BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Monday, October 20, 2014

ACARA PELEK


Terima Kasih Memanggil Saya 'Melayu Anjing'
Posted on Saturday, April 01 @ 19:11:27 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah

http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=34298



Pagi tadi lebih kurang jam 9 pagi, saya telah pergi ke sebuah restoran untuk membeli sarapan. Selesai membayar, saya menuju ke kereta untuk pergi ke tempat kerja.

Setelah masuk ke dalam kereta, datang sebuah kereta Honda Accord MCB969 parking di sebelah saya. Keluar seorang pakcik tua berusia dalam lingkungan 60-an bersama anak perempuannya. 

Tiba-tiba saya rasa kereta saya seperti bergegar ketika anak perempuannya membuka pintu kereta. Tanpa berkata apa-apa, saya cuma membuka tingkap dan melihat kereta saya. Rupa-rupanya situ tua itu tidak berpuas hati dan terus menyergah saya. 

"Apa pandang-pandang?!" 

Saya pun mula keluar dari kereta dan menyatakan yang saya mahu melihat keadaan kereta saya. Saya memberitahunya yang anaknya telah membuka pintu kereta dengan kuat sehingga bergesel dengan kereta saya. 

Lelaki itu terus naik angin dan memaki saya. 

"Inilah Melayu Anjing. Baru naik Toyota Estima sudah berlagak. Esok kau mampus takkan boleh bawa ke kubur," katanya.

"Sepatutnya saya yang marah sebab kereta saya yang dicalarkan. Bukannya encik nak minta maaf sebab calarkan kereta saya, ini encik pula yang memaki hamun saya," kata saya. 

Anaknya pula terus menyumpah saya kerana bersikap kurang ajar dengan bapanya kerana berani menjawab kata-kata bapanya itu.

 "Kau nak apa?!" kata lelaki tua itu sambil meluru ke arah saya. 

Bayangkan, sedih betul saya melihat keadaan si tua itu. Di saat rumah kata pergi, kubur kata mari, si tua itu masih berupaya untuk memaki dan menganjingkan saya. Saya betul-betul tak kisah kalau yang berkelakuan seperti itu adalah orang muda. Tertapi terkilan betul dengan sikap situa yang sungguh biadab. Mungkin dia ingat saya seorang perempuan dan dengan bangganya dia memaki hamun saya.

Setakat calarkan kereta saya, memang saya tak kisah pun dan tidak terfikir langsung untuk menuntut gantirugi. Cuma saya hairan dan terkejut. Sit tua yang sebaya ayah saya sungguh bijak memaki dan menutup kesalahan anaknya yang mencalarkan kereta saya dengan menyerang dan menyergah saya.

Kepada pemilik Honda Accord MCB969, saya doakan semoga encik diberikan hidayah Allah. Sepatutnya encik menjadi contoh yang baik buat anak, cucu, cicit dan keturunan yang akan datang. Malangnya, keturunan encik mempunyai bapa, datuk dan moyang yang hebat dan bangga untuk memaki hamun orang lain.

Minta maaf sangat-sangat ye encik yang tua kerana terpaksa bersikap berani dan berkata agak kasar setelah encik memaki hamun saya. Saya tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata kesat pada sesiapa terutamanya orang tua kerana saya seorang yang terpelajar dan didikan agama ibu bapa saya juga cukup, untuk saya menghindari sikap buruk seperti encik.

Seperti biasa juga, anak perempuannya telah mengambil gambar kereta saya. Mungkin untuk diviralkan agaknya. Namun saya tidak pernah takut dan saya ucapkan selamat berjaya.

Kepada sesiapa yang mengenali si tua dan anak perempuannya yang telah memaki dan menganjingkan saya, moga dapat memberikan sedikit nasihat kepada mereka agar dapat dijadikan bekalan di alam barzakh kelak. Moga si tua ini diberikan peluang dan ruang keinsafan. - Yana Razyana |

Sumber TKO - 1-4-2017

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Kanak-kanak bogel gemparkan penduduk
Posted on Tuesday, January 26 @ 17:21:32 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



SABAK BERNAM - Kelibat seorang kanak-kanak berbogel tanpa seurat benang menggemparkan beberapa jemaah dan petugas Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak Bernam  di sini, pagi semalam.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjidnya, Ibnu Sina Juwaini berkata, kanak-kanak yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) yang tidak dikenalpasti identitinya itu dipercayai berkeliaran lebih 30 minit di pekarangan masjid berkenaan.

Ibnu Sina berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai perkara itu selepas dihubungi seorang petugas masjid yang menjalankan kerja pembersihan masjid itu kira-kira jam 8.45 pagi.

"Sebaik sampai di masjid, saya terkejut bila tengok dia (kanak-kanak OKU) berkeliaran bersendirian tanpa pakaian di pekarangan masjid. Apabila kami cuba hampirinya, dia berlari keliling masjid seolah-olah takut dengan kehadiran kami," katanya kepada Sinar Harian.

Ibnu Sina berkata, kanak-kanak itu lebih banyak mendiamkan diri dan dianggarkan berusia dalam lingkungan bawah 12 tahun berdasarkan bentuk fizikalnya.

"Setelah saya bersama-sama jawatankuasa, petugas dan jemaah memujuknya beberapa kali baru kami dapat menyarungkannya kain pelekat. Saya kata malu kalau orang nampak dia tak berpakaian," katanya.

Menurut beliau, pihaknya cuba mengesan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu di sekitar masjid, sebelum pihak jawatankuasa masjid menghubungi Balai Polis Sabak Bernam.

"Kami tunggu juga takut-takut kalau ada warisnya singgah di masjid ni. Tapi memang tak ada. Tengok di tandas pun tak ada orang sebelum kami laporkannya kepada polis.

"Polis tiba di masjid ini kira-kira 15 minit selepas dihubungi sebelum membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Sabak Bernam," katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, ibu berkata, anaknya yang berusia 10 tahun hilang dari rumah kira-kira jam 8.30 pagi selepas anak sulung hasil perkahwinan keduanya itu membuka kunci pintu rumah.

"Saya sedar dia hilang selepas nampak pintu rumah dah terbuka. Saya rasa, selepas ambil kunci dia panjat pintu rumah dan keluar tanpa pakaian," katanya.

Noriza yang menetap di Taman Aman Sabak Bernam berkata, anaknya yang mengalami masalah pembelajaran sebelum ini pernah beberapa kali keluar dari rumah hingga menimbulkan kebimbangannya sekeluarga.

"Lebih 10 kali dia lari dari rumah. Puas juga saya mencarinya. Tapi syukur dia ditemui dalam keadaan selamat," katanya.

Dia yang telah berpisah dengan suami keduanya itu berkata, dia menemui semula anaknya itu kira-kira jam 11 tengahari semalam selepas seorang lelaki India mendakwa anaknya itu berada di  Balai Polis Sabak Bernam.

"Tengahari tadi (semalam) saya hantarnya ke rumah kakak tirinya di Sungai Samak Perak. Buat sementara waktu ni, biarlah dia di sana dulu dan saya akan ambilnya semula sebelum Tahun Baharu Cina," ujarnya.

Sumber TKO - 26-1-2016



Lagi kes anjing dalam troli, mana sensitiviti?

Posted on Monday, December 21 @ 21:18:50 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah



SEKALI lagi rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama dikejutkan dengan perbuatan individu tidak sensitif dengan meletakkan haiwan peliharaan terutama anjing ke dalam troli milik pasar raya.

Semalam, sekeping foto yang menunjukkan seorang wanita menyorong sebuah troli yang diletakkan anjing di sebuah pasar raya menjadi viral.

Melalui laman Facebook Malaysian Respon Team, kejadian tersebut berlaku di sebuah pasar raya di Ipoh.

Orang ramai di laman sosial yang melihat foto tersebut menzahirkan kekecewaan dengan tindakan tersebut yang disifatkan tidak menghormati sensitiviti sesetengah agama, terutamanya agama Islam.

"Sebab kedegilan seseorang, habis satu bangsa kena hentam. Habis semua troli kena samak. Buat menyusahkan orang. Tolonglah bertimbang rasa," kata Poyok.

Difahamkan, para pekerja pasar raya terbabit sudah membersihkan atau 'menyamak' kesemua troli milik mereka. - SH 
Sumber TKO - 21-12-2015



Kucing muka dua warna curi perhatian

Posted on Wednesday, December 16 @ 14:10:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah



RUPA unik seekor kucing yang mempunyai dua warna berbeza di mukanya menjadikannya si kucing sensasi dan popular di internet.

Kucing yang diberi nama Venus mempunyai dua warna berbeza iaitu hitam di sebelah kanan dan oren di sebelah kiri mukanya.

Selain mempunyai muka dengan warna berbeza, kucing berkenaan turut mempunyai warna mata yang berbeza iaitu biru dan hijau.

Malah kucing ini sudah mempunyai 900,000 pengikut di laman Facebook dan berpuluh video di YouTube malah mempunyai laman web sendiri untuk menjual barangan jenamanya.

Venus turut muncul dalam majalah National Geographic dan beberapa program televisyen di Amerika Syarikat.

Sementara itu, menurut pemiliknya Christina dan Chris, kucing berkenaan dijumpai merayau-rayau di sebuah ladang di North Carolina pada tahun 2009 sebelum mengambil Venus kerana warnanya sama seperti dua kucing yang dipelihara mereka.

"Jiran pernah menyangka kami mewarnakan bulu kucing berkenaan, walaupun sebenarnya Venus dilahirkan dengan warna sedemikian," mereka dipetik sebagai berkata kepada DailyMail. - SH 


Sumber TKO - 16-12-2015


Harimau Jadikan 'Makan Malamnya' Sebagai Kawan Baik

Posted on Friday, December 04 @ 07:23:33 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah



Moscow: Petugas Taman Safari Far Eastern yang terletak di Shkotovsky terpegun dengan tindakan seekor harimau di taman berkenaan apabila haiwan buas tersebut tidak membaham makan malamnya, sebaliknya di jadikan kawan baik.

Harimau Siberia berkenaan yang diberi nama amur akan diberi makan kambing hidup sekali setiap dua minggu dan pada kebiasaannya dia tidak menunggu lama apabila akan terus membaham kambing hidup yang dimasukkan ke dalam kandangnya, namun tidak kali ini.

“Kambing ini dimasukkan ke tempat kurungan Amur sejak beberapa hari lalu untuk dijadikan makanan harimau itu.

“Namun, kambing itu tidak menunjukkan rasa takut ketika berada dalam kandang harimau, malah mula berkawan dengan haiwan berkenaan,” katanya.


Kerana keberanian kawan baru Amur tersebut, ia telah diberi nama Timur.

Persahabatan mereka dilihat semakin erat dari hari ke hari dimana kedua-dua haiwan itu sering dilihat bersama-sama.

“Lebih mengejutkan, kambing itu berani tidur di tempat tidur Amur menyebabkan harimau berkenaan terpaksa tidur di luar.

“Mungkin Timur terlalu berani sehingga Amur menganggapnya bukan sebagai mangsa atau mungkin juga Amur kesunyian kerana tinggal seorang diri sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya.




Bagaimanapun, melihat senario ini, pihak aktivis haiwan menggesa pihak zoo supaya memisahkan mereka segera kerana beranggapan kedua-dua haiwan ini menjalinkan 'perhubungan yang tidak sepatutnya' dan bertegas kambing itu berhak untuk hidup bebas atau bakal menjadi santapan harimau itu di masa hadapan - Siakapkeli.my

Sumber TKO - 4-12-2015



Ada juga manusia Isi Petrol macam ni?? (bersama video)
Posted on Tuesday, August 25 @ 22:38:38 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu


ADUH, nampaknya masih ada jenis manusia yang bersikap terlampau ingin berjimat cermat ni. Menerusi sebuah video yang kini mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, seorang lelaki telah melakukan aksi luar biasa terhadap keretanya sewaktu mengisi minyak.

Lelaki India berkenaan menghenjutkan keretanya beberapa kali demi memberikan ruang lebihan untuk mengisi minyak keretanya sehingga penuh.

Tindakan ‘bijak’ lelaki terbabit bukan sahaja menyebabkan si perakam terpaksa menunggu dengan penuh sabar, bahkan netizen yang melihat video berkenaan turut memberikan kritikan kepada pelaku.

Melalui video, kedengaran dialek Negeri Sembilan daripada perakam yang jelas amat berang dengan tindakan individu terbabit.

“Cam ni punya orang pun ado, dah penoh dah la, bingai betul la. Dah penuh tu dah la, cukup la, ekau nak tuang macam mano lagi.

“Haih, di honjot-honjot ketonye dah ha, entoh apo-apo entah, ambil la duit balance tu,” ujar perakam.

Mungkin tindakan perlaku terbabit ingin memastikan minyak yang diisi betul-betul penuh tetapi apa yang pasti dia telah menyusahkan pengguna lain ketika berada di stesen minyak.

Seorang pengguna memberi ‘idea’ agar individu terbabit menggunakan sahaja tong balang air bagi memastikan setiap minyak yang diisi dapat dipastikan.

“Ada juga orang macam ni…menyusahkan orang lain. Jika macam tu baik guna tong air letak dalam bonet lagi senang lihat bila dah penuh,” ujar Abdul Kadir Saat. – MYNEWSHUB.CC

Sumber TKO - 25-8-2015







Of Dogs and Knowledge

Harakahdaily | .

There have been several new issues that have surfaced over the past few weeks but possibly most glaring were the Oktoberfest and “touch a dog” issues that stole the limelight.

As for the Oktoberfest thing, it was the unnecessary publicity that brought it to the fore, and it raised unnecessary polemic because of the way it was handled by greenhorns. In fact we Muslims seem to not have a proper approach to handling things or events like these and usually end up at the receiving end for not being able to explain our view of things that could be acceptable to the non-Muslims.

Rigid or dogmatic approaches when facing general members of society normally create misinformation about Islam and this actually does not help the process of da’wah. What could have been an opportunity to reach out turns out to be an added burden for the Muslim community.

And then the second issue of “touching a dog”. Even as the theme suggested it was only supposed to be an occasion to touch a dog and the circumstances that could allow it. It was not to be a free-for-all type of thing. While the organiser may not have had that intention in mind, nevertheless on the spur of the moment, some Muslims attending the event had gone beyond mere “touching”. The possible reason for this would be that with no prior knowledge over dealing with dogs and the fact that the ustaz who gave a simple talk on the issue despite having stressed that it was not alright to simply touch a dog unless under given circumstances, the manner in which the event was organised and given the environment then, probably what happened was that it could not be controlled.

What this means is that there could a better way of organising an event where Muslims would be able to understand their relationship with animals like dogs. In fact, it is this kind of thing that creates problems in societies like ours which is multi-racial and multi-religious. There apparently is no effort on the part of those responsible to disseminate knowledge on Islam to study and inform the people of issues that relate to inter-ethnic and inter-religious contact. One would find our ustaz talking mostly about rituals or other oft-repeated stuff but not handling issues like dealing with neighbours who have dogs for instance. How many of our ustaz have delved deeply into issues of halal and haram that also take into account non-Muslim attitudes to these things?

