Sahabat itu bertanya setelah dia membaca laporan media baru-baru ini bahawa Nurul Izzah Anwar telah memfailkan saman fitnah terhadap KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan menuduhnya sebagai penderhaka kepada negara. Dalam saman fitnahnya itu, Nurul Izzah telah menamakan Khalid dan Ismail Sabri sebagai defendan pertama dan defendan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif (Nurul Izzah) mendakwa bahawa pada 22 November 2015 lalu defendan pertama telah mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. Kenyataan yang dikatakan fitnah itu dibuat oleh defendan pertama selepas gambar Nurul Izzah bersama Jacel Kiram disiarkan dalam media sosial.

Jacel Kiram adalah anak perempuan Jamalul Kiram III yang dipercayai bertanggungjawab merancang dan mengarahkan satu serangan dan pencerobohan oleh 200 orang Royal Sulu Army ke atas Sabah pada Februari 2013 lalu. Dalam insiden berdarah itu, 10 anggota polis dan keselamatan negara kita terbunuh.

Plaintif mendakwa bahawa dalam makna asal atau makna biasa, apa yang diucapkan oleh defendan pertama itu bermaksud dia (plaintif) seorang penderhaka kepada negara.

Plaintif juga mendakwa bahawa pada hari yang sama, defendan kedua telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di Bera, Pahang yang dalam makna asal atau biasa bermaksud beliau ialah seorang penderhaka kepada negara dan telah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut plaintif lagi, kenyataan defendan pertama dan kedua itu diterbitkan dan disiarkan di media elektronik dan cetak. Disebabkan siaran kenyataan fitnah oleh kedua-dua defendan itu, plaintif mendakwa reputasinya sebagai seorang Ahli Parlimen dan pemimpin politik terjejas teruk. Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada Jumaat 27 November lalu, Nurul Izzah dipanggil oleh Bukit Aman untuk disiasat berhubung pengambilan gambarnya dengan Jacel. Semasa berada di luar Ibu Pejabat polis itu, dia memaklumkan kepada warga media bahawa dia bukan seorang penderhaka kepada negara.
Nurul Izzah berkata, dia sayang negara ini dan akan mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian Malaysia. Dia turut menegaskan dia datang secara sukarela ke Bukit Aman untuk menjawab semua soalan mengenai pengambilan foto yang dimaksudkan.

Nurul Izzah kemudian memberitahu warga media di situ bahawa dia menghadiri satu jamuan makan (public dinner) yang dihadiri ramai orang. Dia juga telah bergambar dengan ramai orang, bukan hanya dengan Jacel Kiram.

Mengenai poster Anwar Ibrahim dan sepanduk yang menggesa Anwar dibebaskan, Nurul menyatakan benda-benda itu telah dibuat dan disediakan oleh tuan rumah yang menganjurkan jamuan makan itu.

Pada Sabtu lalu, saya sempat meneliti kandungan Facebook Jacel di ruang siber dan dapat melihat sendiri gambar Jacel dengan Nurul memegang poster berkenaan, juga gambar Nurul Izzah dengan beberapa orang lain yang turut hadir di jamuan makan itu.

Disebabkan isu ini sudah menjadi perkara siasatan polis, tidak wajar bagi saya membuat sebarang kesimpulan atau inferensi sewaktu ini. Biarlah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan seperti biasa dan mengambil tindakan sewajarnya selepas itu mengikut lunas undang-undang.

Sementara itu, pada 26 November lalu, Dewan Undangan Negeri Sabah sebulat suara meluluskan satu usul mengharamkan Nurul Izzah dan Tian Chua memasuki Sabah. Usul tersebut dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymon Tan.

Tian Chua pernah dilarang memasuki Sabah pada April 2013, manakala Nurul Izzah pernah dilarang memasuki Sabah pada Mei 2013. Kuasa menghalang sesiapa dari semenanjung memasuki Sabah terletak kepada Ketua Menteri Sabah.

Satu laporan Bernama pada 26 November lalu menyatakan Nurul Izzah ada membuat permohonan maaf kepada rakyat selepas gambarnya bersama Jacel mendapat kritikan manakala Tian Chua pula menafikan beliau adalah dalang dalam pertemuan itu.

Sementara itu, mengulas tindakan Nurul Izzah memfailkan saman terhadapnya, defendan pertama berkata, itu adalah hak Nurul Izzah untuk memfailkan saman.

“Dia boleh saman tetapi siasatan (mengenai pertemuan itu) tetap dijalankan,” katanya.
Kembali kepada soalan sahabat kepada saya minggu lalu itu, sementara saman fitnah Nurul Izzah terhadap kedua-dua defendan itu bukan sesuatu yang aneh atau luar biasa, kegiatan pihak-pihak tertentu yang berjaya mendapatkan penglibatan Jacel bergambar bersama Nurul Izzah mempamerkan sepanduk menggesa Anwar dibebaskan dengan tujuan ia disiarkan di media sosial adalah sesuatu yang luar biasa.

Pastinya menyediakan bahan-bahan itu memerlukan persiapan awal yang rapi dan tidak berlaku secara spontan. Perbuatan itu dilihat oleh rakyat negara ini sebagai satu campur tangan dalam urusan pentadbiran kehakiman negara ini.

PROF. SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang.