BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Wednesday, February 17, 2016

BANTAH DLP






PAS dalam memperjuangkan Bahasa Melayu

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .


Secara umumnya pendidikan Melayu yang diperkenalkan oleh British kepada rakyat negara ini adalah sebagai saingan kepada sistem pengajian Islam yang sedia ada dan pendidikan kepada orang Melayu adalah sekadar untuk membolehkan orang Melayu mengenali asas membaca, menulis dan mengira. Matlamat ini difahami kerana British tidak akan memunculkan golongan intelektual Melayu yang akan mengancam hegemoni kuasa mereka.

Kehadiran institusi sekolah pondok di Tanah Melayu sejak lama dahulu sehinggalah sekarang, telah memberikan impak yang besar terhadap pembangunan dan penyemaian nilai-nilai Islam terhadap bangsa Melayu. Sekolah pondok telah mengharungi sejarah yang panjang, bersaing dengan institusi konvensional yang lain, juga dengan sistem sekolah madrasah yang lebih tersusun dan menjanjikan kesinambungan tempat belajar yang lebih menjanjikan peluang kepada pelajarnya.

Sekolah pondok telah memberikan kesan yang mendalam terhadap masyarakat Islam di Malaysia, antaranya seperti berjaya mengukuh dan mengembangkan penggunaan tulisan jawi bagi memudahkan pembacaan Al Quran dan kitab-kitab agama, juga menjadi media perhubungan masyarakat bahkan dapat mengembang dan memperkaya bahasa Melayu. Selain dari memperkayakan bahasa sekaligus berjaya bagi mengembangkan kesusasteraan Melayu di rantau ini. Bukan sahaja buku-buku yang berunsur agama ditulis menerusi tulisan jawi, bahkan berbagai-bagai jenis buku ilmu pengetahuan dan kesusasteraan seperti hikayat, cerita-cerita penglipur lara, yang berbentuk prosa dan puisi ditulis dalam tulisan jawi.

Almarhum Datuk Fadzil Noor menjadi tenaga penting PAS di Kedah. Dengan berlakunya perubahan kepimpinan Ulama pada tahun 1982 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Presiden PAS pada tahun 1989 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2002.  Latar belakang yang kukuh dalam dunia pendidikan iaitu sebagai bekas guru dan pensyarah universiti, Ustaz Fadzil sangat mengambil berat tentang pendidikan, bermula dengan pra sekolah sehinggalah kolej universiti.

Menurut almarhum Datuk Fadzil Noor “Dilema Kementerian Pendidikan bukan sekadar was-was untuk mendaulatkan bahasa Malaysia sehingga timbul hasrat kerajaan BN sekarang untuk membenarkan beberapa pengajian di dalam bahasa Inggeris. PAS begitu peka dengan taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara. Kepekaan ini telah mendorong PAS memperuntukkan di dalam perlembagaannya bahawa ianya  akan terus dipertahankan kerana bahasa adalah sebahagian identiti bangsa yang perlu dipertahankan. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan malah perundangan bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh masyarakat Nusantara.

Apakah yang lebih utama ialah bahasa Melayu adalah menjadi bahasa ilmu Islam di samping bahasa Arab yang sekian lama berkembang. Kita kesal dengan sikap kerajaan yang telah mula tidak memberikan perhatian wajar kepada bahasa ini kerana mementingkan bahasa rakan dagangan bahkan telah mula memberi laluan dan keutamaan kepada bahasa Inggeris termasuk menjadi bahasa pengantar di pusat-pusat pengajian tinggi seperti yang telah dinyatakan. Kita tidak menolak kebaikan menguasai berbagai-bagai bahasa”.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga selaku Presiden PAS telah membantah pelaksanaan pengajaran matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. PAS akhirnya bersama-sama NGO dan individu-individu pencinta bahasa Melayu telah bergabung dalam PPSMI dan akhirnya telah mengadakan bantahan awam di ibu negara. Abdul Hadi dan pimpinan NGO telah menyertai himpunan ini dengan acara menghantar memorandum bantahan kepada YDPA. Bantahan dan gelombang kesedaran tentang kesan buruk pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris, akhirnya telah memberikan tekanan politik yang hebat kepada BN dan Umno sehinggalah kerajaan telah memutuskan untuk mengembalikan pengajaran matematik dan sains kepada bahasa Melayu semula.

Kesan daripada kurang perancangan dan juga campur tangan politik yang berlebihan dalam sistem pendidikan maka berlakulah ketempangan kesan yang dapat dijangka. Generasi minda yang terlibat dengan gejala social semakin parah dan indeks jenayah yang melibatkan generasi muda semakin ketara.

Datuk Seri Haji Abdul Hadi telah menggalas jawatan Presiden PAS selepas kematian Ustaz Fadzil Noor pada tahun 2002 akibat pembedahan jantung. Dengan latar belakang pendidikan yang mantap beliau telah meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam PAS. Beliau dengan lantang mengkritik dasar pendidikan yang gagal melahirkan pelajar kompeten dan berakhlak mulia:

“Akibat dari tindakan seperti itu berlakulah kejutan demi kejutan. Gejala samseng hingga ke sekolah elit, salah laku pelajar dari memeras ugut hinggalah merogol dan membunuh menyelubungi dunia pendidikan. Penipuan IPT swasta, mutu pencapaian pelajar yang semakin menurun, rating IPTA yang semakin merudum, belanja pendidikan yang semakin meningkat di luar kemampuan rakyat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pengendalian projek-projek kementerian, campu rtangan politik Umno dalam kampus, kesan negatif pelaksanaan AUKU, dan sebagainya adalah di antara kesan langsung yang mencoreng hitam pendidikan Negara”

“Secara halus dasar pelajaran negara menyelitkan jarum anti tulisan jawi, anti pendidikan Islam, dan anti penggunaan bahasa Melayu. Semua sifat ini tidak mencerminkan roh dan zat kebudayaan Melayu yang di war-warkan bagi menjadi teras kebudayaan nasional. Tulisan jawi sudah lama berkubur hingga kebanyakan kuliah di masjid dan surau menggunakan kitab rumi. Pendidikan Islam kini dalam proses penghakisan apabila bantuan SAR telah dihentikan. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi mulai digantikan dengan bahasa Inggeris. Semua perkembangan dalam pendidikan itu adalah satu pelaksanaan dasar anti-Nasional yang tidak lagi tersembunyi."

Sumber HD - 11-4-2016

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Bila PAS Berada Pada Landasan Yang Betul

Posted on Sunday, April 10 @ 17:30:34 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



Dulu orang kata Pak Samad kritik PAS dan Presiden PAS. Dia masuk DAP. Banyaklah khabar-khabar yang tak elok ditulis dan dikomen oleh ramai orang. Hari ini Pak Samad bersama dengan PAS dalam bantahan DLP. PAS bagi ruang kepada Pak Samad berucap...

Isunya adalah masa depan Bahasa Melayu.

Bila PAS berada pada landasan yang betul maka orang macam Pak Samad boleh dan bersedia dengan PAS.

Jangan hairan apabila dekat dengan PRU-14 nanti makin ramai orang akan mnyertai PAS. Mereka mula sedar PAS sebenarnya berada pada landasan yang betul. Presiden PAS mempunyai gagasan politik yang jauh kehadapan demi Agama, Bangsa dan tanah air yang mungkin tidak difahami oleh sesetengah mereka yang gopoh dalam perjuangan.


Sumber TKO - 10-4-2016
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Hampir 1,000 orang hadiri perhimpunan bantah DLP
Posted on Sunday, April 10 @ 12:36:21 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah



Hampir 1,000 orang hari ini menyertai himpunan membantah pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) di padang Tasik Titiwangsa.

Himpunan yang bermula pada jam 2 petang itu dianjurkan oleh Kongres Rakyat di bawah PAS dan Gerakan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).Himpunan ini sepatutnya diadakan di Dataran Merdeka tetapi diubah dua hari lalu.

Bagaimanapun dimaklumkan terdapat majlis diadakan di Dataran Merdeka pada hari dan masa yang sama.


Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pihaknya bukan menolak bahasa Inggeris sebaliknya menolak DLP kerana Bahasa Melayu dijamin di dalam perlembagaan.
Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali ketika menyampaikan ucapan menyifatkan Umno gagal dalam semua aspek khususnya memastikan hak orang Melayu terus terjamin.

Justeru beliau melihat PAS mampu untuk menggalas tanggungjawab yang selama ini dijalankan oleh pihak kerajaan, bahkan jalan parti Islam itu akan semakin mudah selepas tidak lagi bekerjasama dengan DAP.


Ibrahim mendakwa bahawa kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang gagal, sudah gagal dalam segala-galanya, gagal mementingkan citarasa majoriti penduduk, kaum bumiputera khususnya Melayu Muslim.

"Gagal mendukung negara yang Merdeka. Banyak isu yang kita hadapi, kita berhimpun banyak kali pun tidak akan mengubah sikap mereka di atas

"Bila PAS cerai dengan DAP tidak ada lagi Cina buta, masa depan Melayu bukan hanya boleh digalas Umno tapi boleh juga digalas PAS, ini (DLP) bukan agenda politik," katanya.

Beliau dalam pada itu mengajak NGO Melayu memberi amaran kepada kerajaan BN untuk tidak melaksanakan program DLP termasuk beberapa isu berkaitan dengan mahasiswa Bumiputera.

"Cadangan kita saya ajak NGO-NGO yang ada kita buat pendirian bersama secara terbuka memberi kata dua kepada pihak pemerintah jika mereka menodai bahasa kebangsaan termasuk isu DLP ini juga perkara berkaitan biasiswa," ujar beliau.

Selain Tuan Ibrahim antara pemimpin PAS yang kelihatan hadir adalah Naib Presiden Idris Ahmad, Mahfodz Mohamed dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi.


Turut hadir ialah tokoh sasterawan selaku pejuang bahasa kebangsaan Datuk A Samad Said.
Pada 26 Mac, perhimpunan yang sama juga telah diadakan dihadalan LRT Masjid Jamek, yang dihadiri oleh PKR dan DAP.

DLP bakal diperkenalkan di sekolah yang bersedia melaksanakannya dengan persetujuan pihak tertentu termasuk sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Pada pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan DLP itu bakal ditawarkan kepada 300 sekolah di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris.
Di bawah program itu kelak, sekolah akan diberi pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 1 dan Tahun 4.


Sumber TKO - 10-3-2016
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DLP: Pendirian Ketua Pengarah DBP tersasar

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .


Kami ingin menegaskan kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Adzis Abas, baru-baru ini mengenai pelaksanaan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) tersasar dari tujuan penubuhan DBP.

Pernyataan beliau bahawa DBP tetap menyokong pelaksanaan DLP walaupun dibantah oleh NGO menunjukkan bahawa beliau tidak mencerminkan kepimpinan DBP yang sepatutnya meneliti dan berunding dengan pakar bahasa dan aktivis bahasa sebelum menerima atau menolak DLP.

Matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Amat pelik jika sumber kuasa DBP untuk mempertahankan penggunaan bahasa kebangsaan adalah Perlembagaan Persekutuan dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi kuasa itulah yang nampaknya dicairkan oleh DBP hanya kerana institusi itu mahu selari dengan dasar Kementerian Pendidikan.

Apa guna slogan "Bahasa Melayu Salah Satu Bahasa Utama Dunia" yang dibawa oleh DBP jika pelaksanaan DLP yang mengenepikan bahasa Melayu di negara sendiri tidak ditolak.