A major part of religious officialdom can only come up with ridiculous statements like such and such an event was organised to “smear Islam or religious scholars”, or make wild accusations that the organisor had a devious agenda.

And what one other pertinent fact that arises out of the recent furore is that the level of knowledge about Islam among Muslims is still deficient that reflects on the education system that does not prepare Muslims for life. “Religious” knowledge in school is just that there as a subject that should be taken and passed. It is not something that changes the person to become knowledgeable and use it for life.

Failure to reform the education system to produce well-rounded Muslims will only spell more problems for the community in the future. The people responsible for disseminating knowledge too need a total reform otherwise they will continue to be dogmatic and be unable to relate principles to real life situations.

Can the religious scholars including in PAS rise to the occasion then?

Sumber HD - 30-10-2014

Program sentuh anjing: Syed Azmi mohon maaf

BERNAMA | .

PETALING JAYA: Penganjur program 'I Want to Touch A Dog' (IWTTAD) Syed Azmi Alhabshi hari ini memohon maaf atas perasaan tidak senang yang berbangkit akibat perbuatan segelintir peserta memeluk dan mencium anjing pada program itu di sini Ahad lalu.

Beliau juga menegaskan bahawa niat penganjuran program kontroversi itu bukan bertujuan memesongkan akidah, menukar hukum hakam agama, mempersendakan ulama atau menggalakkan liberalisme.

Beliau menjelaskan program IWTTAD hanya bertujuan mengatasi perasaan takut terhadap anjing, cara pengendalian termasuk membantu anjing jikalau ia berada dalam kesulitan dan batasan bersama anjing dalam konteks agama Islam.

"Program ini tidak sama sekali menggalakkan anjing sebagai binatang peliharaan. Ia adalah proses pembelajaran untuk mengenali makhluk Allah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah penganjur bersama program itu Norhayati Ismail dan peguam Syahredzan Johan yang mewakili Syed Azmi, penganjur IWTTAD dan Ustaz Iqbal Parjin yang dijemput menyertai program itu untuk memberi penerangan dan mengajar kaedah samak kepada peserta program itu.

Syed Azmi juga menjelaskan bahawa semua pencerahan mengenai hukum-hakam pengendalian anjing telah diterangkan semasa program, bersama-sama dengan kaedah dan amali sertu (samak).

"Saya akui program ini mempunyai kelemahan tersendiri. Ingin saya memohon ribuan maaf dengan secara tidak langsung menyinggung perasaan dan menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak.

"Ingin juga saya memohon maaf kepada mereka yang hadir pada program IWTTAD dengan niat yang ikhlas untuk belajar, bukan sebaliknya," kata beliau.

Syed Azmi kemudiannya bergegas meninggalkan sidang media tanpa menghadiri sesi soal jawab media dan Syahredzan menjelaskan tindakan itu perlu dilakukan atas sebab keselamatan memandangkan anak guamnya menerima ribuan ugutan termasuk ancaman bunuh.

"Semasa saya berada dengan beliau (Syed Azmi) semalam, terdapat lebih 2,000 cacian dan ugutan bunuh diterima melalui medium laman sosial tidak kira Facebook, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Whatsapps telefon bimbitnya.

"Ini telah menyebabkan beliau hidup dalam ketakutan untuk tampil di khalayak ramai (dikhuatiri) akan menerima lagi ugutan, yang berbunyi sama ada mahu 'break his bones to death threats'," katanya.

Syahredzan juga menafikan dakwaan kononnya Syed Azmi telah murtad.

Program IWTTAD dianjurkan pada 19 Okt lalu di Central Park, One Utama di sini.

Penganjur bersama Norhayati pula berkata perbuatan segelintir peserta beragama Islam memeluk dan mencium anjing berlaku di luar kawalan mereka.

"Kami tidak berjaya mengawal (sepenuhnya) mereka yang hadir tapi berjaya dalam niat mahu membantu mengatasi perasaan takut kepada anjing dan mengajar cara yang betul pengendalian anjing sekiranya perlu seperti saat kecemasan dan cara melakukan samak.

"Kami tidak ada niat untuk mengadakannya (IWTTAD) lagi ... kami faham sensitiviti orang Islam," katanya. - Bernama

Sumber HD - 25-10-2014

Brunei larang umat Islam sentuh anjing secara sengaja

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam menegaskan dan menasihati orang ramai di negara itu supaya tidak terikut-terikut dengan apa-apa jua acara atau program yang bercanggah dengan hukum syara', amalan beragama, kepentingan awam, keharmonian beragama, tatasusila, kesopanan umum serta sensitiviti umat Islam di negara itu.

Demikian kenyataan KHEU melalui siaran akhbar semalam yang merujuk kepada penganjuran acara 'I Want To Touch A Dog' (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung baru-baru ini.

Kenyataan penuh KHEU yang bertajuk 'Umat Islam dilarang menyentuh anjing secara sengaja' itu disiarkan menerusi laman web Pelita Brunei, sebagaimana di bawah.

Merujuk kepada penganjuran acara 'I Want To Touch A Dog' (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di negara jiran baru-baru ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menegaskan dan menasihati orang ramai di negara ini supaya tidak terikut-terikut dengan apa-apa jua acara atau program yang bercanggah dengan hukum syara', amalan beragama, kepentingan awam, keharmonian beragama, tatasusila, kesopanan umum serta sensitiviti umat Islam di negara ini.

Hal ini sekali gus turut menimbulkan keresahan orang ramai khasnya dalam kalangan umat Islam kerana secara jelas telah bercanggah dengan pegangan mazhab dan amalan beragama di negara ini.

Menurut Mazhab Syafi'e, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam. Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai 'mughallazah', namun kaedah tersebut bukanlah alasan yang membolehkan seseorang itu memegang najis 'mughallazah' secara sengaja. Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dalam fatwanya tahun 2012, memetik kata-kata Imam Ibnu Hajar Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawasyi al-Madaniyyah berpendapat adalah haram mengotori badan atau pakaian dengan najis tanpa ada sebarang keperluan.

Menurut Yang Berhormat, menggunakan sesuatu yang najis dengan sengaja sama ada pada badan, pakaian atau rambut hukumnya adalah haram apatah lagi najis tersebut merupakan najis 'mughallazah' seperti anjing. Menyentuh anjing dengan sengaja samalah dengan sengaja membiarkan diri terdedah dan dikotori dengan najis. Oleh itu, adalah haram juga hukumnya menyentuh anjing tanpa sebarang hajat sekalipun ianya dalam keadaan kering.

Pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk Allah. Apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab kerana perbuatan-perbuatan seumpama itu sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam. Malah anjing tetap wajar diberi kasih sayang, belas ihsan dan dijaga kebaikannya.

Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafi'e, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan seperti kucing yang dipegang, dibelai dan dicium. Ini kerana ia menyentuh persoalan hukum antaranya tentang kebersihan pakaian dan anggota badan.

Adalah ditegaskan bahawa pegangan masyarakat Islam di negara ini adalah menurut akidah Ahli Sunnah Waljamaah, Mazhab Syafi'e iaitu berdasarkan Perlembagaan. Justeru, langkah-langkah agar umat Islam di negara ini terus mengamalkan syariat yang tidak menyalahi Mazhab Syafi'e perlu dipertahankan.

Sehubungan dengan itu, ke arah merealisasikan hasrat negara menjadi sebagai sebuah Negara Zikir, adalah tidak sesuai acara tersebut diadakan seterusnya menjadi ikutan masyarakat di Negara Brunei Darussalam selaras dengan kehendak-kehendak Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddien Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara Bagi Tahun 1435 Hijriah / 2014 Masihi pada 17 Ramadan 1435H bersamaan 14 Julai 2014M.

"Di Brunei, kita tidak memakai budaya menebuk-nebuk atau memilih-milih ini, tetapi budaya kita ialah, beramal bulat-bulat dengan kebenaran. Apa-apa yang ugama dan Al-Qur'an suruh, itulah yang kita buat. Kerana itu, suka beta mengingatkan, supaya kita jangan sebarangan dalam perkara menghidangkan dakwah kepada masyarakat. Biarlah kita lebih berhati-hati dari terjebak kepada sikap meniru-niru atau menerima pakai resipi orang lain secara melulu. Kita elakkan dari mengimport masalah, terutama dalam aspek amalan berugama."

Dalam perkara ini, mana-mana pihak yang ingin mengadakan acara atau program yang menyentuh mengenai amalan beragama atau kesucian agama Islam atau jika ada sebarang persoalan berhubung dengannya hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada pihak-pihak berkuasa agama di Negara Brunei Darussalam. - HARAKAHDAILY 23/10/2014

Sumber HD - 23-10-2014

Pandangan Dr Zaharuddin isu program 'sentuh anjing'

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN | .

1. Sefaham saya, jika ingin menganjurkan program menjelaskan pendirian Islam tentang anjing, keringanan ketika menyelamatkan anjing, Islam rahmat kepada haiwan termasuk anjing, mengajar masyarakat agar tidak membenci anjing tanpa sebab syarie etc. Program sebegitu adalah BOLEH dibuat dan wajar diterima.

2. Namun jika program menggunakan tema 'i want touch a dog' dan seolah 'majlis menyentuh anjing beramai-ramai tanpa sebab dan keperluan yang jelas' diikuti dengan bergambar, memeluk dan menciumnya dari kalangan orang Islam, maka itu sudah pastinya mencipta PROVOKASI terhadap masyarakat setempat. Walaupun mazhab Maliki menganggap anjing dan seluruh tubuhnya sebagai tidak najis & tidak haram disentuh, namun pandangan dan pegangan masyarakat setempat perlu diambil kira. Ditambah lagi dengan ijtihad ulama mazhab Syafie yang mengharamkan sentuhan tanpa sebab yang syar'ie. Mazhab Hanbali turut menganggap anjing sebagai najis yang tidak harus menyentuhnya tanpa sebab yang syarie.

3. Pada hemat saya, program itu mempunyai tujuan yang baik namun cara pelaksanaannya tidak tepat dan tidak berhati-hati serta terlalu terbuka tanpa kawalan dan panduan jelas diberikan kepada para pesertanya.

4. Justeru saya TIDAK bersetuju PENGANJURAN seumpama itu, namun saya juga tidak bersetuju kecaman melampau-lampau dan ugutan pelbagai pihak terhadap penganjur dan mereka yang hadir.

5. Bagi saya tidak wajar digelar mereka sebagai gerakan Islam liberal kerana sekiranya mereka meyakini ijtihad mazhab Maliki, maka itu tidak sama sekali boleh dianggap liberal, malah mazhab tersebut adalah salah satu dari ahli sunnah wal jamaah. Jika mereka mengatakan harus memakan daging babi dan anjing, ketika itu barulah mungkin mereka sudah menyimpang dan liberal, kerana terdapat dalil spesifik dan jelas kenajisan dan pengharaman.

6. Bagi saya juga, menuduh penganjur boleh terkeluar aqidah atau menghina Islam juga adalah tuduhan agak keterlaluan, tidak boleh kita sewenang-wenang menggunakan tuduhan berat sedemikian tanpa bukti jelas menunjukkan mereka membenci Islam & ingin menghinanya.

Bagi saya, apa yang berlaku adalah hanya masalah Fiqh dan perbezaannya. Ia tidak sampai melibatkan masalah aqidah kerana pengharaman sentuh anjing dan tubuhnya tidak berdalil qat'ie dan bukan juga sampai ke peringkat ijma' (sepakat seluruh ulama silam) ditambah lagi wujudnya ijtihad berbeza dari mazhab Maliki dan sebahagian mazhab Hanafi, mereka berbeza dari mazhab Syafie dan Hanbali yang menganggap anjing sebagai najis.

KESIMPULAN

Dalam mengambil sikap dalam isu ini, kebijaksanaan masyarakat dan kematangan menghadapi situasi kepelbagaian pendapat, kefahaman dan perbezaan perlu dipandu dengan lunak dan berhemah.

Penganjur walau niatnya baik mungkin tersalah pendekatan dan tidak teliti dalam peganjuran sehingga memilih tajuk dan provokatif sehingga mungkin dilihat mencabar kefahaman awam tentang anjing. Justeru, elok penganjur memohon maaf sahaja kepada pihak berkuasa dan masyarakat awam yang terusik dengan tindakan kurang bijak mereka.

Para ilmuwan & orang ramai yang mengecam, walaupun berniat baik namun mungkin terlalu emosi sehingga berlebihan dalam melabel, tuduhan dan ancaman.

Para ilmuwan & pihak berkuasa khususnya sepatutnya tidak melenting, menjadi juara dalam melabel dan mengutuk. yang sepatutnya mereka memandu orang ramai untuk tenang menyikapi perbezaan pendapat dalam masyarakat awam. Kerana pandangan selain mazhab Syafie berterusan boleh diikuti oleh masyarakat awam di zaman internet dan globalisasi ini yang mana sumber maklumat yang pelbagai boleh di hujung jari. Maka untuk menempelak terlalu keras terhadap mereka yang terkeluar dari ijtihad mazhab Syafie seolah mereka menjadi liberal atau terkeluar Islam adalah juga tidak berhemah dalam mendidik masyarakat.

Orang ramai pula, dinasihati tidak mengeruhkan suasana dengan membuat ugutan kekerasan terhadap penganjur dan mereka yang menyertai. Cercaan, makian dan kutukan keras hanya membawa kalian kepada potensi menambah dosa-dosa. Nasihat sahaja mereka dengan baik disertai dalil-dalil yang difahami, bukankah itu lebih enak dan harmoni.

Penganjur juga perlu menyedari terlalu banyak keutamaan isu yang jauh lebih baik dianjurkan kempen berbanding isu anjing ini. Sentuhan yang haram seperti sentuhan lelaki wanita bukan mahram, berpelukan, kempen anti zina, makan wang haram dan lebih jauh berleluasa dan berbahaya. Ilmuwan pula lebih digalakkan lebih banyak memberi respons kepada isu-isu yang lebih kronik berbanding isu ini. Atas sebab itu juga saya lewat mengulas isu iini kerana dirasakan ia tidak sebegitu besar namun media dan ulasan awam dan pihak berkuasa yang menjadikannya besar.

Penulis ialah Presiden Murshid.

Sumber HD - 22-10-2014








Sentuh anjing: Keluasan dalam Islam ada batasnya

AHMAD MOUHYIDEEN HASSIM | .


Perbezaan pendapat di kalangan ahli feqah dan mazhab dalam isu menyentuh anjing tidak dinafikan merupakan suatu keluasan dalam Islam. Mazhab Syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis yang berat (mughallazah). Mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi pula menyatakan hanya air liurnya sahaja yang najis.

Mazhab yang diamalkan di Malaysia ialah Mazhab Syafie. Ia menjadi pegangan orang awam dan diajar secara meluas sama ada melalui pendidikan formal atau pun tidak formal. Beramal dengan mazhab yang lain dalam isu anjing ini hanyalah akan menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam masyarakat dan membawa kepada perpecahan dan perbalahan.

