BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Sunday, September 3, 2017

DR RIDUAN MOHAMAD NOR - AJK PAS PUSAT (JILID 2)

Perang Ahzab melakar sejarah

PERANG Ahzab adalah mercu tanda pertembungan di antara iman dan kufur di zaman ar-Rasul S.A.W. Peristiwa ini akan dikenang sehingga kiamat oleh orang-orang beriman setiap kali kita menyambut hari raya, tanpa jemu kita akan terus menyebut peristiwa ini. 
Peristiwa ini berlaku kerana kebencian dan permusuhan golongan Yahudi yang tidak senang dengan kebangkitan pengaruh dakwah Islam yang berpangkalan di Madinah. Golongan Yahudi ini daripada kelompok Bani Nadhir yang tinggal di Khaibar telah menghasut kafir Makkah yang dipimpin oleh Abu Suffian supaya mengadakan usaha yang terancang dan berpakat dengan khalayak Kafir yang lain untuk menyerang orang Islam di Madinah. 
Tentera Musyrikin begitu berang apabila mereka terhalang oleh parit dan kubu kerana taktik ini tidak pernah digunakan di Semenanjung Arab. Mereka telah melancarkan serangan anak panah bertubi-tubi daripada luar Kota Madinah manakala beberapa Panglima mereka telah berjaya menyusup masuk di sebelah parit, iaitu Ikrimah bin Abu Jahal dan Amru bin Abdul Wud. 
Peristiwa selanjutnya ialah berlaku cabar-mencabar di antara pahlawan Musyrikin tersebut dan para Sahabat. Saidina Ali K.W.J telah bertarung (al-Mubarazah) dengan Amru bin Abdul Wud yang disaksikan oleh Sahabat-sahabat yang lain. Saidina Ali memang terkenal dengan seorang anak muda pemberani yang sangat dikasihi oleh Nabi S.A.W, apatah lagi beliau mendapat tarbiyah secara langsung daripada Baginda Nabi S.A.W. 
Saidina Ali telah berjaya membunuh Amru menyebabkan Ikrimah bin Abu Jahal melarikan diri dan kegembiraan Sahabat-sahabat dan Nabi S.A.W dimanifestasikan melalui laungan takbir mereka. Dalam Peristiwa Perang Ahzab yang berlaku di musim sejuk ini dan kekurangan makanan, orang-orang Yahudi Bani Quraizah telah melakukan pengkhianatan yang mana mereka sepatutnya sama-sama mempunyai tanggungjawab kolektif iaitu mereka sepatutnya mempertahankan bumi Madinah daripada serangan luar sepertimana yang disepakati bersama dalam Sahifah Madinah. 
Kelompok Yahudi ini melakukan pengkhianatan kerana dihasut oleh Huyai bin Aktab iaitu pemimpin Yahudi Bani an-Nadhir. Pertembungan semakin sengit yang menyaksikan 6 orang Sahabat telah gugur sebagai syuhada', manakala Musyrikin kehilangan 10 orang tentera mereka. Dalam pertempuran ini, Sahabat kanan yang sangat Nabi S.A.W kasihi juga merupakan pemimpin kaum Ansar, iaitu Sa'ad bin Mua'dz telah cedera parah terkena panah pihak musuh. 
Allah S.W.T Yang Maha Perkasa lagi Maha Pembalas dendam telah membantu para pejuangnya yang ikhlas dalam Peristiwa Perang Ahzab iaitu dengan memberikan beberapa bentuk pertolongan, antaranya sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, Surah al-Ahzab ayat 9 bermaksud: 
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu ketika kamu diserang oleh tentera-tentera Ahzab, lalu Kami hantarkan kepada mereka ribut yang kencang dan tentera-tentera (malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu lakukan." 
Orang Yahudi yang dipimpin oleh Salam bin Abi al-Haqiq ini telah berjaya meyakinkan Abu Suffian tentang buah kemenangan yang akan mereka kecapi jika permuafakatan Kuffar ini berjaya dilaksanakan. Beberapa Kabilah Arab yang masih kufur telah berjaya disatukan dalam satu barisan, seperti Kabilah Bani Ghatfan, Kabilah Bani Murrah dan lain-lain lagi. Jumlah kekuatan mereka ialah seramai 10,000 orang dan mereka dipimpin oleh Abu Suffian yang sebelum ini telah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam Peristiwa Peperangan Uhud yang berlaku pada tahun 3 Hijrah.
Nabi S.A.W telah mendapat maklumat tentang permuafakatan golongan Kuffar ini lantas telah mengadakan mesyuarat di Madinah dengan Sahabat-sahabat yang lain bagi menghadapi peristiwa perang besar ini. Dalam mesyuarat itu, Nabi S.A.W tertarik dengan cadangan yang diberikan oleh seorang Sahabat yang berbangsa Parsi, iaitu Salman yang mencadangkan supaya parit digali di keliling Kota Madinah. Ini bagi menghalang serangan tentera berkuda yang ramai di pihak musuh. 
Rasulullah S.A.W telah mengatur persiapan dan pertahanan tentera Islam dengan membahagikan Sahabat-sahabat kepada beberapa kumpulan iaitu setiap sepuluh orang menggali 40 hasta. Dalam operasi ini, Nabi S.A.W bertungkus-lumus dengan Sahabat-sahabat yang lain menggali parit dan merangsang semangat Sahabat-sahabat yang lain dengan ganjaran pahala jihad. 
Dalam operasi ini juga, Allah S.W.T memperlihatkan beberapa mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi S.A.W, seperti mampu memecahkan batu yang sangat pejal yang tidak mampu dipecahkan Sahabat-sahabat yang lain. Usaha membina parit ini diteruskan dengan bersungguh-sungguh kerana mengejar masa, bimbang takut musuh tiba sebelum parit disiapkan tetapi dengan keikhlasan dan kesungguhan para Mujahidin, maka parit tersebut berjaya disiapkan sebelum kedatangan 10,000 bala tentera musuh. 
Dalam pertembungan yang bersejarah ini, dirakamkan bahawa tentera Islam hanyalah sekitar 3,000 orang sahaja dan mereka tidak mendapat kerjasama daripada orang-orang Munafik yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubai serta berlaku pengkhianatan daripada orang Yahudi Bani Quraizah. 
Dalam menghadapi kedatangan jumlah musuh yang ramai ini, para Sahabat memperlihatkan tahap moral dan keimanan yang begitu tinggi, sepertimana Firman Allah S.W.T dalam al-Quran Surah al-Ahzab ayat 22, bermaksud: 
"Apabila orang-orang yang beriman itu melihat tentera Ahzab, maka berkatalah mereka, inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada kita dan benarlah Allah dan Rasul-Nya dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan kesejahteraan." 
Peristiwa ini sarat dengan ibrah kepada pejuang Islam di sepanjang zaman, bahawa orang beriman akan terus dikepung oleh musuh-musuh Islam yang bersatu. Mereka berbeza ideologi, citra dan nuansa namun untuk mengepung Islam dan umat Islam mereka akan satukan pakatan dan pemuafakatan. Malanglah umat Islam yang tidak mengambil pelajaran daripada peristiwa besar ini, Pragmatis, Sekular, Liberal, Sosialis mengepung dan menerjah agama Allah dan kita hanya mampu berpeluk tubuh melihat kemaraan Ahzab moden. 
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 6/6/2018
Sumber HD  - 6-6-2018 

Siasat Segera Dakwaan Datuk Shukri Abdull


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull
Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Kenyataan Datuk Shukri Abdull bahawa beliau terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasa nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB 3 tahun lalu perlu dibuktikan kebenaran. Dakwaan beliau begitu menggemparkan negara dan meletakkan negara di bawah cengkaman pemimpin ‘kuku besi’ di era Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

2. Apa yang disebut beliau termasuk tindakan diugut, diekori, ditukar, dipecat dan beliau hampir mati sehingga terpaksa melarikan diri ke Washington serta terpaksa meminta bantuan polis New York kerana bimbang dirinya ditahan ketika mengetuai siasatan tersebut adalah pendedahan yang begitu besar kesannya terhadap negara. Ini kerana, kenyataan beliau disiarkan oleh media di seluruh negara dan mungkin telah tersebar ke negara lain. Besar kemungkinan, nama Malaysia terpalit dengan imej yang begitu memalukan kerana pemimpin terdahulu yang memerintah menggunakan kekerasan melalui kuasa terhadap penjawat awam.

3. Apa yang diharapkan adalah kerajaan berlaku adil terhadap dakwaan Datuk Shukri Abdull.

Siasatan secara telus dan menyeluruh perlu dilakukan bagi membuktikan kebenaran kenyataannya. Dalam hal ini, tidak adil untuk terus menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh hanya mendengar pendedahan melalui kenyataan media tanpa pembuktian terhadap dakwaannya. Tertuduh perlu dibenarkan membela diri bagi menjawab tuduhan terhadapnya. Proses undang-undang perlu dilalui bagi memastikan tiada pihak dizalimi.

4. Jika dakwaan beliau benar, tindakan tegas dan keras mesti diambil di atas kebejatan yang dilakukan rejim terdahulu. Kesemua tindakan termasuk memeras, mengugut, menukar, dan memecat anggota penjawat awam terutama terhadap SPRM yang bertugas menyiasat skandal kewangan besar Datuk Seri Najib adalah tindakan luar batasan dan dianggap pelanggaran kuasa yang sangat serius. Selain skandal 1MDB yang begitu besar, pelanggaran kuasa seperti yang didakwa oleh Datuk Shukri juga adalah kesalahan yang sangat serius.

5. Kerajaan mesti bertanggungjawab memulihkan segera institusi kerajaan yang disalahguna. Nama Malaysia perlu dibersihkan dari reputasi yang buruk ketika ini. Justeru, pendakwaan segera terhadap pesalah yang merosakkan negara perlu dibuat dalam tempoh terdekat. Kerajaan ini mesti berlangsung dengan adil, telus, dan mempamerkan pelaksanaan yang jauh berbeza daripada rejim BN terdahulu.

PAS dan rakyat akan sentiasa memerhati, menjadi penyemak dan pengimbang (check and balance) agar kerajaan sentiasa berjalan di atas landasannya yang betul.
(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat)

Sumber BO - 26-5-2018




Pemisahan Kuasa Eksekutif, Kehakiman Dan Perundangan : Kotakan Janji Segera

Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu pemisahan kuasa antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman dilakukan bagi mengelakkan penyelewengan kuasa perhatikan dengan penuh hati-hati. Kenyataannya itu benar-benar diharapkan sebagai suatu kenyataan yang realitistik dan bukan bukan sekadar harapan palsu dari seorang yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Rakyat sendiri akan menilai sejauh mana beliau mampu mengotakan kata-katanya di penghujung usianya itu atau sekadar hanya kata-kata retorik politik bagi menyedapkan halwa telinga rakyat.

2. Rakyat berhak merasa was-was dengan janji PM itu kerana sejarah negara ini yang panjang di bawah pemerintahannya. Kita semua mengenang Perdana Menteri yang sama memerintah negara selama 22 tahun dari (1981-2003), dan dalam tempoh itu sistem demokrasi di negara ini hampir lumpuh dan hancur. Semua rakyat mengenali bagaimana sikap pemerintahan secara autokratik yang dilaksanakannya dengan mencengkam semua institusi dan agensi kerajaan sehingga tunduk di bawah pentadbirannya. Bukan setakat itu, kesemua pemimpin kanan di bawah beliau yang menjadi Timbalan Perdana Menteri terpelanting dihumban oleh beliau. Tun Ghafar Baba, Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah TPM yang dimangsakan beliau. Bahkan, beliau juga begitu berkuasa menumbangkan dua bekas Perdana Menteri iaitu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

3. Rakyat menghukum BN dan PM sebelum ini bukan kerana Barisan Nasional terlalu lama memerintah, tetapi terlalu banyak kerosakan pada sistem dalam negara ini. Kesemua badan perundangan, eksekutif dan kehakiman dilonggokkan di bawah kuasa besar Perdana Menteri.

Sehingga akhirnya semua badan tersebut kaku dan lesu, takut bersuara apatah lagi bertindak dan akhirnya ruang kebebasan dan keadilan menjadi sempit. Justeru kenyataan Tun Dr Mahathir perlu dibuktikan dalam era 100 hari pemerintahannya bagi menyaksikan kebenaran janji Pakatan Harapan seperti di dalam manifesto.

4. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa apa yang dilakukan oleh bekas PM, Datuk Seri Najib sehingga berlaku ketirisan, tuduhan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa adalah legasi dari sifu utamanya itu. Tidak hairan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib persis apa yang dilakukan oleh sifu besarnya itu di era pemerintahannya.

5. Oleh sebab itu, PM perlu buktikan kata-katanya itu dengan tindakan. Memerdekakan segera semua badan kehakiman, perundangan dan eksekutif tanpa campurtangan orang politik adalah agenda besar bagi mengembalikan demokrasi di negara ini. Bebaskan badan perundangan dan kehakiman mengambil tindakan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pesalah yang melakukan korupsi termasuk dirinya sendiri.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Sumber BO - 24-5-2018



Kotakan janji laksana pemisahan kuasa

KENYATAAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu pemisahan kuasa antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman dilakukan bagi mengelakkan penyelewengan kuasa perhatikan dengan penuh hati-hati. Kenyataannya itu benar-benar diharapkan sebagai suatu kenyataan yang realitistik dan bukan bukan sekadar harapan palsu dari seorang yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Rakyat sendiri akan menilai sejauh mana beliau mampu mengotakan kata-katanya di penghujung usianya itu atau sekadar hanya kata-kata retorik politik bagi menyedapkan halwa telinga rakyat. 
Rakyat berhak merasa was-was dengan janji PM itu kerana sejarah negara ini yang panjang di bawah pemerintahannya. Kita semua mengenang Perdana Menteri yang sama memerintah negara selama 22 tahun dari 1981-2003, dan dalam tempoh itu sistem demokrasi di negara ini hampir lumpuh dan hancur. Semua rakyat mengenali bagaimana sikap pemerintahan secara autokratik yang dilaksanakannya dengan mencengkam semua institusi dan agensi kerajaan sehingga tunduk di bawah pentadbirannya. Bukan setakat itu, kesemua pemimpin kanan di bawah beliau yang menjadi Timbalan Perdana Menteri terpelanting dihumban oleh beliau. Tun Ghafar Baba, Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah TPM yang dimangsakan beliau. Bahkan, beliau juga begitu berkuasa menumbangkan dua bekas Perdana Menteri iaitu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. 
Rakyat menghukum BN dan PM sebelum ini bukan kerana Barisan Nasional terlalu lama memerintah, tetapi terlalu banyak kerosakan pada sistem dalam negara ini. Kesemua badan perundangan, eksekutif dan kehakiman dilonggokkan di bawah kuasa besar Perdana Menteri. Sehingga akhirnya semua badan tersebut kaku dan lesu, takut bersuara apatah lagi bertindak dan akhirnya ruang kebebasan dan keadilan menjadi sempit. Justeru kenyataan Tun Dr Mahathir perlu dibuktikan dalam era 100 hari pemerintahannya bagi menyaksikan kebenaran janji Pakatan Harapan seperti di dalam manifesto. 
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa apa yang dilakukan oleh bekas PM, Datuk Seri Najib sehingga berlaku ketirisan, tuduhan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa adalah legasi dari sifu utamanya itu. Tidak hairan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib persis apa yang dilakukan oleh sifu besarnya itu di era pemerintahannya. 
Oleh sebab itu, PM perlu buktikan kata-katanya itu dengan tindakan. Memerdekakan segera semua badan kehakiman, perundangan dan eksekutif tanpa campurtangan orang politik adalah agenda besar bagi mengembalikan demokrasi di negara ini. Bebaskan badan perundangan dan kehakiman mengambil tindakan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pesalah yang melakukan korupsi termasuk dirinya sendiri. 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
24 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 24/5/2018
Sumber HD - 24-5-2018 

Teruskan projek ECRL demi rakyat

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Putrajaya sekarang berhak mengkaji semula kesemua projek yang membazir dan merugikan rakyat dan negara, tetapi jangan bersikap berdendam terhadap Pembangkang yang menerajui negeri-negeri. 
Rakyat yang memilih PAS di Kelantan dan Terengganu tidak boleh dimangsakan dengan pelbagai kezaliman terhadap pemerintahan negeri-negeri ini bahkan sepatutnya Kerajaan Kelantan dan Terengganu diberi peruntukan lebih bagi menghargai ruang kebebasan demokrasi di negara ini. 
Selain itu, Kerajaan PH mesti membebaskan diri dari bayangan rejim Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan tidak mengulangi kesilapan pemerintahan BN. Sikap menganak tirikan Kerajaan Negeri pimpinan Pembangkang mesti ditolak tepi kerana rakyat sudah muak dengan budaya berpolitik sehingga mengorbankan kepentingan rakyat. 
Dalam hal ini kita menghargai Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh PH yang berjanji untuk memberi royalti minyak 20 peratus kepada Negeri Kelantan dan Terengganu. Tindakan ini penting sebagai tanda aras apakah PH mampu menunaikan janji di dalam manifesto ataupun tidak. 
Antara projek tinggalan kerajaan BN adalah Projek laluan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL). Walaupun projek ini menelan belanja yang mahal bernilai RM 55 billion, namun disarankan agar projek ECRL diteruskan kerana ia adalah projek yang baik dan memberi keuntungan kepada rakyat dan Negeri Terengganu. 
Suara hati telah disampaikan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu dengan melihat kemudahan pengangkutan dan akses rakyat di masa hadapan. Mungkin yang perlu dikaji adalah dari segi kos pembinaannya, tetapi projek ini dilihat mampu memangkin sumber ekonomi Negeri Terengganu dan Kelantan. 
Bagi PAS mana-mana projek yang boleh memberi keuntungan kepada rakyat perlu diteruskan, walaupun ia dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu. Sikap Budaya Politik Matang dan Sejahtera melangkaui sempadan politik kepartian termasuk dalam mana-mana projek kerajaan. 
Dalam keburukan kerajaan terdahulu, mungkin ada kebaikan yang boleh diambil. Jadi adalah lebih baik pandangan Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu diambil kira bagi meletakkan kepentingan rakyat sebagai nombor satu. 
Pasca PRU ke-14 ini, kita perlu bergerak ke hadapan dengan memperbanyakkan ruang diskusi dan perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Meskipun dipisahkan oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Kerajaan dan Pembangkang, tetapi Negara Malaysia tetap satu yang menyatukan antara negeri-negeri. 
Justeru, tidak wajar ada sikap melebihkan satu-satu negeri dengan meremehkan negeri-negeri tertentu yang lain. Ruang kerjasama sentiasa terbuka bagi memberi kebaikan kepada semua pihak di negara ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat - HARAKAHDAILY 22/5/2018
Sumber HD - 22-5-2018 





Ancaman Islam Liberal di Malaysia

MENGGUNAKAN rasional akal dalam menafsir agama dengan alasan membuka ruang dimensi berfikir semakin berleluasa di tanah air kita. 
Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolaborasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka. 
Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam Liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi. 
Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama melarang Wacana Mustapha Akyol, seorang Sarjana Turki yang ingin menebarkan fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat bagaimana kelompok Islam Liberal negara ini bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran cara fikir mereka. 
Ciri-ciri fahaman Islam Liberal
●     Mereka menganut Fahaman Pluralisme
Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam Majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”. 
Dengan fahaman inilah, maka lahirnya Ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut Fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam Liberal di sana. Di Malaysia, penularan Fahaman Pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut: 
a.     Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan Para Ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam Liberal menolak pandangan Mufti dan Ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup; dan 
b.     Kerana terpengaruh dengan Fahaman Pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO Muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis atau Suruhanjaya Antara Agama-agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Buddha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001. 
●     Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia
Dalam isu murtad – seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani), golongan Islam Liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah. Seorang peguam yang juga merupakan ahli Parlimen daripada parti kerajaan iaitu Zaid Ibrahim pernah mengungkapkan isu murtad ini dalam satu forum yang dianjurkan oleh Suhakam pada 9 September. 
Bagi kelompok Islam Liberal yang jahil ini mereka berhujah bahawa hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalah tafsirkan ayat Allah yang berbunyi: 
“Tidak ada paksaan dalam agama.”
(al-Baqarah: 256) 
Menurut tafsiran Ulama Tafsir yang Muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah dan iman. 
Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar daripada agama akan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya. 
Adapun hukuman di dunia ia akan dibunuh sebagaimana yang sabit dengam dalil as-Sunnah yang Sahih iaitu sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: 
“Sesiapa menukar agamanya (yakni murtad), maka hendaklah kamu membunuhnya.”
(Riwayat Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain dari Ibnu Abbas). 
●     Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman
Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran Ulama terdahulu. Tafsiran Ulama terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang. Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh wal Mansukh, tafsiran Rasulullah, para Sahabat dan Ahli-ahli Tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan rasional. 
“Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman. Kepada umat Islam, kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik”.
(Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, News Straits Times) 
Jelasnya, golongan Islam Liberal mengajak umat Islam kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan ilmu akal semata-mata. Kerana itu mereka awal-awal lagi telah menolak Hadis Nabi yang bermaksud: 
“Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka” 
Dengan mendakwa Hadis tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya berfikir, merenung dan menggunakan akal. 
●     Mempertikai Syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional
Pada pandangan mereka hukum Syariat Islam adalah ciptaan Ulama dan Fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah Hukum-hakam Syariat yang Qatie. Antara Hukum-hakam Syariat yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah: 
a.     Hukum Faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita;
b.     Keharusan poligami bagi lelaki;
c.     Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita;
d.     Hukuman bunuh ke atas orang murtad;
e.     Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah; 
f.     Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuklah dalam solat;
g.     Hak mutlak suami untuk mencerai isteri;
h.     Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam; dan
i.     Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia. 
Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada pembaharuan fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada Ulama dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam Liberal menolak autoriti Ulama dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat bahawa sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama.
●     Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama 
Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia. 
Sebagai contohnya, tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di Pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain. 
Mereka telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia. 
Malah dalam satu kenyataannya SIS meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara. 
Malahan pertubuhan itu juga tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang Muslim. Hal ini kerana persoalan yang berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan. 
Pasca PRU14 ini akan menyaksikan banyak tuntutan kelompok pendukung Islam Liberal dan Pluralisme agama akan digemakan. Riak-riak kepongahan mereka semakin menyerlah, kerana turut merasakan mereka turut memberikan sumbangan kepada kemenangan PH baru-baru ini. 
Umat Islam mestilah mengambil cakna perkembangan semasa yang berlaku, menularkan fahaman neo-Muktazilah yang akan mengganggu kelestarian agama Islam dan penganutnya. Ahzab moden sedang mengepung umat ini daripada segenap penjuru, dengan senjata fitnah mereka. Bangkitlah wahai umat! 
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 21/5/2018
Sumber HD - 21-5-2018 







Belasungkawa Ustaz Ismail Dagang

AKU termanggu dan hilang kata-kata apabila mendapat perkhabaran perih, seorang insan yang baik dan berjasa telah mengadap Ilahi usai Zuhur empat Ramadan ini. Sosok pejuang yang hebat semenjak zaman muda sehingga ditukar merata ceruk semasa berkhidmat dalam perkhidmatan keguruan. Almarhum Ustaz Ismail Che Dagang seorang pendidik, pendakwah yang tidak asing di Negeri Terengganu bahkan di sebahagian negara ini kerana obsesi beliau dalam bidang dakwah dan perkaderan. 
Saya teringat watak Ustaz Ismail yang ceria, impulsif dan gemar bercerita, dia berulang alik ke Kuala Lumpur terutama sejak tahun 2004. Rumah saya di Padang Balang Sentul menjadi tempat rehat dan berlabuh para asatizah daripada Terengganu, Kedah,Sabah, Kelantan dan lain-lain negeri. 
Kami mengukuh ukhuwah dan rumah dua tingkat itu menjadi markas berhimpun, berbuka dan bersahur beramai-ramai di Bulan Ramadan. Kini beberapa orang sahabat kumpulan asatizah ini telah menjadi anggota Legislatif dan Ustaz Ismail antara narator yang menceriakan kami. Jadual beliau bermula daripada Subuh sehingga selepas Isyak, kuliah serta usrah daripada satu masjid ke surau dan markas. Dia menyintai lapangan dakwah ini sepenuh hati, tak pernah merungut akan kesusahan dan kerenah penganjur program. Tenaganya diperah oleh ahli-ahli jamaah untuk pelbagai program, Kuliah Haraki, Usrah Gabungan, Tamrin, bahkan kadang-kadang menggantikan Kuliah Jumaat Tuan Guru di Masjid Rusila Terengganu. 
Ustaz Ismail Dagang atau dengan panggilan mesranya Ustaz Weil adalah anak seorang nelayan di Kampung Seberang Takir, antara adik-beradiknya yang juga pimpinan PAS ialah Haji Zakaria Dagang, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu. Mendapat Pendidikan Menengah di SMUZA Kuala Terengganu dan seterusnya menjadi pendidik di beberapa buah sekolah. Beliau akhirnya melanjutkan Pendidikan Tinggi di Fakulti Pengajian Islam UKM, menjadi pimpinan jemaah dan aktif sebagai pengisi program. 
Beliau menyambung kerjayanya sebagai pendidik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, namun keaktifan beliau dengan PAS menyebabkan beliau ditukar merata-riti. Bukan sahaja sekolah-sekolah di sebelah Terengganu, namun ke Pahang, Johor, Sabah dan lain-lain negeri. Mempunyai hubungan yang akrab dengan Murabbi beliau, Almarhum Ustaz Dato Harun Taib yang banyak dirujuk dalam membuat keputusan. 
Suami kepada dua orang isteri ini juga memegang jawatan di dalam Kawasan Kuala Nerus semenjak zaman muda sehinggalah beliau menjawat jawatan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu. Apabila PAS memenangi Terengganu dalam PRU pada tahun 1999, beliau telah diminta oleh pimpinan negeri untuk menjadi Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Beliau melepaskan jawatan sebagai pendidik di bawah Kementerian Pendidikan tanpa pencen, akur dengan arahan untuk membantu Negeri Terengganu yang kekurangan tenaga pakar saat itu. 
Ustaz Weil mempunyai jasa yang besar dalam mentarbiyah ahli-ahli PAS di seluruh negara terutama di sebelah Terengganu, Johor, Pahang, Selangor. Banyak masa beliau dihabiskan untuk mencetak kader-kader pelapis. Beliau juga terlibat dalam mencari dana untuk membesarkan Masjid Kampong Batin, Seberang Takir sehingga masjid tersebut menjadi Pusat ilmu. Begitu juga pembangunan sekolah-sekolah Islam di bawah Dewan Ulamak PAS Terengganu. 
Saya menjadi peneman beliau ke Brunei, Sabah, Labuan untuk berprogram sehingga beliau bertemu jodoh di Bandar Seri Begawan. Banyak sketsa kehidupan dicoret bersama almarhum, pesan-pesan beliau dalam kerja Amal Islami serta suntikan motivasi yang tak pernah malap. 
"Wan, enta sibuk macam mana pun, jangan tinggal kuliah-kuliah...Allah akan bantu orang yang berjuang Islam" katanya lirih. 
Sikap ceria, suka membantu dengan muka yang manis adalah watak Ustaz Weil, maka tak pelik jika jenazahnya disolati ribuan anggota masyarakat, anak-anak murid, pencinta majlis ilmu. Jenazah sang daie ini disolatkan di mana masjid itulah beliau bertungkus-lumus membesarkannya dan mengadakan kuliah kepada masyarakat Seberang Takir. 
Doa oleh Ustaz Dato Husein Awang diaminkan oleh ribuan ahli-ahli jemaah, kami juga daripada jauh mengaminkan perlahan "Ya Allah.. tempatkan pendakwah ini pada tempat yang terpuji, ampunilah kesilapannya, luas dan lapangkanlah kuburannya.. kami menjadi saksi kesungguhannya berjuang dan menyampaikan risalah agama-Mu tanpa lelah". Berehatlah Ustaz!, kami juga akan menyusul. 
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI Pusat) - HARAKAHDAILY 20/5/2018
Sumber HD - 20-5-2018 







Setahun pemergian Prof Dr Khazani

DR Khazani Abdullah dilahirkan di Terengganu pada tahun 1968. Beliau merupakan antara anak Melayu yang mendapat pendidikan Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Missouri, Rolla USA pada tahun 1991 sehingga 1993. 
Kecemerlangan beliau dalam bidang akademik sejak zaman persekolahan beliau di Terengganu ini disempurnakan dengan beliau menamatkan Ijazah PhD di Universiti Malaya pada tahun 1999. Dr Khazani Abdullah yang merupakan aktivis PAS semenjak zaman belajar, merupakan seorang pakar dalam bidang Fiber Optic, di mana beliau telah dianugerahkan sebagai Saintis Muda Negara pada tahun 2001 dengan pelbagai sumbangan beliau dalam bidang Fiber Optic. 
Beliau telah memenangi banyak anugerah di peringkat Antarabangsa kerana kecemerlangan dan kesungguhan beliau dalam bidang ini. Beliau terlibat dalam pelbagai penerbitan jurnal Antarabangsa dalam bidang beliau, di mana tokoh ini juga Professor Adjunct di Uniten, dan beliau juga telah menyelenggarakan pelbagai tesis kesarjanaan dan juga di peringkat PhD. 
Semasa zaman remaja, almarhum mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman pada tahun 1981 sehingga tahun 1983. Sebuah sekolah tersohor dan elit yang ditubuhkan di zaman British pada tahun 1925 yang melahirkan ramai tokoh-tokoh berjasa kepada negara termasuk Yang DiPertuan Agong sebelum ini, Raja Mizan. Di sekolah ternama ini, Khazani yang berasal daripada Kampung Kuala Ibai lebih merupakan "ulat buku" berbanding reputasi dalam bidang sukan atau aktiviti pasukan beruniform yang lain. 
Menurut YB Ustaz Afiffin Deraman (Adun Alor Limbat yang memperolehi ijazah dalam bidang konvensional dan agama), Dr Khazani telah menjadi pelajar terbaik SMSS dalam peperiksaan awam SRP pada tahun 1983. Beliau akhirnya telah menyambung pelajaran menengahnya di MRSM Kuantan sehingga berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 1985. Peminat gerakan Islam semenjak remaja ini akhirnya bermukim ilmu ke negara "Uncle Sam", terdedah dengan lebih luas di medan Amal Islami. 
Beliau antara tenaga pemikir dalam jamaah PAS, bersama-sama dengan Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar, Pakar Aeroangkasa Malaysia. Prof Dr Khazani menjadi "Inner Circle" Tuan Guru Haji Abdul Hadi semenjak tahun 2003. Dengan kejatuhan Kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004, beliau lebih serius membantu Tuan Guru Presiden membangunkan kembali kekuatan PAS, terutama di Terengganu. 
Almarhum terlibat dengan NGO Perantau Terengganu dan jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Presiden Perantau Terengganu. Khazani antara pengasas NGO Ilmuan, sebuah wadah yang menghimpunkan para cendekia yang mempunyai Fikrah Islam dan bernuansa dakwah. Di peringkat kepimpinan PAS Pusat, beliau dilantik sebagai AJK PAS Pusat untuk sesi 2015-2017 dan menjadi pemikir utama untuk pengenalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Satu usaha besar PAS mendekati pelbagai strata sosial masyarakat, di mana idea Tuan Guru Presiden ini diterjemahkan di atas kertas oleh Dr Khazani. 
Kejayaan beliau juga dengan menjadi pemikir utama dalam PAS di bilik strategik, ISP. Badan pemikir PAS ini juga merangka WINS (Wawasan Induk Negara Sejahtera) serta melakar "Road Map" PAS ke arah kejayaan PRU ke-14. Saya sebagaimana ahli-ahli PAS dan pimpinan yang lain, akan terus mengenang Dr Khazani sebagai sosok yang serius dengan kerja buat di medan Amal Islami, hadir dalam mesyuarat PAS Pusat dan Lujnah Politik Pusat dengan idea-idea serta pembentangan fakta yang bertunjangkan kajian. 
Dr Khazani sentiasa bersalut aura positif, tidak lokek masa dan harta untuk perjuangan Islam. Beliau juga pengasas kepada SRITI Bangi, sebuah institusi pendidikan yang kini mula menjadi fenomena baru kepada ibu bapa dan pelajar. 
Ilmuan Islam ini akan kekal terpahat di hati kami, Abnaul Harakah, menjadi pencetus kebangkitan PAS pasca krisis 2015 dengan BPMS. Saya melihat kembali Whatsapp peribadi antara saya dengan Khazani, kata-kata motivasinya, pesan-pesan penghargaannya dan akhirnya hati menjadi basah. Seorang teman yang menghargai persahabatan dan sentiasa bertanya apakah lagi ruang untuk menyumbang kepada perjuangan Islam. Damailah di sana wahai sang pejuang dan kami juga akan menyusurimu di alam sana. Alfatihah! 
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat) - HARAKAHDAILY 20/5/2018
Sumber HD - 20-5-2018 

























Nakbah Palestin: 70 tahun yang perih

15 Mei setiap tahun semenjak 1948 adalah tarikh yang menikam hati dan perasaan umat Islam, nakbah Palestin atau pun bencana Palestin yang hilang daripada peta digantikan dengan negara haram Israel. Pengusiran dan pembantaian kepada umat Palestin tidak berhujung, seolah-olah dunia Islam sudah pekak dan tuli terhadap jeritan mangsa penindasan. Israel dengan dukungan Amerika Syarikat tidak peduli dengan bantahan dan jerkahan masyarakat antarabangsa, dibantu oleh rejim negara-negara Arab yang pro kepada kuasa adijagat dunia yang juga "polis dunia" Amerika Syarikat. 
15 Mei ini juga menoreh sejarah hitam kepada umat Islam sejagat apabila Amerika menyokong perpindahan ibu negara Israel daripada Tel Aviv kepada Baitul Maqdis. Amerika Syarikat dengan segunung kesombongan telah memindahkan juga kedutaan mereka ke tanah suci milik umat Islam itu walaupun mendapat bantahan umat Islam . 
Rakyat Gaza semenjak dua hari lepas telah mengadakan perarakan bantahan dan terkini lebih 41 nyawa telah terkorban, ratusan yang cedera malah dijangka angka kematian ini akan terus meningkat jika dunia tidak berbuat sesuatu untuk menghentikan sikap barbarik rejim zionis. 
Gerakan Zionis yang ditubuhkan pada tahun 1897, terus merancang dengan teliti untuk menakluki tanah Palestin. Zaman imperialisme Barat yang menyaksikan umat Islam yang terpuruk ke belakang turut mempercepatkan kewujudan negara haram Israel di atas tanah Palestin. 
Teodor Hezl yang memimpin konspirasi zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid (II) untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang, namun khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi daripada pelbagai pelusuk dunia terutama daripada Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour. 
Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada ummat Islam, dengan pengusiran dan pembantaian terhadap ummat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada ummat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwan Muslimin pada tahun 1940-an dan dengan alasan inilah Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948. 
Malangnya negara-negara Arab dalam dekad 1950-an dan 60-an yang berselimut dengan fahaman Baath (Sosialis Arabism), mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25 000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak zionis. 
Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza, munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin. 
Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Contohnya apabila Erdogan melakukan inisiatif menghimpunkan pimpinan negara OIC di Istanbul bulan lepas, sebanyak 23 buah negara tidak menghantar perwakilan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS. 
Bagi penulis, usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang terkepung. Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir membuka pintu sempadan Rafah bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluh lantak dengan serangan Zionis. Perjuangan membebaskan Palestin adalah milik seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa! Bangkitlah umat Islam, 70 tahun Nakbah Palestin dan tahun inilah mereka merayakan dengan gemilang kesakitan umat Palestin dengan pemindahan ibunegara Israel ke tanah suci umat Islam. Diam kita adalah jenayah besar pada agama ini! – HARAKAHDAILY 15/5/2018 
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI
Sumber HD - 15-5-2018 

Buat adik kakak dan perantau Kelantan 












http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/6526-buat-adik-kakak-dan-perantau-kelantanBuat adik kakak dan perantau Kelantan

28 tahun PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Menghampiri tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing. Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke-19 dan awal abad 20. PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihan raya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain. PAS kehilangan Kelantan dalam pilihanr aya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi Dun sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS. 
Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosioekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya. Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti. Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Saudara Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi. Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman Umno, krisis pemimpin Umno dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan Umno dalam pilihan raya tahun 1990. 
Pilihan raya Umum pada tahun 1990 telah memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila telah berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas pada tahun 1978. Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 telah menyebabkan Umno sebagai parti teras orang Melayu telah berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. PAS telah bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain iaitu HAMIM dan Berjasa. Pemuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan telah berjaya memenangi negeri Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen dalam Pilihan raya Umum pada tahun 1990. PAS yang telah memenangi kerusi yang terbanyak telah mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebagai Menteri Besar Kelantan. 
Pelantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh pendidikan telah merancakkan perkembangan pendidikan Islam di Kelantan dan negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘Serambi Mekah’. Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal. Beliau akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam. Dalam pembentangan belanjawan negeri Kelantan, belanja pengurusan sekolah YIK sentiasa diberikan keutamaan. 
Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri telah memberikan peruntukan besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun. Apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah-sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, termasuk pendidikan prasekolah seperti PASTI. 
YIK telah diberikan peranan yang besar untuk memastikan kelangsungan dan menjana pendidikan Islam di Kelantan, sesuai dengan slogan kerajaan Kelantan, ‘Membangun Bersama Islam’. Program pendidikan Islam adalah menekankan kepada melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqidah dan jasmani berdasarkan ajaran Islam. Sekolah-sekolah YIK terbukti mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR, SPM dan STPM. Di antaranya ialah Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan yang sentiasa berada di carta teratas sekolah cemerlang di negara ini. 
Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz Al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS. 
Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. 
Kelantan semenjak abad ke-19 merupakan negeri yang sangat subur dengan pengajian pondok sehingga digelar ‘Serambi Mekah’. Kewujudan sekolah pondok juga adalah kerana rangsangan berterusan daripada masyarakat sekitar dan kewujudan tenaga pengajar utama yang digelar sebagai ‘tuan guru’. Tokoh pondok ini pula diketahui mempunyai ilmu yang tinggi kerana mendapat pendidikan Islam di luar negara, namun kegemilangan pondok merosot akibat beberapa faktor seperti kehilangan tokoh pondok (Tuan Guru), sikap masyarakat yang semakin berubah pandangan terhadap pondok, kecenderungan untuk menghantar anak-anak ke institusi pengajian Islam formal. 
Kerajaan PAS di Kelantan telah memberikan perhatian yang besar kepada pembangunan pondok, bahkan juga oleh pemimpin PAS negeri itu sendiri di mana sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan institusi ini. Contohnya, Menteri Besar Kelantan sendiri merupakan pelajar pondok dan anak kepada pengasas madrasah, Baihaqi Atiqullah ialah anak kepada tokoh utama pondok Pasir Tumbuh, Abdul Latif Abdul Rahman merupakan anak kepada pengasas Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Dato' Ahmad Yakob iaitu Menteri Besar kini ialah anak kepada tokoh utama pondok dan madrasah, Nasruddin Daud (Adun Meranti), Haji Abdul Fattah Harun, Dato’ Nik Amar Nik Abdullah adalah anak kepada tokoh guru pondok dan ramai lagi yang lain. 
Di antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan. 
Kelantan telah membangun dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Negeri ini telah berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan. Legasi almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diteruskan oleh kepimpinan Kelantan pada hari ini. Semoga rakyat Serambi Mekah ini terus mendukung aspirasi "Membangun Bersama Islam" untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini. 
Rakyat kelantan rasanya tak perlu terpesona dengan tawaran PH untuk menobatkan Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai MB kelantan. PH yang ditunjangi oleh DAP, kelompok evangelist, kelompok Islam liberal, penentang-penentang tegar Syariah serta dipimpin oleh Dr Mahathir yang belasan tahun menyakiti Kelantan semasa berkuasa. Kelantan dilayan sebagai "pariah state" oleh Mahathir dan penyambung legasinya, menyekat bantuan perkapita serta tak segan menonjolkan permusuhannya terhadap apa sahaja elemen Islam. 
Rakyat Kelantan jangan terbuai dengan janji-janji palsu BN Umno yang kononnya ingin memartabatkan Islam di Kelantan, dalam keadaan mereka memerintah Malaysia yang menyaksikan betapa pengucilan kepada Islam berlaku secara beransur-ansur. Umno tidak ada iltizam politik yang serius untuk memperkasakan Islam, sebagaimana sikap mereka terhadap RUU 355,mereka terlalu tunduk pada parti-parti komponen BN yang lain. 
Untuk adik kakak Kelantan, ambo merayu agar mengekalkan keistimewaan Serambi Makkah ini, Tanah Serendah Sekebun Bunga yang meranum dengan pengukuhan nilai Islam, merimbun dengan pelbagai institusi pengajian Islam. Bayangkan wajah mulus almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang gigih menukar negeri ini menjadi pengkalan dakwah dan ilmu negara ini. Sudah puluhan tahun adik kakak semua tidak melihat premis perjudian, konsert-konsert lagha, program maksiat dan mungkar. Mengapa kita nak memilih koalisi parti yang tidak bernuansakan Islam, sama ada BN atau PH, istiqamahlah kita Membangun Bersama Islam tanah leluhur ini. – HARAKAHDAILY 4/5/2018
Sumber HD -4-5-2018 

Besut Pintu Tawan Terengganu, Sebuah Ilusi?




Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Anak-anak muda menjadi peserta paling teruja dalam pesta demokrasi kali ini, mereka menghijaukan daerah agrarian ini dengan bendera bulan berlatar hijau sehingga menenggelamkan bendera dacing. Pertandingan tidak seimbang dan seperti orang gila mabuk kuasa bagi BN di daerah lain,bendera PAS diturunkan oleh pihak PBT. Di daerah Besut, menurunkan bendera sesuka hati maka kesannya fatal!, masing-masing tahu akan batasan berpolitik. Daerah ini kepongahan warganya memang menjadi bualan masyarakat luar.

Besut pada tahun 1959 ditandingi kerusi Parlimennya oleh Dr Burhanuddin Al Helmi dan Presiden PAS ini berjaya mewakili konstitusi ini. Saat itu semua DUN berjaya dikuasai oleh PAS, yang mengesahkan Pantai Timur mula mengambil posisi sebagai kubu PAS walaupun harakatul ummah ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1951. Besut dengan jajaran sekolah pondok , sekolah agama rakyat juga dengan ramai ilmuan Islam memberikan kelebihan kepada PAS. Masjid surau atau balaisah meriah dengan pengajaran kitab oleh lebai-lebai pondok maka tidak pelik jika warganya menyintai perjuangan Islam. Menteri Besar Terengganu juga dilantik daripada anak Besut,iaitu Haji Daud Samad.

PAS kali kedua memenangi Terengganu pada tahun 1999, dengan gejolak kebangkitan rakyat menolak kezaliman UMNO/BN. Pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir telah menyimbah api kesedaran rakyat, riuh geger dijalanan anak-anak muda memprotes kebobrokan KKN yang diamalkan oleh regim Mahathir. Kawasan “Malay Belt” sangat terkesan dengan kezaliman BN termasuk daerah Besut. Parlimen dan keempat -empat DUN telah dimenangi oleh PAS walaupun setahun sebelum itu berlaku pemecatan kepada beberapa tokoh PAS kawasan ini.

Melihat kepada kebangkitan rakyat Terengganu dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kesannya turut mewabak ke Besut.Rakyat Terengganu muak dengan ketidakcekapan, ketirisan dan perangai bodoh sombong UMNO Terengganu. Pembaziran dan salahurus kerajaan negeri Terengganu sudah berada pada tahap maksima. Menjadi pemimpin kerajaan di negeri penyu menangis ini seolah lesen untuk menumpuk kekayaan, membina rangkaian kroni kapitalisme tanpa sepicing pun rasa malu.
PAS Terengganu menyedari bahawa usaha menawan Wisma Darul Iman mestilah melibatkan penglibatan Besut, maka program HARAP juga diadakan di kampung Raja, Besut pada tahun 2017.

Presiden PAS memberikan mesej yang serius untuk menawan Terengganu dengan melantik Dato Husein Awang, anak Besut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk sesi 2017-2019.

PAS kawasan Besut dibawah kepimpinan Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad telah menunjukkan keseriusan gerakerja dengan menumpukan kepada kekuatan akar umbi. Pelbagai program tajnid dan amal tarbawi telah diadakan seperti ijtimak tarbawi, tamrin qiadi, aktiviti pembinaan fikrah di cawangan-cawangan. Kegiatan jihad ta’lim disuburkan dengan menubuhkan institusi pendidikan seperti SRIDAF, PASTI serta pelbagai maahad untuk mencetak kader-kader dakwah.

