BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Sunday, October 19, 2014

GENERASI Y




Jenayah dalam kalangan Gen Y membimbangkan

BERNAMA | .
MELAKA: Jenayah membabitkan generasi Y atau golongan muda didapati meningkat dan membimbangkan, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata statistik jenayah 2013 menunjukkan pembabitan generasi Y yang masih bergelar pelajar dalam jenayah meningkat sebanyak 57 peratus iaitu 1,632 kes berbanding 1,042 kes pada tahun 2012.

Manakala kadar jenayah bagi generasi Y yang bukan pelajar turut mencatatkan peningkatan iaitu 6,184 kes pada tahun 2013 berbanding 2,658 kes pada tahun 2012, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Memerangi Jenayah Jalanan anjuran MCPF dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye dan Timbalannya Mohd Shahrizan Che Mat Din.

Sementara itu Lee berkata lebih 70 peratus kadar jenayah ragut yang dilaporkan di negara ini melibatkan penagih dadah yang mengambil jalan mudah melakukan jenayah ragut untuk membeli bekalan dadah.

"Cara termudah bagi mereka ialah dengan melakukan kegiatan jenayah ragut yang kebanyakan mangsa disasarkan kepada golongan wanita," katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik PDRM Bukit Aman, kes jenayah ragut mencatat peningkatan sebanyak 347 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini iaitu sebanyak 2,098 kes berbanding 1,751 kes bagi tempoh sama pada tahun 2013. BERNAMA

Sumber HD - 17-12-2014

Fitnah alam maya: Pengguna perlu bijak

ATHIRAH HUDA ZALHE | .

MENERUSI laporan khas yang dikeluarkan oleh Berita Harian pada 14 Disember baru-baru ini mengenai ‘Fitnah alam maya’. Sebagai salah seorang pengguna alam maya, tidak dinafikan medium berkenaan menjadi platform kepada semua dalam menyebarkan maklumat selain menjadi penghubung sosial antara satu sama lain. Generasi Y merupakan generasi yang berkembang dan hidup seiring dengan media sosial seperti Facebook, Twitter, Wechat dan sebagainya.

Medium ini merupakan tempat penyebaran maklumat yang pantas digunakan oleh orang ramai. Surat khabar, televisyen dan apa-apa sahaja agensi berita sudah kurang menjadi bahan rujukan utama untuk mencari maklumat semasa. Tetapi sejauh mana nilai maklumat tersebut boleh digunapakai dan dipercayai. Senario hari ini memperlihatkan sumber yang dikeluarkan oleh media sosial lebih pantas. Dalam beberapa jam sahaja segala berita akan menjadi viral kepada pengguna media sosial lain.

Kita sebagai pengguna harus berwaspada dalam menerima maklumat yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak terutamanya media sosial yang tidak mempunyai tapisan daripada pihak bertanggungjawab. Natijahnya, berlaku fitnah dan unsur-unsur berbentuk hasutan kepada pengguna lain. Bagaimana kita ingin mencorakkan pemikiran generasi Y terutamanya untuk tidak mudah menerima bulat-bulat apa-apa sahaja maklumat tersebut. Adakah selepas ini media sosial akan menggantikan tempat media arus perdana sebagai penyumbang berita?

Kita mempunyai lambakan agensi berita yang menjadi sumber rujukan. Seharusnya rujuk dahulu laman- web berita yang betul sebelum disebarkan sesuatu isu tersebut. Laman web dan media sosial yang diwujudkan oleh agensi berita juga tidak pernah ketinggalan supaya pengguna sentiasa menerima berita terkini dengan lebih pantas daripada media tradisional iaitu televisyen, radio dan surat khabar.

Walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mencadangkan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya tiga tahun dan sebat terhadap pesalah siber dipertingkatkan, seharusnya kita sebagai pengguna perlu terlebih dahulu bijak dalam menilai dan menerima berita atau maklumat tersebut dan kita berhak untuk mempedulikan sahaja mana-mana maklumat palsu yang tidak disahkan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 17/12/2014

Athirah Huda Zalhe, Universiti Sains Islam Malaysia




Transgender: Kekalkan status quo Enakmen Jenayah Syariah

MAHISAN ASWADI AHAMED | .
Sebagai rakyat yang menjunjung prinsip Demokrasi Raja Berperlembagaan, kami menghormati keputusan Mahkamah Rayuan menerima deklarasi hak golongan transgender sebagai hak minoriti di negara ini. Sungguhpun begitu agak mengejutkan, jika Mahkamah Rayuan membuat keputusan membatalkan Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang memperuntukkan kesalahan seorang lelaki Islam berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat awam mengikut undang-undang Islam, dianggap bertentangan dengan peruntukan-peruntukan Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan berhubung perlindungan terhadap hak asasi.

Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah kelangsungan punca kuasa Syariah yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebagaimana negeri-negeri yang lain di Malaysia sama ada negeri bersekutu atau tidak bersekutu, mendapat punca kuasa Agama Islam melalui peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama Islam sebagai Agama Persekutuan di Malaysia. Bagi Undang-Undang diri orang Islam di Malaysia diperuntukkan dengan jelas di dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan manakala Undang-Undang Jenayah Syariah dilaksanakan dengan kawalan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah Syariah) 1965 (Pindaan 1984).

Punca kuasa bagi gubalan, pengwujudan dan pemakaian Undang-Undang Islam di Malaysia diperkukuhkan dengan memartabatkan kedaulatan Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai penaung dan pelindung kepada Agama Islam keseluruhannya. Kedaulatan (sovereignity) ini yang disebut sebagai Raja Berpelembagaan (constitutional monarchy) telah diperuntukkan dengan jelas melalui Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu “hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh Raja sebagai Ketua Agama Islam tidak tersentuh dan tercacat…” begitu juga sebagai menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri-negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 181(1) “….hak kedaulatan, kuasa, bidangkuasa pembesar-pembesar Negeri dan Wilayah mereka masing-masing sebagaimana telah ada dinikmati hingga sekarang adalah tetap tidak tersentuh…”.
Sudah semestinya kelulusan suatu undang-undang di negeri-negeri adalah diluluskan dan diperkenankan oleh Raja atau Sultan sebagai penaung Agama Islam di negeri berkenaan. Oleh itu dengan anggapan Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 telah menafikan hak minority (private morality) dan terbatal menurut Perlembagaan Persekutuan, adalah satu keputusan yang tidak masak jika dibandingkan dengan Undang-Undang Syariah Islam dalam hal ini.

Atas kebijaksanaan pemimpin negara, intelek undang-undang dan agamawan di negara kita, mereka telah mengharmonikan Undang-Undang Islam dan Sivil yang bertujuan mengelakkan sebarang percanggahan bidangkuasa yang boleh mengelirukan rakyat. Justeru, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda (tahun 1988) bagi memberi ruang yang lebih selesa kepada pelaksanaan Undang-Undang Syariah di negara ini, dan pada masa yang sama mengekalkan kredibiliti Undang-Undang Sivil di negara ini dengan mewujudkan peruntukan 121(1) bagi punca kuasa ekslusif Mahkamah Sivil manakala Perkara 121(1)(A) sebagai punca kuasa ekslusif Mahkamah Syariah. Ini berdasarkan pengalaman bidang kehakiman di Malaysia berhubung konflik (conflict interest) di antara Sivil dan Syariah. Di antara contoh yang biasa dinyatakan oleh Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim iaitu kes Mariam lawan Mohd Arif (1971) 1 MLJ 265 iaitu berhubung konflik hak jagaan anak, kes Ainan lawan Syed Abu Bakar (1939) MLJ 201 berhubung kesahtarafan anak yang lahir empat bulan selepas berkahwin di mana Mahkamah Tinggi mengiktirafnya menurut Seksyen 112 Ordinan Keterangan (Akta Keterangan) dan kes Tg. Mariam lawan Commissioner For Religious Affairs Terengganu (1970) 1 MLJ 222 yang mana tanah wakaf oleh Tg. Chik adalah tidak sah oleh Mahkamah Tinggi mengikut keputusan Majlis Privy dan banyak lagi kes-kes seumpamanya.

