BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Friday, December 18, 2015

PROFESSOR ABDULLAH HASSAN - PANDANGAN DAN PEMIKIRAN



SRP itu kelulusan apa Atuk?

PROF ABDULLAH HASSAN | .


Safiah, "SRP itu kelulusan apa Atuk Profesor?"

Atuk Prof, "Oh! Itu kelulusan pada zaman Atuk, yang menunjukkan dia sudah lulus enam tahun sekolah rendah, dan tiga tahun sekolah menengah! Kenapa cucunda Safiah bertanya?"

Safiah, "Orang begitu sudah layakkah menjadi menteri, Atuk?"

Atuk Prof, "Oh! Isu itu. Tunggu dulu. Jangan terlalu pantas menilai dan menghukum.

Mungkin orang itu terpaksa berhenti kerana tanggungjawab. Pada masa dahulu, kelulusan begitu sudah dapat diterima bekerja. Kerana tanggungjawab! Mungkin bukan kerana dia bodoh.

Penting juga kita bertanya soalan lain. Adakah dia membaca dan menambah ilmunya selepas keluar sekolah! Mungkin ada, mungkin tidak!

Adakah dia mempunyai pengalaman yang relevan.

Safiah, "Kita perlu lihat dari semua sisi ya Atuk?"

Atuk Prof, "Ya, seeloknya begitulah. Kelulusan Ph.D. itu bukanlah sebenarnya kelayakan khusus menjadi menteri.

Ada orang yang berkelulusan Ph.D. tetapi tidak semestinya berfikir seperti orang ada kelulusan "doktor falsafah!" Dia bercakap dan berhujah seperti orang tidak ada sebarang ilmu pun! Dia tidak menyebut teori, tidak menyebut prinsip, tidak menyebut statistik, dan tidak menyebut tentang kes-kes. Dia akan membuat kesimpulan seadanya! Tidak ada beza antara dia dengan orang biasa-biasa yang tidak berijazah."

Safiah, "Ooooooo, ooooo!"

Atuk Prof, "Baca buku! Baca buku ilmu, bukan buku hiburan saja. yang kita pelajari di universiti itu tidak semestinya cukup.”

Malah apabila kita mendapat ijazah di sebuah universiti di Amerika, upacara itu dipanggil "commencement", iaitu suatu permulaan. Permulaan belajar sepanjang hayat.

Di negara kita, menurut budaya Inggeris, upacara ini dipanggil Konvokesyen. Suatu "convocation" itu memberi konotasi yang pembelajaran kita tamat.

Tetapi, terpulanglah kepada pengertian yang kita mahu beri. Tidak perlu ada satu jawapan saja yang betul. – HARAKAHDAILY 5/2/2016

 * Cerita ini disunting daripada catatan Prof Abdullah Hassan dalam facebook beliau.

Sumber HD - 5-2-2016


Guru Melayu dahulu mahu keluar Umno demi bahasa

PROF. ABDULLAH HASSAN | .


PADA masa sebelum merdeka dan pada masa awal merdeka, apabila maruah dan martabat bahasa Melayu tercabar, orang Melayu akan bangkit mempertahankannya.

Selepas Malayan Union dimansuhkan, Jawatankuasa Barnes mencadangkan supaya satu sistem pendidikan dilaksanakan. Selepas pendidikan asas dalam bahasa Melayu selama tiga tahun, pendidikan selanjutnya diteruskan dalam bahasa Inggeris untuk semua kaum.

Sistem ini dilaksanakan bagi membolehkan orang Melayu mendapat pendidikan dan mengambil tempat mereka yang sewajarnya di samping kaum lain. Guru-guru Melayu dan guru-guru pelatih SITC membantah dan rancangan ini dibatalkan. Ya, istilahnya BANTAH.

Cadangan menggunakan bahasa Inggeris bagi menyampaikan pendidikan ini bukanlah baru. Itu isu lama! Namun, masih ada orang yang terpukau kembali oleh bahasa Inggeris. Dengan rasional lama.

Pada tahun 1956, apabila penubuhan sekolah menengah Melayu yang pertama iaitu STAR, SDAR dan STF tidak menggunakan bahasa Melayu, sekali lagi guru-guru Melayu bangun memberi kata dua; mereka akan meletakkan jawatan dan sekaligus keluar daripada parti Umno secara beramai-ramai.

