Begitulah agaknya kesakitan yang ditanggung oleh seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia kerana dipercayai didera oleh sekumpulan rakannya.

Apakah yang menyebabkan pelajar dan remaja menjadi semakin liar, ganas sehingga sanggup membunuh rakan sendiri? Persoalan yang melingkari pemikiran kita, mengapakah kes buli ini terjadi lagi?
Pemimpin selalu mengatakan budaya buli atau ragging yang menjadi amalan di sekolah, pusat pengajian tinggi dan pusat latihan tidak lagi sesuai dipraktikkan pada masa sekarang. Kerajaan akan terus memastikan kegiatan buli yang kerap berlaku di tempat sedemikian tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

Hari ini terbukti langkah-langkah dan pendekatan yang diambil selama ini belum berkesan.

Kalau tidak bulan demi bulan, hampir setiap tahun kita akan mendengar dan membaca berita tentang buli yang semakin ganas hingga mengorbankan nyawa orang yang kena buli.

Cerita derita yang menimpa mangsa adakala menimbulkan dendam dari generasi ke generasi yang lain.

Setiap tahun ada sahaja cerita budak asrama kena buli. Lebih menggemparkan seluruh negara apabila ada kes pukul dan belasah oleh pelajar senior ke atas pelajar junior tidak kira usia.

Faktor utama adalah kerana si pembuli merasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan juga fizikal. Dengan perkataan lain, pembuli membuli orang lain sekadar untuk ‘berseronok’. Lebih seronok bila ramai kawan yang ‘join’ bersama. Kalau ditangkap, bukan dia seorang yang kena tuduh.

Ada kajian mengatakan, kebanyakan mereka yang membuli tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dengan ibu bapa dan kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat tentang pendidikan agama. hal ini tidak betul juga sebab pernah pelajar sekolah agama dibuli hingga mati.

Kisah buli bagaikan tiada pengakhirannya. Biasanya kalangan kaum ibu amat tersentuh apabila membaca kisah buli di asrama. Mereka lebih terasa sedih apabila aksi belasah dan buli itu ditunjukkan dalam bentuk video yang menjadi ‘tular’ dalam Internet dan telefon bimbit canggih melalui laman sosial.

Identiti

Biasanya umur sekitar 13-17 tahun adalah masa remaja mencari identitinya. Pada masa ini remaja sedang berusaha untuk menonjolkkan dirinya dialam kalangan rakan. Itu adalah fitrah biasa.

Malangnya ada juga remaja di peringkat pengajian tinggi juga gagal untuk menonjolkan dirinya secara positif. Akhirnya anak remaja ini berusaha bersungguh-sungguh menonjolkan diri mereka sebagai juara dalam melanggar undang-undang pusat pengajian.
Anak remaja ini berasa bangga apabila berani mencuba menghisap rokok, berani mencuri, berani mempunyai teman wanita, berani mencuba pil ekstasi, berani ambil dadah, gam, syabu dan yang paling parah ada yang berani meninggalkan solat.

Apa yang saya sebutkan ini berdasarkan pengalaman tinggal di sekolah berasrama penuh sejak berusia 12 tahun. Saya tinggal di sekolah yang dihuni ‘pakwe dan makwe’ di Cheras, Kuala Lumpur. Saya juga pernah lebih setahun tinggal di asrama sekolah berasrama penuh yang dihuni ‘balak’ sahaja di Ipoh.

Buli bagi saya ada kesan buruk (negatif) dan baik (positif). Pada zaman saya di asrama sekitar pertengahan 1970-an, amalan raging atau buli sebenarnya sudah diharamkan oleh Kementerian Pendidikan.

Kami pelajar tingkatan satu yang baru masuk sekolah menengah dan tinggal di asrama penuh rasa amat bertuah.

Tetapi jangan ingat perbuatan buli tidak berlaku. Dari semasa ke semasa ada sahaja pelajar tingkatan satu dipanggil oleh abang senior ke dorm (bilik asrama) mereka.

Dalam kesempatan yang dinamakan minggu orientasi itulah ada yang ambil kesempatan. Tidak kurang junior diminta urut badan abang senior. Ada juga yang disuruh melakukan aksi lucah, untuk hiburan abang-abang itu. Tahap buli fizikal dilarang, ataupun mereka pun takut perbuatan itu diadukan kepada pihak sekolah. Tetapi ada juga yang balik ke dorm dengan mata merah dan kesan lebam.

Amalan buli ini akan berulang apabila pelajar junior pula menjadi senior. Percayalah, amalan ini juga dilakukan oleh pelajar perempuan.

Tetapi entah mengapa, apabila bertemu dalam majlis alumni sekolah, kami menjadi rapat terutama kalangan pemain ragbi sekolah. Kelab ragbi alumni sekolah menyatukan kami - pelajar sesi pertama (perintis) sehingga yang di bawahnya.

Apabila kami menjadi pelajar tingkatan lima, maka giliran kami pula bergelar ‘taiko’ asrama dan sekolah. Baru saya tahu, rupa-rupanya mana-mana pelajar yang nampak ‘berlagak’ tak akan selamat. Ada yang diminta basuhkan baju dan seluar satu baldi besar.
Ada yang disuruh ke kantin sekolah membeli air bungkus dan makanan, yang jaraknya 100 meter dari asrama. Pelajar yang nampak lembut pun tak selamat, ada cara mereka kena buli.

Sekali lagi saya tegaskan, antara pelajar yang mendera dan kena dera – akhir menjadi sahabat karib– macam adik dengan abang.

Tetapi ada juga yang tak akan selamat terutama mereka yang dituduh mencuri. Di asrama cara siasatannya lain.

Kehidupan di asrama bagi saya membina jati diri dan berdikari. Dalam usia 12 tahun sudah berpisah dengan ibu bapa dan adik-beradik. Perasaan kasih sayang daripada ibu bapa bagaikan terputus kecuali musim cuti sekolah.

Sebab itu apabila kisah buli dan dera pelajar di asrama berlaku, memang ibu bapa akan cepat terasa risau dan bimbang tentang keselamatan anak masing-masing. Tetapi kebimbangan itu hanya seketika - apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, ramai ibu bapa mahu anak mereka juga belajar di sekolah berasrama penuh.-U/M

Sumber TKO - 5-6-2017