Sumber BO - 14-4-2018






















Tun M tidak cetus tsunami, PH bermimpi

KETIKA Pakatan Harapan (PH) sibuk mengkagumi Tun Dr Mahathir dan mengusungnya sebagai pemimpin utama mereka dengan kepercayaan bahawa beliau akan mencetuskan Tsunami Melayu, kenyataan ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli pula membuktikan sebaliknya. Naib Presiden PKR dan pemimpin badan kaji selidik Invoke Malaysia itu berkata data yang dikumpulkan hasil penyelidikannya tidak menyokong spekulasi itu. 
Ini bermakna, ura-ura dan keyakinan tinggi bahawa PH akan memenangi PRU ke 14 dengan mengalahkan Umno-BN hanya tinggal mimpi. Peranan Tun Dr Mahathir juga sebagai pemimpin agung mereka hanya sekadar slogan retorik pelengkap perjuangan mereka kerana yang nyata PH ketandusan pemimpin lantaran terpaksa bersandarkan kepada bekas Perdana Menteri paling lama itu. Maka ramailah pemimpin PH berangan menumpang tuah atas nama besar Tun Dr Mahathir, sehingga ada yang sanggup terjun dari bahtera perjuangan PAS kerana tidak sabar menaiki tangga Putrajaya. Walhal, reputasi Tun Dr Mahathir hanya biasa-biasa dan belum sampai ‘makam’ mencetuskan gelombang besar seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim di era Reformasi 1998 dulu. 
Hakikatnya ramai berpandangan bahawa Tun Dr Mahathir belum mampu mencetuskan impak kepada landskap politik negara. Walaupun beliau seorang negarawan dan bekas PM, beliau juga mempunyai banyak sisi gelap yang boleh dipertikaikan. Dengan usianya yang menjangkau 93 tahun, sudah cukup menjadi bahan ketawa dan sindiran rakyat terutama generasi muda bahawa bagaimana orang setua itu boleh menjadi Perdana Menteri. Ramai meneka selama mana beliau mampu mengemudi negara, kerana silap hari bulan SPR terpaksa pula adakan Pilihan Raya Kecil (PRK) jika berlaku apa juga kejadian tidak diingini terhadapnya. 
Jika hendak dibukakan koleksi kezaliman beliau semasa era PM, banyak yang boleh dibukukan. Isunya, beliau tidak ada beza dengan Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri sekarang. Jika PM dituduh menambah kekayaan diri dan keluarga, apa kurangnya Tun. Siapa tidak kenal anak-anak dan keluarga beliau yang menjadi taikun syarikat gergasi di negara ini. Jika rasuah hendak disabitkan ke atas PM, apa lebihnya dengan bekas PM dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan rasuah ke atasnya dan pemimpin sezaman dengannya. Jika episod kezaliman dan penindasan hendak diungkit, siapa tidak kenal Tun dengan akta drakonian seperti ISA, Auku, menyekat kebebasan akhbar, kebebasan bersuara, sekatan terhadap perhimpunan aman, pembunuhan dalam tragedi Memali dan lain-lain lagi. Malah Tun Dr Mahathir dianggap sebagai bapa pembunuh demokrasi di negara ini. 
Dalam kongkongan terhadap agensi kerajaan, Tun Dr Mahathir jugalah rajanya. Beliau yang menyekat kuasa Raja-raja Melayu, mencengkam agensi penting seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan lain-lain lagi. Bagi memastikan beliau terus memenangi pilihan raya pelbagai strategi licik digunakan termasuk merahsiakan tarikh pilihan raya, berkempen menggunakan agensi kerajaan, gerry mandering (persempadanan) mengikut kehendak hati, ugutan kepada penjawat awam, skandal pengeluaran kad pengenalan dan lain-lain. 
Pendek kata, PM sekarang adalah cerminan kepada bekas PM dahulu. Malah, PM sekarang adalah ‘copy paste’ apa yang dilakukannya sekarang. Justeru, mustahil bagi rakyat melupakan semua kebejatan yang telah dilakukannya. Tidak timbul bagi rakyat yang peka dan terbuka minda mereka untuk memberi sokongan kepada PH pimpinan Tun apatah lagi memberikan Tsunami Melayu kepada PH kali ini. 
Saya meyakini PRU ke 14 ini adalah medan terbuka luas buat semua parti bersaing merebut tempat kemenangan. Peranan PAS dan Gagasan Sejahtera begitu signifikan dan PAS membuat keputusan tepat pada masanya sebagai pilihan kepada pengundi. Dalam situasi mutakhir ini kami semakin yakin, gelombang Tsunami itu bergerak ke arah kami dengan sokongan tidak putus dari masyarakat terhadap perjuangan PAS. InsyaAllah, PAS akan memimpin negara selepas ini. 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat - HARAKAHDAILY 5/4/2018
Sumber HD - 5-4-2018 












Pemimpin perlu jaga akhlak, jauhi fitnah dalam masyarakat

KENYATAAN Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar bahawa dirinya disabotaj ketika ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kelab malam dan menafikan dirinya menggunakan dadah walaupun ujian air kencing yang dijalankan oleh polis menunjukkan ia adalah positif menandakan ada golongan desperado yang sanggup melakukan apa sahaja demi politik. Perkara itu sangat dibimbangkan oleh pemimpin terutama bakal calon pilihan raya yang terdedah dengan ancaman keselamatan, sabotaj, dan tindakan lain yang menjatuhkan maruah dan aib mereka. 
Dalam situasi mutakhir ini – iaitu ketika negara di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ada pihak sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kepentingan diri sendiri termasuk memerangkap orang lain, cah keting, mensabotaj, menipu, mencederakan bahkan membunuh. Semua ini dilakukan bagi menafikan pesaing sebagai calon dan melonjak diri sendiri menjadi calon pilihan raya atau orang penting dan memastikan diri mendapat tempat tertentu walaupun sanggup khianat terhadap rakan seperjuangan. 
Jika benar kenyataan Datuk Rizalman itu, maka tidak ada yang selamat dalam politik walaupun terhadap rakan baik sendiri. Sesiapa sahaja boleh menjadi musuh, kawan menjadi lawan, lawan menjadi kawan – pesaing akan dikambus hidup-hidup, dipastikan musuh politik tidak ada tempat dan ruang bernafas di dunia politik ini. Inilah politik ala ‘Machiavelli’ yang menjadikan matlamat untuk menghalalkan cara. Ia jauh daripada politik Islam yang PAS sedang perjuangkan sekarang iaitu politik berteraskan iman, syariat dan akhlak. PAS tidak tergamak menyerang peribadi musuh politik, tidak rela menerima dan menyebarkan fitnah, budaya memburukkan dan menjatuhkan lawan politik yang tidak ada akhlak dalam Islam. 
Namun di sebalik pengakuan Datuk Rizalman, timbul persoalan besar mengenai akhlak dan tingkah laku pemimpin Umno itu. Beliau mengaku datang ke kelab malam sehingga jam 2.0 pagi untuk berhibur, berkaraoke, dan minum minuman ringan. Apakah ini amalan seorang yang mengaku beragama Islam dan mahu menjadi pemimpin contoh kepada masyarakat? Bagaimana pandangan pengundi dari kalangan umat Islam dan agamawan, para Imam, bilal, ahli jawatankuasa masjid, ahli kariah masjid di bahagian beliau? Sudah tentu mereka merasa malu mendapat seorang pemimpin yang suka berhibur di kelab malam dan berkaraoke. 
Seharusnya Datuk Rizalman sedar tindakannya mengundang fitnah. Walaupun beliau menafikan mengambil minuman keras dan dadah, tetapi kehadiran beliau di kelab malam tersebut tetap tidak boleh diterima oleh masyarakat. Ia bukan budaya dan amalan umat Islam, lebih-lebih lagi pemimpin masyarakat yang mahu bertanding dan bergelar ahli parlimen. Menjadi Yang Berhormat (YB) bukan gelaran terhormat atau bebas melakukan apa sahaja melainkan dengan tanggungjawab dan bebanan, termasuk menjadi teladan terbaik buat masyarakat setempat. Meletakkan diri di tempat yang salah dan mengundang fitnah adalah tindakan keji yang tidak boleh diterima. 
Bagi masyarakat umumnya dan pengundi Bandar Tun Razak khususnya, tangkapan terhadap Datuk Rizalman adalah hikmah untuk menunjukkan siapa beliau sebenarnya. Allah menyingkap tabir kehidupan peribadi insan yang mahu bergelar pemimpin tetapi terpalit dengan pelbagai sisi kehidupan yang tidak enak dilihat oleh manusia seluruhnya. Mujur beliau tertangkap sebelum PRU ke-14, jika selepas PRU ke-14 malanglah pengundi kawasan beliau terpaksa menanggung malu selama lima tahun kemudiannya mendapat pemimpin yang kurang akhlak dan menjaga tingkah laku sendiri. 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
4 April 2018 - HARAKAHDAILY 4/4/2018
Sumber HD - 4-4-2018 

Usah takut kebenaran jika tidak bersalah

PENDIRIAN PAS yang menyokong Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar di Parlimen semalam dianggap sebagai bersekongkol dengan Umno-BN. Semudah itu hukuman dilemparkan ke atas PAS hanya kerana bersetuju atau tidak bersetuju dalam sesuatu perkara. Telah menjadi lumrah dalam politik, menjatuhkan hukum berdasarkan persepsi terhadap sesuatu perkara dengan begitu mudah. 
Apabila PAS mengambil sikap menentang Persempadanan Semula Pilihan Raya yang dibentangkan di Parlimen beberapa hari lalu, tidak sedikit pun suara mengatakan bahawa PAS menentang Umno-BN? Mengapa apabila sesuatu usul atau akta dibentang dan diluluskan bersamaan dengan pendirian Umno-BN, terus dianggap bersetuju dan bersekongkol. Apakah Pakatan Harapan (PH) hanya mahu semua parti hanya mengikut telunjuk mereka tanpa sebab atau rasional yang jelas? 
PAS telah menjelaskan sebab-sebab kami menyokong RUU Antiberita Tidak benar di Parlimen. 10 sebab PAS nyatakan sokongan. Bukan atas dasar yang membentangkan itu Umno atau tidak. Malah, jika PH yang menjadi kerajaan dan membentangkan akta yang sama, jika ia baik PAS akan menyokongnya. PAS adalah parti yang mempunyai pendirian jelas. Yang baik dan dituntut oleh agama disokong. Yang salah dan bertentangan dengan agama dilawan. Garis panduan PAS adalah pada hukum dalam Islam. Bukan menyokong semberono atau menentang membabi buta. 
PAS menyokong kerana beberapa sebab iaitu asas agama dan PAS menolak budaya fitnah dan pembohongan. Politik PAS yang diamalkan adalah politik realiti, buka persepsi. Kami tidak mahu budaya memfitnah, adu domba, menghasut, membohong dan menipu sebagai budaya politik. Yang PAS mahukan adalah kebenaran dan ketulusan dalam sesuatu tindakan. 
Dalam soal ini, PAS bersikap tegas bahawa fitnah dan penipuan terutama dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 14 mesti ditolak. Jika Umno memfitnah, kami tetap menentang Umno walaupun mereka yang meluluskan RUU ini. Kerana itu, RUU adalah amaran kepada media rasmi milik kerajaan yang kerap disaman dan kalah di mahkamah, agar menjadi lebih beretika, beradab dan berpinsip. Mereka perlu menjadi contoh awal bahawa media utama negara jangan cuba berani lagi berbohong dan memfitnah kepada sesiapa. Dengan itu kami membela semua pihak, sama ada PAS mahupun pembangkang yang lain. Fahami benar-benar isu ini sebelum menentang dan menolak kerana kesannya jangka panjang. Justeru dari mana datangnya PAS hanya mahu bersekongkol dengan Umno? 
Sebagai parti politik, PAS tetap memerhati Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri-negeri. Jika kerajaan negeri melakukan kepincangan, dan ada bukti yang jelas, PAS akan menentangnya walaupun ia kerajaan Umno-BN atau PH. Soal Amar Ma’aruf Nahi Mungkar adalah perkara besar yang menjadi tugas utama PAS. Tidak ada istilah melindungi kebenaran atas alasan RUU Antiberita Tidak Benar jika ia terbukti benar dan ada fakta yang lengkap. Maka, usah ditakutkan dengan RUU ini jika kita semua memperjuangkan kebenaran, berada di pihak yang benar dan menolak kebatilan kerana hanya mereka yang bersalah sahaja sukakan penipuan dan takutkan kebenaran. 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 3/4/2018


























Sumber HD- 3-4-2018














Syeikh Ahmad Yasin dalam ingatan

22 Mac 2004 ialah tarikh yang diingati oleh semua penyokong perjuangan pembebasan bumi Palestin. Jasad insan yang telah renta dibunuh dengan dahsyat oleh Regim Zionis. Sosok pemberani yang inspiratif ini berkerusi roda, seolah mencium bau kesyahidannya, keluar daripada masjid yang berhampiran rumahnya pagi itu, bergegar dengan tembakan roket daripada helikopter musuh sehingga tercabik jasadnya. Wajahnya tersenyum dalam kubangan darah yang mewangi. Beliau ialah pendiri HAMAS dan seorang tokoh pejuang yang lama terpenjara dalam jeriji besi Israel. 
Penentangan berdarah terhadap negara haram Israel tidak pernah berhenti kerana regim ini sentiasa dahagakan darah orang beriman seperti kes pembunuhan di Shabra dan Shatila, pembunuhan di Masjid Ibrahimi Hebron dan ratusan lagi kes pembunuhan kejam yang mewarnakan bumi ini dengan warna merah darah penindasan. 
Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an perjuangan Israel lebih terarah kepada kelompok Sosialis dan Kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang. Kini sudah tiba masanya mereka kembali kepada perjuangan Islam seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia. 
Kembali kepada nuansa perjuangan yang berteraskan kepada Islam, berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W, maka pada bulan Disember tahun 1987 Sheikh Ahmad Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendukung-pendukung Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan Pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau dalam Bahasa Arab disebut Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah. Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam dan menentang penjajahan Yahudi di Palestin. Sheikh Ahmad Yasin sendiri dipilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini yang terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan. 
Ideologi perjuangan HAMAS dinyatakan di dalam perlembagaannya yang diisytiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah: 
●     Dasar dan manhaj HAMAS ialah Islam yang lengkap.
●     HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut-penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.
●     Palestin adalah tanah Islam sejak turun temurun hinggalah hari kiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan kepada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun Raja dan Presiden Negara-negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.
●     Jihad menentang kezaliman Yahudi adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.
●     HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja jalan penyelesaian bagi isu Palestin.
●     Kelompok wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin. Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanah air mereka. 
●     HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga turut menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasir Arafat sebagai ‘sahabat’, tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu. 
HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak Perjanjian Damai sementara antara Israel dan Palestin pada tahun 1993-1994. Mulai tahun 1994 HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel. Fenomena ini menjadi igauan paling buruk bagi orang Yahudi. Dalam tahun 1996 sahaja empat serangan bom dalam musim bunga telah diadakan menyebabkan 60 orang penduduk Israel telah terbunuh. 
Kebangkitan kedua Palestin selama empat tahun setengah telah menyaksikan seramai 3500 rakyat Palestin terbunuh dan 1000 penduduk Israel terkorban. 
Dengan menubuhkan HAMAS, rakyat Palestin yang selama ini tanpa arah yang jelas mencari jalan perjuangan, kini bergabung tenaga melakukan satu kebangkitan menyeluruh atau lebih dikenali sebagai Intifadhah. (Ibnu Ismail: 2004). 
Peristiwa yang menyebabkan tercetusnya kebangkitan (Intifadhah) ini ialah tindakan sebuah lori besar milik Yahudi yang sengaja melanggar dua buah lori kecil milik umat Islam menyebabkan empat orang terbunuh dan yang lain cedera. 
Peristiwa ini adalah faktor sementara bukan faktor mutlak, kerana terdapat faktor-faktor lain yang meransang fenomena ini. Bermulalah intifadhah dan penentangan terbuka rakyat Palestin dengan melontar batu, membakar tayar di jalanan bagi menghalang kenderaan tentera Israel dan melempar Molotov Cocktail ke arah musuh. Rakyat Palestin gagal mendapatkan senjata api kerana sempadan negara ditutup dan dikawal ketat oleh pihak Israel dan Negara-negara Arab yang bersempadan namun gerakan HAMAS berjaya mendapatkannya secara sulit dan menyimpannya dalam gudang khas mereka seperti stor bawah tanah. 
Bagi penduduk awam Palestin walaupun tidak memiliki senjata api, mereka keluar ke jalan-jalan raya melontar batu dan melastik pasukan tentera Yahudi. Bagi tentera Yahudi (dalam sejarah Yahudi adalah penakut, suka melakukan secara sembunyi: lihat kisah Rasulullah S.A.W dalam peristiwa Bani an-Nadhir pada bulan Rabiul Awwal tahun keempat Hijrah), walaupun mereka tidak berhadapan dengan senjata api, namun batu-batu itu begitu menggerunkan mereka. 
Kebangkitan rakyat Palestin sangat membimbangkan Regim Israel. Pada bulan Ogos 1988, tentera Israel menceroboh rumah Sheikh Ahmad Yasin dan melakukan pemeriksaan serta mengugutnya untuk dibuang negeri ke Lubnan bagi mengganggu kebangkitan umat Islam. Namun ugutan itu tidak diendahkan Sheikh Ahmad Yasin dan penyokongnya yang mendambakan mati syahid sebagai citra perjuangan. HAMAS telah meningkatkan operasi membunuh tentera pengganas Israel dengan laungan takbir yang semakin meriah sahut-menyahut di bumi Palestin. Mata-mata Israel dari kalangan bangsa Arab Palestin turut dibunuh oleh pejuang HAMAS yang menganggap mereka sebagai musuh paling merbahaya bagi rakyat Palestin. HAMAS terus gagah berdada dengan kezaliman Regim Zionis serta mendapat dukungan kuat ummah. 
Pimpinan mereka ramai yang telah menjadi syuhada seperti Sheikh Ahmad Yasin, Solah Syahadah, Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Nizar Abdul Kader Rayyan dan yang lain-lain. Harakah Islam yang berkubu di Gaza ini kini mencapai usia 31 tahun dan mempunyai hubungan akrab dengan seluruh gerakan Islam termasuk PAS. Nuansa perjuangannya jelas, akidah Islam mestilah menunjangi perjuangan dan tiada noktah henti sehinggalah dimerdekakan setiap inci tanah Palestin yang dijarah Zionis semenjak tahun 1948. - HARAKAHDAILY 22/3/2018
Sumber HD - 22-3-2018 
















Belum Menang, Sudah Ugut Pegawai Kerajaan

Kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memecat kesemua pegawai kerajaan yang melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa 30 hari selepas berjaya menawan Putrajaya adalah kenyataan angkuh, bongkak dan berbaur ugutan.

Kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menunjukkan PH begitu sombong dan mahu bertindak sewenang-wenangnya jika menawan Putrajaya kelak. Beliau seolah-olah sudah hampir pasti ke Putrajaya, sedangkan Pilihan Raya Umum ke 14 belum pun berlangsung.

Apakah beliau yakin PH akan menang atau sebaliknya, PH pula yang akan melingkup kali ini? Dengan dapatan daripada kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak beluam ada petunjuk PH akan memenangi Pru ke 14 ini, mengapa beliau ‘terlebih sudu daripada kuah’ dengan kenyataan ugutan seperti itu?

Jika Perdana Menteri benar-benar seorang penjenayah, ambillah tindakan terhadap beliau, jangan pula dibabitkan dengan pegawai kerajaan kerana pegawai kerajaan hanya bekerja menurut arahan yang diberikan.

Mana-mana pegawai kerajaan akan bekerja dengan kerajaan yang ada, dan jika PH memerintah kelak mereka akan akur dengan arahan daripada kerajaan PH. Mengapa ada sikap buruk sangka atau persepsi buruk bahawa pegawai kerajaan akan melindungi Datuk Seri Najib jika beliau kalah nanti?

Kenyataan beliau sama seperti pemimpin UMNO sekarang yang sombong dan angkuh serta mencengkam kuasa terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Kerana itu, di era kepimpinan UMNO-BN sebagai kerajaan, pegawai-pegawai kerajaan begitu takut menyatakan kebenaran, tidak berani meyanggah kezaliman kerana teruk diugut dan diancam.

Mana-mana pegawai yang dilihat lantang bersuara ditukarkan, disekat atau dibuang kerja. UMNO juga hanya memilih atau mengekalkan pegawai yang kuat menyokong mereka sahaja. Jika itu juga nada suara Datuk Seri Mukhriz, apa beza beliau, PH dengan UMNO-BN?

Jangan mengulangi kesilapan kepemimpinan UMNO selama ini. Sepatutnya PH berlembut dan memujuk pegawai kerajaan agar terus bekerja dengan etika profesionalisma yang tinggi dan berintegirit dalam menjalankan amanah.

Jika benar PH mahu memenangi Putrajaya, maka hati pegawai kerajaan perlu dijaga dengan pelbagai insentif, tawaran dan sokongan. Jika kebaikan yang diberi kepada mereka, tidak ada pegawai kerajaan mahu mengkhianati kerajaan yang ada, malah pegawai kerajaan inilah yang berjuang dan sanggup mati untuk kerajaan yang sedia ada dan negara tercinta.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Sumber BO - 29-3-2018
















Belajar dari PAS erti integriti, bebas rasuah

PENDEDAHAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan di Parlimen semalam bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 92 ahli politik dari kerajaan BN dan pembangkang (Pakatan Harapan) kerana terlibat dengan rasuah antara tahun 2013-2017 adalah statistik yang begitu membimbangkan. 
Semestinya angka yang dibentangkan oleh Datuk Paul Low Seng Kuan merencatkan kehangatan iklim politik negara yang sedang di ambang Pilihan Raya Umum ke 14. Rakyat yang berkira-kira mahu membuang undi dengan meletakkan harapan kepada parti-parti politik merasa resah, marah, bimbang bahkan meluat terhadap kesemua parti politik kerana tiada pemimpin parti politik yang dilihat benar-benar bersih dari kesan rasuah. Lihatlah dengan angka 71 orang pemimpin politik dari Barisan Nasional (BN) dan 21 pemimpin dari Pakatan Harapan, menandakan parti-parti politik ini tidak boleh dipercayai. Kesannya, rakyat tidak percaya lagi dengan parti politik malah dengan suasana politik negara. Bagi mereka sama ada kerajaan BN mahupun PH, kedua-dua belah pihak memiliki rekod yang tidak bersih. Tidak memeranjatkan jika pengundi mengambil sikap tidak mahu turun mengundi kerana menganggap kesemua parti politik sama dan tidak boleh dipercayai lagi. 
Dalam hal ini, hanya PAS satu-satunya parti yang tidak dipalitkan dengan kes rasuah. PAS memimpin Kelantan sejak 1990, dan sering dicemuh, sehingga akhir-akhir ini banyak pendedahan kononnya mengenai salah urus tadbir, penyelewengan, korupsi, rasuah dan lain-lain yang melibatkan kerajaan Negeri Kelantan dan agensi-agensinya. Malangnya, kesemua dakwaan itu hanya sekadar dakwaan sedangkan angka dan faktanya, pemimpin PAS di mana-mana peringkat masih bebas dari rasuah. 
Jika hendak dibandingkan dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, Selangor dan Pulau Pinang yang baru berusia 10 tahun (sejak 2008), tetapi telah 21 tangkapan atau siasatan dibuat. Ia melibatkan pelbagai kes dari Exco Kerajaan Negeri sehinggalah ke peringkat Ketua Menteri. PAS pula telah memimpin Kelantan selama 28 tahun, tetapi pemimpinnya sangat bersih dan berintegriti. Data daripada SPRM ini boleh menjadi bukti dan saksi bahawa sifat kepimpinan PAS yang berpandukan Islam dan sentiasa amanah dalam pemerintahan. Justeru dakwaan PAS menerima ‘dedak’ dari Umno, menerima habuan tertentu dengan nilai jutaan ringgit adalah tuduhan tanpa asas. 
Apa yang hendak dibanggakan dengan slogan perjuangan keadilan atau kerajaan bersih oleh Pakatan Harapan (PH) yang bersungguh mahu merampas Putrajaya jika sebelum menang dan membentuk kerajaan persekutuan pun, pemimpin dan kerajaan negeri mereka sudah banyak terpalit dengan rasuah. Bayangkan jika mereka memerintah kelak, apakah PH boleh menjadi lebih baik dari BN atau mereka adalah sama atau mungkin PH lebih teruk lagi? 
Saya nasihatkan pemimpin PH dan BN agar banyak bermuhasabah terhadap diri mereka. Jangan terlalu kemaruk mendapat kuasa sehingga lupa diri mereka yang masih bergelumang dengan tahi dan najis rasuah. Belajarlah dari kepimpinan PAS soal pemerintahan adil, bersih, telus dan amanah. Bersihkan hati dalam politik sebelum bercita-cita tinggi menawan puncak Putrajaya, kerana kelak ujian dan godaannya lebih besar. 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 15/3/2018


































Sumber HD - 15-3-2018




































SPR Perlu Buktikan Dakwaan ‘The Economist’ Tidak Benar

Kenyataan terbaharu majalah antarabangsa, The Economist yang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanipulasikan proses pilihan raya atau membenarkan gerimandering menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) perlu disangkal dengan mengheret majalah itu ke mahkamah. Jika tidak nama Malaysia terus buruk di mata dunia setelah isu 1MDB dipanaskan dengan pelbagai siri pendedahan, serbuan, tangkapan mahupun rampasan.
Artikel di dalam Majalah The Economist bertajuk “How Malaysia’s Next Election Will Be Rigged” itu berniat jahat dan mempunyai motif memburukkan nama Malaysia. Bagaimana pengarang dan editor majalah itu mempunyai akses dengan isu dalaman terutama perjalanan pilihan raya di negara ini.

Sama ada ada rakyat di negara ini yang menjaja keluar dengan membawa pelbagai maklumat dalaman negara, ataupun mungkin beberapa pihak dari majalah terbabit membuat kajian melalui rakyat di negara ini berpandukan petunjuk tertentu yang dijadikan rujukan.

Pendedahan ini tidak boleh dipandang remeh kerana seluruh dunia kini tertumpu kepada Malaysia dan sebelah mata mereka memandang sinis perjalanan pilihan raya negara. Justeru, penting bagi SPR membuat penafian dengan pembuktian bahawa tuduhan tersebut tidak berlaku. Fakta dan tindakan SPR selama ini yang bebas, adil dan tidak berat sebelah perlu ditunjukkan kepada dunia.

Malah, SPR perlu lebih bertegas dengan mengehret majalah The Economist ke mahkamah kerana tindakan jahat majalah tersebut. Tindakan saman penting supaya jangan ada lagi akhbar atau media asing sewenang-wenangnya memburukkan nama negara.

Dari sudut yang lain, apabila ada dakwaan dan tuduhan, SPR perlu membuktikan dakwaan mereka meleset dengan menjadikan pilihan raya umum ke 14 ini sebagai PRU paling adil dan telus pernah diadakan. Sebagai contoh, dalam soal persempadanan pilihan raya, SPR mesti bersikap adil dengan pembahagian yang betul dan bukan untuk menguntungkan sebelah pihak.

Dakwaan itu timbul kerana setiap kali persempadanan pilihan raya, BN kemudiannya menang besar dalam pilihan raya tersebut. Dan didapati pula, agihan untuk kawasan antara pembangkang dan BN tidak adil, yang menjadikan BN menang mudah di kawasan-kawasan tertentu. Justeru, pendedahan Th Economist adalah sebagai amaran supaya SPR benar-benar telus, tidak memihak atau sebaliknya.

Selain itu, dunia semakin pesat dan masyarakat semakin pintar. Penipuan dan pembohongan yang dilakukan akan mudah dilihat walau sehalus mana pun perancangan dibuat. Jika dahulu pelbagai kejahatan direncanakan dan masyarakat mudah ditipu dengan pelbagai silap mata ketika pilihan raya, kini cabaran besar buat mereka yang merancang penipuan ini adalah, masyarakat dunia akan menjadi pengadil yang menilai.

Jika penipuan yang selama ini direncakan terhadap rakyat yang tidak berdaya melawan kerana kongkongan kuasa pemerintah, kini masyarakat dunia yang bebas memerhati setiap langkah dan gerak geri pemerintah. Maka SPR, atau mana-mana agensi kerajaan, mesti bertindak adil dalam pilihan raya, supaya jangan ada pembongkaran oleh mana-mana pihak terhadap kejahatan atau makar yang disembunyikan dari pengetahuan umum.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Sumber BO - 13-3-2018



















Undang-Undang Tangani Berita Palsu: Mulakan Dengan Media Arus Perdana Dahulu

Menjunjung kasih titah ucapan Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang menyokong cadangan penggubalan undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial. Sokongan Yang Di Pertuan Agong terhadap cadangan penggubalan undang-undang ini amat penting sebagai tanda seriusnya kerajaan Malaysia di dalam usaha memerangi fitnah.

2. Apa yang diketahui, budaya fitnah melalui media sosial sejak akhir ini semakin parah dan membarah. Dengan berkembangnya industri media sosial, semakin berkembang dan mudah pula fitnah dan berita palsu. Hanya sesaat sesuatu maklumat baik atau benar tersebar seluruh dunia. Jika ia benar tidak mengapa, tetapi jika ia adalah fitnah semata-mata, sukar bagi tertuduh, atau orang yang didakwa menjawab kembali tuduhan terhadapnya. Bahkan, mereka telah dijatuhkan sebagai bersalah tanpa dibicarakan atau dibenarkan untuk membela diri.

3. Fitnah dan berita palsu disebarkan dengan tujuan menjatuhkan satu-satu pihak atau memburukkan keadaan. Ia menjadi budaya yang telah diterima oleh masyarakat, sehingga satu-satu berita itu ditelan bulat-bulat tanpa diketahui hujung pangkal kebenarannya. Daripada industri hiburan, sukan, politik, ekonomi, agama mahupun aspek keselamatan negara, semuanya menjadi mangsa yang tidak mengenal erti belas kasihan atau takut dosa dan pahala. Fitnah media sosial sudah menjadi makanan harian sehingga sukar untuk dikekang.

4. Yang dikesalkan lagi, banyak pihak suka melemparkan tohmahan tanpa bukti. Ada pihak yang suka memainkan sentimen dan persepsi untuk menjadi isu yang hangat dibicarakan. Malah, ramai juga yang suka melemparkan fitnah bersembunyi disebalik nama samaran, akaun palsu, menggunakan nama orang lain, ‘hack’ atau hijack akaun milik orang lain dan sebagainya. Tujuannya, mereka ini selamat manakala nama yang digunakan itu disiasat kerana melemparkan fitnah dan adu domba.

5. Di kala negara sedang menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU ke 14), amat cantik akta ini dibentang dan diluluskan di Parlimen. Tujuannya supaya dalam medan siasah pilihanraya, semua parti politik dan pemain politik berpolitik secara matang dan benar. Gunakan hujah yang rasioanal, maklumat yang sahih, fakta yang berpijak di bumi nyata. Kebenaran pasti terserlah manakala kepalsuan dan terbungkam jatuh. Politik secara persepsi, tuduhan tanpa bukti, dakwaan tanpa saksi atau maklumat yang tepat, andaian atau ramalan umpama nujum terhadap sesuatu isu, individu atau parti politik mesti ditolak tepi. Bahkan, individu atau pihak yang membakar api fitnah, menyebarkan dakyah dan berita palsu mesti diheret ke muka pengadilan, tidak kira siapa pelakunya.

7. Tidak perlu lagi tertuduh mengheret penuduh ke mahkamah untuk saman malu, ganti rugi, permohonan maaf dan lain-lain, cukuplah akta ini berfungsi menyekat segala akses yang haram dan tipu daripada disebarkan. Saya mengajak agar semua pihak menghentikan budaya berita palsu atau fitnah ini dengan dimulakan melalui media arus perdana kerana seringkali media arus perdana dipergunakan oleh pihak tertentu sebagai bahan pelancar fitnah. Kesannya, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, selalu media arus perdana dihadapkan ke mahkamah, dan selalu pula mereka kalah. Media utama menjadi penanda aras apakah kempen atau segala akta dan undang-undang berkenaan fitnah itu berkesan atau sebaliknya.

8. Ingatan ini juga termasuk kepada jentera propaganda, Pasukan media di bawah jabatan yang ditubuhkan, askar upahan siber (cyber trooper), golongan keyboard warrior, dan lain-lain yang berperanan menyebarkan maklumat. Upah yang mereka terima bagi menyebarkan dakyah amat kecil nilainya berbanding dosa yang dipikul dan balasan siksaan dari Allah SWT di akhirat kelak. PRU ke 14 menentukan siapa yang benar tepati janji, patuh dengan undang-undang yang digubal dan pihak mana yang tidak peduli dengan semua akta atau undang-undang demi kepentingan diri sendiri.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Sumber BO - 6-3-2018

Hentikan skandal 1MDB dengan maruah dan integriti

ISU rampasan kapal mewah The Equanimity di Bali, Jakarta oleh pihak Jabatan Keadilan (DOJ) dan Polis Indonesia adalah fasa terkini berhubung skandal 1MDB. Ia seakan kisah yang tidak berkesudahan, dengan hampir setiap bulan ada sahaja cerita sensasi berhubungan tangkapan, pendedahan, atau pembongkaran yang dilakukan oleh negara lain. Pastinya kejadian terbaharu ini amat memeranjatkan dan memalukan seluruh rakyat Malaysia. Kapal yang didakwa milik Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low itu dianggarkan bernilai AS$250 juta itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB. 
Isu kapal The Equanimity menyebabkan seluruh dunia membincangkannya dan 1MDB serta Malaysia kembali menjadi tajuk berita penting dalam beberapa minggu ini. Nampaknya pihak DOJ tidak berputus asa dengan pelbagai ikhtiar di luar kotak melalui kerjasama negara-negara lain bagi membanteras korupsi ini. Terdahulu sebelum itu, Kerajaan Switzerland dilaporkan menuntut CHF95 juta (RM400 juta) wang dana berkaitan 1MDB yang dirampas daripada beberapa bank. Menteri Kewangan Switzerland, Ueli Maurer menyatakan bahawa dana berkenaan telah pun disalurkan ke perbendaharaan persekutuan memandangkan tidak ada pihak yang menuntutnya. 
Kita melihat dalam mengurus skandal 1MDB, negara-negara lain begitu serius dan agresif mengambil tindakan. Ini termasuk Singapura yang memenjarakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam penyelewengan kes 1MDB. Tindakan terbaharu oleh kerajaan Republik Indonesia lebih memeningkan kepala dan menambah koleksi beberapa buah negara yang bertindak tegas terhadap skandal terburuk dan terbesar di dunia itu. 
Hairannya, negara asal terjadinya skandal besar itu, iaitu Malaysia sendiri tidak berbuat apa-apa. Malah, kenyataan beberapa pimpinan Umno menyalahkan pihak pembangkang kerana membesarkan atau mempolitikkan isu ini, manakala pihak luar juga dipersalahkan kerana ‘seolah-olah’ mengheret isu ini dengan mengaitkan nama Perdana Menteri sendiri dan rakan sekutunya – Jho Low. Bagi agensi penguatkuasa yang terlibat pula, apa yang dilakukan oleh kerajaan negara lain tidak menjejaskan sedikit pun atau memberi impak untuk melakukan tindakan serupa terhadap mereka yang terlibat. Seakan-akan, semua rentetan kejadian yang berlaku tidak ada kena mengena dengan Malaysia kerajaan tidak perlu lakukan apa-apa. 
Apa lagi bukti dan fakta yang diperlukan bagi melengkapkan pendakwaan skandal memalukan ini. Apakah kita memerlukan banyak lagi rampasan mahupun tangkapan oleh negara luar bagi membuktikan bahawa penyelewengan ini benar-benar berlaku dan kesalahan benar-benar dilakukan oleh individu terlibat? Sampai bila sindrom penafian dan pembohongan terus dilakukan selain menyembunyikan kebenaran yang berlaku. 
Malaysia perlu merasa malu dengan tindakan tegas polis Indonesia terhadap kapal tersebut. Walaupun Indonesia mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia yang dianggap serumpun dan satu bangsa, namun dalam soal keadilan mereka mengenepikan segala sentimen dan hubungan akrab itu. Selain itu, kita juga perlu melihat jauh ke depan mengapa negara-negara lain begitu tinggi dalam soal Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berbanding dengan kita. Tidak lain kerana mereka begitu tegas dalam menegakkan kebenaran tidak kira siapa pelakunya. Maka, tidak memeranjatkan apabila Indeks Persepsi Rasuah negara jatuh merudum. 
Kita mengharapkan drama skandal penyelewengan 1MDB akan menuju ke pengakhirannya. Sebagai rakyat Malaysia, tidak sanggup rasanya melihat beberapa siri tangkapan, rampasan, serbuan mahupun pendedahan yang mengaibkan oleh negara lain berhubung 1MDB. Yang didedahkan atau dikaitkan bukan sahaja nama pelaku salah terbabit tetapi nama negara Malaysia turut dibaca dan diingati sebagai sebuah negara memiliki korupsi terbesar paling memalukan di dunia ketika ini. Biarlah pesalah itu diheret dan didakwa di mahkamah, walaupun dia seorang pemimpin besar negara, daripada nama negara dan rakyat sering menjadi bahan ketawa masyarakat dunia. 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 6/3/2018
Sumber HD - 6-3-2017 





















3 Mac 1924: Umat Islam tanpa daulah penaung

AL-QUDS akan merintih kesedihan, apabila 14 Mei ini akan dijadikan ibunegara Israel, entiti haram yang tegak atas tanah Palestin sejak tahun 1948. Syria pula saban hari menyajikan berita pembantaian kepada kita tanpa gagah, darah yang mengalir, kanak-kanak kecil yang tertimbus dalam runtuhan bangunan dan mayat-mayat berserakan tanpa pembelaan masyarakat antarabangsa. 
Muslim Rohingya pula terusir keluar daripada tanah leluhur yang didiami moyang mereka sejak ratusan tahun dahulu. Semua ini terjadi akibat tiada khilafah Islam yang memayungi ummah, tiada penjaga wilayah Islam dan paling sedih ummah bercakaran seperti kerasukan hantu.
Ramai yang tidak menyedari tarikh 3 Mac ialah sejarah pilu ummah, akibat runtuhnya sebuah Kerajaan Islam yang telah memayungi sarwajagat dunia Islam termasuk alam Melayu. Kerajaan Islam yang berpusat di Turki itu melingkar jauh kekuasaannya sehinggalah ke Balkan di Eropah.
Negara Turki terletak di Asia kecil dan di sebelah Tenggara Benua Eropah. Kedudukan Turki memang unik, kerana sebahagian besar wilayahnya terletak di Asia, dan sebahagian kecilnya terletak di Eropah. Kedua-dua wilayah yang terpisah ini dihubungkan dengan jambatan yang merentasi Selat Bosporus.
Turki mempunyai sejarah panjang sebagai pusat pemerintahan Islam yang menaungi sebahagian besar ummat Islam. Khilafah Uthmaniah Turki diasaskan oleh Uthman Orthogol, berada di zaman kemuncak semasa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinople daripada Byzantin.
Kehebatan Kerajaan Uthmaniah mula semakin lemah diakibatkan oleh perancangan jahat orang-orang Yahudi Dunnama, di mana mereka ini telah memeluk Islam dengan niat untuk menghancurkan Islam daripada dalam (gunting dalam lipatan). Golongan Yahudi juga telah menduduki jawatan-jawatan penting dalam Kerajaan Turki. 
Kemuncak perancangan mereka golongan Yahudi merancang untuk menghancurkan Khilafah Islam. Golongan Yahudi antarabangsa melalui gerakan Freemason yang menguasai media massa telah menonjolkan Mustafa Kamal. Media massa juga telah memainkan peranan penting memburukkan Kerajaan Uthmaniah Turki terutama kecacatan peribadi Khilafah yang bergelumang dengan keseronokan. 
Di Turki, telah ditubuhkan "The Young Turks" pada tahun 1908 gerakan Yahudi ini digerakkan dengan bantuan Freemason. Golongan ini sangat agresif untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II. Di negara-negara Arab lain pula semangat Nasionalisme Arab telah ditiupkan dengan menganggap Kerajaan Turki sebagai penjajah. 
Negara Barat berusaha meniupkan semangat negara bangsa kepada negara-negara Arab, melalui semangat Nasionalisme Arab inilah Turki mahu dipisahkan daripada saudara-saudara Islam lainnya di seluruh dunia. Perancangan keji Yahudi ini akhirnya berjaya meruntuhkan khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Mustafa Kamal telah naik ke takhta kuasa dan mula menunjukkan kebenciannya kepada Islam dan orang-orang beriman. 
Seluruh dasar kerajaan telah dipisahkan daripada Syariat Islam di antaranya menurut Ahmadi Al-Aziz (1998):
1.     Tidak mengambil Al-Quran dan Hadis sebagai dasar perlembagaan dan pemerintahan negara.
2.     Golongan pemerintah (atasan) dan konco-konconya hinggalah ke menteri-menteri dan wakil-wakil rakyatnya, adalah perompak-perompak terhormat yang mengaut kekayaan rakyat untuk menjadikan mereka kaya-raya hasil menyertai politik.
3.     Kebanyakan siaran-siaran radio dan televisyen serta isi kandung majalah, 95 peratus adalah maksiat. Memang ada yang baiknya tetapi cuma sekadar 5 peratus sahaja.
4.     Terdapat binaan tugu-tugu dan patung-patung dalam negara, yang mana tugu-tugu dan patung-patung tersebut dibesar-besarkan.
5.     Muzik-muzik haram, tari-menari, bergaul bebas, panggung-panggung wayang lucah, mengangkat sembah, pendedahan aurat, arak, judi, zina dan lain-lain lagi dibenarkan berleluasa.
6.     Waktu-waktu sembahyang, masjid kosong. Majoriti manusia berkeliaran di luar masjid dengan segala bentuk urusan duniawi.
7.     Peminta sedekah, fakir miskin, anak yatim, orang-orang tua dan janda-janda disisihkan. 
8.     Banyak projek yang sia-sia atau membazir, dengan menggunakan wang berjuta-juta seperti membesarkan tempat-tempat peleseran yang digunakan untuk orang-orang besar sahaja. 
9.     Polis dan tentera yang sepatutnya bertugas menjaga keamanan tetapi merekalah yang banyak membuat rakyat berasa tidak aman.
10.     Para pemimpin apabila ditegur, mereka melenting dan marah-marah. Maka mereka pun berdendam dan mencari peluang mendedahkan pihak yang menegur untuk diambil tindakan.
11.     Di satu Bandar bernama Balikesir, Mustafa Kamal berucap bahawa agama terpisah dengan urusan harian dan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berbuat demikian. Ini jelas menentang Al-Quran dan Sunnah.
12.     Dalam satu ceramahnya Mustafa Kamal pernah menegaskan bahawa mana mungkin sebuah Negara maju jika orangnya tidak berpakaian secara moden (mendedahkan aurat). Akibatnya ramai yang telah dibunuh hanya kerana enggan berpakaian secara Barat dan mematuhi arahan negara Turki moden.
13.     Mustafa Kamal tidak membenarkan kuasa talak pada suami (seperti yang ada dalam ajaran Islam) kerana mengikut undang-undang sivil dari Sweeden. Ironisnya, undang-undang ini diperkenalkan beberapa bulan selepas dia menceraikan isterinya.
Kejatuhan Islam yang telah memayungi umat selama 600 tahun lebih ini akhirnya telah mewajahkan dunia Islam yang baru, kemunculan negara bangsa akibat pemetaan baru dunia Islam dengan arkitek utamanya ialah empayar Pax Britanica dan Peranchis. 
Negara umat Islam juga telah difaraidkan dan menuju titik kelemahan paling parah dengan pelebaran faham ilmaniah atau sekularisme. Umat Islam dijajah dan mengalami keterpurukan nilai serta tersudut dalam semua sektor sehingga memunculkan faham Pan Islamisme untuk mendobrak hegemoni Barat.
Empat tahun selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah juga menyaksikan Imam Hasan Al Banna menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam, seterusnya gerakan Islam ditubuhkan di bumi umat Islam yang lain. Jamiat Islami ditubuhkan di Sub Continent, MASYUMI di Indonesia, Hizbul Muslimin di Malaya, an Nur di Turki dan pelbagai gerakan Islam kontemporari yang lain. 
Tarikh 3 Mac 1924 adalah sejarah luka umat Islam dan ianya akan kembali sembuh dengan ummah kembali berjuang untuk mengembalikan ketuanan Islam. Islam yang berdaulat, negara yang mendokong Syariat serta menjadi pembenteng kepada agama Allah sebagaimana yang telah dilakarkan dalam sejarah Khilafah Uthmaniah.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI Pusat) - HARAKAHDAILY 3/3/2018
Sumber HD-3-3-2018 






















Keputusan yang mengangkat martabat Mahkamah Syariah

UMAT Islam menyambut keputusan Mahkamah Persekutuan Kuching, Sarawak hari ini yang membatalkan permohonan empat individu warga Sarawak untuk mengisyhtiharkan diri mereka keluar dari Islam dengan rasa syukur atas pertolongan Allah menyelamatkan Islam di bumi Malaysia. 
Keputusan dibuat lima panel hakim dianggotai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan selepas meneliti permohonan berkenaan, termasuk hujah berkaitan. Alasan panel hakim Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan itu kerana mereka tidak boleh melakukannya melalui Mahkamah Sivil dan menurut mereka berdasarkan undang-undang kes, bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes murtad. Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang membacakan keputusan itu berkata walaupun tidak ada peruntukan seperti itu dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001, terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah. 
Keputusan Mahkamah Persekutuan bererti mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Syariah. Isu pertindihan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil sering berbangkit sehingga ada kalanya Mahkamah Syariah ditenggelamkan oleh kuasa Mahkamah Sivil yang membuat keputusan dalam urusan yang melibatkan Mahkamah Syariah. Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang tepat dengan menolak kes ini sebaliknya menyerahkan kepada Mahkamah Syariah untuk menetapkannya. 
Keputusan ini tentunya melegakan umat Islam seluruhnya. Dalam keadaan agama Islam sedang dicabar dan bertarung dengan hebat oleh mereka yang mahu mencemar dan menghina agama Islam, keputusan Mahkamah Persekutuan membela hak agama Islam. Soal murtad bukan sesuatu yang boleh dibuat main dan dipandang remeh. Empat orang pemohon ini telah melakukan suatu jenayah yang besar dalam Islam dan hukuman murtad adalah hukuman yang berat dan keras. 
Sebagai sebuah negara umat Islam seperti termaktub dalam perlembagaan Malaysia Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, hak agama Islam perlu dijunjung dan dijulang setingginya. Mana-mana pihak yang berusaha merendahkan atau menghina agama Islam perlu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Perkara murtad mesti diadili mengikut lunas syariah dan hanya Mahkamah Syariah mesti menghakimi mereka. Jika tidak, tafsiran hukum syariah boleh diterjemah dan ditafsir mengikut sesuka hati dan selera sesiapa sahaja. Bayangkan jika panel hakim dengan mudah membenarkan pemohon menukar agama, dikhuatiri negeri Borneo seperti Sabah dan Sarawak akan lebih rapuh dengan usaha ramai lagi golongan yang mahu menjadi murtad. Apa yang dibimbangkan, umat Islam dengan mudah keluar agama Islam seumpama menukar baju. 
Selain itu, saya merasa terkilan kerana peguam yang mewakili empat pemohon adalah YB Baru Bian (ADUN Ba'kelalan dan Pengerusi PKR Sarawak). Sebagai seorang pemimpin politik parti pembangkang di Sarawak, beliau tergamak bekerjasama dengan para penghina Islam demi kepentingan diri sendiri. Jelaslah beliau juga terlibat secara langsung dalam usaha merendahkan kedudukan agama Islam. Beliau tidak layak menjadi pemimpin kerana telah mencemarkan dan menghina umat Islam di Negeri Sarawak. Saya hairan mengapa tidak ada suara para pemimpin tertinggi Pakatan Harapan menegurnya ketika pemimpin PKR Sarawak ini tidak mempunyai sensitiviti dengan mewakili keempat pemohon terbabit. 
Penglibatan YB Baru Bian dalam kes ini menjadi petanda bahawa PH bukan parti yang membawa harapan, tetapi membawa kemusnahan terhadap agama Islam dan negara. Kes ini menjadi hikmah agar rakyat membuka mata siapa sebenarnya yang membela Islam dan siapa pula yang mahu merosakkan agama Islam di negara ini. 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR - HARAKAHDAILY 27/2/2018












































Sumber HD - 27-2-2018














































SPRM tegas terhadap pemimpin negara angkat indeks CPI

PENURUNAN Malaysia dalam Indeks Rasuah sebanyak tujuh tangga dengan kini berada di kedudukan ke 62 daripada 180 buah negara begitu mendukacitakan dan memalukan rakyat Malaysia. Transparency International (TI) mengeluarkan prestasi negara yang mencatat penurunan terburuk sejak lima tahun lepas. Malaysia hanya mencatat markah 47 daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). 