Justeru, keluasan feqah melalui perbezaan pandangan ulama dan mazhab dalam isu anjing ini mesti diikat dengan Maqasid as-Syariah yang bertujuan untuk mendatangkan maslahat dan menolak mafsadah (kerosakan). Perpecahan dan perbalahan yang timbul dalam masyarakat perlu dihindarkan dengan hanya berpegang kepada mazhab Syafie dalam isu ini.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Wahai Aisyah, jika tidak kerana kaummu masih baru dengan zaman jahiliyyahnya maka aku akan menyuruh diruntuhkan Kaabah dan dimasukkan ke dalamnya perkara yang dikeluarkan daripadanya (Hijir Ismail), aku akan melekatkannya dengan bumi dan aku akan jadikan baginya dua pintu, pintu di sebelah timur dan pintu di sebelah barat. Maka aku telah membina sebagaimana asas Nabi Ibrahim."

Dalam hadis ini, walaupun Nabi s.a.w. berbeza pandangan dengan Quraisy tentang pembinaan semula Kaabah mengikut asas nabi Ibrahim a.s., Nabi s.a.w. tidak meneruskan hasrat dan pandangan baginda tersebut. Ini kerana ia boleh menyebabkan Quraisy yang baru masuk Islam menjauhi dan lari daripada agamanya. Rasulullah s.a.w. menghindarkan perpecahan dan perbalahan dalam masyarakat Quraisy dengan berpegang kepada pandangan mereka, bukan pandangan baginda sendiri.

Walaupun tujuan penganjuran "I Want to Touch a Dog" adalah baik iaitu untuk membantu mengatasi rasa takut terhadap anjing dan mendidik orang ramai tentang pengamalan kebersihan tetapi kerosakan dan mafsadah yang terhasil lebih besar berbanding kebaikan tersebut.

Masyarakat muslim dibimbangi akan terdorong menjadikan anjing jenis tertentu sebagai haiwan peliharaan manjaan untuk dibelai, dicium dan dipeluk sedangkan ia ditegah dalam Islam dengan ancaman berkurangnya pahala orang yang memeliharanya setiap hari satu qirath.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis Nabi s.a.w bermaksud: "Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari."

Perlu dijelaskan bahawa semua mazhab dalam Islam bersepakat bahawa memelihara anjing untuk tujuan pemburuan atau untuk menjaga harta, tanaman dan ternakan adalah harus. Begitu juga diharuskan untuk menyentuhnya bagi tujuan merawat dan perkara-perkara yang diperlukan berdasarkan panduan syarak.

Oleh kerana itu, penganjuran menyentuh anjing ini adalah lebih baik dibuat secara tertutup dan khusus kepada pihak-pihak tertentu yang banyak terlibat dengan haiwan ini seperti kepada veterinar, animal rescuer, penjaga zoo dan lain-lain. - HARAKAHDAILY 22/10/2014

Penulis ialah Pengarah Operasi Majlis Penyelidikan dan Tafaqquh Dewan Ulamak PAS Pusat.

Sumber HD - 22-10-2014








Penganjur 'sentuh anjing' tidak tepati persetujuan

BERNAMA | .

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Selasa menjelaskan penganjur 'I want to touch a Dog' telah tidak menepati objektif program seperti dipersetujui dalam surat permohonannya.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata pihaknya difahamkan program berkenaan pada mulanya dianjurkan bagi memberi pencerahan atau kefahaman mengenai hukum berkaitan anjing dalam perspektif Islam.

Beliau berkata menerusi surat penganjur pada 3 Okt lalu, program berkenaan dibuat untuk memberi persepsi sebenar kepada umat Islam tentang keperluan menyelamatkan anjing dalam situasi kecemasan seperti kesakitan atau terbiar.

Katanya program itu juga dianjurkan bagi menerangkan kaedah yang mengharuskan umat Islam menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan, memegang dan mengendalikan anjing serta cara menyamaknya.

"Saya telah menerima cadangan mengadakan program sedemikian dan telah membincangkannya dengan lebih lanjut bersama salah seorang wakil muda daripada pencadang malah saya juga berbincang dengan Mufti Selangor dan menyampaikan kertas cadangan tersebut kepada pihaknya," kata beliau.

Mohamad Adzib berkata bagaimanapun perlakuan memegang, memeluk dan mencium anjing oleh orang Islam dengan sengaja seperti yang berlaku pada hari tersebut amatlah dikesali dan bertentangan dengan hukum syarak.

Tambah beliau, Jabatan Mufti Selangor telah memberikan panduan kepada penganjur menerusi surat pada 9 Okt lepas bahawa walaupun anjing banyak memberi manfaat kepada manusia, namun ia tetap haram jika sengaja disentuh oleh umat Islam dalam keadaan haiwan itu basah atau sebaliknya.

Ini kerana persentuhan itu dianggap sebagai najis berat tetapi jika kedua-duanya bersentuhan dalam keadaan kering, ia tidak dianggap najis, katanya.

"Oleh itu, jika ingin menjadikan anjing sebagai penjaga rumah atau untuk berburu, hendaklah ditambat di luar rumah bagi mengelakkan kita terlibat dengan najisnya," katanya.

Program yang dianjurkan di sebuah taman rekreasi di Bandar Utama pada Ahad lepas mendapat kritikan pelbagai pihak apabila umat Islam dibenar bermesra dan bermain dengan anjing yang dibawa peserta bukan Islam. - Bernama

Sumber HD - 21-10-2014








Sentuh anjing: Antara kemanusiaan dan anti kemanusiaan

MOHD ZUHDI MARZUKI | .

Sekali lagi perbahasan tentang hukum menyentuh anjing menyerabuti masyarakat Melayu setelah ia menjadi polemik umum hampir 80 tahun yang lalu.

Pada bulan Januari 1937, Sultan Kelantan telah menganjurkan perdebatan terbuka antara golongan kaum Muda yang dibarisi oleh Haji Nik Wan Musa Abdul Samad (bekas Mufti Kelantan), Haji Abbas Taha (Kadi Singapura) dan Dr Burhanuddin al-Helmi dengan golongan kaum Tua yang terdiri dari Haji Ibrahim Yusuf (Mufti Kelantan), Haji Ahmad Ismail (Ketua Kadi Kelantan) dan Haji Abdullah Tahir.

Masing-masing telah mengemukakan pandangan dengan dalil dan hujah berpandukan sumber-sumber Islam. Setelah masing-masing mengemukakan pandangan, maka Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk memilih pandangan yang sesuai.

Kaum Muda telah mengemukakan pandangan mereka dengan dalil dan hujah yang wibawa, bahawa boleh berpegang kepada pandangan mazhab Maliki (Talfiq) bahawa anjing tidak najis, tidak sebagaimana pegangan tradisi masyarakat Melayu berpandukan mazhab Shafie.

Perdebatan itu juga diketahui umum, terutama di kalangan masyarakat Melayu Kelantan.

Namun demikian, sehingga hari ini setelah hampir 80 tahun perdebatan itu berlaku, sukar untuk mencari sebuah keluarga Melayu termasuk yang berpegang kepada mazhab Maliki memelihara anjing untuk tujuan keselamatan, apatah lagi sebagai binatang peliharaan.

Jelaslah, ada satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam pengamalan Islam selain daripada dalil dan hujah, iaitu budaya atau ‘uruf.

Budaya adalah satu proses evolusi yang panjang membentuk cara hidup sesebuah masyarakat berinspirasikan pandangan semesta (worldview), hukum (termasuk adat) dan sistem nilai untuk disesuaikan dengan persekitaran mereka.

Tempoh evolusi cara hidup yang kemudiannya membentuk budaya ini sememangnya sukar untuk ditentukan, tetapi lazimnya ia berlaku secara tidak disedari malah seperti semulajadi (natural) sifatnya.

Revolusi cara hidup untuk membentuk budaya adalah satu pemaksaan terhadap masyarakat, yang lazimnya pula akan mencetuskan konflik malah boleh juga membawa kepada persengketaan yang serius. Demikian juga, revolusi cara hidup lazimnya tidak mapan.

Seorang tokoh Sosiologi Amerika, Charles A, Ellwood, pernah menulis panjang lebar teori-teori yang berkaitan dengan evolusi cara hidup, yang menurut pandangannya tidak sama dengan evolusi sosial.

Boleh disimpulkan, beliau cuba mengemukakan teori evolusi cara hidup yang bersifat organik.

Dalam konteks tradisi keilmuan Islam, evolusi budaya ini telah lebih dahulu dibahaskan oleh Ibn Khaldun sehingga beliau dikenali sebagai bapa sosiologi oleh para ilmuan moden.

Salah satu teori yang menarik juga tentang perubahan budaya ialah Structuralism, yang menyarankan bahawa budaya itu adalah interaksi manusia dengan sistem dan struktur yang lebih menyeluruh dan luas.

Berdasarkan pandangan-pandangan tersebut, dekonstruksi budaya bukan satu perkara yang mudah malah ada yang melihat lebih sukar dari dekonstruksi ilmu atau epistemologi.

Perdebatan isu anjing 80 tahun yang lalu boleh dilihat usaha untuk dekonstruksi ilmu, walaupun gagasan Dekonstruksinisme (Deconstructionism) ini dikemukakan lewat sedikit oleh Jacques Derrida.

Dekonstruksi ilmu secara aktif melibatkan para ilmuan melalui wacana dan debat yang dilingkungi oleh etika berbahas, justeru dampaknya terkawal.

Bagaimanapun, dekonstruksi budaya atau ada yang menyebut Pasca-strukturalisme akan turut melibatkan masyarakat bukan ilmuan yang akan menatijahkan dampak yang sukar dikawal malah boleh membawa kepada persengketaan, sehingga ada yang menyebutnya anti-kemanusiaan.

Kempen ‘I Want to Touch Dog’ pada pandangan saya bukanlah satu bentuk dekonstruksi ilmu sebagaimana perdebatan yang dianjurkan di Istana Sultan Kelantan hampir 80 tahun yang lalu.

Perdebatan tentang isu anjing ini berterusan berlaku sehingga hari ini, kadang-kadang suhunya tinggi dan kadang-kadang suhunya rendah. Malah perdebatan seperti ini akan berterusan sehingga bila-bila atas asas, perkara ini adalah khilaf yang sifatnya tidak berkesudahan.

Pada pandangan saya kempen “I Want to Touch Dog’ ini satu usaha untuk dekonstruksi budaya yang dampaknya boleh melewati sensitiviti dan mencetuskan suasana tidak terkawal.

Sebelum suasana tidak harmoni berlaku dalam masyarakat, usaha seperti ini termasuk ‘Pesta Arak’ Oktoberfest yang lalu perlu diberhentikan.

21 Oktober 2014
26 Zulhijjah 1435

Penulis ialah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS.

Sumber HD - 21-10-2014









Saya tidak setuju aksi peluk, cium anjing - Ustaz Iqbal

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Ustaz Mohd Iqbal Parjin menjelaskan beliau tidak bersetuju dengan aksi peluk, cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta-peserta program.

Beliau yang hadir pada program I Want To Touch a Dog kelmarin juga jelas menerangkan tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu.

"Saya terkilan kerana pihak media hanya menyebarkan sebahagian ucapan saya yang seolah-olah saya menyokong perbuatan tersebut, manakala bahagian hukum hakam tidak disebutkan oleh pihak media," tulis beliau menerusi facebooknya yang menjadi viral di laman sosial, seperti di bawah.

Cuaca sosial media pada ketika ini agak panas berhubung program “I Want To Touch a Dog”, yang saya terlibat secara langsung di dalamnya untuk memberi perkongsian ilmu, setelah mendapat tahu program ini telah mendapat izin dari pihak MAIS.

Pada awalnya, penganjur program, Syed Azmi,menjemput saya untuk mengisi slot ilmu. Saya merasakan ini adalah peluang yang baik untuk menyampaikan mesej Islam kepada Muslim dan non-Muslim dan alhamdulillah sehingga kini mereka masih menghubungi saya untuk bertanyakan perihal Islam dengan lebih lanjut.

Saya difahamkan bahawa tempat perkongsian ilmu diasingkan dari tempat anjing-anjing berkumpul.

Saya akui yang saya terlepas pandang bahawa program ini disalah tafsir malah diambil kesempatan oleh setengah pihak untuk menggalakkan masyarakat Melayu awam bermesra-mesra dengan anjing tanpa sebab. Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku seolah-olah saya yang menggalakkannya.

Saya memenuhi jemputan ini, dan menjelaskan kepada yang hadir mengenai hukum hakam yang jelas menurut mazhab Syafi’e, seperti yang terdapat dalam fatwa JAKIM.

Saya ingin JELASKAN di sini bahawa saya TIDAK BERSETUJU dengan aksi peluk, cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta-peserta program.

Saya juga jelas menerangkan tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu.

Saya terkilan kerana pihak media hanya menyebarkan sebahagian ucapan saya yang seolah-olah saya menyokong perbuatan tersebut, manakala bahagian hukum hakam tidak disebutkan oleh pihak media.

Saya memohon maaf secara terbuka di atas segala kecelaruan dan kepincangan yang berlaku. Iktibar dan pelajaran yang berharga saya perolehi dari apa yang telah berlaku. Saya mengharapkan program ini pada masa hadapan dapat dilakukan dalam suasana yang lebih menghormati sensitiviti masyarakat setempat.

Terima kasih di atas segala kritikan dan teguran yang membina. Saya yakin segalanya ada hikmah dari Allah. Semoga dengan pengalaman ini mematangkan lagi diri saya dalam liku-liku perjuangan dakwah. - HARAKAHDAILY 21/10/2014

Sumber HD - 21-10-2014









Sentuh anjing: Bantah sebab bimbang, bukan paranoid

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pihak yang membantah penganjuran kempen sentuh anjing bukanlah kerana paranoid, sebaliknya ia adalah lahir dari rasa tanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian hidup dalam lingkungan masyarakat majmuk.


Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Nurul Islam Mohamed Yusof berkata, pihaknya tidak menafikan soal menyentuh anjing hanyalah hanya sebahagian daripada masalah bersuci dan seputar persoalan feqah yang terdapat padanya pelbagai perbezaan hukum.

Namun ujar beliau, soal penganjuran program seumpama itu sendiri mesti diperhalusi dengan lebih teliti kerana ia telah menyuburkan kelunturan nilai beragama dan berbudaya yang diwarisi oleh masyarakat negara ini, khususnya umat Islam.

"Sikap menentang penganjuran ini kerana menganggapnya sebagai ancaman kepada nilai beragama dan berbudaya di negara ini bukanlah kerana paranoid.

"Kerisauan kita berasas. Dengan penganjuran 'Topless Friday' pada awalnya, diikuti dengan 'Octoberfest', kemudian disusuli dengan 'I Want to Touch a Dog', kita khuatir esok lusa dianjurkan pula kempen 'Sex & Condom' dengan rasional 'safe sex' bagi mengelakkan HIV/AIDS menular kononnya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pencegahan program seumpama ini dapat dibuat lebih awal sebelum ia dilaksanakan pada masa-masa akan datang.

Umat Islam katanya perlu meningkatkan kefahaman ilmu Islam dan penghayatan terhadapnya dalam diri dan keluarga masing-masing serta masyarakat sekeliling. - HARAKAHDAILY 21/10/2014

Sumber HD - 21-10-2014

Sentuh anjing: Jakim khuatir budaya baru hina Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak penganjur program 'I Want To Touch A Dog' dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru dan boleh membawa kepada perbuatan menghina Islam.

"Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi," ujar Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan.

Justeru, jelasnya peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi Mazhab Syafie.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Pertama sekali Jakim ingin membuat teguran kepada pihak penganjur yang telah mengadakan kempen memegang anjing secara sengaja dan terbuka kepada umum termasuk mereka yang beragama Islam tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Hal ini sekaligus telah menimbulkan keresahan awam khasnya di kalangan umat Islam kerana secara jelas telah menyanggah pegangan mazhab dan ‘uruf/ adat di Malaysia.

Menurut Mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.

Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai ‘mughallazah’ namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.

Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.

Justeru, tindakan pihak penganjur adalah dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru dan boleh membawa kepada perbuatan menghina Islam.

Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi. Justeru, peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi Mazhab Syafie.

Pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk Allah. Apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam. Malah anjing tetap wajar diberi kasih sayang, belas ehsan dan dijaga kebajikannya.

Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan.

Jakim telah mengulas lanjut isu berhubung kedudukan anjing dalam Islam serta hukum berkaitannya melalui portal fatwa Jakim di www.e-fatwa.gov.my.

Kedua, Islam mewajibkan semua umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.

Dalam perkara ini, Jakim bercadang untuk memanggil pihak penganjur bagi mendapatkan penjelasan selanjutnya. - HARAKAHDAILY 20/10/2014

Sumber HD - 20-10-2014









Belai anjing hilang stress minyak naik, entahlah...

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI | .


Daripada sibuk berkempen sentuh anjing lebih baik buat kempen sapu kepala anak yatim.

Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap."

Daripada sibuk berkempen sapu atas belakang anjing lebih baik buat kempen belajar macam mana cara nak sapu atas khuf sebagai ganti untuk basuh kaki dalam berwuduk.

Daripada sibuk berkempen membelai anjing lebih baik belajar cara yang betul untuk membelai dan mengucup hajar aswad di Kaabah.

Di dalam Al-Quran pun Allah menceritakan kisah ashabul kahfi yang bersama-sama dengan anjing peliharaan mereka. Pengajarannya bukan supaya kita membelai anjing dalam kehidupan kita tetapi anjing pun membantu perjuangan Islam dengan caranya tersendiri.

Di dalam hadis pun Nabi s.a.w. ada menceritakan kisah perempuan pelacur dimasukkan ke dalam syurga kerana memberikan minum kepada anjing yang dahaga. Menunjukkan anjing tidak boleh disakiti dan berhak untuk dirahmati dalam keadaan yang memerlukan.

Mungkinkah program membelai anjing untuk mengatasi masalah rakyat yang stress akibat kenaikan harga minyak? Entahlah...

Penulis ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Sumber HD - 20-10-2014









Isu Pegang Anjing -UAI - http://www.youtube.com/watch?v=LWh3UlU-ylQ&list=UUFznwgrJ0SorgTbQlpOKOaQ

Jakim siasat program 'I Want To Touch A Dog'

BERNAMA | .


KUALA TERENGGANU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran acara 'I Want To Touch A Dog' (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat).

"Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.

"Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan-peruntukan yang ada," katanya kepada pemberita mengulas penganjuran program itu yang mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan umat Islam di sekitar ibu kota, semalam.

Othman ditemui media selepas merasmikan Multaqa Pengetua Sekolah Agama peringkat kebangsaan di sini, malam tadi.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar melihat semula dan mendapatkan pandangan ulama mahupun ustaz sama ada apa yang dilakukan mereka dengan menyentuh, memeluk dan mendukung anjing itu betul dari segi agama dan selaras dengan tuntutan Islam.

Penganjuran program 'Saya Mahu Sentuh Anjing' oleh Syed Azmi Alhabshi yang bertujuan membantu orang ramai terutama masyarakat Islam untuk mengatasi rasa takut mereka terhadap anjing.

Program selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi itu dibanjiri ratusan umat Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran seorang ustaz di samping dua individu lain dalam forum mini bagi menjawab pertanyaan dan kemusyiklan berkaitan anjing dalam acara tersebut, Othman berkata pihaknya akan turut menyiasat kelayakan agama lelaki berkenaan.

"Buat masa ini, kita tidak dapat maklumat lengkap sama ada betul atau tidak individu itu ustaz, sekarang ini siapa-siapa yang pakai songkok (berpenampilan alim) pun sudah boleh jadi ustaz," katanya. - Bernama

Sumber HD - 20-10-2014

Sunday, October 19, 2014

GENERASI Y




Jenayah dalam kalangan Gen Y membimbangkan

BERNAMA | .
MELAKA: Jenayah membabitkan generasi Y atau golongan muda didapati meningkat dan membimbangkan, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata statistik jenayah 2013 menunjukkan pembabitan generasi Y yang masih bergelar pelajar dalam jenayah meningkat sebanyak 57 peratus iaitu 1,632 kes berbanding 1,042 kes pada tahun 2012.

Manakala kadar jenayah bagi generasi Y yang bukan pelajar turut mencatatkan peningkatan iaitu 6,184 kes pada tahun 2013 berbanding 2,658 kes pada tahun 2012, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Memerangi Jenayah Jalanan anjuran MCPF dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye dan Timbalannya Mohd Shahrizan Che Mat Din.

Sementara itu Lee berkata lebih 70 peratus kadar jenayah ragut yang dilaporkan di negara ini melibatkan penagih dadah yang mengambil jalan mudah melakukan jenayah ragut untuk membeli bekalan dadah.

"Cara termudah bagi mereka ialah dengan melakukan kegiatan jenayah ragut yang kebanyakan mangsa disasarkan kepada golongan wanita," katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik PDRM Bukit Aman, kes jenayah ragut mencatat peningkatan sebanyak 347 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini iaitu sebanyak 2,098 kes berbanding 1,751 kes bagi tempoh sama pada tahun 2013. BERNAMA

Sumber HD - 17-12-2014

Fitnah alam maya: Pengguna perlu bijak

ATHIRAH HUDA ZALHE | .

MENERUSI laporan khas yang dikeluarkan oleh Berita Harian pada 14 Disember baru-baru ini mengenai ‘Fitnah alam maya’. Sebagai salah seorang pengguna alam maya, tidak dinafikan medium berkenaan menjadi platform kepada semua dalam menyebarkan maklumat selain menjadi penghubung sosial antara satu sama lain. Generasi Y merupakan generasi yang berkembang dan hidup seiring dengan media sosial seperti Facebook, Twitter, Wechat dan sebagainya.

Medium ini merupakan tempat penyebaran maklumat yang pantas digunakan oleh orang ramai. Surat khabar, televisyen dan apa-apa sahaja agensi berita sudah kurang menjadi bahan rujukan utama untuk mencari maklumat semasa. Tetapi sejauh mana nilai maklumat tersebut boleh digunapakai dan dipercayai. Senario hari ini memperlihatkan sumber yang dikeluarkan oleh media sosial lebih pantas. Dalam beberapa jam sahaja segala berita akan menjadi viral kepada pengguna media sosial lain.

Kita sebagai pengguna harus berwaspada dalam menerima maklumat yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak terutamanya media sosial yang tidak mempunyai tapisan daripada pihak bertanggungjawab. Natijahnya, berlaku fitnah dan unsur-unsur berbentuk hasutan kepada pengguna lain. Bagaimana kita ingin mencorakkan pemikiran generasi Y terutamanya untuk tidak mudah menerima bulat-bulat apa-apa sahaja maklumat tersebut. Adakah selepas ini media sosial akan menggantikan tempat media arus perdana sebagai penyumbang berita?

Kita mempunyai lambakan agensi berita yang menjadi sumber rujukan. Seharusnya rujuk dahulu laman- web berita yang betul sebelum disebarkan sesuatu isu tersebut. Laman web dan media sosial yang diwujudkan oleh agensi berita juga tidak pernah ketinggalan supaya pengguna sentiasa menerima berita terkini dengan lebih pantas daripada media tradisional iaitu televisyen, radio dan surat khabar.

Walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mencadangkan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya tiga tahun dan sebat terhadap pesalah siber dipertingkatkan, seharusnya kita sebagai pengguna perlu terlebih dahulu bijak dalam menilai dan menerima berita atau maklumat tersebut dan kita berhak untuk mempedulikan sahaja mana-mana maklumat palsu yang tidak disahkan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 17/12/2014

Athirah Huda Zalhe, Universiti Sains Islam Malaysia




Transgender: Kekalkan status quo Enakmen Jenayah Syariah

MAHISAN ASWADI AHAMED | .
Sebagai rakyat yang menjunjung prinsip Demokrasi Raja Berperlembagaan, kami menghormati keputusan Mahkamah Rayuan menerima deklarasi hak golongan transgender sebagai hak minoriti di negara ini. Sungguhpun begitu agak mengejutkan, jika Mahkamah Rayuan membuat keputusan membatalkan Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang memperuntukkan kesalahan seorang lelaki Islam berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat awam mengikut undang-undang Islam, dianggap bertentangan dengan peruntukan-peruntukan Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan berhubung perlindungan terhadap hak asasi.

Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah kelangsungan punca kuasa Syariah yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebagaimana negeri-negeri yang lain di Malaysia sama ada negeri bersekutu atau tidak bersekutu, mendapat punca kuasa Agama Islam melalui peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama Islam sebagai Agama Persekutuan di Malaysia. Bagi Undang-Undang diri orang Islam di Malaysia diperuntukkan dengan jelas di dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan manakala Undang-Undang Jenayah Syariah dilaksanakan dengan kawalan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah Syariah) 1965 (Pindaan 1984).

Punca kuasa bagi gubalan, pengwujudan dan pemakaian Undang-Undang Islam di Malaysia diperkukuhkan dengan memartabatkan kedaulatan Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai penaung dan pelindung kepada Agama Islam keseluruhannya. Kedaulatan (sovereignity) ini yang disebut sebagai Raja Berpelembagaan (constitutional monarchy) telah diperuntukkan dengan jelas melalui Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu “hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh Raja sebagai Ketua Agama Islam tidak tersentuh dan tercacat…” begitu juga sebagai menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri-negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 181(1) “….hak kedaulatan, kuasa, bidangkuasa pembesar-pembesar Negeri dan Wilayah mereka masing-masing sebagaimana telah ada dinikmati hingga sekarang adalah tetap tidak tersentuh…”.
Sudah semestinya kelulusan suatu undang-undang di negeri-negeri adalah diluluskan dan diperkenankan oleh Raja atau Sultan sebagai penaung Agama Islam di negeri berkenaan. Oleh itu dengan anggapan Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 telah menafikan hak minority (private morality) dan terbatal menurut Perlembagaan Persekutuan, adalah satu keputusan yang tidak masak jika dibandingkan dengan Undang-Undang Syariah Islam dalam hal ini.

Atas kebijaksanaan pemimpin negara, intelek undang-undang dan agamawan di negara kita, mereka telah mengharmonikan Undang-Undang Islam dan Sivil yang bertujuan mengelakkan sebarang percanggahan bidangkuasa yang boleh mengelirukan rakyat. Justeru, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda (tahun 1988) bagi memberi ruang yang lebih selesa kepada pelaksanaan Undang-Undang Syariah di negara ini, dan pada masa yang sama mengekalkan kredibiliti Undang-Undang Sivil di negara ini dengan mewujudkan peruntukan 121(1) bagi punca kuasa ekslusif Mahkamah Sivil manakala Perkara 121(1)(A) sebagai punca kuasa ekslusif Mahkamah Syariah. Ini berdasarkan pengalaman bidang kehakiman di Malaysia berhubung konflik (conflict interest) di antara Sivil dan Syariah. Di antara contoh yang biasa dinyatakan oleh Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim iaitu kes Mariam lawan Mohd Arif (1971) 1 MLJ 265 iaitu berhubung konflik hak jagaan anak, kes Ainan lawan Syed Abu Bakar (1939) MLJ 201 berhubung kesahtarafan anak yang lahir empat bulan selepas berkahwin di mana Mahkamah Tinggi mengiktirafnya menurut Seksyen 112 Ordinan Keterangan (Akta Keterangan) dan kes Tg. Mariam lawan Commissioner For Religious Affairs Terengganu (1970) 1 MLJ 222 yang mana tanah wakaf oleh Tg. Chik adalah tidak sah oleh Mahkamah Tinggi mengikut keputusan Majlis Privy dan banyak lagi kes-kes seumpamanya.

Sebagai umat Islam yakin, bahawa untuk menjadi seorang Muslim yang sejati iaitu baik aqidah, akhlak dan amalannya maka syariat dijadikan sebagai pengawal semulajadi yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 semestinya diperuntukkan dengan menitikberatkan akhlak dan akidah sebagai dasar dengan tujuan mengawal tingkah laku penganutnya yang beragama Islam daripada melakukan perkara songsang dan bercanggah dengan hukum syarak. Oleh sebab itulah berpakaian seperti wanita atau berlagak seperti wanita oleh seorang lelaki Islam dianggap sebagai satu kesalahan jenayah syariah, kerana ianya telah bertentangan dengan disiplin akhlak Islamiah itu sendiri. Perlu jelas bahawa Islam tidak sekali-kali menentang hak kebebasan sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi kebebasan hak asasi di dalam Islam adalah kebebasan hak asasi terpandu dan terarah dengan kawalan Al-Quran, al-Sunnah, ijmak ulama' dan qiyas. Hadith Nabi SAW dari Ibn Abbas r.a. menyatakan :

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنْ النِّسَاءِ وَقَالَ أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ وَأَخْرَجَ فُلَانًا وَأَخْرَجَ عُمَرُ فُلانًا
Maksudnya: "Nabi s.a.w mengutuk (melaknat) lelaki yang bersifat kewanitaan dan wanita yang bersifat kelakian, dengan sabdanya: "Keluarkanlah mereka daripada rumah-rumah kamu." Ibn ‘Abbas menambahkan lagi: "Maka Nabi s.a.w telah mengeluarkan si fulan, dan Umar juga telah mengeluarkan si fulan." (Hadith riwayat Bukhari).

Hadith ini menetapkan bahawa, tindakan yang boleh dilakukan terhadap golongan transgender ini adalah dengan dengan mengeluarkan mereka daripada rumah-rumah orang Islam. Bahkan, dikukuhkan lagi dengan tindakan Umar al-Khattab r.a. yang telah mengeluarkan salah seorang daripada golongan ini. Berdasarkan kepada perbincangan ulama, maksud 'mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kamu', adalah merujuk kepada tindakan untuk menjauhkan golongan transgender daripada bergaul dengan orang-orang Islam. Kemungkinan tindakan itu adalah dengan membuang daerah atau negeri, di mana si fulan itu tidak boleh bergaul rapat dengan masyarakat sekeliling yang dikenalinya lagi. Fulan yang dimaksudkan dalam hadith itu adalah seorang lelaki pondan yang sering bergaul rapat dengan wanita. Lelaki tersebut cenderung berperwatakan dan mempunyai tabiat seperti seorang wanita dengan cenderung untuk bercakap lemah lembut, mampu menceritakan gambaran wanita, berbicara dan beramah mesra serta menghabiskan waktu bersama dengan kaum wanita berbanding lelaki. Kecenderungan dan perilaku lelaki pondan sedemikian, memberi kesan yang buruk kepada wanita, jika mereka terus bersama kerana ia boleh menimbulkan banyak fitnah dan menjerumuskan kepada perkara negatif.