Kami menegaskan visi DBP yang melakarkan pernyataan "Meningkatkan Penggunaan Bahasa Melayu" tidak tidak ada makna jika DBP menerima suatu program yang sebenarnya mengarah kepada pencairan penggunaan bahasa Melayu.

Jika DBP benar-benar mahu menjadi "Menjadi Peneraju Utama Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Pembinaan Negara Bangsa" maka DLP adalah suatu program kerajaan yang berlawanan dengan wawasan DBP itu sendiri.

Adalah sangat dikesalkan bahawa Ketua Pengarah DBP yang baru dilantik itu mengenepikan pandangan NGO yang dianggotai oleh ahli pakar dan aktivis bahasa.

Pandangan beliau bahawa DBP adalah di bawah bidang Kementerian Pendidikan dan dengan itu perlu mengikuti keputusan kementerian tersebut menandakan beliau tidak menjiwai fungsi dan bidang kuasa DBP itu sendiri.

DLP pada hakikatnya menyeleweng dari Dasar Bahasa Kebangsaan. Oleh itu tidak ada sebab kenapa DBP harus mempertahankan DLP.

Hujah yang sama nampaknya dijadikan landasan untuk melaksanakan PPSMI sebelum ini. Lantaran itu untuk mengatakan DLP adalah program baru untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris adalah berselindung disebalik niat asal iaitu untuk melaksanakan tujuan PPSMI.

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah diperkenalkan pada tahun 2003. Akhirnya pada 8 Julai 2009 dasar ini dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh bekas Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan. Soalnya kenapa versi baru PPSMI dalam bentuk DLP mahu diperkenal?

Kami kesal, DBP sebagai sebuah institusi tertinggi yang bertanggungjawab untuk mengembang, mengukuh dan mempertahankan bahasa kebangsaan kini bertukar menjadi institusi mengenepikan kewibaan bahasa kebangsaan itu sendiri dalam sistem pendidikan nasional.

Kami turut menegaskan dan menuntut agar DLP dihentikan programnya dan usaha untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris disemak semula. DLP tidak boleh dijadikan projek menghidupkan semula PPSMI. - HARAKAHDAILY 10/4/2016

Penulis ialah Pengerusi Kongres Rakyat dan Presiden Mapim.

Sumber HD - 10-4-2016
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Bahasa kebangsaan pun kerajaan tak boleh jamin

HARAKAHDAILY | .




KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa Perhimpunan Aman Bantah DLP kerana memikirkan generasi masa depan.

"Kita berhimpun bukan untuk kita tapi kita fikirkan generasi masa depan," ujarnya ketika berucap pada perhimpunan itu dipadang Taman Tasik Titiwangsa di sini, petang ini.

Jelasnya, perhimpunan yang diadakan itu adalah untuk memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin oleh Perlembagaan.

Katanya, kalau perkara yang dijamin oleh Perlembagaan itupun tidak boleh dijamin oleh kerajaan, rakyat perlu menolak BN.

"Kalau perkara yang dijamin dalam Perlembagaan tak boleh dijamin oleh kerajaan, tuan-tuan kena jamin bahawa kita tolak BN," ujarnya yang mengakhiri ucapan dengan bacaan doa. - HARAKAHDAILY 9/4/2016

Sumber HD - 9-4-2016




--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


DLP: Cuaca panas bukan penghalang berhimpun

NUR HASMIRA MOHAMAD | .


KUALA LUMPUR: Cuaca panas tidak menghalang para peserta hadir ke himpunan bantah program dwi-bahasa atau lebih dikenali sebagai DLP malah semakin ramai hadirin yang hadir menyatakan solidariti mereka.

Meskipun hanya diberi tempoh berhimpun selama sejam oleh peguatkuasa DBKL, namun masih ada lagi yang datang bagi mewakili suara rakyat membantah program tersebut.

"Masa semakin suntuk, DBKL minta majlis bersurai secepat mungkin. Saya minta maaf masih ramai tokoh-tokoh yang hadir tidak dapat berucap," ujar pengerusi majlis, Kamaruzaman.

Antara yang sempat berucap termasuklah Datuk Zainal Abidin Borhan (wakil Gapena), Muhammad Afiq Awang Bakar (Presiden Gamis), Dr Shaharir Mohamad Zain, Ustaz Idris Ahmad, Pak Samad (Sasterawan Negara.

Selain itu pimpinan PAS yang turut kelihatan termasuklah Dr Mahfodz Mohamed (Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat), N Balasubramaniam (Pengerusi DHPP Pusat), dan Ustaz Norazli Musa (Presiden Geng Ustaz).

Atas desakan waktu yang terlalu singkat yang diberikan oleh badan penguatkuasa, ucapan penutup pada program tersebut telah diakhiri oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Diakhir ucapan Timbalan Presiden PAS berkata agenda himpunan bantahan ini akan tetap diteruskan sehinggalah hasrat kerajaan untuk melaksanakan DLP menemui kegagalan.

Majlis bersurai dan ditangguhkan secara aman pada jam 3:55 petang.

Ketika peserta bersurai, dendangan sajak dibacakan oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi. – HARAKAHDAILY 9/4/2016

Sumber HD - 9-4-2016



----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Unesco iktiraf bahasa ibunda pendidikan awal

NUR HASMIRA MOHAMAD | .




KUALA LUMPUR: "Kerajaan telah belanjakan RM35 juta untuk melaksanakan program DLP," kata Presiden Pendidik, Normala Sudirman.

Ujarnya lagi, Bahasa Melayu adalah bahasa kelima dunia dituturkan oleh hampir 300 juta  penduduk di seluruh dunia.

Katanya, bahasa pertuturan ini adalah bahasa kesesuaian pada lidah malah Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) juga telah mengiktiraf ia adalah bahasa pendidikan awal dalam bahasa ibunda.

Himpunan diteruskan lagi dengan ucapan para pimpinan serta beberapa badan NGO dan pencinta bahasa.

Selepas beliau, turut berucap ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Nuridah Mohd Salleh, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan lain-lain. - HARAKAHDAILY 9/4/2016

Sumber HD - 9-4-2016



------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Bantah DLP bukan kerana benci Bahasa Inggeris

NUR HASMIRA MOHAMAD | .




KUALA LUMPUR: Himpunan Bantah DLP pada hari ini telah bermula pada pukul 2:30 petang dan dimulakan dengan bacaan ummul kitab al-Fatihah.

Para peserta mula membanjiri himpunan tersebut yang bertempat di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur ini.

Ucapan pertama dimulakan oleh wakil Majlis Pendidikan Nasional, Cikgu Zai dalam ucapannya berkata DLP harus dibantah kerana ia adalah mirip seperti PPSMI.

Katanya lagi, bantahan ini dilakukan bukan kerana benci kepada Bahasa Inggeris sebaliknya Bahasa Melayu adalah bahasa perantara yang terbukti adalah bahasa ilmu dan bahasa yang telah mengangkat maruah negara ke persada dunia.

Ucapan diteruskan pula oleh Pengerusi Pendidik, Puan Normala Sudirman. - HARAKAHDAILY 9/4/2016

Sumber HD - 9-4-2016



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Panduan kesihatan kepada peserta himpunan anti-DLP

HARAKAHDAILY | .

Sebagaimana diketahui dan dialami keadaan cuaca panas yang melampau. Keadaan ini akibat dari fenomena El Nino. Jabatan Meteriologi Malaysia menjangkakan fenomena El Nino ini berlanjutan sehingga pertengahan tahun 2016 ini.
Juga, pengurangan jumlah hujan (antara 20%-60%) serta pertambahan suhu (sekitar 0.5°C hingga 2.0°C berbanding biasa) dijangkakan akan berlaku. Suhu sekitar boleh mencecah 40⁰ C. Cuaca panas terlampau boleh mengakibatkan seseorang individu itu kena dehidrasi (dehydration) dan strok haba (heat stroke).
Langkah-langkah proaktif perlu untuk mengelakkan terjadinya kejadian penyakit bawaan haba (heat illness) seperti stress haba (heat stress) yang boleh mengakibatkan berlakunya strok haba (heat stroke) jika dibiarkan.
Perlu diingatkan bahawa stress haba (heat stress) juga boleh berlaku di dalam keadaan cuaca bukan panas, iaitu di suasana persekitaraan yang mempunyai kadar kelembapan yang tinggi. Ini adalah kerana persekitaran yang berkelembapan tinggi boleh menghalang penyejatan peluh berlaku dengan sempurna (prevents adequate evaporation of sweat).

Seseorang individu itu dikatakan mengalami penyakit bawaan haba (heat illness) sekiranya memiliki tanda-tanda (signs) dan/gejala-gejala (symptoms) seperti berikut:

(i) Merasa kepala huyung, pening kepala (Light headedness, dizziness)
(ii) Mual (Nausea)
(iii) Kelihatan kelesuan yang jelas (Obvious fatigue)
(iv) Badan berhenti mengeluarkan peluh (Cessation of sweating)
(v) Kehilangan kebolehan daya dan kordinasi/kekalutan ataupun hilang keseimbangan badan yang jelas (Obvious loss of skill and coordination/clumsiness or unsteadiness)
(vi) Kekeliruan (Confusion)
(vii) Bertindak agresif ataupun menunjukkan perangai yang tidak rasional (Aggressive or irrational behaviour)
(viii) Tahap kesedaran berubah (Altered consciousness)
(ix) Jatuh pengsan (Collapse)
(x) Warna kulit bertukar menjadi kelabu-keputihan (Ashen grey pale skin)

Justeru sayugia beberapa nasihat kesihatan berikut perlu diambil perhatian oleh para peserta perhimpunan aman menentang DLP (Dual Langguage Program) atau petugas Unit Amal pada 9 April ini.

Jika berlaku tanda-tanda di atas;
(i) Bawa keluar peserta daripada padang/ tempat bersukan (Remove from the field of play)
(ii) Baringkan/rehatkan peserta terbabit di persekitaran yang nyaman (Lay the person down in a cool place)
(iii) Meninggikan kedua-dua kaki dan pelvis untuk melancarkan tekanan darah (Raise the legs and pelvis to improve blood pressure)
(iv) Melonggarkan/menanggalkan lebihan pakaian (Remove excess clothing)
(v) Membasahkan kulit and pengipaskan badan (Wet skin liberally and vigorous fanning)
(vi) Meletakkan ais di kawasan tengkok, celahan ketiak dan paha (Apply ice packs to groin, armpits and neck)
(vii) Memberikan air minuman sekiranya sedar (Give cool water if conscious)

Walau bagaimanapun, selepas mengambil langkah-langkah seperti di atas, jika individu berkenaan masih kelihatan sakit, kekeliruan (confusion), muntah-muntah (vomiting) atau menunjukkan perubahan pada tahap kesedarannya (altered consciousness), bantuan perubatan haruslah diperolehi dengan kadar segera (seek medical help immediately).

Sebelum terjadinya kejadian penyakit bawaan haba (heat illness), ianya boleh dielakkan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan iaitu:

(i) Menghadkan aktiviti luar semasa cuaca panas terik (Limit outdoor activities during extremely hot weather conditions) atau menggunakan pelindung dari panas terik matahari.

