BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Friday, February 26, 2016

ISU PENDATANG ASING

62,153 etnik Rohingya di Malaysia setakat 30 September
Posted on Monday, November 13 @ 18:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AnisahOmar

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36693&mode=thread&order=0&thold=0



KUALA LUMPUR - Sejumlah 62,153 etnik Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) setakat 30 September lalu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, daripada jumlah itu, 53,811 adalah pelarian manakala 8,342 adalah pemohon suaka.

"Untuk tempoh yang sama juga, seramai 2,061 etnik Rohingya telah ditempatkan ke negara ketiga oleh UNHCR," katanya menjawab soalan Datuk Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu penganiayaan terhadap Rohingya serta statistik terkini pelarian etnik itu di negara ini.

Bagaimanapun Shahidan berkata, maklumat taburan etnik itu berdasarkan negeri masih belum diterima daripada suruhanjaya tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha menangani isu Rohingya termasuk membuat gesaan terhadap kerajaan Myanmar berhubung penganiayaan etnik itu dalam forum serantau antarabangsa ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). - Bernama

Sumber TKO - 14-11-2017


Sukarkah ambil anak angkat Syria atau kahwini gadisnya?

Posted on Tuesday, April 19 @ 03:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



BERKULIT putih,  bermata hijau itulah rata-rata rupa paras anak-anak Syria, maka tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia yang tertarik untuk mengambil anak-anak Syria ini untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Selain mempunyai sifat empati terhadap anak-anak comel yatim piatu ini dek kerana peperangan yang melanda negara mereka menjadi faktor ‎ramai rakyat Malaysia ingin memiliki anak-anak ini untuk dibawa pulang ke Malaysia untuk dipelihara.

Namun, mungkin hasrat rakyat Malaysia itu terpaksa dilupakan kerana sepanjang temuramah Sinar Harian dengan ibu bapa pelarian Syria di Jordan serta pengalaman ‎rakyat Malaysia di Jordan hasrat tersebut sangat sukar direalisasikan.

Menurut Ketua Biro Kemanusiaan Haluan Siswa Jordan, ‎Muhammad Sheikh Zaki berkata, dia pernah beberapa kali diminta oleh rakyat Malaysia untuk mengambil beberapa orang anak Syria untuk dijadikan anak angkat namun pada saat akhir hasrat tersebut terpaksa dilupakan dek kerana beberapa kekangan.

"Ada orang kaya Malaysia yang minta saya tolong carikan anak angkat Syria di kem pelarian Syria di Jordan.

"Namun di saat akhir si empunya ‎permintaan (orang kaya) tersebut terpaksa membatalkan hajatnya," katanya kepada Sinar Harian.

Faktor kesukaran

‎Jelas Muhammad faktor rakyat Malaysia menarik diri adalah kerana kesukaran keluarga mereka untuk melepaskan anak-anak mereka di tangan orang luar.

"Dari segi undang-undang insya-ALLAH kita boleh selesaikan walaupun berhadapan dengan cabaran yang agak mencabar, kerana kita kena melalui banyak proses.

"Yang kes rakyat Malaysia itu, apa yang membuatkan dia membatalkan hasrat adalah kerana jika dia mahu mengambil anak angkat itu dia perlu membawa sekali keluarga terdekat atau sebuah keluarga itu untuk dijaga di Malaysia.

"Dari satu segi saya melihat bahawa walaupun mereka susah namun kasih sayang antara mereka tidak boleh dipisahkan," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata,  keluarga Syria kini juga berhati-hati untuk memilih keluarga untuk mengambil anak angkat.

‎"Ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak pelarian ini, jadi kini mereka lebih berhati-hati," katanya lagi.

Kahwini gadis Syria

Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana caranya untuk mengahwini gadis-gadis Syria, Muhammad berkata, keluarga Syria sangat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang berhasrat mengakhiri gelaran bujang dengan gadis Syria.

"Mereka sangat mengalu-alukan," katanya.

Sementara itu, menurut Muhammad dia menasihati agar mereka yang berhasrat memiliki gadis Syria agar bersikap jujur dan mempunyai kewangan kukuh.

"Apa yang keluarga mereka tanya adalah, adakah mereka mampu untuk menjaga anak mereka.
"Daripada segi duit hantaran dan sebagainya mereka boleh berbincang dengan keluarga tersebut," katanya.

Sinar Harian kini bersama  NGO Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Astro Prima memulakan misi ke kem pelarian Syria  di Jordan yang mengambil  masa selama 11 hari di bumi Jordan bermula 12 April lalu.

Ketiga-tiga agensi ini yang disatukan dalam satu tim, ke kem pelarian Syria di Jordan adalah bagi memberi sumbangan berbentuk ubat-ubatan, makanan dan sumbangan yang lain.

Kira-kira 10 orang krew yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut iaitu terdiri daripada Penerbit Program Hajat Astro Prima,  Azmee Mahmud; Pengarah Hajat Musim ke-5, Lokman Hakim Mustapha; Pengacara Hajat Musim ke-5 Pencetus Ummah, PU Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil; Pengacara bersama, PU Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi; dua orang doktor daripada NGO (HALUAN) iaitu Ketua Biro Kemanusiaan, Dr Baharuddin Suri; ‎Ketua Unit Latihan Biro Kemanusiaan, Dr Mohtar Ibrahim; Aktivis Kemanusiaan Haluan, Muhammad Qawiem bin Abdul Baki; Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan Haluan, Muhammad Shakir Sabarudin; Aktivis Kemanusiaan Haluan yang juga merangkap Jurugambar Haluan, Abdullah Afiq Nashiron dan wartawan Sinar Harian, Muhammad Shamsul Abd Ghani.

Sumber TKO - 19-4-2016





Rehiring: Ulangi kegagalan 6P, isu Pati tidak selesai

HARAKAHDAILY | .


Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin lepas telah mengumumkan bahawa Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) yang dilaksanakan bermula pada 15 Februari 2016 lalu dan sepatutnya tamat pada 31 Disember 2016 akan dipendekkan tempohnya sehingga 30 Jun 2016 sahaja.

Saya telah memberikan respons berkenaan isu ini ketika membahaskan titah Seri Paduka Baginda YDPA pada Selasa, 15 Mac yang lalu dan diharapkan ia diberikan perhatian oleh Kerajaan.

Tempoh yang dipendekkan ini berkemungkinan bertujuan untuk memberikan tekanan kepada para majikan agar segera mendaftarkan PATI yang berkerja dengan mereka. Majikan juga diingatkan supaya berbuat demikian bagi mengelakkan daripada didenda dan dipenjarakan.

Melihat kepada jumlah PATI yang didaftarkan menerusi program ini setakat 10 Mac lalu iaitu berjumlah 15,822 orang sahaja sedangkan dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini termasuk 2.1 juta orang daripadanya yang memiliki permit kerja yang sah dan 4.6 juta orang lagi berstatus PATI, saya berpendapat bahawa Program Rehiring ini bakal mengulangi kegagalan Program 6P yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Polisi kedua-dua program ini sendiri juga sebenarnya dari awal telah gagal untuk menyelesaikan isu sebenar iaitu lambakan pekerja asing di negara ini yang berjumlah 6.7 juta orang iaitu mengatasi bilangan kaum Cina yang berjumlah 6.64 juta orang dan juga kaum India yang berjumlah 2.01 juta orang sekaligus menjadikan kumpulan ini merupakan populasi kedua terbesar selepas kaum Melayu yang berjumlah 15.5 juta orang.

Hakikatnya, sejak pengenalan Program 6P bahkan sebelum itu lagi telah ada program pengampunan PATI yang dilaksanakan pada tahun 1989, 1991, 1996 dan 2004; dan kini pula Program Rehiring, jumlah pendatang asing ke negara ini tidak pernah surut bahkan semakin bertambah pula.

Ini menunjukkan bahawa program seumpama ini gagal menyelesaikan lambakan pekerja asing dan lebih cenderung untuk menggalakkan lagi kemasukan pendatang asing ke negara ini khususnya secara haram. Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan jumlah warga asing di negara ini saban tahun.

Sepatutnya Kerajaan menyelesaikan masalah penyelewengan, struktur dan bentuk ekonomi yang melibatkan pekerja asing serta butiran dan pelaksanaan polisi-polisi berkaitan yang mengelirukan; bukannya mengambil kesempatan daripada program-program pemutihan seumpama ini untuk mengaut keuntungan menerusi caj atau bayaran dan levi.

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
18 Mac 2016 | 9 Jamadilakhir 1437 - HARAKAHDAILY 18/3/2016

Sumber HD - 18-3-2016



IOI City Mall Hampir Lumpuh, Lebih 200 Pekerja Asing Ditahan

Posted on Friday, March 18 @ 07:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



PUTRAJAYA: Operasi sebuah medan selera dan beberapa premis makanan di pusat membeli-belah IOI City Mall, di sini, hampir lumpuh apabila lebih 200 pekerja asing ditahan dalam serbuan mengejut Jabatan Imigresen Putrajaya, malam tadi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat, yang menyertai operasi itu berkata kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial, tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah.

“Dalam serbuan yang bermula pukul 8 malam, seramai 120 anggota dan pegawai Imigresen terlibat dalam pemeriksaan ke atas kira-kira 150 premis dan lebih 500 pekerja asing.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Menurutnya kesemua yang ditahan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Masir berkata Imigresen akan terus mempergiatkan operasi di seluruh negara untuk mengesan, menahan, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Katanya, sejak 1 Jan hingga 15 Mac tahun ini, sebanyak 2,418 operasi telah dilaksanakan dan seramai 42,605 warga asing telah diperiksa.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 12,473 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 276 majikan serta dua ejen telah ditahan.

Tangkapan tertinggi melibatkan warga Indonesia iaitu 4,003 orang, Bangladesh (2,936), Filipina (1,736), Myanmar (1,244), Thailand (504), Nepal (481), Vietnam (426), Pakistan (408) dan bakinya adalah dari negara-negara lain.

- Bernama

Sumber TKO - 18-3-2016




Pekerja asing: Zahid mesti kota apa yang dikata

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa muktamad kerajaan tidak akan mengambil 1.5 juta pekerja Bangladesh. 

"Kita mengharapkan supaya TPM kota apa yang dikata," ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, kenyataan itu jangan kerana hanya untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak tidak berapa lama lagi atau untuk menyejukkan keadaan yang dimarah oleh berbagai pihak terutama kesatuan sekerja dan media sosial ketika pengangguran dan pembuangan kerja dalam kalangan penduduk tempatan semakin serius.

Beliau berkata, satu ketegasan mesti dibuat oleh kerajaan mengenai pekerja asing.

Menurutnya, memandangkan banyak sektor yang boleh melibatkan orang tempatan kecuali di sektor 3D (kotor, bahaya dan susah), maka kerajaan tidak perlu lagi kepada tenaga buruh asing.

Tambahnya, mereka perlu dihantar balik ke negara mereka dan ditempatkan penduduk tempatan di sektor tersebut.

"Rakyat mahu ketegasan dan penjelasan tentang status perjanjian persefahaman (MoU) Bangladesh dan Malaysia pada pertengahan Februari 2016  untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun," ujarnya lagi.

Katanya, perjanjian ditandatangani di Dhaka antara Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh Nurul Islam.

Beliau berkata, berdasarkan perjanjian itu, mekanisme penghantaran pekerja akan dibuat berdasarkan sistem G2G Plus.

"Apakah MoU itu terbatal begitu sahaja? Apa reaksi di pihak kerajaan Bangladesh.

"Apakah kerajaan dikenakan apa-apa bayaran ganti rugi kerana membatalkan MoU ini?" tanya Ahli Parlimen Bukit Gantang itu. - HARAKAHDAILY 13/3/2016

Sumber HD -13-3-2016




Benarkah gaji pekerja asing kecil?





AZIZ MUDA | .


KUALA LUMPUR: Pihak Kerajaan Umno-BN didesak supaya melakukan penyelidikan dan pemantauan yang lebih terperinci dan menyeluruh terhadap gaji pekerja asing di negara ini yang dikatakan lebih rendah berbanding pekerja tempatan, sehingga mendorong kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh tiga tahun pada masa akan datang.

Tinjauan rambang yang dilakukan oleh pelbagai pihak mendapati gaji pekerja asing di negara ini tidaklah serendah yang didakwa oleh pihak majikan, sebaliknya sesetengahnya jauh lebih tinggi berbanding gaji pekerja tempatan walaupun mereka masih baru bekerja di tempat-tempat terbabit berbanding pekerja tempatan sendiri.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak kerajaan tidak sepatutnya begitu mudah terpengaruh dengan alasan pihak majikan berhubung perkara itu dalam desakan mereka terhadap kerajaan untuk membawa masuk pekerja-pekerja asing di negara ini, apatah lagi dalam jumlah yang besar, kerana realitinya tidak seperti yang didakwakan itu.

Menurut beliau, walaupun terdapat gaji pekerja asing yang lebih rendah daripada gaji pekerja tempatan tetapi jumlahnya tidak seberapa, berbanding jumlah keseluruhannya yang sememangnya turut menerima gaji yang agak besar seperti juga gaji pekerja-pekerja tempatan seperti yang diceritakan oleh pihak-pihak tertentu kepadanya.

Katanya, malah di sesetengah tempat atau perusahaan terdapat pula diskriminasi oleh pihak majikan terhadap pekerja tempatan, apabila pekerja asing pula yang diberikan peluang kenaikan pangkat menjadi supervisor dan sebagainya dengan begitu mudah berbanding pekerja tempatan.

"Apabila dinaikkan pangkat, mereka pasti menerima gaji lebih besar daripada pekerja tempatan, malah pekerja tempatan pula yang berada di bawah mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, menurut beliau, sesetengah majikan yang mempunyai kilang perusahaan pula kini begitu mudah membuang pekerja tempatan untuk digantikan dengan pekerja asing bagi mengaut keuntungan yang lebih besar atas alasan pekerja-pekerja asing berkesanggupan bekerja dengan mereka walaupun dengan gaji yang rendah.

Katanya, sesetengah majikan pula tidak membuang pekerja-pekerja tempatan tetapi dikenakan tekanan tertentu supaya pekerja-pekerja terbabit akan berhenti dengan sendirinya untuk digantikan dengan pekerja-pekerja asing.

"Ini turut berlaku di Pahang, selain di beberapa tempat lain di seluruh negara. Semuanya itu diceritakan oleh beberapa pihak kepada saya. Jadi kita harap pihak kerajaan dapat melakukan penyelidikan dan pemantauan yang lebih menyeluruh berhubung perkara ini supaya dapat disusuli dengan tindakan yang sewajarnya bagi kepentingan pekerja tempatan," ujar beliau.

Kemasukan pekerja asing ke negara ini, menurut Ustaz Tuan Ibrahim, terutama dengan jumlah yang besar sehingga 1.5 juta orang seperti yang dicadangkan itu, di samping 6 juta orang yang sudah ada, pasti akan menimbulkan pelbagai implikasi kepada rakyat dan negara ini.

"Ia akan mengurangkan lagi peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja tempatan dan pasti akan mempertingkatkan lagi jumlah pengangguran di negara ini. Selain itu, ia pasti akan mendatangkan kesan buruk dari segi sosial, kesihatan dan budaya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang baik adalah kerajaan yang lebih mengutamakan rakyat sendiri daripada pekerja-pekerja asing, tetapi kerajaan Umno-BN sanggup mengenepikan kepentingan dan hak rakyat sendiri demi memenuhi tuntutan para majikan untuk mengaut keuntungan berganda. – HARAKAHDAILY 2/3/2016

Sumber HD - 2-3-2016

Sosial: Pekerja Bangladesh hadir tanpa keluarga di sisi

SHAHRIL RIZAL SAIDON | .


SHAH ALAM: Usaha kerajaan membawa masuk pekerja asing ke negara ini akan menyebabkan masalah sosial bertambah meruncing, kata veteran PAS, Haji Subky Latif.

Ini, katanya terutama apabila mereka hadir tanpa keluarga di sisi, lebih-lebih lagi bagi yang sudah berumahtangga.

Beliau berkata demikian sebagai respons isu pengambilan 1.5 juta warga Bangladesh yang ditangguhkan oleh kerajaan.

Tegasnya, kemasukan mereka sebenarnya tidaklah membantu untuk menyelesaikan pengangguran di negara ini.

"Gejala seperti zina, rogol, bahkan gay boleh merebak. Benar di sana ada seruan Nabi s.a.w supaya berpuasa, tetapi bagaimana yang sudah pernah merasai nikmat berumahtangga ini?

"Kisah di zaman Saidina Umar sepatutnya dijadikan rujukan. Beliau hanya menghadkan 4 bulan bagi setiap tenteranya berjauhan dari keluarga.

"Kemudian pasukan tersebut akan diganti dengan pasukan yang lain. Manakan tidak, kucing pun tidak boleh hidup sesama jantina," katanya pada program Seminar Penulisan PAS Negeri Selangor di Auditorium Muzium Shah Alam di sini, semalam.

Tegasnya, kerajaan wajib memikirkan suatu kaedah berpandukan ajaran Islam dalam mencari jalan penyelesaian kepada permasalah itu.

Antaranya ujar beliau, memberikan ketelusan dalam pengagihan skop kerja serta gaji yang minimum kepada bakal pekerja.

Sebaliknya ujar beliau, jika kerajaan tetap berkeras mahu membawa masuk warga asing itu, mungkin pihak berwajib perlu menetapkan syarat yang berpaksikan Islam.

"Adalah lebih baik kita membenarkan kemasukan warga asing yang menjaga solat daripada kita memberikan rakyat Malaysia yang tidak solat untuk bekerja.

Ini, katanya dapat mewujudkan persaingan yang sihat, malah mampu mengurangkan masalah sosial sedia ada.

Tambahnya lagi, syarat itu perlu ada ketegasan dalam menunaikan tanggung jawab sebagai khalifah Allah yang mendukung prinsip syariat Allah dalam setiap aspek kehidupan.

"Mudah-mudahan negara kita akan dilimpahi barakah dan menjadi baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur," ujarnya. - HARAKAHDAILY 29/2/2016

Sumber HD - 29-2-2016




Sektor 3D: Takkanlah sampai 1.5 juta pekerja Bangladesh

NYZA AYOB | .


PADA 19 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan menangguhkan semua pekerja asing baharu termasuk dari Bangladesh setelah pelbagai pihak membantah tindakan kerajaan itu. Ramai berpendapat, tindakan kerajaan itu hanyalah 'penangguhan' yang tidak memberikan sebarang makna memandangkan Memorandum Persefahaman untuk menerima 1.5 juta pekerja Bangladesh di bawah mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G-to-G Plus) secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun telah ditandatangan di Dhaka antara kedua-dua negara pada 17 Februari. Petikan pandangan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof mengenai perkara itu.

HARAKAH: Kerajaan mengumumkan menangguhkan kemasukan pekerja asing, namun apa yang berlaku, di pintu masuk utama negara masih dibanjiri dengan warga asing. Apakah penangguhan itu hanya sekadar untuk mengambil hati rakyat setelah pelbagai pihak termasuk orang awam sendiri membantah keputusan kerajaan sebelum ini?

USTAZAH SITI ZAILAH MOHD YUSOF: Kita melihat tindakan kerajaan ini menampakkan ketidakmatangan pengurusan negara apabila sesuatu dasar baharu yang diperkenalkan tidak dilumatkan perbincangan dan diambilkira pro dan kontra keputusan tersebut kepada negara. Kita tidak nafikan keperluan mereka kepada pasaran pekerjaan terutama bagi sektor 3D (dangerous, dirty, difficult). Tetapi takkanlah sampai 1.5 juta.

Sepatutnya kajian menyeluruh dibuat agar hasil yang diterima nanti memuaskan hati dengan mengambil kira tenaga keperluan tempatan. Masih ramai anak-anak muda yang menganggur. Apabila kerajaan sebut penangguhan, bermakna belum ada pembatalan dan ia akan diteruskan. Tetapi laporan yang kita terima sekarang di pintu-pintu masuk utama, berduyun-duyun pekerja asing masuk ke negara kita. Jadi di sini, di manakah dikatakan penangguhan?

Sebab itu, kita minta penjelasan kerajaan kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada masa depan negara. Kita akan lihat negara akan dikelilingi pekerja asing dengan jumlah yang begitu banyak. Dasar ini juga menampakkan kerajaan tidak konsisten dengan keputusan yang dibuat (flip-flop).

Ini juga membawa kesan kredibiliti Malaysia di mata dunia. Ia termasuk hubungan Malaysia dengan negara asing. Negara luar akan nampak kelemahan pentadbiran kepimpinan yang ada hari ini. Kita mengharapkan dalam isu pendatang asing ini kerajaan mengambil kira keperluan sebenar pekerja asing ini dengan hampir tujuh juta pekerja asing yang sudah sedia ada di negara ini.

Akhirnya ia akan memberi kesan kepada ekonomi sebab pendatang asing datang ke negara kita dan menghantar wang pulang ke negara mereka. Perkara ini akan memberi kesan kepada ekonomi kepada negara kita apabila berlaku aliran keluar wang. Makananya ia memberi kesan secara tidak langsung.

Kebanjiran pendatang asing ini banyak kesannya terutama kesan jenayah. Bukan itu sahaja, ia mendatangkan masalah sosial. Bahkan mereka juga mendapat subsidi barang-barang. Apabila dijual di pasaran terbuka, yang membelinya warga asing. Jadi, subsidi yang patut diberi kepada rakyat tempatan tetapi dimanfaatkan oleh orang luar. Jadi, tidak sampai sasaran untuk membantu rakyat. Sepatutnya sasarannya untuk membantu rakyat. Begitu juga Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), sesiapa sahaja boleh pergi ke kedai ini.

Kebanyakan ekonomi rakyat ini digunakan untuk warga asing yang ada di negara kita. Ini menyebabkan berlaku kekurangan barangan dan terpaksa import lebih banyak. Sebab itu kita menyeru kerajaan mengkaji balik dasar yang telah ditetapkan untuk membawa masuk 1.5 juta. Sepatutnya kerajaan membatalkannya dan jangan tangguh. Itu tidak memberi keuntungan kepada negara.

Memorandum Persefahaman (MoU) telah pun ditandatangan. Bolehkan ia ditangguhkan sebegitu mudah?

Itu yang kita persoalkan. Apabila Datuk Seri Zahid Hamidi umum hendak tangguh, bagaimana MoU dengan kerajaan Bangladesh? Kita pun tidak tahu apakah kandungan MoU itu. Kalau hendak tangguh, berapa lama hendak tangguh? Apa yang kita bimbang, perkara ini ditangguh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Antara soalan lain yang ditanya ialah kalangan Ahli Parlimen PAS kerap kali membangkitkan isu kebanjiran pekerja asing di Dewan Rakyat, adakah kerajaan sebenarnya berselindung di sebalik angka jumlah sebenar pendatang asing, mungkinkah juga ada konspirasi bagi membolehkan warga asing mengundi dalam pihan raya. - HARAKAHDAILY 27/2/2016

IKUTI TEMU BUAL PENUH DALAM AKHBAR HARAKAH BIL 2126 EDISI ISNIN DI PASARAN.

Sumber HD - 27-2-2016




Pemutihan tidak selesaikan lambakan pekerja asing

HARAKAHDAILY | .


Setelah kerajaan melaksanakan Program 6P pada 2011, seramai 521,734 pekerja asing didaftarkan sehingga penghujung 2014.

Kini kerajaan melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI ) yang diumumkan Perdana Menteri secara rasminya dijalankan mulai 15 Februari lepas dengan jangkaan seramai 2 juta pendatang asig tanpa izin (Pati) berhasil didaftarkan serta dikekalkan bekerja di dalam negara.

Rasionalnya bagaimana kerajaan hendak menguruskan keseluruhan pekerja asing yang berjumlah 6.7 juta orang dengan hanya yang berdaftar seramai 2.1 juta orang?

Jika pemutihan ini berjaya dilaksanakan kerajaan, masih lagi terdapat lambakan pekerja asing yang terdapat di dalam negara yang diketahui melebihi keperluan dalam semua sektor pekerjaan dalam negara.

Ini tidak termasuk lagi kemasukkan 1.5 juta warga Bangladesh seperti yang diumumkan baru-baru ini dan juga masih lagi terdapat Pati yang cuba memasuki negara melalui pelbagai cara.

Persoalan kepada kerajaan ialah bagaimana kerajaan hendak mengurangkan jumlah Pati dan pekerja asing sesuai dengan keperluan semasa dalam negara.

Daripada 2.1 juta orang sahaja yang berdaftar, bagaimana kerajaan dapat memastikan samada Pati mahupun majikan mematuhi program pendaftaran yang dilaksanakan.

Pemutihan bermaksud mengekalkan Pati dengan mendaftar supaya berkerja sebagai sah, dalam erti lain jika keseluruhan Pati berjaya didaftar jumlahnya tetap sama seperti yang ada sekarang.

Natijahnya jumlahnya tetap sama, apa yang dimahukan keseluruhan rakyat ialah kurangkan jumlah pekerja asing serta Pati di dalam negara.

Sehingga penghujung tahun 2015 dari Januari sehingga November, seramai 222,647 telah diusir pulang ke negara masing-masing.

Jika diambil kira berdasarkan jumlah keseluruhan Pati, masih ramai lagi yang terdapat didalam negara. Yang jelas lambakan ini meresahkan rakyat jelata dari segenap sudut termasuk persaingan kepada anak tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.

Kesan lambakan pekerja asing ini jelas dilihat pada cuti umum seperti hari Ahad atau hari-hari perayaan seperti Tahun Baru Cina baru-baru ini di KLCC yang mana jelas seolah-olah mereka kelompok majoriti di kawasan tersebut.

PAS tidak menolak program pemutihan pekerja asing yang dijalankan sekarang namun dalam masa yang sama jumlah keseluruhan pekerja asing yang ada di dalam dalam negara harus dikurangkan hingga jumlah yang tinggal benar-benar memenuhi keperluan semasa  dalam negara. Tiada guna dijalankan pemutihan tetapi jumlah mereka tetap sama hingga melebihi keperluan semasa dan tenaga kerja dalam negara.

Kerajaan perlu bersedia menerima hakikat masih ramai rakyat tempatan yang tidak ada kerja terutama di dalam suasana ekonomi semakin merudum. Rakyat mesti didahulukan.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
26 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 26/2/2016

Sumber HD - 26-2-2016




Warga asing: Optimum buruh tempatan, 

semak pengambilan

HARAKAHDAILY | .


Dengan jumlah 6.7 juta orang warga asing sedia ada di negara ini sama ada berstatus berdaftar atau
tanpa izin, sebarang kemasukan baru hanya akan melambakkan lagi golongan itu di negara ini dan
sepatutnya Kerajaan perlu melakukan inisiatif untuk mengurangkan bilangannya justeru penggunaan
tenaga buruh tempatan dapat dioptimumkan.

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) berpandangan bahawa ketidakcekapan Kerajaan dalam
menguruskan maklumat berhubung keperluan tenaga kerja semasa menjadi salah satu faktor utama
yang menyumbang kepada masalah ini.

Pada masa ini, kebanyakkan maklumat pasaran buruh adalah dikumpulkan oleh pelbagai agensi
berdasarkan kepada keperluan masing-masing.

Ketiadaan pengkalan data bersepadu bagi memantau dan mengawal keperluan tenaga buruh dalam
pasaran industri menyebabkan bilangan golongan itu tidak dapat dipastikan berpadanan dengan
keperluan bahkan menjadi lambakkan pula.

Selain itu, ketiadaan dasar yang komprehensif dalam pengambilan pekerja asing dan pengambilan
yang dibuat secara ‘adhoc’ juga memburukkan lagi keadaan berkaitan isu ini.

Kebergantungan yang tinggi kepada tenaga buruh asing yang berkemahiran rendah pula dapat
menjejaskan produktiviti ekonomi negara dan mengakibatkan peningkatan pekali pekerjaan kepada
KDNK.

Merujuk "Kertas Strategi 8: Pasaran Buruh untuk Negara Maju", bilangan pekerja asing berkemahiran
rendah telah meningkat sebanyak 152% dalam tempoh 2000 hingga 2013.

Pada tahun 2013, terdapat 2 juta pekerja asing yang berdaftar atau 17% daripada jumlah guna tenaga
terutamanya dalam sektor pembuatan (36%), pembinaan (20%) dan pertanian (23%).

Peratusan ini dianggarkan lebih tinggi iaitu 27% daripada jumlah tenaga kerja jika mengambil kira
pendatang tanpa izin.

Walaupun negara mengalami guna tenaga penuh, sebanyak 57.4% daripada jumlah pengganguran
pada tahun 2013 merupakan belia berumur antara 15 hingga 24 tahun – jumlah pengganguran pada
2013 adalah sebanyak 375,401.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah 5% adalah belia dalam umur persekolahan.

Jika belia-belia ini dilatih dan diberi pendedahan khusus dengan peluang, imbuhan dan pendedahan
yang sepatutnya, sudah tentunya para belia ini setelah berusia 18 tahun nanti sudah memiliki
pengetahuan dan kemahiran khusus justeru dapat menampung kekurangan yang terdapat di dalam
industri serta sektor yang benar-benar memerlukan pekerja. Oleh itu, kebergantungan kepada pekerja
asing dapat dikurangkan.

DUPP menggesa kerajaan mengkaji semula dan menambahbaik undang-undang serta akta yang
bersangkutan dengan pekerja asing.

Sebagai contoh dengan menghadkan serta menetapkan jumlah perkerja asing didalam sesebuah
industri dan sektor; ia dapat mengurangkan lambakan pekerja asing seperti yang terjadi sekarang serta
dapat menjamin peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Kerajaan juga harus menggalakkan industri-industri terutamanya yang bergantung kepada buruh asing
untuk mengambil anak-anak tempatan berkerja dengan memberi insentif-insentif tertentu sebagai
galakan kepada mereka.

Di samping itu juga kerajaan juga harus mendedahkan kepada industri-industri tersebut kaedah serta
teknologi terbaru yang mana majoriti industri-industri sebegini kebanyakkannya menggunakan kaedah
tradisional dalam operasi mereka yang sememangnya menagih tenaga buruh asing untuk beroperasi.

Dengan kurangnya kebergantungan negara kepada tenaga buruh asing, negara juga dapat
menyelamatkan sekurang-kurangnya sejumlah RM5 bilion akibat penghantaran wang oleh pekerja
asing ke kampung halaman mereka.

Dengan sejumlah wang yang begitu besar mengalir keluar dari negara, ia lebih bermanfaat jika
digunakan untuk ekonomi negara serta dinikmati oleh anak-anak tempatan yang menggangur dengan
memberikan peluang pekerjaan kepada mereka.

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) - HARAKAHDAILY 25/2/2016

Sumber HD - 25-2-2016


Pekerja asing: BN flip-flop lagi selepas PRN Sarawak?






HARAKAHDAILY | .


PAS percaya tindakan flip-flop dalam keputusan pengambilan 1.5 juta warga Bangladesh kepada pembekuan pengambilan warga asing secara total dalam sekelip mata besar kemungkinan cumalah taktik sementara mengelakkan isu ini daripada menjadi isu utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Ini kerana isu pengambilan warga asing secara besar-besaran ini adalah isu yang merentas kaum, agama dan politik dan ia sudah pasti memberi kesan kepada BN di PRN Sarawak.

Isu ini akan meletakkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang kuat berkempen untuk menguatkan rakyat tempatan Sarawak sendiri dalam keadaan tersepit sekiranya beliau menyokong pengambilan warga asing secara besar-besaran tanpa menyelesaikan masalah kerja dan kehidupan yang sedang menyelubungi rakyat Sarawak.

Warganegara yang tertindas di negeri sendiri, terutamanya negeri Sarawak, sudah pasti akan terasa dengan polisi kerajaan untuk membawa sebegitu banyak warga asing ke negara ini tatkala hidup mereka terus dihimpit dengan kesusahan kos hidup, mencari kerja dan suasana sosio-politik yang kian berubah kerana pertambahan warga asing yang begitu mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bayangkan perasaan warganegara sendiri apabila melihat warga asing mendapat kerja manakala mereka menganggur, warga asing berniaga merata-rata manakala mereka terus hidup bergaji rendah dan ada yang tiba-tiba menjadi Bumiputra kerana mengahwini orang Bumiputera tempatan dan mendapat hak yang sama, malah ada yang lebih baik daripada warganegara sendiri.

Hari ini, kerajaan boleh menyalahkan kononnya majikan yang flip-flop dalam pengambilan warga asing. Tapi, betulkah begitu kerana pelan perniagaan dan sumber manusia tidak akan secepat para menteri BN berubah keputusan?

Rakyat tunggulah dan lihatlah apakah alasan kerajaan ketika itu pula untuk membolehkan pengambilan semula warga asing. Besar kemungkinan rakyat terpaksa tunggu sehingga PRN Sarawak selesai dahulu.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
21 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 21/2/2016

Sumber HD - 21-2-2016




Jangan sampai pendatang Bangla dapat kad pengenalan






SUFI NAZ | .

"JANGAN sampai satu masa, Bangladesh (pendatang Bangladesh yang bakal dibawa masuk) ini akan dapat kad pengenalan pula atas sebab politik.

"Demi meraih undi, lucut kerakyatan kemudian pun tidak mengapa," luah orang awam, Sobri Din ketika ditemui wartawan Harakah dalam satu tinjauan umum di sekitar Masjid Jamek, kelmarin.

Padanya, perkara ini adalah tidak mustahil untuk berlaku di masa hadapan meskipun dikatakan oleh pihak yang berkenaan, ia hanya untuk sementara waktu sahaja.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan para pekerja Bangladesh ini akan dipergunakan.
Sementara itu, seorang pemandu bas swasta yang enggan dikenali berpendapat bahawa Malaysia perlu lebih ramai tenaga kerja dalam menuju Wawasan 2020 yang hanya berbaki 4 tahun sahaja lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan bertindak lebih tegas dalam menangani isu sosial yang membabitkan warga asing terutama dari negara Bangladesh. - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Laporan lanjut dalam akhbar Harakah.

Sumber HD - 20-2-2016

Pekerja asing: Warga sendiri seperti dianaktirikan






NUR HASMIRA MOHAMAD | .


KUALA LUMPUR: Ketaksuban kerajaan terhadap kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini adalah tidak disenangi oleh banyak pihak yang majoritinya warganegara ini tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan tersebut.

Ada yang mendakwa tindakan kerajaan ini dilihat seperti menganaktirikan warganegara sendiri sehingga sanggup menerima kemasukan warga asing itu ke negara ini meskipun disedari oleh kerajaan bahawa kebanyakan mereka banyak menyumbang kepada peningkatan jenayah di negara ini.

Tinjauan Harakah di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu mendapati ada segelintir warga asing yang sedang melepak di kawasan sekitar Medan Pasar dan ada di antara mereka sedang sibuk berurusan dengan kedai-kedai di sekitar kawasan tersebut.

Lebih mengejutkan, hasil tinjauan krew Harakah juga mendapati terdapat beberapa buah kedai makan, kedai pakaian dan kiosk alatan komunikasi sedang galak beroperasi di kawasan tersebut yang terkenal dengan tempat tumpuan pelancong.

Pak Din Relai, 67, bekas pesara tentera dari Cheras berkata, warga Bangladesh adalah antara mereka yang terpelajar datang ke sini.

Sungguhpun begitu, kehadiran mereka ke sini tidak lagi ingin bekerja sebagai buruh sebaliknya kebanyakan mereka lebih suka jadi majikan.

"Sekarang, sudah banyak kedai di sekitar ibu kota ini dibuka oleh Bangladesh. Sebaris sana penuh dengan kedai makan warga Bangladesh dan yang bagusnya tentang warga Bangladesh ini mereka menyokong antara satu sama lain, modal dikongsi untuk buka kedai di sini," katanya.

Bantah keras

Beliau yang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan Bangunan bagaimanapun membantah sekeras-kerasnya usaha kerajaan yang ingin lagi menerima kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini.

"Ramai gelandangan yang tidur di sini adalah warga tempatan, majikan boleh tawarkan gelandangan ini pekerjaan, kenapa mereka tak boleh buat? Tapi masih lagi nak masukkan warga asing ke sini," tegasnya lagi.

Azlan Samin, 51 seorang pemandu van berpendapat, Kuala Lumpur kini dilihat seperti negara asing apatah lagi kerajaan nak menerima kemasukan 1.5 juta warga asing lagi.

"Kalau kita ambil lagi sekarang, mereka akan memberi banyak krisis kepada negara. Warga asing yang ada sekarang ini pun dah ramai, ini kita nak tambah lagi. Kakitangan kerajaan pun tak cukup sekarang untuk menjalankan operasi membanteras warga asing. Dah nak tambah lagi 1.5 juta!"

Beliau berkata antara krisisnya ialah penyakit yang dibawa oleh warga asing ke negara ini ditambah pula dengan sikap kebanyakan warga asing yang pengotor dan tidak berdisiplin.

"Cuba lihat di sekitar tiang-tiang di ibu kota ini, penuh dengan warna merah kesan ludahan sirih yang dimakan oleh mereka. Kotor tu."

Ujarnya lagi, penawaran gaji yang kurang memuaskan kepada warga tempatan adalah antara faktor yang menyebabkan warga negara ini tidak berminat dengan pekerjaan yang ditawarkan atas kerana banyak tanggungan yang terpaksa dipikul.

"Warga tempatan, pertama mereka perlu bayar sewa rumah, kenderan ke tempat kerja. Itu pun dah perlukan RM500 hingga RM600 sebulan. Belum lagi yang dah berkahwin. Warga asing? Mereka semua ditanggung oleh majikan asrama disediakan sebagai tempat penginapan, memanglah mereka juga perlu keluarkan duit untuk bayar "levi" tapi tak seteruk warga tempatan." - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Sumber HD - 20-2-2016

Isu pengambilan pekerja Bangladesh yang ditangguh

HARAKAHDAILY | .


Pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk' Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan MoU membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh adalah satu kejayaan bagi perjuangan rakyat prihatin yang telah bangkit menegur dan membantah.

PAS sendiri telah mengambil langkah sejak awal lagi untuk menasihati, menegur dan membantah kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Alhamdulillah, suara rakyat didengar dan harapnya kerajaan tidak lagi terlalu bergantung kepada pekerja asing.

Lantaran lambakan warga asing ini bukan sahaja menjadi malapetaka terhadap sosio ekonomi negara bahkan mengancam tahap keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sebenarnya langkah kerajaan yang menangguhkan dasar ini hanya setelah beberapa hari selepas mengumumkan perlaksanaannya memperlihatkan ketidakcekapan kerajaan dan kegagalan pihak kementerian terlibat  menyediakan dasar pekerja asing yang mapan dan bersesuaian dengan aspirasi rakyat.

Hakikatnya dasar yang telah dibuat ini sukar dipertahan dan dijelaskan apabila berdepan kritikan rakyat dan aktivis kumpulan sivil.

Ini kerana polisi yang dirangka dilihat lebih bersandarkan kepada keuntungan kutipan levi semata-mata dan gagal mengambil kira kesannya secara holistik.

Namun rakyat masih berwaspada apakah penangguhan ini sekadar bermaksud meredakan kemarahan rakyat atau benar-benar kerajaan mula menyedari kesan negatif  dengan tahap kebergantungan kerajaan yang keterlaluan terhadap warga asing.

Bagaimanapun, PAS terus komited untuk menasihati dan menegur kerajaan agar tidak memperjudikan masa depan rakyat dan negara hanya kerana mengharap keuntungan sementara.

Komitmen PAS dalam mewujudkan check and balance adalah melibatkan segala isu termasuklah isu membawa masuk warga asing dengan kadar jumlah yang begitu besar.