Oleh itu, Undang-Undang Jenayah Islam yang wujud di negeri-negeri adalah sebagai perisai dan pelengkap kepada kesahan (legitimasi) sekatan kebebasan hak asasi manusia mengikut kehendak dan acuan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana tidak ada sebarang masalah ketara berhubung pelaksanaan Akta Hasutan 1948, Akta Polis 1967, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan lain-lain lagi yang sememang diwujudkan dengan matlamat mengawal tingkah laku rakyat Malaysia bahkan begitu jugalah dengan kewujudan Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 dengan tujuan yang sama ia diwujudkan dan dikuatkuasakan.

Justeru, bersetuju dengan maklumbalas Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak, Yg Bhg Dato Seri Harussani Zakaria, menjadi harapan kami untuk terus melihat pelaksanaan Undang-Undang Islam dan Sivil di Negara ini berjalan secara harmoni tanpa sebarang konflik menurut bidang kuasa masing-masing berlandaskan Perkara 121(1) dan 121(1)(A) Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa Ekslusif Mahkamah Syariah ini perlu dipelihara sebagai menghormati kedaulatan (sovereignity) Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai penaung Agama Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan ini daripada diperlekehkan dan dipermainkan bahkan bagi mengelak kekeliruan umat Islam di Negara ini. Kembalikanlah hak dan bidang kuasa Mahkamah Syariah menurut Perlembagaan Persekutuan dan kekalkan status quo Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang masih lagi berada dalam kawalan (remote) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984). Biarlah Undang-Undang Islam di Malaysia ini bebas dilaksanakan dan dikuatkuasakan mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, bukannya membatalkannya yang boleh membawa banyak keburukan kepada majoriti umat Islam di negara Malaysia tercinta ini.

*Penulis adalah Presiden Kelab Generasi Dinamik 2014/2016

Sumber HD - 10-11-2014

Mengenal potensi Gen-Y yang boleh digilap

HARAKAHDAILY | .

Premis Pertama

Mendengar sebelum memperdengarkan merupakan satu prinsip asas yang boleh membawa kejayaan seseorang manusia dalam berinteraksi dengan manusia lain. Prinsip ini amat berkaitan dengan pengamalan sifat cuba memahami sebelum meminta difahami oleh orang yang lain.

Premis Kedua

Kepelbagaian kaedah mestilah sesuai dengan kepelbagaian situasi yang ingin dipraktikkan kaedah tersebut. Pemahaman ini akan membawa kita mencapai matlamat jauh lebih mudah dan tidak perlu bersiaran ulangan setiap kali.

Kedua dua premis di atas jika diletakkan penggunaannya terhadap masyarakat Gen-Y sekarang amatlah bertepatan namun tidak mudah untuk dicapai.

Mengenal latar belakang Gen-Y

Bijak dan Mahir IT
Mengutamakan Keluarga
Mementingkan Pencapaian
Bergerak dalam Kumpulan
Memerlukan Perhatian dan Pengiktirafan

Melihat kepada ciri-ciri umum Gen-Y ini, kita terlebih dahulu mestilah memperakui bahawa, dalam mana-mana bidang, baik profesional, badan bukan kerajaan, pertubuhan, syarikat, kemasyarakatan, hinggalah ke peringkat pentadbiran kini dibanjiri oleh generasi alaf baru ini.

Ketika mana generasi terdahulu dari kelompok Baby-Boomers mula memasuki fasa rehat, dan generasi-X sudah pun memasuki fasa selesa, tenang dan matang, Gen-Y kini merupakan barisan yang bakal menghuni petak hadapan negara amnya. Dan kelebihan mereka ini, dengan sifat yang disenaraikan di atas, ialah walaupun seorang, mereka boleh memperlihatkan kehadiran mereka bagaikan seribu orang. Tidak percaya? Tengok apa boleh mereka buat dengan satu pesanan WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram atau Twitter, dalam jangka masa 20 saat.

Dunia seharusnya memperakui ‘penjelajahan dan penjajahan’ Gen-Y ini terhadap usia bumi akan menjadi semakin pesat dari sehari ke sehari. Dan dunia tidak ada cara lagi untuk melarikan diri dari mereka. Mereka kini adalah sebahagian dari dunia itu sendiri. Dan lagi, jamaah, tidak kiralah parti politik atau bukan, tetap perlu mengakui, generasi ini perlu diberikan perhatian. Cuma persoalannya, apakah kaedahnya? Khususnya buat PAS mengambil manfaat dan menghindarkan kemudharatan generasi ini.

Asas Perbincangan: Memperakui Semua yang lahir pada zaman Gen-Y adalah Gen-Y.

Pegang perkara ini betul-betul. Baik lulusan Jordan, Mesir, Oxford, UKM, UIA, UNISEL SPM, Ijazah, PhD hinggalah kepada yang tidak tahu menggosok gigi, bila sahaja mereka lahir pada zaman Gen-Y, maka mereka adalah Gen-Y. Mereka mempunyai kekuatan dan kelemahan umum trait sosial yang tidak jauh bezanya antara satu sama lain. Ustaz Ahmad Gen-Y tidak boleh merasakan Dr Salleh Gen-Y adalah dari kelompok berlainan. Sedar diri, kalian satu zaman. Memiliki kelebihan dan kekuatan warisan zaman yang boleh menaikkan antara satu sama lain, dan boleh membunuh antara keduanya juga. Sebab itulah kita lihat ada ustaz muda yang baik, ada juga yang menjengkelkan. Ada bukan ustaz yang keras, ada juga yang penuh hemah. Mereka boleh tetap dan tegas berada pada landasan yang mereka percaya.

Ciri Satu: Gen-Y Bijak dan Mahir IT

PAS mestilah turut mahir menggunakan kemahiran ini untuk menarik generasi ini. Dan perlu diingat, kemahiran ini juga boleh memusnahkan jamaah jika tidak pandai dikawal, atau generasi yang amat berkemahiran ini dibiarkan dengan kemahiran mereka tanpa ada tarbiyah. Lantas, PAS mestilah mengawal kemahiran ini akan tidak menjadi senjata makan tuan. Perlu diingat, kemahiran ini boleh berjangkit dengan mudah. Baik kepada si bayi sehinggalah dewasa tidak lagi bergigi.

Generasi ini boleh membantu jamaah dengan kemahiran mereka. Manfaatkan. Dan mereka boleh memusnahkan reputasi jamaah, juga dengan kemahiran IT mereka. Biarpun mereka ustaz, doktor gigi, penoreh getah; tanpa kawalan, jamaah hancur.

Ciri Dua: Mementingkan Pencapaian

Gen-Y sebilangan besarnya kurang peduli dengan kaedah yang diambil, tetapi melihat terus kepada matlamat yang bakal dicapai. Dan gerak kerja mereka akan berterusan ke arah matlamat itu. Jangan tanya bagaimana. Jangan setiap minit bertanyakan kemajuan kerja mereka. Cuma berikan mereka masa untuk melaksanakannya. Dan trofi akan diletakkan di atas meja anda.

PAS mestilah memberikan ruang kepada generasi ini melaksanakan tanggungjawabnya, cuma BERHATI-HATI; pastikan mereka ini diberikan matlamat ataupun objektif yang jelas. Jika tidak, mereka akan terbang tanpa mendarat. Dan penantian kita terhadap hasil kerja mereka akan berakhir dengan senyuman pedih mengetawakan diri. Ambil mereka, berikan objektif yang jelas, jangan ganggu kaedah, cuma berikan sedikit bimbingan dan kawalan, dan biarkan hasilnya datang.

Ciri Tiga: Mengutamakan Keluarga

Dalam bidang profesional, Gen-Y rata-ratanya meletakkan aspek kesetiaan di tangga kedua. Bila bertembung antara mesyuarat dan anak sakit gigi, pasti doktor gigi yang akan tersenyum, kerana mereka akan tidak hadir ke mesyuarat tersebut. Ada pengecualiannya, yakni Gen-Y yang memiliki pengaruh kuat dari generasi sebelumnya; yang dijadikan faktor motivasi. Tetapi bilangan yang sebegini adalah kecil. Dan biasanya mereka akan kahwin agak lewat kerana bercinta dengan kerjaya.

Dalam jamaah, sifat ini diterjemahan dalam kegigihan mereka mempertahankan kelompok yang disukai. Mereka sanggup mati kerananya. Dan kadangkala terbawa-bawa sehingga menguburkan jamaah itu sendiri. Kerana apa? Mereka sayangkan keluarga kecil mereka. Perhatikan sifat ini dan kawallah sewajarnya. Kekuatan ini bakal membawa manfaat kepada jamaah jika ia diterjemahkan kepada kelompok gerak kerja positif yang akan berkhidmat mempertahankan unit kerjanya walau dengan apapun harganya. Dan usaha untuk mempositifkan mestilah bermula dari aura yang positif. Kerana generasi Y ini boleh ‘Google’ niat anda!

Bergerak Dalam Kumpulan Mudah

Ini mudah ditafsir, mereka suka bergerak dalam kehidupan sosial ringan mereka secara berkumpulan. Keluar makan, main badminton, membeli belah, melancong. Dan sebaik sahaja kumpulan sosial mudah ini layak ditakrifkan menjadi keluarga mereka, maka apa yang dihuraikan dalam sifat sebelum ini akan bermula dari sini.

Dalam jamaah, berikan mereka kumpulan yang bakal menjadi keluarga mereka. Biasakan diri dahulu. Jangan letakkan mereka dalam kumpulan yang ‘perasan senior’, atau ‘perasan boleh buat apa sahaja sendirian’. Protégé dari generasi ini tidak akan teragak-agak meninggalkan ‘kumpulan elit’.

Mereka boleh serta merta memilih kumpulan lain yang lebih menyenangkan. Mereka juga boleh memilih untuk tidak memilih pada bila-bila masa. Ingat! Jangan pandang ini sebagai satu keegoan, tetapi pandanglah dari sudut Premis 1 dan Premis 2 di atas. Dan dalam melayan Gen-Y, mereka biasanya adalah berubah topi menjadi pelanggan. Dan siapa yang selalunya betul? Yang pasti, tidak salah kita menarik pelanggan dengan sedikit pengorbanan. Itulah pengorbanan sosial kita demi membentuk sosio-masyarakat baru yang lebih mantap dan berkesan.

Dahagakan Perhatian dan Pengiktirafan

Lihatlah, mi goreng, ikan hangit, pisang goreng, tudung bawal, gigi anak patah, kereta dilanggar kucing, semuanya akan diletakkan di papan kekunci berserta bukti bergambar. Dan selepas itu, mereka akan menyemak setiap 5 saat, berapakah ‘Like’ yang mereka perolehi. ‘Comment’ lebih memotivasikan. Dan begitulah seterusnya. Walaupun wabak ini telahpun menular ke semua generasi, tetapi pemulanya adalah generasi muda Y ini.

Di persekitaran pejabat, jangan risaukan tekanan kerja, generasi muda ini handal mengatasi tekanan. Dan tekanan berupaya membuatkan mereka lebih cemerlang. Mereka pantas. Mereka biasanya tepat dan lebih objektif. Tetapi seperkara yang tidak boleh dilupakan, tepuklah bahu mereka atas hasil kerja mereka. Atau sekadar ‘Good Job Bro’ sudah memadai menjadi tonik untuk hasil kerja seterusnya. Parti jiran kita bijak dalam hal ini. Dan kita hanya tersenyum dalam hati menyaksikan sumbangan mereka. Akhirnya menangis juga kita dalam hati melihat mereka meninggalkan kita, seorang demi seorang.

Gen-Y tidak berkira. Mereka terbuka. Tetapi jika kita berpegang kepada metodologi, “biarlah hanya Allah menghargai hasil usaha anta”, maka bersedialah untuk berdoa agar Allah sepenuhnya akan membantu kita mencari pengganti kepada amilin tersebut. Benar, tarbiyah jamaah menguatkan diri seorang amilin untuk bersifat ikhlas dan redha. Tetapi tidak adakah tarbiyah dalam ajaran Islam untuk memberikan penghargaan kemanusiaan kepada hamba Allah lain yang telah berbakti untuk kita? Bukalah minda. Sahabat sahabat komponen lain dan parti di seberang sana sudah lama melihat kepada aspek ini. Tetapi PAS, masihkah ingin berputar di sempadan ekslusif sendiri dengan kaedah zaman lampau; yang tidaklah salah, namun kini tinggallah ia sejarah untuk diarkibkan.

Pengamatan Sosial

Wahai Parti Islam Se-Malaysia, kita tidak ketinggalan, tetapi dengan kekal berada pada status ‘tidak ketinggalan’ ini, tidak memungkinkan kita maju. Jauh di luar sana, potensi kader dakwah berjumlah jutaan. Potensi pengundi berjumlah jutaan yang lain. Kita punya generasi yang boleh memanfaatkan jamaah. Tetapi kita biarkan generasi ini bergabung dengan sifat negatif, ditambah pula dengan kedegilan kita untuk berubah, lantas mencambahkan perdebatan dalaman yang disensasikan yang tidak menguntungkan jamaah walaupun satu undi, tetapi menjauhkan kita bukan sahaja dari pengundi, tetapi mad’u kita.

Generasi ini, jika kita bercakap tentang alatan memotong, mereka adalah mesin pengisar pelbagai jenama yang fungsinya tetap mengisar. Pantas, cekap dan tepat. Namun pengendalian yang tidak betul, mereka tidak segan silu memotong apa sahaja termasuk tangan tuannya. Melainkan dimasukkan ciri keselamatan yakni pemerhatian, kawalan dan tarbiyyah. Dan mesin ini jangan digunakan untuk mengisar sahaja, perlu dibersihkan sekali-sekali, bagi mengelakkan keladaknya mengganggu fungsi sebenar.

Penutup

Akhir kata, letaklah taraf jamaah kita ini pada tempatnya. Tutuplah pintu bilik tidur, berhubunganlah secara sihat, sesudah itu, jenguklah ke luar tingkap melihat jiran sebelah. Dan keluarlah pagar rumah untuk berubah. Kecualilah kita ingin terus kekal tinggal di dalam rumah setinggan, di persekitaran perumahan elit mahligai bertingkat, dan menjerit-jerit meminta mereka mengasihani kita.

Ya Allah, bantulah jamaah kami, melihat keutamaan mengikut zaman. Dan melihat zaman mengikut keutamaannya. - HARAKAHDAILY 19/10/2014

Sumber HD - 19-10-2014

Friday, October 17, 2014

SAMM DAN JINGGA 13



Mahathir tak jawab soalan saya kata Chegubard
Posted on Sunday, March 25 @ 02:00:00 UTC
Dilulus untuk paparan oleh AbuBakarMat

http://tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=38778

Video - https://youtu.be/pBwt7YIzxsI

1. Pada 2 April saya dijemput melalui whats app oleh salah seorang panatia penganjur Program Dialog Anak Muda : Deklarasi Rakyat, Realiti atau Fantasi ? untuk hadir dengan menghantar nama dan no.kad pengenalan. Sebelum itu saya sering dicabar oleh beberapa kelompok yang bersama Deklarasi agar saya duduk mendengar dulu dari Mahathir mengenai deklarasi ini.