(ii) Mengelakkan melakukan aktiviti pada masa cuaca paling panas pada sesuatu hari, pada kebiasaannya di antara jam 11 pagi - 3 petang (Avoid the hottest part of the day, usually 11am-3pm)

(iii) Memastikan badan sentiasa mendapat air yang secukupnya iaitu dengan meminum air minuman sebelum, semasa dan selepas demo (To ensure adequate hydration before, during and after activities).

(iv) Disarankan untuk meminum:

~ 2 cawan air minuman (500ml) 2 jam sebelum melakukan aktiviti (2 cups of 500ml of water 2 hours prior)
~ 2-3 cawan air minuman (500-750ml) yang menyejukkan badan atau air minuman sukan (sports drink) setiap jam semasa bersenam, bagi aktiviti yang berlangsung selama 60 minit atau lebih (2-3 cups of 500-700ml of cool water or sports drinks per hour for activities lasting for 60 minutes or more),
~ Dalam masa 2 jam selepas melakukan aktiviti (Within 2 hours after activities)

(v) Pemakaian seharuslah berkebolehan untuk menyejat peluh daripada kulit dengan baik (clothing that allows easy evaporation of sweat from the skin), berwarna cerah (light coloured), ringan dan tidak ketat (light weight and loose fitting) serta memberikan perlindungan daripada sinaran matahari (provides protection against the sun).

Semoga dengan nasihat ini memberi kekuatan kepada para pendemo agar terus cekal menentang kezaliman dan salah tadbir negara.

DR GHAZALI HASBULLAH
Momento14
(Pertubuhan menuntut Perubahan Siasah Negara) - HARAKAHDAILY 9/4/2016

Sumber HD - 9-4-2016

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Seru anak muda, mahasiswa bantah DLP




HARAKAHDAILY | .


Dewan Pemuda PAS Malaysia [DPPM] menyeru anak muda dan mahasiswa untuk turun ke Himpunan Aman Bantah DLP esok bagi bersoladiriti membantah pelaksanaan program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan pihak kerajaan.

Pelaksanaan DLP adalah persis kepada dasar PPSMI yang pernah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak dan terbukti kegagalannya melalui kajian yang dilakukan. Sudah pasti rakyat tidak mahu kegagalan yang sama berulang.

Perubahan dasar pendidikan yang kerap  juga memberikan kesan bukan sahaja kepada para pelajar malah kepada guru-guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

DPPM melihat ia hanya menambah kekusutan dalam sektor pendidikan negara dan tidak mampu memberi penyelesaian yang diharapkan.

Justeru, amat wajar untuk semua bersoladiriti bagi sama-sama menyelamatkan generasi akan datang agar tidak menjadi mangsa "korban" terhadap "eksperimen" pendidikan kerajaan hari ini.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua DPPM | Ahli Parlimen Pasir Mas
8 April 2016 | 30 Jamadil Akhir 1437 - HARAKAHDAILY 8/4/2016

Sumber HD - 8-4-2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ayuh turun bantah DLP, selamatkan bahasa kita




HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dengan masalah pendidikan negara khususnya warga pendidik dan ibu bapa untuk turut serta dalam Perhimpunan Aman Membantah DLP yang akan diadakan esok, 9 April bermula jam 2.00 petang di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

"Kita tidak mahu sejarah kegagalan PPSMI berulang semula selepas DLP dilaksanakan sepenuhnya dan diperluaskan ke semua sekolah," ujar Ketua Penerangan DUPP, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan.

Katanya, membebankan para pelajar untuk memahami subjek-subjek lain dengan bahasa yang mereka sendiri tidak kuasai semata-mata kononnya untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar adalah suatu kesilapan yang sangat besar yang akan meragut kecemerlangan generasi masa hadapan negara kita.

Sementara itu, PAS Wilayah Persekutuan turut menyeru kepada seluruh warga kota yang prihatin dan cintakan Bahasa Melayu agar sama-sama turun secara aman ke perhimpunan itu bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan DLP.

"Sesungguhnya masa depan bahasa ibunda kita adalah tangungjawab seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara yang tercinta ini," kata pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad.

Tambahnya, tanpa pengorbanan anda untuk turun secara aman pada hari esok sudah tentu akan mendedahkan risiko besar kepada nasib masa depan Bahasa Melayu terhadap generasi kita akan datang.

"Ayuh hadirkan diri anda bersama-sama insan yang disayangi menyelamatkan bahasa ibunda kita," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 8/4/2016

Sumber HD - 8-4-2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kenapa perlu hadir Himpunan Aman Bantah DLP?

ABDUL MALIK AB RAZAK | .


BUAH fikiran Tuan Guru Presiden PAS

Menurut kajian UNESCO, bahawa bahasa ibunda adalah bahasa paling berjaya dalam pelajaran dan pendidikan sesuatu bangsa dan umat.

Semua bangsa yang menganut Islam selepas bangsa arab berjaya memimpin dunia Islam dan tamadunnya dengan bergantung kepada bahasa ibunda masing-masing yang berteraskan Islam sehingga menggunakan bahasa mereka bertulisankan huruf bahasa Al-Quran yang di tambah dengan huruf bunyi bahasanya, seperti bahasa Parsi, Turki dan Urdu. Termasuk bahasa melayu bertulisan huruf Al-Quran.

Kebangkitan bangsa seperti Jerman dan Jepun yang kalah teruk dalam Perang Dunia, China, Korea, Perancis dan lain-lain negara yang mencapai tahap negara maju, adalah melalui pendidikan awal dan tinggi dalam negaranya dengan bahasanya sendiri. Bahasa asing hanya untuk melanjutkan pelajaran di berbagai negara lain.

Negara yang mengekalkan bahasa penjajahnya, bermula daripada pemimpin sehinggalah peminta sedekah di jalanan bercakap bahasa Inggeris, negaranya terus mundur terkebelakang menjadi pengekor, dan bangsanya kehilangan jati diri.

Kegagalan Malaysia menjadi negara maju setelah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan adalah kerana gagal membangun manusianya melalui sistem pendidikan dan pelajaran dengan bahasa rakyatnya sehingga para pemimpin dan rakyatnya tidak ada jati diri, malu beramal Islam yang sempurna dan malu menggunakan bahasa kebangsaannya yang rasmi dalam tanah airnya sendiri.

Tidak dinafikan perlunya mempelajari bahasa asing daripada bangsa-bangsa yang lebih maju sebanyak-banyaknya, tetapi bukannya mengerah seluruh rakyat, kerana hanya segelintir sahaja yang berjaya menguasai bahasa ilmunya, yang paling besarnya sekadar mendapat bahasa untuk diri.

Bajet besar untuk DLP laksana mencurah garam ke dalam laut tercemar itu , di mana mangsanya ialah beberapa generasi yang tenggelam ke dalamnya kerana melahirkan bangsanya yang tidak berjiwa, cerdiknya yang tidak boleh ditumpang dan bodohnya hilang perhitungan.

Agenda DLP adalah angkara penasihat yang berilmu salah dan menyesatkan rakyat dan merosakkan negara. Asal tujuan mempelajari bahasa asing supaya cerdik meningkatkan ilmu dan jangan ditipu, tetapi salah langkahnya menjadikannya ramai yang tertipu dan ditipu.

Generasi awal pemimpin negara berusaha mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan sehingga menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka, mengadakan Universiti Kebangsaan. Tiba-tiba generasi pelapisnya berpusing kebelakang sehingga mencelupkan bahasanya dengan bahasa Inggeris yang tebal sehinggalah menghilangkan peranan bahasa kebangsaan dan dihakis penggunaan bahasa sendiri dalam keluarga dan masyarakat.

Baca selanjutnya: http://www.harakahdaily.net/index.php/presiden/40496-bahasa-jiwa-bangsa-dan-dlp

Tambahan info:
\

DLP adalah penjelmaan semula PPSMI dan dilaksanakan semula secara tergesa-gesa tanpa mendapat pandangan pihak-pihak berkepentingan dalam pendidikan dan lain-lain.

Dapatan Hasil Kajian Ilmiah Oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) terhadap 160 sekolah dan 15,089 pelajar serta 553 guru akan keberkesanan PPSMI terbukti amat negatif.

Analisis pencapaian murid kohort 2 (2003-2009) SK dalam ujian/ peperiksaan peringkat sekolah mata pelajaran matematik mengikut gred purata mata pelajaran (GPMP) bagi 56 buah sekolah rendah yang meliputi 1942 orang murid oleh Jemaah Nazir, KPM ternyata menunjukkan kegagalan PPSMI.

Kajian kesan dasar PPSMI di sekolah rendah dan menengah fasa 2 yang diketuai oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak bin Haron (UPSI) yang ternyata negatif.

Pelaksanaan dasar dwibahasa ini adalah tidak adil dan mewujudkan jurang prestasi sains dan matematik UPSR antara SK, SJKC dan SJKT.

Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil pendekatan dan prioriti yang salah mengutamakan bahasa inggeris dan mengabaikan kecemerlangan sains, matematik dan teknologi yang lebih kritikan.

Pelaksanaan DLP akan menggagalkan dan bertentangan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

Pelaksanaan DLP bercanggah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152(1), 152(6) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/ 1967, Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) serta Perlembagaan Umno, Fasal 3.5 dan Rukun Negara. – HARAKAHDAILY 8/4/2016

Sumber HD - 8-4-2016
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


PAS bantah DLP

NASRUDIN HASSAN | .


1. PAS menyeru seluruh ahlinya dan warga prihatin hadir ke Perhimpunan Aman Bantah DLP anjuran badan-badan bukan kerajaan dan tokoh-tokoh pejuang bahasa bagi mendengar secara langsung hujah dari para pejuang bahasa kenapa DLP mesti dibantah.

2. Maklumat Himpunan Aman tersebut seperti berikut:

Tarikh: 9 April 2016
Hari: Sabtu
Masa: 2.30 petang
Tempat: Padang Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur
Tema pakaian: Warna PUTIH

3. Kenapa PAS sokong bantahan ini?  Selain daripada hujah yang akan diutarakan pada hari himpunan tersebut, asas utama kenapa PAS turut serta membantah ialah:

a) Adalah tanggungjawab PAS untuk meninggikan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Di dalam Perlembagaan PAS; Fasal ke 6, item 7:

"Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran."

b) Pengenalan DLP bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri pada perkara 152 (1) dan (6) yang menetapkan Bahasa Melayu selaku bahasa rasmi negara ini.

c) Perlaksanaannya adalah tidak seiring dengan kandungan Akta Bahasa Kebangsaan (syeksen 2) dan Akta Pendidikan (syeksen 17). Begitu juga ianya tidak mendokong usaha yang diterapkan melalui Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960.

Justeru itu, anda semua dijemput hadir beramai-ramai ke himpunan ini untuk mendengar sendiri secara lebih lanjut hujjah tokoh-tokoh bahasa di samping menyatakan solidariti kita terhadap perjuangan pejuang bahasa untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Sekali gus menjadi isyarat jelas kepada kerajaan agar memansuhkan DLP.

(DLP ialah: Pelaksanaan Program Dwi Bahasa dalam subjek Matematik, Sains, Teknologi Maklumat & Komunikasi dan Reka Bentuk & Teknologi)

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber HD - 8-4-2016

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Himpunan aman bantah DLP dipindah ke Tasik Titiwangsa




HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Himpunan aman membantah pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka pada 9 April (Sabtu) ini jam 2.00 hingga 4.30 petang dipindah ke padang Tasik Titiwangsa.