Akibatnya, Sekolah Alam Shah ditubuhkan. Benih pendidikan melalui bahasa Melayu mula ditanam. Bahasa Melayu berkembang hinggalah menjadi bahasa pendidikan negara pada hari ini. Sekalipun, masih dicurigai, dan dilawan oleh yang mindanya masih tertawan dan terperangkap terus dalam bahasa Inggeris.

Pengorbanan dan perjuangan guru-guru Melayu terhadap bahasa Melayu berlaku lebih awal lagi. Sejak tahun 30-an lagi guru-guru Melayu memotong gaji mereka yang kecil itu untuk dimasukkan ke dalam tabung guru untuk membentuk kerusi pengajian Melayu.

Hanya lima puluh tahun kemudian jumlahnya baru mencukupi bagi membiayai sebuah Kerusi Pengajian Melayu agar bahasa Melayu diajar di tahap universiti.

Pemimpin kesatuan guru Melayu pada masa itu adalah Datuk Mohd Nor Ahmad. Beliau enggan menerima sebarang tawaran jawatan atau "balasan" untuk perjuangannya. Beliau Pulang ke Pulau Pinang, tinggal di rumah kecilnya di Taman Brown, Gelugur, Pulau Pinang hingga ke akhir hayatnya.
Demikian pengorbanan dan sumbangan seorang patriot bangsa dan bahasa Melayu dulu.

Pada hari ini kita semua dipanggil lagi bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu. Kita akan terus berjuang di bawah Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan yang baru ditubuhkan. Majlis ini akan kekal berjuang, menegur, membantah, melawan, mengkaji, dan merancang demi bahasa dan bangsa; apa pun hasil bantahan sekarang. – HARAKAHDAILY 29/12/2015

Sumber HD -29-12-2015




Membina Bahasa Melayu itu apa tujuannya?

PROF. ABDULLAH HASSAN | .


KITA sering mendengar ungkapan "memperkasakan bahasa." Bahasa yang perkasa itu apa dia? Seperkasa Hang Tuah!

Lebih khusus, wacana kita itu merujuk kepada pembinaan dan pengembangan bahasa. Kita merujuk kepada sebuah bahasa yang matang. Marilah kita melihat ciri-ciri bahasa yang matang. Bahasa yang matang itu adalah bahasa yang sudah lengkap bagi berfungsi sebagai sebuah bahasa moden untuk penuturnya pada zaman sains, teknologi dan teknikal ini.

Bahasa yang matang itu mempunyai ciri-ciri intrinsik dan ekstrinsik.

Ciri-ciri intrinsiknya adalah ia mempunyai ciri-ciri fizikal yang sempurna sebagai sebuah bahasa modern. Ia sudah mempunyai sistem ejaan, sebutan, nahu, kamus, ensiklopedia, kepustakaan ilmu dan rujukan. Oleh sebab itu ia mampu melaksanakan fungsi tinggi, menjadi wahana pemikiran tinggi, dan mengandungi ilmu tinggi dan kompleks.

Secara ekstrinsik, ia dapat melaksanakan fungsi-fungsi tinggi. Ia digunakan dalam bidang diplomatik, perdagangan, perniagaan, kebudayaan, agama, dan lain-lain. Sebenarnya, pakar bahasa sudah lama mengatakan bahawa bahasa Melayu itu sudah lama menjadi bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera pada peringkat nasional, bahkan bahasa supranasional.

Bahasa Melayu yang matang itu dapat menjadi wahana mengungkapkan ilmu tinggi, seperti falsafah, sains, seni, dan sastera. Sebelum 1955, bahasa Melayu hanya digunakan di sekolah rendah dan di Maktab Perguruan Sultan Idris. Kemudian, bahasa Melayu digunakan untuk pengajian menengah. Selepas itu bahasa Melayu digunakan di institusi pengajian tinggi. Pada tahun 1983, proses ini sempurna dijalankan. Pada hari ini, universiti-universiti kerajaan menjalankan pengajarannya dalam bahasa Melayu.