2. Pada 7 April saya hadir bersama Komrad Edy Noor Reduan, Pengarah Propaganda SAMM dan Komrad Faisal Zainal, Penyelaras Muda SAMM. Kami tiba lewat beberapa minit, ketibaan kami disambut jelingan sekumpulan lelaki bertubuh sasa yang saya kira 'bodyguard' kepada orang penting yang sudah hadir selain wartawan yang berkumpul kerana tidak boleh masuk. Kami mendaftar dan mengambil tempat. Masuk sahaja Pengerusi Majlis sedang mengumumkan bahawa media, rakaman dilarang malah Pengerusi Majlis mengingatkan pengguna media sosial tidak terlalu laju melaporkan program dialog tersebut. Walaupun ia nampak sangat kontradik dengan semangat kebebasan dan kritikan terbuka kumpulan Deklarasi Mahathir namun saya mengambil sikap positif mungkin tidak mahu terganggu dan Mahathir bersedia untuk sesi terus terang.


3. Kehadiran kurang dari 100 orang, turut kelihatan Khairuddin (yang mengaku sepupu Anwar Ibrahim), Siti Hasmah, Marina Mahathir, Hishamuddin Rais (tukar tiub) juga ada selain Maria Chin, Ambiga dan mahathir sendiri di kerusi panel di depan. Muka - muka kepimpinan pelajar yang dikenali juga turut kelihatan.

4. Mahathir mengambil tempat bercakap awal, tak banyak yang diulas. Dia memulakan celoteh dengan mengingat sejarah MalayanUnion dan kuasa raja tetapi keluhnya kini raja juga tak ada kuasa untuk berbuat apa. Secara sinis dia mengaku mengenai tindakannya meminda kuasa raja itu salah katanya dia jangka Raja yang akan timbulkan masalah tetapi dia tidak sangka Perdana menteri yang punca masalah negara.

5. Selepas dia duduk sesi soal jawab dibuka. Dua soalan awal ditanya secara 'formal' oleh wakil Kesatuan Pelajar dan Mahathir respon mudah ajak semua pelajar tumbang Najib dan masalah akan selesai. Kecewa dengan cara Mahathir memperbodohkan anak muda dengan jawapanya , saya mengambil tempat untuk bercakap selepas Adam Adli.

6. Rakaman curi yang dibuat oleh Kak Nashitah yang viral di media sosial itu hanya suku dari semua yang saya ucapkan. Saya bangun dan saya perkenal diri dengan mengatakan saya che'GuBard dari SAMM yang Tun katakan sebagai Kucing Kurap. Saya nyatakan bahawa Tun panik dan silap, saya tidak pernah mencabar Tun berdebat sebaliknya saya menjemput Tun untuk satu sesi terus terang supaya anak muda khususnya jaringan SAMM mampu mendengar sendiri dan membuat keputusan betul dan adil. Saya tegaskan dengan jelassaya tidak akan mengajak orang tua yang memang banyak buat salah yang akan menjadi point - point besar untuk saya 'score' kalau berdebat. Saya ambil kesempatan meminta Tun respon mengenai Kehilangan wang Rakyat memalui skandal Bank negara 1992 ketika TS Jaafar menjadi Gabenor sebanyak RM30billion, Skandal MAS RM580 juta, Skandal Perwaja RM10b, Skandal Bank Bumi RM10b, Skandal Maminco RM1.6b dan saya sebut mengenai Far Eastern Eeconomic Review yang menyebut jumlah RM1.6jutadigunakan Mahathir untuk balilout syarikat kapal anaknya selepas memecat dan menfitnah Anwar Ibrahim atas banyak alasan ini saya tak akan debat dengan Tun sebab teruk Tun akan kena. Ketika ini muka Mahathir berubah dan kelihatan Marina memaling ke arah saya dengan muka yang sangat marah tetapi saya cuma balas dengan senyuman.

7. Pengerusi mula mengganggu dengan meminta saya terus kepada soalan. Saya tegaskan untuk bertanya 3 soalan dan penegasan. Penegasan pertama saya ialah Deklarasi ini bukan deklarasi rakyat ia deklarasi Tun Mahathir kerana ia tak lalui proses suara rakyat, malah majoriti yang tandatangan ketika 4 Mac itu hanya melihat deklarasi penuh hari tersebut. Isinya pula berkisar dengan penyingkiran Najib dan musuh-musuh politik Tun Mahathir. Bagaimana dengan perubahan sistem dan pemansuhan undang - undang penting seperti akta hasutan, pemerkasaan pilihanraya yang bebas dan adil ? Saya tegaskan deklarasi ini hanya retorik dan untuk Tun penuhi kehendak politik semata. Bila saya sebut ini yang hadir bertepuk tangan. Saya katakan Tun hipokrit kerana baru ini dalam temuramah dengan media Indonesia Tun sebut soal Anwar bersalah tak boleh buat apa sebab mahkamah dah putus dan kena hormat, bila kena kat orang lain Tun suruh hormat dan ikut tetapi bila tak kena pada Tun , Tun bising kata sistem rosak lah apa lah....

8. Kedua saya sebut dengan jelas 2008 Tun ajak rakyat jatuhkan Abdullah dan semua ayat ajak jatuh Najib sama je bunyi skripnya semasa nak jatuh Abdullah. Masa nak jatuh Abdullah dedah berbiliion juta wang yang dirompak melalui Scomi, Skandal Oil for food termasuk khairy dituduh merompak berjuta - juta termasuk terlibat menjual saham berkepentingan negara ke Singapura.

Saya tanya Bila Pak Lah jatuh Tun balik ke Umno semula dan dapat kedudukan istimewa semula tetapi apa usaha nak kembalikan duit rakyat. Saya katakan tak ada usaha kerana Tun bukan soal rakyat tetapi soal kehendak politik Tun semata bila Pak Lah dah jatuh Tun tak peduli pun soal rakyat dan kini sekali lagi nak guna benda sama.... masa ni yang hadir tepuk kuat lagi...

9. Pengerusi berdiri ketika ini untuk saya tamatkan bercakap. Saya sebut yang terakhir saya nak tanya Kenapa Anwar dipecat ? adakah kerana Anwar meliwat, agen Amerika atau dia halang Tun nak bail out anak Tun... saya juga bertanya kalau najib jatuh Tun nak siapa naik jadi PM dan TPM ? ketika ini Pengerusi bercakap dan minta saya berhenti... saya akur dan senyum lalu berhenti serahkan mikrofon.'

10. Selepas saya saya ingat ada seorang bangun bertanya juga soal kenapa Tun tak buat apa soal Rafizi ditahan, bukankah Rafizi sekutu Tun sekarang ? dan Mandeep Sigh yang merupakan kakitangan seketeriat BERSIH bangun bertanya soal pilihanraya bebas dan adil dan perlu dimasukkan kedalam deklarasi.

11. Tun bangun jawab.... dia berpusing - pusing langsung tak menyebut atau mengulas apa yang saya bangkitkan. Berkenaan Rafizi dia sebut dengan jelas dia berjuang bukan untuk Rafizi... Rafizi buat salah langgar OSA maka kena lah hukum...dan sebab itu kena perjatuh Najib sebab kalau Najib jatuh Rafizi bebaslah... berkenaan soalan BERSIH dia menagmbil analogi Sri Lanka dia sebut di Sri Lanka ada dua parti, satu parti isteri Janeral dan satu parti anak pejuang kemerdekaan. Bila isteri Janeral kalah dia kata pilihanraya menipu dan begitulah sebaliknya... Mahathir sebut pihak yang kalah akan sentiasa kata Pilihanraya menipu... ayat ini sepatutnya sudah menampar muka kumpulan BERSIH kerana mahathir sendiri tidak mengakui perjuangan BERSIH dengan tidak mengakui kepincangan pilihanraya.

12. Seorang pemuda duduk dibarisan depan bangun ingatkan mahathir yang dia tak menjawab lagi soalan che'GuBard. Mahathir terus tak peduli, dia mengulas pula mengenai orang tanya saya persoalan kenapa saya boleh duduk dengan musuh saya seperti Lim Kit Siang, Md Sabu dan lain lain. Mahathir sebut dengan jelas bukan saya datang tapi depa yang datang pada saya maka tanyalah depa. mahathir kata dia pun pelik bagaimana orang yang mahathir dah buat macam - macam salah pada mereka masih datang untuk sign deklarasi dengan Mahathir. Ketika ini saya bangun mencelah dan katakan "Tun, kamu tak jawab lagi soalan saya". Pengerusi Majlis mendiamkan saya semula dan Mahathir mengakhirkan ucapanya dengan penipuan katanya Anwar pun tulis surat kepadanya sokong dia. Ini jelas tipu mana ada Anwar tulis surat kepada Mahathir sokong dia... Ini mengingatkan kita dengan pembohongan Mahathir ketika kempen PRU lepas konon ugut nak dedahkan surat Wan Azizah kepadanya yang konon mengadu perihal Anwar.

13. Dia duduk dan terus bisik sesuatu pada pengerusi majlis dan pengerusi Majlis terus umum bahawa Tun Mahathir kena pulang awal kerana ada urusan penting dan soalan yang tidak berjawab akan dijawab oleh Ambiga dan Maria Chin. Saya dan ramai lagi anak muda , aktivis mahasiswa yang hadir tak boleh menyorokkan kekecewaan dengan cara Mahathir, hadir program dialog dengan syarat tiada media dan bila ditanya lari balik awal tinggalkan orang lain untuk cuci ? Inilah demokrasi terpimpin ala Mahathir.

14. Setelah hadir dan berdepan sendiri dengan Mahathir .... saya dan SAMM menegaskan garis yang kami ambil tidak salah dan tepat.

che'GuBard, SAMM

Sumber TKO - 25-3-2018


Berita tak ada dalam Malaysiakini: Chegubard serah lagi lima dokumen penjualan tanah Ijok
Posted on Monday, March 05 @ 22:10:53 MYT
Dilulus untuk paparan oleh AbuBakarMat

http://tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=38519



KOTA BHARU: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan menyerahkan tambahan lima muka surat dokumen berhubung isu pampasan untuk peneroka tanah di Ijok, Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam, Esok (Isnin).

Pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin, yang pernah menyerahkan dokumen 300 muka surat berkaitan kontroversi sama kepada SPRM pada September tahun lalu, menegaskan perkara itu dilakukan bagi membantu SPRM menyelesaikan kes terbabit segera.

Dakwanya, antara perkara yang terkandung dalam dokumen baharu itu adalah bukti penyelesaian luar mahkamah antara kerajaan Selangor dengan dua syarikat yang terbabit dalam kes berkenaan.

"Kita dapati berlaku penyelesaian luar mahkamah yang direkod dan didaftarkan oleh mahkamah antara Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dengan dua syarikat yang dikatakan kroni Umno.

"Menteri Besar memberi jalan penyelesaian dengan memberitahu bahawa terdapat syarikat membeli (tanah Ijok) dengan harga lebih mahal sehingga boleh memberi keuntungan lebih RM800 juta kepada dua syarikat terbabit, yang sebelum ini sudah mendera orang Melayu Ijok hampir 20 tahun.

"Dalam penyelesaian itu juga, kerajaan Selangor dikatakan mewajibkan syarikat pemaju dan pembeli berkaitan semua urusan tanah Ijok supaya melantik sebuah syarikat perundangan yang dipanggil Daim & Gamany yang mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin PKR iaitu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa," dakwanya.

SPRM buat masa ini masih mengkaji semua dokumen dirampas daripada lima syarikat bagi membantu kes penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor seluas kira-kira 880 hektar di mukim Ijok yang mencetuskan kontroversi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pada masa ini, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung isu penjualan tanah berkenaan.

Sumber TKO -  5-3-2018
Chegubard ugut saman portal Malaysiakini
Posted on Saturday, June 18 @ 19:49:25 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=30576
SHAH ALAM: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin tidak teragak-agak mahu mengambil tindakan perundangan sekiranya portal Malaysiakini enggan membuat permohonan maaf terhadap satu laporan berita yang didakwanya sebagai palsu.

Ia merujuk kepada laporan Malaysiakini bertajuk "Saya Diupah Untuk Baca Teks Oleh Chegubard" pada 9 Jun lalu kononnya pengaturcaraan komputer sambilan, Azharuddin Othman diupah oleh Badrul untuk membaca Akuan Bersumpah (SD) membabitkan penipuan Deklarasi Rakyat.

"Saya dengan ini memohon pertimbangan Malaysiakini untuk dalam tempoh 48 jam agar dapat (pertama) menarik semula posting berita yang dimaksudkan (menarik bermaksud memadam sepenuhnya)dan (kedua) menulis posting berita baru dengan tajuk Malaysiakini “Ternyata SD kedua palsu : permohonan maaf kepada Azharuddin dan che’GuBard”
"Permohonan ini rasanya sangat tidak melampau dengan mengambil kira kesan laporan dengan tajuk dan berita awal yang disifatkan jahat dan tidak bertanggungjawab.
"Saya dalam pertimbangan cadangan untuk laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan tindakan undang – undang, saya sangat berharap pihak Malaysiakini dapat membantu saya untuk tidak meneruskan pertimbangan tersebut," katanya dalam surat terbukanya, hari ini.
Azharuddin, sebelum ini mencetuskan kekalutan apabila didakwa membuat pusingan-U kononnya dirinya hanya membaca skrip yang ditulis Badrul, atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Beliau bagaimanapun menafikan fitnah tersebut.
Terdahulu menerusi SD pertama, Azharuddin mendakwa beliau dihubungi seseorang yang dikenali sebagai Ratu Naga menawarkan khidmat untuk membeli pangkalan data (database) rakyat Malaysia bagi mendapatkan 1.2 juta tandatangan untuk projek Deklarasi Rakyat sebelum dipersembah kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).
Beliau kemudiannya menjual sejumlah 900,000 nama selepas bersetuju dengan bayaran yang ditawarkan Ratu Naga iaitu sebanyak RM5000.
Bagaimanapun Azharuddin ditipu apabila hanya mendapat bayaran hanya RM1,000, namun kemudiannya dinafikan Ratu Naga berkenaan pembayaran itu.
Dalam surat terbukanya juga, Chegubard menyatakan rasa kesalnya dengan tindakan wartawan Malaysiakini yang tidak membetulkan keseluruhan fakta dalam laporannya, walaupun telah dihubungi sebanyak tiga kali supaya berbuat demikian.
Wartawan berkenaan hanya meletak nota kaki dalam penghujung laporan itu pada kali ketiga dihubungi Chegubard, tanpa membuat satu penjelasan berhubung laporan tersebut.
Bukan itu sahaja, menurut bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Rembau itu, Malaysiakini sekali lagi memfitnahnya kononnya beliau panik dan segera menamatkan sidang media menafikan SD kedua bersama Azharuddin pada 10 Jun lalu, selepas Ratu Naga tiba-tiba muncul dan mencabar anak muda itu membuat sumpah laknat.
Dakwa Chegubard, salah lapor berita portal itu amat dikesali apatah lagi memberi kesan terhadap dirinya dan Azharuddin. - AntaraPos

Sumber TKO - 18-6-2016


‘Ratu Naga’ muncul di sidang akhbar SAMM, cabar buat sumpah laknat

Posted on Friday, June 10 @ 16:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah



Dakwaan Deklarasi Rakyat dicemari pembohongan semakin kusut apabila Syarul Emarina Abdul Samah atau yang dikenali sebagai 'Ratu Naga' hari ini membuat kejutan dengan hadir ke sidang media anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Tindakan ‘Ratu Naga’ itu adalah bagi mencabar pengatur cara komputer bebas, Azharuddin Othman untuk membuat sumpah laknat bagi menyatakan segala dakwaannya di dalam akuan sumpah yang dibuatnya sebelum ini adalah benar.