Setiausaha Kongres Rakyat, Nasrudin Hassan berkata pertukaran tempat itu atas sebab yang tidak dielakkan.

Menurutnya, ini kerana Dataran Merdeka ada majlis lain yang berlangsung pada hari dan masa yang sama.

"Kesulitan yang dialami sangat kami kesalkan," ujarnya dalam satu kenyataan ringkas. - HARAKAHDAILY 6/4/2016

Sumber HD - 6-4-2016
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rakyat perlu bangkit bantah DLP

HARAKAHDAILY | .


Kerajaan sekali lagi menimbulkan kontroversi dalam pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan nasional.

Setelah suara penentangan rakyat terhadap perlaksaan program dwibahasa dalam pendidikan (DLP) yang merupakan versi baru PPSMI mula disuarakan kerajaan mengambil sikap memekakkan telinga.
Nampaknya kerajaan tidak serius dalam mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan negara.

Setelah PPSMI dapat dikekang dan kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan diteruskan, kini versi baru mengenepikan Dasar Bahasa Kebangsaan ditampilkan iaitu DLP. Malah pelaksanaan DLP di hampir 300 buah sekolah sudahpun dilaksanakan.

Rasional untuk melaksanakan DLP kembali menimbulkan persoalan, sejauh mana dasar bahasa kebangsaan benar-benar mahu direalisasikan oleh kerajaan.

Ketika PPSMI dibantah oleh rakyat dan akhirnya diumum tidak diteruskan, hujah yang sangat kukuh digunakan oleh demonstrasi rakyat membantah PPSMI ialah penggunaan bahasa kebangsaan sebagai medium tidak menyebabkan penguasaan ilmu terbantut.

Apakah sebenarnya yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan bagi memartabatkan bahasa kebangsaan sekali gus memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan dalam pembangunan negara?

Soalnya kenapa kerajaan maseh terperangkap dalam sindrom tidak percaya kepada kemampuan negara ini dimajukan dengan bahasa kebangsaan.

Kami berpendapat punca yang menjadi isu memertabatkan bahasa kebangsaan kembali menjadi kontraversi ialah pemimpin kerajaan maseh terperangkap dalam sindrom tidak percaya diri kepada keupayaan bahasa sendiri.

Akibat terlalu teraju dengan persepsi bahawa Bahasa Inggeris lebih superior dari bahasa sendiri, maka bahasa kebangsaan dianggap tidak lengkap.

Dengan yang demikian sikap mengalah apabila ada pihak yang beria-ia mahu Bahasa Inggeris diutamakan atas alasan bahasa itu sahaja yang boleh membawa negara setaraf dengan standard dunia menyebabkan kerajaan tidak berpegang teguh kepada prinsip perlembagaan yang meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

DLP tiba-tiba muncul kononnya atas nama mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris akan tetapi ternyata ia hanya suatu penjenamaan baru kepada PPSMI. Tujuan akhirnya tetap sama iaitu menjadikan Bahasa Inggeris kembali sebagai pengantar kepada sistem pendidikan nasional.

Rakyat berhak membantah keputusan kerajaan ini kerana kerajaan sendiri nampaknya tidak menghormati Dasar Bahasa Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Jelas kerajaan tunduk kepada segelintir kelompok elit yang ghairah dengan bahasa penjajah dan melobi supaya bahasa kebangsaan dikelaskeduakan di negara ini.

Kami turut membantah dengan keras pelaksanaan DLP. Pihak Kementerian Pendidik tidak melakukan perundingan dan semak pandangan dengan pakar bahasa untuk menimbang kesan pelaksanaan DLP.

Kami menuntut supaya DLP tidak diteruskan dan rakyat berhak untuk membantah polisi kerajaan yang tidak konsisten menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim
3 April 2016 - HARAKAHDAILY 3/4/2016

Sumber HD - 3-4-2016

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


DLP: Kenapa tawar pilihan untuk sesuatu yang gagal?



MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ | .


Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan yang menyatakan DLP adalah program pilihan justeru ia dikatakan adalah suatu yang baik untuk diteruskan.

Abim berpandangan bahawa tindakan kerajaan yang membuka pilihan untuk diajar subjek sepertI STEM (Sains Teknologi & Matematik) di Sekolah Kebangsaan dalam Bahasa Inggeris menerusi DLP adalah satu kesilapan besar.

Ia seolah-olah menunjukkan kerajaan sengaja mengada-adakan perlumbaan antara Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sedangkan tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara, memartabat dan memperkasa Bahasa Kebangsaan serta mencorak identiti pelajar sekolah kebangsaan berdasarkan asas pendidikan kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan bukan mengada-adakan perlumbaan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Abim juga ingin melahirkan kehairanan mengapa kerajaan memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih sesuatu dasar yang sudah terbukti gagal?

Rujukan kami adalah kajian kepada Dasar PPSMI yang dibuat oleh Jemaah Nazir Persekutuan KPM sendiri menerusi sampel ke atas 1942 murid tahun 5 kohort 2 (2004) dari 56 sekolah yang menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi.

Selain itu, kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), menerusi 90 SR, 70 SM yang meliputi 15,089 pelajar di bandar, luar bandar, sekolah pedalaman, dan SK Pulau telah menunjukkan:

- Untuk sekolah rendah mata pelajaran Sains hanya menyumbang peningkatan BI sebanyak 0.7% & Matematik tiada sumbangan.

- Sekolah Menengah (Aliran sastera) bagi subjek Matematik hanya 1.0%, dan subjek Sains hanya 0.6%

- Sekolah Menengah (Sains) Kimia 2 - 0.6% Matematik Tambahan 0.3%.

Justeru, tindakan kerajaan untuk melaksanakan DLP dengan tujuan untuk memperkasa Bahasa Inggeris adalah satu tindakan yang membingungkan, mengelirukan serta tidak bertitik tolak berasaskan fakta dan kajian.

Selain itu, hasil ujian Antarabangsa - TIMMS 2007 dan PISA 2012 sewaktu era PPSMI- Kedudukan Malaysia telah menjunam - kumpulan satu pertiga terbawah berbanding TIMMS 1999 & 2003 (sebelum PPSMI) - dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.

Lantaran, Abim mengulangi tuntutan untuk kerajaan fokus kepada agenda memperkasa subjek Bahasa Inggeris di Sekolah bukan dengan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di Sekolah Kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terdiri dari ahli akademik, NGO, parti politik, aktivis masyarakat, sasterawan, golongan pelajar, seniman dan budayawan yang turut sama dalam perarakan mengusung Keranda 152 ketiga dalam sejarah negara pada 26 Mac 2016 sebagai manifestasi kepada kekecewaan terhadap tindakan kerajaan yang memungkiri janji untuk memartabat Bahasa Kebangsaan dan memansuhkan dasar atau program mirip PPSMI. - HARAKAHDAILY 30/3/2016

Penulis ialah Setiausaha Agung Abim.

Sumber HD - 30-3-2016
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PKPIM bantah DLP, usung keranda 152 tanda protes

HARAKAHDAILY | .


PKPIM merujuk kepada kedegilan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang meneruskan juga pelaksanaan program Dwibahasa (Dual Language Program) yang diperkenalkan awal tahun ini di 300 buah sekolah rintis seluruh Malaysia.

PKPIM menyatakan pendirian sikap kami yang konsisten membantah pelaksanaan program DLP yang pada hemat kami tidak menyelesaikan masalah penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia.

Ini jelas ditunjukkan dalam pendirian kami melalui kenyataan media PKPIM pada 06 November 2015 dan 15 Februari 2016 (Hujah-hujah bantahan dikemukakan dalam kedua-dua kenyataan media tersebut).

Menginsafi kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar, PKPIM selaku pertubuhan pelajar peringkat nasional menyokong usaha-usaha pengukuhan Bahasa Inggeris tetapi bukan dengan kaedah program Dwibahasa DLP ini yang jelas-jelas 'menghidupkan' semula "dasar gagal" Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dijanjikan oleh kerajaan untuk dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2020/2021.

Siri rundingan telah dibuat dengan pihak bertanggungjawab. Para sarjana, sasterawan dan budayawan jelas membantah dasar ini tetapi tidak dipedulikan. Soalan-soalan yang kami ajukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya dalam aspek teknikaliti dan mekanisme pelaksanaan 'dipekakkan' sahaja.

Hujah balas kerajaan, menteri dan KPM mudah, sama ada mengulang hujah lama PPSMI (yang gagal) atau cuba memburukkan pihak yang membantah dengan tuduhan jumud dan anti-Bahasa Inggeris.

Sikap seperti ini jelas tidak profesional. Justeru, PKPIM bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI, Badan Bertindak Pendidikan Kebangsaan, gerakan sivil dan organisasi pendidikan dan kemasyarakatan bersepakat untuk menganjurkan demonstrasi Bantah DLP hari ini, jam 2:30 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kami menyeru para mahasiswa, para pendidik, para aktivis dan masyarakat awam untuk sama-sama berperanserta dalam demonstrasi aman petang ini.

Dalam demonstrasi hari ini, kami akan kembali mengusung "Keranda 152" sepertimana yang pernah berlaku pada Mac 1967 dan Mac 2009.

Harapan kami kepada kerajaan Malaysia, Perdana Menteri dan KPM, bersikap teluslah dalam isu ini.  Kegusaran kami adalah berasas demi kepentingan anak bangsa Malaysia yang dicintai. Mohon kerajaan hentikan tindakan memperjudi nasib anak bangsa Malaysia yang kita cintai ini.

MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH
Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) - HARAKAHDAILY 26/3/2016

Sumber HD - 26-3-2016

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Peserta bantah DLP tidak dibenar ke Dataran Merdeka




SALMIYAH HARUN | .


KUALA LUMPUR: Pihak polis tidak membenarkan para peserta himpunan aman membantah Dual Language Programme (DLP) untuk ke Dataran Merdeka.

Mereka dibenarkan berhimpun di stesen LRT Masjid Jamek, petang ini.

Wakil-wakil NGO yang membantah DLP berucap di situ.

Selain berucap ada dalam kalangan mereka menyampaikan puisi.

Sebelum ini, Prof Dr Shahrir Md Zain bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad berbincang dengan pihak polis untuk meminta kebenaran ke Dataran Merdeka, bagaimanapun tidak dibenarkan. - HARAKAHDAILY 26/3/2016

Sumber HD - 26-3-2016
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DLP punca krisis mata pelajaran Sains




MUHAMMAD FAIZAL | .


KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin menegaskan negara ini bakal berdepan krisis mata pelajaran Sains jika kerajaan meneruskan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP).

Beliau yang berucap pada himpunan Bantah DLP hari ini berkata DLP juga bercanggah dengan dasar untuk mencapai matlamat nisbah mata pelajaran.

"Kita dapati dasar ini bercanggah dengan dasar unuk mencapai matlamat nisbah mata pelajaran 60 peratus Sains dan 40 peratus bagi Sastera.

"Hari ini kita melihat dengan pelaksanaan dasar sebelum ini nisbah teesebut sudah terbaik iaitu sains hanya mancapai 20 peratus manakala sastera 80 peratus. jika ini berlaku kita akan hadapi krisis dalam pelajaran sains," ucap beliau pada himpunan tersebut.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan DLP turut dilihat sebagai satu penderhakaan kepada wasiat sebelum ini yang menutuskan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau menggesa agar kerajaan memansuhkan pelaksanaan DLP bagi memastikan pendidikan anak bangsa terus terbela serta kesejahteraan rakyat. - HARAKAHDAILY 26/3/2016

Sumber HD - 26-3-2016
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bantah DLP di Dataran Merdeka 9 April

SALMIYAH HARUN | .