Di sebalik kehebatan negara mencipta pelbagai kejayaan dan kemajuan di pentas dunia, keputusan Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan hari ini seperti menghempas nama negara ke dinding dan pecah berderai. Bagi rakyat Malaysia yang impikan sebuah negara adil dan bebas, CPI membuktikan negara ini masih dikuasai oleh petualang yang makan duit haram hasil kerja rasuah sehingga memburukkan nama negara. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad hanya menunjukkan reaksi terkejut semacam tidak percaya dengan pengumuman CPI. Ini kerana baginya telah dua tahun SPRM puas dengan aksi mengejar, menangkap, menggeledah, menyerbu, menahan reman, mengheret ke mahkamah semua tertuduh ke rasuah tetapi indeks CPI negara tetap jatuh.

Tidak sukar menelaah punca mengapa indeks rasuah Malaysia jatuh merudum dari setahun ke setahun. Pengerusi Transparency International Malaysia Datuk Akhbar Satar mendedahkan beberapa kes berprofil tinggi seperti 1MDB, skandal Felda serta Jabatan Air Negeri Sabah menyumbang kepada prestasi buruk Malaysia. Akhbar Satar turut mengakui bahawa kedudukan Malaysia akan terus jatuh dalam tempoh beberapa tahun lagi jika skandal ini tidak diselesaikan segera.

Ini bererti, walaupun SPRM sibuk dengan tangkapan demi tangkapan, namun mereka ibarat hanya mencantas dahan yang rosak sahaja. Sedangkan akar pokok tersebut masih hidup yang terus menumbuhkan dahan-dahan yang lain. Ketika satu dahan dicantas, pokok yang hidup akan terus menumbuhkan dahan lain yang lebih subur dan merimbun. Ibarat merawat kanser hanya dengan membuang kudis dan nanah yang ada di bahagian luar badan. Kanser terus hidup dan merebak ke seluruh bahagian badan yang lain. 

Akar masalah rasuah negara berpunca dari pemimpin besar negara. Jika hanya pemimpin bawahan atau penjawat direman, ditangkap dan dipenjara kerana rasuah, tetapi pemimpin utama negara masih bebas dan berleluasa, apa ertinya membasmi atau memerangi rasuah. Skandal ‘sebesar alam’ 1MDB telah diketahui seluruh dunia dan dilakukan oleh pemimpin yang juga diketahui oleh semua orang, namun pemimpin itu dibiarkan bebas tanpa diadili. Apakah makna keadilan dan ketelusan?

Pepatah Cina ada menyebut ‘ikan busuk bermula dari kepala’. Rakyat mengikut teladan pemimpinnya. Jika pemimpinnya adil, amanah dan benar, maka rakyat akan mencontohinya. Sebaliknya jika pemimpinnya zalim, korup dan rasuah apa diharapkan rakyat menjadi insan yang bersih dan amanah. Tindakan menangkap rakyat bawahan, pemimpin pembangkang, pemimpin pertengahan dilihat sekadar melepaskan batuk di tangga atau lakonan memperlihatkan jujur dan bebasnya SPRM. Rakyat melihat ada dwi standard dalam tindakan di negara ini, untuk rakyat disegerakan tindakan dengan agresif dan bersungguh-sungguh, tetapi untuk pemimpin SPRM memejamkan mata dan membiarkan sahaja. Jika begitu amat malang bagi sebuah negara yang mengaku maju dan setaraf dengan negara moden, tetapi dalam soal integriti Malaysia standard negara dunia ketiga.

Sudah sampai masanya Malaysia berjuang membebaskan diri dari pemimpin yang korup dan rasuah. Memerangi pemimpin yang korup bererti menyelamatkan negara dari terus dimalukan di peringkat antarabangsa. Jangan hanya kerana seorang dua pemimpin negara yang rasuah, rakyat dan negara terpaksa tanggung malu dan derita. SPRM perlu beranikan diri mendakwa dan mengheret mereka di mahkamah, biarkan pemimpin ini pergi, kerana rakyat dan negara tidak rugi apa-apa. Sebaliknya kita semua sentiasa rugi dan hina kerana mendapat pemimpin yang merosakkan nama negara.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat - HARAKAHDAILY 24/2/2018
Sumber HD - 24-2-2018 
























Bob Lokman, Menyulam Takdir Dan Pasrah!

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

“Ayah masuk ICU pagi ini” ringkas pesanan daripada anakanda Bob Lokman pada saya ,dua hari lepas. Saya menarik nafas dalam dan menatap kosong pada lelangit rumah, ujian pada anak seni itu besar pada kali ini. Ini kali ketiga dalam tempoh sebulan beliau dikejarkan ke Hospital UITM Sungai Buluh. Kami sentiasa berhubung dan juga bermusafir bersama, malangnya saya kerana Bob kerap ditimpa sakit selepas menghadiri program yang saya aturkan di Terengganu.

Bulan lepas ,beliau menghadiri program tamrin qiadi di Besut, mengisi program ihtifal kelima tahfiz an Nur Setiu. Paling akhir di masjid lama Permatang Badak, dia tidur dalam kereta mercedes buruknya sebelum berforum subuh. Tiada sungutan bila ada panggilan dakwah kemana sahaja, kampung terpencil di pedalaman, pulau-pulau atau setinggan . Bob Lokman bukan sahaja mudah berkira ,namun memahami apakah tugas manusia sebagai khalifah diatas muka bumi.

” ana terlebih minum air hari ini dan ini tidak baik untuk paru-paru ana,namun jika kurang air akan ada masalah pada buah pinggang ana..” balas Bob perlahan, bila ditanya kondisi kesihatannya.

Pulang daripada pgram di Terengganu, beliau dimasukkan ke hospital Sungai Buluh kerana komplikasi paru- paru, jantung. Dia bergantung pada alat bantuan pernafasan, pergerakannya mulai terhad, kelihatan mengah dan penat. Canda dan tawanya mulai suram , dia mengingatkan saya tentang kematian lewat balasan aplikasi wassap beliau ” ana ingatkan anta , nyawa kita di celah-celah kehidupan”.

Teman-teman aktivis terus menziarahi Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber. Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al Kenali dengaan nekad telah meninggalkan kerlipan industri hiburan dan menyertai PAS dalam himpunan 30k Pemuda Pas di Alor Setar.

Namanya tetap menggunguli pentas ceramah PAS, berbekal bakat dibidang pengacaraan yang beliau puluhan tahun ceburi selamaa ini. Bob adalah alumni Maahad Hamidiah Kajang, pernah membesar di Pondok Tok kenali kubang kerian, juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara almarhum ustaz Mawardi Ahmad, bekas ADUN Lundang.

Beliau semenjak berhijrah daripada alam selebriti terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman. Bob juga berusaha untuk menarik kawan-kawan artis untuk menyokong PAS seterusnya berhijrah ke alam fitrah. Rumah beliau di Sungai Buluh sering menjadi tempat berusrah serta majlis silaturrahim.

Semenjak Bob jatuh sakit, aktivitinya terhenti dan ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi juga terjejas.

Biaya hospital UITM juga melepasi ratusan ringgit setiap hari dan kita sebenarnya tak cukup hanya melontar simpati . Isteri Bob tidak bekerja dan saya terkenangkan Bob yang turut berjualan kacang semasa beliau berceramah. Saya merayu teman- teman aktivis untuk menjenguk Bob dan membantu meringankan beban beliau kerana sewaktu jasadnya sihat kita memanfaatkan bakat dan popularitinya.
“Bob..lepas ini kalau keluar hospital,kena ambil masa berehat” saya memberikan cadangan sambil memandang tepat wajahnya yang agak pucat di katil hospital.

“ohhh,,keluar hospital ,,ana nak terus berjuang…pilihanraya semakin hampir…kalau nak pergi mengadap Tuhan,biar selepas itu” tukas Bob pantas dan saya tidak melihatnya bercanda , kerana itulah Bob yang saya kenal dalam medan amal Islami ini. Kerana kekurangan rehat dan jadual yang padat juga menyumbang kepada sakit yang dialami Bob Lokman. Moga Bob sembuh dan akan kembali beraksi menarik anak-anak muda kepada perjuangan Islam.

Mata saya juga melirik kepada anaknya Rayyan , yang mengunyah sambil memegang ponsel beliau. Bob kini terlantar sakit,jasanya besar pada dakwah dan perjuangan, jika tak sakit tempatnya bukan di rumah,tetapi menyambangi seluruh negara untuk berdakwah dan melakukan kerja-kerja kebajikan.

Bob antara relawan Muslim Care yang aktif, Timbalan Pengerusi LESTARI PUSAT. beliau tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap dan masih mempunyai tanggungan.

Untuk teman-teman yang ingin menghulurkan bantuan kepada Bob Lokman, boleh menyalurkan kepada akaun isteri beliau:

4416206406 public bank. Relawati Daud
(Penulis ialah Pengerusi LESTARI PUSAT, pendakwah dan penulis

Sumber BO - 23-2-2018

Naikkan pendapatan agar mampu membeli rumah

ISU harga rumah yang mahal dan di luar kemampuan rakyat membeli amat penting menjadi penilaian mengenai kedudukan semasa rakyat Malaysia. Ia boleh menjadi kayu pengukur adakah benar rakyat Malaysia sedang dalam keadaan selesa dengan berbelanja mewah atau sedang menderita kepayahan dengan keadaan yang berlaku hari ini. 
Data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan rumah di negara ini “tidak mampu dibeli” pada 2016 oleh standard antarabangsa boleh menjadi penanda aras penting. Menurut BNM, antara faktor kemampuan membeli rumah disebabkan oleh penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan. BNM menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan. Bagaimanapun, median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228.00 
Data yang dikemukakan ini dengan mudah faham menyatakan bahawa harga rumah yang tersedia tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah. Kerana itu, rakyat tidak mampu membeli rumah. Dalam keadan begitu, rakyat pula terpaksa menanggung beban kos hidup yang semakin meningkat, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga barangan yang naik setiap masa. Mereka terpaksa berjimat cermat, mengikat perut, dan hanya membeli barangan keperluan sahaja. Soal membeli rumah adalah perkara sampingan yang akan dilakukan oleh golongan yang berkemampuan sahaja. 
Oleh itu pandangan Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin bahawa pengguna tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit adalah relevan dan perlu diambil perhatian sewajarnya. Ia berkait rapat soal ekonomi dan kadar kemampuan rakyat dalam membeli keperluan hidup mereka. Jika dalam soal keperluan harian pun rakyat mengikat perut, tidak mungkin rakyat mampu berbelanja besar membeli rumah, kenderaan dan bercuti di luar negara. 
Justeru, syor daripada BNM wajar dipertimbangkan sesegera mungkin bagi menangani masalah ketidak mampuan memiliki rumah yang sedang dialami. Antara lain syor BNM antara lain dengan mencadangkan halangan kos kepada perumahan mampu milik dikurangkan supaya rakyat lebih mampu memiliki rumah dengan mudah. Harga rumah mampu milik perlu disesuaikan mengikut kadar pendapatan rakyat, atau pendapatan rakyat dinaikkan sesuai dengan harga rumah semasa agar ia seimbang. Pendapatan rakyat yang statik atau naik amat perlahan amat tidak berpadanan dengan keadaan semasa di mana hampir semua harga barangan naik begitu drastik dan ketara. Rakyat semakin tertekan dan selepas ini entah apa pula data terbaru yang dikeluarkan membenarkan semua realiti yang dialami. 
Apa yang ditimbulkan ini bukan untuk mencetuskan suasana cemas dan panik, tetapi sekadar membangkitkan realiti semasa dan usah menafikan keadaan ini. Kerana semakin banyak penafian yang dibuat, semakin banyak fakta yang muncul dan timbul, yang menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia sedang dilanda krisis kewangan atau ekonomi yang serius. Jika tidak ditangani, ia boleh membangkitkan kemarahan dan kebangkitan rakyat. Perut rakyat yang lapar, boleh membahayakan pemimpin Umno yang sedang kenyang dan mewah, khususnya menjelang PRU ke-14 nanti. 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 16/2/2018


















































Sumber HD - 16-2-2018


Najib khianati Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa: PAS
Posted on Thursday, February 15 @ 11:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbuBakarMat

http://tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=38246



BANGI, 28 Jamadilawal 1439H, Rabu – PAS menyifatkan tindakan kerajaan membenarkan kakitangan diplomatik rejim pengganas Israel masuk ke negara ini bagi menghadiri persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai perbuatan melampau dan terkutuk.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor hairan bagaimana Kuala Lumpur yang tiada hubungan diplomatik dengan Tel Aviv, boleh membenarkan diplomat rejim Zionis itu masuk ke negara ini secara sah.

“Apakah Putrajaya telah mengubah polisi sehingga musuh Islam dan masyarakat antarabangsa itu sudah mempunyai hubungan rasmi dengan Putrajaya dalam diam tanpa pengetahuan umum.

“Apa alasan kerajaan membenarkan mereka hadir dalam persidangan ini? Diugut, dipaksa oleh kuasa dunia atau mahu berlunak dan berlembut dengan rejim Zionis?

“Apakah Putrajaya sudah melupakan kekejaman rejim Zionis Israel yang membunuh jutaan umat Islam di Palestin, mereka menjarah tanah dan merampas semua hak sehingga akhirnya tanah umat Islam Palestin tinggal sekangkang kera.

“Bagaimana Putrajaya boleh berlunak dengan tangan-tangan yang mahu merobohkan Masjid Al-Qasa serta Baitulmaqdis yang menjadi kota suci umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, lebih menyedihkan lagi, katanya, Putrajaya baru sahaja menganjurkan Himpunan Solidariti Al Aqsa penghujung tahun lalu, tetapi dua bulan kemudiannya membenarkan serta menjemput wakil Israel datang ke Malaysia menghadiri persidangan.

“Dalam hal ini, PM telah melakukan satu dosa yang besar ke atas umat Islam dengan penganjuran persidangan ini. PM mesti memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap umat Islam seluruh dunia.

“Ia ibarat satu pengkhianatan terhadap Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa serta menjadi sejarah hitam yang dirobek bahawa Israel dengan mudah menjejakkan kaki ke Malaysia bagi menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan ini hanya menunjukkan kerajaan telah mengamalkan sikap hipokrit terhadap umat Islam di Malaysia.

“Membenarkan kehadiran Israel bererti mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan kerajaan yang sah,” katanya.

Terdahulu, media Israel melaporkan delegasi kerajaan Zionis itu disertai bekas Menteri, Ofir Pines, serta pegawai-pegawai kanan lain.

Bahkan, ketua delegasi mereka David Roet mendakwa secara terang-terangan dalam media sosial bahawa beliau datang ke negara ini menggunakan pasport Israel.

Sumber TKO - 15-2-2018



























Putrajaya hipokrit terhadap perjuangan membela Islam

TINDAKAN Wisma Putra membenarkan diplomat Israel masuk Malaysia bagi menghadiri satu persidangan berkaitan penempatan manusia yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur adalah tindakan melampau dan terkutuk. 
Umat Islam di negara ini yang mengetahui kehadiran wakil rasmi kerajaan haram Israel pasti tidak boleh mendiamkan diri dari mengecam kerajaan kerana membenarkan mereka berada di negara ini. Malah, umat Islam seluruh dunia pun akan membantah kehadiran mereka ini kerana negara Malaysia adalah sebuah negara Islam yang tidak layak bagi musuh Islam menapakkan kaki di bumi ini. 
Hairan bagaimana Putrajaya dan Tel Aviv yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik tetapi diplomatnya boleh dibenarkan masuk ke negara ini secara sah. Media Israel melaporkan delegasi kerajaan Zionis itu turut disertai bekas Menteri, Ofir Pines, serta pegawai-pegawai kanan lain. Bahkan, ketua delegasi mereka David Roet mendakwa secara terang-terangan dalam media sosial bahawa beliau datang ke negara ini dengan menggunakan _passport_ Israel. Soalnya, apakah Putrajaya telah mengubah polisi sehingga musuh Islam dan masyarakat antarabangsa itu sudah mempunyai hubungan rasmi dengan Putrajaya dalam diam tanpa pengetahuan umum. Apa alasan kerajaan membenarkan mereka hadir dalam persidangan ini? Diugut, dipaksa oleh kuasa dunia atau mahu berlunak dan berlembut dengan rejim Zionis? 
Apakah Putrajaya sudah melupakan kekejaman rejim Zionis Israel yang membunuh jutaan umat Islam di Palestin, mereka menjarah tanah dan merampas semua hak sehingga akhirnya tanah umat Islam Palestin tinggal sekangkang kera. Bagaimana Putrajaya boleh berlunak dengan tangan-tangan yang mahu merobohkan Masjid Al Qasa serta Baitul Maqdis yang menjadi Kota Suci Umat Islam. 
Jika begini keadaannya, kerajaan telah mengamalkan sikap hipokrit terhadap umat Islam di Malaysia. Putrajaya baru sahaja menganjurkan Himpunan Solidariti Al Aqsa di akhir tahun yang lalu, tetapi dua bulan kemudiannya membenarkan serta menjemput wakil Israel datang ke Malaysia menghadiri persidangan. Membenarkan kehadiran Israel bererti mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan kerajaan yang sah. 
Difahamkan bahawa himpunan itu turut dianjurkan oleh kerajaan dan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Dalam hal ini, PM telah melakukan satu dosa yang besar ke atas umat Islam dengan penganjuran persidangan ini. PM mesti memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap umat Islam seluruh dunia. Ia ibarat satu pengkhianatan terhadap Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa serta menjadi sejarah hitam yang dirobek bahawa Israel dengan mudah menjejakkan kaki ke Malaysia bagi menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh kerajaan.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 14/2/2018
Sumber HD - 14-2-2018 
























































Hentikan perhambaan moden terhadap pembantu rumah

ISU kematian pembantu rumah dari Indonesia yang meninggal dunia kerana didakwa didera majikannya perlu menjadi perhatian utama kita semua kerana ia melibatkan isu kemanusiaan dan sikap kejam majikan tidak bertanggungjawab. Bahkan isu penderaan pembantu rumah dari Indonesia boleh mengeruhkan hubungan antara dua negara jiran, Malaysia dan Indonesia.  
Mangsa yang dikenali sebagai Adelina berusia 21 tahun dikesan dengan cedera di tangan dan kakinya serta sering tidur bersebelahan seekor anjing Rottweiler setiap hari hampir dua bulan lamanya. Jirannya pula sering mendengar jeritan yang menjadi kebiasaan selang sehari. 
Kes ini tidak boleh dianggap sebagai terpencil kerana ia melibatkan kes jenayah dan nilai kemanusiaan umumnya. Apa yang dikesalkan adalah mengapa sebegitu teruk layanan yang diberikan kepada pembantu rumah itu sehingga dibiarkan tidur dengan seekor anjing.  
Di mana naluri dan perasaan kasihan belas terhadap pembantu rumah yang setiap hari bekerja di rumah majikan dengan menyediakan segala kelengkapan tetapi dilayan seumpama haiwan. 
Lebih dari itu, mengapa mangsa dibiarkan tidur dengan anjing sedangkan jika dia beragama Islam, haram hukumnya mangsa menyentuh anjing, apatah lagi tidur bersebelahan dengan anjing. Jika dia bukan seorang Islam sekalipun, dia tidak layak diberikan layanan sebegitu.  
Jika mangsa ada melakukan kesalahan, sebaiknya majikan perlu menghantar beliau pulang ke Indonesia lebih awal bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. 
Jika beliau sakit, majikan sepatutnya bertanggungjawab menghantarnya ke hospital atau memberikan rawatan sebaiknya. Membiarkan dirinya dalam keadaan begitu adalah suatu tindakan kejam.
Kes penderaan terhadap pembantu rumah bukan baru sekali dikesan. Ia telah berlarutan bertahun lamanya. Majikan kejam suka menjadikan pembantu rumah umpama "hamba zaman moden" dengan dipaksa melakukan pelbagai kerja yang di luar kemampuan dan tugasan, dan dipukul atau didera jika tidak mengikut arahan atau kehendak majikannya.  
Malah, ada pembantu rumah yang dikurung, diikat, dicabul, dirogol, sehingga sampai tahap dibunuh. Kejadian ini menimbulkan trauma kepada pembantu rumah yang lain. 
Apa yang dibimbangkan adalah ia menjadi penyebab kepada kes pembantu rumah melarikan diri serta membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia di negara ini dan boleh mengundang kepada pelbagai kejadian jenayah yang lain. 
Tindakan perlu dilakukan bagi membendung gejala ini. Bagi pembantu rumah beragama Islam, sebaiknya mereka tidak dihantar bekerja dengan majikan bukan Islam. Kerana dibimbangi mereka dipaksa melakukan perbuatan yang haram termasuk mengurus anjing, memasak dan menyediakan hidangan babi, dilarang menunaikan solat, dipaksa membuka aurat dan lain-lain perkara.  
Selain itu, majikan perlu lalui proses yang ketat dan rumit agar mereka yang benar-benar layak mendapat pembantu rumah. Pemantauan perlu dibuat dari masa ke semasa oleh pihak yang berkenaan agar majikan mengerti pembantu rumah di rumahnya itu juga manusia yang perlu dilayan sebaiknya, dan bukannya robot yang boleh diperlakukan sesuka hati mereka. 
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.- HARAKAHDAILY 14/2/2018
























































Sumber HD- 14-2-2018





























Mengenang Tiga Tahun ‘Kepulangan’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Masa begitu pantas berlari meninggalkan kita,detakan jarum jam terus berputar tanpa menghiraukan hiruk pikuk dan carut marut dunia ini. Telah tiga tahun sang maestro dakwah dan siasah ini telah meninggalkan kita dengan seribu keteladanan, menoreh sejarah emas dalam perjuangan Islam di negara ini.

Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Mursyidul Am PAS yang kedua , juga mantan MB Kelantan yang telah merubah wajah kerajaan Kelantan yang dimenangi oleh PAS dan APU dalam tahun 1990.

Sosok ini berjaya membudayakan al Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran tafsir al Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al Quran. Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu, beliau sangat obses dengan pendidikan Islam. Tak lengah dan tak lelah, terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al Quran di tanahair ini. Sekolah agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan beliau dalam membangun pendidikan al Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al Quran.

Menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk almarhum merealisasikan cita-citanya. Beliau memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutama maahad tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini. Hasrat beliau agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Mekah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al Quran.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas dikalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al-Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Pulai Condong ialah untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran secara bersistematik, melahirkan pelajar-pelajar yang berpegang kepada al-Quran dan juga memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan al-Quran bagi mengimbangi tuntutan semasa.

Matlamat lain yang ingin dicapai ialah melahirkan ulama hafiz yang mampu memahami isi kandungan al-Quran serta memelihara al-Quran daripada sebarang bentuk penyelewengan.

Sehingga kini Kelantan mempunyai lebih daripada 100 buah sekolah tahfiz akibat rangsangan dan pemupukan yang berterusan daripada kerajaan negeri. Antara sekolah tahfiz yang telah beroperasi ialah Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Repek Pasir Mas, Maahad Tahfiz di Kampung Slow Machang Pasir Mas, Al-Imam International Institute di Kubang Kerian, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Ummu Qura di Kampung Kolam Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains dan banyak lagi yang didirikan di setiap daerah di Kelantan.

Maahad Tahfiz Pulai Chondong merupakan sekolah tahfiz paling cemerlang, bukan sahaja dalam peperiksaan awam, tetapi juga kerana menjadi model untuk kurikulum bagi sekolah-sekolah tahfiz di Brunei, Johor, Selangor, Terengganu dan Pahang.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengasaskan juga Maahad Tahfiz Nikmatillah yang terletak di Pulau Melaka dengan matlamat ‘sebuah keluarga seorang hafiz’ bagi rakyat Kelantan. Tahfiz ini mula beroperasi pada tahun 2004 dan menerima pelbagai latar belakang akademik (tidak semestinya cemerlang dalam UPSR). Ini bertujuan supaya ruang yang luas dapat diberikan kepada pelajar yang berminat mendalami pengajian al-Quran.

Almarhum telah meninggalkan kita semua dengan jasa yang besar, menjadi cermin keteladanan yang memantulkan keseimbangan watak siasah, dakwah dan tarbiah. Abnaul harakah PAS wajar  melanjuti apa yang almarhum tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai seluruh sektor masyarakat. Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al Quran.

Generasi muda wajar mengkaji sejarah hidup almarhum membangunkan Kelantan ,dengan kekangan regim UMNO BN yang pada masa itu diterajui oleh Tun Mahathir. Kelantan dikucilkan kerana iltizam almarhum kepada Islam, rakyat Kelantan didera kerana menyokong PAS dan meletakkan almarhum Tuan Guru sebagai pemimpin utama kerajaan negeri jantung hati orang Melayu ini.

Kelantan menjadi kampus politik terbuka dan negeri yang menjadi tadahan wahyu dengan erti kata lain,merealisasikan suruhan al Quran dan mencegah kemungkaran dengan bidang kuasa yang dimiliki oleh Tuan Guru dan kerajaan negeri. Moga sosok murabbi ini damai di alam abadi dan kita mengambil ibroh daripada kesungguhan beliau membangunkan Islam dalam setiap jiwa rakyat Kelantan dan juga pendokong PAS.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Sumber BO - 12-2-2018

‘Food Flotilla’; Mengoyak Benteng Tirani Myanmar

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Februari muncul kembali dan menggamit pelbagai kenangan kepada kita semua. Setahun yang lalu, aku belayar di lautan bersama teman-teman pelbagai NGO daripada pelbagai buah negara, melepasi halangan-halangan birokrasi

Mynmar dan juga Bangladesh. Menemui pelbagai ragam manusia dan watak yg berbeda, namun ianya mengkayakan koleksi pengalaman hidup. Aku beberapa kali diberi amanah sebagai pengkuliah dan khatib jumaat. Burung2 camar laut, bayu laut, sesi mentari mengatup dan menaik di dada langit adalah momen-momen indah di atas kapal Nautica Aliya, menggalang misi kemanusiaan “food flotilla 4Mynmar”.

Rombongan misi bantuan kemanusiaan flotilla disambut dengan demonstrasi bantahan dan wajah cemberut oleh sekelompok demonstran Myanmar berkain sarung. Media massa di negara berdarah ini lebih sebulan memainkan pelbagai isu berkaitan dengan misi bantuan yang dianggap menceroboh masalah dalaman negara mereka.

“Food Flotilla for Myanmar” memicu perhatian antarabangsa apabila lebih 60 media antarabangsa berhimpun di pelabuhan, pelaporan mereka positif atau negatif tetap memberikan impak yang positif kepada umat Islam yang tertindas. Misi untuk mengejutkan masyarakat antarabangsa bahawa ada negara pariah yang sedang menindas rakyatnya dengan alasan agama dan etnik.

Penampilan bahasa badan dan guratan wajah pegawai-pegawai Myanmar jelas tidak bersahabat dengan anggota misi flotilla. Ada yang mengacungkan tangan kearah peserta-peserta misi yang melaungkan takbir. Wajah sombong itu memandang dengan penuh kebencian terhadap kapal yang menjadi lambang kemenangan usaha rakyat pelbagai negara untuk membantu saudara mereka Muslim Rohingya.

Peserta-peserta bahu membahu membantu mengangkat barang untuk diserahkan pada pihak berkuasa Myanmar dan mereka memberikan persetujuan untuk acara agihan barangan di Sitwea dipantau oleh wakil Malaysia. Perjalanan ke Chitaggong Bangladesh tertangguh hampir sehari kerana keadaan sungai Yanggon yang surut.

Rombongan flotilla telah mengadakan solat jumaat di atas kapal dan menurut Kapten Firdaus itulah solat kali jumaat kali pertama diadakan di atas Nautica Aliya. Khutbah jumaat dengan tajuk kewafatan Rasulullah SAW mengimbau kembali peristiwa penting sebelum kewafatan iaitu himpunan paling ramai dalam sejarah dakwah nabi iaitu haji widak, seterusnya peristiwa selepas kembalinya daripada haji widak sehingga kewafatan baginda. Jemaah solat jumaat diingatkan bahawa tanggungjawab membantu umat Islam ialah sebahagian arahan ar rasul SAW, qudwah yang dicintai dan menjadi keteladanan di sepanjang jalan dakwah.

Perjalanan ke Chittagong melalui jalan laut mengambil masa lebih tiga hari dan flotilla telah dihentikan oleh pihak keselamatan Bangladesh untuk diadakan perbincangan ditengah laut.

Persetujuan dicapai untuk misi bantuan meneruskan bantuan ke Chittagong walaupun pada asalnya ada cadangan supaya misi flotilla terus ke Cox Bazaar melalui pelabuhan kecil dan pihak marin Bangladeh memberikan iringan keselamatan.

Tiba di Chittagong, rombongan flottila menghadapi muara sungai yang cetek, kelihatan kapal-kapal besar di atas beting pasir. Untuk memasuki ruang pelabuhan Chittagong seorang kapten tempatan menakhodai kapal Nautica Aliya yang dibina dengan kos 100 juta itu. Perbincangan terakhir akhirnya berlangsung di atas kapal diantara wakil Flotilla dengan pihak berkuasa Bangladesh. Pada asalnya mereka hanya mahu barang bantuan diturunkan dan relawan tidak dibenarkan ke kem pelarian, namun setelah asakan wakil flotilla maka merela bersetuju hanya 25 wakil turun untuk ke kem pelarian Cox Bazaar dan barangan diserahkan kepada IOM (International organization of migrant) dengan persetujuan pengagihan berikutnya dipantau daripada dekat oleh wakil-wakil Malaysia.

Ada relawan yang bersedih kerana tidak dapat mengagihkan sendiri barangan bantuan ke kem pelarian, namun pihak Bangladesh memberikan alasan -alasan keselamatan dalam kem yang juga berlaku infiltrasi daripada pihak agen Myanmar. Ustaz Tarmizi daripada MAPPIM menerangkan bahawa IOM mempunyai jadual pengagihan mingguan, maka NGO Malaysia mempunyai peluang untuk turun bersama mereka. Setiap barangan dihitung dan diaudit oleh IOM tentang tarikh lupus, produk halal dan sebagainya, mereka mempunyai reputasi yang baik dalam membantu pelarian-pelarian di seluruh dunia.

Misi Flotilla mencapai sasaran yang pertama iaitu menghebahkan pada dunia tentang sebuah sketsa kezaliman bumi Arakan yang digelar “Gaza Asia”, media massa dalam dan luar negara melaporkan perkembangan misi pertama membantu muslim Rohingya dalam skala besar. Mesej yang jelas, semua negara umat Islam wajib bangkit membantu bukan menjadi pemerhati bisu.

Dalam setahun ini ,pasca misi Food Flotilla yang membuka mata dunia, lebih seribu tubewell, madrasah agama, masjid pengungsi, klinik medan dan pelbagai bantuan telah digerakkan ke khemah-khemah pelarian Rohingya di Bangladesh. Kawasan Cox Bazaar, Khutupalong, Teknaf, Thankhali dipadati lebih 1.2 juta pelarian dengan keadaan yang amat dhaif. Bertindak adalah jauh lebih bermanfaat daripada menghujam kata-kata nista!. Ayuh,kita membantu saudara akidah kita.

Sumber BO - 8-2-2018






























































Rakyat tidak susah, tapi tidak mampu membeli

SEMAKIN kerajaan menafikan bahawa keadaan ekonomi negara dan rakyat merosot, semakin banyak bukti mendedahkan sebaliknya. Kenyataan Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin menceritakan segala-galanya mengenai keperitan yang ditanggung oleh rakyat ketika ini. Beliau menjelaskan dalam satu wawancara terhadapnya, Malaysia mungkin menyaksikan pertumbuhan dalam negara yang kukuh tetapi pengguna tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit mereka.

Beliau membuktikan bahawa KDNK Malaysia meningkat sebanyak 5.6 peratus manakala jualan runcit menyusut sebanyak 1.2 peratus dan jualan hypermarket pula menguncup sebanyak 4.8 peratus. Menurutnya, harga barangan mengalami kenaikan antara 14 hingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun lalu. Beliau membuat kesimpulan bahawa rakyat sudah tidak mempunyai wang untuk perbelanjaan mereka.

Kenyataan belaiu begitu jujur, benar dan berani mewakili segmen rakyat terbanyak terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kenyataan beliau berpijak di bumi nyata, di saat para pemimpin kerajaan beriya menafikan dengan mendatangkan fakta sebaliknya. Hakikatnya rakyat lebih mengetahui keadaan diri mereka. Faktanya membuktikan kuasa beli rakyat semakin kurang, dan rakyat terpaksa berjimat cermat, kerana rakyat semakin tidak mampu seperti dahulu. Sejumlah besar masyarakat terkekang oleh kenaikan harga barang yang di luar kemampuan mereka, menyebabkan mereka hanya hidup sekadarnya sahaja. Jika dalam perbelanjaan keperluan harian keluarga juga sudah dicatu, bagaimanakah boleh menggambarkan suasana keadaan rakyat yang menanggungnya?

Jika rakyat senang, tidak mungkin ramai yang bersungut dan mengeluh. Jika keadaan ekonomi rakyat stabil, rakyat tidak perlu bekerja lebih, ada yang buat dua hingga tiga kerja. Jika rakyat itu senang, mereka tidak perlu mengikat perut dan menangguhkan bayaran bil utiliti rumah serta bermasalah memiliki wang tunai kecemasan untuk diri dan keluarganya. Ini semua berdasarkan kajian beberapa bulan lalu terhadap rakyat dan menemui apa yang dinyatakan oleh Datuk Amer Ali Mydin. Ia adalah signifikan dan realistik dalam keadaan semasa.

Dakwaan bahawa rakyat berbelanja mewah, melancong dan mengerjakan umrah dijadikan sandaran bahawa rakyat tidak susah tidak menjadi asas yang kukuh bagi mewakili sejumlah besar rakyat di negara ini. Ia hanya mewakili segmen kecil kalangan mereka yang mampu berbanding golongan rakyat yang susah yang jauh lebih ramai. Kerajaan mahu memadamkan realiti sebenar dengan gambaran segelintir rakyat yang bernasib baik dan hidup dalam kesenangan.

Bayangkan, jika lebih ramai rakyat mampu, angka mereka yang berbelanja mewah, melancong atau mengerjakan umrah jauh lebih banyak daripada angka yang ditemui. Yang mereka tidak bertemu dengan angka golongan susah yang semakin membesar, miskin bandar, fakir, gelandangan, kalangan anak-anak terbiar dan ketinggalan dalam pelajaran, kalangan yang tidak mampu membeli barang keperluan diri mereka sehari-hari, dan pelbagai kesusahan yang menjerut rakyat di pelbagai ceruk bandar dan kampung.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Sumber HD - 7-2-2018 
































Hormati Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Agar Keharmonian Agama Terpelihara

Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi membuka mata dan mendapat perhatian utama hari ini.

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan keputusan pada tahun 2007 tidak mengikat berkaitan dengan tafsiran makna “ibu bapa” menjadi sebab keputusan ini dibuat. Mahkamah dihakimi lima panel hakim terdiri daripada presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Ali.

Keputusan ini memberi maksud bahawa kedudukan Islam tiga orang anak Muhammad Ridhuan Abdullah yang di Islamkan sejak tahun 2009 tidak sah dan terbatal. Ketika mereka diislamkan tahun tersebut, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan. Keputusan ini juga memaksa si bapa, Muhammad Riduan Abdullah, memulangkan anak bongsu mereka kepada ibunya.

Kes ini boleh menjadi kes rujukan di masa akan datang. Keadaan ini akan menimbulkan kegelisahan yang berpanjangan di kalangan umat Islam. Persoalan kekeluargaan, hak jagaan anak-anak serta identiti agama anak-anak yang ibu bapanya memeluk islam terus menghantui masyarakat yang boleh merencatkan usaha dakwah di negara ini. Ibu atau bapa yang mahu memeluk Islam akan dilanda ketakutan kerana hilang hak membawa anak-anak bersama ke dalam agama Islam.
\
Kewujudan Mahkamah Syariah yang dipinda tahun 1988 dengan memasukkan perenggan 1A Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara umat Islam di negara ini serta mengangkat kedudukan agama Islam di negara ini. Perenggan 1A ini mengehadkan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Namun dengan keputusan semalam, membuktikan bahawa Mahkamah Syariah masih di bawah pengaruh Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak bebas dari diganggu gugat oleh mahkamah Sivil. Kedudukan Mahkamah Syariah pula tidak langsung mengganggu hak orang bukan Islam di Malaysia, tetapi mengapa hak umat Islam sering diganggu oleh bukan Islam melalui Mahkamah Sivil? Keputusan ini boleh menggugat keharmonian antara agama dalam konteks Islam sebagai agama persekutuan.

Dalam Islam, menurut pandangan empat mazhab dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, jika ibu atau bapa memeluk Islam anak perlu mengikutnya. Ia berdasarkan kepada mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali. Manakala Mazhab Maliki pula berpandangan jika bapa yang memeluk Islam anak perlu mengikutnya, kerana anak dinasabkan kepada bapa dan bukan ibu. Namun anak boleh membuat pilihan sekiranya dia telah berusia 18 tahun ke atas.

Polemik ini perlu dihentikan segera bagi mengelakkan perbalahan agama dan kaum di negara ini. Yang dibimbangkan adalah polemik seperti ini berterusan dengan banyak lagi kes akan timbul dan persoalan yang bangkit, yang boleh menyebabkan keharmonian antara agama tergugat. Akhirnya umat Islam akan rugi, agama Islam dipinggirkan, diperlekeh dan dihina dengan mudah. Tiada makna lagi negara ini yang dianggap sebagai sebuah negara Islam jika nilai agama Islam lebih rendah dari kedudukan agam lain di negara ini.

Sebagai mendokong Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) yang menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, maka bidang kuasa Mahkamah Syariah juga perlu diperkasakan dan dimantapkan. Justeru Perenggan 1A kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati dan dihormati oleh semua pihak. Hanya dengan ini agama Islam terus dihormati, di amalkan dan dilaksanakan di negara ini.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Sumber BO - 30-1-2018

Jika rakyat ungkit memilih kerajaan

KEANGKUHAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin terserlah ketika kunjungan kerjanya di Kelantan beberapa hari lalu. Dalam kenyataannya itu beliau mengingatkan Kerajaan PAS Kelantan mengenai bantuan yang dihulurkan Kerajaan BN pada negeri itu. PM mengungkit bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan mampu membayar gaji penjawat awam jika tidak kerana suntikan dana dari Putrajaya.
Analogi kenyataan PM ini ibarat seorang ayah yang kerap kali mengungkit jasa dan pengorbanan ayah terhadap anak-anaknya. Walhal, itu adalah tanggungjawab seorang ayah. Tidak perlu mengungkit hal tersebut pun anak-anak akan tahu bahawa ayahnya yang perlu berkorban untuk anak-anaknya. Malah, itu tugas dan rutin seorang ayah yang membanting tulang bekerja demi kesejahteraan anak-anaknya. Seolah-olah, pemberian selama ini tidak ikhlas dan hanya mengharapkan balasan. Jika begitu sifatnya, inilah watak seorang ayah yang tidak baik kerana sering menuntut dan meminta balasan dengan anaknya terhadap apa yang diberikannya selama ini.
Seorang pemimpin yang baik tidak akan berkira dan kedekut terhadap rakyatnya. Dia tidak akan mengira latar belakang, warna kulit, idelogi politik, sokongan, dan kedudukan mereka. Sesiapa sahaja yang susah pasti akan dibantu. Baik Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, mahupun Sabah dan Sarawak menjadi perhatian jika kedudukan mereka susah. Tidak perlu diungkit jasa dan pengorbanan kerana rakyat sendiri yang menilai keikhlasan seorang pemimpin. Sememangnya tugas Perdana Menteri mengagihkan bantuan kepada kerajaan negeri yang memerlukan, termasuk Kelantan.  
Pemimpin jahat adalah pemimpin yang bersifat pendendam dengan menyekat bantuan kerana tidak suka kepada sesetengah pihak atau golongan yang tidak menyokongnya. Pelbagai alasan diberikan bagi menghalalkan tindakannya. Hanya kerana benci atau tidak suka kepada kelompok tertentu, yang mungkin kerana mereka tidak menyokongnya, maka pelbagai kekangan dibuat. Jika diberi sekalipun, dia akan mengungkit ‘selama tujuh keturunan’ seolah-olah dia telah berjasa besar dan berbuat perkara paling baik dalam hidup. 
Yang PM ingat adalah dia pemimpin besar dan berjasa banyak kepada rakyat, khususnya negeri Kelantan. Yang dia lupakan adalah dia adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Sekali dalam tempoh lima tahun rakyat akan memilihnya dan partinya untuk menjadi Perdana Menteri. Tujuan rakyat memilihnya adalah bagi membela rakyat untuk tempoh lima tahun kemudiannya. Antara rakyat yang memilih BN dalam pilihan raya lalu datangnya dari Kelantan. Justeru, bagaimana dia boleh mengungkit jasa kerajaan sedangkan rakyat pula yang memilih kerajaannya berkuasa selama lima tahun.
Bagaimana nanti rakyat mengungkit sumbangan dan jasa mereka yang memilih Kerajaan BN selama ini tetapi PM melupakan mereka. Jika inilah keadaannya, maka rakyat berhak menilai semula sokongan mereka kepada BN. Rakyat mahu memilih pula kerajaan dan pemimpin yang ikhlas dalam berkorban untuk rakyatnya, merasakan rakyat banyak berjasa kepadanya daripada dia berjasa kepada rakyatnya. Tatkala itu baru beliau kenal siapa lebih berkuasa, antara Kerajaan Pusat dengan rakyat. Tunggulah, beberapa bulan lagi rakyat pula akan memilih mana kerajaan yang mereka impikan dan tahulah PM siapa berkuasa sebenarnya ketika itu.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
HARAKAHDAILY 30/1/2018


































































Sumber HD - 30-1-2018


































Konferen MyAqsa: Memberi Najib nyawa politik?

