Adi Hilmee Mohd Nasir, 45; Mohamad Nazeer Hameed, 49; Khairul Azmi Hassan Basri, 49; Mohd Hasri Ismail, 49; Mohamed Ismail S M Abdul Kadir, 48; Idris Mohd Thaib, 49; Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40; dan Yusoff Jaafar, 49. - HARAKAHDAILY 23/3/2015 

Sumber HD - 23-3-2015

13 pejuang dihukum penjara, mudarat kebajikan keluarga

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: "Saya berasa sangat kesian dan amat bersimpati terhadap 13 orang wira itu dan keluarga mereka yang menjadi mangsa sistem keadilan negara kita," kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Sehubungan itu, beliau merasa sungguh kecewa dan kesal apabila Mahkamah Rayuan semalam telah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap 13 orang pejuang demokrasi yang menyertai satu perhimpunan membantah 'rampasan' kuasa Perak di Kuala Kangsar pada tahun 2009.

Katanya, hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka adalah terlalu berat.

Menurutnya, mereka yang dijatuhi hukuman penjara itu mungkin akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, juga akan memudaratkan kebajikan keluarga masing-masing.

Katanya, perhimpunan aman adalah prinsip asas sistem demokrasi dan dibenarkan oleh Perkara 10(b) Perlembagaan Persekutuan.

"Tetapi, saya berpendapat bahawa pencabulan hak asasi menjadi perkara lumrah dan semakin cenderung di negara kita," ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, penghakiman  terhadap 13 orang pejuang yang mahu menegakkan demokrasi itu adalah usaha-usaha licik untuk meracuni dan melumpuhkan sistem demokrasi negara kita yang dilakukan tanpa semangat perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun.

Penjuang-pejuang demokrasi itu ialah Bad Latif Mansor, 49, Suhana Abdullah, 50, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40, Mohd Faiz Mohd Arshad, 28, Zulhaizam Zulkifli, 31, Isha Riduan Ishak, 60, Adi Hilme Mohd Nasir, 45, Yusuf Jaafar, 50, Mohamad Nazeer Hameed, 49, Khairul Azmi Hassan Basri, 50, Mohd Hasri Ismail, 49, dan Mohamed Ismail S. M. Abdul Kadir, 49. - HARAKAHDAILY 21/3/2015

Sumber HD - 21-3-2015



Solidariti For OKZ13

Posted on Friday, March 20 @ 08:00:00 MYT

Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



1. Ameerah Malaysia melahirkan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah rayuan putrajaya hari ini yg menjatuhkan hukuman penjara terhadap aktivis demokrasi, OKZ 13.

2. Ameerah Ameerah Malaysia menganggap hukuman ini sebagai satu lagi pencabulan terhadap hak asasi rakyat yang berjuang menuntut keadilan.

3. Sudah pasti situasi ini akan memburukkan lagi kondisi demokrasi di Malaysia setelah akhir akhir ini kita menyaksikan satu persatu pemimpin politik dan aktivis rakyat ditangkap hanya kerana mereka mempraktikkan hak kebebasan bersuara yg dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Ameerah Malaysia menyatakan solidariti bersama2 mangsa kezaliman ini dan mendoakan agar kesemua 13 mangsa terutamanya pihak keluarga akan terus kuat dan terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan. 



Fareedah Samad,
Pengerusi Ameerah Malaysia,
Dewan Muslimat Pas Pusat


"Menerajui Perubahan Generasi Baru"

"Happy Women for a Happier Malaysia"

>ameerahpas@gmail.com

>mediaameerah@gmail.com
>facebook.com/ameerahmalaysia
>twitter.com/ameerahmalaysia

Sumber TKO - 20-3-2015



Pejuang Menentang Kezaliman Penguasa & Rakan yang Khianat

Posted on Friday, March 20 @ 07:00:00 MYT

Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



Pasca PRU12 pada Mac 2008, gabungan PAS, PKR dan DAP telah berjaya membentuk Kerajaan Negeri walaupun hanya dengan majoriti 3 kerusi DUN; 31 kerusi dikuasai oleh gabungan 3 parti ini manakala 28 kerusi lagi dimenangi oleh BN. DS Mohammad Nizar Jamaluddin pada 17 Mac 2008 telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.