KUALA LUMPUR: Kongres Rakyat bersama dengan Gabungan Memansuhkan PPSMI akan mengadakan himpunan kemuncak membantah Program Dwi Bahasa (DLP) pada 9 April ini di Dataran Merdeka.

Sekretariat Kongres Rakyat Kamaruzamam Mohamad ketika berucap pada himpunan bantah DLP di Stesen LRT Masjid Jamek mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap dasar baru itu yang bakal menghakis Bahasa Melayu.

"Kita akan bersama-sama rakyat yang prihatin terhadap isu ini akan berkumpul di Masjid Jamek dan akan terus ke Dataran Merdeka.

"Bawa bersama rakan-rakan dan kaum keluarga untuk bersama sebagai tanda bantahan kepada dasar ini," katanya.

Himpunan Bantah DLP hari ini bersurai jam 3.50 petang dengan bacaan doa oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad. - HARAKAHDAILY 26/3/2016

Sumber HD - 26-3-2016

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Bahasa jiwa bangsa dan DLP




TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .


BAHASA JIWA BANGSA DAN DLP (DUAL LANGUAGE PROGRAMME / PROGRAM DWIBAHASA)

Allah SWT menjelaskan firman-Nya menerusi Al-Quran:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِ:للعالمِينَ

"Dan sebahagian daripada ayat-ayatNya (dalil ketuhanan Allah dan kuasaNya) ialah mencipta langit dan bumi, dan menjadikan kamu berbagai bahasa dan warna. Sesungguhnya itu semua menjadi tanda-tanda (dalil- dalil) bagi semua orang-orang yang mengetahui)." (Surah Ar-Rum, ayat 22)

Dalil ini menunjukkan juga betapa pentingnya kedudukan bahasa kepada setiap bangsa, sehingga disenaraikan bersama warna kulitnya yang bersebati dengan jasad.

Peranan bahasa pula untuk berhubung di antara satu sama lain dan memberi ilmu kepada semua serta mendapat ilmu daripada semua pihak dengan mudah. Bahasa termasuk juga sebagai kurniaan Allah kepada setiap bangsa yang digunakan dalam segenap lapangannya melalui lisan dan tulisan. Rasulullah SAW bersabda:

وإن من البيان لسحرا

"Sebahagian daripada bahasa yang disampaikan dengan baik itu boleh menarik laksana sihir."

Sehingga ada ulamak yang berkata, "Inilah satu-satunya ilmu sihir yang halal."

Kajian yang panjang dan mendalam dilaksanakan oleh UNESCO, bahawa bahasa ibunda masing-masing adalah paling berjaya dalam pelajaran dan pendidikan sesuatu bangsa dan umat. Adapun menimba ilmu daripada bangsa lain memerlukan bahasa asing daripada berbagai kalangan kaum yang dipilih kerana ilmunya. Menggayakan berbagai ilmu kepada sesuatu bangsa pula diterjemahkan ke dalam bahasa ibundanya supaya dapat memberi ilmu kepada seramai-ramainya dalam kalangan bangsa itu.

Tamadun Islam terbukti, bukan dengan cara seluruh umat Islam mempelajari bahasa asing, hanya beberapa orang sahaja yang dipilih oleh Rasulullah SAW dan para Khalifah selepasnya mempelajari bahasa asing untuk mengambil ilmu yang bermanfaat daripada berbagai bangsa yang bertamadun di seluruh dunia walaupun tidak berasas kepada hidayah, tetapi diambil ilmu bermanfaat sahaja. Seterusnya, menterjemahkan ilmu itu ke dalam bahasa Arab, bahasa rasmi umat Islam berpandukan hidayah Allah daripada Al-Quran dan Sunnah yang menjadi mukjizat ilmu.

Begitulah juga tamadun barat menciplak tamadun Islam dalam aspek sains dan teknologi sahaja, bukan dengan semua mereka mempelajari bahasa arab, hanya segelintir sahaja yang mempelajari bahasa Arab. Tamadun barat tanpa hidayah itu, menjadikannya tidak beriman dan budiman,  hanya mencapai kemajuan sementara waktu sekadar sains dan teknologinya, maka tamadunnya terbatas  dan sedang merudum membakar diri sendiri pada hari ini.

Semua perkara bersejarah ini wajib menjadi iktibar kepada umat Islam khususnya. Tegasnya kejatuhan umat Islam dan hilang tamadunnya kerana meninggalkan ajaran Islam. Ada pun merudumnya tamadun terdahulu dan barat terkini, kerana duniawinya tanpa mengambil Islamnya. Kerana Islam adalah "Ad-Din" yang merangkumi agama dan semua aspek  kehidupan duniawi, bukan sahaja agama daripada takrif yang sempit.

Semua bangsa yang menganut Islam selepas bangsa arab berjaya memimpin dunia Islam dan tamadunnya dengan bergantung kepada bahasa ibunda masing-masing yang berteraskan Islam sehingga menggunakan bahasa mereka bertulisankan huruf bahasa Al-Quran yang di tambah dengan huruf bunyi bahasanya, seperti bahasa Parsi, Turki dan Urdu. Termasuk bahasa melayu bertulisan huruf Al-Quran, sehingga mencipta tamadun melayu Islam dengan bahasa Melayu yang digunakan oleh rantau Asia Tenggara yang berjumlah  lebih daripada tiga ratus juta pada hari ini.

Dunia kini menyaksikan  kebangkitan bangsa saperti Jerman dan Jepun yang kalah teruk dalam perang dunia, China, Korea, Perancis dan lain-lain negara yang mencapai tahap negara maju, adalah melalui pendidikan awal dan tinggi dalam negaranya dengan bahasanya sendiri. Bahasa asing hanya untuk melanjutkan pelajaran di berbagai negara lain.

Semua negara yang mengekalkan bahasa penjajahnya, bermula daripada pemimpin sehinggalah peminta sedekah di jalanan bercakap bahasa Inggeris, negaranya terus mundur terkebelakang menjadi pengekor, dan bangsanya kehilangan jati diri.

Ibnu Khaldun menegaskan dalam Muqaddimahnya:

أن المغلوب مولع أبداً بالاقتداء بالغالب          
مقدمة ابن خلدون ص: 73، بترقيم الشاملة آليا

"Bangsa yang lemah dikalahkan (dijajah) seringkali selama-lamanya tergoda atau terpengaruh   kepada  yang mengalahkannya (penjajah) yang dianggap lebih kuat."

Menyebabkan bangsa itu kehilangan jati diri atau hilang jiwa bangsanya, menghina dirinya, menjadikannya terus terkebelakang mengikut penjajahnya daripada politik, ekonomi sehinggalah kebudayaannya. Paling ramai terpengaruh dengan perkara-perkara yang melemahkannya yang diatur oleh penjajah itu. Penjajah pula tidak mengizinkan sekali-kali bangsa dan negara jajahannya maju sepertinya.

Apa yang diusahakan oleh para pejuang kemerdekaan Malaysia, khusunya kalangan bangsa Melayu daripada semua kalangan dan fahaman, termasuk bukan melayu yang diterima menjadi anggota masyarakat majmuk, sehingga berjaya meletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Fasal 3 (Islam adalah agama persekutuan dan hak kepada penganut agama lain), serta Fasal 152 (Bahasa Melayu  menjadi Bahasa Kebangsaan dan hak bahasa ibunda berbagai kaum). Sepatutnya, dipanjangkan bagi mengisi kemerdekaan dengan Islam yang sempurna dan bahasa kebangsaan menjadi bahasa negara sebenarnya, bahasa ilmu, pentadbiran dan kehakiman, tetapi malangnya dihentikan dan dipesongkan.

Kegagalan Malaysia menjadi negara maju, setelah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan, dengan hasil bumi yang melimpah ruah dan tenaga manusia Melayu dan berbagai kaum, adalah kerana gagal membangun manusianya melalui sistem pendidikan dan pelajaran  dengan bahasa rakyatnya, seterusnya menjadikannya gagal mengurus hasil bumi yang melimpah ruah. Sehingga para pemimpin dan rakyatnya tidak ada jati diri, malu beramal Islam  yang sempurna dan malu menggunakan bahasa kebangsaannya yang rasmi dalam tanah airnya sendiri.

Sedangkan pemimpin negara lain, ada yang boleh berbahasa lebih daripada tiga, atau empat bahasa tersohor di dunia, tetap menggunakan bahasa ibundanya sehingga di persada antarabangsa dan menjadikan bahasa ibundanya bahasa ilmu untuk rakyatnya, temasuk perlembagaan dan undang-undang negara, serta pentadbirannya dan perjanjian dengan pihak lain berasaskan bahasanya sendiri, menjadi tempat pergantungan melawan pengaruh luar yang boleh menghakiskan jati diri bangsanya.

Generasi awal pemimpin negara berusaha mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan sehingga menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka, mengadakan Universiti Kebangsaan, bagi susulan kepada sistem pendidikan kebangsaan dan melangkah supaya seluruh pentadbiran dan kehakiman dengan bahasa kebangsaan, adalah usaha terpuji bagi mengambalikan umat kepada jati diri sepenuhnya.

Tiba-tiba generasi pelapisnya berpusing kebelakang sehingga mencelupkan bahasanya dengan bahasa Inggeris  yang tebal, sehinggalah  menghilangkan peranan bahasa kebangsaan, dihakiskan dalam penggunaan bahasa sendiri daripada dalam keluarga dan masyarakat, sehinggalah di jalan raya dan perniagaan, jangkaanya menjadi maju seperti England dan Amerika, tiba-tiba lebih mudah menjadi pak turutnya di belakang bukannya diberi kemajuannya.

Tidak dinafikan perlunya mempelajari bahasa asing daripada bangsa-bangsa yang lebih maju sebanyak-banyaknya, tetapi bukannya mengerah seluruh rakyat, kerana hanya segelintir sahaja yang berjaya menguasai bahasa ilmunya, yang paling besarnya sekadar mendapat bahasa untuk diri walaupun laksana rujuk yang bercampur berbagai sebutannya, hanya  mampu bagi membuka media baru langit terbuka tanpa sempadan untuk mengambil ilmu pengetahuan perosak agama, akhlak dan jati diri kerana tenggelam dalam lautan manusia yang sudah parah tercemarnya.

Maka bajet besar untuk DLP laksana mencurah garam ke dalam laut tercemar itu , di mana mangsanya ialah beberapa generasi yang tenggelam ke dalamnya kerana melahirkan bangsanya yang tidak berjiwa, cerdiknya  yang tidak boleh ditumpang dan bodohnya hilang perhitungan.

Menjadikan didikan rakyat seramai mungkin kalau tidak seluruhnya, wajib menuntut ilmu dengan bahasa ibundanya sendiri. Islam yang mewajibkan fardu ain ke atas tiap-tiap penganutnya lelaki dan perempuan mempelajari solat yang ditunaikan dengan bahasa arab, namun belajarnya tetap dengan bahasa melayu, termasuk ibadat puasa dan akhlak mulia yang tidak bercakap juga dipelajari dengan bahasa melayu, mahu menunaikan haji ke Makkah kursusnya dalam bahasa Melayu.

Bagaimana mahu melahirkan ilmuan sains dan teknologi seramai-ramainya dalam kalangan bangsa dengan bahasa asing? Maka terang lagi bersuluh, bahawa agenda DLP adalah angkara penasihat yang berilmu salah dan menyesatkan rakyat dan merosakkan negara. Asal tujuan mempelajari bahasa asing supaya cerdik meningkatkan ilmu dan jangan ditipu, tetapi salah langkahnya menjadikannya ramai yang tertipu dan ditipu.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
14 Jamadil Akhir 1437H / 23 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 23/3/2016

Sumber HD - 23-3-2016
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DLP bukan penyelesaian kelemahan berbahasa Inggeris

NASRUDIN HASSAN | .





Pelaksanaan ‘Dual Language Programme’ (DLP) atau Program Dwibahasa bukan suatu jawapan kepada penyelesaian kepada kelemahan berbahasa Inggeris dalam kalangan graduan universiti hari ini. Ia sebaliknya akan mengundang kepada permasalahan lain yang lebih parah.

DLP adalah inisiatif gelombang kedua bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dibawah inisiatif Peningkatan Bahasa Inggeris dan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ia adalah proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek Sains, Matematik dan Teknologi Maklumat melibatkan Tahun 1, 4 dan Tingkatan 1 yang menggunakan Bahasa Inggeris.

DLP tidak lain hanyalah jelmaan kepada dasar PPSMI yang telah dimansuhkan pada 2009. Kajian yang dijalankan terhadap para pelajar kesan dasar PPSMI menunjukkan hanya 10-12 peratus guru menggunakan Bahasa Inggeris dalam proses P&P subjek yang berkenaan. Selain itu, hanya 6.2 hingga 9.1 peratus murid Tahun 5 menyatakan keselesaan belajar dalam Bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains.

Data ini menunjukkan kegagalan PPSMI bukan sahaja meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, malah, meninggalkan kesan negatif terhadap proses P&P bagi subjek Sains dan Matematik. DLP hanyalah bayangan kepada kegagalan PPSMI meskipun ia bersifat pilihan kepada sekolah.

Lebih membimbangkan adalah kesenjangan sosio ekonomi di antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar dan pedalaman di samping akan memperlihatkan martabat Bahasa Melayu yang semakin rendah.

PAS konsisten menegaskan bahawa pembelajaran Sains dan Matematik mesti menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Ini juga ditekankan dalam forum-forum antarabangsa melibatkan Unesco, Bank Dunia, ‘World Declaration on Education for All’ (EFA), dan juga ‘the UNO General Assembly’s Convention on the Child’s Right’ yang menekankan kepentingan penggunaan ‘mother tounge’ sebagai bahasa pengantar dalam proses pembelajaran.

Sewajarnya perkara ini mendapat perhatian yang lebih serius oleh kerajaan sebelum mengemukakan sebarang polisi terutamanya melibatkan pendidikan kepada rakyat. Namun, sikap terburu-buru kerajaan sering kali mengundang rasa tidak senang para guru dan ibu bapa yang juga boleh mengundang kesan negatif terhadap pendidikan di negara kita.

Insya Allah, PAS sama-sama mendukung hasrat Kongres Rakyat bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI m embantah perlaksanaan DLP dan PAS menyatakan penyertaan ke Himpunan Aman Bantah DLP yang dianjurkan oleh Kongres Rakyat, GMP dan GIPK di Dataran Merdeka pada 9 April 2016 kelak.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 17/3/2016

Sumber HD - 17-3-2016

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Himpunan aman bantah DLP pada 9 April




HARAKAHDAILY | .



Jawatan Kuasa Kongres Rakyat yang telah bermesyuarat pada 6 Mac 2016 yang lalu telah bersetuju untuk menganjurkan satu himpunan aman membantah pelaksanaan Program Dwibahasa atau Dual Language Program (DLP) di Dataran Merdeka pada 9 April 2016 akan datang bersama GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) dan GIPK (Gerakan Isu-Isu Pendidikan Kebangsaan).

Tentatif himpunan akan dimaklumkan kemudian.

Insya Allah penganjuran ini akan melibatkan penyertaan bersama pejuang-pejuang bahasa, NGO-NGO yang aktif membantah pelaksanaan Program Dwibahasa ini.

Urusan permohonan guna lokasi dan kebenaran berhimpun akan diuruskan oleh pihak Sekretariat Kongres Rakyat dengan pihak berkuasa dalam masa terdekat.

Kongres Rakyat mengharapkan kerjasama baik dari pihak berkuasa bagi menjayakan himpunan ini.

Objektif himpunan ini adalah bagi menyatakan sikap dan bantahan rakyat kepada kerajaan ekoran perlaksanaan DLP yang dilihat jelas merugikan negara dan anak bangsa sekali gus mengheret  sistem pendidikan negara terhumban jauh ke belakang.

Kongres Rakyat turut menyeru penyertaan semua pihak, khasnya penuang bahasa, NGO prihatin, individu, tokoh akademik yang memahami betapa DLP ini perlu dimansuhkan.

Membina Malaysia Sejahtera

Nasrudin Hassan
Setiausaha Kongres Rakyat - HARAKAHDAILY 15/3/2016

Sumber  HD - 15-3-2016
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

DLP bakal ulangi kegagalan pelaksanaan PPSMI

USTAZ IDRIS AHMAD | .


SAYA akan berucap untuk membahaskan beberapa isu terutamanya ialah berkenaan dengan hal yang berhubung kait dengan program DLP iaitu program yang berhubung kait dengan dual language program yang asasnya ialah untuk mempertingkatkan bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar yang terdapat di negara ini. Ia telah pun bermula pada tahun ini dengan sekolah perintisnya sebanyak 254 buah kalau ikut maklumat, tetapi yang disebut oleh kementerian sebanyak 300 buah sekolah yang telah pun mengadakan program DLP sebagai satu projek rintis.

Pelik kerana DLP ini tidak pun disebut di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Ia diadakan hanyalah berdasarkan kepada surat pekeliling yang bertarikh 9 November 2015 kepada semua pengarah pendidikan negeri, sedangkan ini merupakan satu dasar yang besar. Macam mana ia hanyalah berdasarkan kepada surat pekeliling semata-mata?

Ini bukan bermakna saya menyokong penuh terhadap untuk hendak memperkukuhkan bahasa Inggeris kerana bahasa Inggeris ini ialah bahasa yang kita kena belajar dan kita kena perkukuhkan. Persoalannya ialah kerana ini mengulangi balik bagaimana sejarah kegagalan PPSMI yang telah pun kita lalui dan sehingga mengakibatkan menjadi mangsa kepada 3 juta pelajar dan melibatkan kos sebanyak RM5.2 bilion. DLP ini ialah dengan izin, rebranding balik PPSMI.

Ini kerana mengikut kajian kesan dari dasar PPSMI yang telah pun dilakukan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron, di mana finding kepada kajian mereka, matlamat untuk meningkatkan mata pelajaran Sains dan Matematik tidak tercapai, bahkan merosot. Apa yang paling malang sekali dia kata, bahasa Inggeris juga tidak kesampaian untuk hendak ditingkatkan.

Yang pelik dan hairan lagi, kenapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina tidak terlibat dengan program DLP. Dimaklumkan di kalangan pihak mereka, mereka mempertahankan untuk mempelajari soal Sains dan Matematik serta teknologi, mereka hendak supaya belajar di dalam bahasa ibunda mereka. Ini sudah berlakunya soal double standard terhadap pelajar-pelajar yang berada di sekolah aliran kebangsaan.

Saya juga ingin menuntut penjelasan daripada pihak kementerian mengenai pencapaian terkini Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris yang diperkenalkan sejak 2010. Kenapa tidak diberikan insentif kepada mereka yang belajar di sekolah yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia kerana ada asas untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Kenapa guru yang mengajar Bahasa Malaysia tidak diberikan insentif seperti mana yang diberikan kepada guru yang mengajar Bahasa Inggeris? Contohnya guru bahasa Inggeris diberikan kursus Pro-ELT dan mereka yang mencapai C2 dalam Cambridge English Placement Test (CPT), C2 mereka memperoleh sebanyak RM5,000. Kalau dapat C1 memperoleh imbuhan sebanyak RM3,000.

Dasar ini kita melihat ia perlu kita bantah dan perlu pihak kementerian kembali kepada asasnya. Ini kerana mengikut kajian, sepatutnya kementerian kena mengambil perhatian bagaimana kajian ilmiah yang dibuat oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional iaitu PEMBINA yang mana diketuai oleh Dato’ Haji Abdul Raof Hussin. Dato’ Haji Abdul Raof Hussin ini merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Beliau telah membuat kajian bersama-sama dengan 53 orang pensyarah yang difahamkan kajian ini memakan belanja sebanyak RM1 juta daripada lapan buah universiti yang diketuai oleh Profesor Dr. Muhammad Sandri Gani Hamzah daripada UPSI. Saya melihat kajian ini yang melibatkan 90 buah sekolah rendah, 70 buah sekolah menengah, 553 orang guru yang mengajar di sekolah-sekolah bandar, luar bandar, di pulau, sekolah Orang Asli. Mereka buat kajian melibatkan 15,089 orang responden yang terdiri daripada kalangan murid-murid sekolah.

Ini kajian yang saya rasakan yang saya sendiri pernah terlibat dalam kajian waktu menjadi pensyarah dahulu, kita melihat ini kajian yang sampling ataupun responden yang begitu tinggi. Rumusan yang dibuat ialah untuk pencapaian kepada PPSMI yang dicadangkan dahulunya hanyalah mencapai 4% sahaja daripada apa yang dihajatkan oleh pihak kerajaan.

Kesan daripada sini kita melihat kita tidak hendak melihat bagaimana Program DLP ini mengulangi bagaimana kegagalan PPSMI. Saya merayu sangatsangat, kementerian ini apabila hendak buat satu dasar, biar tanya ahli dia. Tanya orang yang terlibat dalam bidang pendidikan. Ini kajian yang diketuai oleh Datuk Raus ini orang yang pernah bergelumang hampir dengan 40 tahun yang pernah menjadi Guru Besar Sekolah Menengah Sains Selangor dan akhirnya menjadi orang nombor dua di dalam Kementerian Pendidikan.

Mereka hari ini mengetahui dalam satu bentuk dalam kumpulan yang terdiri dari kalangan hampir 70 orang profesor. Antaranya ialah Profesor Shaharir Mohamad Zain, Profesor Dr. Wan Ramli dan juga Profesor Abdullah Hussain serta tokoh-tokoh bahasa yang lain. Mereka ini memberitahu DLP ini akan mengulangi kegagalan yang dialami oleh PPSMI. Sepatutnya kementerian kena dengar orang macam ini. Tak usah dengar saya tidak apa, mungkin orang politik PAS ini orang kata buatlah apa pun tidak betul, tidak apa. Akan tetapi dengar orang yang neutral, orang yang terlibat dalam dunia pendidikan kerana kita tidak hendak anak cucu kita menjadi mangsa kepada dasar ini.