ZAMAN 'medsos' (media sosial) digunapakai oleh semua insan bernafas, perang persepsi menjadi senjata penting bagi pemain politik menebar pengaruh dan meremehkan pesaing mereka. Penulis menjenguk alam siber sehari dunia ini di mana ramai politikus PH menghentam dan melecehkan program konferen meja bulat MyAqsa termasuk oleh Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Kelompok ini berpandangan konferen bertemakan Palestin ini adalah kaedah Perdana Menteri Malaysia dan parti pemerintah 'menunggang' agamawan untuk memanjangkan hayat politik. "Himpunan nak naikkan kepala penyamun" komen Pegawai Penerangan Lim Guan Eng serta pelbagai komen jelek penyokong PH yang lain. Usaha meremehkan himpunan umat Islam bukanlah kali pertama berlaku terutama selepas munculnya aliansi politik PH yang dikawal oleh DAP.
Antaranya himpunan 4 Disember 2016 di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur dalam menggalang isu pembantaian Muslim Rohingya. Tuan Guru Abdul Hadi dikecam dengan meluas oleh penyokong PH, kononnya rela sepentas dengan pemimpin yang zalim. Manakala Disember 2017 geger pula apabila program solidariti Palestin di Putrajaya, yang akhirnya juak-juak PH tertampar malu dengan sendirinya, apabila pemimpin PH pula menyua muka di pentas program.
Netizen dengan pelbagai latarbelakang bertanyakan apakah faedah yang didapati dengan penganjuran konferen bertemakan Palestin ini? Pertama kebanyakan peserta-peserta yang diundang merupakan ilmuan Islam, ulama serta tokoh-tokoh gerakan swadaya daripada lebih 30 buah negara. Pastilah mereka mempunyai jaringan pengaruh serta keupayaan untuk mendesak kerajaan masing-masing supaya menyokong perjuangan umat Islam Palestin.
Sosok besar yang hadir juga kebanyakannya mempunyai institusi mereka sendiri, sama ada NGO mahupun institusi pendidikan. Jaringan sivil ini secara konsisten membantu dan mengupayakan bantuan terhadap umat Islam Palestin, terutama di Gaza yang dihimpit oleh penderaan regim Zionis. Konferen yang disoroti oleh media arus perdana dan juga media sosial ini paling kurang akan mengingatkan ummah akan sebuah tanggungjawab yang terpikul pada pundak seluruh ummah tanpa mengira latarbelakang politik, sosio ekonomi dan tendensi.
Lihatkan dengan kacamata positif, usaha membantu Palestin dan penyelamatan al-Aqsa tidak cukup dengan kudrat NGO atau tokoh perseorangan. Setiap kerajaan umat Islam mestilah proaktif membantu, bahkan menyedarkan masyarakat bahawa kezaliman Israel mestilah dihentikan. Penyelamatan Palestin mestilah berada dalam silibus pengajian umat Islam, sama ada pengajian formal atau pun tradisional.
Seminar, konferen, bahkan himpunan umat Islam adalah salah satu mekanisme mengerah akal dan kudrat untuk membantu umat Islam tertindas. Contohnya Himpunan Solidariti Rohingya pada 4 Disember 2016 telah menatijahkan usaha mendesak Kerajaan Malaysia untuk mengunakan pelbagai cara membantu Muslim Rohingya. Seterusnya pada 2 Februari 2017 berangkatlah misi 'Food Flotilla for Myanmar', gabungan pelbagai NGO membawa bantuan kemanusiaan dengan kaedah 'G to G'. Desakan akhirnya membuka langkah pihak kerajaan untuk membantu termasuk usaha membina hospital medan di kem-kem pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh.
Dalam perseteruan politik, janganlah semua perkara kebaikan ditutup untuk memenangkan kelompok kita. PAS yang telah 67 tahun dipersada politik dan dakwah tanahair telah dimatangkan dengan sebanjaran pengalaman, melalui segala liku pahit maung perjuangan dengan tabah. Dengan pendekatan BPMS, harakatul ummah ini telah memecahkan tembok kaca yang telah lama dibina oleh pesaing-pesaing PAS sejak sekian lama. Apa sahaja berkaitan dengan Islam dan kepentingan ummah, maka PAS akan bersama membantu. Maka untuk al-Quds yang mulia, PAS akan menggalang seluruh kekuatan yang ada untuk membantu! - HARAKAHDAILY 28/1/2018
Sumber HD - 28-1-2018 






































































Membugar Kesedaran Dan Menyatukan Tindakan Dalam Isu Palestin

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Konferen meja bulat MyAqsa yang berlangsung di Putrajaya mengimpunkan ratusan sarjana Islam, ulama dan pemikir menjadi pemicu kebangkitan kesedaran tentang kepentingan tanah Palestin serta al Quds. Peserta- peserta konferen yang hadir daripada lebih 30 buah negara umat Islam, mewakili perbagai pertubuhan dan gerakan swadaya.

Dr Razak al Iskandari dari Pakistan menyentuh kepentingan al Quds dan menjadi milik semua umat Islam. Masjid al Aqsa yang menjadi tempat isra’ Nabi SAW dan bagaimana masjid ini yang disebut oleh Allah SWT di dalam al Quran ( Surah Isra’ ayat pertama). Masjid al Aqsa menduduki tempat penting dalam senarai masjid utama Islam, selain masjidil haram dan masjid Nabawi. Tanah ini yang menjadi kiblat pertama ummat Islam sehinggalah berlakunya peralihan kiblat umat Islam pada tahun 2 hijrah.

Sheikh Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Dunia Islam membuat penegasan betapa pentingnya Palestin yang menjadi rebutan sejak zaman berzaman. Beliau merungkai sejarah Bani Israel semenjak zaman ar Rasul, seterusnya bagaimana bumi Palestin ini dirancang secara licik oleh gerakan Zionis untuk menjadi tempat berhimpun mereka.

Teodl Hezl yang memimpin konspirasi zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid (ii) untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang,namun khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi daripada pelbagai pelusuk dunia terutama daripada Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour.

Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada ummat Islam , dengan pengusiran dan pembantaian terhadap ummat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada ummat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwan Muslimin pada tahun 1940an dan dengan alasan inilah Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948.

Malangnya negara-negara Arab dalam dekad 1950an dan 60an yang berselimut dengan fahaman Baath ( Sosialis Arabism), mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25 000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak zionis.

Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza ,munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin.

Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Contohnya apabila Erdogan melakukan inisiatif menghimpunkan pimpinan negara OIC di Istanbul bulan lepas, sebanyak 23 buah negara tidak menghantar perwakilan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS.

Bagi penulis ,usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang terkepung . Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir membuka pintu sempadan Rafah bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluhlantak dengan serangan Zionis. Perjuangan membebaskan Palestin adalah milik seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa!.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Sumber BO - 27-1-2018




































Empat Tahun Masa Yang Pantas Berlalu

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Hari ini genaplah empat tahun almarhum Ustaz Dato’ Harun Taib telah meninggalkan kita. Jarum jam bergerak dengan terlalu pantas, sedar tak sedar, telah empat tahun murabbi ummah ini telah bersemadi meninggalkan kita. Beliau umpama singa jamaah Islam yang tegas menjaga asolah perjuangan dan manhaj perjuangan.

Sosok besar gerakan Islam ini semenjak pulang dari Ardhul kinanah pada tahun 1981 terus melangkah di medan operasi perjuangan. Beliau sebenarnya sedang bertungkus lumus menyiapkan PhD, namun arahan jamaah supaya pulang ditaati. Sebelum itu beliau pulang bertanding dalam Pilihanraya tahun 1978, namun tewas dan kembali belajar di peringkat doktorat.

Figura hebat ini tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, bersama Ustaz Husien Awang. Kemudian, beliau melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat , beliau secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam. Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.

Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982, seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS.
Dalam pertengahan dekad 1980an, beliau membentangkan kertas kerja tentang pendidikan pra sekolah di bawah PAS dan akhirnya PASTI telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini. Bersama teman- teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulama PAS seperti Ustaz Zaharuddin Mohamad. Ramai juga yang menggalang gelaran YB lahir daripada MDQ, apatah para amilin jamaah dipelbagai peringkat parti.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, sekolah rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan DUN Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya , Hilmi mewakili konstitusi tersebut.

Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihanraya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di DUN Manir. Beliau antara 10 orang calon APU yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam pilihanraya umum 1990 yang menyaksikan aksi serpihan UMNO, Semangat 46. Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti ‘ muslimat Pembangun Ummah’, ‘berbilang-bilang jemaah’ serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.

Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami. Isterinya, Ustazah Zainab atau juga dikenali ramai ustazah Fatimah pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS . Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembik, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid.

Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu. Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah. Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti SRAB, KOSTAQ, KOSPINT, pemerkasaan KUSZA sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.

Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar Islam Terengganu di Kubang Lembik di alam kampus, sehinggalah saya menjadi aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik supaya anak muda tak lalai. Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah.

Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat empat tahun yang lepas, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus. Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata- kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini… Al-Fatihah.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Sumber BO - 25-1-2018

Ugutan Menteri Pendidikan; Umno Tertekan Butang Panik!

Ucapan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid bernada ugutan terhadap guru dan pegawai kementerian dengan mahu mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang menyokong pembangkang menunjukkan sikap tidak profesional beliau. Tindakan dan ucapan beliau memperlihatkan sikap terdesak, tertekan dan gelisah beliau dan UMNO dalam menghadapi pilihanraya umum ke 14.

Secara tidak langsung beliau menunjukkan indikasi bahawa UMNO-BN dalam keadaan gawat, dan ada kemungkinan tumbang dalam PRU ke 14 justeru beliau terpaksa menggunakan kuasa dan kedudukan beliau sebagai menteri untuk mengugut kakitangan di bawah kementeriannya.

Sebagai seorang menteri yang memegang portfolio kementerian pendidikan, beliau sepatutnya tahu membezakan antara parti politik dan urusan profesionalisme. Dalam konteks negara yang menjunjung sistem demokrasi, sesiapa sahaja boleh menyokong mana-mana parti politik bahkan mengganggotai dan menjadi pemimpin parti politik terbabit.

Tidak ada salahnya mana-mana kakitangan awam menyertai parti politik sama ada pemerintah ataupun pembangkang, selagi urusan kerjayanya dibereskan dengan sempurna. Yang salahnya jika mereka terbawa-bawa politik itu sampai ke bilik darjah, bilik guru dan mesyuarat di sekolah, atau tidak menjalankan kewajipan yang ditentukan, serta sibuk dengan hal parti politik sehingga tidak datang ke sekolah. Jika hal sedemikian berlaku, maka wajarlah guru dan kakitangan tersebut di ambil tindakan.

Mengkritik kerajaan bukan bermaksud mahu mensabotaj atau merosakkan imej kerajaan. Itu tanda kasih dan cinta rakyat terhadap kerajaan dan negaranya dengan memberikan teguran yang bermakna agar kerajaan dan pemimpin tertinggi melakukan perubahan, walaupun kritikan itu pedas. Kritikan yang baik bermakna ada pihak yang berani menyatakan kebenaran, walaupun ianya amat pahit didengari. Kritikan menjadikan seseorang, institusi, pemimpin dan negara semakin kuat. Dengan kritikan, kerajaan tahu salah betul tindakan mereka, dan mendengar suara serta keluhan rakyat di bawah.

Yang dibimbangi adalah tidak ada pihak yang mahu bersuara menyatakan kebenaran, walaupun yang dilihat, dirasai dan didengari adalah salah dengan naluri, hukum agama dan negara. Keadaan lebih parah jika semua pihak mengambil sikap mendiamkan diri, bahkan memuji dan membodek apa sahaja dasar kerajaan sehingga akhirnya langkah itu meyebabkan kerajaan dan negara rebah. Jangan kerana ugutan itu nanti melahirkan masyarakat terutama kakitangan kerajaan dan guru yang langsung tidak peka dan prihatin terhadap masyarakat, agama dan negara.

Jika ada kritikan dan kutukan yang keterlaluan, maka tindakan hanya perlu dilakukan kepada individu terbabit tanpa membabitkan dasar dan polisi kerajaan terhadap seluruh pegawai atau guru.

Hanya dengan beberapa kerat individu yang lantang dalam bersuara, maka Datuk Seri Mahadzir terus menghukum semua guru dan kakitangan dengan ugutan amaran keras, apakah tindakan ini wajar?
Bersikaplah dengan profesional dan jangan bermain emosi dan sentimen semata-mata. Selesaikan kes demi kes, bukan memukul rata seluruh negara hanya dengan satu dua kejadian yang berlaku.

Datuk Seri Mahadzir perlu ingat, UMNO hanya menjadi kerajaan ketika ini. Suatu waktu jika UMNO pula akan menjadi pembangkang, apakah beliau mahu berpegang dengan amaran dan ugutan beliau tidak membenarkan guru dan penjawat awam menyertai parti pembangkang? Jangan nanti beliau terpaksa menjilat balik segala apa yang diluahkan sekarang.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli jawatankuasa PAS Pusat

Sumber BO - 20-1-2018






































Langkah YB Datuk Mahfuz semakin sumbang

HUJAH dan dakwaan YB Datuk Mahfuz Omar terhadap Presiden PAS bahawa PAS adalah ‘oportunis politik’ begitu dangkal dan memualkan. Sikap beliau yang menyerang PAS selepas Muktamar Tahunan PAS tahun 2015 semakin menjadi-jadi sehinggalah beliau keluar PAS dengan sendirinya awal tahun ini. Beliau telah menunjukkan wajah dan warna beliau sebenar, bahawa beliau mahu menjadikan PAS sebagai musuh, bukan UMNO-BN. Mungkin kerana ‘terlajak berpolitik’ menjadikan beliau lebih emosi, kurang cerdik dalam penilaian dan gopoh dalam tindakan. Kini langkahnya selepas keluar PAS menjadi semakin sumbang, dan saya bimbang beliau akan tumbang. 
Beliau mengambil sikap semberono dengan menembak membabi buta tanpa pemahaman yang sebenar, kajian mendalam dan mengetahui situasi yang berlaku. Sikap beliau yang mudah membuat kesimpulan serta menjadi ahli nujum yang meramalkan apa yang berlaku amat dikesali. Dalam keadaan bacaan politik semasa dan akan datang yang semuanya memerlukan kajian, angka dan fakta yang spesifik, beliau masih lagi menggunakan kaedah persepsi dan mengikut perasaan. Sepatutya ahli politik seperti beliau sudah bersara kerana strategi menyerang yang beliau gunakan telah ketinggalan zaman. 
Kenyataan Presiden PAS bahawa PAS mensasarkan 40 kerusi Parlimen untuk dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 dan akan menjadikan alat ‘tawar menawar’ bukanlah sesuatu yang pelik untuk diucapkan. Secara keseluruhannya, PAS bertanding di 130 buah kerusi parlimen seluruh negara, dan Presiden PAS meletakkan sasaran 40 buah kerusi Parlimen adalah amat realisitik dan dalam jangkaan. PAS bukan bercakap kosong dan ‘berangan-angan’ tinggi tanpa menyedari kenyataan. Kajian lapangan dari banyak pihak mendapati angka yang disebutkan Presiden PAS itu boleh terhasil dan diperolehi. 
Dengan kemenangan 40 buah kerusi parlimen yang disasarkan, PAS akan menjadi penentu terhadap kerajaan yang akan dibentuk nanti. Oleh kerana PAS berjuang bersama Gagasan Sejahtera dan bukan Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, PAS akan menjadi alternatif kepada kerajaan baharu kelak. Situasinya jika Pakatan Harapan atau Barisan Nasional kekurangan kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan maka, PAS diperlukan bagi mencukupkan kerusi yang mereka perlukan untuk membentuk kerajaan. 
Ketika itu, pasti ada pihak yang terhegeh-hegeh mahu bertemu dan melutut pada PAS menagih simpati bersama dengan mereka. Tuan Guru Presiden PAS berpandangan jauh dengan meletakkan sasaran kerusi lebih awal sebagai tanda aras bahawa pada ketika itu nanti (jika mengikut jangkaan kerusi yang dimenangi), situasi sebegitu akan terjadi. YB Datuk Mahfuz boleh menggelakkan PAS ketika ini, tetapi jika usai PRU ke 14 keadaan itu berlaku, jangan pula tercengang dan malu sendiri pula. 
Pandangan YB Datuk Mahfuz juga amat cetek dengan menyatakan bahawa PAS bukanlah sebuah parti pembangkang yang relevan untuk melawan rejim UMNO / BN dan menganggap PAS tidak lagi berprinsip. Sebenarnya beliau lupa, PAS lebih berprinsip dari mana-mana parti politik. PAS sanggup berjuang bersama Gagasan Sejahtera sebagai alternatif ketiga demi mengekalkan prinsip dan dasar perjuangannya. Dalam keadaan demikian, banyak parti dalam PH dalam diam cuba ‘menjalin hubungan’ dengan PAS agar mereka dapat mendapat sentuhan kekuatan PAS walaupun terpaksa tikam menikam sesama sendiri. Ini menunjukkan harga diri PAS begitu tinggi. 
Soal yang dibangkitkan bahawa PAS tidak akan bersama PH jika PAS mendapat 40 buah kerusi Parlimen manakala PH atau BN tidak mendapat kerusi majoriti, siapa YB Datuk Mahfuz untuk menilai hati budi PAS? Dalam politik segalanya mungkin, tidak ada kawan dan musuh selamanya. Di sinilah nantinya YB Datuk Mahfuz akan mengetahui kecerdikan kepimpinan PAS kerana visi dan matlamat kami jauh lebih jauh dari politik jangka pendek. Demi Islam, Malaysia dan survival rakyat di negara ini PAS akan ‘meletakkan tawaran yang bermanfaat’ bagi memastikan Islam berdaulat, rakyat sejahtera dan negara Malaysia selamat dan aman selamanya dari pemimpin rasuah. – HARAKAHDAILY 17/1/2018
Sumber HD - 17-1-2018 














































































Umat Islam selamatkan negara dari hiburan liar rosak

TERDAPAT laporan dalam media negara ini bahawa ada bintang hiburan antarabangsa tidak mengadakan persembahan di Malaysia, dan hanya singgah di beberapa buah negara Asia Tenggara. Antara sebab artis terkenal tersebut tidak mengadakan persembahan di Malaysia adalah kerana kekurangan penajaan. Menurut laporan itu lagi, syarikat yang menjual produk tidak halal seperti alkohol dan rokok enggan memberikan penajaan, dan alasan paling utama adalah Malaysia dilihat semakin cenderung menjadi negara konservatif Islam. Bintang terkenal yang disebut itu adalah Celine Dion.
Selain Celine Dion, artis lain adalah seperti Coldplay, Megadeth yang dibatalkan konsertnya, Mayhem dan Beyonce serta beberapa artis terkenal lain. Bagi peminat hiburan antarabangsa, berita ini mungkin suatu perkara buruk yang meresahkan dan menyedihkan mereka. Tetapi masyarakat seluruhnya, berita inilah yang membawa sinar kebahagiaan dan memberi kebaikan khususnya bagi pertumbuhan generasi muda.
Jika alasan konservatif agama sebagai punca kurangnya penajaan maka kerana itu para artis terkenal tidak jadi konsert di Malaysia, maka itulah kejayaan kepada umat Islam di negara ini. Walaupun mereka menuduh umat Islam di negara ini beramal dengan konservatif agama, sedangkan mereka tidak tahu bahawa umat Islam di negara ini sedang mengamalkan ajaran sebenar agama Islam seperti yang dituntut oleh agama.
Berita ini memberi makna bahawa penaja menyedari bahawa Malaysia bukan seperti negara-negara lain yang bebas dan terbuka seluasnya. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai reputasi tinggi sebagai sebuah negara Islam. Walaupun ada pihak menganggap perkembangan ini sebagai negatif, namun bagi majoriti umat Islam di negara ini, ia adalah satu perkembangan positif. Justeru, dengan perkembangan ini, mereka yang berkira-kira mahu menganjurkan kosert di negara perlu menghormati budaya, amalan agama dan adat resam masyarakat di negara ini.
Islam tidak menyekat kebebasan, keterbukaan, hiburan dan keseronokan. Islam meraikan semua perkara tersebut asalkan pada had yang dibenarkan syarak. Islam hanya menolak budaya ‘liar’ yang melalaikan dan merosakkan, candu hiburan tanpa had dan kebebasan, parti-parti liar yang mengkhayalkan, lirik yang merosakkan, percampuran bebas lelaki dan perempuan yang tidak ada batasan. Kesudahannya anak-anak muda yang berakhir dengan perzinaan, maksiat, minum arak, menghisap rokok, mengambil dadah, bergaduh dan lain-lain. 
Masyarakat di Malaysia juga sangat bimbang generasi anak-anak muda yang memiliki akhlak dan tingkah laku yang liar, suka berhibur, berpakaian tidak senonoh, mengambil artis-artis barat yang liar dan berakhlak buruk sebagai ikon hidup mereka. Oleh kerana itu, masyarakat Malaysia merasa sensitif dan amat prihatin terhadap budaya hiburan yang menular. Banyak siri bantahan yang disuarakan terhadap penganjuran konsert-konsert menyebabkan para penaja dan penganjur merasa ‘panas punggung’ untuk menganjurkan sesuatu konsert. Mereka serik dengan banyaknya bantahan dan kebencian masyarakat terhadap hiburan yang melalaikan ini.
Mungkin para penaja dan penganjur konsert perlu mengetahui bahawa Malaysia bukan hub hiburan dan konsert liar mega bersifat antarabangsa. Di dalam negara ini sendiri, terlalu banyak elemen hiburan yang melalaikan telah terhidang di depan mata. Malaysia tidak kurang pusat-pusat hiburan dan kelab malam di mana-mana, pusat karaoke dan rumah urut yang hampir tidak terkawal. Di tambah dengan media sosial dan televisyen yang hampir setiap masa menghidangkan hiburan untuk setiap golongan.
Biarkan golongan yang cintakan hiburan dan pemuja artis terkenal antarabangsa mendapat hak hiburan mereka di luar negara. Pergilah mana-mana negara Asia Tenggara untuk mendengar, menonton dan menyaksikan sendiri artis tersebut, tetapi bukan di Malaysia. Kepada umat Islam dan pencinta kepada kemakmuran, teruskan dengan bersifat sensitif dan prihatin terhadap negara. Dengan sikap mereka ini, mungkin kita dipandang hina oleh segelintir orang, tetapi ia mampu menyelamatkan masyarakat dan negara.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
14 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 14/1/2018
Sumber HD - 14-1-2018 








































Kenyataan dan perjuangan Mahathir tidak konsisten

TUN Dr Mahathir Mohamad memang terkenal dengan kaki putar dan ahli politik yang licik. Kerana kepintarannya itu, beliau mampu membelit dan menyusup masuk mana-mana lorong politik. Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dibarisi pembangkang, yang suatu ketika begitu musuhinya kini mengangkatnya sebagai pemimpin utama membuktikan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah raja politik belit di negara ini. 
Kenyataannya terbaharu mengenai kutipan tol dengan mempertahankan langkah pentadbirannya dahulu mengenakan kutipan tol amat membingungkan rakyat. Malah beliau membandingkan kadar tol di negara ini dengan negara lain dengan menganggap ia sebagai termurah di dunia. 
Perbandingan harga tol di negara ini dengan negara lain dibuat seakan-akan menegaskan bahawa tindakan pentadbirannya dahulu adalah betul dan tepat sekali. Mungkin benar PM sekarang menggelarnya ‘bapa segala tol’. Maka sukar bagi rakyat meneka apakah pendiriannya dalam membela dan memperjuangkan rakyat, sedangkan tol adalah sebahagian daripada bebanan yang menimpa rakyat. 
Meskipun begitu beliau berjaya ‘menyihir’ PH dengan kepintarannya bermain politik apabila tidak ada suara pemimpin mereka mahu menyanggah kenyataannya mengenai tol itu. Jika begini pendiran seorang pemimpin yang dianggap memperjuangkan rakyat di negara ini, apakah beza perjuangan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang? Bukankah nada dan suara mereka hampir sama? PM juga menyatakan harga barangan dan kos sara hidup di negara ini antara terendah berbanding negara lain, harga barang termurah, harga minyak paling rendah, GST paling sedikit, dan lain-lain lagi. Beliau banyak mengambil contoh negara-negara lain yang mengenakan kesemua cukai, GST, harga minyak, barangan dan lain-lain lagi berbanding negara ini. 
Jika harga tol di negara ini termurah di dunia, lalu perlu dipertahankan, apakah dasar perjuangan Pakatan Harapan dalam membela rakyat terbanyak khususnya mereka yang terhimpit dengan pelbagai tekanan hidup? Bukankah agenda PH adalah membela dan membantu rakyat, khususnya melepaskan mereka dari tekanan dan bebanan hidup termasuk usaha menghapuskan konsesi tol dengan alternatif bagi meringankan rakyat. 
Bayangkan hampir kesemua lebuh raya di negara ini mempunyai tol, dan setiap pengguna yang melaluinya perlu membayarnya. Tiada makna jika harga tol termurah tetapi pengguna perlu membayar banyak kali tol (kerana banyak lebuh raya perlu dilalui) dan membayarnya pula setiap hari. Pada hakikatnya, Tun adalah seorang pemimpin elit yang hidup kaya raya dan tidak merasai keperitan hidup rakyat di bawah, justeru beliau tidak tahu bebanan yang rakyat hadapi sekarang. 
Bayangkan jika Tun Dr Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri, mungkin apa yang disanggahnya sekarang pun akan terbalik. Beliau pula akan membela dan mempertahankan segala dasar dan cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sekarang, dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Maka pada ketika itu, pemimpin PH dan seangkatan dengan mereka akan sekali lagi tergigit oleh pemimpin yang menipu dan memperdaya rakyat. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
11 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 11/1/2018
Sumber HD- 11-1-2018 

Muafakat PH hanya untungkan elit politik tertentu

PEMBAHAGIAN kerusi Parlimen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan raya Umum ke-14 memperlihatkan dominasi kelompok elit politik licik dan cerdik yang pantas mengambil peluang menguasai PH. Dalam hal ini, yang paling banyak mendapat laba dan keuntungan adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan masing-masing mendapat kerusi paling banyak. PPBM dijangka bertanding 52 buah kerusi manakala PKR mendapat 51 buah kerusi. DAP pula mendapat bahagiannya dengan 35 kerusi sementara Parti Amanah Negara (PAN) pula hanya mendapat 27 buah kerusi.
Lebih menakjubkan, PPBM mendapat bakal calon Perdana Menteri dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai calon PM jika mereka menang sementara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Agak melucukan dan begitu menghairankan, parti serpihan yang dibentuk belum sampai dua tahun boleh mendapat tempat sebegitu tinggi sedangkan parti yang lebih kurang sebaya, PAN hanya mendapat 27 buah kerusi parlimen dan tidak dijanjikan apa-apa kedudukan tertinggi. 
Bagi PH, inilah muafakat terbaik dengan dominasi daripada dua bekas parti serpihan UMNO ini. Muafakat bagi mereka, jika mereka mendapat tempat tertinggi dan kedudukan kepimpinan tertinggi. Dinamakan muafakat jika yang berhak mendapat kata putus, kuasa veto dan hierarki tertinggi adalah pemimpin elit kelompok mereka. Tidak menjadi muafakat, jika calon PM dan TPM diambil dari kalangan pemimpin muda yang bukan dari kelompok mereka manakala kerusi yang mereka dapat diagih secara adil dan saksama. Barulah ini semangat muafakat dan setiakawan, kerana orang lain akan setia dalam persahabatan dengan mereka, sedangkan mereka tidak pernah setia dalam berkawan.
Benarlah kata orang, politik bukan soal kejujuran dan ketulusan. Politik adalah sejauh mana golongan yang bijak mengambil kesempatan dengan mempergunakan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Konsensus yang mereka tunjangi tersingkap hanya retorik demi meraih sokongan rakyat terbanyak. Ia hanyalah slogan kosong kerana perjuangan hanya berteras nafsu untuk kepentingan peribadi. Awal-awal lagi konsensus yang diperlihatkan hanya menguntungan satu dua orang tertentu dan kelompok tertentu. Hasilnya satu dua hari ini, muncul rasa tidak puas hati di mana-mana yang boleh melahirkan sabotaj dan pengkhianatan. Konsensus mereka umpama sarang labah-labah, sangat rapuh dan hanya bertahan menunggu masa untuk roboh. 
PAS pernah berhadapan dengan suasana sebegitu dan dibuli dengan sedemikian rupa oleh Pakatan Rakyat. Atas jentera PAS, dana dan sokongan, pengaruh, pentas dan strategi PAS mereka bertanding dan menang tetapi di akhirnya PAS juga yang tersingkir dan dipinggirkan. PAS yang perlu beralah ke tepi, sedangkan mereka duduk di tengah-tengah, dijulang dan diangkat sebagai pemimpin besar. PAS umpama anak tiri yang dibuli dan didera, sedangkan mereka yang menumpang kerusi dan rumah yang dibina atas inisiatif PAS. 
Hari ini, parti serpihan PAS yang ditubuhkan atas kekecewaan, PAN merasai apa yang pernah kami lalui dahulu. Tetapi, mereka lupa dan tidak pernah serik ditipu, ditindas dan dijanjikan dengan pelbagai kata-kata manis yang indah di halwa telinga. Mereka seperti terpukau dengan janji setinggi langit dengan pelbagai jawatan penting dan menarik, tetapi yang akhirnya semua kedudukan itu golongan tertentu pula yang boloti. Sejarah bakal mengulangi episod ini, kerana golongan yang dahagakan kuasa dan tamakkan pangkat akan mencetak judul dan kisah yang sama dalam lanskap politik negara. 
Kini hikmahnya PAS keluar dari Pakatan Rakyat semakin terserlah. PAS semakin mantap bersama Gagasan Sejahtera yang lebih mapan, berprinsip dan diterima rakyat. Langkah PAS juga semakin gagah dengan sokongan golongan sivil, NGO dan masyarakat terbanyak. Suara PAS ada di mana-mana, dari mimbar masjid, corong radio, suara hak asasi, nilai kemasyarakatan, perjuangan membela kemanusiaan dan lain-lain yang diwakili oleh rakyat yang dambakan kebenaran dan ketulusan. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Selasa 9 Januari 2018 | 21 Rabiulakhir 1439 – HARAKAHDAILY 9/1/2018
Sumber HD-9-1-2018 











































Bob Lokman Keluar Hospital

Selebriti tersohor yang kini menjadi pendakwah, Bob Lokman telah dibenarkan keluar dari wad, setelah menjalani rawatan selama seminggu.

Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS (LESTARI) Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, Bob Lokman dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah jantung dan paru-paru.
“Bob masuk hospital UITM Sungai Buluh, pukul 11 malam 2hb Januari lalu……ada darah keluar melalui hidung….masalah jantung dan paru-paru,

“alhamdulillah……hari ni dan ‘discharge’ (dibenarkan keluar hospital),” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berdoa agar Bob terus dilimpahkan kesihatan dan dapat terus aktif bersama LESTARI untuk memberikan penerangan kepada masyarakat.

Bob nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman Bob Lokman pernah dikejarkan ke Hospital Taiping, Perak selepas mengadu mengalami sesak nafas pada 6 Disember 2013 ketika sedang makan durian.
Dua bulan kemudian, beliau sekali lagi dikejarkan ke hospital di Sungai Buloh, Selangor selepas mengalami masalah yang sama.

Bob popular menerusi lagu Isabella yang ditulisnya untuk kumpulan Search sekitar tahun 1989.
Pada 19 Februari 2011, Bob telah mengejutkan duania artis tanah air, apabila menyerahkan borang menjadi ahli PAS.

Borang keahliannya telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Menteri Besar Kedah, Almarhum Datuk Seri Azizan Razak pada majlis Himpunan 30,000 Pemuda PAS di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Sumber BO - 8-1-2018






















































































Mahathir keliru antara takfiri dengan batas iman dan kufur

MUTAKHIR ini bahang serangan terhadap PAS dengan menggunakan tuduhan takfiri membahang kembali. Dalangnya Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri yang telah memerintah negara ini selama 22 tahun, tujuannya jelas supaya rakyat membenci dan mengucilkan PAS di persada politik tanah air. Mahathir tetap Mahathir, semenjak dekad 80an tidak kepalang kebenciannya kepada PAS dan pendokong sehingga pelbagai undang-undang draconian dihalakan kepada PAS. Dr Mahathir di zamannya telah menggunakan media perdana untuk menyerang PAS melalui isu ini, pelbagai rekayasa termasuk isu solat dua imam dimainkan oleh media perdana untuk memburukkan PAS. 
Isu ini dikitar semula terutama menyalahkan "Amanat Haji Hadi" dan kelihatan Mahathir tidak lelah untuk menyerang PAS melalui isu ini. 
Apabila PAS dipimpin oleh ulama haraki dalam dekad 80-an, maka pengajian yang berteraskan ilmu akidah menjadi salah satu paten dalam majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS, juga institusi seperti masjid dan surau. Pengajian akidah akan membenihkan ahli yang faham akan konsisten dengan perjuangan Islam. Namun ada sisi lain yang terserlah apabila pengajian akidah menggerakkan kesedaran secara besar-besaran tentang politik berteraskan akidah terutama yang membatalkan syahadah. 
Pada tahun-tahun 80-an pula kesan pengajian ini ialah isu takfir di dalam masyarakat terutama di negeri-negeri yang mempunyai pengaruh PAS yang kuat seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. 
Fenomena ini juga dikesan pernah berlaku di Mesir pada tahun 70-an sehingga menimbulkan jamaah Takfir Wal Hijrah yang dipimpin oleh Mustafa Shukri. Menurut Dato Asri (1993), PAS sendiri tidak pernah mengambil sebarang ketetapan atau keputusan mana-mana mesyuarat pun, baik di peringkat cawangan. Badan yang berhak untuk memutuskan dalam hal ini ialah Dewan Ulamak, sedangkan Dewan Ulamak tidak pernah membuat keputusan sama ada dengan bertulis atau dengan lisan. 
Isu ini juga telah digunakan sebagai senjata politik UMNO untuk memencilkan PAS daripada masyarakat umum. UMNO mempunyai niat terselindung untuk menuduh PAS menyebarkan fahaman ini dan di sisi lain gerakan Islam dituduh sebagai gerakan neo-Khawarij, inilah juga yang terjadi di Libya, Algeria, Mesir, Yaman dan sebagainya. Khawarij adalah firqah akidah, pelabelan ini akan memencilkan sesuatu kelompok daripada masyarakat yang lain.
Di tanah air kita, isu perpecahan akibat takfir dikesan pada tahun 1960-an apabila isu politik diganding dengan isu akidah tetapi ia tidaklah separah dekad 1980-an, kerana UMNO mempolitikkan isu dengan semaksimum mungkin bagi mewajahhitamkan PAS. Isu politik dan akidah agak serius apabila terbitnya kitab "Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah" karangan Sheikh Abdul Kadir Al-Mandili di Mekah. Beliau adalah tokoh ulama yang mengajar di Masjidil Haram yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS di Mekah. 
Menurut seorang tokoh agama UMNO iaitu Dato' Nakhaie Haji Ahmad (2002), apabila berlakunya kesedaran di negara ini sekitar tahun 70-an di mana golongan terpelajar mendapat percikannya, fahaman-fahaman takfir ini mendapat ilham baru daripada karangan al-Maududi dan Sayyid Qutb. Meskipun karangan mereka lebih banyak menjelaskan tentang persoalan prinsip mengenai pemerintahan tetapi penerapan prinsip itu di dalam menjelaskan isu-isu politik, menimbulkan banyak salah faham sehingga mengakibatkan berlakunya kegiatan takfir. Pandangan Nakhaie ini juga dikongsi bersama oleh intelektual proksi UMNO di menara gading dengan nada dan lirik yang sama. 
Kerajaan BN tidak bertindak dengan hujah tetapi menggunakan ISA untuk berhadapan dengan pimpinan PAS dalam isu ini. Gejala takfir di Besut, isu ini cuba dibendung oleh kerajaan dengan menangkap pemimpin PAS Besut seperti Ustaz Mohammad@Stimat Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di bawah Enakmen Kediaman Terhad Seksyen 2 (Abdul Latif juga telah meninggalkan PAS semasa krisis Besut dan kini menyertai PAS kembali). Ustaz Abdul Latif dalam pertemuan peribadi dengan penulis pada tahun 1994 menegaskan beliau hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat bukan mengkafir pengikut UMNO. Beliau mengajar secara berkitab dan tidak ada ulama UMNO yang berani menyanggah dengan hujah apa yang disebut dengan nas al-Quran dan al-Hadis junjungan.
Tuduh-menuduh antara PAS-UMNO, siapa yang mencetuskan fenomena takfir hampir menyeret keduanya ke meja debat terbuka, untuk rakyat menilai isu ini dengan terbuka. Pimpinan PAS telah bersedia dengan apa tajuk sekalipun. Sebelum debat ini dijadualkan berlangsung ada wakil NGO dan tokoh umat Islam meminta supaya debat itu tidak diadakan, sebaliknya berunding. Antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim (UIA), wakil ABIM dan sebagainya. 
Debat bertajuk "PAS mengkafirkan UMNO" yang dicadangkan pada 11 November 1984 telah disensasikan dan menjadi buah mulut rakyat negara ini. Namun sebelum berlangsung ianya dibatalkan dengan campur tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pihak PAS berpandangan pembatalan debat ini satu bukti yang ampuh UMNO takut berhadapan dengan PAS dalam isu ini yang dimanipulasi dengan gaya paling hodoh oleh jentera UMNO untuk masyarakat membenci PAS. 
Menurut Tuan Guru Haji Hadi Awang, isu takfir yang dimainkan oleh UMNO terhadap PAS semakin reda, masyarakat mula menghargai menghargai ikrar syahadah mereka yang tidak boleh dipermainkan sesuka hati kerana syahadah boleh terbatal sama ada dengan iktikad, lisan atau perbuatan. Ucapan menghina Islam dan syariatnya semakin sirna apabila masyarakat difahamkan dengan ilmu akidah. – HARAKAHDAILY 7/1/2018 
Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Sumber HD-7-1-2017 












































Pendidikan rendah berorientasikan Islam: SRITI jadi produk hebat

SESI baru persekolahan 2018 kini muncul dengan kesuraman ekonomi negara dan pelbagai masalah yang menyelimuti sosio politik tanah air ini. Apa sahaja isu yang melanda negara, namun pendidikan adalah wahana penting untuk menjadi agen perubahan dan agen transformasi sosial. Pendidikanlah yang akan membentuk karektor sesebuah bangsa dan negara. 
Kesilapan dalam sektor pendidikan akan menjadikan bangsa dan negara menerima implikasi jangka panjang yang fatal. Ibu bapa yang mencari sistem pendidikan alternatif telah memilih SRITI, yang merupakan kesinambungan daripada pendidikan prasekolah PASTI yang sangat cemerlang mendidik pelajar. 
PAS telah melangkah setapak lagi dalam menggerakkan institusi pendidikan apabila jentera partinya telah menubuhkan Sekolah Rendah Islam (SRI). Kesedaran untuk menubuhkan sekolah-sekolah rendah Islam ini adalah kerana permintaan ibu bapa untuk menampung keperluan pendidikan anak-anak selepas melalui pendidikan pra sekolah di PASTI. Walau bagaimanapun tidak semua pelajar PASTI meneruskan pendidikan di SRI kerana faktor keterbatasan peluang dan juga keinginan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah kerajaan. 
PAS juga disaingi oleh beberapa pertubuhan Islam lain di negara ini, yang turut menubuhkan Sekolah Rendah Islam bagi menampung keperluan pendidikan Islam di negara ini dan juga dengan matlamat menyemai kecintaan kepada Islam semenjak usia yang awal. Begitu juga Sekolah-sekolah Rendah Islam ini turut ditubuhkan oleh ahli-ahli PAS di seluruh negara. 
Menurut Ustaz Fauzi Husain, penubuhan Sekolah Rendah Islam seperti yang diwujudkan di Kedah mempunyai pertalian dengan kewujudan PASTI, contohnya penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum yang diinspirasikan daripada nama Darul Ulum di Mekah. Penubuhan sekolah-sekolah ini juga berkait rapat dengan usul-usul muktamar Dewan Pemuda PAS yang mendesak kepimpinan PAS untuk mewujudkan sekolah-sekolah mereka sendiri sebagai alternatif kepada sekolah aliran kebangsaan yang tidak menekankan pendidikan Islam dan syakhsiah pelajar. 
PAS di semua peringkat telah berusaha untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam bagi mengembangkan sistem pendidikan Islam di negara ini dan mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli mereka sendiri. PAS juga telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS bagi menyelaraskan kurikulum dan pemantauan yang berterusan terhadap sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh PAS di semua peringkat atau ahli mereka secara individu. 
Di antara Sekolah Rendah Islam yang ditubuhkan oleh PAS ialah Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Sekolah Rendah Madinatul Ilmi (Kelantan), Sekolah Rendah Islam Al-Ummah (Wilayah Persekutuan), Sekolah Rendah Islam at-Taqwa, Sekolah Rendah Islam al-Islah, Sekolah Rendah Islam Ehsan, Sekolah Rendah Islam Darul Mujahidin, Sekolah Rendah Islam Darul Bayan dan sebagainya. 
Menurut Dr Abu Bakar Abdullah, Dewan Ulamak PAS Terengganu telah menyelaraskan sekolah rendah Islam milik PAS Terengganu yang dikenali sebagai ‘DAR’. Setiap PAS kawasan di Terengganu diarahkan untuk membangunkan sekolah rendah Islam di kawasan mereka sebagai kesinambungan kepada pendidikan prasekolah milik PAS yang telah aktif berfungsi di negeri tersebut. 
Di antara sekolah rendah terawal yang didirikan oleh PAS ialah Madrasah Islahiah di Kampung Memali, Baling, Kedah. Institusi pendidikan Islam ini telah diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Mahmud yang juga dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau dan rakan-rakannya yang terdiri daripada aktivis pemuda PAS telah membangunkan sebuah pusat pendidikan umum untuk masyarakat dewasa dan pendidikan formal untuk kanak-kanak. Pendidikan prasekolah yang ditubuhkan, manakala pendidikan rendah pula bermula pada tahun 1985. 
Madrasah Islahiah ini telah menjadi pusat kegiatan PAS di Baling pada tahun 1980-an dan namanya menjadi masyhur selepas berlaku tragedi berdarah di Memali pada 19 November tahun 1985. Sekolah ini akhirnya berkembang menjadi Sekolah Menengah Islam dan telah mengeluarkan ribuan pelajar, ramai pelajarnya telah melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti di Pakistan dan Mesir. 
Di Pulau Pinang, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang telah meluluskan usul untuk menubuhkan sebuah Sekolah Rendah Islam bagi menampung anak-anak ahli PAS yang tamat belajar di PASTI. Usaha-usaha untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum telah dibuat dengan bersungguh-sungguh termasuk kempen kepada ahli-ahli PAS di Pulau Pinang pada tahun 2004. 
Pimpinan Dewan Pemuda PAS yang dipimpin oleh Dato’ Abu Bakar Chik juga telah menguasahakan penubuhan Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP), iaitu sebuah sekolah rendah yang bersifat cemerlang. Penubuhan SRIP ini telah diusahakan dengan menggunakan sebuah syarikat iaitu Ilmu, Iman, Amal Sdn. Bhd. SRIP yang pertama telah ditubuhkan di Melawati, seterusnya berkembang ke Shah Alam, Kuala Terengganu. 
Kepimpinan pemuda PAS Malaysia di bawah Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta penggantinya Ustaz Khalil Abdul Hadi telah menggerakkan dengan lebih terarah perkembangan sekolah rendah Islam di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia, iaitu dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah. Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan sistem serta merangka sistem pengajian dan menggerakkan pengoperasian setiap SRITI di seluruh negara, di mana pada awal Januari ini sebanyak 102 buah SRITI ditubuhkan di seluruh negara. PAS mempunyai sejarah yang cemerlang dalam menggerakkan pendidikan di negara ini dengan mempunyai jaringan daripada prasekolah sehinggalah kolej universiti. Semoga harakatul ummah ini terus menjadi pilihan kepada rakyat negara ini mendapatkan perkhidmatan pendidikan berorientasikan Islam dan terus memacu kegemilangan pendidikan alternatif buat rakyat dalam carut marut kehidupan berbahana sekular pragmatis. – HARAKAHDAILY 3/1/2018 
Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat
Sumber HD - 3-1-2018 

Mahathir jangan berlepas diri daripada pembantaian Memali

MAHATHIR tetap Mahathir, jika anda mengkaji dengan mendalam biografinya dengan objektif, maka anda melihat tampang hitam dan putih ini bukan terlalu sukar untuk dibedakan. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri negara ini, dalam kepesatan pembangunan yang berlaku tetapi rejimnya menyubur rasa takut rakyat untuk bersuara melalui undang-undang drakonian. Penyalahgunaan kuasa dengan timbunan skandal besar bersalut KKN negara dibungkus rapi dengan program dan slogan muluk-muluk seperti Penerapan Nilai-Nilai Islam, slogan "Bersih,cekap dan amanah", kepimpinan melalui teladan dan pelbagai slogan yang meloyakan. Sangat paradoks!. 
Beliau tetap beliau, tiada yang berubah walau disintuk limau oleh penyokong PH dan anak muda kail sejengkal yang tidak merasai keperihan di zaman Dr Mahathir. Bagi saya, dia adalah liabiliti dalam gerakan oposisi untuk menjatuhkan BN. Dilihat tidak harmoni dengan istana, pihak keselamatan negara, agamawan apabila memimpin oposisi, bahkan di zaman beliau di merak kuasa, beliau bermusuh dengan semua Timbalan Perdana Menteri dan pantang ditegur!

