Selalunya orang yang berprasangka hidupnya tentu merana, stres, murung, ketakutan, tidak tenteram, gelisah dan tidak bahagia. Contohnya, kalau kita berniaga dan perniagaan kita tidak laku, mulalah kita berprasangka kepada Allah, dengan mendakwa, “Allah tidak adil dengan kita kerana selalu menggagalkan usaha baik kita.”

Atau, kalau kita berniaga bersebelahan dengan kedai orang lain, kebetulan kedai sebelah laris banyak dikunjungi pembeli dan kedai kita tidak mendapat sambutan, mulalah kita bersangka buruk mengesyaki, “pemilik kedai sebelah telah membomohkan kita, hingga menyebabkan kedai kita tidak mendapat sambutan.” Atau, kalau kita nampak orang bermasam muka dengan kita, mulalah kita fikir, orang itu sombong.

Sebenarnya prasangka itu adalah bisikan kita kepada diri kita. Suara hati kita ialah suara yang paling kuat, jelas dan kerap kita dengar, sebab itulah suara hati amat penting menentukan kekuatan fizikal dan mental kita. Walau apa-apa pun orang bercakap tentang diri kita, terutama jika orang bercakap tentang keburukan kita, kalau suara hati kita kuat menepis percakapan negatif tersebut, kita akan menjadi kuat dan tabah.

Sebab itulah betapa pentingnya suara hati kita yang positif. Iaitu, suara hati kita yang mengatakan, “semuanya baik, Allah Maha Baik dan semua orang baik. Cuma kadang-kadang tidak tahu macam mana mahu menjadi baik. Saya menjadi contoh kepada orang yang ingin menjadi baik, dan orang yang tidak baik ini sebenarnya mahu mengajar saya menjadi sabar.”

Pengalaman sebagai doktor, mendedahkan saya kepada pelbagai ragam atau fiil orang. Kadang-kadang bertemu dengan orang yang suka marah-marah dan garang walaupun dalam keadaan sakit.

Kalau kita jenis orang yang berprasangka, tentu kita menuduh orang tersebut berperangai buruk kerana tidak sabar. Tetapi, kalau kita bersangka baik, kita boleh terima kemarahan orang tersebut dengan menenangkan hati kita, beranggapan mungkin Allah sedang uji kita supaya bersabar atau lebih rasa empati. Lebih-lebih lagi kita seorang doktor, yang tahu keadaan sesuatu penyakit, maka kita memahami betapa merananya pesakit kita menanggung derita penyakitnya.

Letakkan diri kita di tempat mereka, mungkin kita juga menjadi tidak sabar sepertinya. Hakikatnya, kalau kita seorang yang suka bersangka baik kepada Allah, kepada orang, atau terhadap sesuatu suasana, tentu hidup ini terasa indah.

Sebab itulah kita disarankan supaya sentiasa memohon maaf dan memaafkan. Memaafkan akan menghilangkan stres. Banyak orang berkata, “boleh memaafkan tetapi tidak boleh melupakan”. Saya perkenalkan satu kaedah baharu merawat hati daripada gejala stres atau prasangka, iaitu – “maafkan orang”, dan “kita boleh ingat tetapi kita tidak mahu fikirkan lagi”. Ini salah satu cara untuk merawat “perasaan menyesal” dan “prasangka”.

Hal ini adalah kerana, sekali-sekala dalam diri kita ini perlu juga ada perasaan menyesal, dan ia bukan merupakan satu kesalahan atau kelemahan. Tetapi “penyesalan” itu hanya untuk kita belajar daripada kesilapan dengan azam dan niat tidak mengulangi kesilapan yang sama. Contohnya, kes prasangka buruk terhadap suami – bimbang dia ada orang lain, dan akhirnya memang betul-betul suami ada tersuka orang lain. Tetapi, suami menyesal dan memohon maaf serta berjanji tidak mengulangi kesilapan yang sama lagi.

Jadi kita katakan kepada hati kita, “kita maafkan tetapi tidak boleh lupakan, namun tidak mahu fikirkan lagi.” Hakikatnya memori atau ingatan itu anugerah Allah, kita tidak boleh halang.