Sejarah menyatakan bahasa Melayu klasik pernah mengungkapkan ilmu yang canggih dan mendalam mengenai agama dan budaya memang tidak dapat dinafikan. Nama-nama seperti Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Raniri, tidak boleh diketepikan. Tetapi pada hari ini, bahasa Melayu sudah berkembang lebih maju lagi. Di dalamnya terdapat buku-buku ilmu, sains dan teknologi yang diajarkan di universiti. Bahasa Melayu sudah mengandungi ilmu.

Kita juga dapat mengamati bahawa bahasa Melayu dituturkan dan digunakan bagi mentadbirkan negara. Ia telah lama menjadi bahasa tamadun Melayu yang diiktiraf oleh jirannya.

Sekalipun bilangan penutur bahasa Melayu di Malaysia sekitar 25 juta orang, apabila dikira keseluruhan penduduk negara-negara yang menuturkan bahasa Melayu maka jumlahnya menjadi hampir 250 juta; 300 juta sekiranya diambil kira bahasa yang bekeluarga dengannya di Asia Tenggara ini.

Jumlah sebesar ini adalah gambaran bahasa yang mempunyai kedudukan penting. Ia menjadi bahasa ibunda segolongan besar penduduk wilayah Asia Tenggara. Ia mempunyai dialek-dialek tempatan yang berlainan serta dialek standard yang dimengerti di seluruh Asia Tenggara.

Ia juga menjadi bahasa kebangsaan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Dalam membina bahasa Melayu ini kita mempunyai empat rantau di Asia Tenggara yang menggunakan bahasa-bahasa yang bersumberkan bahasa Melayu.

Rantau yang menuturkan bahasa-bahasa yang bersumber pada bahasa Melayu ini mempunyai kerangka hubungan aktif sejak 40 tahun lalu, iaitu MABBIM (Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia), dengan Singapura sebagai pemerhati.

MBIM ini mula dibina pada tahun 1972, kemudian menjadi MABBIM.

Kerangka ini dapat menggerakkan keempat-empat negara supaya memanfaatkan potensi bahasa Melayu itu untuk menegakkan maruah masing-masing negara dan bangsa. Potensi bahasa-bahasa yang berkongsi satu sumber yang sama ini terletak pada kemampuan penuturnya yang ramai itu. Ia telah menjadi sebuah bahasa supranasional.
Wajarlah bahasa Melayu itu mula mendokong fungsi yang lebih besar di wilayah ini, menjadi bahasa ilmu dan teknologi bagi mengongsi bakat penuturnya yang berjumlah 300 juta jiwa ini. – HARAKAHDAILY 23/12/2015

Sumber HD - 23-12-2015













Pemimpin hari ini tidak punya falsafah

PROF ABDULLAH HASSAN | .


Safiah, "Apa yang atuk profesor fikirkan pada hari ini? Atuk semacam serius saja setiap hari!"

Atuk profesor, "Ya, ada beberapa perkara!"

Safiah, "Fasal bahasa pendidikan ya atuk?"

Atuk Profesor, "Betul! Tetapi itu bukan isu terbesar dan terpenting!"

Safiah, "Pada atuk, apa yang terpenting, apa yang terserius."

Atuk Profesor, "Ya! Perkara yang melibatkan bangsa dan negara! Masa depan negara, masa depan bangsa!"

Safiah, "Apa punca perkara ini atuk?"

Atuk Profesor, "Kita sudah tidak ada pemimpin yang dapat berfikir, melahirkan konsep, dan menyatakan kaedah mencapai matalamat dalam konsep itu."

Safiah, "Apa maksud atuk?"

Atuk Profesor, "Semasa Almarhum Tun Razak menjadi pemimpin, beliau ada falsafah. falsafah beliau mencipta konsep iaitu pemikiran. daripada konsep itu lahirlah kaedahnya. Umpamanya, beliau ada falsafah, rakyat mesti diberi pendidikan supaya maju. Kaedahnya beliau menubuhkan sekolah berbahasa Melayu, diikuti dengan sekolah menengah dan universiti. Ramai orang Melayu dan rakyat lain yang mendapat pendidikan, dan menjadi doktor, jurutera, arkitek ... apa sajalah!"

Safiah, "Pemimpin sekarang tidak berfikir begitu ya atuk!"