Kelmarin, onarnya terserlah lagi dengan tuduhan tajam terhadap PAS dan pihak yang tidak menyokong beliau, ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center, Shah Alam. Muntahan maafnya di perhimpunan kelmarin hanya sekadar strategi politik dan opera sebuah kegilaan kuasa yang tak pernah diredam. Dalam maaf itu, kesumat dendam dihamburkan tanpa segan silu dengan fitnah:
(1) Memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir”. 
(2) Memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan”. 
(3) Memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir”. 
(4) Memfitnah mufti-mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali. 
Pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan Pemuda PAS di bawah ISA, antaranya Ustaz Abu bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO Kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah di mana sahaja beliau dijemput. 
Dalam perhimpunan agung UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan raya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda . 
Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz Ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada. 
Dr Mahathir dalam usaha mensucikan diri, sekali lagi menyalahkan apa yang dinamakan 'Amanat Haji Hadi' sebagai pemicu kepada tragedi pembantaian kejam 19 November 1985, bahkan diseret sekali pihak mufti-mufti untuk memikul beban kesalahan beliau. Suruhanjaya Siasatan Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama-nama mangsa tragedi berdarah ini. Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat. Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan berulang lagi di tanah leluhur ini. – HARAKAHDAILY 31/12/2017 
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Sumber HD - 31-12-2017 





























































































Sheikh Abdul Hamid Kisyk: Singa Mimbar yang mencerah umat

SEJARAH Islam bukan sahaja menyaksikan anak muda sebagai pemberani dan menggugah rejim dan kezaliman, namun tak kurang tokoh kurang upaya yang sangat hebat menyemangati ummah untuk kembali kepada Islam dan syariahnya. Dalam dunia moden ini dua tokoh buta yang sangat berpengaruh dalam perjuangan Islam ialah Sheikh Dr Umar Abdul Rahman dan Sheikh Abdul Hamid Kisyk. Kedua-duanya pemberani dan pemidato yang hebat sehingga dihumban dalam penjara oleh rejim pemerintah. 
Abdul Hamid Kisyk adalah khatib yang menoreh sejarah, kaset-kaset khutbahnya bertebaran di negara Arab saat kaset adalah medium penting dalam penyebaran dakwah dalam dekad 70-an dan 80-an. Mimbar jumaat adalah wahana dakwah yang penting yang boleh membangkitkan semangat juang umat Islam sebagaimana gaya dakwah Nabi SAW berkhutbah. Khutbah sewajarnya membicarakan isu-isu penting umat Islam dan membuka dimensi berfikir umat Islam akan cabaran dan tentangan di sepanjang zaman. 
Menginsafi kepentingan medium dakwah inilah maka Sheikh Abdul Hamid memanfaatkan mimbar jumaat sebaik mungkin sehingga air mata jemaah mengalir berlinangan. Siapakan sang daie dengan gaya berkacamata hitam dengan suara khas yang memukau ini? 
Sheikh Abdul Hamid Kisyk dilahirkan pada 10 Mac 1933M bersamaan 14 Zulkaedah 1315H di daerah Shubra Kheit dalam wilayah al-Buhaira, Mesir dari keluarga yang menitik beratkan pendidikan agama. 
Menghafaz al-Quran seluruhnya ketika mencecah usia sepuluh tahun ketika belajar di Maahad Agama di Iskandariah dengan menjadi pelajar paling cemerlang kerana berjaya mendapat 100 peratus markah dalam semua mata pelajaran. Di peringkat menengah, beliau dihantar oleh bapanya untuk belajar di Maahad Al-Azhar di daerahnya dan menjadi pelajar terbaik peringkat seluruh Mesir kerana memperoleh markah tinggi. 
Pada peringkat pengajian tinggi pula, menyambung pelajaran dalam Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar, dan juga berjaya menjadi pelajar pada kedudukan pertama selama empat tahun berturut-turut, beliau diberi kepercayaan untuk menyampaikan syarahan bagi subjek nahu dan sorof sambil dipantau oleh gurunya ketika di fakulti berkenaan, ini kerana kemampuannya yang dianggap luar biasa oleh sebahagian besar guru-gurunya. 
Setelah tamat belajar pada 1957, beliau dilantik oleh pihak universiti menjadi Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin walaupun masih belum memiliki ijazah peringkat PhD yang merupakan syarat bagi seseorang untuk dilantik ke jawatan itu. Namun beliau tidak selesa dengan jawatan tersebut apatah lagi untuk mengajar yang terikat dengan mata pelajaran. Hatinya sentiasa terpaut dengan mimbar untuk menyampaikan khutbah tanpa sekatan dan sukatan yang beliau telah biasakan diri sejak berumur 12 tahun. Pada 1961, Al-Azhar telah menganugerahkan tokoh ilmuannya pada Majlis Sambutan Hari Pendidik. 
Pengalaman berkhutbah tanpa teks menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah apabila terdapat para khatib kampung yang tidak dapat datang menyampaikan khutbah, maka setiap mata para jemaah dikerlingkan ke arahnya untuk mengganti tempat khatib. Dengan gaya yang khutbahnya yang memukau, tambahan pula ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi sentiasa basah di bibirnya. Justeru tidak hairan jika khutbah yang disampaikan dirakam oleh jemaah hingga mencecah lebih dua ribu tajuk yang berbeza. 
Walaupun buta, tetapi hati Sheikh tidak buta seperti sangkaan banyak pihak terutama pihak pemerintah Mesir yang menjalankan sistem pemerintahan sekular, justeru ketidak-Islaman sistem tersebut membiarkan ramai golongan ulama termasuk Sheikh Kisyk mengkritik dengan lancang terutama di atas mimbar. 
Pada 1965, buat pertama kali, beliau ditangkap atas alasan mengkritik kerajaan dan dimasukkan dalam penjara Abu Za'bal, Qal'ah dan penjara perang selama dua tahun setengah, ketika itu Almarhum Sheikh menjawat jawatan Imam di Masjid 'Ain Hayah dan dibebaskan kemudian tanpa jaminan dan syarat. 
Pada 1972, almarhum memulakan rentak baru dalam menarik pandangan umum mengenai kerajaan yang banyak berbohong kepada rakyat yang kononnya mereka lebih Islamik berbanding ulama yang hanya pandai mengkritik, tetapi bagi Sheikh Kisyk, mengkritik bagi membetulkan kesalahan pemerintah dan kerajaan adalah fardhu ain yang mesti dijalankan tanpa ada rasa takut pada manusia. 
Sheikh Kisyk adalah antara para ulama yang tegas menyatakan kekesalan terhadap perjanjian 'Camp David' yang dimeterai antara Presiden Mesir ketika itu, Presiden Anwar Saddat dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Mesir khususnya, kerana ia berpihak kepada Israel yang sememangnya merampas hak rakyat Palestin yang wajib diperjuangkan. 
Almarhum sekali lagi ditangkap dan dipenjarakan selama setahun setengah bersama para aktivis Islam yang tidak setuju dengan perjanjian yang dimeterai, selepas keluar daripada penjara pada 1981, secara automatik almarhum ditegah daripada menjadi Imam masjid dan dilarang sama sekali daripada menyampaikan apa sahaja bentuk kuliah agama. 
Sosok yang sangat inspiratif ini berhujung nyawa dengan detik yang paling indah, beliau meninggal dalam usia 63 tahun iaitu saat sujud dalam solat sunat. Itulah doa bagi setiap muslim agar mendapat husnul khatimah dan itulah doa yang sentiasa mekar pada mulut daie sejuta ummat ini. 6 Disember tahun 1996, rohnya berkelana ke alam abadi setelah puluhan tahun berjuang sehingga beberapa kali mendekam dipenjara rejim Mesir. Sang daie yang menjadi fenomena negara-negara Arab meliputi tanah Afrika Utara, kaset-kasetnya menjadi halwa telinga dan menggugah semangat peserta-peserta kebangkitan Islam dalam dekad 1970-an dan 80-an. – HARAKAHDAILY 28/12/2017 
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Sumber HD - 28-12-2017 















































12 Tahun Tragedi Tsunami Acheh

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

“Allahurabbi…dasyatnya Tsunami…ini kuasa Allah” berdecak Haji Zulwahijan spontan apabila pesawat kami berlegar di ruang udara Acheh. Ada bongkah kesayuan meragut hati kami.

Ketika melihat dengan kesayuan pemandangan Acheh Jaya yang sebahagiannya seperti padang jarak padang tekukur daripada helikopter NURI milik TUDM dalam perjalanan dari Banda Acheh ke Meulaboh yang terputus jalan darat, hati kecil saya diserkap dengan pertanyaan, bagaimanakah nasib umat Islam Acheh Jaya dan Meulaboh yang kini tinggal di khemah-khemah pengunsian selepas diterjah oleh ombak Tsunami. Persoalan yang muncul dalam benak saya ialah tentang Aqidah mereka terutama kerana selepas petaka Tsunami, NGO-NGO jaringan Kristian seolah berpesta kebajikan, menebarkan keprihatinan terhadap mangsa Tsunami terutama anak-anak yatim dan pengunsi-pengunsi yang sedang didera dengan trauma Tsunami dan kejerihan hidup setelah semua yang dimiliki disentap dalam sekelip mata. Tidak menjadi rahsia lagi dikalangan petugas dan pekerja kemanusian Gerakan Islam berebutan anak-anak yatim dengan gerakan Kristian yang datang dari dalam dan luar negeri.

“Kristian membantu dengan bersungguh manakala umat Islam kurang peduli…siapa yang perlu kita salahkan”ulang Haji Johari pula.saya sudah tak mampu berkata-kata.terpanar dalam kesedihan yang sarat.

Pengalaman menjadi sukarelawan di Acheh dengan misi utama membantu penempatan anak-anak yatim Acheh mengesahkan jawapan kepada saya bahawa misionari Kristian telah mendapat ‘syurga’ baru bagi menjaring ahli-ahli kerana sebelum ini serambi Mekah ini tertutup rapat bagu mereka.

Semenjak dari KLIA kami berpapasan dengan NGO-NGO Kristian dan apabila tiba di Medan pula bertembung dengan kumpulan-kumpulan Kristian dari Perancis dan Jerman yang turut hadir.

Kehadiran mereka cukup terkesan di kawasan-kawasan pendalaman yang tidak mampu dijangkaui oleh petugas-petugas Islam malah dibeberapa tempat tertentu petugas Islam seperti yang diceritakan oleh sahabat-sahabat PKS terpaksa ‘berkasar’ dengan kelompok in yang kelihatan cukup agresif menyantuni anak-anak yatim dan gelandangan yang serba kepayahan.

Terjahan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 12 tahun lepas telah memberikan kesan yang besar kepada Acheh dan Sumatera Utara berbanding dengan wilayah yang lain. Dianggarkan korban seramai 240 000 orang manakala ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Tragedi ini juga telah menyebabkan 35 000 lebih kanak-kanak menjadi yatim dan sekarang ini mendiami khemah-khemah pengunsian dan juga dipanti anak-anak yatim. Isu anak yatim ini menarik perhatian dunia apabila dikhabarkan seramai 300 anak-anak yatim Acheh telah dilarikan oleh pertubuhan Kristian World Help yang berpusat di Virginia, Amerika Syarikat. Isu ini dengan pantas ditanggapi oleh pelbagai gerakan Islam di Indonesia seperti Partai Keadilan Sejahtera, Majlis Ulama Indonesia, Majlis Mujahiddin Indonesia dan sebagainya, malah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhyono telah memberikan amaran bahawa tidak sesiapapun orang perseorangan ataupun organisasi yang boleh membawa keluar anak-anak yatim Acheh keluar dari Indonesia.

Kebimbangan tentang nasib aqidah anak yatim telah dipaparkan dengan meluas oleh media massa bernuansa Islam di Indonesia dan juga menjadi produk pertuturan masyarakat daripada anjung masjid sehinggalah di gerai-gerai makan. Kebimbangan umat Islam mempunyai asas kerana pertubuhan-pertubuhan Kristian yang memakai jenama pertubuhan kemanusiaan seperti Yayasan Pelita Kasih, Yayasan Obor Bakti, Yayasan Berkat Indonesia, Global Relief, USAid, World Vision dan pelbagai nama lagi begitu agresif menyantuni anak-anak yatim dan gelandangan.

Gelojak kebimbangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara ini yang mempunyai ikatan persaudaraan Islam dan rumpun bangsa yang sama. Maka program Muslim Care, misi menyelamatkan anak-anak yatim Acheh telah digerakkan dengan bersungguh-sungguh di bawah payung Yayasan Amal Malaysia. Kutipan dana telah digerakkan secara besar-besaran di Lembah Klang dengan matlamat utama untuk membina bangunan kekal di Banda Acheh dan Meulaboh.

Setelah dana yang dianggarkan wajar untuk membina sebuah bangunan tetap mesyuarat koordinasi telah dilaksanakan di Kuala Lumpur dengan wakil PKS Indonesia iaitu Ustaz Khairul Rahimi (PKS dan Yayasan Amal Malaysia bernaung dibawah Komiti Kemanusiaan Indonesia). Setelah urusan awal berjaya selesaikan maka rombongan Muslim Care telah bertolak ke Medan pada 9 Februari dan di Medan disambut oleh Pak Mirwan, Pengerusi PKS Medan.

Rombongan kami terus bertolak ke Banda Acheh dengan pesawat GARUDA dan sebelum mendarat di Bandara Sultan Iskandar Muda Acheh, pesawat yang dinaiki telah membuat beberapa kali pusingan di atas Banda Acheh. Kami telah melihat dengan penuh keinsafan kesan yang hebat akibat terjahan Tsunami yang melanda Acheh. Di Banda Acheh, kami ditempatkan di rumah penginapan PKKU (Pos Keadilan Peduli Umat). Pada sebelah petangnya, lawatan telah diadakan ke Lampua untuk menyaksikan kesan kemusnahan yang maha dahsyat. Kami juga melawat sebuah masjid yang bersejarah iaitu Masjid Baitur Rahim yang merupakan kembar kepada Masjid Baitur Rahman, yang dibina selepas Masjid Baitur Rahman dibakar oleh Belanda.

Pulang daripada misi bantuan Acheh dengan sejuta pengalaman baru, kami merasakan unit Muslim Care di bawah lujnah kebajikan wajib diangkat menjadi sebuah gerakan swadaya yang lebih terarah fokusnya. Di samping mempunyai struktur mandiri yang boleh menfokuskan gerakan kebajikan dalam dan luar negara. Mempunyai akaun bank yang akan memudahkan pelbagai misi digerakkan dan memudahkan para penyumbang untuk berkongsi pahala.Tuhan melorongkan kemudahan kepada kami untuk membantu masyarakat, menarik rasa percaya rakyat negara ini untuk bermandi keringat dan membantu ummah.

Pelbagai misi berjaya digalang, antaranya misi gempa bumi di Kashmir,misi di Pakistan, membantu mangsa tsunami Pagandaran, Cipatujah, menyantuni mangsa perang Lubnan, kemboja, Vietnam, Gempa bumi Bantul Indonesia, Bangladesh, Assam India, berterusan membantu umat Islam Palestin, Syria dan juga membantu masjid di Bosnia serta misi membantu pelarian Chenchen.

Muslim Care Malaysia terlibat dalam penubuhan masjid di Toyama Jepun,menubuhkan Pusat Islam di Warsaw, membina masjid dan kilang roti di Gaza,mempunyai lapan buah sekolah pelarian Syria, membina masjid dan sekolah agama di Combodia dan yang terkini membina masjid dan sekolah pelarian Rohingya di Khutupalong Bangladesh.

Acheh pasca tsunami pula, telah berubah perlahan-lahan menuju kearah pelaksanaan Syariah kerana inilah karektor tanah rencong ini. Acheh adalah kuasa Islam dan pusat dakwah pada abad ke 16 masihi. Kini pelaksanaan Syariah telah mengembalikan kemuliaan Serambi Mekah ini, sekolah-sekolah agama muncul seperti cendawan selepas hujan. Sektor pelancongan juga menggamit kedatangan pelancong luar ke wilayah istimewa ini. Tsunami merubah lanskap sosio politik Acheh, sehingga dibanggakan oleh umat Islam Nusantara ini

Sumber BO - 26-12-2017

Cikgu Azizan Ikon Pendidik Penyelamat Bangsa

Nama seorang guru, Azizan Manap tiba-tiba menjadi suatu fenomena yang hangat dalam iklim negara. Hari ini golongan pendidik berhimpun di Mahkamah Majistret Seremban bagi menyatakan solidariti atasnya yang didakwa di mahkamah itu. Beliau umpama wira bagi kumpulan pendidik, kerana berani menanggung risiko, dibenci, ditohmah dan dihina hanya kerana memperjuangkan nasib anak bangsanya sendiri.

2. Kesnya kerana beliau menghukum seorang pelajar yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan seperti menghidu gam, membuli, ponteng sekolah dan memukul murid lain. Atas ketegasan beliau menghukum dengan merotan pelajarnya itu, beliau pula dihukum. Mungkin dunia sudah menemui ke pengakhirannya, guru yang tegas dan bertindak betul terhadap pelajar yang bermasalah pula diheret ke mahkamah dan mahu dianggap bersalah.

3. Bagi para pelajar khususnya yang sering melakukan kesalahan, watak seperti Cikgu Azizan adalah mala petaka yang ditakuti dan dibenci. Begitu juga dengan ibu bapa yang sering memanjakan anak-anak, sehingga sanggup memberi apa sahaja keinginan anak tanpa sedar baik atau buruk tindakan mereka itu. Mereka pasti menganggap insan seperti Cikgu Azizan adalah musuh yang perlu dibasmi. Namun bagi masyarakat terutama golongan pendidik, Cikgu Azizan adalah hero sebenar kerana berani dan tegas demi menyelamatkan masa depan generasi muda.

4. Betapa ramai guru yang tidak sanggup mengambil langkah serupa kerana pelbagai faktor, tekanan ibu bapa, ancaman pelajar-pelajar sendiri, tiada sokongan masyarakat, tiada bantuan pihak berkuasa dan lain-lain lagi. Malah, ramai didapati guru yang akhirnya dipukul pelajar, dihina, disindir, ditukar tempat kerja, tidak kurang yang dihukum serta didakwa dengan pelbagai kesalahan. Kesannya, guru-guru mengambil sikap membiarkan segala kebejatan berlaku, asalkan poket mereka tidak kosong dan kedudukan mereka selamat.

5. Cikgu Azizan mewakili keluhan para guru di sekolah, yang berkubang keringat, air mata dan darah demi mendidik masyarakat. Jasa dan pengorbanan mereka dibayar dengan pelbagai kata-kata pedas yang menguris jiwa. Sikap masyarakat yang mudah menghukum, ditambah dengan bebanan tugas yang tidak sewajarnya umpama mereka pekerja kelas bawahan dalam profesion mereka.

6. Ketika pelajar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, nama sekolah dan pelajar-pelajar terbabit dijulang. Puji-pujian melangit tinggi serta pelbagai penghargaan diberikan. Hanya sedikit guru diberikan penghargaan. Lainnya, guru dilupakan. tetapi ketika pelajar menghadapi kemerosotan, nama guru dan sekolah pula dibuang. Guru mudah dituduh sebagai tidak acuh dalam pendidikan, mengajar sambil lewa, tidak bersemangat, tidak profesional dan lain-lain. Inilah nasib guru dari dulu sampai sekarang.

7. Jika Cikgu Azizan tidak tampil dalam isu ini, pastinya saban tahun kejadian jenayah, ponteng sekolah, maksiat dan zina, buli, merokok dan dadah semakin berleluasa. Akhirnya masyarakat menuding jari kepada pesalah utama adalah guru di sekolah. Malah, ibu bapa yang sepatutnya menjadi guru pertama di rumah turut mengambil peranan ‘membelasah’ guru di sekolah. Kegagalan mereka mendidik anak di rumah, menjadi sebab untuk menjadikan guru dan sekolah sebagai sasaran utama. Tidak hairan ibu bapa yang suka menyerang sekolah, tidak langsung mempercayai kesalahan anak-anak mereka kerana tidak pernah mengetahui keterlibatan aktiviti anak-anak mereka di luar rumah.

8. Hasil sokongan dan tekanan masyarakat, para pendidik, dan mereka yang bersimpati, hari ini terbukti tindakan Cikgu Azizan adalah betul. Mahkamah membebaskan beliau dari tuduhan yang didakwa ke atasnya. Mungkin ini trend terbaru dalam negara ini, dengan tekanan, solidariti dan sokongan netizen serta masyarakat seluruhnya, golongan tertentu mendengar dan mengendurkan tindakannya. Mungkin juga kerana musim PRU ke 14 akan tiba, maka tiba-tiba suara rakyat didengari.

9. Kita semua mengetahui, hasil didikan keras dan tegas ibu bapa dan guru, selain kasih sayang yang mereka curahkan, kita menjadi manusia berjaya seperti sekarang. Dengan libasan rotan, leteren panjang, sergahan, dan kemarahan guru-guru di sekolah dan ibu bapa di rumah menjadikan kita kekal ingat sepanjang hayat. Bahkan, hari ini kita berbangga dengan kesan birat rotan di punggung, kaki dan tangan yang menjadikan insan berguna buat masyarakat dan negara. Nasihat yang sama perlu disampaikan kepada generasi muda sekarang, agar tidak leka dengan belaian manja sepanjang masa!

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli jawatankuasa PAS Pusat

Sumber BO - 19-12-2017

















































Batal IMAMS: Kementerian tidak buat kajian sebelum umum dilaksana

TINDAKAN Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang memperkenalkan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dan kemudiannya dibatalkan oleh kerajaan, menunjukkan bahawa kementerian terbabit tidak membuat kajian lebih terperinci sebelum sesuatu dasar dilaksanakan. Adalah sesuatu yang pelik apabila pelaksanaan sesuatu polisi besar kementerian hanya bertahan untuk satu hari, kemudiannya dibatalkan apabila kerajaan sendiri yang mengumumkan pembatalannya. 
IMAMS secara tiba-tiba menjadi polemik yang menggemparkan tanah air seketika kerana terdapat banyak kepincangan di sebalik penubuhannya. Seakan-akan IMAMS adalah produk kementerian yang dihasilkan dalam keadaan tergesa-gesa sehingga akhirnya terpaksa dibatalkan. Mungkin juga kerana kecuaian kementerian pelancongan ataupun sandiwara menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 dengan watak aksi ‘hero penyelamat negara’ muncul kembali di sebalik isu ini. 
Apa yang menjengkelkan, Timbalan Menteri Pelancongan menyatakan tidak mengetahui bahawa IMAMS dikendalikan oleh syarikat bukan Islam. Bagaimana seorang pemimpin bertaraf timbalan menteri tidak mengetahui latar belakang dan kenal pengendali sistem di bawah kementeriannya. Ini menunjukkan bahawa beliau hanya seperti boneka yang dipergunakan oleh segelintir pihak bagi kepentingan mereka. 
Sepatutnya sebelum IMAMS diluluskan, kementerian membuat ‘homework’ yang begitu lengkap dengan mengkaji setiap sudut kebaikan dan keburukan. Urusan ibadah haji dan umrah adalah urusan umat Islam yang perlu dikendalikan dengan begitu cermat dengan mengambil kira kepentingan umat Islam seluruhnya serta mempermudahkan urusan mereka. Urusan haji dan umrah tidak boleh dipandang sambil lewa dengan menyerahkan pihak tertentu apatah lagi ianya dikendalikan oleh syarikat bukan Islam. 
Selain itu, IMAMS yang menjadi bantahan umat Islam turut mengumumkan akan mengenakan kos tambahan RM90.10 termasuk RM5.10 dikenakan bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Nampaknya kerajaan begitu terdesak sehinggakan dalam urusan ibadah pun kerajaan mengenakan caj kepada rakyat. Dalam serba serbi keperluan rakyat akan dikenakan pelbagai kos tambahan yang membebankan. Bagi kerajaan, alasan paling ampuh adalah kesemua caj yang dikenakan tidak membebankan rakyat, malah akan menguntungkan negara. 
Dalam hal ini, kewujudan sistem Lesen Khas Umrah (LKU) yang dilancarkan Kementerian Pelancongan serta Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) sudah mencukupi dalam usaha membendung penipuan pakej umrah. Penubuhan MKSU pada Ogos 2014 sendiri begitu menyeluruh dengan merangkumi 13 agensi utama termasuklah TH, KPDNKK, PDRM, Syarikat Penerbangan Malaysia, MATTA, JAWHAR dan sebagainya. Dengan banyaknya pihak yang terlibat dalam MKSU secara automatik ia berfungsi dalam memastikan pengendali urusan umrah benar-benar dibuat secara telus. LKU yang ditubuhkan pada bulan Oktober 2017 pula memperkukuh peranan bagi mengelakkan peningkatan kes penipuan umrah ini. Tidak perlu kerajaan menubuhkan banyak agensi, jawatankuasa, sistem dan dasar yang akhirnya tugas dan tanggungjawab saling bertindih antara satu sama lain. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
17 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 17/12/2017
Sumber HD - 117-12-2017 




































































































Hamas: 30 Tahun Mengukuhkan Perjuangan Pembebasan Palestin



















































Hamas Chief Ismail Haniyeh (2nd R) attends a rally marking the 30th anniversary of Hamas' founding, in Gaza City December 14, 2017. REUTERS/Mohammed Salem
Dr Riduan Mohamad Nor

“al Quds ,kami akan datang dengan jutaan syuhada. Al Quds adalah ibukota Palestine. Kami tidak mengiktiraf Israel…tidak mengiktiraf pengistiharan Trumps…biar kepala kami terpisah daripada jasad ,al Quds adalah segala-galanya” jerkah Sheikh Ismail Haniyeh dengan kobaran api semangat perlawanan.

Gaza menggema dengan laungan takbir, sahut menyahut lautan manusia ratusan ribu yang menyambut ulangtahun ke 30 pergerakan HAMAS. Sheikh Ismail Haniyeh memanaskan podium ceramah dengan penuh semangat dan respon bergemuruh daripada khalayak yang hadir. Himpunan ini sangat bersejarah kerana kurang daripada seminggu, Ismail Haniyeh mengumumkan intifada ketiga umat Islam Palestin terhadap penjajah Israel. Gaza diserang oleh tentera zionis dengan tembakan jauh yang juga telah membunuh beberapa orang dan mencederakan ratusan yang lain.

Manakala umat Islam diseluruh dunia telah bangkit menyuarakan bantahan kepada Trump dan Zionis dalam isu al Quds, kecuali umat Islam yang ditindas suara regim negara Teluk.

Kelmarin dahulu, OIC dalam sidang pertemuan di Istanbul atas inisiatif Erdogan telah mengistiharkan al Quds adalah tetap ibunegara bagi Palestin. Bendera Palestin berkibar diseluruh dunia, kebencian kepada Amerika sedang membuncah, dokongan serta doa pada HAMAS diseluruh peta dunia Islam maka tidak pelik sambutan 30 tahun HAMAS sangat signifikan dan memancing pesona masyarakat antarabangsa. Saudi dan sekutunya sejak Jun yang lepas telah mengenakan tekanan dan pengucilan kepada Qatar yang melindungi pemimpin HAMAS serta Ikhwanul Muslimin. Apa yang dilakukan Saudi tidak sedikit pun mengurangkan rasa kasih masyarakat Islam antarabangsa kepada pergerakan paling utama menentang regim zionis ini.

Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an perjuangan menentang penjajahan Israel lebih terarah kepada kelompok Sosialis dan Kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang. Kini sudah tiba masanya mereka kembali kepada perjuangan Islam seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia.

Kembali kepada nuansa perjuangan yang berteraskan kepada Islam, berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, maka pada bulan Disember tahun 1987 Sheikh Ahmad Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendokong Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan Pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau dalam Bahasa Arab disebut Harakat al-Muqawwamat al-Islamiyyah.

Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam dan menentang penjajahan Yahudi di Palestin. Sheikh Ahmad Yasin sendiri dipilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini yang terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.

Citra perjuangan HAMAS dinyatakan di dalam perlembagaannya yang diisytiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah:

1.Dasar dan manhaj HAMAS ialah Islam yang lengkap.

2.HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.

3.Palestin adalah tanah Islam sejak turun temurun hinggalah hari kiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan kepada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun raja dan presiden Negara-negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.

4.Jihad menentang kezaliman Yahudi adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.
5.HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja jalan penyelesaian bagi isu Palestin.

6.Kelompok wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin.
Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanahair mereka.

7.HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga turut menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasir Arafat sebagai ‘sahabat’, tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu.

HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak perjanjian damai sementara antara Israel dan Palestin pada tahun 1993-1994. Mulai tahun 1994 HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel, fenomena ini menjadi igauan paling buruk bagi orang Yahudi. Dalam tahun 1996 sahaja empat serangan bom dalam musim bunga telah diadakan menyebabkan 60 orang penduduk Israel telah terbunuh.

Kebangkitan kedua Palestin selama empat tahun setengah telah menyaksikan seramai 3500 rakyat Palestin terbunuh dan 1000 penduduk Israel terkorban.

Dengan menubuhkan HAMAS, rakyat Palestin yang selama ini tanpa arah yang jelas mencari jalan perjuangan, kini bergabung tenaga melakukan satu kebangkitan menyeluruh atau lebih dikenali sebagai INTIFADHAH.

Peristiwa yang menyebabkan tercetusnya kebangkitan (intifadhah) ini ialah tindakan sebuah lori besar milik Yahudi yang sengaja melanggar dua buah lori kecil milik umat Islam menyebabkan 4 orang terbunuh dan yang lain cedera. Peristiwa ini adalah faktor sementara bukan faktor mutlak, kerana terdapat faktor-faktor lain yang meransang fenomena ini.

Bermulalah intifadhah dan penentangan terbuka rakyat Palestin dengan melontar batu, membakar tayar di jalanan bagi menghalang kenderaan tentera Israel dan melempar Molotov Cocktail ke arah musuh. Rakyat Palestin gagal mendapatkan senjata api kerana sempadan negara ditutup dan dikawal ketat oleh pihak Israel dan Negara-negara Arab yang bersempadan namun gerakan HAMAS berjaya mendapatkannya secara sulit dan menyimpannya dalam gudang khas mereka seperti stor bawah tanah.

Bagi penduduk awam Palestin walaupun tidak memiliki senjata api, mereka keluar ke jalan-jalan raya melontar batu dan melastik pasukan tentera Yahudi. Bagi tentera Yahudi (dalam sejarah Yahudi adalah penakut, suka melakukan secara sembunyi: lihat kisah Rasulullah SAW dalam peristiwa Bani An-Nadhir pada bulan Rabiul Awwal tahun keempat hijrah), walaupun mereka tidak berhadapan dengan senjata api, namun batu-batu itu begitu menggerunkan mereka.

Kebangkitan rakyat Palestin sangat membimbangkan regim Israel. Pada bulan Ogos 1988, tentera Israel menceroboh rumah Sheikh Ahmad Yasin dan melakukan pemeriksaan serta mengugutnya untuk dibuang negeri ke Lubnan bagi mengganggu kebangkitan umat Islam. Namun ugutan itu tidak diendahkan Sheikh Ahmad Yasin dan penyokongnya yang mendambakan mati syahid sebagai citra perjuangan. HAMAS telah meningkatkan operasi membunuh tentera pengganas Israel dengan laungan takbir yang semakin meriah sahut-menyahut di bumi Palestin. Mata-mata Israel dari kalangan bangsa Arab Palestin turut dibunuh oleh pejuang HAMAS yang menganggap mereka sebagai musuh paling merbahaya bagi rakyat Palestin.

HAMAS terus gagah berdada dengan kezaliman regim zionis serta mendapat dokongan kuat ummah.
Pimpinan mereka ramai yang telah menjadi syuhada seperti Sheikh Ahmad Yasin, Solah Syahadah, Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Nizar Abdul Kader Rayyan dan yang lain-lain. Harakah Islam yang berkubu di Gaza ini kini mencapai usia 30 tahun dan mempunyai hubungan akrab dengan seluruh gerakan Islam termasuk PAS. Nuansa perjuangannya jelas, akidah Islam mestilah menunjangi perjuangan dan tiada noktah henti sehinggalah dimerdekakan setiap inci tanah Palestin yang dijarah Zionis semenjak tahun 1948.

(Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Sumber BO - 16-12-2017



















































Jangan lupakan tangisan Syria

PETA luka umat Islam seperti tiada pancingan pesona buat warga dunia, darah yang tumpah seperti darah kerbau yang tiada nilainya. Bertempiklah sehingga bergegar dunia, bagi yang tak peduli mereka tetap tak kisah. Gaza yang merintih, Al-Quds yang dijajah, Rohingya yang disembelih, Bosnia yang rawan atau Kashmir yang disergap kesakitan. Peta luka umat Islam memerlukan kepedulian ummat, tidak cukup kita mengeluh dan berpeluk tubuh di hadapan kaca TV. 
Kemuncak musim sejuk dengan suhu di bawah paras minus sangat mendera para pengungsi yang tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah-olah berada di Kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian. 
Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Rejim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah-olah campur tangan dalam soal pengungsi dari Syria. 
Penulis berpeluang belasan kali mengikuti misi bantuan Muslim Care ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria. Kali ini rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti makanan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa peperangan yang menghuni dalam khemah dan juga bantuan untuk sekolah Muslim Care. 
Rombongan misi bantuan musim sejuk pelarian Syria kali ini agak menarik kerana penglibatan kumpulan nasyid nombor wahid tanah air, UNIC. Tiga anak muda berhati emas yang bukan sekadar popular di media sosial, kaca TV dan corong radio. Mereka telah mengutip dana sumbangan untuk diberikan kepada pelarian Syria yang mengungsi di sempadan Syria Turki iaitu di Rayhanli. UNIC dan Presiden Muslim Care, Haji Zulkifli Wahijan telah singgah di Jordan untuk mengadakan persembahan khas untuk dana bantuan musim sejuk. Konsert khas yang diselang seli dengan tazkirah di Irbid Jordan telah memancing kehadiran ramai anak-anak Malaysia yang bermukim ilmu di tanah Urdun. Pelajar-pelajar daripada pelbagai latar belakang bidang pengajian bukan sahaja merespons dengan baik persembahan UNIC tetapi turut menyumbangkan derma untuk mangsa peperangan yang telah masuk tahun keenam itu. 
Misi Muslim Care terus bergegas ke Istanbul, usai berprogram di Jordan, rombongan bersama anak-anak seni ini menggalas harapan besar. Impian Fakhrul, Bazli, Najdi ialah ingin menghadirkan senyuman kepada anak-anak pelarian yang menjadi mangsa kepada peperangan. Kami tiba di Hatay, disambut hangat oleh teman-teman NGO tempatan yang diketuai oleh Muhamad Khatib. Beliau bertanggungjawab menguruskan lapan buah sekolah tajaan Muslim Care untuk anak-anak Syria. Tiga di sempadan Syria Turki manakala lima buah di dalam negara Syria yang sedang diselimuti api peperangan. 
UNIC mengadakan persembahan khas untuk anak-anak pelarian Syria di dua buah sekolah Muslim Care dengan sambutan luar biasa. Menurut Muhammad Khatib, inilah satu rekod baru yang dicapai kerana semua warga sekolah bergembira. Ada kalangan tenaga pengajar muslimah ialah kalangan isteri syuhada, begitu juga ramai kalangan pelajar ialah anak-anak yatim. Fakhrul UNIC menggunakan kepakarannya dalam bidang tajwid dan taranum mengajar dalam keadaan santai, anak-anak ini tidak segan untuk sama-sama bernasyid dan berkomunikasi dua hala dengan penasyid yang boleh berbahasa Arab ini. 
Memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada pihak sekolah dan anak-anak pelarian, maka UNIC bercadang untuk bertandang lagi pada penghujung bulan Januari 2018. Seorang hartawan di Rayhanli begitu teruja dengan cadangan mengadakan persembahan khas yang menggabungkan banyak lagi sekolah dan masyarakat awam di Rayhanli. Rombongan Muslim Care juga melawat dan memberikan bantuan di khemah pelarian sempadan Syria, di mana keadaan mereka sangat melarat dengan musim sejuk di bawah suhu 8 darjah celcius. Rayhanli sahaja diduduki oleh lebih 200,000 pelarian, kehadiran mereka kini telah melebihi penduduk tempatan. Kerajaan Turki telah membuka banyak peluang kehidupan kepada pelarian Syria sama ada peluang kerja atau pendidikan. Penulis juga menjadi saksi mata dalam tempoh enam tahun ini bagaimana bangunan-bangunan kediaman baru muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. 
Pihak keselamatan Turki juga mengawal ketat pintu sempadan Turki-Syria ekoran ianya menjadi laluan pihak IS, kami diperiksa dengan teliti semenjak ketibaan di Lapangan Terbang Hatay. Pihak keselamatan berpuas hati apabila diberitahu oleh Saudara Hamzah (pengiring kami) bahawa anggota Muslim Care melawat sekolah mereka di Rayhanli. 
Sekolah Muslim Care mendapat pengiktirafan UNICEF dan juga Kerajaan Turki sendiri.
Muslim Care yang kini mempunyai lapan buah sekolah pelarian Syria akan terus memberikan komitmen berterusan untuk membantu saudara akidah terutama di musim sejuk yang sangat menggigit tulang. Bantuan rakyat Malaysia sangat besar maknanya kepada mereka, luka dan sakit mereka adalah nestapa kita yang pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil. Jom, kita membantu! 
Bantu saudara kita di Syria yang menderita “survival aid”.
Sumbanglah melalui akaun MUSLIM CARE MALAYSIA:
Maybank: 564490413882
Bank Islam: 14014010147470
Bank Muamalat: 14010007654717 - HARAKAHDAILY 15/12/2017

\















Sumber HD- 15-12-2017 

Laksanakan pakaian patuh syariah kepada syarikat penerbangan negara

CADANGAN supaya kerajaan memperkenal peraturan pakaian patuh syariah kepada pramugari di semua syarikat penerbangan Malaysia merupakan pandangan yang praktikal dan amat wajar dilaksanakan di negara ini. Cadangan ini perlu disokong terutama oleh umat Islam di negara dan selaras dengan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. 
Tidak ada pihak yang perlu membantah pandangan baik seperti ini. PAS juga telah lama menyuarakan gesaan pakaian patuh syariah terhadap semua pekerja terutama kepada pramugari beragama Islam. Malah, ada kalangan mereka yang mengeluh kerana ‘terpaksa’ berpakaian uniform sedia ada yang tidak menutup aurat, sedangkan mereka mahu patuh kepada syariah. 
Cadangan pemakaian patuh syariah tidak mengarah kepada sikap ekstremisme atau keterlaluan, sebaliknya lebih menjurus kepada amalan kesopanan dan kepatuhan kepada agama. Bahkan, tidak ada pihak yang rugi dengan etika pemakaian, kerana kualiti perkhidmatan disandarkan kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Justeru usah ditakutkan jika pelanggan lari, kerana etika berpakaian tidak menjadi sebab pelanggan menjauhkan diri. 
Ada pihak yang mencadangkan agar cadangan pemakaian patuh syariah dibuat melalui syarikat baharu yang terikat dengan pengawasan kualiti menurut syariah. Menurut Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), gesaan seperti itu tidak wajar dan menyalahi amalan memberikan kebebasan kepada kakitangan. Mereka menganggap tindakan itu mengganggu polisi syarikat yang sedia ada. 
Bagi saya, gesaan itu tidak melanggar operasi syarikat, dan tidak pula melanggar hak kebebasan kepada kakitangan. Etika pakaian patuh syariah hanya terpakai kepada pramugari beragama Islam dan pakaian menutup aurat adalah ketetapan Allah, bukan oleh manusia. Ia sebagai suatu hukum yang wajb dipatuhi oleh manusia yang beragama Islam. Selain itu, perlu difahami bahawa pakaian patuh syariah menjadikan wanita Islam lebih manis, sopan, ayu dan terjaga maruah mereka. Wanita bukan barang dagangan yang boleh dijual beli sesuka hati. Harga diri wanita Muslim begitu tinggi. Dengan menutup aurat, tidak ada pihak yang boleh mengambil kesempatan melihat tubuh mereka, apatah lagi menyentuh diri mereka. 
Jika gesaan itu digunapakai kepada syarikat baharu, bagaimana dengan syarikat yang sedia ada? Bagaimana konsep sebuah negara Islam dapat dihayati jika peraturan ini hanya terpakai kepada syarikat baharu manakala syarikat lama mempunyai kebebasan kepada kakitangannya? Apakah pelaksanaan Islam itu hanya terpakai pada satu sudut atau kepada syarikat tertentu dan bukan bersifat menyeluruh. Seolah-olah pelaksanaan hukum syariat itu boleh berpilih-pilih, mana-mana kakitangan yang mahu menutup aurat boleh bekerja di syarikat baharu, dan kakitangan yang hendakkan kebebasan tanpa menutup aurat, boleh bekerja di syarikat lama. 
Gesaan pakaian patuh syariah adalah sebagai suatu didikan khususnya kepada umat Islam agar mematuhi perintah Allah SWT dalam segenap perkara. Sudah sampai masanya umat Islam taat dan mematuhi apa juga perintah dan larangan Allah SWT supaya rezeki dari kerjaya itu dapat dinikmati dengan keberkatan dan keredhaan dari Allah SWT. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
13 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 13/12/2017
Sumber HD - 13-12-2017 





















































Ucapan Hamzah Zainudin tikam PM dari belakang?

