Apa yang dikesali, dua daripada tiga ahli Bebas yang menandatangani kenyataan NGO itu
adalah orang Melayu Islam kita sendiri! Secara peribadi, saya berasa amat terkejut dengan pemikiran sedemikian yang seolah-olah cuba mensabotaj agama sendiri.

Tidak pasti jika mereka terbabit terlalu dungu untuk memahami bahawa RUU 355 jelas tidak melibatkan bukan Islam, justeru kenapa mereka amat beria-ia menentang pindaan Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355?

Pada hemat saya, ada dua kelompok mereka yang menolak pindaan RUU 355. Pertama ialah
orang kafir dan kedua ialah Muslim liberalis. Kelompok pertama jelas mengapa mereka
menolak pindaan itu. Begitupun, kelompok kedua tidak kurang bahaya kerana mereka
sanggup melakukan sesuatu yang merendahkan martabat Islam demi cita-cita palsu.

Selama ini mereka ‘menjaja’ bahawa RUU 355 berkaitan hudud dan mereka membencinya
kerana hudud adalah syariat Islam. Hakikatnya, mereka menolak semua usaha untuk memartabatkan Islam di bumi Malaysia sedangkan tiada alasan kukuh mengapa mereka
menolak setakat ini.

Saya juga mahu mengulas gesaan Bebas agar semua wakil rakyat mengundi ‘tidak’ terhadap
usul pindaan RUU 355 yang akan dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan mahkamah syariah pada sidang Parlimen Mac ini.

Perlu ditegaskan RUU 355 bukan undang-undang baharu dan pindaan dibuat cuma melibatkan pertambahan dari segi hukuman bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dan sistem
perundangan Syariah Islam.

Antara lain pindaan berkenaan pengurusan dan pentadbiran undang-undang syariah yang
selama ini mengawal dan mengurus hal ehwal umat Islam yang berhubung kait dengan amalan
dan pegangan agama mereka.

Akta itu sama sekali tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Justeru mereka tidak
perlu takut dan boikot sidang Parlimen pada Mac ini.

Sebagai golongan cerdik pandai, mereka seharusnya bersikap terbuka dan tidak membuta tuli menuduh tanpa memiliki fakta benar untuk menentangnya.

Sebagai sebuah parti Islam, Pas tentunya meletakkan harapan tinggi agar usaha itu disokong
dan menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya usul itu diangkat oleh kesemua ahli-ahli Dewan beragama Islam bagi membuktikan kesatuan Muslim di negara ini.

Pun begitu, salahkah jika umat Islam yang juga majoriti penduduk dalam negara ini mahu mengamalkan agama Islam menurut fahaman dan kepercayaan mereka? Apatah lagi hak itu terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan khasnya dalam Perkara 3 dan Perkara 11 
undang-undang tertinggi Malaysia.

Usul ini akan dibuka untuk perbahasan dan jika ada kalangan ahli-ahli Dewan beragama Islam merasakan usul itu perlu penambahbaikan untuk memperkemaskannya, maka manfaatkan sesi perbahasan itu untuk mengemukakan cadangan.

Kita tentu berasa sedih di saat peluang dibuka untuk orang Islam memartabatkan agama
tercinta ini, tiba-tiba ada wakil rakyat Islam bersekongkol dalam menggagalkannya sekali gus sealiran dengan penentang usul ini.

Suka tidak suka, tindakan itu sama dengan tindakan menentang Islam kerana tidak mahu
melihat perkembangan dan kemajuan amalannya dalam negara. Demi memelihara maruah dan kesucian Islam, sepatutnya kesemua wakil rakyat Islam tidak kira dari parti mana sekali pun
wajib sokong penuh usul tersebut.

Perlu ditegaskan, usul RUU 355 itu bukannya usul Pas atau usul Abdul Hadi walaupun dibawa
oleh Presiden Pas tetapi sebenarnya ia perlu dilihat sebagai usaha kita bersama untuk membela
dan memperjuangkan Islam dalam negara ini.

Setelah hampir 60 tahun merdeka, hari ini kita diberi peluang untuk menyumbang ke arah melaksanakan jika tidak pun sepenuhnya tetapi sebahagian daripada hukum dan peraturan yang diperintahkan Allah SWT ke atas kita. Apakah kita mahu melepaskan peluang ini atau kita
memilih untuk menentangnya?

HAJI BUKHARI
Kota Bharu, Kelantan

Sumber TKO - 26-2-2017

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------