Sebagai umat Islam yakin, bahawa untuk menjadi seorang Muslim yang sejati iaitu baik aqidah, akhlak dan amalannya maka syariat dijadikan sebagai pengawal semulajadi yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 semestinya diperuntukkan dengan menitikberatkan akhlak dan akidah sebagai dasar dengan tujuan mengawal tingkah laku penganutnya yang beragama Islam daripada melakukan perkara songsang dan bercanggah dengan hukum syarak. Oleh sebab itulah berpakaian seperti wanita atau berlagak seperti wanita oleh seorang lelaki Islam dianggap sebagai satu kesalahan jenayah syariah, kerana ianya telah bertentangan dengan disiplin akhlak Islamiah itu sendiri. Perlu jelas bahawa Islam tidak sekali-kali menentang hak kebebasan sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi kebebasan hak asasi di dalam Islam adalah kebebasan hak asasi terpandu dan terarah dengan kawalan Al-Quran, al-Sunnah, ijmak ulama' dan qiyas. Hadith Nabi SAW dari Ibn Abbas r.a. menyatakan :

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنْ النِّسَاءِ وَقَالَ أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ وَأَخْرَجَ فُلَانًا وَأَخْرَجَ عُمَرُ فُلانًا
Maksudnya: "Nabi s.a.w mengutuk (melaknat) lelaki yang bersifat kewanitaan dan wanita yang bersifat kelakian, dengan sabdanya: "Keluarkanlah mereka daripada rumah-rumah kamu." Ibn ‘Abbas menambahkan lagi: "Maka Nabi s.a.w telah mengeluarkan si fulan, dan Umar juga telah mengeluarkan si fulan." (Hadith riwayat Bukhari).

Hadith ini menetapkan bahawa, tindakan yang boleh dilakukan terhadap golongan transgender ini adalah dengan dengan mengeluarkan mereka daripada rumah-rumah orang Islam. Bahkan, dikukuhkan lagi dengan tindakan Umar al-Khattab r.a. yang telah mengeluarkan salah seorang daripada golongan ini. Berdasarkan kepada perbincangan ulama, maksud 'mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kamu', adalah merujuk kepada tindakan untuk menjauhkan golongan transgender daripada bergaul dengan orang-orang Islam. Kemungkinan tindakan itu adalah dengan membuang daerah atau negeri, di mana si fulan itu tidak boleh bergaul rapat dengan masyarakat sekeliling yang dikenalinya lagi. Fulan yang dimaksudkan dalam hadith itu adalah seorang lelaki pondan yang sering bergaul rapat dengan wanita. Lelaki tersebut cenderung berperwatakan dan mempunyai tabiat seperti seorang wanita dengan cenderung untuk bercakap lemah lembut, mampu menceritakan gambaran wanita, berbicara dan beramah mesra serta menghabiskan waktu bersama dengan kaum wanita berbanding lelaki. Kecenderungan dan perilaku lelaki pondan sedemikian, memberi kesan yang buruk kepada wanita, jika mereka terus bersama kerana ia boleh menimbulkan banyak fitnah dan menjerumuskan kepada perkara negatif.

Oleh itu, Undang-Undang Jenayah Islam yang wujud di negeri-negeri adalah sebagai perisai dan pelengkap kepada kesahan (legitimasi) sekatan kebebasan hak asasi manusia mengikut kehendak dan acuan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana tidak ada sebarang masalah ketara berhubung pelaksanaan Akta Hasutan 1948, Akta Polis 1967, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan lain-lain lagi yang sememang diwujudkan dengan matlamat mengawal tingkah laku rakyat Malaysia bahkan begitu jugalah dengan kewujudan Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 dengan tujuan yang sama ia diwujudkan dan dikuatkuasakan.

Justeru, bersetuju dengan maklumbalas Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak, Yg Bhg Dato Seri Harussani Zakaria, menjadi harapan kami untuk terus melihat pelaksanaan Undang-Undang Islam dan Sivil di Negara ini berjalan secara harmoni tanpa sebarang konflik menurut bidang kuasa masing-masing berlandaskan Perkara 121(1) dan 121(1)(A) Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa Ekslusif Mahkamah Syariah ini perlu dipelihara sebagai menghormati kedaulatan (sovereignity) Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai penaung Agama Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan ini daripada diperlekehkan dan dipermainkan bahkan bagi mengelak kekeliruan umat Islam di Negara ini. Kembalikanlah hak dan bidang kuasa Mahkamah Syariah menurut Perlembagaan Persekutuan dan kekalkan status quo Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang masih lagi berada dalam kawalan (remote) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984). Biarlah Undang-Undang Islam di Malaysia ini bebas dilaksanakan dan dikuatkuasakan mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, bukannya membatalkannya yang boleh membawa banyak keburukan kepada majoriti umat Islam di negara Malaysia tercinta ini.