AHLI Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Hamzah Zainudin mungkin sedang menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak atau sedang berusaha bersama pemimpin UMNO lainnya berpakat menjatuhkan PM dalam PRU14 secara halus dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak masuk akal. Kenyataan beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO beberapa hari lepas jelas menggambarkan inilah mentaliti dan pemikiran pemimpin UMNO sekarang. 
Beliau berhujah dengan menyandarkan hadis Rasulullah SAW bahawa peningkatan kos sara hidup adalah kehendak Allah. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW dalam hadis tersebut berpesan agar tidak mencampuri hak berhubung ketetapan harga barang. 
Konteks hadis itu diguna pakai oleh Menteri ini di negara kita sekarang dan polemik kos harga barangan dan keperluan yang semakin meningkat. 
Apa yang lebih melucukan, beliau menyimpulkan tindakan pemimpin kerajaan hari ini sudah selari dengan tuntutan baginda. 
Secara tidak langsung Datuk Hamzah sedang meletakkan tanggungjawabnya kepada PM dengan sindiran halus untuk difahami. Beliau juga berusaha menaikkan kemarahan umat Islam apabila menyamakan semua tindakan kerajaan khususnya menaikkan harga barangan dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Justeru secara tidak langsung umat Islam bangkit menyatakan kemarahan seolah-olah PM melaksanakan sunnah Rasulullah SAW, sedangkan umum mengetahui beliau sedang memusnahkan negara. 
Budaya menikam belakang secara halus pemimpin tertinggi negara mungkin sedang menjalar sekarang, sama ada disedari atau tidak. Membodek tidak kena tempat, mengampu setingginya sehingga menenggelamkan realiti dengan khayalan setinggi langit, memuji umpama dewa kayangan adalah budaya ‘menikam halus’ pemimpin tertinggi UMNO. Sekali gus pemimpin tertinggi ‘mati perlahan-lahan’ dengan tikaman ini tanpa sedar, kerana seronok dengan pujian yang diberikan. 
Isu lain boleh juga diperhatikan, bagaimana rendahnya mentaliti dan pemikiran pemimpin UMNO. Cakap tidak berfikir dan buat kajian dahulu, serta cakap tak serupa bikin mudah memakan diri. Amat mudah dengan meletakkan segala-galanya kepada ketentuan Allah, sedangkan beliau adalah Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan penentuan harga barangan keperluan. Jika begitu, apa gunanya kerajaan melantik beliau sebagai Menteri dan mewujudkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri? Lebih baik Kementerian ini tidak perlu wujud dengan segala-galanya diserahkan kepada Allah yang menentukan. Duit kerajaan akan jimat, duit rakyat juga tidak membazir dengan membayar gaji beliau. 
Jika inilah pemikiran pemimpin negara yang bertaraf menteri, bagaimana agaknya mereka mampu memimpin negara dengan kecerdikan, kebijaksanaan dan kepimpinan. 
Jika pemikiran dan mentaliti pun lemah, bagaimana lagaknya pemimpin ini mampu memimpin negara di saat negara dilanda gawat seperti sekarang? Tidak adakah pemimpin yang cerdik, bijak, cermat dan berfikiran jauh dalam UMNO sekarang? 
Rakyat ‘memerlukan’ ucapan-ucapan pemimpin seperti ini di saat menjelang PRU14. Ia menjadi koleksi berharga dan bukti besar bahawa sememangnya pemimpin UMNO bertemu di titik akhir perjuangan dan kepimpinan mereka, kerana pemimpin bongkak, sombong, bodoh dan mentaliti lemah tidak layak menjadi pemimpin negara usai PRU14. – HARAKAHDAILY 11/12/2017
Sumber HD- 11-12-2017 






















































Memperjuangkan isu Baitul Maqdis tanggungjawab Gerakan Islam, umat Islam

PERTEMBUNGAN antara Islam dengan kelompok Yahudi adalah melalui denai sejarah yang panjang. Di zaman ar Rasul SAW, kelompok Yahudi Bani An Nadhir, Bani Qainuqa', Bani Quraizah telah mengkhianati baginda yang mulia, sehingga kemuncaknya berlaku peperangan Khaibar pada bulan Muharram tahun tujuh hijrah. 
Di zaman moden kelompok Yahudi telah menubuhkan gerakan zionist pada tahun 1897 di Bassel, di mana 300 orang sarjana Yahudi yang dipimpin oleh Teodor Hezl telah mengagaskan matlamat dan nuansa kelompok Yahudi yang bercita-cita menguasai dunia. Matlamat mereka mewujudkan "The greater Israel", mereka ingin menjadikan Palestin sebagai pusat pemerintahan dan menguasai Baitul Maqdis. 
Cita-cita ini didokong oleh Empayar Pax Britanica, British meluncurkan Perjanjian Balfour dan seterusnya Perjanjian Porthmouth. Khilafah Islam yang terakhir, khilafah Uthmaniah telah menjaga setiap inci tanah suci umat Islam ini dengan airmata dan darah. Peperangan antara Tentera British yang dipimpin oleh Sir Lord Allenby dengan tentera Islam Khilafah Uthmaniah telah menyaksikan kemenangan empayar British pada tahun 1917. 
Cita-cita Zionist semakin terbuka dengan kemenangan Sekutu mereka, British dalam peperangan merebut tanah Palestin. Impian ini semakin terbentang luas untuk digapai apabila berlakunya kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada Mac 1924. Gerakan Islam menjadi benteng paling hadapan menentang kewujudan negara Israel yang diimpikan oleh Zionist. 
Sheikh Izzudin Al Qassam terbujur syahid pada tahun 1935 dalam perlawanan menentang British yang menjajah Palestin. Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al Banna telah menggerakkan kempen besar-besaran untuk menyelamatkan Palestin dan Baitul Maqdis. Kemuncaknya perang di Palestin pada tahun 1948 menyaksikan lebih 10 000 anggota-anggota Ikhwanul Muslimin bertempur di Tanah Suci ketiga umat Islam ini, sehingga mereka dikhianati oleh pemerintah Mesir (dipanggil pulang ke Mesir dan dipenjarakan). 
Umat Islam Tanah Melayu dalam sejarahnya tidak menyepikan diri dalam isu bumi israk ini. Pada tahun 1935, Dr Burhanuddin al Helmy telah mendekam di penjara Palestin akibat menyertai bantahan terhadap British yang ingin mewujudkan sebuah negara haram kepada orang Yahudi di tanah Palestin. Almarhum sekali lagi di penjarakan oleh British di Singapura pada tahun 1937 kerana memprotes sikap British dalam isu Palestin dalam akhbar "Taman Bahagia". 
Hizbul Muslimin, ormas yang bertujuan menentang British dan menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu juga dalam himpunan mereka di Maahad Ehya as Sharif Gunung Semanggol pada Mac 1948 telah mengemukakan usul menyelamatkan Palestin. Jawatankuasa menyelamatkan Palestin dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al Helmy, menyiapkan memo bantahan kepada PBB dan juga menjalankan kempen menyelamatkan Baitul Maqdis. 
PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat untuk peka akan nasib Palestin. Dr Burhanuddin al Helmi, sebagai ideologue PAS dalam tahun 50an dan 60an tidak pernah menyepikan isu Baitul Maqdis. Beliau menyebut dengan jelas dalam ucapan Dasar Yang DiPertua PAS, bagaimana kewujudan Israel adalah duri dalam daging kepada umat Islam di Asia Barat, bahkan kepada umat Islam di seluruh belahan dunia. Begitulah sejarah yang terakam dalam kepimpinan PAS, merasa berbahagi kepedihan dengan rakyat Palestin yang ditindas. 
PAS menghantar pelbagai misi bantuan kepada umat Islam Palestin, mengadakan pelbagai seminar, wacana, diskusi intelektual, forum bagi menyelamatkan Palestin. HAMAS menjadi teman baik PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmad Yasin, diundang ke Ijtimak Alami yang diadakan di Rusila pada tahun 1988. Dalam Parlimen, ahli-ahli legislatif PAS mengemukan usul berkaitan nasib Palestin. 
Krisis yang berlaku di Asia Barat adalah usaha jahat Amerika dan Zionis untuk melakarkan peta berdarah baru bagi menggantikan Perjanjian Sykes Picot 1916. Makar ini sebenarnya bagi menjamin keutuhan dan keselamatan negara haram Israel bagi menguasai sepenuhnya sumber tenaga "emas hitam", termasuk menguasai laluan strategik perairan dan juga udara, Obses dengan pelaburan dan monopoli pasaran Asia Barat. 
Gerakan Islam jangan larut dengan pelbagai polemik dan intriq, hanya disibukkan dengan wacana kekuasaan. Antara tugasan besar mereka ialah mengembalikan semula Baitul Maqdis, memperjuangkannya dengan konsisten, termasuk melibatkan sama pelbagai jaringan sivil untuk sama-sama membebaskan tanah Palestin. - HARAKAHDAILY 7/12/2017 
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Sumber HD - 7-12-2017 























































66 tahun PAS menyumbang kepada pendidikan ummah

HARAKATUL ummah ini jasanya bukan kepalang kepada tanah leluhur ini, menyambut ulang tahun kali ke 66 semenjak ditubuhkan pada 24 November 1951. Antara usaha PAS yang konsisten semenjak penubuhannya ialah memberdayakan pendidikan Islam kepada masyarakat muslim negara ini. Dengan tunjang utamanya para asatizah dan ulama sejak dekad 1950-an maka tidak pelik parti Islam ini digelar "parti pak lebai". PAS menunjukkan komitmen yang serius dalam pendidikan seperti menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar agama, mengembangkan institusi pendidikan Islam, membangunkan pendidikan di bawah kerajaan yang ditadbir oleh parti itu. Gerakan pendidikan dalam PAS menjadi semakin menggebu selepas transformasi kepimpinan yang dikenali sebagai kepimpinan ulama pada tahun 1982. Antara institusi pendidikan PAS yang paling cemerlang ialah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), menjadi fenomena dan model pendidikan prasekolah terbaik di negara ini. 
Dengan perkembangan pantas landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini selepas kemerdekaan. Pendidikan prasekolah telah dibangunkan dengan pesat sama ada oleh pihak kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja setempat, badan-badan Islam seperti PERKIM, persatuan gereja-gereja kristian, pertubuhan politik dan juga NGO-NGO Islam. Berlakunya kebangkitan Islam di negara ini dalam dasawarsa 70-an dan 80-an telah turut menyemarakkan perkembangan pendidikan prasekolah, permintaan rakyat terhadap institusi pendidikan prasekolah Islam telah meningkat dengan berlakunya kesedaran Islam dalam keadaan peserta kebangkitan Islam tidak berpuas hati dengan prasekolah konvensional yang sedia ada di negara ini. 
Riak untuk menubuhkan pusat prasekolah yang berorientasikan Islam semakin hebat pada penghujung dekad 70-an, terutama apabila kelompok kelas menengah Melayu semakin membesar terutama yang mempunyai kesedaran Islam. Penubuhan tadika-tadika Islam ini juga mempunyai sejarah yang menarik apabila ianya berlaku persefahaman di antara ABIM dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat. ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi prasekolah ini yang dikenali sebagai TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam). Pendukung ABIM pula sebahagian besarnya adalah aktivis PAS sehinggalah Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun 1982 yang menyebabkan sebahagian besar ahli ABIM yang juga aktivis PAS telah meninggalkan ABIM. 
Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu, manakala di Kelantan pula pusat pendidikan prasekolah yang ditaja oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kelantan dikenali sebagai PUTRA ISLAM. Di peringkat negeri Kelantan pula, telah diadakan beberapa kali pertemuan dengan siswazah-siswazah Islam, aktivis pelajar Islam dan juga pihak lujnah tarbiah pemuda untuk menggubal sukatan dan skop pengajian prasekolah ini. 
Di negeri Kedah pula telah diwujudkan pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Kedah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam. Dewan Pemuda PAS Kedah yang dipimpin oleh Najib Fahmi Yahaya telah menubuhkan PASTI di setiap kawasan di Kedah yang dikendalikan oleh Pemuda PAS kawasan masing-masing. Kebangkitan pendidikan pra sekolah PASTI ini berpunca daripada Majlis Ihtifal PASTI bertempat di Bangunan Tepian Gelanggang oleh Tuanku Sultanah Bahiyah iaitu Permaisuri Sultan Kedah sendiri pada penghujung tahun 1988. Penubuhan PASTI dengan pantas mendapat sambutan di Kedah termasuk pelajar bukan Islam turut dihantar belajar seperti di kawasan Padang Serai dan juga Kodiang, Kedah. 
Perkembangan pesat pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan-dewan Pemuda PAS negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS. Keprihatinan pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik. 
Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Ustaz Haji Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS. Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk di peringkat pusat diketuai oleh Dr Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini. 
Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS dengan sistematik. Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Ustaz Harun Taib dan Ustaz Abdul Halim Arshat. 
Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya, Dr Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Ustaz Mohd Najib Fahmi Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Ustaz Noh Ahmad. Semua Pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat. 
Sesi 2018 akan bermula kurang daripada sebulan lagi, ibubapa yang masih mencari tapak pendidikan awal prasekolah bolehlah memilih PASTI yang telah terbukti berjaya melahirkan produk terbaik. Bukan sahaja anak-anak PASTI gemilang dalam asuhan Islam tetapi dalam pelbagai bidang dan dimensi kehidupan. Mereka dilatih menjadi pendakwah dan orator melalui pertandingan dan persaingan. Sehingga kini, alumni PASTI berjaya merakam serta menoreh sejarah. Pemegang PhD termuda negara ini adalah bekas pelajar PASTI di Kedah, pemenang sukan pemotoran tahap dunia ada antaranya alumni PASTI, pemenang anugerah sukan dan pelbagai bidang. PASTI terus maju dan menjadi pemain utama dalam usaha melahirkan anak-anak celik al Quran dan fardhu Ain di tengah kebejatan dan kerosakan moral generasi muda negara ini. PASTI adalah pilihan terbaik dan anda tak akan menyesal memilih prasekolah Islam ini! – HARAKAHDAILY 3/12/2017 
Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.
Sumber HD - 3-12-2017 

























































Pemimpin perlu cermat dalam ucapan, jangan jadi gurauan rakyat

UCAPAN Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu program semalam di Majlis Anugerah Nadi negara 2017 semalam yag mengaitkan pelajar UiTM sebagai ‘slow learner’ (tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran), sememangnya melucukan. Pastinya kenyatan beliau menjadi bola tanggung buat sesiapa sahaja khususnya bekas pelajar UiTM untuk ‘membelasah’ beliau secukupnya. Biarpun beliau menafikan dengan mendakwa kenyataannya 
disalahtafsirkan, namun hakikatnya beliau telah menyebut perkataan itu, dan kini perlu bersedia menerima apa juga kritikan mahupun kutukan. 
Sememangnya kenyataan bodoh dan kurang matang seperti ini ditunggu buat ahli politik atau seteru politik, lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Sikap pandir atau bendol dalam kenyataan memang akan menjadi mangsa belasahan awam, sama ada daripada netizen mahupun para pemimpin sendiri. Jadi usah menyesal jika kenyataan beliau menjadi bahan kempen jenaka dan kritikan pedas daripada mana-mana pihak buat beberapa hari dan minggu ini. 
Sebagai pemimpin besar Umno dan berstatus menteri, Datuk Seri Tengku Adnan seharusnya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa ucapan atau kenyataan. Jika tidak mahu kenyataannya disalah tafsir, jangan memberi kenyataan yang bersifat kontroversi atau menimbulkan persoalan dan polemik. Beliau perlu menjaga air muka Perdana Menteri yang teruk dihentam ekoran kata-kata kesat ‘Kepala Bapak Kau’ beberapa minggu yang lalu yang mengundang kemarahan rakyat. 
Umum melihat kenyataan beliau dan pemimpin Umno langsung tidak mencerminkan sikap profesional, bijak, matang dan cerdik, berjiwa besar dan berstatus negarawan. Malah, rakyat mengaitkan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno sekarang sebagai golongan yang begitu emosional dan bercakap tanpa berfikir. Ia menggambarkan betapa buruk dan busuknya hati mereka yang suka bercakap kasar dan kesat di hadapan media.
Meskipun mungkin ucapannya bernada gurau, berjenaka atau sinikal kepada pihak tertentu, atau mungkin tersalah cakap dan disalahtafsir media. Namun rakyat melihat ucapan beliau mengandungi unsur penghinaan.  Bagaimana perasaan ribuan bekas graduan UiTM yang kini berjaya dalam pelbagai lapangan termasuk usahawan, teknokrat, profesional, mahupun pemimpin negara tatkala membaca atau menghayati ucapan beliau. Janganlah kerana beliau dan beberapa kerat pemimpin besar belajar di institusi pendidikan terkenal dalam dan luar negara, graduan UiTM pula diperkecilkan. Sedangkan UiTM begitu banyak jasanya kepada rakyat terutama anak-anak Melayu. Tanpa UiTM, betapa ramai anak Melayu tercicir dalam pelajaran, dan mungkin tidak mendapat kedudukan seperti sekarang. 
Bagi pemimpin berjiwa besar, ucapan salah maksud atau tersalah cakap seperti ini tidak harus dijadikan modal politik dalam mengharungi PRU ke 14. Namun pendidikan dan pengajaran perlu disampaikan, agar pemimpin negara berhati-hati dalam menyampaikan ucapan. Jangan kerana ‘nila setitik, habis rosak susu sebelanga’ atau kerana satu dua kerat pemimpin yang tidak menjaga mulut, habis rosak Umno dan pemimpinnya dijatuhkan rakyat.

Sebaiknya, dalam waktu-waktu kritikal ini, pemimpin Umno perlu banyak belajar menghormati dan menghargai rakyat. Sekalipun jika tidak mampu memuji rakyat atas jasa dan pengorbanan mereka, jangan pula mengeji mereka. Jika tidak mampu menyenangkan rakyat, jangan pula menyusahkan rakyat dengan pelbagai bebanan dan tekanan. Jika tidak mampu memberi bahagia, jangan menjadikan rakyat menderita.– HARAKAHDAILY 28/11/2017
Sumber HD - 28-11-2017 


























































Ekonomi rakyat gawat: Jangan menyesal jika rakyat bertindak

TIDAK ada yang menghairankan terhadap kajian yang di buat oleh sebuah badan kajian terhadap keadaan ekonomi rakyat Malaysia ketika ini, yang memberi keputusan bahawa rakyat Malaysia sedang berada dalam kegawatan ekonomi yang teruk di tengah-tengah angka pertumbuhan ekonomi. Kajian ini bukan sesuatu yang mengejutkan atau bersifat ‘wow’ kerana sememangnya kegawatan ekonomi di rasakan oleh rata-rata rakyat Malaysia.

Bagi yang hidup bersama rakyat, mendapat gaji atau berpendapatan di bawah RM6,000 sebulan dan menanggung keluarga (isteri dan anak-anak) pasti merasai keperitan hidup ini. Bahkan, mereka yang berpendapatan sehingga RM30,000 sebulan sekalipun merasai kesan kegawatan serta terjejas sedikit sebanyak hidup mereka seharian. Tahun-tahun kebelakangan ini adalah tahun paling merana bagi rakyat yang terpaksa mengikat segalanya, dari kaki, pinggang, tangan, perut, sampai ke leher! 
Apa yang menyedihkan apabila dapatan kajian itu menunjukkan bahawa 1 hingga dua daripada 10 rakyat Malaysia (15 peratus) mengurangkan keperluan seperti makanan setiap hari (mengikat perut) kerana keputusan wang. Jumlah dapatan itu juga mencatat, satu pertiga rakyat (29 peratus daripada responden) tidak memiliki wang tunai RM500 ketika berlaku kecemasan. Manakala 40 peratus mengakui bermasalah membayar bil utiliti tepat pada waktunya. 
Bagi saya dapatan ini menunjukkan keadaan serius rakyat Malaysia dalam menghadapi hidup kerana mereka terpaksa mengikat perut dalam soal keperluan hidup seperti makanan, bukan mengurangkan kehendak seperti pakaian, hiburan, aksesori dan lain-lain lagi. Jika keperluan diri seperti makanan pun diikat perut, jangankan pula kepada kehendak hidup yang lain. Maka tidak menghairankan pula jika selepas ini banyak kes rakyat yang berpenyakit, kekurangan zat dan gizi seimbang dalam tubuh, gagal mendapatkan rawatan mengikut jadual kerana kekurangan wang. 
Jika rakyat sendiri tidak mampu menyediakan wang tunai jika berlaku kecemasan terhadap diri dan keluarga, bagaimana jika mereka dapat mengisi masa lapang dengan melancong, berjalan-jalan serta membeli belah? Jika kehidupan seharian pun tidak mencukupi, bagaimana rasanya rakyat Malaysia mampu membeli sebuah rumah yang nilainya lebih dari RM300,000? 
Lihatlah kepada gedung-gedung perniagaan dan kedai-kedai di sepanjang perjalanan. Kita akan melihat ‘fenomena pelik’ di mana banyak premis perniagaan terpaksa gukung tikar akibat kekurangan pelanggan ekoran krisis ekonomi meruncing ini. Kesannya turut terganggu kepada mereka yang menjalankan perniagaan dalam industri pelancongan, perhotelan, pasar raya dan lain-lain lagi. Bahkan, banyak juga keda-kedai makan terpaksa menutup perniagaan setelah bertahun-tahun berniaga kerana tidak mampu menampung kos operasi yang meningkat setiap tahun. 
Kegawatan ini dirasai kerana harga barang keperluan seperti bahan makanan tidak pernah surut atau berkurangan, dan semakin meningkat saban tahun. Ia susulan dengan peningkatan kos barang keperluan seperti minyak petrol dan diesel, yang saban minggu mencatat peningkatan dan jarang turun. Harga rumah yang tidak nampak akan berkurangan, harga kenderaan yang mahal, manakala banyak subsidi terhadap barang keperluan ditarik balik. Kos pendidikan, hospitaliti, ubat-ubatan yang mahal dan sentiasa meningkat harganya. Selain itu, rakyat dibebankan dengan cukai barangan dan keperluan (GST), cukai-cukai lain seperti cukai pendapatan, dan kadar tol yang menekan rakyat. Kesemua ini memberi kesan terhadap peniaga untuk terus menaikkan harga barangan tanpa kawalan. Ramai graduan pula sukar mencari pekerjaan, sehingga terpaksa bekerja dalam apa juga bidang walaupun bukan pilihan dan kehendak mereka dan di bawah paras gaji yang wajar. 
Satu-satunya perkara yang statik atau meningkat sedikit tidak sejajar dengan peningkatan kos sara hidup adalah gaji atau pendapatan rakyat. Nampaknya tiada usaha untuk menaikkan gaji pekerja sektor perkhidmatan awam dan swasta mengikut keperluan semasa sedang mereka pula tidak diberikan jalan keluar terhadap kemelut yang membelenggu menyebabkan mereka mencari alternatif sendiri bagi menyara keluarga. Maka tidak pelik jika berlaku krisis rumah tangga, masalah perceraian, tekanan perasaan, penyakit, dan jenayah yang berleluasa. 
Sepatutnya kerajaan bertindak lebih awal dan lama dahulu agar ekonomi rakyat tidak berada dalam keadaan gawat seperti ini. Harga barangan keperluan yang tidak dikawal menyebabkan harga barangan sentiasa dan terus meningkat, dan yang menanggungnya adalah rakyat. Bajet kerajaan yang dibentang saban tahun hanya sekadar gula-gula yang menyedapkan lidah dan tekak, tetapi perut rakyat terus berlapar dan menderita. Justeru, jangan menunggu tindakan daripada rakyat yang hidup dalam kesempitan baru hendak bertindak. Jangan menyesal jika rakyat meletakkan noktah terhadap kerajaan BN dalam PRU ke-14, kerana kerajaan BN gagal memahami kehendak dan jeritan rakyat yang menanggung beban selama ini. – HARAKAHDAILY 27/11/2017
Sumber HD - 27-11-2017 


Bila Musuh Kita Kena Musibah... Ini Sikap PAS
Posted on Sunday, November 19 @ 20:07:33 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=36854



Ini sikap PAS. Ini politik BPMS yang Presiden PAS war-warkan. Jangan terlalu ghairah.

Kredit
M Yusoff Bin Daud 


Sumber TKO - 19-11-2017






























































32 tahun Tragedi Berdarah Memali: Meruak tirai berlapis sang tirani

BALING sebuah daerah yang sarat dengan peristiwa besar negara dan melakar sejarah. Di saat tanah leluhur ini diselimuti perlawanan dengan gerila Bintang Tiga, maka Baling dipilih untuk dijadikan medan perbincangan solusi antara PKM dan pihak Kerajaan pada tahun 1955. Pada tahun 1974 pula, ekoran daripada harga getah yang merudum, maka Baling menyaksikan kebangkitan rakyat tani yang digalang oleh gerakan mahasiswa Malaysia sehingga menyebabkan ribuan anak-anak kampus ditahan oleh pihak berkuasa dalam lanjutan bantahan di Kuala Lumpur. 
Akta Universiti Dan Kolej telah dipinda dan diketatkan pasca bantahan gerakan mahasiswa paling besar dalam sejarah negara ini. Kejerihan rakyat Baling telah memacu kebangkitan anak muda prihatin negara ini yang menjadi kuasa semak dan imbang yang berkesan. 
Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya Peristiwa Berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan rejim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini. Dekad 1980-an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat. 
Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang. Ustaz Ibrahim bekerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu. 
Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di Kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat di kalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, juga Pengerusi ABIM daerah Baling. 
Pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda PAS di bawah ISA, antaranya Ustaz Abu Bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. Umno kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput. 
Dalam Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1985, sekali lagi wakil Umno Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan Umno di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan raya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda. 
Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan Peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, 
seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Junid mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada. 
PAS mengadakan sambutan tragedi Memali secara besar-besaran tahun ini, 18 dan 19 November supaya generasi muda mengenang kejerihan masa lalu perjuangan yang tak terhampar dengan permaidani merah dan arakan bunga manggar. Suruhanjaya Siasatan Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama-nama mangsa tragedi berdarah ini. Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat. Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan berulang lagi di tanah leluhur ini. – 
HARAKAHDAILY 18/11/2017
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.




























































































































Sumber HD - 18-11-2017































































Ambil tindakan tegas mereka yang tidak hormati amalan Islam

TINDAKAN pengurusan hotel yang melarang wanita Islam bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk) adalah tindakan keterlaluan dan mencabar kedaulatan agama Islam di negara. Alasan yang dibuat oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan kenyataan bahawa ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi adalah suatu alasan tidak munasabah. Secara nyata menjelaskan bahawa ia menjadi bukti bahawa wanita Islam sering menjadi mangsa diskriminasi dengan pengamalan agama.
Dalam hal ini saya bersetuju dengan beberapa pandangan tegas agar isu seperti ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya. Apa yang berlaku adalah ada pihak yang tidak mahu menghormati pegangan amalan agama Islam dan menolak sikap saling memahami budaya, adat resam dan amalan beragama di negara ini. Jika tidak dibendung keadaan mungkin akan lebih parah dengan lebih banyak pihak berani mencabar dan menghina agama Islam secara terang-terangan dan menjadikan umat Islam khususnya wanita bertudung sebagai mangsanya. 
Justeru cadangan keras agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan sikap diskriminasi terhadap wanita bertudung ditarik balik dan dikenakan tindakan amat wajar. Malah, senarai syarikat yang melakukan diskriminasi ini juga disiarkan untuk pengetahuan umum, agar masyarakat yang menghakimi mereka. Isu ini bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi membela golongan wanita Islam yang bertudung agar tidak diperlekeh dan dihina sesuka hati. 
Jika standard operasi (SOP) dan polisi antarabangsa menjadi alasannya, maka kerajaan Malaysia perlu campurtangan dengan bertindak tegas agar standard operasi (SOP) yang diguna pakai disesuaikan mengikut keadaan dan keperluan negara Malaysia. Yang kita ketahui banyak syarikat gergasi bersifat antarabangsa mampu memahami keadaan dan suasana masyarakat setempat. Daripada kefahaman itulah, syarikat-syarikat yang menerima budaya dan pegangan agama umat Islam dilihat terus maju dan cemerlang tanpa ada sebarang masalah. 
Sepatutnya mereka yang menentang wanita bertudung bekerja sedar bahawa tidak ada salahnya wanita Islam menutup aurat daripada bekerja di mana-mana seksyen dalam perhotelan termasuk di bahagian kaunter. Tidak ada bukti yang menunjukkan wanita ini melanggar syakhsiyah atau etika pemakaian. Tambahan pula wanita ini dilihat lebih manis, bersopan, beradab dan menjaga tingkah laku. Dengan demikian maruah diri mereka terjaga sehingga mampu menjaga imej dan nama baik syarikat mereka bekerja. 
Islam mengangkat darjat dan martabat wanita setingginya agar kedudukan mereka dihormati masyarakat. Wanita Islam telah membuktikan bahawa peranan mereka dengan berimej menutup aurat juga mampu menjulang nama syarikat mereka. Yang perlu menjadi keutamaan adalah pada kualiti kerja, bukan pada penampilan semata-mata.
Apa yang diharapkan isu seperti ini tidak lagi timbul di masa hadapan. Semua pihak perlu menjaga sensitiviti agama dan budaya masing-masing. Isu-isu yang mengundang kemarahan penganut agama atau bangsa lain perlu dielakkan agar masyarakat mampu hidup aman makmur. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
































































































































Sumber HD - 13-11-2017

































































Kata-kata kesat tidak mencerminkan jiwa besar pemimpin negara

Bayangkan ucapan beliau ditonton oleh jutaan rakyat dalam negara dan ditonton juga oleh masyarakat antarabangsa. Apakah persepsi yang boleh diterjemahkan melalui ucapan beliau selain persepsi negatif yang menggambarkan beliau dalam keadaan tertekan, terdesak, sakit jiwa dan lain-lain. Masyarakat dunia menganggap budaya dan kesopanan masyarakat Malaysia telah berubah dengan teruk oleh sikap pemimpin negara ini. 
Jika sekalipun PM tertekan dengan fitnah yang dilemparkan oleh musuh politiknya, tidak wajar beliau mengeluarkan kata-kata kesat. Beliau seperti mahu membalas dendam dengan kata-kata kesat bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggelar beliau sebagai “Lanun Bugis”. Ucapan Tun segera dibantah dan disanggah oleh banyak pihak. Kini beliau memulangkan paku buah keras dengan mengutuk pula musuh politiknya itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula sebelum ini menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menghina keturunan beliau sebagai anak laki-laki Iskandar Kutty. Beliau juga dibidas kerana menggunakan sentimen keturunan untuk menghina individu yang lain. 
Dalam hal ini, apa yang dilihat para pembesar dan pemimpin negara tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Mereka dilihat oleh rakyat telah berpolitik secara tidak matang dan bersikap kebudak-budakan kerana menggunakan kata-kata yang kasar sebagai bahan ejekan dan gurauan. Sepatutnya mereka menjadi teladan yang baik kepada rakyat dengan bersikap berjiwa besar dan berlapang dada dengan pandangan, kritikan dan tohmahan. Sebagai ‘bapa’ kepada rakyat Malaysia, PM pula wajib menunjukkan perilaku yang baik dan berbudi bahasa yang tinggi untuk diikuti oleh rakyat bawahan. 
Hakikat yang tidak boleh disembunyikan apabila PM mula bercakap kasar dan kesat, kata-kata rakyat akan jauh lebih kasar dan kesat. Peribahasa Melayu menyebut, “bapak borek, anak rintik”, usah merasa hairan jika yang keluar dari mulut dan tulisan rakyat Malaysia adalah kata-kata kesat penuh dengan cacian dan makian kerana mereka mencontohi pemimpin negara. Jika para pembesar negara saling bercakaran dengan kata-kata kesat, tidak dapat dibayangkan penyokong dan pengikut parti-parti politik yang bergaduh dalam politik dan pilihan raya akan datang. 
Kenyataan-kenyataan kasar dan kesat sebegini menggambarkan iklim politik yang semakin panas menjelang PRU14. Ketegangan dan tekanan semakin memuncak, dengan banyak pihak mula menghamburkan kata-kata pedas, kasar dan kesat ke atas lawan politik masing-masing. Serangan demi serangan bertali arus menerjang setiap pemainnya. Jangan pula nanti kehangatan politik PRU14 diterjemahkan dalam bentuk keganasan, dan tindakan luar batasan yang akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa. 
DR RIDUAN MOHD NOR 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat - HARAKAHDAILY 7/11/2017
Sumber HD-7-11-2017 




































































Membina kepimpinan yang mempunyai kompetensi


PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang telah mencecah 66 tahun perjuangannya, bergerak seimbang disektor siasah, dakwah dan tarbiah. Harakatul ummah ini yang menghimpunkan insan-insan yang cintakan kepada Islam dan Syariatnya, maka program tajnid(kaderisasi) merupakan wahana untuk membentuk kader-kader dakwah yang piawai. PAS sewajibnya mempunyai pimpinan yang piawai dan pakej disemua peringkat kepimpinan, maka pembinaan karektor kepimpinan ini mestilah bertunjang kepada thaqofah.
Menurut pembentang kertas kerja thaqofah kepimpinan dalam tamrin Qiadi PAS Pusat,Dr Johari Mat, pemimpin yang mempunyai daya intelektual yang tinggi seharusnya menjadikan dirinya sebagai pendakwah yang mampu mendepani massa dan arus peradaban kontemporari. Tiada jalan mudah untuk membina kekuatan intelektual dalam kepemimpinan. 
Antara ilmu yang perlu diraih bagi kepimpinan Islam ialah: 
1)Al-Quran dan tafsirnya
2)Hadis
3) Feqah
4)Usul Al Fiqh
5)Aqidah
6)Tasawwuf
7)Sistem-sistem Islam 
Pemimpin yang berdakwah kepada Islam mestilah mengetahui, memahami dengan jelas, dan yakin dengan jelas Islam yang hendak disampaikan. Pengetahuan Islam itu hendaklah diambil, dicedok dari sumber yang asal yang tidak diseleweng dan ditakwil. 
Dai'e dan dakwahnya hendaklah berada di atas jalan yang jelas dan benar (basirah):
"Katakanlah (wahai Muhammad): inilah jalanku dan jalan orang yang mengikutinya,  menyeru manusia kepada agama Allah dengan berdasarkan bukti dan keterangan yang jelas dan nyata. Dan akau menegaskan: Maha Suci Tuhan (dari segala perbuatan iktikad dan syirik), dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain" (Surah Yusuf: 108) 
Dr. Syeikh Al Qaradhawi ada menjelaskan bahawa "seseorang yang ingin menjadi pendakwah yang baik hendaklah mengetahui tentang sejarah. Kerana sejarah itu umpama sebuah catatan tentang kemanusiaan. Di dalamnya tercatat peristiwa yang dialami dan menghimpunkan pengetahuan dan budaya. Sekaligus menjadi bukti yang adil kepada cita dan karya mereka. Dalam konteks ini adalah berkaitan sejarah Islam dan umatnya secara khusus serta sejarah dunia secara umum". 
Kemudian,  pengetahuan pendakwah tentang ilmu sastera dan bahasa agar mesej yang disampaikan mampu diterima dengan baik dan tidak berlakunya salah faham. Bagi mendapatkan bahasa yang baik dan menarik, seorang pendakwah perlulah mempelajari ilmu bahasa dan sastera. Sheikh Said Hawwa menjelaskan bahawa seseorang pendakwah mestilah mempelajari ilmu bahasa Arab. Mengetahui Ilmu bahasa Arab dari sudut penulisan,  pembacaan, dan berbicara sangat penting kerana sumber ilmu Islam adalah dari bahasa Arab. Untuk mahir dalam ilmu bahasa Arab, kita perlulah mempelajari ilmu nahu,  saraf,  balaghah,  a'rudh,  sastera Arab dan sejarahnya. 
Seterusnya,  para pemdakwah juga perlulah mengetahui ilmu kemanusiaan. Ilmu kemanusiaan ini adalah ilmu berkaitan ilmu psikologi (jiwa),  ilmu sosiologi (kemasyarakatan), ekonomi, etika/akhlak dan sejarah.  Pendakwah perlulah menguasai ilmu-ilmu tersebut kerana ianya berkaitan dengan sasaran dakwah dan diri pendakwah tersebut. Bahkan, ilmu juga penting untuk membantu para pendakwah memahami cara hidup,  budaya dan tabiat manusia. Ini kerana, Islam menuntut agar dakwah disampaikan mengikut tahap pemikiran dan keupayaan berfikir seseorang itu. 
Begitu juga pengetahuan tentang ilmu Sains, yang tidak boleh tidak sebagai pendakwah memiliki ilmu berkaitannya. Ilmu sains merupakan susunan ilmu yang sistematik/teratur kerana ianya boleh dibuktikan kebenarannya ataupun ilmu yang dibuktikan dengan kenyataan dan logik semata-mata seperti ilmu kimia, fizik,  biologi, botani, astrologi dan sebagainya. Walaupun begitu,  keutamaan seorang pendakwah mengetahui bidang sains bukanlah sehingga tahap menjadi seorang yang saintis (pakar),  akan tetapi cukuplah mengetahui secara umum ilmu-ilmu yang berkaitan sains dan ilmu-ilmu semasa yang dapat dikaitkan dengan dakwah. 
Kesimpulannya, menjadi pemimpin PAS tidak boleh berpuas hati dengan tahap ilmu yang mereka ada. Ini kerana kelompok  kelas menengah semakin membesar di negara ini dan mereka merupakan kelompok yang menuntut pelbagai jawaban daripada PAS. 
Masyarakat yang terdedah dengan pelbagai maklumat daripada terjahan langit dan juga masyarakat yang semakin akses dengan maklumat. Menjadi pemimpin PAS dipelbagai peringkat memerlukan budaya cintakan ilmu yang menggebu, menjadi pembaca tegar dalam rentas ilmu yang multi dimensi. Sebolehnya pemimpin boleh memuntahkan idea-idea yang segar di atas aksara, menulis untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat dengan ahli-ahli dan juga masyarakat. Pemimpin PAS mestilah menunjukkan qudwah dalam pembudayaan ilmu dan menjadi pencetus kepada pemugaran semangat jihad ta'alim. – HARAKAHDAILY 4/11/2017
Sumber HD- 4-11-2017 






































































Tidak bermaruah siar klip video peribadi penjawat awam

PENDEDAHAN terbaharu klip video peribadi melibatkan Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tindakan bacul, keji dan tidak bermaruah. Ia jelas melambangkan sikap terdesak golongan tertentu sehingga sanggup mengugut dan mengancam Tan Sri Dzulkifli dengan serangan peribadi.
Kemunculan klip video peribadi kononnya skandal beliau tanpa sumber ini menunjukkan bahawa SPRM berada di landasan tepat bagi memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara. Bagi golongan tertentu, tindakan SPRM dilihat ‘agak melampau’ termasuk pelbagai siri tangkapan yang dilakukan oleh sejak kebelakangan ini. Mereka umpama ‘cacing kepanasan’ kerana semakin banyak kemungkaran rasuah terdedah dan demi survival golongan perasuah ini, klip vido ini terhasil sebagai usaha menyinggirkan Tan Sri Dzulkifli Ahmad dari kedudukannya. 
Sikap agresif SPRM sejak akhir-akhir ini amat diperlukan tatkala dilanda wabak rasuah yang kronik. Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016, Malaysia merosot daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara. Malah, di peringkat ASEAN, Malaysia berada jauh di belakang berbanding Singapura yang berada pada kedudukan ke-7 dan Brunei di tangga ke 41. Ini menunjukkan bahawa tahap rasuah di Malaysia semakin teruk dan membimbangkan. 
Rasuah menjadi penyakit yang memusnahkan institusi masyarakat dan negara. Golongan tamak dan gila harta telah mengaut sebanyak mungkin khazanah negara demi memuaskan nafsu sendiri, tanpa melihat kesan kepada negara. Akibatnya, ketirisan, 
kerugian, pembaziran, pembolotan projek, kronisma dan lain-lain menguasai pelbagai agensi kerajaan. Golongan yang tidak layak diangkat sebagai teraju utama projek mega serta diberi pelbagai kedudukan istimewa sedangkan orang yang layak terus dikesampingkan. Pegawai tinggi dan penguatkuasa pula bersekongkol dengan mendapat habuan mewah dan lumayan, menjadi kaya raya dengan segera dan berbelanja mewah di luar kemampuan. Berpuluh tahun perasuah ini hidup senang lenang tanpa gangguan kerana luasnya ruang mereka menyelamatkan diri. 
Usaha Tan Sri Dzulifli Ahmad yang diangkat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 dalam memerangi rasuah perlu diberikan sokongan berterusan. Pelantikan beliau disusuli dengan pelbagai tangkapan mega dari Johor hingga ke Sabah, dengan jumlah ratusan juta ringgit didedahkan termasuk melibatkan 1.5 bilion ringgit di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Mangsa yang ditangkap termasuk pegawai kerajaan, Exco kerajaan dan bekas menteri. 
Namun demikian, usaha mematikan langkah dan kerjaya Tan Sri Dzulkifli Ahmad melalui klip video amat memalukan. Ia mengulangi skrip klip video lelaki mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan menjatuhkan dan mengaibkannya. Malah, pemimpin PAS pernah terpalit dengan video serupa. Nampaknya trend mamalukan dan menjatuhkan tokoh negara melalui klip video masih diulangi tanpa rasa takut balasan dosa akibat perbuatan mereka ini. Budaya jijik sebegini sepatutnya tidak diterima oleh masyarakat Malaysia kerana ia mencerminkan golongan tidak bertanggungjawab dan bermaruah. 
Sepatutnya kerajaan bertindak tegas dalam memastikan keselamatan penjawat awam dijaga sepenuhnya. Usaha agresif Tan Sri Dzulkifli Ahmad perlu disokong, bukan disekat. Jika benar beliau terpalit dengan skandal peribadi itu, pihak terbabit sepatutnya melaporkan kepada pihak polis. Biarkan PDRM siasat dan ambil tindakan, kerana ia lebih adil dan bertanggungjawab. Tidak ada faedah mencalarkan maruah seseorang, yang kemudiannya didapati pendedahan itu tidak benar. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
3 November 2017 - HARAKAHDAILY 3/11/2017
Sumber HD- 3-11-2017 







































































Tribut buat Almarhum Ustaz Ansori


SOSOK ini sangat dikenali oleh angkatan pemuda di penghujung dekad 90-an, tubuhnya sasa, mengilas serban dengan berjuntai rambut panjang paras bahu. Saya mengenalinya semasa beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Sepang, sering bertemu dan menjadi peserta dalam program Dewan Pemuda PAS Pusat.
Beliau seorang yang mudah didekati, mudah membantu, ringan tulang serta mudah melontarkan senyuman. Tidak pelik jika tokoh ini mempunyai jaringan kawan-kawan yang sangat meluas. 
Ustaz Muin atau Ustaz Ansori mendapat pendidikan Islam di Pondok Darul Ansar, Selangor iaitu mantan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor iaitu Ustaz Zakaria Ansori merupakan pengasas madrasah yang tersohor dalam dekad 80-an ini. Beliau adalah kawan baik kepada Ustaz Nazmi Abdul Karim semasa belajar dan seterusnya menyambung pendidikan di Pusat Pendidikan terkenal di Terengganu iaitu Taman Islam Kemaman. Taman Islam bukan sekadar sebuah madrasah yang mengajar kitab-kitab turath tetapi memperkenalkan pelajarnya kepada perjuangan Islam melalui usrah dan tamrin. Tidak pelik kerana kebanyakan tenaga pengajarnya adalah aktivis PAS. 
Ustaz Ansori seterusnya melanjutkan pendidikan ke Pondok Pattani, bermukim ilmu di sini semakin membuka ruang berfikir kepada perjuangan Islam. Beliau menyaksikan penindasan kepada umat Islam di Selatan Thailand oleh regim Thailand. Wilayah Islam Yala, Narathiwat, Setul, Pattani sedang bergolak sehinggalah membawa pembunuhan ulama-ulama serta tindakan sistematik kerajaan Thailand untuk mematikan sistem pengajian pondok. Wilayah Melayu Islam ini mempunyai lebih 400 buah pondok pengajian agama, institusi inilah yang mempertahankan akidah dan jatidiri muslim di Selatan Thailand. Belajar dan bermukim ilmu di pondok pengajian Islam inilah yang akhirnya mempengaruhi cita-cita besar almarhum Ustaz Ansori. Beliau akhirnya mendapat reputasi sebagai pengasas Pondok Bustanul Ariffin, sebuah pondok yang bukan sekadar mengajar pendidikan Islam tetapi membentuk remaja menjadi kader-kader dakwah. 
Beliau pulang daripada menuntut ilmu dengan menggenggam satu keazaman, untuk membina generasi yang cintakan Islam. Beliau terlibat dengan Dewan Pemuda PAS Selangor dan juga Dewan Pemuda PAS kawasan Sepang. Wajahnya sering ada dalam demonstrasi-demonstrasi, program-program perkaderan serta pelbagai program PAS. 
Beliau pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Sepang. Ansori bukan sekadar menjadi pengkuliah di masjid dan surau tetapi membangunkan Pondok Bustanul Ariffin. Pondok ini menerima pelbagai jenis pelajar, termasuk remaja yang nakal dan terlibat dengan penagihan najis dadah. 
Beliau membentuk anak-anak remaja ini menjadi insan yang cintakan perjuangan Islam, malah pondoknya sering menjadi tapak program perkaderan anak muda. Beliau berusaha mencari dana untuk memastikan kesinambungan pusat pendidikan itu. Usaha gigihnya itu membuka mata masyarakat sehingga ada hartawan yang turut ingin membantu. Watak dengan penampilan sederhana ini kadang kelihatan berjalan bersama tongkatnya, mengangkat tangan dan tersenyum menyapa kawan-kawan. 
Ustaz Ansori dalam keseriusannya menuntut ilmu telah berlanglangbuana ke Timur Tengah. Beliau memasuki mahaad Lughah di Syria bagi mengemaskini bahasa Arab bagi mendalami ilmu-ilmu Islam. Beliau juga melanjutkan pelajaran ke Universiti Sadat dan juga berguru dengan masyaikh di luar kampus. 
Beberapa tahun kebelakangan ini,kesihatan beliau mula merosot dan berada  di perbaringan beberapa bulan terakhir ini.  Beliau mendapatkan rawatan di hospital dan melakukan pembedahan. Namun taqdir terpahat, apabila pada tengah malam 2 November, roh beliau telah berkelana ke alam abadi. Berita pemergian tokoh ini dengan pantas tersebar dan pada pagi yang sama, jenazah beliau disolatkan oleh ribuan manusia di kawasan lapang Pondok Bustanul Arriffin, Kampung Labuhan Dagang. Beliau disemadikan dalam usia 48 tahun, meninggal dalam usia yang muda namun penuh dengan jasa kebaktian pada ummah. – HARAKAHDAILY 3/11/2017
Sumber HD - 3-11-2017 








































































Jadikan Bahasa Melayu agenda negara

KENYATAAN Sultan Perak minggu lalu dalam satu majlis di sebuah sekolah Perak wajar diangkat sebagai agenda negara.  Dalam majlis tersebut DYMM Sultan Nazrin Shah bertitah agar sekolah vernakular wajib mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajar berupaya menguasai bahasa Melayu dengan tahap kefasihan setanding atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan. Titah baginda lagi bahasa usaha untuk memfasihkan setiap pelajar menguasai bahaa kebangsaan hendaklah diterima sebagai suatu cabaran dan pencapaian pelajar menguasainya dijadikan satu daripada indek sutama pengukuran pencapaian sekolah vernakular.
Tuanku Sultan Perak melihat keperluan Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa utama negara dan semua kaum di negara ini. Meskipun tidak menafikan keperluan sekolah vernakular mengajarkan bahasa ibunda masing-masing, namun bagi memupuk perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini, Bahasa Melayu wajar menjadi teras perantara komunikasi penting di negara ini. Tidak ada alasan bagi bangsa-bangsa lain menjadikan alasan tidak fasih berbahasa Melayu dan lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa ibunda sebagai bahasa perantara. 
Bahasa Melayu adalah lambang kedaulatan dan semangat patriotisme negara. Ia termaktub di dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Dengan tidak menolak penggunaan bahasa lain untuk digunakan, tetapi dalam urusan rasmi seharusnya Bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa utama komunikasi masyarakat. Dalam usia negara yang mencecah lebih 60 tahun merdeka, mengapa semua bangsa di negara ini masih tidak mampu menguasai Bahasa Melayu? Apa yang silapnya bahasa ini dan mengapa ia seakan menjadi tidak penting kepada negara? 
Keperluan menguasai Bahasa Malaysia tidak sepatutnya dipertikaikan mana-mana pihak. Suatu ketika berlaku polemik apabila segelintir pihak mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji balik syarat lulus Bahasa Melayu dalam Sijil pelajaan Malaysia (SPM). Mereka mahu kelonggaran agar pelajar ini mampu pergi jauh dalam pengajian tinggi tanpa mahu menguasai atau memahami bahasa Melayu! Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas tidak akan berkompromoi dengan tuntutan tersebut, ia kekal menjadi sejarah apabila ada pihak mula mencabar kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. 
Dalam sektor pekerjaan pula, tidak ramai majikan meletakkan syarat pekerja yang diambil bekerja mesti lulus Bahasa Melayu. Malah, seringkali para majikan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi ketika sesi temuduga dan mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris, tidak akan diambil bekerja. Akibatnya, ramai orang Melayu tidak dapat pekerjaan berbanding bangsa lain kerana masalah penggunaan bahasa itu. Yang menghairankan tindakan majikan ini dibiarkan sewenang-wenangnya tanpa teguran atau tindakan lanjut oleh pihak berkuasa. 
Sebahagian pihak pula merungut melihat semakin banyaknya papan tanda dan kenyataan yang menggunakan Bahasa Inggeris. Malah kertas-kertas persidangan bersifat tempatan juga menyediakan tajuk dan kertas berbahasa Inggeris. Syarikat-syarikat yang ditubuhkan pula langsung tidak menggunakan nama Bahasa Melayu. Ada ketikanya menteri dan pemimpin negara yang berbangsa Melayu membuat kenyataan di media menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi sedangkan audiennya dan isu yang dibangkitkan bersifat tempatan atau hanya berkisar dalam negara sahaja.
Tidak kurang kedengaran suara wakil rakyat yang berbahasa fasih dalam Bahasa Inggeris, tetapi terkial-kial berbicara dalam Bahasa Melayu. Mereka juga bangga dan senang menulis dalam Bahasa Inggeris, atau Bahasa Melayu yang ‘dirojakkan’ dengan banyaknya menggunakan bahasa Inggeris. Jika pemimpin negara atau wakil rakyat juga tidak mementingkan Bahasa Melayu, bagaimana dengan rakyat di bawah? 
Justeru, saranan pihak yang meminta agar calon wakil rakyat sama ada (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen mesti wajib lulus ujian bertulis / lisan dalam Bahasa Melayu adalah cadangan idealistik yang baik untuk dilaksanakan. Kita mahukan pemimpin yang fasih dan berbangga dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama, bukannya jenis pemimpin yang menghina dan merendahkan kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Mereka adalah ikutan masyarakat, jika pemimpin tidak boleh menjadi teladan baik kepada masyarakat mereka tidak layak menjadi pemimpin. – HARAKAHDAILY 30/10/2017
Sumber HD- 30-10-2017 












































































Tangisan pilu muslim Rohingya: Siapa peduli?