Atuk Profesor, "Nampaknya begitulah! Mereka hanya melahirkan kata-kata yang berupa konsep, seperti ‘Satu Malaysia’, ‘Sehati dan Sejiwa’, ‘Rakyat didahulukan’, tetapi kaedah mencapai cita-cita itu bagaimana? Tidak dinyatakan dan tidak dilakukan! Mahu menjadi Satu Malaysia itu bagaimana? Mahu sehati dan sejiwa itu bagaimana? Rakyat didahulukan itu bagaimana? Pemimpin mesti memimpin!"

Safiah, "Ooooo! Itu serius. Kita mahu dibawa ke mana? Seperti kata Tun Mahathir, pandang ke timur, beliau membawa kita menuju wawasan 2020 melalui ekonomi!"

Atuk Profesor, "Ya, Tun juga ada konsep dan memberi kaedahnya. Tidak semua kita setuju, tetapi dia ada konsep dan kaedah mencapainya. Pemimpin sekarang tandus falsafah agaknya!”

Safiah, "Tandus itu apa atuk?"

Atuk Profesor, "Kering, tidak punya! Pemimpin kita tidak punya falsafah!"

Safiah, "Falsafah itu apa atuk?"

Atuk Profesor, "Falsafah itu adalah prinsip atau fikiran yang kita anuti dan dijadikan panduan tindakan kita!" – HARAKAHDAILY 17/12/2015

Sumber HD - 17-2-102015

Bagaimanakah kerajaan Islam dahulu melayan ilmuwan?

PROFABDULLAH HASSAN | .


PADA zaman kegemilangan Islam, para ilmuwan sangat dimuliakan. Mereka bukan sekadar diberi kebebasan menggunakan perpustakaan, tetapi keperluan mereka sentiasa dijaga.

Dalam sesetengah hal, makan minum, peralatan menulis, wang perbelanjaan dan penginapan disediakan untuk mereka yang datang dari jauh bagi mencari ilmu.

Ibnu Abbad di Farsi, bukan sekadar membenarkan perpustakaannya yang termasyhur pada zaman itu digunakan dengan bebas, tetapi setiap ilmuwan diberi 1,000 dirham dan pakaian lengkap bagi menggalakkan mereka mempelajari ilmu.

Perpustakaan Ibnu Hamdan di Mosul, dibuka kepada semua pelajar, dan pelajar miskin diberi kertas. Perpustakaan Adud-al-Dawlah di Basrah dibuka kepada semua rakyat. Sarjana yang membaca dan menyalin buku diberi biasiswa.

Di Isfahan, perpustakaan Khuda Bukhsh dibina oleh seorang hartawan untuk digunakan oleh pelajar. Ibnu Hibban, qadi Nishapur mewakafkan rumah dan perpustakaannya kepada majlis perbandaran kota Nishpur. Di dalam rumahnya itu disediakan tempat tinggal pelajar dari luar negara. Dia juga memberi biasiswa kepada mereka.

Yaqut al-Hamawai, seorang ahli geografi meriwayatkan dia pernah tinggal di Marv, Farsi. Semasa dia di situ dia dibenarkan menggunakan perpustakaanya secara berleluasa. Dia meminjam lebih daripada 200 buah buku pada setiap masa, tetapi tidak pernah diminta memberi cagaran walaupun nilai bukunya lebih daripada 200 dinar.

Al-Maqrizi pula menceritakan, di Akademi al-Hakim, pelajar miskin diberi kertas, dakwat, botol dakwat, pena, dan biasiswa. Malah al-Hakim menyediakan peruntukan lebih dari 200 dinar bagi menyenggara perpustakaan, termasuk membeli kertas, dakwat, dan pena untuk ilmuwan dan penyalin buku. Peruntukan juga disediakan untuk membaik pulih buku-buku lusuh.

Al-Maqrizi juga membuat catatan dalam riwayatnya bahawa wanita juga diberi peluang belajar di perpustakaan-perpustakaan itu. Kalifah al-Hakim II, pula menubuhkan perpustakaan di Kordova, dan dia membekalkan semua buku yang boleh dibeli dari seluruh dunia Islam.

Semua orang yang ingin belajar diterima menggunakan perpustakaan itu. Pelajar miskin diberi biasiswa oleh al-Hakim. Bahkan Kalifah al-Hakim sendiri adalah seorang sarjana, yang membaca semua buku di perpustakaannya.