*Penulis adalah Presiden Kelab Generasi Dinamik 2014/2016

Sumber HD - 10-11-2014

Mengenal potensi Gen-Y yang boleh digilap

HARAKAHDAILY | .

Premis Pertama

Mendengar sebelum memperdengarkan merupakan satu prinsip asas yang boleh membawa kejayaan seseorang manusia dalam berinteraksi dengan manusia lain. Prinsip ini amat berkaitan dengan pengamalan sifat cuba memahami sebelum meminta difahami oleh orang yang lain.

Premis Kedua

Kepelbagaian kaedah mestilah sesuai dengan kepelbagaian situasi yang ingin dipraktikkan kaedah tersebut. Pemahaman ini akan membawa kita mencapai matlamat jauh lebih mudah dan tidak perlu bersiaran ulangan setiap kali.

Kedua dua premis di atas jika diletakkan penggunaannya terhadap masyarakat Gen-Y sekarang amatlah bertepatan namun tidak mudah untuk dicapai.

Mengenal latar belakang Gen-Y

Bijak dan Mahir IT
Mengutamakan Keluarga
Mementingkan Pencapaian
Bergerak dalam Kumpulan
Memerlukan Perhatian dan Pengiktirafan

Melihat kepada ciri-ciri umum Gen-Y ini, kita terlebih dahulu mestilah memperakui bahawa, dalam mana-mana bidang, baik profesional, badan bukan kerajaan, pertubuhan, syarikat, kemasyarakatan, hinggalah ke peringkat pentadbiran kini dibanjiri oleh generasi alaf baru ini.

Ketika mana generasi terdahulu dari kelompok Baby-Boomers mula memasuki fasa rehat, dan generasi-X sudah pun memasuki fasa selesa, tenang dan matang, Gen-Y kini merupakan barisan yang bakal menghuni petak hadapan negara amnya. Dan kelebihan mereka ini, dengan sifat yang disenaraikan di atas, ialah walaupun seorang, mereka boleh memperlihatkan kehadiran mereka bagaikan seribu orang. Tidak percaya? Tengok apa boleh mereka buat dengan satu pesanan WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram atau Twitter, dalam jangka masa 20 saat.

Dunia seharusnya memperakui ‘penjelajahan dan penjajahan’ Gen-Y ini terhadap usia bumi akan menjadi semakin pesat dari sehari ke sehari. Dan dunia tidak ada cara lagi untuk melarikan diri dari mereka. Mereka kini adalah sebahagian dari dunia itu sendiri. Dan lagi, jamaah, tidak kiralah parti politik atau bukan, tetap perlu mengakui, generasi ini perlu diberikan perhatian. Cuma persoalannya, apakah kaedahnya? Khususnya buat PAS mengambil manfaat dan menghindarkan kemudharatan generasi ini.

Asas Perbincangan: Memperakui Semua yang lahir pada zaman Gen-Y adalah Gen-Y.

Pegang perkara ini betul-betul. Baik lulusan Jordan, Mesir, Oxford, UKM, UIA, UNISEL SPM, Ijazah, PhD hinggalah kepada yang tidak tahu menggosok gigi, bila sahaja mereka lahir pada zaman Gen-Y, maka mereka adalah Gen-Y. Mereka mempunyai kekuatan dan kelemahan umum trait sosial yang tidak jauh bezanya antara satu sama lain. Ustaz Ahmad Gen-Y tidak boleh merasakan Dr Salleh Gen-Y adalah dari kelompok berlainan. Sedar diri, kalian satu zaman. Memiliki kelebihan dan kekuatan warisan zaman yang boleh menaikkan antara satu sama lain, dan boleh membunuh antara keduanya juga. Sebab itulah kita lihat ada ustaz muda yang baik, ada juga yang menjengkelkan. Ada bukan ustaz yang keras, ada juga yang penuh hemah. Mereka boleh tetap dan tegas berada pada landasan yang mereka percaya.

Ciri Satu: Gen-Y Bijak dan Mahir IT

PAS mestilah turut mahir menggunakan kemahiran ini untuk menarik generasi ini. Dan perlu diingat, kemahiran ini juga boleh memusnahkan jamaah jika tidak pandai dikawal, atau generasi yang amat berkemahiran ini dibiarkan dengan kemahiran mereka tanpa ada tarbiyah. Lantas, PAS mestilah mengawal kemahiran ini akan tidak menjadi senjata makan tuan. Perlu diingat, kemahiran ini boleh berjangkit dengan mudah. Baik kepada si bayi sehinggalah dewasa tidak lagi bergigi.