Sebab itu kita tengok kesan yang kita lihat tadi, Matematik dan Sains pun tidak ke mana kita bimbang seperti pepatah sebut, “yang dikendong keciciran yang dikejar tidak dapat”. Menurut Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron lagi, dia telah pun memberikan cadangan, mereka ini bukan sahaja menentang kerana kita bercakap soal untuk hendak meningkatkan bahasa Inggeris bukan bererti kita menentang kerana hadis Nabi SWT pun menyebut... [Membaca sepotong hadis] “Belajarlah bahasa asing, kamu aman daripada tipu daya”.

Bukan sahaja bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, bahasa Arab, kita kena belajar tidak ada masalah. Bahasa Cina dan sebagainya boleh belajar dan dalam hal ini mereka membuat cadangan yang bersifat membina ataupun konstruktif. Kerana apa, dalam kajian mereka telah pun memberitahu pendekatan modul alternatif yang dipanggil English in Context for Content (ECC) untuk peningkatan PMP Bahasa Inggeris mesti bermula daripada sekolah rendah lagi, kerana beliau berpandangan kajian mereka berkata kaedah mengajar TESL yang sekolah kebangsaan hari ini kurang sesuai, ini menurut dia. Keduanya tengok dia kata buku teks dan latihan bahasa Inggeris perlu ditukar dengan adanya bacaan tambahan untuk membolehkan pelajar-pelajar membuat latihan membaca dan juga menulis.

Ketiga, cadangan mereka Kelab Bahasa Inggeris boleh mengadakan pelbagai aktiviti kokurikulum dengan menggunakan bahasa Inggeris seperti mana berlakon, soal jawab, bermain ataupun language game dan sebagainya. Ini cadangan-cadangan yang kita dapat lihat daripada mereka yang telah pun memberikan pandangan ini. Begitu juga ada cadangan dari kalangan jawatankuasa ini, mereka menyebut boleh kita menggunakan pendekatan pedagogi yang pernah digunakan pakai oleh American Peace Corps untuk sukarelawan American Peace Corps yang berjaya mengajar Matematik dan Sains sepenuhnya dalam bahasa Malaysia. Menurut saudara, Encik Halim Fauzi CML dia telah memberitahu dalam masa 12 minggu sahaja mereka telah pun boleh untuk menguasai bahasa ini.

Itu isu yang pertama. Kemudian isu OKU. Orang kurang upaya, bukan Orang Kuat UMNO. OKU. Marah pula. [Ketawa] Okey, petang-petang ini sentuh...

Okey, iaitu untuk berkenaan kebajikan orang kurang upaya. Ini kerana dalam Rancangan Malaysia Kesebelas kerajaan ada menyebut berkenaan dengan Pusat Kehidupan Berdikari untuk Independent Leaving Center (ILC) untuk manfaat OKU pelbagai kategori. Jadi saya hendak tanya di sini sejauh manakah adanya kerangka kursus yang berkaitan dengan projek ILC ini terutamanya dari kalangan untuk kita menampung ataupun memberikan kebajikan kepada OKU yang berada di luar bandar terutamanya yang mereka berada di luar Lembah Klang kerana mereka ini masih lagi terdiri daripada kalangan yang tercicir dari segi sudut kebajikan dan sebagainya.

Kuota Kursus kita harap dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk sara hidup OKU. Harapan saya jangan mereka ini dipinggirkan, tidak guna kalau kita cakap tentang pendapatan negara yang tinggi sedangkan golongan ini golongan yang kita pinggirkan.

Kerana saya melihat dari segi banyak perkara yang berlaku. Kadang-kadang saya minta sangat-sangat supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya permudahkan soal pengurusan orang-orang kurang upaya ini dalam mereka ini berhubung kait dengan soal birokrasi. Ini kerana setiap tahun mereka ini terpaksa renew berkenaan dengan status mereka di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kita tengok kadang-kadang mereka ini sudah susah. Hendak pergi memakan masa ataupun perlukan kepada kenderaan ataupun peluang. Sepatutnya automatik sahajalah ataupun kalau tidak pun tidak ramai mana. Kalau boleh dari kalangan pegawai itu pergi sendiri ke rumah-rumah OKU ini tadi supaya kita sendiri yang daftar mereka.

Antara perkara yang saya harapkan supaya dipertimbangkan. Pertama ialah menyediakan tapak niaga untuk usahawan OKU terutamanya di bandar-bandar. Ini sebagai satu perkara yang perlu kita lakukan untuk membantu mereka supaya hidup secara berdikari. Dahulunya kita pernah tengok di Kuala Lumpur ada Wakaf Orang Buta, di Kuala Lumpur satu masa dahulu kita harapkan supaya perkara ini dapat dihidupkan balik untuk membolehkan segala kemahiran yang Allah Taala berikan kepada OKU ini untuk mereka ini sebenarnya tidak hendak menyusahkan orang. Saya tengok orang-orang OKU ini kadang-kadang dia ada inisiatif sendiri, ada daya usaha sendiri yang hendak mencari makan sendiri dan mereka tidak hendak bergantung dengan orang lain. Maka sebab itu kita berikan keutamaan kepada mereka.

Kedua wujudkan kuota khusus dalam menjawat jawatan sama ada di GLC ataupun dalam jawatan kerajaan dan swasta. Kalau swasta itu kita berikan insentif agar mereka ini terutama dalam soal pengecualian cukai dan sebagainya boleh diberikan kepada mereka sebagai galakan untuk menempatkan orang OKU ini di tempat mereka.

Ketiga, libatkan sama OKU yang profesional dan usahawan ini dalam membuat polisi di dalam GLC dan juga di dalam sektor awam.

Keempat, memperuntukkan sejumlah dana bagi penyelidikan yang berkaitan dengan OKU untuk pembangunan OKU yang bersifat holistik. [Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said) mempengerusikan Mesyuarat]

Isu yang ketiga ialah berkenaan dengan kos sara hidup yang juga disebut oleh Yang Berhormat Limbang tadi kerana kita melihat semua hari ini yang bercakap soal berkenaan dengan kos sara hidup yang begitu mencengkam terutama daripada kalangan penduduk-penduduk luar bandar. Kita tengok hari ini, sudah tentu kita lihat berkenaan dengan tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat kita pada hari ini.

Walaupun kita tengok ada berlakunya gaji yang meningkat tetapi tidak sepadan walaupun pernah disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, yang menyebut bahawasanya pendapatan rakyat di Malaysia ini ialah RM5,900. Mungkin adalah dua tiga empat orang satu kampung itu yang ada pendapatan macam ini. Pendapatan yang ini kebanyakannya tidak dimiliki oleh keseluruhan majoriti dari kalangan rakyat kerana kos sara hidup ini terutamanya yang melibatkan soal rumah, pengangkutan, penjagaan kanak-kanak, penjagaan kesihatan, ini di antara kos yang tinggi selain daripada soal untuk kita hendak makan.

Sekarang, kita tengok berlakunya pengangguran di kalangan siswazah. Bagaimana pernah dilaporkan juga oleh Menteri. Seramai 161,000 dari kalangan siswazah yang menganggur. Ini sudah tentu kerana tidak dapat menampung tempat kerja pada hari ini. Dulu, kita tengok anak-anak kita bila masuk universiti, kita rasa kita sudah terlepas bebanan kita. Sekarang, bila masuk universiti, belum tentu lagi. Sudahlah kena dengan tidak dapat biasiswa, malahan juga kita tengok ada dari kalangan pelajar-pelajar yang masuk fakulti perubatan pada hari ini pun tidak ada biasiswa.

Saya ingat masuk fakulti perubatan dapat biasiswa. Sekarang ini pun fakulti perubatan pun tidak dapat biasiswa. Sepatutnya mereka ini merupakan orang yang pandai, yang cerdik. Hendak masuk fakulti perubatan sekurang-kurangnya mesti dapat 4.0 ataupun 3.9 barulah mereka layak masuk fakulti perubatan. Tiba-tiba mereka juga tidak diberikan biasiswa. Ini satu benda yang amat malang. Keluar pula, kita lihat tidak adanya pekerjaan. Begitu juga hari ini, bankrap kerana menurut daripada Menteri juga, menyebut setiap hari seramai 68 orang setiap hari diisytiharkan bankrap. Tahun 2008 sehingga 31 Januari 2015, terdapat 132,543 kes bankrap.

Jadi apabila tekanan hidup ini, saya bimbang ialah sudah tentu yang paling saya bimbang ialah meningkatnya permasalahan sosial. Manusia ini apabila dia tidak ada hendak makan, tidak ada minum, dia sudah hilang pegangan agamanya, dia boleh buat macam-macam. Inilah yang paling saya takut sangat. Sebab itu kita harapkan supaya perkara-perkara seperti ini diambil perhatian oleh pihak kerajaan untuk hendak mengatasi benda ini termasuk juga di kalangan siswazah. Apabila mereka keluar universiti, tidak ada kerja, sebenarnya mereka telah mengalami tekanan jiwa. Jiran tanya, anak awak tidak ada kerja lagikah? Pergi balik kampung, jumpa saudara, tidak kerja lagikah? Jadi tekanan kepada anak-anak kita yang keluar universiti yang tidak ada kerja pada hari ini.

Tuan Yang di-Pertua, sekarang kita tengok bagaimana satu kajian yang telah dibuat oleh FOMCA. Persepsi pengguna terhadap apa yang berlaku berkenaan dengan kos sara hidup pada hari ini, mereka berpendapat dan kata, kerajaan sebenarnya tidak bertindak untuk mengekalkan harga barang yang berpatutan. Ini kajian yang dibuat oleh FOMCA yang saya baca di dalam kajian mereka.

Kedua, kegiatan pencatutan oleh peniaga-peniaga ini bermaharajalela. Ertinya yang kaya, bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Ketiga, ialah apabila kerajaan mesti memikirkan juga soal pemansuhan subsidi. Sebab itu saya apabila kerajaan dia buat Kedai Rakyat 1Malaysia, memang harga yang berpatutan dan sebagainya tetapi itu pun tidak sepadan kerana kita yang ada duit pun boleh beli di kedai itu sedangkan kedai itu dapat subsidi. Sepatutnya orang hendak beli di kedai itu hanyalah orang-orang yang tertentu sahaja yang terdiri dari kalangan mereka yang dikategorikan sebagai orang miskin baru layak untuk membeli di kedai yang disebut sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dengan mendapat subsidi daripada kerajaan. Sedangkan ini tidak berlaku, semua orang boleh beli. Akhirnya subsidi yang diberikan itu tidak sampai kepada sasarannya. Terbaru, kerajaan hapuskan subsidi tepung untuk yang 25 kilogram.

Orang tanya 25 kilogram tidak apalah untuk peniaga. Betul. Apabila untuk peniaga, akhirnya yang akan terjejasnya ialah kepada pengguna juga. Kebanyakan orang yang berniaga besar-besar, dia beli secara pukal sedangkan dia tidak diberikan subsidi. Maka dia beli tepung dengan harga yang mahal. Maka akhirnya bebanan itu akan terkena kepada pengguna.

Begitu juga kajian yang diputuskan juga apabila GST diperkenalkan tahun lepas. Kita tengok kenaikan harga barang meningkat. Tadi Yang Berhormat Limbang pun sebut tadi. Di sana sudah tentulah lagi ketara di sebelah Sabah dan Sarawak. Kenaikan harga barang antara 20% hingga 25%. Begitu juga yang paling ketara sekali ialah kita tengok terlalu banyaknya ketirisan yang berlaku, semuanya adalah akibat daripada ketidakbijakan untuk kita ini menyelesaikan permasalahan ini.