Demikianlah mulianya para ilmuwan di mata pemimpin Islam. Setiap sarjana diberi ganjaran lumayan. Dia tidak perlu terkial-kial mencari sara hidup untuk belajar atau mengusahakan penyalinan dan penulisan buku-buku ilmiah.

Ini adalah suatu kemudahan besar pada masa itu. Perlakuan yang sangat mulia terhadap para ilmuwan itu telah membantu menyuburkan perkembangan ilmu. Sikap dan tindakan yang menyokong ini telah membantu menyuburkan pembinaan kepustakaan Islam dalam bahasa Arab.

Amalan membuka perpustakaan kepada ilmuwan sangat bertentangan dengan yang kita lakukan sekarang. Pada masa ini ilmuwan, walaupun profesor, apabila bersara diminta memulangkan semua barangan universiti termasuk kad perpustakaan. Mereka tidak lagi boleh menggunakan perpustakaan universitinya.

Dalam sehari, mereka kehilangan sumber ilmunya. Mereka tidak lagi dapat menggunakan perpustakaan untuk membaca untuk mengayakan khazanah ilmunya. Pada masa dia menjadi lebih matang sebagai ilmuwan, dia tidak lagi diberi kemuliaan sebagai ilmuwan.

Pendapatannya daripada pencen akan menurun menjadi sekitar seperempat daripada pendapatan asalnya. Amalan begini tidak lagi memuliakan ilmu dan ilmuwan, dan tidak menggalakkan lagi mereka menjadi produktif.

Ada amalan dalam tradisi Islam yang tidak kita amalkan sekarang. Kita boleh belajar dari amalan itu. Penulis buku ilmu, harus dapat hidup dengan usaha yang dijalankannya. Sekiranya ini tidak berlaku, pihak berwajib harus menampung segala kekurangan itu bagi menjamin usaha itu dijalankan.

Kita dapat melihat dua fasa penting dalam membina kepustakaan dan menjana ilmu secara kreatif yang berlaku dalam empayar Islam. Pertama, ilmu diterjemah dan diserap ke dalam bahasa Arab. Kedua, apabila mereka sudah menyerap ilmu aripada Yunanai dan Latin, maka timbullah fasa kreativiti mereka. Wujudlah ilmuwan Islam yang membina

Sumber HD - 16-12-2015

Peradaban Melayu itu sudah lama

PROF ABDULLAH HASSAN | .


ADAPUN Melayu itu adalah sebuah peradaban besar dan tua. Lebih tua daripada kebanyakan peradaban Barat. Peradaban Melayu itu mempunyai sejarah yang lama dan masih berterusan.

Peradaban Melayu itu mempunyai wilayah geografi yang luas, iaitu sebuah wilayah samudera, iaitu sebuah peradaban maritim. Peradaban Melayu itu adalah satu-satunya peadaban maritim dalam dunia.

Walaupun ada banyak pusat peradaban Melayu dalam sejarahnya yang panjang, pada hakikatnya ia adalah sebuah peradaban yang sama dalam sebuah kesinambungan, dan dialami oleh manusia yang mengongsi himpunan memori yang sama. Peradaban Melayu itu tumbuh dan maju dalam kestabilan politik yang lama dan berterusan, dan dibendung oleh perundangan, dan budaya yang kompleks.

Dalam Seminar Pendidikan Bahasa Melayu di Beijing pada 13 Jun 2010 yang lalu, Profesor Liang Liji (Gambar) dari Universiti Beijing, mengemukakan beberapa “pendapat “ yang menunjukkan bahawa Alam Melayu itu mungkin sudah wujud hampir empat millenium dahulu.

Hasil penyelidikan beliau mengenai perhubungan China dengan Alam Melayu, menunjukkan ada beberapa bukti, sekalipun agak lemah, tetapi menarik, yang dapat menceritakan bahawa ada bukti arkeologi yang menunjukkan bahawa pada zaman Maharaja Yin Shang, pada abad ke-17 hingga 11 sebelum Masihi, mungkin sudah ada perhubungan antara Alam Melayu dengan China.

Ahli arkeologi China menemui catatan huruf purba China diukirkan pada cangkerang kura-kura besar, yang dipercayai berasal daripada Alam Melayu kerana di China tidak pernah ada kura-kura sebesar itu.