Generasi ini boleh membantu jamaah dengan kemahiran mereka. Manfaatkan. Dan mereka boleh memusnahkan reputasi jamaah, juga dengan kemahiran IT mereka. Biarpun mereka ustaz, doktor gigi, penoreh getah; tanpa kawalan, jamaah hancur.

Ciri Dua: Mementingkan Pencapaian

Gen-Y sebilangan besarnya kurang peduli dengan kaedah yang diambil, tetapi melihat terus kepada matlamat yang bakal dicapai. Dan gerak kerja mereka akan berterusan ke arah matlamat itu. Jangan tanya bagaimana. Jangan setiap minit bertanyakan kemajuan kerja mereka. Cuma berikan mereka masa untuk melaksanakannya. Dan trofi akan diletakkan di atas meja anda.

PAS mestilah memberikan ruang kepada generasi ini melaksanakan tanggungjawabnya, cuma BERHATI-HATI; pastikan mereka ini diberikan matlamat ataupun objektif yang jelas. Jika tidak, mereka akan terbang tanpa mendarat. Dan penantian kita terhadap hasil kerja mereka akan berakhir dengan senyuman pedih mengetawakan diri. Ambil mereka, berikan objektif yang jelas, jangan ganggu kaedah, cuma berikan sedikit bimbingan dan kawalan, dan biarkan hasilnya datang.

Ciri Tiga: Mengutamakan Keluarga

Dalam bidang profesional, Gen-Y rata-ratanya meletakkan aspek kesetiaan di tangga kedua. Bila bertembung antara mesyuarat dan anak sakit gigi, pasti doktor gigi yang akan tersenyum, kerana mereka akan tidak hadir ke mesyuarat tersebut. Ada pengecualiannya, yakni Gen-Y yang memiliki pengaruh kuat dari generasi sebelumnya; yang dijadikan faktor motivasi. Tetapi bilangan yang sebegini adalah kecil. Dan biasanya mereka akan kahwin agak lewat kerana bercinta dengan kerjaya.

Dalam jamaah, sifat ini diterjemahan dalam kegigihan mereka mempertahankan kelompok yang disukai. Mereka sanggup mati kerananya. Dan kadangkala terbawa-bawa sehingga menguburkan jamaah itu sendiri. Kerana apa? Mereka sayangkan keluarga kecil mereka. Perhatikan sifat ini dan kawallah sewajarnya. Kekuatan ini bakal membawa manfaat kepada jamaah jika ia diterjemahkan kepada kelompok gerak kerja positif yang akan berkhidmat mempertahankan unit kerjanya walau dengan apapun harganya. Dan usaha untuk mempositifkan mestilah bermula dari aura yang positif. Kerana generasi Y ini boleh ‘Google’ niat anda!

Bergerak Dalam Kumpulan Mudah

Ini mudah ditafsir, mereka suka bergerak dalam kehidupan sosial ringan mereka secara berkumpulan. Keluar makan, main badminton, membeli belah, melancong. Dan sebaik sahaja kumpulan sosial mudah ini layak ditakrifkan menjadi keluarga mereka, maka apa yang dihuraikan dalam sifat sebelum ini akan bermula dari sini.

Dalam jamaah, berikan mereka kumpulan yang bakal menjadi keluarga mereka. Biasakan diri dahulu. Jangan letakkan mereka dalam kumpulan yang ‘perasan senior’, atau ‘perasan boleh buat apa sahaja sendirian’. Protégé dari generasi ini tidak akan teragak-agak meninggalkan ‘kumpulan elit’.

Mereka boleh serta merta memilih kumpulan lain yang lebih menyenangkan. Mereka juga boleh memilih untuk tidak memilih pada bila-bila masa. Ingat! Jangan pandang ini sebagai satu keegoan, tetapi pandanglah dari sudut Premis 1 dan Premis 2 di atas. Dan dalam melayan Gen-Y, mereka biasanya adalah berubah topi menjadi pelanggan. Dan siapa yang selalunya betul? Yang pasti, tidak salah kita menarik pelanggan dengan sedikit pengorbanan. Itulah pengorbanan sosial kita demi membentuk sosio-masyarakat baru yang lebih mantap dan berkesan.

Dahagakan Perhatian dan Pengiktirafan

Lihatlah, mi goreng, ikan hangit, pisang goreng, tudung bawal, gigi anak patah, kereta dilanggar kucing, semuanya akan diletakkan di papan kekunci berserta bukti bergambar. Dan selepas itu, mereka akan menyemak setiap 5 saat, berapakah ‘Like’ yang mereka perolehi. ‘Comment’ lebih memotivasikan. Dan begitulah seterusnya. Walaupun wabak ini telahpun menular ke semua generasi, tetapi pemulanya adalah generasi muda Y ini.

Di persekitaran pejabat, jangan risaukan tekanan kerja, generasi muda ini handal mengatasi tekanan. Dan tekanan berupaya membuatkan mereka lebih cemerlang. Mereka pantas. Mereka biasanya tepat dan lebih objektif. Tetapi seperkara yang tidak boleh dilupakan, tepuklah bahu mereka atas hasil kerja mereka. Atau sekadar ‘Good Job Bro’ sudah memadai menjadi tonik untuk hasil kerja seterusnya. Parti jiran kita bijak dalam hal ini. Dan kita hanya tersenyum dalam hati menyaksikan sumbangan mereka. Akhirnya menangis juga kita dalam hati melihat mereka meninggalkan kita, seorang demi seorang.

Gen-Y tidak berkira. Mereka terbuka. Tetapi jika kita berpegang kepada metodologi, “biarlah hanya Allah menghargai hasil usaha anta”, maka bersedialah untuk berdoa agar Allah sepenuhnya akan membantu kita mencari pengganti kepada amilin tersebut. Benar, tarbiyah jamaah menguatkan diri seorang amilin untuk bersifat ikhlas dan redha. Tetapi tidak adakah tarbiyah dalam ajaran Islam untuk memberikan penghargaan kemanusiaan kepada hamba Allah lain yang telah berbakti untuk kita? Bukalah minda. Sahabat sahabat komponen lain dan parti di seberang sana sudah lama melihat kepada aspek ini. Tetapi PAS, masihkah ingin berputar di sempadan ekslusif sendiri dengan kaedah zaman lampau; yang tidaklah salah, namun kini tinggallah ia sejarah untuk diarkibkan.

Pengamatan Sosial

Wahai Parti Islam Se-Malaysia, kita tidak ketinggalan, tetapi dengan kekal berada pada status ‘tidak ketinggalan’ ini, tidak memungkinkan kita maju. Jauh di luar sana, potensi kader dakwah berjumlah jutaan. Potensi pengundi berjumlah jutaan yang lain. Kita punya generasi yang boleh memanfaatkan jamaah. Tetapi kita biarkan generasi ini bergabung dengan sifat negatif, ditambah pula dengan kedegilan kita untuk berubah, lantas mencambahkan perdebatan dalaman yang disensasikan yang tidak menguntungkan jamaah walaupun satu undi, tetapi menjauhkan kita bukan sahaja dari pengundi, tetapi mad’u kita.

Generasi ini, jika kita bercakap tentang alatan memotong, mereka adalah mesin pengisar pelbagai jenama yang fungsinya tetap mengisar. Pantas, cekap dan tepat. Namun pengendalian yang tidak betul, mereka tidak segan silu memotong apa sahaja termasuk tangan tuannya. Melainkan dimasukkan ciri keselamatan yakni pemerhatian, kawalan dan tarbiyyah. Dan mesin ini jangan digunakan untuk mengisar sahaja, perlu dibersihkan sekali-sekali, bagi mengelakkan keladaknya mengganggu fungsi sebenar.

Penutup

Akhir kata, letaklah taraf jamaah kita ini pada tempatnya. Tutuplah pintu bilik tidur, berhubunganlah secara sihat, sesudah itu, jenguklah ke luar tingkap melihat jiran sebelah. Dan keluarlah pagar rumah untuk berubah. Kecualilah kita ingin terus kekal tinggal di dalam rumah setinggan, di persekitaran perumahan elit mahligai bertingkat, dan menjerit-jerit meminta mereka mengasihani kita.

Ya Allah, bantulah jamaah kami, melihat keutamaan mengikut zaman. Dan melihat zaman mengikut keutamaannya. - HARAKAHDAILY 19/10/2014

Sumber HD - 19-10-2014

No comments:

Post a Comment