Cadangan sepatutnya kerajaan ambil untuk kawal harga. Pertama ialah kena ada pusat harga yang berauthority. Ertinya pusat ini akan declare melalui media tentang kenaikan ataupun penurunan harga. Sebab itu kita tengok kedai-kedai ini, peniaga apabila naik, dia sudah tidak turun. Ini pelik barang ini. Dia lebih kurang umur juga. Bila umur 60 tahun, dia tidak pergi 59 tahun sudah. Harga barang Malaysia pun sama. Bila naik, tidak turun.

Bila petrol naik, dia naik. Bila petrol turun, dia tidak turun. Sebab itu kita katakan tadi mesti ada pusat harga yang berauthority untuk declare tentang kenaikan ataupun penurunan tentang satu harga. Tujuan pusat harga ini ialah sudah tentu antaranya memantau pergerakan harga keperluan dan perkhidmatan.

Kedua, menerbitkan data tentang pergerakan harga barang keperluan dan perkhidmatan.

Ketiga, membuat cadangan dasar untuk menangani isu kesan kos sara hidup pengguna ini.

Akhir sekali ialah berkenaan dengan hal yang berkaitan dengan soal perumahan mampu milik. Walaupun hari ini kita tengok ialah rumah hari ini tadi disebut oleh Timbalan Menteri ketika menjawab soalan lisan tadi. Memang hari ini kita tengok kebanyakan bank tidak mampu hendak beri. Kalau rumah mampu milik harga RM300,000 ini bukan mampu milik tetapi mampu tengok sahaja. Ini yang berlaku.

Oleh sebab itu kajian yang pernah dibuat oleh Khazanah Research Institute dalam laporan menyediakan perumahan mampu milik pada tahun 2015 dan dia memberitahu harga rumah di Malaysia ini mahal. Sepatutnya kita hendak dapat, kita katakan pemilikan harga rumah di Malaysia ini hanyalah tiga kali gaji tahunan isi rumah. Kalau gaji isi rumah itu kita darab tengok dengan tiga tahun maka tiga kali setahun maka situlah pendapatan kita RM30,000 setahun malah harganya lebih kurang RM90,000 ataupun kita katakan harga dalam RM150,000 boleh tahan. Sampai RM200,000, RM300,000 orang tidak mampu untuk beli. Kalau tidak ada pay slip gaji kita hendak pinjam RM300,000 tidak ada RM6,000 sebulan maka bank tidak akan memberi.

Sedangkan realiti yang berlaku sepatutnya tiga kali gaji sahaja. Di Kuala Lumpur, 5.4 kali, di Pulau Pinang 5.2 kali. Jadi sudah tentu banyak yang tidak mampu untuk memiliki sedangkan kalau dibandingkan dengan kalau mengikut Khazanah Research Institute ini berbanding dengan UK hanyalah 4.7 kali, Amerika 3.5 kali dan Singapura 5.1 kali. Margin keuntungan di Malaysia juga kita tengok terlalu tinggi sehinggakan 21% berbanding dengan Amerika hanyalah 12%, UK 17% dan Thailand 14%.

Maka dengan sebab itu kerajaan perlu pertamanya membendung spekulasi melalui kaedah kawal selia yang lebih ketat supaya keuntungan pemaju ini kena kawal. Kalau kita tengok rumah area Gombak hari ini, rumah dua tingkat sudah mencecah sampai RM2 juta. Itu area Gombak. Oleh sebab itu kata Yang Berhormat Puchong tadi orang pakat beli rumah di Puchong walaupun jauh tetapi kalau dikira dengan transport, masa dan sebagainya pergi mari, pergi mari lebih kurang sama sahaja, sebab itu inilah keadaan yang berlaku.

Kedua, memberi keutamaan kepada pembeli pertama.

Ketiga, merancang untuk bekalan perumahan yang stabil pada harga yang berpatutan.

Satu lagi sedikit masa tidak cukup lagi iaitu berkenaan dengan pengangkutan awam. Jadi kita tengok pengangkutan ini adalah kita tengok perkara yang tinggi juga dalam soal kita belanja untuk bulanan kita. Dalam perbelanjaan isi rumah hampir 20% hingga 30% digunakan untuk pengangkutan. Sampai hari ini kita tengok kes berkenaan dengan public transport ini tidak selesai. Bukan orang tidak mahu naik pengangkutan awam. Saya tengok ETS hari ini banyak orang guna tetapi masalahnya begitu juga dengan komuter dan juga LRT.

Banyak orang guna tetapi persoalannya kita tidak mengenakan program ini ataupun projek ini tidak dibuat dengan teratur antaranya shuttle bus antara taman dengan stesen LRT. Itu sepatutnya diperkenalkan.

Macam di Selangor baru-baru ini telah pun memperkenalkan bas percuma. Mungkin salah satu walaupun benda ini usaha yang kecil tetapi sekurang-kurangnya ada satu inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kita tengok juga sepatutnya apabila hendak menggalakkan pengangkutan awam, kerajaan kena berikan subsidi kepada perkhidmatan awam dan anggap ini sebagai satu tanggungjawab sosial.

Tiba-tiba kita tengok berlaku pula kenaikan harga tambang. Teksi 19 Mac 2015 di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bharu semua naik. Teksi 1Malaysia di Pulau Pinang dahulu daripada RM11.80 kepada RM19.80, teksi Lembah Klang dan Johor Bahru 10 kilometer dahulu RM10.80 sekarang RM17.50.

Kedua, bas pula naik bermula 15 Mei 2015 kadar naik RM4.60 hingga RM11. Komuter, LRT, monorel naik juga bermula 2 Disember 2015 naik 11 sen kepada 15 sen satu kilometer, ERL naik pula bermula 1 Januari baru ini RM35 naik RM55. Jadi ini perkara yang sepatutnya kita apabila kerajaan menggalakkan orang menggunakan pengangkutan awam sepatutnya tidak bolehlah untuk kita naikkan harga dan kerajaan mesti mencari ikhtiar. Kita tak nak lagi orang duduk guna kereta seorang sebiji menyebabkan berlakunya permasalahan banyak.

Oleh sebab itu antara benda yang boleh diambil kira ialah syarikat bas ini diberikan subsidi. Kedua, pengguna pula mudah untuk akses pengangkutan awam supaya mudah, kita tak nak payah. Perkhidmatan pula mesti boleh dipercayai. Ini kadang-kadang kita naik dekat Puduraya bas dia berhenti rata, dia ambil orang selagi tidak cukup penumpang. Kadang-kadang janji pukul 5.00, pukul 7.00 baru naik. Ini pun satu benda yang kita kena tengok.

Keempat, keadaan bas selesa. Begitu juga tentang kekerapan supaya ditetapkan walaupun tidak ada penumpang dia kena berjalan.

Kita harapkan supaya apa yang diberikan tadi ialah untuk manfaat kepada orang-orang di luar sana terutama rakyat kita di Malaysia untuk kerajaan mesti memikirkan supaya untuk menyenangkan rakyat. – HARAKAHDAILY 14/3/2016

Petikan ucapan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, Parlimen Ketiga Belas, Penggal Keempat. Mesyuarat Pertama, Rabu, 9 Mac 2016

Sumber HD - 14-3-2016
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Pelaksanaan DLP perlu penelitian semula

HARAKAHDAILY | .


DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa kerajaan supaya meneliti semula perlaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP) yang mula dilaksanakan projek rintisnya di 300 buah sekolah rendah dan menengah kebangsaan bermula Januari 2016.

Meskipun memahami keperluan bagi penguasaan terhadap Bahasa Inggeris merupakan sesuatu yang mustahak, namun, perlaksanaan DLP akan lebih memberi kesan negatif terhadap sosio-ekonomi dan kesenjangan taraf hidup masyarakat di bandar dan luar bandar.

Ia juga dipercayai akan membentuk dua aliran dalam sistem pendidikan negara dengan sekolah-sekolah elite dan bandar sudah pasti lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris seterusnya meletakkan sekolah yang menggunakan Bahasa Melayu di bahagian luar bandar sebagai "kelas kedua".

Dengan kedudukan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir dalam masyarakat hari ini akibat faktor globalisasi, program DLP dipercayai akan lebih menenggelamkan fungsi dan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan.

Justeru, penilaian semula terhadap perlaksanaan DLP adalah amat wajar dan mustahak.
Pihak yang bertanggungjawab seharusnya lebih peka dan melakukan penelitian yang meluas bagi melaksanakan perubahan terutamanya melibatkan aspek pendidikan.

Ini kerana pendidikan adalah teras dalam sesebuah negara yang akan membentuk generasi pelapis pada masa akan datang.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua DPPM / Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 17/2/2016

Sumber HD - 17-2-2016


------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


PAS menyokong penuh usaha membantah DLP

SALMIYAH HARUN | .


KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan seolah-olah tidak serik dengan kegagalan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) PPSMI, apabila bertindak melaksanakan program baru iaitu Program Dwi Bahasa (DLP) pada awal tahun ini.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata program DLP ini dilihat seolah-olah mirip kepada dasar PPSMI yang mendapat tentangan hebat di kalangan tokoh-tokoh bahasa sehingga ia dimansuhkan pada tahun 2012.

Katanya, dengan kegagalan pelaksanaan dasar PPSMI kerajaan bukan sahaja rugi berbilion ringgit bahkan masa dan tenaga guru serta pelajar sekolah.

"Kerajaan akui PPSMI gagal. Seramai 70 orang profesor menentang pelaksanaan PPSMI, sebanyak RM6 bilion kerajaan rugi. Tiba-tiba hendak tubuh DLP pula," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mempersoalkan apa motif sebenar kerajaan untuk melaksanakan DLP ini, sama ada untuk menyelesaikan masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar atau mengejar keuntungan semata-mata.

"Jika ada masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sepatutnya kerajaan kena mencari kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris yang baik. Bukannya merosakkan sistem yang kita bina melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan selama ini," jelasnya.

Katanya, rakyat Malaysia bukannya anti bahasa asing bahkan agama Islam sendiri menggalakkan belajar banyak bahasa tetapi jangan mengenepikan bahasa ibunda.

Bagi Idris, untuk mendapatkan ilmu pengetahuan haruslah bermula dengan bahasa ibunda yang menunjukkan bahasa jiwa bangsa penuh dengan nilai budaya masyarakat sekeliling.

"Kita tidak ada masalah dalam menterjemahkan bahasa teknologi ke bahasa Malaysia kerana kita ada Dewan Bahasa Dan Pustaka. Pelajar-pelajar UKM buat PHD di luar negara mereka pun tidak ada masalah," ujarnya.

Justeru katanya yang tidak menolak program DLP ini lebih memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat penerbitan dan percetakan.

Beliau juga turut serta berdemonstrasi di Pelancaran Kempen Mansuhkan DLP yang dianjurkan oleh Ngo Pejuang Bahasa yang terdiri sasterawan negara dan tokoh bahasa, di hadapan Sogo hari ini. Turut serta dalam kempen itu Pesuruhjaya PAS Wilayah Kamaruzaman Mohamad.

DLP akan diperkenalkan di sekolah yang bersedia melaksanakannya dengan persetujuan pihak tertentu termasuk sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Pada pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan DLP itu akan ditawarkan kepada 300 sekolah di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris.

Di bawah program itu, sekolah akan diberi pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 1 dan Tahun 4. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

Sumber HD - 15-2-2016

No comments:

Post a Comment