LANGIT merah jingga menebar cahaya keperakan di permukaan Sungai Naf yang menyimpan sejuta rahsia muslim Rohingya yang ditindas oleh reJim Mynmar serta dikucilkan oleh masyarakat antarabangsa. Dua bulan terakhir ini ratusan ribu pelarian muslim Rohingya bergadai nyawa untuk menyeberangi sungai yang luas ini, sungai yang memisahkan dua negara. Kelihatan pihak aparat keamanan Bangladesh mengawal ketat sempadan negara kerana bimbang ratusan ribu pelarian muslim Arakan akan membolosi sempadan negara mereka, namun akhirnya Bangladesh terpaksa menelan hakikat, mereka adalah berjiran dan terpaksa menerima pelarian Rohingya yang diancam pembersihan etnik.
Tiada sebersit rasa kemanusiaan di hamparan relung hati tentera Mynmar  ini walaupun pelarian Arakan berasal daripada tanah air mereka dan berjiran dengan mereka. Malah mereka juga tidak segan melepaskan tembakan kepada pengungsi Arakan yang kelaparan, melakukan pembantaian, membakar rumah-rumah, merogol, menyiksa muslim Arakan. Penasihat tentera Mynmar adalah reJim zionis, maka tidak pelik taktik sadis yang sama digunakan terhadap muslim, bahkan lebih kejam kerana melibatkan kejadian rogol secara pukal. 
Muslim Arakan tak ubah seperti muslim Palestin yang hilang peta dan tanah, cuma berbeda dengan nasib ummat Palestin yang sentiasa dilimpah cahaya lensa, kesengsaraan Palestin menggema ke seluruh belahan dunia. Bantahan awam sentiasa menjerkah rejim zionis dan "uncle Sam", sama ada oleh NGO Islam atau bukan Islam. Bulan Mei pula, sambutan Nakbah Palestin terus menyubur kepedulian terhadap kejerihan Palestin. 
Arakan adalah Gaza di Asia yang berselimut kesakitan dan menebar aroma kematian.
Muslim Arakan hidup di tanah Burma sejak abad ketujuh dan pernah bernaung di bawah kerajaan Islam Moghul India, dengan identiti mereka sendiri. Bahkan makam Sultan Bahadur II juga disemadikan di Mynmar, masjid-masjid lama, nisan-nisan lama adalah bukti empiris bahawa masyarakat Islam telah mendiami tanah Arakan, jauh sebelum penjajahan British lagi. Menarik juga, kerajaan Islam Arakan telah menghantar bantuan kewangan kepada Khilafah Uthmaniah pada tahun 1913, dalam membantu perang di wilayah Balkan. 
Kerajaan Moghul mengamalkan pemerintahan yang adil untuk semua agama dan etnik. Ini menyebabkan Islam berkembang dan memaut nurani manusia kepada agama fitrah. Kejatuhan Empayar Islam Moghul di tangan empayar Pax Britannica, maka dengan perlahan-lahan nasib umat Islam di Burma memburuk. 
Selepas Burma merdeka pada tahun 1948, nasib muslim mula diterjah satu persatu, termasuk Operasi Naga Ming, dan pelbagai kejahatan yang mula menimpa masyarakat Muslim. 
Kumpulan Buddha adalah kelompok yang kuat menentang imperialisme Barat seperti Persatuan Buddha Burma, Persatuan Pemuda Buddha Burma dan sebagainya. Selepas Barat meninggalkan Burma, nasib muslim semakin parah, mereka dianggap orang asing, apatah lagi dengan perbedaan agama dan etnik. 
Muslim Rohingya berkulit agak gelap kerana mereka berketurunan Benggali serta merupakan penganut Islam yang taat. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan, memiliki perniagaan, memiliki senjata, bahkan hak sebagai manusia itu sendiri. Jutaan muslim Rohingya akhirnya cuba melarikan diri daripada Arakan, kerana mereka dibunuh, dibakar dan dirogol. 
Ratusan ribu mengungsi di Cox Bazaar, kem khutupalong, Teknaf dan pelbagai tempat di Bangladesh dalam keadaan terpuruk dan sangat dhaif. Nasib mereka semakin buruk apabila rejim sekular Bangladesh beberapa tahun lepas menutup pintu sempadan .Misi bantuan kepada muslim Rohingya juga dihalang dan mengalami sekatan melampau, cuma keadaan agak baik dalam tahun ini. Antara NGO Malaysia yang aktif membantu muslim Rohingya ialah MAPIM, Muslim Care, Yayasan Amal, namun tak semudah membantu muslim di peta luka ummat yang lain seperti Gaza, Syria, Pakistan, Cambodia. Paling baru ialah NGO, PASrelief yang memasuki khemah pelarian muslim Rohingya, membantu pelarian dengan projek kemanusiaan. 
SIKAP WARGA ANTARABANGSA
Sejujurnya, Turki adalah negara paling terkehadapan dalam membantu pelarian Rohingya terutama dalam empat tahun kebelakangan ini. Tayyeb Erdogan meletakkan keprihatinan yang besar dalam isu kemanusiaan di pelbagai peta luka umat Islam. Ini berbeda dengan negara Arab yang dianugerahi kekayaan minyak dan gas. Umat Islam terpenjara dalam kotak "nation state" yang dibina bekas penjajah sehingga mereka kurang peduli terhadap sempadan akidah, sempadan syahadah. 
PBB dan OIC kurang mencaknai isu ini bahkan negara ASEAN sendiri seolah memekakkan telinga. Walhal, sepatutnya tekanan paling keras datangnya daripada ASEAN sendiri kerana perlakuan rejim Mynmar telah melebihi batas perikemanusiaan. 
Konsep ZOPFAN (Zone of peace, freedom and neautrality) seolah-olah membunuh kepedulian ummah. Darah yang tumpah seolah darah kerbau yang tidak mempunyai nilai harga. Bahkan Malaysia tetap menghantar kontijen ke Sukan SEA di Burma sebelum ini tanpa merasa bersalah. Desakan demi desakan, akhirnya kerajaan Malaysia melalui NGO-NGO memulakan inisiatif yang baik, "Food Flotilla for Mynmar" dalam bulan Februari yang lepas, seterusnya akujanji Malaysia untuk membina hospital medan di penempatan Rohingya di Bangladesh. Jika semua muslim dan kerajaan umat Islam mengambil cakna akan isu ini, maka beban penderitaan Rohingya paling kurang akan sedikit terbela. 
Insyaallah, Muslim Care sekali lagi akan menerbangkan anggota-anggota misi bantuan seramai 22 orang ke khemah pelarian Rohingya pada 26 sehingga 31 Oktober ini. 
Pelbagai bantuan akan dihulurkan seperti agihan pek makanan, membina tubewell, rawatan di medan oleh anggota medik dan paramedik. Muslim Care merasa berbesar hati dapat menyampaikan amanah rakyat Malaysia kepada saudara-saudara Rohingya yang diselimuti kejerihan dan kepayahan. Sebahagian besar anggota misi yang merupakan doktor perubatan akan mempunyai jadual ketat menyantuni mangsa krisis kemanusiaan terburuk di rantau Asia Tenggara ini. – HARAKAHDAILY 26/10/2017 
Penulis ialah anggota Misi Muslim Care 26-31 Oktober ke Kem Khutupalong.
Sumber HD- 26-10-2017 















































































Hapuskan perjudian dan aktiviti tidak bermoral

PENDEDAHAN dan pembongkaran berani Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkaitan perjudian haram dan aktiviti tidak bermoral wajar dipuji dan diberikan sokongan semua pihak, khususnya pihak berkuasa. Dalam pembongkaran terbaru, beliau mendedahkan kegiatan perjudian haram dan aktiviti tidak bermoral didalangi sembila ketua digelar ‘dragon’ yang mengutip RM5 bilion sebulan.
Beliau memaklumkan telah menerima ugutan dan ancaman daripada sindiket perjudian dan akan melaporkan kepada pihak polis. Sindiket ini mengancam untuk menyerang PPIM bila-bila masa selepas pendedahan dibuat oleh pihaknya. 
Saya melihat usaha PPIM dan Datuk Nadzim Johan adalah usaha yang baik bagi memastikan negara ini bebas daripada sindiket perjudian dan aktiviti tidak bermaruah. Tidak ramai pihak yang berani ke depan mendedahkan sindiket perjudian lebih lagi melibatkan kumpulan samseng atau mafia. Ia melibatkan ancaman keselamatan nyawa golongan terbabit termasuk organisasi, pejabat, harta dan ahli keluarga mereka. 
Kegiatan perjudian adalah masalah bersama kerana menyebabkan kemusnahan kepada institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara. Selain itu, aktiviti ini terkait dengan aktiviti kumpulan ‘kongsi gelap’, samseng dengan pelbagai aktiviti sampingan. Boleh jadi ia juga melibatkan pelacuran, rasuah, penipuan, peras ugut, along, dadah, selain jenayah terancang yang lain. Kita juga ingin mengetahui lebih mendalam apakah kegiatan tidak bermoral ini didalangi atau dilindungi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. 

Tidak diketahui sejauh mana kumpulan samseng yang terlibat dalam negara ini mampu menterjemah ancaman dalam bentuk tindakan. Jelasnya ancaman atau ugutan ini membuktikan mereka dalam keadaan terdesak dan tiada siapa boleh menduga apakah yang mereka akan lakukan demi menyelamatkan aktiviti mereka. Ia juga membuktikan bahawa ancaman keselamatan telah mula timbul terhadap orang awam. Golongan kumpulan samseng ini berani mengancam keselamatan orang awam sesuka hati dengan menganggap negara ini milik mereka. 
Saya mengharapkan pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN), dan lain-lain pihak yang terbabit memberi perhatian sewajarnya terhadap ancaman yang diterima oleh PPIM itu. Mereka perlu diberi perlindungan dan didokong agar segala usaha membasmi kemungkaran ini dapat dijayakan sepenuhnya. Kumpulan samseng terbabit perlu ditangkap sebelum mereka bertindak terhadap sesiapa yang mereka ancam. Golongan ini sama bahaya dengan kelompok ekstremis yang mengancam negara dengan kemusnahan. 
Tidak ada pihak yang melakukan kejahatan perlu dibantu atau diberi perlindungan. Sesiapa sahaja yang mendalangi jenayah ini mesti dibanteras sebagaimana seriusnya usaha PPIM mendepani sindiket perjudian. Apa yang diinginkan adalah negara ini bebas dari aktiviti perjudian, pelacuran, dadah dan semua aktiviti tidak bermoral yang menjadi bahaya dan membawa kemusnahan kepada negara. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat - HARAKAHDAILY 24/10/2017
Sumber HD - 24-10-2017 

















































































27 tahun mempersada pemerintahan Islam di Kelantan

HARI ini genaplah 27 tahun PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Menghampiri tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing. Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke-19 dan awal abad 20. PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihan raya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain. PAS kehilangan Kelantan dalam pilihan raya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi DUN sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.
Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latar belakang pendidikan dan sosioekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya. Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti. Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob,  Saudara  Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi. Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman UMNO, krisis pemimpin UMNO dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan UMNO dalam Pilihan raya Umum tahun 1990. 
Pilihan raya Umum pada tahun 1990 telah memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila telah berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas pada tahun 1978. Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 telah menyebabkan UMNO sebagai parti teras orang Melayu telah berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. PAS telah bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain iaitu HAMIM dan Berjasa. Pemuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan telah berjaya memenangi negeri Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen dalam Pilihan raya Umum pada tahun 1990. PAS yang telah memenangi kerusi yang terbanyak telah mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat  sebagai Menteri Besar Kelantan. 
Perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh pendidikan  telah merancakkan perkembangan pendidikan Islam di Kelantan dan negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘Serambi Mekah’. Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal. Beliau akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam. Dalam pembentangan belanjawan negeri Kelantan, belanja pengurusan sekolah YIK sentiasa diberikan keutamaan. 
Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri telah memberikan peruntukan besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun. Apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah–sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, termasuk pendidikan pra sekolah seperti PASTI. 
YIK telah diberikan peranan yang besar untuk memastikan kelangsungan dan menjana pendidikan Islam di Kelantan, sesuai dengan slogan kerajaan Kelantan, ‘Membangun Bersama Islam’. Program pendidikan Islam adalah menekankan kepada melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqidah dan jasmani berdasarkan ajaran Islam. Sekolah-sekolah YIK terbukti mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR, SPM dan STPM. Di antaranya ialah Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan yang sentiasa berada di carta teratas sekolah cemerlang di negara ini. 
Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di Negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz Al Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS. 
Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. 
Kelantan semenjak abad ke-19 merupakan negeri yang sangat subur dengan pengajian pondok sehingga digelar ‘Serambi Mekah’. Kewujudan sekolah pondok juga adalah kerana rangsangan berterusan daripada masyarakat sekitar dan kewujudan tenaga pengajar utama yang digelar sebagai ‘tuan guru’. Tokoh pondok ini pula diketahui mempunyai ilmu yang tinggi kerana mendapat pendidikan Islam di luar negara, namun kegemilangan pondok merosot akibat beberapa faktor seperti kehilangan tokoh pondok (Tuan Guru), sikap masyarakat yang semakin berubah pandangan terhadap pondok, kecenderungan untuk menghantar anak-anak ke institusi pengajian Islam formal. 
Kerajaan PAS di Kelantan telah memberikan perhatian yang besar kepada pembangunan pondok, bahkan juga oleh pemimpin PAS negeri itu sendiri di mana sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan institusi ini. Contohnya, Menteri Besar Kelantan sendiri merupakan pelajar pondok dan anak kepada pengasas madrasah, Baihaqi Atiqullah ialah anak kepada tokoh utama pondok Pasir Tumbuh, Abdul Latif Abdul Rahman merupakan anak kepada pengasas Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Ahmad Yakob iaitu Timbalan Menteri Besar anak kepada tokoh utama pondok dan madrasah, Nasruddin Daud (ADUN Meranti), Haji Abdul Fattah Harun, Dato’ Nik Amar Nik Abdullah adalah anak kepada tokoh guru pondok dan ramai lagi yang lain. 
Di antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan. 
Kelantan telah membangun dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Negeri ini telah berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan. Legasi almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diteruskan oleh kepimpinan Kelantan pada hari ini. Semoga rakyat Serambi Mekah ini terus mendukung aspirasi "Membangun Bersama Islam" untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini. – HARAKAHDAILY 20/10/2017 
Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.
Sumber HD - 20-10-2017 


















































































Tolak politik rasis dan serangan peribadi

KENYATAAN Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan dalam ceramah Himpunan Antikleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya pada minggu lepas mengungkit mengenai keturunan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berbangsa Bugis dan melabel Bugis sebagai lanun adalah kenyataan yang tidak boleh diterima oleh masyarakat. 
Tun Dr Mahathir seakan melepaskan dendam kesumatnya terhadap Perdana Menteri setelah beliau dihina dan diaibkan mengenai keturunannya beberapa bulan lepas. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu ucapan pernah membongkarkan kad pengenalan milik Tun Dr Mahathir dengan mendedahkan identiti sebenar beliau sebagai “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”. Satu Malaysia heboh dengan kenyataan itu dan menganggap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebagai biadap dan berniat jahat. Tidak ada pihak yang menerima kenyataan TPM itu yang merendah-rendahkan individu lain demi meraih kepentingan politik dirinya. 
Tetapi apa yang dikesalkan adalah penyokong Pakatan Harapan dan pemimpin yang hadir pada malam itu tidak sedikit pun menegur sikap biadap bekas PM itu kerana melontarkan penghinaan ke atas pemimpin negara. Ketika Tun Dr Mahathir dihina oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan kenyataan perkauman, pemimpinnya bangkit menyatakan kemarahan. Ada laporan polis, ada usaha mengangkatnya sebagai usul tergempar di Parlimen, kenyataan yang mengutuk balas dan lain-lain lagi. Namun ketika Tun Dr Mahathir pula mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menghina keturunan PM pula, mereka diam membisu. Apakah hukum penghinaan boleh diterjemah dalam dwi tindakan, untuk pemimpin mereka – ya itu satu penghinaan, tetapi jika pemimpinnnya menghina – itu bukan menghina! 
Politik Malaysia kelihatan hodoh apabila sentimen perkauman, keturunan dan bangsa mengambil tempat dengan tindakan ejek mengejek dan menghina antara satu sama lain. Rakyat melihat pemimpin kekeringan idea dalam pembangunan negara sehingga menjadikan isu peribadi termasuk keturunan sebagai bahan jenaka dan kutukan. 
Pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang tidak ada akhlak dan tidak menghargai keharmonian serta perpaduan kaum di negara ini. Mereka adalah pemecah belah keutuhan ummah dengan usaha memercikkan api kemarahan bangsa dan kaum tertentu agar rakyat berpecah. 
Tindakan Tun Dr Mahathir merendahkan dirinya sendiri sebagai seorang negarawan yang dihormati di dalam dan luar negara. Beliau memperlihatkan sikap terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri sehingga menggunakan apa sahaja senjata yang ada untuk dihalakan ke atas musuh politiknya.  Rakyat juga merasakan semua gerak langkahnya kini lebih kepada dendam peribadi kepada Perdana Menteri daripada memperjuangkan rakyat dan negara. 
Beliau kini menanggung akibat dari ketelanjuran dan keceluparannya itu. Satu demi satu laporan polis, kenyataan balas, menghina dan merendahkan dirinya keluar dari pemimpin bawahannya atau pihak lain. Silap beliau kini, bukan sahaja pelurunya tidak tepat ke sasarannya, malah tersasar dan mengena banyak pihak. Tidak ada cara bagi meredakan kemarahan banyak pihak ke atasnya, melainkan memohon maaf atas kenyataannya itu dan tidak menjadikan kenyataan itu sebagai senda gurau. Ia juga sebagai peringatan paling tepat kepada semua ahli politik, agar menjauhi sentimen perkauman, bangsa dan keturunan jika mahu menang dalam PRU ke-14. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
19 Oktober 2017 - HARAKAHDAILY 19/10/2017
Sumber HD-19-10-2017 


FITNAH RUU 355 Ditangguhkan berluasa
Posted on Wednesday, October 18 @ 07:13:29 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbdullahOthman

http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=35994



Tersebar lagi kononnya berlaku perbualan antara Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dengan seseorang di whatsapp yang menyatakan RUU355 akan ditangguhkan.

Keratan WHATSAPP PALSU ini ditularkan seluasnya dan dicanangkan bahawa RUU355 bakal ditangguhkan selepas PRU14.

Ternyata keratan whatsapp ini adalah PALSU..!

Beberapa kesilapan dalam penghasilan WHATSAPP PALSU ini :

1) Bila save nama panjang dalam hp, nama penuh tidak akan keluar di whatsapp, tapi ini keluar.

2) Nama di hujung tu boleh bertindih dengan icon kamera.

3) Ayat pun macam esei, ejaan lengkap tanpa shortform, seolah² copy paste. Jarang dibuat orang.

4) Sepatutnya kolum hijau kanan adalah penghantar,k olum putih adalah penerima. Tidam mungkin penerima itu bernama Dato' Mahfodz kalau dia membahasakan dirinya dengan si penghantar 'ustaz'. Mugkin pemfitnah lupa nak betulkan.

Tidak tahulah apa niat si tukang FITNAH, yang pasti ia sedang digunakan oleh musuh PAS untuh memburuk²kan PAS.

Siapa yang buat? Itu tidak dapat dikenalpasti. Yang pasti, biasanya siapa yang paling hebat memainkan api fitnah, mungkin fitnah itu berasal daripada puaknya.



SEBARKAN...

FB
Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor

Sumber TKO - 18-10-2017





















































































Implikasi dan unjuran daripada himpunan PH 14 Okt

ALAM siber berdecak hebat dengan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menganjurkan himpunan mega mereka yang digerakkan kempen ini sejak daripada Julai tahun ini. Tempoh kempen dan mobilisasi untuk menggerak seluruh penyokong PH untuk berhimpun dan mempamerkan genderang perang PRU14 selama lebih tiga bulan adalah tempoh yang memadai. Jika tempoh yang sama digerakkan oleh pasukan mobilisasi PAS, sebagaimana terbukti sebelum ini maka 270,000 hingga 300,000 ahli akan berhimpun seperti himpunan H355 dan FASTAQIM 2.0.
Menarik membaca ribuan komen netizen, juga lapik alasan yang diberikan oleh pemuka-pemuka PH mengapa himpunan mega ini gagal mencapai sasaran 100,000 peserta. Dianggarkan sekitar tujuh ribu peserta yang mengambil bahagian dan sehingga menjelang Maghrib sekitar lima ribu peserta yang terpencar-pencar di padang Petaling Jaya Timur. Saya pada petang program himpunan mega ini, berkuliah Maghrib di Masjid ar Rahman Universiti Malaya, alma mater yang sinonim dengan bantahan awam dan kebangkitan gerakan pelajar. Kenderaan saya berdesut laju di aspal melalui Kerinchi Link, membelah kawasan Lembah Pantai yang berjiran dengan Petaling Jaya tanpa sebarang kesulitan. Fenomena ini berbeda jika himpunan besar diadakan oleh PAS ataupun dahulunya Pakatan Rakyat. 
Di penghujung kuliah fiqh Sirah malam itu saya mengumumkan untuk ke Petaling Jaya dan sebahagian jemaah seakan mencebik dan berwajah sinis. Saya membetulkan keadaan dengan menyatakan saya akan menghadiri satu majlis liqa fikri di Petaling jaya, bukan hadir untuk berhimpun di padang. Signal sangat jelas, bagi jemaah kuliah masjid, tiada manfaat akhirat daripada perhimpunan awam yang meletakkan di atas pentas utama, tokoh-tokoh yang juga terpaling sarat dengan kroni kapitalisme dan penyakit KKN semasa berada di tampuk kekuasaan. 
Saya dan pembantu saya, Faizal sekali lagi terkejut apabila jalan utama ke Petaling Jaya untuk menghadiri program liqa' yang dianjurkan oleh PAS kawasan Petaling Jaya Selatan juga lancar tanpa apa-apa kesesakan trafik. Sangat aneh!, bagi sebuah himpunan mega empat parti komponen sebegitu meleset kehadiran. Entah mengapa malam tadi sebelum bermula program, sambil menyuap nasi berlauk ikan singgang di medan selera Kampung Medan, Petaling Jaya, cermin ingatan saya terbayang guratan sedih Haji Mohamad Sabu. Abang Mad, beberapa hari sebelum ini dalam sebuah portal berita dengan bangga menyebut PAS merindukan beliau. Saya hampir tersedak dan menambah lagi separuh pinggan nasi, saya keliru sama ada hendak ketawa atau menangis dengan kenyataan Presiden PAN itu. 
Kegagalan himpunan anti kleptokrasi ini menatijahkan beberapa perkara dan menjadi bahan lelucon peminat-peminat politik tanah air. Pertama, sebelum terbarainya PR, himpunan mega sentiasa berjaya dan menarik minat masyarakat awam untuk menyertainya. PAS yang menjadi rakan komponen PR telah berjaya memobilisasi ahli-ahlinya turun berhimpun. 80 peratus peserta himpunan adalah ahli PAS, manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat sivil yang lain. PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya, daripada peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan Wilayah Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat. 
PAS bukan hanya hadir meramaikan himpunan tetapi membekalkan petugas keselamatan dan disiplin iaitu anggota Jabatan Amal yang sangat berdisiplin dan mempunyai dedikasi yang tinggi. PAS dengan pasukan khas medik yang bersiaga dengan elemen kecemasan, bahkan dengan ambulansnya sendiri. Ahli-ahli PAS hadir dalam himpunan, disertakan dengan niat untuk menderma pada penganjur bagi menampung kos himpunan. 
Kedua, kegagalan ini juga satu cerminan bahawa PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti untuk menjulang tema himpunan tolak klepetokrasi. Mahathir dan alumni Umnonya mempunyai bagasi sejarah silam yang tak mampu dipadamkan dengan apa jua serbuk penyental. Mereka daripada pasukan perampok negara dengan pelbagai skandal kewangan semasa di koridor kuasa. Mereka "acah-acah suci" untuk menolak kebobrokan pemerintahan Najib dan rakyat yang pernah menderita di zaman demokrasi terpimpin Dr Mahathir tak mudah melupakan senarai panjang kezaliman dan salah guna kuasa. 
Begitu juga dengan pimpinan DAP yang berkuasa di Pulau Pinang, rakyat umumnya tidak mempunyai keyakinan parti bercorak etnosentrism ini bersih daripada kroni kapitalisme dan gejala rasuah. Lihat sahaja ucapan pimpinan utama DAP di pentas utama himpunan yang hanya meratib "gila" berulang kali tanpa kerangka berfikir yang mapan untuk memulihkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa. Kayak ucapan mereka, kokok berdegar-degar tetapi ekor bergelumang tahi! 
Ketiga, himpunan bernuansa menunjukkan kekuatan pengaruh ini bertukar menjadi himpunan menampar ego dan maruah mereka apabila tidak berjaya menarik anak-anak muda untuk bersama. Sangat kontradik dengan himpunan FASTAQIM 2.0 dua minggu yang lepas di Tok Jembal, lebih 70 peratus adalah anak-anak muda pelbagai latar belakang. Bukan sahaja anak-anak muda aliran tarbawi dan tajnid tetapi anak-anak muda ranggi yang meminati genre muzik keras turut memeriahkan himpunan. PAS sebagai gerakan massa berjaya memicu kesedaran politik anak-anak muda termasuk perempuan muda yang agak liat mencampuri urusan politik. Maaf!, saya melihat Dapsy, Armada, Pemuda PAN dan anak muda PKR gagal menjadi titik pesona untuk merengkuh sokongan orang muda bawah 40 tahun. Mutu kepimpinan anak muda PAN dengan jurang yang luas untuk dibandingkan dengan pimpinan Dewan Pemuda PAS. Mereka pecundang Muktamar 2015, jika bertanding di peringkat Pemuda PAS kawasan pun tidak akan berjaya menang. Kompetensi, bakat, kegeniusan politik dan aura kepimpinan pemuda PAN tidak menonjol. Tiada program skala mega yang pernah mereka laksanakan di peringkat nasional atau negeri. 
Keempat, pemilihan lokasi himpunan di kubu kuat PH, maka sebab itulah penganjur sangat yakin akan berjaya menghimpunkan 100,000 peserta. Petaling Jaya, berdekatan dengan Puchong, Kelana Jaya, Subang, Seputeh, Shah Alam. Jika di kawasan dikatakan kubu sekali pun tak mampu untuk mengerah ahli dan penyokong, bayangkanlah jika di kawasan tegar BN. FASTAQIM 2.0 dilaksanakan di Terengganu, negeri yang diperintah oleh Umno BN. Tidak sedikit halangan yang ditempuh oleh penganjur himpunan. 
Bendera PAS dicabut, dikenakan saman oleh pihak berkuasa tempatan, ada masjid yang menutup bekalan air untuk pengunjung dan pelbagai karenah BN. Namun, keazaman dan iltizam penyokong PAS berupaya mengatasi segala halangan. Paling dungu, ada seorang pemimpin PH mengatakan jika PAS mengadakan himpunan mega di Lembah Klang, maka keadaan adalah sebaliknya (tak mampu menghimpun khalayak). Mereka lupa tanggal 18 Februari lalu, 300,000 ahli dan penyokong PAS telah membanjiri Kuala Lumpur. Mereka datang sejauh Sabah dan Sarawak, juga daripada pedalaman Semenanjung seperti Sik, Baling, Hulu Besut untuk menyatakan sokongan terhadap matlamat himpunan. Mereka menyewa bas, berkonvoi dengan motosikal, bahkan ada yang mengayuh basikal bersimbah keringat sejauh 400 kilometer! 
Kelima, hambarnya himpunan mega PH juga adalah terjemahan bahawa koalisi ini tidak mempunyai jentera akar umbi. Saya sangsi adakah pemuafakatan politik ini mengadakan culaan undi, kursus PACA, stimulasi pilihan raya dan pelbagai kerja untuk memenangi pilihan raya. Selama ini jentera pilihan raya PR disandarkan pada PAS, petugas PAS diatas nama arahan jamaah dan sikap setiakawan telah membantu rakan komponen PR. 
Kali ini jentera PAS tidak perlu memikul biawak hidup lagi, mereka boleh menghela nafas lega sambil berzikir mengingati Allah. 
Keenam, himpunan mega PH ini juga menunjukkan mereka tidak berjaya menyusun dan merengkuh sokongan jaringan sivil (NGO). Kumpulan anak muda seperti SAMM dan lain-lain aktivis gerakan kiri agak menyepikan diri kali ini. Saya difahamkan, kelompok radikal tidak selesa dengan keberadaan Dr Mahathir dalam hirarki kepimpinan PH. Mana mungkin seorang yang menggunakan pelbagai akta drakonian di zaman berkuasa kini diwirakan untuk memimpin kebangkitan rakyat menentang rejim yang korup. Berbeda dengan keupayaan PAS yang berjaya mengkoordinasi ratusan NGO untuk menjayakan cita-cita perjuangan merubah kefasadan negara dengan kesejahteraan Islam. 
Jika himpunan 14 Oktober yang lalu adalah nafiri peperangan, maka semua Jeneral PH bolehlah bersara dan melepaskan baton kepada pelapis baru kepimpinan, tetapi siapa lagi yang mereka ada. Perjuangan menentang rasuah, ketirisan, kroni kapitalisme mestilah digalang oleh insan yang bersih daripada semua kebejatan itu. Air kencing tak mampu menyucikan najis!, meruntuhkan jahiliah maka jangan sampai menegakkan jahiliah yang baru. Itulah hakikat tragedi Oktober, himpunan yang bakal membuka pelbagai lagi kisah kocakan dalaman rumahtangga PH. Semoga ada yang segera membuka mata melihat wayang separuh siap ini. – HARAKAHDAILY 16/10/2017 
Penulis adalah Pengerusi LESTARI, mantan perusuh budiman dan demonstran tegar.
Sumber HD - 16-10-2017 























































































Hentikan fitnah di media: Jentera siber perlu dahului

JENTERA siber (cybertrooper) semua peringkat parti politik perlu menghentikan berita berunsur fitnah di media sosial agar rakyat tidak bosan mengikuti perkembangan politik negara dan mengambil bahagian dalam Pilihan raya Umum ke-14 nanti. Kajian yang dijalankan menunjukkan ramai kelompok rakyat yang tidak mahu mengetahui isu-isu politik, tidak peka isu-isu semasa dan ramai juga yang tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai pengundi. Apa yang dibimbangkan nanti adalah peratusan pengundi dalam PRU ke 14 nanti yang merudum, sekali gus merencat usaha membentuk demokrasi yang segar dan sihat. 
Jentera siber dari mana-mana parti politik perlu jelas kewujudannya. Mereka berperanan penting menjawab tohmahan yang dilemparkan ke atas kelompok dan pemimpin mereka dengan cara yang betul, memberi informasi yang benar di samping mempromosi politik sihat. Selain itu, maklumat yang tidak lengkap, sekadar ‘hear say’ (cakap dengar), rumus dan spekulasi adalah perkara yang perlu dibuang dan bukan disebarkan. Banyaknya maklumat seperti ini hanya sekadar persepsi yang jauh dari kebenaran yang akhirnya mengundang perpecahan. 
Walaupun jentera siber memainkan peranan di belakang tabir sebagai key board warrior dengan menggunakan pelbagai nama samaran, berselindung di sebalik pelbagai identiti, dan mendapat upah imbuhan yang tinggi, namun ia bukan alasan unuk mereka menyerang musuh politik dengan sewenang-wenangnya. Malah, dengan identiti yang tidak jelas itu, jentera siber boleh berperanan lebih beradab dan beretika bagi memastikan tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh. 
Dalam keadaan mood anak-anak muda yang tidak gemar kepada suasana politik semasa, seharusnya jentera siber politik berusaha mempromosi politik dengan gambaran yang sihat dan membina. Politik negara perlu diwarnakan dengan ‘warna putih’ yang menggambarkan kebaikannya demi kesejahteraan negara. Rakyat berperanan mencorakkan kepemimpin negara sekarang dan akan datang, justeru mereka perlu melibatkan diri dalam gelanggang politik. 
Sikap menabur fitnah dan memburukkan musuh politik dalam media sosial adalah budaya politik songsang yang telah ditinggalkan orang. Rakyat benci melihat sikap segelintir pihak yang berpolitik tanpa kesudahan serta kenal batas hukum halal dan haram, dosa dan pahala. Yang rakyat mahu lihat adalah apakah tawaran parti-parti dan pemimpin politik di samping jalan penyelesaian terhadap kemelut yang mereka hadapi sekarang ini.

Sepatutnya semua parti politik mengamalkan ‘gencatan fitnah jentera siber’. Gencatan ini pula kekal sepanjang masa sampai bila-bila dengan tumpuan beralih kepada fakta dan kebenaran, bukan cerita rekaan atau sentimen yang menghasut. Kita mahu PRU14 berlangsung dalam keadaan politik besih tanpa fitnah, politik membina bukan meruntuhkan, politik memujuk bukan mengutuk. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Sumber HD - 14-10-2017 

























































































Ancaman neo muktazilah semakin gencar

MENGGUNAKAN rasional akal dalam menafsir agama dengan alasan membuka ruang dimensi berfikir semakin berleluasa di tanahair kita. Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka,  bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.
Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut ummat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi. Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama melarang wacana Mustapha Akyol,  seorang sarjana Turki yang ingin menebarkan fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat bagaimana kelompok Islam Liberal negara ini bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran wacana Mustapha Akyol. 
Bentuk-Bentuk Pemikiran Golongan Islam Liberal 
1. Mereka menganut fahaman pluralisme
Iaitulah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: "Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran". 
Dengan fahaman inilah, maka lahirnya ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam Liberal di sana. Di Malaysia, penularan fahaman Pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut; 
a. Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan para ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam Liberal menolak pandangan Mufti dan ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup. 
b. Kerana terpengaruh dengan fahaman Pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis/Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001. 
2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia
Dalam isu murtad - seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani), golongan Islam Liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah. Seorang peguam yang juga merupakan ahli parlimen daripada parti kerajaan iaitu Zaid Ibrahim pernah mengungkapkan isu murtad ini dalam satu forum yang dianjurkan oleh SUHAKAM pada 9 September. 
Bagi kelompok Islam Liberal yang jahil ini mereka berhujah bahawa Hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalah tafsirkan ayat Allah yang berbunyi; "Tidak ada paksaan dalam agama". (Al-Baqarah; 256) 
Menurut tafsiran ulama tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara aqidah dan Iman. Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar daripada agama akan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya. 
Adapun hukuman di dunia ia akan dibunuh sebagaimana yang sabit dengam dalil as-Sunnah yang soheh iaitu sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa menukar agamanya (yakni murtad), maka hendaklah kamu membunuhnya". (Riwayat Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain dari Ibnu Abbas) 
3. Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman
Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran ulama terdahulu. Tafsiran ulama terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang. Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh wal Mansukh, tafsiran Rasulullah, para sahabat dan ahli-ahli tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan rasional. 
"Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman. Kepada umat Islam, kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik". (Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, News Straits Times) 
Jelasnya, golongan Islam Liberal mengajak umat Islam kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan ilmu akal semata-mata. Kerana itu mereka awal-awal lagi telah menolak hadis Nabi yang bermaksud, "Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka" dengan mendakwa hadis tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya berfikir, merenung dan menggunakan akal. 
4. Mempertikai syari'at Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional
Pada pandangan mereka hukum syari'at Islam adalah ciptaan ulama dan fuqahak. Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah hukum-hakam Syari'at yang Qat'ie. Antara hukum-hakam Syari'at yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah: 
a. Hukum faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita
b. Keharusan poligami bagi lelaki.
c. Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita
d. Hukuman bunuh ke atas orang murtad
e. Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah
f. Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuklah dalam solat.
g. Hak mutlak suami untuk mencerai isteri
h. Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam
i. Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia 
Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada pembaharuan Fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada ulama dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam Liberal menolak autoriti ulama dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat bahawa sesiapa sahaja berhak bercakap tentamg agama.
5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama 
Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia. 
Sebagai contohnya, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain. Mereka telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia. 
Malah dalam satu kenyataannya SIS meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara. Malahan pertubuhan itu juga tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang muslim. Hal ini kerana persoalan yang berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan. - HARAKAHDAILY 11/10/2017 
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI
Sumber HD - 11-10-2017 



























































































Mengenang Almarhum Sheikh Mehdi Akef

SOSOK besar dunia Islam ini telah meninggalkan kita dengan seribu keteladanan, terutama abnaul harakah yang pernah mendapat sentuhan tarbiah daripadanya. Kehilangannya telah meninggalkan kenangan yang indah dengan sifatnya yang suka membina pelapis perjuangan. Beliau menjadi tetamu kami, pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat dalam program perkaderan mega yang dikenali sebagai Ijtimak Tarbawi 2011. Figura tarbiah ini menyemangati anak-anak muda yang datang daripada seluruh negara, berkampung di KUIZM Taman Melewar. Usianya saat itu awal 80-an tetapi seperti mengobar semangat daripada podium seperti berusia 30an.
Beliau ialah Mohammed Mehdi Akef atau lebih senang dipanggil di kalangan anggota Ikhwan dengan Mehdi Akef. Dilahirkan pada 12 Julai 1928M/24 Muharram 1347H di Kufr Awad as-Sanitah, mukim Aga Daqahlia (Mansoorah). Beliau mendapat pendidikan awal di peringkat rendah di kampungnya, sementara peringkat menengah pula beliau belajar di Sekolah Fuad I di Kaherah. Kemudian beliau menyambung pengajian di Kolej Tinggi Pendidikan Sukan dan keluar sebagai graduan pada 1950. Selepas menamatkan pelajaran di kolej berkenaan, Mehdi memulakan kerjaya sebagai guru pendidikan jasmani di sekolah menengah lamanya iaitu Fuad I. Walaupun demikian, minatnya kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin telah berputik pada awal tahun 40-an dan mengenali pimpinan seperti Sheikh Imam Hassan al-Banna di samping Sheikh Muhyuddin al-Khatib yang merupakan penceramah rohani Ikhwan ketika itu. 
Tidak lama kemudian, Mehdi melanjutkan pelajaran di Fakulti undang-undang pada tahun 1951, dan beliau mengetuai kadet tentera di Universiti 'Ain Syams yang diarahkan untuk mempertahankan Mesir melawan Inggeris di Terusan Suez hingga berlaku revolusi antara Ikhwan dan kerajaan Mesir pimpinan Gamal Naseer. Beliau juga pernah memimpin gerakan pelajar semasa menuntut di universiti yang cenderung kepada gerakan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1954. Dengan keterampilannya yang memberangsangkan ini, beliau telah dilantik sebagai Ketua Unit Pendidikan Jasmani di Markas Umum Ikhwan di Kaherah. 
Pada tahun yang sama, beliau ditahan oleh pihak berkuasa Mesir dengan tuduhan bersubahat dengan Jeneral Abdel Mun'im Abdel Rauf yang merupakan antara pegawai tinggi tentera merangkap salah seorang tokoh gerakan kerana mahu menggulingkan kerajaan pimpinan King Farouq. Kedua-dua mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati, tetapi akhirnya hukuman diringankan dengan hanya dimasukkan ke dalam penjara dan melakukan kerja-kerja berat selama beberapa tahun. 
Selepas bebas pada tahun 1974, iaitu pada era pemerintahan Presiden Anwar Saddat, Mehdi ditawarkan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Belia di Kementerian Pembangunan. Pengalaman yang diceduk di kementerian berkenaan, menjadikannya sebagai aset berguna untuk menimba pengalaman apabila beliau berangkat ke Arab Saudi menjadi penasihat kepada Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY) yang bertanggungjawab mengadakan perkhemahan, persidangan dan motivasi agama terhadap golongan belia di pelbagai pelosok dunia. 
Penglibatannya dalam WAMY menjadikannya lebih serius menjana keperibadian golongan belia. Kesempatan bersama belia diutamakan kerana merekalah golongan yang akan mencorakkan masa depan negara masing-masing, baik mereka maka baiklah negara atau sebaliknya. Justeru beliau telah melakar strategi untuk menganjurkan perkhemahan demi perkhemahan di negara-negara umat Islam seperti di Arab Saudi sendiri, Jordan, Malaysia, Bangladesh, Turki, Australia, Mali, Kenya, Cyprus, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat. 
Bagi memantapkan lagi tanggungjawab selaku motivator, Mehdi meletakkan jawatan sebagai penasihat di WAMY dan berpindah ke Munich, Jerman sebagai Pengarah Pusat Islam di sana. Setelah beberapa tahun menetap di Eropah dan telah banyak menimba pengalaman yang tidak ada di nota-nota kuliah, Mehdi akhirnya pulang ke tanah airnya di Mesir untuk memperkasa Ikhwan dengan pengalaman yang ditimba. 
Politik Mesir yang diperintah oleh beberapa presiden termasuk Hosni Mubarak, merupakan politik kotor dengan diselaputi pembohongan dalam pilihan raya kerana mahu mengekalkan kuasa, para pengundi yang berpihak kepada Ikhwan dihalang dan dinafikan hak mereka untuk mengundi. Maka, berlakulah pertembungan antara parti pemerintah pimpinan Hosni Mubarak dengan anggota Ikhwanul Muslimin. Berlakunya campur tangan secara terancang bagi melakukan pertuduhan terhadap wakil-wakil rakyat dan ahli parlimen Ikhwan. Ramai antara mereka ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara termasuk Mehdi Akef selama tiga tahun dari 1996-1999. 
Pelbagai cara digunakan pemerintahan pimpinan Hosni Mubarak untuk menjatuhkan Ikhwan dan jaringannya, pada 23 November 1995, Mahkamah Tinggi Tentera Mesir mensabitkan 54 ahli Ikhwan termasuk Dr Essam al Din Aryan yang telah menerima hukuman penjara lima tahun. 
Mehdi merupakan seorang yang pintar dalam mencorakkan strategi Ikhwan dalam mengumpulkan sokongan masyarakat, apatah lagi dengan merosotnya tahap kehidupan rakyat akibat pemerintahan kuku besi rejim Mesir serta budaya rasuah yang melingkari pemerintah. Kemahatololan rejim Mesir telah menyebabkan negara yang pernah bertakhta di hati umat Islam dunia sebagai mercu ilmu kini diserkap dengan masalah kemiskinan dan keterpurukan. 
Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat.
Sumber HD- 7-10-2017 






























































































Batalkan Pesta F&B Jerman: Elak ulangi tragedi Las Vegas


AMARAN atau nasihat dari Ketua Polis Negara Datuk Seri Fuzi Harun yang meminta penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman agar memikirkan kembali penganjurannya di Klang pada 12-13 Oktober 2017 ada asasnya. Beliau mengaitkan penganjuran pesta ini dengan kejadian tembakan di Las Vegas yang mengorbankan 59 orang.
Kejadian di Las Vegas menjadi saksi bahawa Stephen Craig Paddock, 64, menembak membuta tuli pengunjung yang membunuh berpuluh orang dan mencederakan 500 yang lain. Beliau bukanlah pengganas dikehendaki, bukan juga ekstremis agama. Bahkan dikatakan beliau adalah kaki judi yang tegar. Tetapi beliau bertindak kejam membunuh manusia tanpa belas kasihan. 
Meskipun dikatakan pihak berkuasa tempatan sudah memberikan kebenaran F&B diteruskan dan permit acara itu juga diperolehi daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 28 September 2017, tetapi Datuk Seri Fuzi memberikan nasihat atas langkah keselamatan, bukan faktor politik. Sebagai KPN, beliau berhak merasa bimbang dengan ancaman keselamatan walaupun petugas keselamatan ditempatkan di kawasan kejadian sepanjang acara itu. Kenyataan beliau juga bukan menakutkan pihak penganjur, tetapi sebagai langkah waspada agar ketenteraman awam dapat dijaga. Pastinya beliau mempunyai rangkaian maklumat dan risikan yang lengkap sehingga beliau berani menuturkan nasihatnya itu. 
Isu keselamatan dan pembunuhan dalam pesta keramaian bukan kali pertama berlaku. Beberapa kejadian tembakan dan pembunuhan dalam konsert di Amerika juga berlaku sebelum ini yang mengorbankan banyak pihak. Malah, di negara-negara Eropah, ancaman keselamatan dipandang serius kerana kerap berlaku tembakan, rempuhan van, bom jangka dan lain-lain dalam mana-mana pesta yang dianjurkan. 
Jika dipandang pada serangan pengganas, kejadian yang berlaku kelmarin dan sebelum ini membuktikan bahawa bukan pengganas menjadi dalang serangan-serangan. Banyaknya dilakukan sendiri oleh pengunjung dengan sebab-sebab tertentu. Tidak ada jaminan peserta yang mabuk, kelompok samseng atau mafia bergaduh dan terlibat dalam sebarang insiden yang tidak diingini. Penjenayah juga mudah menjadikan pesta-pesta keramaian untuk menyeludup dan melakukan pelbagai aksi ngeri yang sukar dibayangkan dan melarikan diri dengan selamat. 
Penganjur tidak seharusnya berpegang kepada rekod selamat selama enam tahun penganjurannya sebagai sebab untuk menganjurkannya sekali lagi. Dunia kini dalam ancaman keselamatan, dan sepatutnya Malaysia mengambil langkah lebih berwaspada terhadap apa juga perkara. Apa yang diinginkan oleh semua adalah negara dalam keadaan selamat, jauh daripada malapetaka yang merosakkan dan mengancam jiwa dan keharmonian rakyat. Nasihat polis sudah diberikan, dan tidak rugi mendengar pandangan dan teguran dari mereka yang benar-benar tahu maslahat semasa. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat




























































































































































































Sumber HD - 6-10-2017
































































































Tindakan tiada maruah kempen politik Umno di sekolah


TERSEBAR video dalam media sosial berkenaan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) yang memaparkan ratusan murid-murid dan guru-guru mengambil bahagian dalam pertandingan bertemakan “Umno dan Kemerdekaan #Negaraku”. Dalam acara itu, bendera Umno dipasang di seluruh sekolah. Para murid mengibarkan bendera Umno dan menyanyikan lagu parti itu. Terdapat sepanduk “Hidup Umno, Hidup Melayu. Dulu, Kini dan Selamanya” dinaikkan di pentas.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dijemput sebagai perasmi program. Beliau yang juga adalah Setiausaha Agung Umno pada ucapannya secara terbuka mempelawa para guru menyertai Umno. 
Apa yang dikesalkan adalah Umno secara jelas mempergunakan institusi sekolah dan pelajar-pelajar sekolah rendah sebagai alat indoktrinasi terbaru. Pastinya guru-guru juga dipaksa menyanyi dan mengibarkan bendera Umno dalam keadaan terpaksa. Bahkan guru-guru dikempen agar menyertai Umno. 
Dalam keadaan mereka melaungkan untuk tidak mempolitikkan institusi pendidikan (termasuk tindakan keras kepada penjawat awam, pelajar dan mahasiswa yang terlibat menyertai parti politik pembangkang sebelum ini), kini mereka pula tanpa segan silu menjadikan sekolah sebagai wadah politik baharu. Apakah Umno khususnya Datuk Seri Tengku Adnan terlalu terdesak meraih sokongan sehingga menjadikan sekolah sebagai bahan politik meraih undi beliau. Tidak cukupkah alat propaganda Umno melalui Biro Tata Negara (BTN) bermain saraf melalui kem-kem di Institusi Pendidikan Awan dan Swasta (IPTA/S) serta jabatan kerajaan, kini sekolah pula mahu dirasuk? Apakah culaan terkini Umno Putrajaya dalam keadaan tidak selamat dan bakal tumbang sehingga memaksa program indoktrinasi di sekolah dilakukan secara terbuka? 
Saya menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas terhadap sekolah terbabit dan memberi amaran kepada sesiapa juga yang menjadikan sekolah sebagai tempat kempen politik. 
Mempolitikkan pelajar dan sekolah dengan aktiviti kempen politik parti adalah kegiatan tidak bermaruah yang boleh mencemar keharmonian dan keamanan rakyat. Sikap seperti ini mewujudkan suasana tidak selesa sehingga menimbulkan bibit perpecahan dalam masyarakat. 
Jika Umno berani berterus terang berpolitik di sekolah, sepatutnya ruang politik juga dibuka kepada parti-parti politik lainnya, termasuk PAS. Selama ini, sekolah-sekolah termasuk guru dan kakitangan yang dianggap mesra PAS sering kali diancam, diugut dan diambil tindakan, selepas insiden ini seharusnya ia tidak menjadi halangan lagi. Jika PAS seringkali ditohmah memperguna pelajar sekolah, pelajar tahfiz termasuk sekolah, pondok, tahfiz dan lain-lain, dengan kejadian yang berlaku di Putrajaya itu, tohmahan itu tidak patut berlaku lagi. Semua pihak tidak perlu dikawal dan guru-guru, ibu bapa, mahupun kakitangan bebas memilih wadah sokongan politik mereka tanpa takut. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Sumber HD - 4-10-2017 

































































































Pantai Tok Jembal hantar isyarat kemenangan

TERENGGANU menggamit kehadiran ratusan ribu pengunjung dalam suasana pra tengkujuh yang resah gelisah. Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat.