2. Kerajaan yang dibentuk tanpa kekuatan majoriti 2/3 ini akhirnya tumbang bermula dengan isu 2 Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu ADUN PKR yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta.
3. Walaupun pada 25 Januari 2009 ADUN Bota daripada UMNO, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada BN untuk menyertai PKR, ia diikuti dengan peristiwa pelik 2 ADUN PKR; Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu hilang bermula 26 Januari 2009 sehinggakan DS Mohammad Nizar Jamaluddin terpaksa meminta 2 ADUN tersebut mengisytiharkan segera pendirian mereka sama ada masih bersama PR Perak atau sebaliknya pada 1 Februari 2009.
4. Lebih mendukacitakan apabila pada 4 Februari 2009, 3 ADUN PKR; Datuk Nasaruddin Hashim (Bota), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), dan seorang ADUN DAP iaitu Hee Yit Foong (Jelapang) didapati berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya diikuti dengan pengumuman oleh TPM pada ketika itu iatu DS Najib Razak bahawa BN mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila kesemua ADUN itu tadi telah mengisytiharkan keluar parti.
5. Berikutan daripada peristiwa pengkhianatan inilah berlakunya insiden bantahan terhadap majlis angkat sumpah Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sehingga mengakibatkan 13 orang peserta demostrasi membantah rampasan Kerajaan Negeri Perak telah disabitkan salah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada hari semalam dan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 10 bulan penjara.
6. Mereka adalah Mujahid, pejuang kebenaran sebagaimana yang digambarkan oleh hadis Nabi saw;
أَلاَ إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ "Ketahuilah sesungguhnya

sebaik-baik Jihad ialah kalimah yang benar berhadapan dengan penguasa yang zalim" (Hadis riwayat Ahmad).
7. Mereka telah melaksanakan tanggungjawab Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar menghadapi kemungkaran pemerintah dengan lidah dan tenaga mereka.
8. Hari ini mereka membayar harga yang mahal melibatkan diri dan keluarga untuk perjuangan kebenaran tersebut apabila undang-undang negara menerusi Mahkamah Rayuan tidak memihak kepada mereka. Malah sebelumnya mereka berhadapan dengan perbicaraan mahkamah yang panjang lebih 5 tahun yang tentu sahaja mengganggu emosi dan kehidupan diri dan keluarga.
9. Saya menzahirkan rasa dukacita terhadap semua pejuang terhadap hukuman yang telah dikenakan ke atas mereka. Semoga semua pejuang dan ahli-ahli keluarga mereka dapat terus bersabar dengan ujian ini dan sentiasa berdoa kepada Allah semoga pejuang dapat terus istiqamah di atas jalan kebenaran.
10. Saya yakin dan percaya, mereka akan dikurniakan kebaikan dan ganjaran yang hebat oleh Allah kerana telah bersungguh-sungguh mempertahankan kebenaran yang dirosakkan oleh perbuatan khianat. Saya menyeru, marilah sama-sama kita bersolidariti membela hak dan nasib mereka serta keluarga mereka.
Sekian.
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI Ahli Parlimen Kuala Nerus Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Tarikh : 19 Mac 2015 / 28 Jamadil Awal 1436H

Sumber TKO - 20-3-2015



























PAS jaga kebajikan keluarga 13 OKZ

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS akan berusaha menjaga kebajikan keluarga 13 ahli dan penyokongnya yang dipenjarakan atas sabitan kesalahan menyertai bantahan rampasan kuasa negeri Perak pada 2009, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika menghubungi Harakahdaily, Salahuddin berkata, PAS akan mengadakan majlis meraikan keluarga 13 orang kena zalim (OKZ) itu dalam masa terdekat dan berharap mereka bersabar dengan ujian yang diterima.

"PAS akan ambil tanggung jawab membela nasib keluarga mereka dan mengadakan majlis bagi menghargai pengorbanan mereka," kata beliau.

Kesemua 13 OKZ itu didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan kerana terlibat dalam perhimpunan menghalang upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar kerajaan rampasan kuasa, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bagaimanapun hukuman 2 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen dikurangkan kepada 10 bulan oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Mahkamah juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mengenakan denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.


Mereka yang dijatuhi hukuman penjara dan denda ialah Bad Latif Mansor, 49, Suhana Abdullah, 50, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40, Mohd Faiz Mohd Arshad, 28, Zulhaizam Zulkifli, 31, Isha Riduan Ishak, 60, Adi Hilme Mohd Nasir, 45, Yusuf Jaafar, 50, Mohamad Nazeer Hameed, 49, Idris Mohd Thaib 49, Khairul Azmi Hassan Basri, 50, Mohd Hasri Ismail, 49, and Mohamed Ismail S. M. Abdul Kadir, 49.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, PAS Pusat akan mendapatkan nasihat Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) tentang proses perundangan seterusnya termasuk mengkaji kemungkinan mendapatkan 'pengampunan Diraja'.

"Kita akan kaji implikasi moral dan politik daripada keputusan perundangan yang bakal diambil," katanya. - HARAKAHDAILY, 19/3/2015

Sumber HD - 19-3-2015

No comments:

Post a Comment