Selayaknya keutamaan diberikan kepada rakyat dan negara ke arah melahirkan negara Malaysia yang sejahtera.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Sumber HD - 20-2-2016




Kontroversi pekerja Bangladesh: Mesyuarat kabinet berfungsi ke tidak?

HARAKAHDAILY | .


Kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang berakhir dengan pembekuan pengambilan warga asing serta-merta oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat memalukan kerana ia mendedahkan betapa lemahnya kepimpinan kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penerangan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot yang menjelaskan bahawa jumlah 1.5 juta yang dinyatakan oleh TPM adalah pekerja yang berdaftar dengan kerajaan Bangladesh untuk dihantar ke-139 negara yang memerlukan khidmat mereka lagi mengejutkan. Ia cukup berbeza dengan apa yang dinyatakan TPM sebelum ini di mana kerajaan akan membawa masuk sejumlah 1.5 juta tenaga kerja Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun.

Lebih mengejutkan graduan Oxford dari Umno juga merasakan apa yang diutarakan TPM sebelum ini itu munasabah.

Kenyataan TPM hari ini datang sehari selepas Najib memberitahu wartawan di Amerika Syarikat bahawa beliau akan berbincang dengan timbalan beliau mengenai kemasukan 1.5 juta Bangladesh.

Ini menimbulkan persoalan – apakah menteri-menteri ini menghadiri mesyuarat kabinet? Apakah perkara sebesar ini dibincang di dalam kabinet? Jika tidak, apa yang dibincang di dalam kabinet sebenarnya dalam setiap kali mesyuaratnya? Apakah yang cuma dibincang ialah strategi mempertahankan kedudukan Najib sebagai PM?

Apa yang berlaku dalam kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, saya percaya, adalah hasil daripada tindakan mempertahankan PM dalam episod 1MDB dan juga derma RM2.6 bilion sehingga ia menjadi satu budaya dalam Umno BN.

Apa yang disebut oleh pihak atasan diterima bulat-bulat tanpa soal ibarat lembu dicucuk hidung. Apabila pihak atas membuat kesilapan yang terang-terang, tiada siapa yang berani memperbetulkannya sehinggalah nasi menjadi bubur seperti apa yang dilakukan oleh Richard Riot hari ini.

Lebih besar lagi, kontroversi kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ini, menonjolkan bahawa PM tiada masa menguruskan negara kerana disibukkan mempertahankan diri. Ahli-ahli kabinet pula turut serta dalam kerja mempertahankan bos sehingga alpa dengan kerja sendiri.

Apa yang rakyat boleh harap lagi daripada kabinet yang gemuk tapi kurang berfungsi ini?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 Februari 2015 - HARAKAHDAILY 19/2/2016




Sumber HD - 19-2-2016





Pekerja asing: Rakyat malas atau pemimpin pemalas?






USTAZ IDRIS AHMAD | .


Isu pengambilan 1.5 juta pekerja asing menjadi panas ketika kuasa membeli rakyat semakin mengucup. Kadar tukaran wang semakin kecil.

Pengangguran di kalangan rakyat Malaysia terutama siswazah sudah mencecah 70,000. Hutang isi rumah meningkat. Rungutan meningkat harga barang sejak GST diperkenalkan telah menjadi perbualan hangat, termasuk dalam kalangan penyokong tegar Umno.

Pekerja asing sudah mencecah hampir 7 juta, yang daftar hanya 2.1 juta. Adakah munasabah rakyat 30 juta, buruh asing 7 juta? Ertinya hampir 21 peratus pekerja asing daripada penduduk negara ini. Cerdikkah pemimpin negara ini? Kenapa perlu ambil lagi 1.5 juta pekerja asing

Benarkah rakyat Malaysia malas? Benarkah rakyat Malaysia tidak bertenaga? Benarkah rakyat Malaysia manja? Mungkin ada segelintir yang bersifat demikian. Mana negara pun ada rakyat yang malas. Majoritinya masih rajin. Telahan boleh dibuat ialah pemimpin yang malas berfikir untuk kesenangan rakyat dan menjadi pemudah cara untuk kesenangan rakyat, bukannya rakyat yang malas.

Musibah yang menimpa negara apabila mendapat pemimpin yang malas berfikir untuk kebaikan rakyat supaya kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan.

Mungkin negara perlu buruh asing untuk kerja 'kotor, bahaya, berat'. Adakah benar semua rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor 3D (dirty, difficult, dangerous)?

Pemimpin negara ini boleh pergi tunggu di Tambak Johor pada waktu pagi, berpuluh ribu rakyat Malaysia bekerja di Singapura. Adakah rakyat Malaysia pemalas? Sudah tentu ada sebabnya mereka ke Singapura. Tidak lain dan tidak bukan kerana kadar upahnya tinggi.

Jika gaji diberi sesuai dengan taraf hidup, maka rakyat Malaysia sanggup bekerja walaupun dalam sektor 3D. Pengalaman saya melihat pekerja di R&R Bukit Gantang majoriti yang bekerja di situ ialah penduduk tempatan daripada tukang cuci hingga pelayan kedai makan. Kenapa mereka mahu bekerja di situ, jawapannya kerana diberi peluang.

Kalau membuat tuduhan rakyat negara ini malas dan tidak mahu bekerja. Maka inilah tugas kerajaan untuk melatih dan memberi motivasi supaya mereka ini bekerja.

Sebenarnya tidak rugi jika kerajaan menetapkan gaji minimum yang selesa untuk menarik minat rakyat di negara ini bekerja. Mereka akan berbelanja di dalam negara ini juga. Ini baik untuk perkembangan ekonomi.

Apa makna kita menggajikan warga asing dan mereka menghantar wang dan tidak berbelanja di negara ini. Adakah baik untuk negara? - HARAKAHDAILY 19/2/2016
Penulis ialah Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Sumber HD - 19-2-2016


No comments:

Post a Comment