Dalam dua pilihan raya umum, PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959 dan 1999, manakala dalam pilihan raya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah. (Foto fb Fastaqim 2.0)
Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, di mana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi. Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam. 
Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat seperti sekam dibakar api, penubuhan cawangan PAS menjadi pantas berkembang, paralel dengan kegiatan jihad ta'lim. Terengganu pada awal abad 20 menyaksikan Sarekat Islam Terengganu menjadi wadah penentangan kepada British dengan kemuncaknya berlaku perang Padang Kachong pada tahun 1928. 
Negeri yang subur dengan jihad ta'lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam. Terengganu juga disorot oleh majalah Asiaweek sebagai negeri paling hangat pertarungan politik termasuk di luar musim pilihan raya. 
Dengan latarbelakang sosiopolitik dan bermuarakan sejarah perjuangan Islam di Terengganu inilah maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihan raya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli, Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen. 
Terengganu dalam dekad 1980-an ,digegar dengan "fenomena Haji Hadi" yang menyaksikan simbahan semangat kebangkitan Islam yang luar biasa. Kuliah Masjid Rusila menggamit puluhan ribu pendengar terutama anak-anak muda peserta kebangkitan Islam. Bagi mengekang pengaruh PAS di Terengganu dalam dasawarsa 80-an, rejim Umno BN telah mengenakan tangkapan ISA kepada tokoh-tokoh PAS di negeri ini termasuk Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Omar Khalid, Ustaz Stimat Jusuh. Kezaliman BN di Terengganu yang tak mampu dilupakan, antaranya perobohan Institut Berakan, perobohan Masjid Bujal, Kemaman, rampasan tanah-tanah rakyat pasca 2004. 
Kemenangan BN dalam Pilihan raya 2013 sangatlah rapuh, dengan kelebihan dua kerusi. Malah banyak Dun yang BN hanya menang di bawah seribu undi serta kekalahan mereka agak menyeluruh di saluran tiga dan saliran empat. PAS Terengganu tanpa lelah terus menggerakkan jentera serta pelbagai program pemerkasaan parti dan usaha menawan hati rakyat. Program skala besar seperti HARAP terus menjelajah setiap daerah dan merengkuh sokongan rakyat pelbagai strata sosial. 
Himpunan 200K, FASTAQIM 2.0 adalah usaha menjana semangat para amilin serta memugar energi penyokong PAS yang sudah tidak sabar berpencak di medan Pilihan raya Umum ke-14. Pantai Tok Jembal walau dengan deruan angin keras menampar pipi tetap santun membisikkan, "rakyat tanah berkah Tok Ku Paloh, ayuh kita menangkan perjuangan Islam, kembalikan Syariah Islam, payungi tanah leluhur ini dengan keadilan Islam, mendobrak kezaliman dan kebejatan...tanah Darul Iman ini wajib diselimuti dengan taqwa dan petunjuk dustur Ilahi". - HARAKAHDAILY 29/9/2017
Sumber HD - 29-9-2017 



































































































Selami derita rakyat sebelum persenda dengan GST

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di negara ini seperti suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia. Beliau mengungkit bahawa Malaysia hanya mengenakan sebanyak 6 peratus berbanding 28 peratus cukai GST di India, tetapi rakyat Malaysia riuh rendah bising dan marah kerajaan. Bahkan beliau mempersenda rakyat Malaysia dengan menganggap rakyat hanya mahu cuti umum dan makan berbanding membayar cukai.
Sebagai pemimpin yang kaya raya, Perdana Menteri mungkin tidak mengerti nilai enam peratus berbanding rakyat terbanyak. PM boleh berseloroh, menghina, mengutuk, memperli dan mempersenda rakyat yang suka makan, bercuti dan tidak suka kepada cukai. Bagi PM, GST tidak membebankannnya kerana beliau mampu membayarnya. 
Pendapatannya mencecah puluhan ribu ringgit, dan dengan segala kemudahan yang disediakan untuknya secara percuma. Apalah nilai enam peratus cukai GST bagi individu sepertinya, kerana kemewahannya untuk menampung segala macam cukai yang dikenakan. 
Hakikatnya rakyat yang menanggung derita ini hidup dalam keadaan terhimpit dan bingung memikirkan kos sara hidup yang tinggi. Beliau tidak pernah merasa nilai pendapatan berjumlah RM3,000 sebulan (seperti pendapatan rakyat kebanyakan), dan jumlah itu terpaksa menampung segala perbelanjaan hidup sekeluarga. Mungkin beliau tidak pernah bersua dengan rakyat yang terpaksa bekerja siang dan malam, lakukan dua tiga kerja bagi menampung kehidupan keluarga. PM belum bertemu dengan rakyat yang tidak pernah termimpi membeli rumah kerana kos yang mahal, duduk di rumah sertinggan, tinggal hujung terpuruk di pedalaman kampung tanpa kemudahan asas dan keselesaan, bercatu perbelanjaan harian dan lain-lain lagi. 
Jika Datuk Seri Najib mahu membandingkan kadar enam peratus GST Malaysia yang rendah, mengapa beliau tidak juga buat bandingan dengan kadar pendapatan seisi rumah rakyat Malaysia sebulan. Buat juga kajian dan bandingan dengan harga barangan keperluan dengan kemampuan rakyat. Lihatlah kepada kadar tol di lebuh raya Malaysia, harga minyak petrol dan diesel yang kerap naik jarang turun, harga kenderaan dan rumah yang beribu kali ganda daripada gaji individu. Juga terhadap cukai-cukai lain yang rakyat terpaksa bayar seperti cukai jalan, cukai pintu, cukai pendapatan, cukai tanah dan lain-lain. 
Jika GST perlu dikekalkan seperti yang PM dakwa, pastikan pendapatan rakyat naik dengan sejajar dan kos sara hidup dapat diturunkan. Pastikan setiap minggu harga petrol dan diesel sentiasa turun dan kekal rendah setiap masa. Pastikan juga harga tol dapat dikurangkan setiap tahun, serta harga rumah dan kenderaan dikawal dengan harga mampu milik. Berikan lebih banyak subsidi kepada rakyat, selain bantuan pendidikan percuma kepada rakyat. Rungutan rakyat perlu diambil kira, bukan mentertawakan sebalik kedukaan mereka. 
Syor saya, usahlah membandingkan dengan negara lain, tetapi lihatlah realiti di negara ini. Jangan mudah merasa bangga dengan apa yang kerajaan beri kepada rakyat berbanding dengan apa yang rakyat berikan kepada kerajaan. Sepatutnya beliau bukan berfikir rendahnya GST di Malaysia, dan berusaha mengekalkannya, tetapi berfikirlah apakah alternatif lain selain GST bagi meringankan beban rakyat. Beliau patut merasa malu apabila pembangkang mengumumkan akan menghapuskan GST dan menggantikan dengan alternatif lain yang lebih baik untuk rakyat. Ini bererti, beliau telah ketandusan idea dan hanya memikir jalan singkat demi meraih pendapatan negara. Jangan sampai pula rakyat mentertawakan beliau selepas PRU14, dengan kekalahan BN yang memalukan! 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
25 September 2017 – HARAKAHDAILY 25/9/2017
Sumber HD-25-9-2017 





































































































PAS dan perkembangan pendidikan Islam di negara ini

PENDIDIKAN Islam kini menjadi polemik besar tanah air rentetan daripada kebakaran di Maahad Darul Quran Ittifaqiah, Keramat. Bermula daripada isu keselamatan bangunan, mengheret kepada isu kualiti, pengupayaan kurikulum, kelemahan pentadbiran sehinggalah ke tahap ekstrem muncul idea supaya pendidikan Islam dipantau ketat oleh pihak berkuasa, bukan sahaja meliputi sekolah tahfiz tetapi merambah kepada seluruh sekolah agama rakyat di negara ini.
Mesyuarat Agung PAS pada tahun 1953 telah mendesak PAS supaya mengadakan biasiswa kepada pelajar-pelajar agama bagi membantu membangunkan pendidikan  Islam. PAS juga telah berjaya mendesak kerajaan supaya memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah agama agar setanding dengan sekolah-sekolah yang lain. 
PAS secara konsisten telah menunjukkan kecenderungan untuk menggerakkan pendidikan Islam dan isu-isu yang berlegar di sekitarnya. Contohnya dalam manifesto Pilihan raya PAS pada tahun 1955, dengan jelas parti itu menawarkan tawaran parti tersebut untuk rakyatnya. Antaranya: 
1. Mengambil langkah supaya setiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuaian dengan kemajuan. 
2. Pelajaran agama Islam hendakah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam.
3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan segera, terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi 
4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluas dan mempertingikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara. 
5. Berikhtiar megambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasar pelajaran. 
Sumbangan PAS dalam bidang pendidikan semakin berkesan apabila berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu  pada pilihan raya tahun 1959 (Amaludin Darus, 1976). Di Kelantan, PAS telah berjaya menubuhkan Biasiswa Pelajaran PAS pada tahun 1960 iaitu melalui pemotongan gaji Menteri Besar Kelantan dan Exco-exco Kerajaan Kelantan. Matlamat biasiswa ini ialah untuk membantu anak-anak ahli PAS melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Biasiswa ini digelar sebagai Biasiswa Zulkifli Muhamad (seorang tokoh kanan PAS yang sinonim dengan dunia pendidikan) pada tahun 1964. 
PAS terus memainkan peranan yang berkesan dalam menggerakkan pendidikan di negara ini terutama di Kelantan yang menjadi pangkalan politiknya. 
Pada tahun 1984, Dewan Pemuda PAS Pusat telah secara rasminya menubuhkan sistem pendidikan prasekolah bagi memenuhi tuntutan ahli terhadap kerperluan pendidikan Islam. Ini melengkapkan kitaran pendidikan dalam PAS melalui sekolah agama rakyat dan pondok. Satu lagi negeri yang menjadi pangkalan politik PAS iaitu Kedah turut aktif menggerakkan pendidikan prasekolah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) pada tahun1987. 
Pada akhir tahun 1959, Kerajaan PAS Kelantan telah melantik guru-guru agama dan dibayar gaji oleh kerajaan negeri. 
PAS juga telah mewujudkan institusi pendidikan rendah dan menengah di seluruh negara sama ada langsung di bawah pentadbiran parti seperti Dewan Ulamak Negeri ataupun di bawah kelolaan ahli-ahli PAS. Di Terengganu sebagai contoh, Dewan Ulamak PAS telah menubuh dan mengelola sekolah rendah Islam yang digelar 'darul' Islah dan sebagainya.
Di Kedah pula ditubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di mana sekolah rendah Islam tajaan PAS ini telah berkembang menjadi 10 buah cawangan, Sekolah Islahiah Diniah Memali, SRIDU Kupang, Raudatul Muslimim Baling, Sri an-Nur Pendang dan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (SMIDU). Di Perlis pula ditubuhkan Madrasah Diniah Islamiah. Penyokong-penyokong PAS juga telah menubuhkan rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP) di seluruh negara dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan. 
Kemenangan semula PAS di Kelantan di mana Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diberikan amanah menerajui kerajaan negeri turut menyuburkan pendidikan di Kelantan terutamanya pendidikan Islam (Kamaruzaman Yusuf, 1994). Pada tahun 1992, kerajaan negeri telah menubuhkan Mahaad Dakwah Wa al-Imamah yang diletakkan di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan. Antara projek pendidikan lain yang dilaksanakan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Institut Teknologi Darul Naim dan Mahaad Tahfiz Sains. 
Galakan terus diberikan supaya institusi pendidikan pondok yang berumur ratusan tahun yang telah meletakkan Kelantan dengan gelaran Serambi Mekah untuk terus menabur bakti pada masyarakat dengan ditubuhkan Yayasan Pembangunan Pondok Berhad. Kelantan juga selepas 1990 turut menyaksikan pertumbuhan sekolah tahfiz al-Quran di mana lebih daripada 20 buah sekolah tahfiz telah muncul di Kelantan. 
Penguasaan semula PAS di Terengganu pada tahun 1999 juga merupakan satu pencapaian untuk ditelusuri dalam konteks mandat seorang tokoh pendidikan. Terengganu di bawah mandat seorang tokoh pendidikan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menubuhkan beberapa institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Kolej Islam Sains Terengganu (KIST), dan Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (KOSTAQ). PAS juga membuka peluang pengajian tinggi yang meluas kepada rakyat dengan mengadakan pemberian biasiswa melalui Maidam. 
Secara keseluruhannya, dapat dibuktikan bahawa PAS telah bergerak dan berkembang menjadi parti politik yang mendepani cabaran demokrasi di Malaysia. Pasang surutnya dalam pilihan raya, bersaing menebar pengaruh dan mencatur strategi, semua ini telah mewarnakan PAS sebagai parti politik pembangkang paling kuat di negara ini. 
Menjana dan mengupayakan pendidikan Islam termasuk pendidikan tahfiz adalah berkait rapat dengan kesungguhan PAS berinteraksi dengan desakan ahli-ahlinya dan juga permintaan masyarakat yang tinggi. PAS serta kerajaan negeri di bawah pemerintahannya telah menunjukkan model sekolah tahfiz integrasi, pengabungan antara aliran deeniah dan juga akademik sehingga melahirkan produk profesional yang huffaz. 
Dalam tempoh dua dekad ini negara ini menyaksikan bagaimana keluaran maahad tahfiz telah memberikan jasa kepada pembangunan negara ini. – HARAKAHDAILY 23/9/2017         
Sumber HD- 23-9-2017 







































































































Menjawab Saranan Zainuddin Maidin Dan Sekutunya Berkaitan Sekolah Tahfiz

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Kebakaran yang meragut nyawa pelajar Maahad Ittifaqiah Keramat seolah menjadi ruang pembelasahan tanpa belas kasihan oleh kelompok sekular liberal dan agamawan peseudo liberal negara ini. Mereka menerjang dan menghujam seolah semua sekolah agama rakyat sangat naif dan cuai dalam aspek pengurusan keselamatan dan tidak mematuhi SOP pihak berwajib. Kemuncak generalisasi ini ialah saranan supaya sekolah tahfiz ditutup!.

Saya membaca ratusan komen negatif terhadap institusi pengajian tahfiz dan Saranan bekas Menteri dizaman Dr Mahathir, Zainuddin Maidin sangat menunjal akal saya. Zam bekas wartawan yang sangat tegar menentang PAS dan apa sahaja berlatarbelakangkan gerakan Islam. Di zaman beliau mengepalai akhbar Utusan Malaysia, beliau mengunakan nama samaran Awang Selamat dan tak jemu menggodam apa sahaja yang ada kaitan dengan dakwah dan gerakan Islam. Pernah melabelkan kebangkitan pelajar Islam dikampus sebagai “fenomena pondok dikampus”, bahkan akhbar Utisan Malaysia biasa disaman kerana penghinaan pada tokoh agama.

Zam perlu tahu mengapa sekolah tahfiz menjadi tarikan pesona kepada ibubapa untuk menghantar anak-anak belajar agama. Menarik juga kerana sebahagian besar yang menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz mahu pun sekolah agama rakyat ialah kelompok kelas menengah Melayu yang berpendidikan. Mereka tidak naif sebagaimana sangkaan Zam dan yang seangkatan dengannya.

Euforia Islami dengan pengamalan agama di maahad tahfiz akan mengacuankan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia dan inilah yang dikehendaki oleh ibubapa dan penjaga. Kita seharusnya jujur melihat kegagalan pendidikan arus perdana negara ini. Kadar kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 10 tahun terakhir ini melebihi 503 000 orang, kadar penagihan dadah yang mencanak, gejala buta al Quran dan seribu satu fenomena kebejatan akhlak yang merupakan produk pendidikan arus perdana hari ini.

Impak daripada kebejatan sosial dan fenomena buta al Quran itulah maka ibubapa melihat kearah pendidikan alternatif, iaitu sekolah tahfiz. Sekolah tahfiz menjadi tarikan masyarakat dalam dua dekad terakhir ini , terutama usaha gigih para asatizah muda yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan Sub Continent. Kerajaan Kelantan sebagai contoh antara pemicu utama menggalakkan sekolah tahfiz integrasi sehingga melahirkan pendidikan gabungjalin antara sains dan al Quran. Idea Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini akhirnya meletus fenomena tahfiz sains di seluruh negara termasuk usaha ini diterjemahkan di Selangor dibawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Masyarakat harus memahami betapa sukarnya untuk mengeoperasikan sekolah-sekolah tahfiz yang termasuk dalam kategori Sekolah agama rakyat. Zam jangan pernah lupa apa yang berlaku dizaman regim Mahathir dengan sekatan bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat. Para penggerak SAR termasuk maahad tahfiz berkeringat dan menebalkan muka untuk mencari dana untuk menggerakkan pendidikan Islam ini. Tidak kecil hujaman dan ujian bertindan tindih kepada sekolah tahfiz, bahkan termasuk Mufti populis yang menghujat sekolah tahfiz dan penggeraknya.

Jika ada kes kesalahan moral,maka sekolah tahfiz akan menjadi penghias muka depan akhbar. Dalam isu kebakaran di Maahad Ittifaqiah Keramat ini, seolah menjadi peluru dan “punching bag” kepada seluruh sekolah dan institusi tahfiz negara ini. Diungkit tentang tak patuh SOP keselamatan kebakaran dan piawaian bangunan. Semua kita ingin berlindung daripada bencana, tiada yang ingin menjemputnya bertandang. Sebagainya contoh tempat paling gah dengan keselamatan negara ini, iaitu ibu pejabat Polis Bukit Aman pernah terbakar!,bahkan 19 buah hospital di negara kita pernah terbakar dan mengorbankan nyawa pesakit diantara tahun 1990 sehingga tahun 2016. Jangan lupa kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu yang mengorbankan enam jiwa. Tak kurang premis awam, juga kampus serta sekolah-sekolah kerajaan yang mengalami kebakaran. Adakah Tan Sri Zainuddin tergamak mengutarakan saranan supaya dihentikan operasi?

Berpada-padalah dalam menghujam sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz. Kewujudan institusi ini sedikit sebanyak meringankan beban kerajaan dalam sektor pendidikan. Seharusnya polemik tentang sekolah tahfiz ini meruak aura positif kita tentang keperluan untuk memberdayakan pendidikan Islam. Dalam peruntukan bajet tahunan, pemerintah wajib memberikan peruntukan pembangunan prasarana, pengupayaan kepada sekolah tahfiz.

Sudah lama sekolah agama rakyat dianaktirikan pemerintah bahkan masyarakat kita sendiri yang hanya pandai berkomentar. Bercerminlah!, jangan santri dan asatizah sekolah tahfiz hanya dicari ketika kematian dan doa selamat. Kita boleh belajar daripada negara Turki yang mampu membangunkan institusi sekolah tahfiz mereka sehingga berjaya memupuk kefahaman Islam yang semakin baik kepada generasi muda. Al Quran adalah mukjizat dan percayalah ianya ubat mujarab untuk menyembuhkan negara kita daripada kebobrokan dan kebejatan sosial.

Sumber BO - 15-9-2017









































































































Tuan Guru Nik Aziz: Ikon maahad tahfiz al-Quran

ALAM siber berdecak hebat hari ini dengan euforia kesedihan akan peristiwa tragis yang mengorbankan 25 orang dalam kebakaran asrama Tahfiz di Keramat.
Pelbagai komentar bergentayangan di alam siber, bukan sekadar menghulur simpati, malah ada yang berbaur kebencian pada pusat pengajian tahfiz al Quran. 
Pengajian tahfiz menjadi fenomena baru tanah air kita dalam dua dekad ini, apatah lagi dengan kegagalan sistem pendidikan arus perdana. 
Namun, tak ramai yang sedar akan peranan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam mengupayakan dan mengarusperdanakan sistem pendidikan al-Quran di negara ini. 
Sosok ini berjaya membudayakan al-Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran tafsir al Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al Quran. 
Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu, beliau sangat obses dengan pendidikan Islam. 
Tak lengah dan tak lelah, terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al-Quran di tanah air ini.
Sekolah agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan beliau dalam membangun pendidikan al-Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al-Quran.
Menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk almarhum merealisasikan cita-citanya. 
Beliau memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutama maahad tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini. 
Hasrat beliau agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Mekah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al-Quran. 
Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran. 
Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas dalam kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini. 
Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS. 
Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat.
Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al-Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. 
Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. 
Matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Pulai Condong ialah untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran secara bersistematik, melahirkan pelajar-pelajar yang berpegang kepada al-Quran dan juga memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan al-Quran bagi mengimbangi tuntutan semasa. 
Matlamat lain yang ingin dicapai ialah melahirkan ulama hafiz yang mampu memahami isi kandungan al-Quran serta memelihara al-Quran daripada sebarang bentuk penyelewengan. 
Sehingga kini Kelantan mempunyai lebih daripada 100 buah sekolah tahfiz akibat rangsangan dan pemupukan yang berterusan daripada kerajaan negeri. 
Antara sekolah tahfiz yang telah beroperasi ialah Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Repek Pasir Mas, Maahad Tahfiz di Kampung Slow Machang Pasir Mas, Al-Imam International Institute di Kubang Kerian, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Ummu Qura di Kampung Kolam Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains dan banyak lagi yang didirikan di setiap daerah di Kelantan. Maahad Tahfiz Pulai Chondong merupakan sekolah tahfiz paling cemerlang, bukan sahaja dalam peperiksaan awam, tetapi juga kerana menjadi model untuk kurikulum bagi sekolah-sekolah tahfiz di Brunei, Johor, Selangor, Terengganu dan Pahang. 
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengasaskan juga Maahad Tahfiz Nikmatillah yang terletak di Pulau Melaka dengan matlamat ‘sebuah keluarga seorang hafiz’ bagi rakyat Kelantan. 
 Tahfiz ini mula beroperasi pada tahun 2004 dan menerima pelbagai latar belakang akademik (tidak semestinya cemerlang dalam UPSR). 
Ini bertujuan supaya ruang yang luas dapat diberikan kepada pelajar yang berminat mendalami pengajian al-Quran. 
Almarhum telah meninggalkan kita semua dengan jasa yang besar, menjadi cermin keteladanan yang memantulkan keseimbangan watak siasah, dakwah dan tarbiah.
PAS wajar  melanjuti apa yang almarhum tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai seluruh sektor masyarakat. 
Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al-Quran. – HARAKAHDAILY 15/9/2017 
Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Tarbiah Pusat
Sumber HD- 15-9-2017 











































































































Pesta arak 2017: Jangan jadikan KL pusat arak terbesar Asia


PENDEDAHAN sebuah portal, Portal Islam dan Melayu pada 6 September 2017 dengan isu sambutan pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ adalah sesuatu yang menggemparkan dan mengundang kemarahan umat Islam di negara ini. Ia berkaitan penganjuran pesta arak yang bakal diadakan pada pada 5 dan 6 Oktober 2017 di ibu kota Kuala Lumpur.
Pada tahun 2012, ketika ia julung kali diadakan, tujuannya sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia dan diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang dengan kehadiran 200 orang pengunjung. Ia diadakan sekali lagi pada tahun 2016 di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dan kehadiran mencecah 3,500 orang. 
Pada tahun ini pula, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung dari serata dunia. Sasaran kali ini jauh lebih ramai dengan kehadiran 6,000 orang. 
Melihat kepada penganjuran festival ini, tentunya tidak ada masyarakat khususnya umat Islam mampu berdiam diri dengan membiarkan penganjur sewenang-wenangnya mengadakan pesta maksiat buat kesekian kalinya di Kuala Lumpur. Adalah sesuatu yang memalukan buat negara Islam seperti Malaysia, apabila program mungkar mudah mendapat tempat di hati masyarakat dan dibiarkan penganjurannya tanpa halangan. Kita tidak sanggup jika Kuala Lumpur dikenali oleh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia. 
Dalam penganjuran pesta arak ini, walaupun penganjur beralasan ia adalah aktiviti untuk bukan Islam termasuk mempromosikan pelancongan terhadap masyarakat, namun, yang paling dikesali kerana mereka memilih Malaysia sebagai lokasi pesta arak. Malaysia telah menjadi destinasi strategik untuk aktiviti bebas kepada masyarakat luar seperti tidak ada sekatan undang-undang dan peraturan. Walaupun umat Islam bukan menjadi sasaran penyertaannya, tetapi tiada had atau halangan jika ada orang Islam yang menyertainya, sekali gus menggamit sesiapa sahaja untuk hadir termasuk orang Islam. 
Jika penganjuran tahun 2017 ini berjaya, tidak mustahil aktiviti yang berskala lebih besar akan diadakan pada tahun-tahun hadapan. Apakah jaminan keselamatan dapat diberikan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti berlaku jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain. Walaupun penganjur dikatakan akan bekerjasama dengan Uber melalui pelancaran kempen ‘Don’t Drink & Drive’ di mana para pengunjung akan menerima kod pengangkutan Uber mereka untuk pergi balik ke pesta tersebut. Tetapi sesiapa boleh beranggapan mungkin banyak aksi lain yang berlaku sehingga terpaksa menempatkan anggota keselamatan berkawal di lokasi terbabit. 
Pendedahan demi pendedahan mengenai kemungkaran oleh pelbagai pihak membuktikan telah banyak kepincangan berlaku di negara ini. Sama ada ‘Better Beer Festival 2017’ adalah aktiviti terlepas pandang oleh pihak kerajaan (mustahil kerajaan tidak mengetahui sesuatu aktiviti rasmi yang berlaku di ibu kota), atau sengaja dibiarkan bagi mengabui mata serta memenuhi kehendak segelintir masyarakat yang dahagakan budaya liar dan hedonisme. Namun bagi umat Islam yang prihatin, tidak ada suara yang dapat mengungkapkan perkataan terhadap penganjurannya melainkan bantahan keras dengan memastikan ia tidak diadakan di ibu kota. 
Kebencian masyarakat terbanyak terhadap aktiviti maksiat juga perlu dipandang berat dan diraikan, bukan hanya meraikan keinginan segelintir manusia yang memuja nafsu. Hati masyarakat yang tidak redha terhadap kemungkaran berlaku, merasa tertekan dengan keadaan dan boleh mengundang kegiatan ekstremis. 
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Sumber HD - 10-9-2017 













































































































Fight of Gods: Awas! Permainan video hina agama

ISU Permainan video “Fight of Gods” diilhamkan oleh permainan seperti “Street Fighter” dengan menonjolkan watak “Jesus” dan “Buddha” sebagai karakter utama seperti yang didedahkan dalam media sosial beberapa hari ini adalah sesuatu yang melampau dan menjengkelkan. Pemajunya, Digital Crafter dari Taiwan seakan mahu melaga-lagakan keharmonian agama dengan mencampur adukkan pelbagai dewa dan tuhan pelbagai agama termasuk Islam bagi membangkitkan kemarahan masyarakat.
Bagi penganut agama masing-masing, sudah tentu tidak boleh menerima kenyataan bahawa tuhan agama mereka dipermainkan atau diperlekehkan sedemikian rupa.  Tidak ada penganut agama yang menerima hakikat agama mereka dijadikan permainan video dan tuhan mereka dilakonkan untuk berlawan sama sendiri. Bahkan, Nabi Musa a.s. dan tokoh bersejarah Cina, Guan Gong, juga dimasukkan dalam permainan itu walaupun mereka bukan dikira sebagai Tuhan atau dewa. 
Permainan video seperti ini mempunyai sasarannya tersendiri. Selain kanak-kanak, remaja dan belia adalah mangsanya. Tanpa mereka sedari, dalam keseronokan bermain permainan video ini, ia menanam sentimen kebencian terhadap agama dan menghasut agar membenci agama lain. Watak yang ditonjolkan adalah ‘dewa’ atau tuhan agama masing-masing sebagari karakter utama yang mendorong menjadi ikon pujaan kepada penggemarnya, sekaligus merendahkan martabat watak tersebut. Bagi umat Islam, watak seperti Nabi Musa a.s. yang mulia direndahkan menjadi karakter yang boleh diperlekehkan. 
Apa untungnya permainan video seperti ini selain merosakkan minda dan pegangan agama seseorang. Seseorang boleh memandang rendah agamanya sendiri dan memandang hina agama lain. Selain budaya negatif seperti keganasan dan kejahatan, ia pasti melalaikan dan membuang masa. Tidak ada pelajaran yang boleh diambil dari permainan video seperti ini. 

Dalam pada kerajaan berusaha menangani pengganas, tanpa sedari keganasan dibenihkan dalam minda kanak-kanak dan remaja melalui permainan-permainan video. Budaya samseng, gangsterisme, kaki buli dan perlakukan jenayah mudah membarah berpunca dari pengaruh media sosial termasuk permainan video. 
Malaysia adalah negara yang terkenal dengan negara pelbagai kelompok etnik, budaya dan agama. Perpaduan kaum terhasil dari sikap saling hormat menghormati, faham memahami, serta toleransi agama yang di amalkan. Budaya liar seperti permainan video ini adalah percikan api yang boleh menyemarakkan perpecahan dan pergaduhan kaum. Kita tidak mahu ada pihak yang menjadikan isu ini dengan mengambil kesempatan memusuhi kaum, bangsa atau agama lain. 
Sudah ada banyak pihak yang menyatakan kemarahan termasuk dari pelbagai kelompok agama. Saya amat menyanjung tinggi masyarakat yang cepat prihatin dan peka dengan pelbagai situasi semasa sehingga cepat membangkitkan isu ini. Ia membuktikan bahawa masyarakat Malaysia tidak menerima budaya liar dan negatif dari sewenang-wenangnya menular ke dalam negara ini. 
Justeru, kerajaan tidak boleh berdiam diri dan perlu bertindak segera mengawalnya dari dibawa masuk ke dalam negara. Jangan biarkan ketenteraman dan keamanan masyarakat dirosakkan oleh elemen negatif walau dalam apa juga bentuk, dari sekecil kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Sempadan negara perlu dijaga sebaik mungkin dan rakyat Malaysia mampu bekerjasama menjadi benteng peneguh akidah, menjaga perpaduan kaum dan keharmonian agama yang selama ini utuh. – HARAKAHDAILY 7/9/2017 
Penulis ialah Ahli jawatankuasa PAS Pusat
Sumber HD - 7-9-2017 

Menyambangi tanah Afrika yang gelap

LANGIT benderang dengan sengatan matahari Zulhijjah menikam ubun-ubun kepala kami, dua anak kampung yang ditugaskan untuk menjayakan misi dakwah dan korban di tanah Afrika. 40 tahun lampau aku tak terfikir kaki aku akan melangkah dan menderap tanah kunta kinte ini dengan gambaran kemiskinan dan kemelaratan paling terbawah dalam papan carta dunia.
Kunta kinte adalah kisah perhambaan yang sadis, Hollywood berjaya menanam dalam benak kita anak-anak Asia bahawa perhambaan adalah sebahagian kerja barat untuk mentamadunkan manusia. "The white man burden" adalah lesen penjajahan dan perhambaan bagi kuasa imperialis Barat dalam abad 18, 19 dan awal abad ke-20. Afrika menjadi buruan penjajah Barat serta pemerdagangan manusia, eksploitasi alam rimba serta usaha membaptiskan pengikut baru Kristian. 
Kali ini penulis berpeluang menyertai misi ke Republik Chad, salah sebuah negara di Afrika yang mempunyai penduduk Islam sekitar 75 peratus daripada keseluruhan populasi. Berbeda dengan pengalaman di negara Sudan, Chad kelihatan lebih terpuruk dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Sudan yang pernah dijajah oleh British, berlatarbelakangkan negara yang tak serik dengan peperangan, menghambat British dengan bergaya. Namun perang juga meletus antara Wilayah Utara dan Selatan Sudan akibat disulut api peperangan oleh kuasa kuffar akibat perebutan "emas hitam". Republik Chad pula menjadi negara miskin semula jadi akibat kekurangan hasil bumi dan kadar buta huruf yang tinggi sehingga mencatatkan negara keempat paling miskin dalam dunia. 
Tim misi kali ini, penulis bersama Ustaz Ahmad Rashdan yang juga mantan Pengerusi Muslim Care Jordan. Kami tiba di kota Ndjamena, ibu negara Chad setelah berbelah jam membelah angkasa. Rasa penat sirna apabila melihat dan memijak tanah Afrika, kami disambut oleh Yusuf Koukou yang juga alumni Universiti Utara Malaysia. Muslim Care telah memulakan projek membina masjid di Kanem, jauh di kawasan pedalaman Chad yang mengambil masa lapan jam perjalanan darat. Haji Zakaria, Setiausaha Agong Muslim Care yang juga seorang arkitek yang piawai telah merekacipta plan masjid yang akan menjadi pusat dakwah di negara yang sangat subur dengan dakwah itu. Masjid dengan dana awam, sumbangan wakaf rakyat Malaysia dijangka siap sepenuhnya pada awal 2018. Segalanya bergantung dengan dana yang mencukupi daripada publik. Negara miskin ini masih lagi di kawasan pedalaman dengan corak masjid abad ketujuh masihi, berdinding tanah liat, beratap ranting kayu serta sangat dhaif. 
Di kawasan pedalaman negara ini seperti juga kebanyakan negara Afrika yang lain, bekalan air bersih adalah masalah utama. Air yang kotor adalah penyumbang kepada pelbagai penyakit, begitu juga dengan sistem pelupusan najis yang sangat mundur. Tidak pelik jika kanak-kanak dengan visualisasi lalat menghurungi kepala dengan mata yang berair adalah wajah tipikal Afrika yang sakit. Muslim Care dalam misi ini akan membina enam buah projek tubewell, iaitu projek telaga air bersih untuk kegunaan penduduk tempatan. 
Pengalaman penulis dalam misi dakwah dan kebajikan di Afrika amat tertarik dengan kesungguhan umat Islam mempelajari al-Quran. Maahad tahfiz ada di mana-mana walaupun dhaif, bahkan berlantaikan tanah merah serta pelajar-pelajar yang kurang gizi melantunkan ayat cinta Ilahi dengan penuh khusyuk. Di kawasan pedalaman Chad, pelajar-pelajar kelas al Quran menggunakan papan kayu yang ditulis dengan ayat-ayat al Quran. Kemiskinan tidak menghalang mereka bersungguh-sungguh menghafal al Quran. Menatap wajah mereka memancing rasa rindu pada keindahan generasi awal al Quran yang dibina oleh ar Rasul SAW, seolah kanak-kanak berkulit hitam dengan rambut kerinting ini adalah jelmaan Saidina Bilal ar Rabah. Kami mengagihkan naskah-naskah al Quran dengan jumlah ribuan unit kepada pelajar-pelajar maahad di kawasan pedalaman Chad, semuanya hasil sumbangan wakaf al Quran rakyat Malaysia yang cakna saudara akidah mereka. 
Program kemuncak dalam misi kebajikan kali ini ialah program korban dan akikah di sekitar Melleah, Kaneem. Sebanyak 559 ekor kambing telah berjaya disembelih dan nikmati oleh 40 buah kampung. Rakyat Chad yang miskin kelihatan sangat teruja dengan acara korban, di mana NGO tempatan turut membantu kami mengagihkan kambing untuk disembelih. Kami solat raya di padang bagi mengikuti sunnah ar Rasul SAW, bertakbir raya dan mengikuti khutbah raya yang ringkas daripada seorang sheikh tempatan yang kelihatannya sangat dihormati para warga. Negara yang keempat paling miskin di dunia ini kelihatan begitu dhaif sekali terutama bidang kesihatan dan pendidikan. Mereka melepaskan kami pulang dengan harapan masih ada kunjungan di masa akan datang daripada rakyat Malaysia. - HARAKAHDAILY 6/9/2017
Sumber HD - 6-9-2017 

















































































































Sayyid Qutb: Mengenang 51 tahun hukuman zalim rejim Baath

SAYYID Qutb adalah nama besar yang menggugah nurani kita apabila berbicara tentang Ikhwanul Muslimin selain Hassan al-Banna dan tokoh-tokoh yang lain seperti Abdul Qadir Audah, Said Hawwa, Dr Mustapha as-Sibaie, Abdul Aziz al-Badri, Hassan Ismail Hudhaibi dan yang lainnya. Sayyid Qutb mempunyai sejarah yang tersendiri sebagai tokoh ideologue Ikhwanul Muslimin serta diklasifikasikan sebagai tokoh pemikir yang sukar digalang ganti oleh dunia islam. 
Sayyid Qutb telah dilahirkan pada tahun 1906 di Asyut, Mesir dalam lingkungan yang taat beragama, keluarbiasaan bakatnya dapat dikesan semenjak umurnya masih hijau. Menghafal al-Quran dan menamatkan hafazan semasa berusia sepuluh tahun, bapanya Qutb Ibrahim merupakan pencinta al-Quran dan sangat tegas dalam urusan mendidik anak-anaknya dengan sakhsiah Islam, beliau memberikan perhatian langsung kepada pembelajaran anak-anak terutama Sayyid Qutb. Keberkesanan sang ayah kepada anaknya pernah dirakamkan oleh Sayyid Qutb dalam sebuah bukunya: 
“Wahai ayahku! Kutujukan tulisan ini kepada rohmu. Aku masih kecil ketika engkau menanamkan ke dalam jiwaku rasa takut kepada hari akhirat. Tidak pernah engkau mengherdikku, namun engkau mempamerkan hidupmu di depanku. Hari akhirat menjadi perhitungan dan peringatanmu, dihati dan di lidahmu. Engkau bersungguh menunaikan hak orang ke atasmu, namun engkau berlebih kurang dengan hakmu di atas orang lain, kerana engkau takut kepada hari akhirat. Engkau memaafkan kesalahan orang, walaupun engkau mampu membalasnya, lantaran mengharapkan ia menjadi kifarat di Akhirat. 
Engkau selalu mengenetepikan keperluanmu agar mendapat ganjaran di Akhirat. Wajahmu terbayang dalam ingatanku, setiap kali kita selesai makan malam, engkau membacakan al-Fatihah dan engkau menujukan kepada roh kedua ibubapamu di negeri akhirat. Dan kami anak-anakmu yang kecil turut bersamamu membacanya, terputus di sana sini kerana kami masih belum menghafalnya dengan sempurna”. 
Sayyid Qutb merupakan seorang yang genius malahan pernah diungkapkan oleh Abbas Mahmud Aqqad sebagai pelajarnya yang paling cerdas, mempuyai bakat dan kecederungan yang besar dalam bidang sastera dan penulisan. 
Karyanya dalam pelbagai genre seperti puisi, sajak, cerita telah diterbitkan dalam pelbagai penerbitan malah sebelum menggabungkan diri beliau dengan Ikhwanul Muslimin, beliau lebih dikenali oleh khalayak Mesir sebagai seorang sasterawan.
Kesyahidan Hasan al Banna pada 12 Februari 1949 telah menyeruak relung hati Sayyid Qutb untuk mengenali fikrah Ikhwan dan akhirnya beliau menggabungkan diri dalam bahtera Ikhwanul muslimin. Bermula dengan Exco Dakwah sehinggalah menjadi ideologue Ikhwan dengan pelbagai magnum opus yang memercik kesedaran kepada ummah yang sedang lena dibuai khayalan. 
Regim Jamal Naser telah memenjarakan Sayyid Qutb dengan pelbagai tuduhan palsu, bahkan mengharamkan Ikhwanul Muslimin yang dilihat pesaing utama rejim dalam medan politik Mesir. 
Sayyid Qutb mendekam dalam penjara militer dan beliau tidak pernah mengangkat bendera putih dalam perjuangan. Sosok sesepuh dakwah ini terus menuang idea-idea daripada celah jeriji penjara, termasuk tafsir fenomenal “fi Zilalil Quran”. 
Sayyid Qutb berjuang ditengah kegilaan masyarakat Arab pada fahaman Sosialis Arabism dan kekaguman umat Islam pada dunia Barat (the Blue eyes mentality). Beliau mendobrak ideologi manusia dengan sejuta keyakinan dan membayar dengan harga yang mahal. Mahkamah Mesir yang dikawal regim pemerintah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati pada mufakkir Islami yang hebat ini pada 29 Ogos 1966. Telah 51 tahun beliau berkelana ke alam abadi. Namanya ditoreh dengan tinta emas pada kanvas perjuangan dan dakwah. Walaupun ada yang cuba merosak reputasi Sayyid Qutb sebagai pemicu fahaman takfiri, namun tuduhan tetap tuduhan. Beliau telah meninggalkan dunia ini dengan seribu keteladanan kepada para abnaul harakah. – HARAKAHDAILY 3/9/2017
Sumber HD - 3-9-2017 

No comments:

Post a Comment