"Saya datang sebab nama yang selalu kena sebut dekat berita hari-hari.

"Kalau saya kenal orang yang sebut nama saya tidak apa tapi (dia) tak ada kaitan langsung dengan benda ni semua.

"Kalau tengok di 'wall Facebook' saya, saya tidak campur dengan Deklarasi Rakyat kerana saya sedang sarat mengandung," katanya ketika ditemui pemberita di sidang media yang dianjurkan oleh SAMM itu.

Ratu Naga yang sedang mengandung enam bulan itu juga sempat mengajukan beberapa soalan kepada Azharuddin tetapi pengatur cara komputer bebas itu memilih untuk berdiam diri.

Pengasas SAMM, Badrul Hisham kemudiannya mencelah dan berdialog dengan Ratu Naga sebelum beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard menghentikan sidang media berkenaan secara tegesa-gesa.

Ratu Naga: Betulkah, Azharuddin kenal Ratu Naga?

Chegubard: Saya rasa kita dah jelaskan dan kamu sendiri boleh proceed (laporan polis).

Ratu Naga: Boleh tak saya minta Azharuddin sendiri jawab? Sebab dia yang ikut Chegubard. Kalau dia datang ke Chegubard jadi boleh tak (beri) dia jawab?
Ratu Naga: Nak tanya boleh?

Chegubard: Dia pasukan Azharuddin datang jumpa saya dan saya dah nyatakan dengan jelas. Dan kalau kamu tak berpuas hati kamu boleh buat laporan polis. Sebab kenyataan bersumpah ini terikat dengan undang-undang.

Ratu Naga: SD siapa-siapa pun boleh buat. Kalau nak cerita pasal undang-undang, saya pun kena dakwa atas akta sakit hati.

Macam Chegubard dulu dedahkan mengenai cincin Rosmah kan? Kalau nak cerita pasal undang-undang, 1MDB di depan mata pun tak boleh cerita apa-apa. Jadi saya tak nak cerita pasal undang-undang.

Saya nak tanya Azharuddin, boleh tak bersumpah laknat atas nama ibu bapa awak, atau bini, anak awak, yang awak kenal saya dan pasal database ini. Itu saja.

Chegubard: Game sumpah ini semenjak daripada Najib bawa Saiful lagi. Minta maaf, kita tak layan.
Ratu Naga: Saya datang sebab hari itu saya jemput Chegubard dan Azharuddin. Saya jemput baik baik.


Chegubard: Isu sumpah ini game Umno BN yang mencabar kita.

Sumber TKO - 10-6-2016


Hentikan bebanan pada rakyat dengan kenaikan tol

Posted on Tuesday, October 13 @ 14:07:57 MYT by paktam

Oleh Fariz Musa Hari ini rakyat dikejutkan dengan kenaikan kadar tol yang akan berkuatkuasa tanggal 15 Oktober oleh kerajaan Umno/BN adalah merupakan siri tekanan dan bebanan berterusan terhadap rakyat yang berdepan dengan GST dan kenaikan kos sara hidup khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Jingga13 Malaysia mengecam pengumuman kenaikan kadar tol di 11 lebuh raya (8 di Lembah Klang) iaitu membabitkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-Silk, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SmarT), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE). Kenaikan ini melibatkan peningkatan kadar tol di antara 20 sen dan RM3.

Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia sehingga kini gagal menjelaskan kepada rakyat berkaitan skandal 1MDB, wang derma RM2.6 bilion dan pelbagai kepincangan dalam tatakelola mengurus tadbir dan ekonomi akhirnya terus memberikan tekanan dan bebanan kepada rakyat melalui kenaikan kadar tol baharu.

Dasar kerajaan Umno/BN terus dilihat memperkayakan kroni tanpa merasa bersalah benar-benar memperlihatkan kezaliman berterusan kepada rakyat ekoran daripada kenaikan kadar tol tersebut yang sudah pasti akan berlaku kenaikan kepada harga barang makanan dan keperluan berlipat kali ganda, apa lagi ekoran mata wang ringgit semakin merudum.

Jingga13 Malaysia mendesak Najib dan kerajaan Umno/BN menghentikan dengan segera tindakan tersebut demi kepentingan rakyat yang semakin tertekan.

Tindakan perdana menteri dan kerajaan Umno/BN terus menghukum rakyat serta menutup pelbagai skandal adalah tindakan desparado politik yang bakal menaikkan kemarahan dan kesabaran rakyat.

* Penulis ialah ketua koordinator Jingga13 Malaysia.

Sumber DD - 13-10-2015 









Siapa murah hati derma RM2.6 bilion kepada Najib?

Posted on Tuesday, August 04 @ 14:48:15 MYT by paktam

Oleh Fariz MusaJingga13 Malaysia sangsi dan mempertikai kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal RM2.6 billion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak adalah hasil daripada sumbangan.

Malah SPRM ternyata gagal menyatakan siapakah penyumbang yang sangat bermurah hati menyumbangkan RM2.6 billion tersebut ke dalam akaun Najib menunjukkan satu tindakan untuk menutup isu dan kes tersebut secara dangkal dan tiada kredibiliti serta menjadikan SPRM sebagai badan yang sangat lekeh dan boleh dipertikaikan.

Jingga13 juga mendesak SPRM mendedahkan siapakah penderma yang sangat bermurah hati menderma RM2.6 billion tersebut kepada Najib.


Jingga13 mempersoal atas kapasiti dan sebab apa sumbangan tersebut dilakukan kepada Najib dalam jumlah yang sangat luar biasa?

Andai ianya adalah untuk membantu ekonomi negara, kenapa derma tersebut tidak dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara?

Sekiranya sumbangan derma tersebut untuk Umno, kenapa tidak masuk dalam akaun Umno?

Tetapi dimasukkan ke dalam akaun milik peribadi Najib.

Adakah ianya adalah sumbangan atau rasuah?

Ke manakah wang tersebut dibelanjakan kerana mantan peguam negara sebelum itu mengesahkan akaun tersebut sudah pun ditutup? Sungguh luar biasa wang sumbangan daripada penderma berjumlah RM2.6 billion dihabiskan sedemikian rupa!

Jingga13 yakin untuk menyelamatkan diri, Najib boleh sahaja mendapatkan mana-mana dokumen daripada sesiapa pun sebagai bukti konon ianya adalah merupakan sumbangan derma dari individu atau pihak tertentu dan bukannya daripada wang 1MDB.

Sehingga sekarang Najib tidak mengambil tindakan menyaman Wall Street Journal (WSJ) dan kenapa baru sekarang baru dinyatakan ianya adalah daripada sumbangan setelah mengugurkan Tan Sri Muhyidin Yassin dan Tan Sri Abdul Ghani Patail serta mengambil masa yang agak lama.

Kenyataan SPRM yang tidak ditandatangani sesiapa pun serta tanpa fakta yang jelas menimbulkan kesangsian terhadap keputusan siasatan SPRM dan dilihat semata-mata menyelamatkan Najib serta memperlihatkan SPRM sebagai badan yang tiada maruah, profesional, berintegriti dan kredibiliti.

SPRM juga gagal menunjukkan ketelusan apabila tidak ada sebarang tindakan untuk menahan Najib untuk diambil keterangan sepertimana lazimnya dilakukan kepada sesiapa yang dituduh melakukan salahlaku tersebut tetapi mengeluarkan kenyataan rasmi selepas 48 jam pejabat SPRM digeledah Cawangan Khas.

Jingga13 yakin seluruh rakyat Malaysia yang bijak tidak akan mempercayai kenyataan hasil siasatan SPRM tersebut dan mempercayai RM2.6 Billion tersebut adalah wang 1MDB yang diseleweng ke akaun peribadi Najib dan percaya, ini adalah satu konspirasi yang betujuan menyelamatkan Najib.

Muafakat*Prihatin*Berani –

* Penulis merupakan ketua Koordinator Jingga13 Malaysia.

Sumber DD - 4-8-2015

Mindef perlu dedah operasi ketenteraan ke Yaman










| .


SUSULAN keputusan Malaysia menghantar sejumlah tentera ke Yaman, Menteri Pertahanan dalam satu tweet beliau menyatakan bahawa operasi kali ini adalah untuk operasi kemanusiaan dan evakuasi.

Namun begitu, menurut Agensi Berita Saudi menyatakan bahawa Malaysia adalah negara ke 12 yang menghantar tentera untuk menyertai operasi ketenteraan mereka selepas Senegal. Malah, agensi tersebut juga menyatakan Pusat Operasi Gabungan ini akan menugaskan tentera Malaysia bersama-sama dengan Tentera Senegal.

Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM) tidak sepatutnya menyertai operasi ketenteraan ini. Seperti kebiasaan, Malaysia hanya ikut serta sebagai tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sahaja. Langkah untuk menyertai Pakatan Tentera yang diketuai Saudi ini adalah lebih mirip kepada operasi ketenteraan bukan kemanusiaan.

Mindef perlu menyatakan jumlah bilangan tentera yang terlibat, aset-aset tentera yang turut dihantar ke sana dan juga perbelanjaan yang dikeluarkan bagi tujuan ini. Ini adalah amat penting bagi rakyat untuk menilai tujuan sebenar tentera kita dihantar ke sana. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga mendesak Hishamuddin Hussein untuk mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan penglibatan Malaysia sebagai pasukan ke-12 selepas Senegal dalam Pakatan Saudi.

SAMM juga berpandangan, sekalipun Kerajaan Persekutuan berhadapan dengan pelbagai tekanan kewangan dan kerugian 1MDB tetapi untuk turut serta menumpahkan darah rakyat Yaman bukanlah caranya untuk mendapatkan dana dari Arab Saudi. Mindef perlu memberikan penjelasan yang tuntas dalam perkara ini.

Dunia Timur Tengah memerlukan agenda keamanan bukan satu lagi operasi ketenteraan yang meragut ribuan nyawa kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang awam lain yang tidak berdosa. - HARAKAHDAILY 11/5/2015

Asrul Nizam Abd. Jalil
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sumber HD - 11-5-2015

Kerajaan diselar kerana beku ambil kakitangan baru

MUHAMMAD FAIZAL | .


KUALA LUMPUR: Solidariti Anak muda Malaysia (SAMM) hari ini meminta agar kerajaan melakukan rombakan di dalam Jabatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan memberi fokus kepada isu jenayah dan trafik.

Penyelarasan Kebangsaan SAMM, Asrul Nizam Abd. Jalil berkata demikian ketika mengulas cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membekukan pengambilan penjawat awam.

Kata beliau, anggota polis terutamanya Cawangan Khas (SB) hanya tertumpu kepada pemantauan politik semata-mata dan tidak melaksanakan tugas untuk membenteras jenayah.

"Mana-mana anggota SB yang tertumpu kepada kerja-kerja politik perlu diserap agar mereka menggunakan sepenuhnya tanggungjawab untuk kerja-kerja banteras jenayah.

"Kalau hanya menumpukan aktiviti politik, ia tidak dapat membantu untuk kita menrunkan kadar jenayah," katanya melalui satu kenyataan.

Beliau turut menggesa agar cadangan pembekuan itu tidak meliputi mana-mana kementerian yang kritikal terutamanya Kementerian kesihatan.

"Selain pembekuan pemgambilan, kerajaan perlu menutup terus operasi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang mana senarai perjawatan 2015, Jasa diperuntukkan seramai 145 penjawat awam pelbagai gred melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM 21,718,100.

"Di sebalik perbelanjaan puluhan juta ini, kebanyakan kakitangannya adalah merupakan ahli Umno dan juga modus operandinya adalah menjadi jentera propaganda parti politik.

"Apakah Umno tidak mempunyai kekuatan sama ada dari segi tenaga manusia dan kewangan untuk mewujudkan jentera propaganda sendiri tanpa menggunakan Perbendaharaan Negara," soal beliau.

Dalam pada itu, SAMM juga mendesak Kerajaan untuk memansuhkan Taman Asuhan Kanak-Kanak Permata, Kemas dan Perpaduan sebaliknya menyerap semua Taska dan Tabika ini di bawah program Pra-Sekolah Kementerian Pendidikan.

Jelas Asrul Nizam, Permata mempunyai 582 penjawat jawatan dan menelan perbelanjaan RM 30,690,100. Manakala Kemas mempunyai lebih 900 penjawat jawatan dan perbelanjaan RM 135,594,600.

"Wujudnya jawatan bertindih di dalam kementerian perlu diberi perhatian khusus, selain itu kerajaan juga perlu mengurangkan perbelanjaan dan seharusnya mensasarkan kepada projek-projek, jabatan-jabatan dan agensi-agensi tertentu bukannya semberono hingga menjejaskan operasi dalam sektor kritikal," sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY 6/4/2015

Sumber HD - 6-5-2015


Mengenai enakmen kanun jenayah Syariah II
Posted on Thursday, March 19 @ 13:57:04 MYT by paktam

Pandangan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berhubung pembentangan pindaan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015, di Dewan Negeri Kelantan pada 18 Mac 2015 adalah seperti berikut:

 1. SAMM berpandangan ini merupakan satu pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah II (1993) dan bukannya satu rang undang-undang baru yang perlu mendatangkan kemuncak kegusaran awam dan pertikaian oleh mana-mana parti-parti politik. Enakmen asal telahpun diluluskan sejak lebih 20 tahun dahulu.

2. Membuat pindaan terhadap mana-mana enakmen atau akta adalah satu proses biasa bagi menambah baik satu-satu enakmen atau akta. Ini bukannya pertama kali berlaku dalam sejarah negara. Baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri, pindaan terhadap enakmen atau akta adalah amalan biasa.


3. Adalah menjadi tanggungjawab demokratik sesebuah Kerajaan yang memerintah “government of the day” untuk melakukan penambahbaikan terhadap satu set perundangan yang difikirkan sesuai untuk kemaslahatan rakyat di bawah naungannya. Kerajaan negeri Kelantan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menentukan polisi pentadbiran yang ingin mereka aplikasikan. 

4. Kelantan juga perlu memahami akan hak demokratik untuk pihak-pihak lain membantah pindaan ini. Sebarang bantahan atau pandangan yang berbeda tidak boleh terus dilabel sebagai suara kelompok anti Islam atau pun anti agama. Perbedaan pandangan itu perlu diuruskan sebaik mungkin bagi memastikan tidak timbul ketegangan hingga akhirnya memberikan dampak politik yang negatif.

5. Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 14(1)(p) telah menetapkan mengenai “Aturan Urusan Mesyuarat. Sesebuah Rang Undang-Undang Persendirian” hanya boleh dimasukkan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat setelah semua agenda Kerajaan di selesaikan.

6. Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 49 pula menyatakan rang undang-undang persendirian perlu meminta izin majlis untuk berbuat demikian. Kemudian ianya perlu beratur mengikut agenda urusan mesyuarat. Beberapa peraturan dan prosedur mengikut ketetapan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang perlu diikuti sebelum rang undang-undang persendirian dapat dibahaskan seperti biasa.

7. Jika Umno benar-benar ikhlas dan tidak mempunyai niat politik tersembunyi, Umno seharusnya mengarahkan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio agama untuk membentangkan rang undang-undang yang akan membolehkan Kelantan melaksanakan "Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015" ini.

8. Kerajaan negeri Kelantan atau PAS seharusnya memahami akan perkara ini. Mereka sudah menjalankan amanah mengikut kemampuan yang dibatasi oleh perundangan sedia ada. Sekarang ini, segalanya perlu diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk membuka jalan seluasnya pembentangan akta-akta di peringkat Persekutuan di Parlimen. PAS seharusnya tidak perlu bersusah payah untuk membawa rang undang-undang persendirian yang rumit prosedurnya.

9. Umno boleh dilihat munafik apabila tidak langsung berhasrat atau mempunyai keinginan politik untuk menguatkuasakan enakmen yang sama di Terengganu walhal Terengganu juga mempunyai enakmen serupa yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri semasa pemerintahan PAS dahulu. – 19 Mac, 2015.

*Che’GuBard adalah pengasas kepada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Sumber DD - 19-3-2015













Jom sertai kempen pendidikan percuma

HARAKAHDAILY | .


PERJUANGAN rakyat untuk mendapat pendidikan percuma bukanlah sesuatu yang pelik. Hal ini kerana, memberi pendidikan kepada rakyat merupakan suatu tanggungjawab mana-mana kerajaan di dunia dan perkara ini termaktub dalam Artikel 6 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut Jurucakap Kempen Pendidikan Percuma, Muhamad Zulkhairie daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), walaupun deklarasi tersebut hanya menetapkan pendidikan percuma untuk peringkat rendah dan menengah sahaja, namun sebagai sebuah Kerajaan yang kononnya menuju ke arah “ekonomi rakyat”, seharusnya Kerajaan Persekutuan perlu memikirkan untuk memberikan pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Oleh hal yang demikian, SAMM menyeru orang ramai hadir dalam suatu protes untuk mendapatkan pendidikan percuma pada 21 november 2104 ini di hadapan KLCC.

Yang berikut kenyataan penuh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tentang kempen pendidikan percuma.

Pendidikan merupakan satu hak asasi manusia yang termaktub dalam Artikel 6 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaupun deklarasi tersebut hanya menetapkan pendidikan percuma untuk peringkat rendah dan menengah sahaja namun sebagai sebuah Kerajaan yang kononnya menuju ke arah People Economy, seharusnya Kerajaan Persekutuan perlu memikirkan untuk memberikan pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Pemerintah sering memperbesarkan mitos bahawa adalah mustahil untuk menyediakan pendidikan peringkat pengajian tinggi yang percuma kerana kos terlalu tinggi dan ia adalah merupakan pelaburan individu. Pemerintah juga baru-baru ini mengatakan bahawa rakyat perlu membayar sebanyak 50 peratus cukai sekiranya mahu pendidikan percuma.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berpandangan bahawa sikap Kerajaan Persekutuan hari ini terhadap bidang pendidikan pengajian tinggi tidak mencerminkan falsafah sebuah kerajaan tetapi lebih mirip kepada tindakan dan falsafah kelompok pemodal yang mencari keuntungan atas nama apa sekalipun.

Pendidikan peringkat pengajian tinggi ini adalah satu pelaburan komuniti bukannya pelaburan individu seperti yang digambarkan dalam mitos Putrajaya. Pengajian tinggi akan memberikan keuntungan yang amat signifikan kepada masyarakat dan negara melalui perkembangan modal insan. Pendidikan dan pengetahuan akan membawa harapan masa depan negara yang cerah.

Sasaran Putrajaya untuk menjadi negara berpendapatan tinggi perlulah datang dengan keupayaan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai daya intelek yang bagus. Malahan, untuk mencapai pendapatan tinggi juga memerlukan lebih ramai rakyat dapat meningkatkan taraf mereka daripada tenaga kerja kurang mahir dan separa mahir kepada tenaga kerja mahir. Semua ini akan hanya tercapai melalui ilmu pengetahuan.

Kedegilan Putrajaya untuk tidak memberikan pendidikan percuma hingga peringkat pendidikan tinggi akan terus membebankan graduan sebaik sahaja mereka memasuki alam pekerjaan dan tidak mencerminkan hasrat Bajet 2015 untuk mengamalkan dasar ekonomi rakyat. Beban pinjaman pendidikan yang menjangkau puluhan ribu jika bermula di peringkat sijil sehinggalah ke peringkat ijazah sarjana muda, ditambah lagi dengan bebanan kos sara hidup yang meningkat dan pinjaman kenderaan dan sebagainya akan mengecilkan pendapatan boleh belanja bagi kelompok ini. Akhirnya, impian untuk menuju negara berpendapatan tinggi bertukar menjadi bencana yang mengerikan apabila ramai anak muda dalam lingkungan usia awal 30-an diisytiharkan muflis.

Selain itu, bagi mengupayakan kebolehpasaran para graduan, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil satu tindakan progresif dan radikal dengan membenarkan autonomi pendidikan di peringkat pengajian tinggi dan seterusnya membebaskan universiti daripada cengkaman kuku besi politik. Professor dan para pelajar mestilah mempunyai kebebasan untuk melaksanakan kajian, melontar pandangan dan pendapat serta lain-lain metodologi percambahan ilmu.

Putrajaya perlu mencontohi aspek kebebasan akademik yang diamalkan oleh negara maju yakni akhirnya gandingan professor dan pelajar dapat memberikan input yang baik terhadap garapan polisi dan dasar fiskal negara. Ambil contoh bagaimana di Australia, Australia National University (ANU) sangat dikenali dan berada di dalam ranking antara 20 universiti terbaik di dunia kerana seringkali menjadi "think tank" kepada Kerajaan mereka untuk melakukan kajian intensif dan memberikan input sebelum sesuatu polisi itu digunapakai terutamanya dalam bidang ekonomi.

Sehubungan itu, SAMM menyeru setiap rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam satu protes pendidikan percuma sempena "International Global Week Fight For Free Education" pada 21 November 2014 bermula jam 2.30 petang di hadapan KLCC demi menuntut hak rakyat dalam pendidikan percuma dan autonomi peringkat pengajian tinggi. – HARAKAHDAILY 12/11/2014

Sumber HD - 12-11-2014














Henti budaya samseng, kenegerian dalam bola sepak

. | .
Sekalung tahniah buat Pahang FA (Tok Gajah) dan JDT (Harimau Selatan) kerana kejayaan kedua-dua pasukan yang telah berusaha keras melalui liku-liku getir sehingga berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Piala Malaysia 2014 yang dijadual berlangsung pada 1 November depan di Stadium Bukit Jalil.

Kebangkitan semula bola sepak negara

Mengimbau kembali era kemahsyuran bolasepak negara di zaman 60-an hingga 80-an, fenomena anak muda terutamanya ketika itu, apabila pasukan negara layak dan mengukir kejayaan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

Di pertengahan 90-an pula, ia sedikit merosot apabila beberapa pemain mula terpalit dengan gejala rasuah. Namun kini, ia ibarat " mati hidup kembali" bila mana kelahiran semula pemain-pemain muda yang handal dan berkaliber. SAMM juga bersetuju dengan beberapa usaha revolusi & mereformasikan persatuan bolasepak contoh seperti TRW (Kelantan) & JDT (JohorFc ) demi kemajuan bolasepak negara.

Elak budaya samseng

Amat mengecewakan dikalangan sesetengah peminat, apabila timbul budaya samseng atau juga dikenali sebagai "HOOLIGANISMA" di kalangan peminat bolasepak negara. Budaya hooliganisma ini sudah lama mencemari arena bolasepak di Eropah sehingga ada yang meragut nyawa. SAMM Pahang bersama-sama SAMM Johor mengharapkan pihak berwajib seperti FAM dan PDRM dapat menangani serta membendung gejala ini daripada berulang kembali di pentas final nanti.

Elak provokasi tanam sifat kesukanan

Justeru SAMM juga menyeru mana-mana peminat sama ada dari Pahang dan Johor supaya buang semangat kenegerian yang melampau, serta tanamkan semangat kesukanan antara kita, menang atau kalah sudah menjadi adat pertandingan. Jadikan perlawanan ini, sebagai satu semangat untuk bersatu sesama kita.

Perlu diingat dalam saingan liga yang semakin kompetitif saat ini, pemain sudah mula berhijrah dan mewakili kelab dan negeri yang bukan kelahiran asal mereka. Oleh yang demikian sama ada pasukan Kelantan, Felda Pahang, JDT, Selangor atau Kedah sekalipun yang harus kita pandang adalah mereka-mereka ini membawa semangat negara Malaysia. Sokongan kita sebagai peminat akan menyuntik semangat atas satu harapan bolasepak Malaysia kembali gah semula ke pentas antarabangsa.

Bolasepak adalah medium penyatuan kita sebagai rakyat Malaysia, jangan cemari hak rakyat ini dengan ketegangan antara kita.

Hogoh Pahang Hogoh/LuaskanKuasaMu

Kenyataan bersama

Amirul Syazwan
Penyelaras SAMM Pahang

Hadzril Ridzal
Penyelaras SAMM Johor

Sumber HD - 28-10-2014

Terima kasih Che Ta, tapi mana penjelasan KPJ?

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor mempersoal di mana penjelasan oleh pihak Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Ampang Puteri berhubung tajaan rawatan bersalin pelakon Rozita Che Wan .

Penyelaras SAMM Johor Hadzril Rizal berkata, pihaknya menghargai usaha Rozita memberikan penjelasan, namun penjelasan sepatutnya datang dari KPJ yang merupakan anak syarikat kumpulan Johor Corporation (JCorp).

"Mengapa KPJ masih berdiam diri dan tidak memberikan penjelasan asas keputusan memberikan tajaan tersebut.

"KPJ perlu bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kerana JCorp dan KPJ adalah merupakan syarikat sayap pelaburan Negeri Johor," katanya.

Sebelum ini Hadzril menggesa pihak hospital KPJ Ampang Puteri mengkaji semula tajaan bersalin kepada pelakon jelita itu.

Beliau mendakwa, ia kerana memandangkan artis itu berkemampuan membiayai sendiri urusan bersalin.

Sedangkan kata Hadzril, ramai lagi rakyat negeri Johor yang langsung tidak dapat menikmati apa-apa keistimewaan di pusat-pusat perubatan milik KPJ.

”Ramai rakyat Johor terpaksa berbaris panjang di klinik kesihatan awam, malah senarai menunggu untuk rawatan penyakit kritikal seperti pembedahan pintasan jantung di hospital pakar kerajaan juga begitu panjang,“ ujarnya.

Hadzril juga menjelaskan, bukan niatnya untuk mempertikai rezeki yang diterima oleh bakal anak Rozita.

Tetapi katanya, apalah salah kiranya Rozita mempunyai sedikit jiwa yang besar dan menjadi seorang selebriti yang "Noble" dengan menolak pemberian KPJ ini.

"Sebaliknya meminta KPJ membantu ramai lagi orang-orang susah yang memerlukan bantuan rawatan kesihatan daripada mereka," katanya. - HARAKAHDAILY 18/10/2014

Sumber HD - 18-10-2014
















Malaysia berpotensi ulang tragedi di Chernobyl

MOHD ARIF JUHANI | .

KUALA LUMPUR: Peruntukan pembangunan kepada Tenaga Nuklear Malaysia dalam Bajet 2015 menambah kegusaran awam tentang kemungkinan negara bakal mengulangi tragedi yang berlaku di Chernobyl, kata Pengarah Pemikir Kaum Muda SAMM, Ahmad Anwar Asyraf.

Mengambil contoh kes pencemaran air di Muar, katanya, hanya selepas lebih enam bulan menunggu, barulah statistik bacaan kualiti air terawat didedahkan yang menunjukkan bacaan kloria berada melebih paras bahaya menurut piawaian kualiti air minum kebangsaan.

"Tetapi, pada ketika itu, tiada sebarang amaran bahaya dikeluarkan kepada penduduk Muar.

"Ia memberikan saya satu lagi igauan ngeri jika berlakunya kebocoran reaktor, adakah sikap pemerintah juga sama? Menutup maklumat sebenar daripada pengetahuan rakyat?" soalnya melalui kenyataan media.

Tragedi kemalangan radioaktif di loji kuasa nuklear Chernobyl berlaku pada 26 April 1986.

Laporan WHO pada tahun 2006 menyatakan ketika itu terdapat 5 juta orang yang tinggal di kawasan sekitar Belarus, Russia dan Ukraine mempunyai kadar Radioactive Caesium Deposition lebih daripada 37 kBq/m2.

Laporan tersebut juga menyatakan ramai antara rakyat di kawasan tersebut yang mengalami penyakit kanser thyroid, Leukimia, kematian akibat Acute Radiation Sickness, katarak, penyakit kardiovaskular, penyakit mental dan psikologi dan juga masalah kesihatan terhadap kanak-kanak walaupun telah 20 tahun tragedi Chernobyl berlaku.

"Saya juga sering termimpi apakah nanti anak-anak saya akan datang juga akan mewarisi masalah-masalah seperti kanak-kanak di Belarus, Russia dan Ukraine?" beliau menyoal.

Mengulas lanjut, beliau bimbang loji nuklear yang menggunakan banyak air sebagai sistem penyejukan akan mewujudkan gejala 'Euthrophication' atau kematian kehidupan akuatik akibat kesan radiasi dari sisa radioaktif yang dialirkan ke kawasan perairan.

Beliau berkata, gejala berkenaan masih belum mempunyai penyelesaiannya sehingga hari ini walaupun banyak seminar atau forum diadakan setiap tahun untuk membincangkannya.

Tambah beliau lagi, sejarah dunia telah menyaksikan banyak kemusnahan dan kemalangan dahsyat yang terjadi ekoran daripada penggunaan nuklear sama ada melalui persenjataan atau kemalangan radioaktif loji kuasa nuklear.

"Kebiasaannya, loji tenaga nuklear adalah merupakan sasaran utama pihak militan dan organisasi pengganas. Maka, aspek keselamatan menjadi keutamaan di sini. Sedikit sahaja kecuaian dalam soal keselamatan ini akan mendatangkan kesan buruk dan ngeri kepada kesejahteraan rakyat Malaysia dan rantau ini.

"Pengalaman melihat mudahnya pintu sempadan kita dilolosi pihak-pihak tidak bertanggungjawab kebelakangan ini membuatkan saya terfikir sejauh mana kita mampu menangani kemungkinan di atas?" soalnya lagi. -HARAKAHDAILY 17/10/2014

Sumber HD - 17-10-2014