Begitu juga, pada makam Maharaja China itu pernah ditemui pula tulang binatang Mo Loi Mo, iaitu tenuk, yang juga berasal dari Alam Melayu. Ini menunjukann bahawa tiga hingga empat millenium lalu, sudah ada benda yang dibawa ke China dari Alam Melayu, wilayah yang dihuni oleh orang Melayu.

Seterusnya, dalam buku sejarah kuno China, terdapat sebuah catatan geografi dalam Kepustakaan Dinasti Han, Hon Shu Oi Li Zhi, menyatakan pada zaman Maharaja Han Wu Di, yang hidup pada tahun 140 hingga 87 S.M., sudah dibuka perjalanan dari China ke India, melalui Semenanjung Tanah Melayu. Maksudnya, pada abad kedua S.M. sudah wujud perhubungan China dengan Alam Melayu, iaitu sudah ada manusia yang dipanggil Melayu.

Berikutnya, bahagian selatan China pernah menjalin perhubungan dengan Tenggara Asia. Maharaja Sun Quan, 222 hingga 252 M. pernah mengirim Zhu Ying dan Kang Tai bagi menjalin muhibah dengan beberapa negeri di Alam Melayu.

Malah Zhu Ying menulis sebuah buku yang berjudul Fu Nan Yi Wu Zhi, iaitu Barang-Barang Aneh di Funan, dan Kang Tai pula menulis sebuah buku, Wu Shi Wai Guo Zhuan iaitu Hikayat Negeri-Negeri Asing pada Masa Kerajaan Wu.

Mereka membuat catatan rapi mengenai negeri-negeri di Alam Melayu. Inilah dokumentasi sejarah terawal mengenai peradaban Melayu dalam abad ke-3. Walaupun buku ini sudah musnah, tetapi ada kutipan-kutipan daripada buku ini yang dapat ditemui dalam buku sejarah berikutnya.

Dalam kebanyakan catatan sejarah, kunjungan seorang sami Buddha I-Tsing, ke Sriwijaya pada tahun 671 M, iaitu pada zaman Maharaja Tang, adalah termasyur. Apabila I-Tsing singgah di Sriwijaya dalam pelayaran ke India, beliau mendapati pengajian dalam bidang agama, budaya dan bahasa sudah mencapai tahap yang sangat manju.

Oleh sebab itu beliau tinggal di Sriwijaya dan belajar sebagai persiapan sebelum meneruskan pelayaran ke India. Oleh sebab kejayaan beliau itu, I-Tsing menasihatkan para sami Buddha dari China supaya "singgah di Sriwijaya selama satu atau dua tahun bagi mempelajari ilmu Buddha tersebut sebelum pergi ke India."

Akibatnya, ramai sami Buddha China ini singgah di Sriwijaya dan ada yang tidak mahu balik pulang ke Guangzhou semula. I-Tsing sangat menyedari kepentingan bahasa Melayu, Kunlun, dan mempengaruhi sami Buddha China yang lain supaya tinggal di Sriwijaya dan mempelajarinya.

Perhubungan erat seperti inilah yang berterusan hingga ke abad ke-15, iaitu pada zaman Empayar Sriwijaya menurun dan pusat politik dan perniagaan Melayu itu berpindah ke Empayar kesultanan Melaka.

Inilah kedudukan perhubungan China dengan Alam Melayu, yang dapat dikatakan mencapai kemuncaknya pada zaman Dinasti Ming. Pada zaman inilah Laksamana Cheng Ho datang melawat ke Samudera Barat sebanyak tujuh kali, tetapi misi Maharaja China itu adalah misi damai dan tidak pernah mana-mana wilayah Melayu itu ditakluki oleh China.

Apabila empayar Melaka ini jatuh ke tangan Portugis, pusat kerajaan Melayu terus membangun dan berkembang di Acheh, Pasai, Medan, Patani, Brunei. Satu lagi, kepulauan Riau, Lingga, Johor dan Pahang.

Dua wilayah inilah, Johor Riau yang menjadi pusat bahasa Melayu seterusnya, hinggalah sampai ke zaman penjajahan kuasa Eropah, dan kemerdekaan pada pertengahan abad ke-20. – HARAKAHDAILY 3/12/2015

Sumber HD - 3-12-2015

No comments:

Post a Comment