Berbeza antara “ingat” dengan “fikir”. “FIKIR BAIK RASA BAIK DAPAT BAIK” – Formula “Reset Minda”. Sebab itu hari-hari kita perlu jaga fikiran kita. Kerana itulah, kalau kita teringat atau terfikir yang negatif, cepat-cepat kita betulkan kesilapan diri dan lihat diri kita.

Berprasangka

Mungkin salah satu sebab terjadi permasalahan suami mencari orang lain, kerana kita kurang memberi perhatian kepadanya. Maka kita betulkan layanan diri kita terhadap suami dan kita akan betulkan kelemahan diri kita, tanpa berprasangka kepada suami.

Yang lebih penting, kita akan betulkan balik hubungan kita dengan Allah, sebab kita yakin setiap kali hubungan kita dengan manusia tidak betul, pasti hubungan kita dengan Allah tidak betul. Jadikan peristiwa negatif itu penyebab untuk kita dapat kembali kehidupan yang positif. Selagi kita tidak ubah diri kita, selagi itu jugalah perubahan kepada orang sekeliling kita tidak akan berlaku.

Ingatlah formula, “BETULKAN FIKIRAN – BETULLAH KEHIDUPAN”. Untuk cantikkan kehidupan kita, cantikkan fikiran dan perasaan kita, dengan bersangka baik dengan Allah, suasana dan orang. Analoginya, kalau kita percaya akan seseorang, kita tidak akan berburuk sangka dengannya. Kita tidak akan bersangka buruk dengan Allah kalau kita kenal betul dengan Allah. Kita percaya akan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Kalau hendak bersangka buruk kepada Allah terhadap sesuatu peristiwa buruk yang menimpa kita, cepat fikirkan apakah hidayah dan pengajaran yang Allah hendak beri kepada kita, serta macam mana peristiwa ini menjadikan kita lebih dekat dengan Allah.

Kalau kita prasangka kepada orang contohnya lihat orang tidak pakai tudung, jangan kutuk tetapi kesianlah kepadanya dan doakannya. Mungkin apabila dia tengok kita pakai tudung nampak elok dan sopan, manalah tahu tiba-tiba hatinya terbuka hendak ikut kita menutup aurat.

Jangan mengata orang dan menghukum orang. Ingatlah suara hati ialah suara yang paling kuat dalam diri kita. Sangkaan kita bermula daripada fikiran kita, dan fikiran kita menentukan hati kita, dan hati kita menentukan bahasa badan dan tindakan kita, seterusnya menentukan hasil kehidupan kita (tenang/bahagia/sihat/kaya).

Kita bertanggungjawab atas semua kehidupan kita. Lihat dan nilai diri semoga kita menjadi seorang yang disenangi oleh orang dan sentiasa menjaga silaturahim dengan menjauhi sifat hipokrit dan riak. Ingatlah kepada formula “ADA – BERI – DAPAT” dalam “reset minda”.

Hanya orang yang ada kebaikan dalam dirinya yang boleh memberi kebaikan kepada orang lain. Kerana kita memberi kebaikan kepada orang, kita akan dapat hasil kehidupan yang baik dan respons yang baik daripada orang sekeliling kita. Perkara yang susah hendak kita buat, adalah berbuat baik kepada orang yang tidak berbuat baik kepada kita.

Kalau orang berbuat baik kepada kita, tetapi kita tidak boleh berbuat baik kepadanya, bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada hati nurani kita, maka nilailah dan lihatlah diri sendiri dahulu, sebelum melihat dan menilai orang lain.

Orang yang baik dia akan berkata benar dan memberikan pandangannya benar atas perbuatan kita, bukan membenarkan semua perbuatan kita. Jom nilai diri sendiri adakah kita orang yang payah hendak berbuat baik atau sebaliknya? Kalau kita seorang yang baik, kita akan suka juga berbuat baik. 

Kalau kita suka sangat melabelkan orang, cubalah labelkan semua orang baik. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Sumber TKO - 8-5-2017